APAKAH masalah dalam Pas yang dikatakan sudah reda dan kedudukan Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sudah dilihat stabil sehari dua ini sebenarnya cerita saja sedangkan hakikatnya bukan begitu. Bahawa acara himpunan menyatakan sokongan kepada Nik Aziz di perkarangan pejabat Pas Jumaat lalu yang dihadiri ribuan hanya sebuah sandiwara saja tetapi bukan menggambarkan hakikat kedudukan MB itu sudah stabil?
Saya mempersoalkan ini ekoran membaca kenyataan oleh Naib Presiden Pas, Mahfuz Omar yang meminta agar Nik Aziz bertindak segera memastikan menantunya, Ariffahmi Abd Rahman supaya segera melepaskan jawatan sebagai Pegawai Eksekutif di PMBK.Mahfuz membuat gesaan itu dalam sidang akhbar di Parlimen pagi ini.
Saya mencari di manakah rasionalnya Mahfuz (foto) membuat gesaan berkenaan. Seolah-olah Naib Presiden Pas ini ada masalah dengan Ariffahmi. Beliau juga seakan-akan tidak memahami kenyataan Ariffahmi beberapa hari lalu dan jahil mengenai prosuder dan tatacara badan berkanun.
Kenapa harus dimusykilkan lagi, menantu Nik Aziz itu sudah membuat pengakuan akan melepaskan jawatan itu pada Mac depan. Notis untuk berhenti sudah pun diserahkan. Sepatutnya semua pihak berpuas hati dan tunggulah tiga bulan lagi.
Menurut Ariffahmi tindakan beliau itu mengikut prosuder di mana tatacara badan berkanun dan korporat memerlukan notis 90 hari sebelum melepaskan jawatan. Apakah Mahfuz tidak mendapat nasihat benar mengenai hal ini dan membuat gesaan itu kerana berlandaskan sentimen atau kerana ada orang yang meludah ke dalam mulutnya?
Dalam pada itu apa mendukacitakan lagi, Mahfuz juga meminta Nik Aziz mendapatkan nasihat dari penasihat PMBK supaya menentukan apakah Ariffahmi dapat menjalakan tugas-tugas berhubung kewangan dan projek setelah notis berhenti diberikan. Gesaan Mahfuz kepada Nik Aziz itu satu penghinaan dan merendah-rendahkan keupayaan MB berkenaan.
Cara Mahfuz mengarah Nik Aziz secara terbuka ini juga menimbulkan persoalan dan seolah-olah Mahfuz mahu menekan Nik Aziz. Apakah tindakan Mahfuz ini ada motif tersendiri ataupun dibuat kerana kelemahannya berhubung pentadbiran terutamanya berhubung badan berkanun?
Kenyataan Mahfuz itu mungkin dilihat ringan tetapi kalau dihalusi ia memberi implikasi kepada Pas. Cara Mahfuz itu membuka satu lagi ruang kepada musuh Pas untuk menyerang Nik Aziz. Sudah pasti esok atau lusa wartawan akan menyerbu Nik Aziz bertanyakan hal demikian. Apakah ini sudah dipelankan untuk menyerabutkan pemikiran Nik Aziz bagi mencapai matlamat yang lebih besar?
Demikian juga kalau dilihat dari segi kewajaran, apakah wajar pemimpin tertinggi Pas membuat gesaan kepada pemimpin tertinggi lain secara terbuka?
Kalau Mahfuz mempunyai hujah dan pandangan tersendiri elok kalau beliau berjumpa dengan Nik Aziz dan memaklumkan kepadanya bukannya dengan membuat kenyataan terbuka menerusi media massa yang sudah pasti akan dieksploitasikan oleh pihak-pihak tertentu.
Mungkin sikap yang diambil atau pendekatan digunapakai seorang lagi Naib Presiden, Sallahuddin Ayub boleh dicontohi. Sallahuddin selalu mengunjungi Nik Aziz sekiranya beliau ingin menyampaikan sesuatu maklumat kepada Mursyidul Am itu dan bukannya ghairah membuat kenyataan akhbar. Seharusnya sikap Sallahuddin itulah ditiru Mahfuz dan pemimpin lain.
Kerana melihat tindakan ini tidak rasional dan tidak bijaksana menyebabkan saya rasa Mahfuz ada motif tertentu kenapa beliau berbuat tindakan demikian. Mungkin juga beliau telah mendapat maklumat yang salah berhubung tindak tanduk menantu Nik Aziz itu pada masa ini. Adalah dangkal sebagai seorang pemimpin kalau bercakap berdasarkan apa yang disuruh dan diajar saja tanpa berfikir dan mendapat fakta-fakta lengkap.
Cara Mahfuz itu bukan saja tidak menghormati Mursydul Am itu tetapi menghina kemampuan Menteri Besar Kelantan itu yang sebelum ini menegaskan beliau mendapat nasihat yang betul daripada penasihat-penasihatnya dalam melantik Ariffahmi.
Ketika membalas pandangan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang yang menyifatkan Nik Aziz mendapat nasihat yang salah berhubung perlantikan Ariffahmi, Nik Aziz menolak andaian Abdul Hadi itu sambil menegaskan para penasihatnya tidak salah dan telah memberi nasihat yang betul.
Jika pengakuan dan kata-kata Nik Aziz itu boleh dipegang ini bermakna kesalahan dan implikasi di sebalik perlantikan Ariffahmi itu seharusnya dipikul sama oleh penasihat bijak laksana yang dimaksudkan Nik Aziz itu. Kesilapan melantik Ariffahmi itu bukan saja diletakkan atas bahu Nik Aziz tetapi bahu sang penasihat juga. Malangnya sehingga hari ini para penasihat 'otak puyuh' itu tidak pernah tampil menyatakan tanggungjawab mereka.
Sudah pasti dengan kenyataan dikeluarkan Mahfuz itu ia membuka semula bekah di PMBK yang dijahit beberapa minggu lalu. Dan saya percaya Pas Kelantan kurang minat dengan cara mahfuz yang dilihat sebagai mencampuri urusan kerajaan Kelantan. Eloklah kalau Mahfuz lebih memberi tumpuan untuk membersihkan Kedah yang kini dikatakan penuh dengan sampah sarap. [wm.kl. 7:50 pm 07/12/09]