TAZKIRAH JUMAAT
Barang kali sudah sampai masanya, sebenarnya kita sudah terlewat untuk insaf bagi mengamalkan politik berminda tinggi tanpa perkelahian sepanjang masa dan tidak meletakkan perbezaan ideologi itu sebagai satu sempadan besar yang memisahkan di antara kita. Selama mana lagi kita mahu mengamalkan politik benci membenci, bermusuhan serta angkuh mendabik dada, akulah yang betul dan kamu yang salah semuanya.
Seharusnya kita semua menjadi cerdik dan bijak. Menjadikan gelanggang politik sebagai wadah memperkasakan kepentingan negara dan rakyat, bukannya wadah untuk terus bergaduh dan bertelingkah sepanjang masa sehingga melupai tanggungjawab kepada negara. Orang-orang politik juga wajar menandakan bahawa politiking ada batas dan ada musimnya.
Kita selama ini tidak menanda batas dan musim dalam dunia berpolitik. Kita tidak kira atau mengikut peredaran iklim dan cuaca secara almiah. Politik kita kehilangan kompas dan tidak ada jadual. Kita berpolitik (politiking) sepanjang masa. Musim banjir, ribut atau kemarau kita tetap dengan rasa dan nada sama menghentam dan menyerang sesama sendiri. Tanpa kita sedar cara kita beperang sepanjang masa itu sebenarnya kita membunuh diri dan kenegaraan sendiri.