Showing posts with label Hasan Ali. Show all posts
Showing posts with label Hasan Ali. Show all posts

Friday, February 3, 2012

Terkini Malam

Hasan Ali Dipecat Sebagai Timbalan Pengerusi Mais?

Baru sekejap saya menerima panggilan yang bertanyakan apakah saya sudah tahu berita terkini mengenai Hassan Ali (Hassan Akidah). Saya memberitahu tidak tahu menahu sebab saya baru bercadang hendak mengulas mengenai Ngo bernama Jati yang beliau hendak umumkan 21 Februari nanti.

Hari ini dan semalam saya sepanjang hari di Kota Bharu, jadi berita-berita sulit dan maklumat terbaru tidak diketahui.

"Apa dia?" tanya saya penuh suspen.

"Sultan telah pecat Hasan Ali sebagai timbalan pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais?" jelasnya. Ha... saya terkejut dan diam seketika.

"Apakah telah diumum?" soal saya meragui.

"Belum lagi, tetapi orang dalam Mais sudah memberi tahu... harap enta siasat sikit.." katanya menyebabkan saya jadi sedikit konfius.

Siasat?

Saya rasa kalau maklumat ini benar lewat malam ini juga berita mengenai pemecatan itu akan memenuhi Fb dan juga blog. Kita tunggu sahajalah... izinkan saya untuk mandi dan menjamah nasi. Soalnya baru tiba dari Kota Bharu. [wm.kl.10:05 pm 03/02/12]

Sunday, January 8, 2012

Simpulan Awal

Sahih Hasan Akdiah Dipecat Dari Pas

Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor Hasan Ali alias Hasan Akidah yang ke belakangan ini bertindak tidak mesra parti dan ada kalanya kontras dengan keputusan jemaah sah dipecat dari Pas.

Tindakan memecat Hasan itu dicapai sebulat suara dalam mesyuarat jawatankuasa Pas yang diadakan pagi ini dan berakhir lewat tengah hari.

Menurut kenyataan ringkas presiden Abdul Hadi Awang tindakan itu diambil mengikut Fasal 82(9).

Dengan pemecatan ini diharap Hasan Akidah tidak lagi menjadi masalah kepada Pas. Hendaknya juga tidak ada mana-mana pemimpin Pas baik diperingkat pusat, negeri dan kawasan serta sayap-sayapnya menyatakan simpati bertujuan membela Hasan Akidah atas apa juga alasan.

Dalam pada itu Hasan Akidah diberi peluang untuk merayu kepada Majlis Syura Ulamak. Saya yakin Hasan tidak akan berbuat demikian dan mungkin beliau sendiri gembria dengan keputusan itu. Pemecatan itu melepaskan Hasan terbelit dengan lfaz ikrar dan ba'iahnya sebelum yang berjanji akan bersetia dengan parti.

Dengan tidak lagi menjadi ahli Pas Hasan bebas untuk memilih wadah baru atau membentuk wadah baru bagi meneruskan perjuangannya untuk menegakkan akidah ummah.

Sebelum ini Hasan dikatakan berminat untuk menyertai pertubuhan bernama Perkasa(m) yang dikatakan bersesuai dan sejiwa dengannya yang berjuang berasaskan tiga R, - Agama, Bangsa dan Raja.

Dalam pada itu malam ini sudah tentu media eletreonik penjilat buntut akan memberi liputan penuh dan kemungkinan juga mendapat ulasan dari perdana menteri Najib Razak yang kini berada di Afrika Selatan. Media juga akan mula membuat hebuh dan taboo kononya akan ada beberapa orang tokoh Pas akan bertindak keluar parti kerana menyokong dan simpati dengan Hasan.

Ahli Pas yang belum faham dengan tindakan Pas ini hendaknya bersabar dan mendengar penjelasan sebenarnya tindakan itu dari pemimpin Pas sendiri sekiranya mereka gagal melihat tindak tanduk Hasan ke belakangan ini yang tidak dapat keluar dari jerat dan perangkap Umno yang sengaja dimasukinya.

Persoalan yang timbul kini ialah mengenai kedudukan Hasan Akidah sebagai Exco Agama Selangor. Apakah beliau gentlemen akan melepaskan jawatan itu bagi diisi oleh muka baru atau pun Hasan akan bertegas tidak akan melepaskannya.

Kalau Hasan tidak malu dia akan terus memegang jawatan itu dan akan menggunakan alasan pihak Istana tidak mahu beliau melepaskan jawatan berkenaan atas alasan ianya dilantik oleh Sultan. Sesungguhnya tindakan hari ini akan menguji sejauh mana kejantanan Hasan dan apakah menambahkan bukti tuduhan sebelum ini terhadapnya yang beliau adalah tali barut Umno.

Di bawah ini adalah kenyataan ringkas oleh Presiden Pas Abdul Hadi Awang mengenai pemecatan Hasan Akidah.

KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PAS

Setelah mempertimbangkan segala pandangan yang diberikan oleh ahli-ahli jawatankuasa PAS Pusat dalam mesyuarat yang diadakan pada hari ini, PAS Pusat telah membuat keputusan berdasarkan Fasal 82(9) iaitu memecat keahlian YB Dato’ Dr Hasan Mohd Ali sebagai ahli PAS berkuatkuasa serta merta.

Keputusan ini dibuat berdasarkan kepada tindakan-tindakan YB Dato’ Hasan Ali yang menyalahi dan merugikan kepentingan Parti sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan PAS.

Abdul Hadi Awang,
Presiden PAS

[wm.kl.3:04 pm 08/01/12]

Berita Terkini

Hasan Ali Dipecat Dari Pas?

Sahih Hasan Ali alias Hasan Akidah dipecat dari Pas. Mesyuarat Jawatan kuasa Pas hari ini dikatakan telah mengambil keputusan memecat Hasan Ali (Hasan Akidah) dari Pas. Keputusan itu dicapai sebulat suara.

Bagaimana pun Hasan dibenarkan merayu kepada Majlis Syura Ulamak. Hasan Ali tidak hadir pada mesyuarat berkenaan.

Mursyidul Am Pas Nik Abdul Aziz Nik Mat turut sama hadir dalam mesyuarat berkenaan.

Demikian berita baru yang saya terima sekejap tadi. Pas dijangka akan membuat sidang akhbar berhubungan pemecatan Hasan dan beberapa keputusan lain. Ulasan lanjut selepas ini.
[wm.kl.1:54 t/hari 08/01/12]

Friday, January 6, 2012

Ulasan Isu

Aduhai Hasan Ali!
Buah Kepayang Yang Tidak Lagi Pahit

Semasa
sedang asyik mengikuti pidato mempertahankan diri dan serangan ke atas Umno oleh Anwar Ibrahim di Machang malam tadi beberapa orang kenalan dan penjenguk blog Merah Tinta (MT) menayani saya tentang Hasan Ali.

Semuanya ingin tahu bagaimana kedudukan dan status Hasan Ali. Mereka tanya kenapa Hasan Ali bercakap tidak senada dengan parti. Ada yang lebih ganas bertanya kenapa Hasan Ali tiba-tiba jadi 'sinting'? Sinting bahasa Indonesia bermaksud gila.

Saya tahu Hasan tidak sampai ke tahap itu - yang perlu warded di mana-mana hospital gila. Masih ada orang lain yang lebih sinting. Tetapi orang yang tidak dapat menerima politik 'parodi' Hasan tidak dapat menerima tindakan dan kepetahan motivasi Exco Selangor itu.

Seorang pemimpin tertinggi Pas juga mengeluh kesal dengan apa yang Hasan lakukan. "Kata apa jadi dengan kawan kita ini?" Saya tidak menjawab pertanyaan itu kerana pada masa itu lebih perlu mengikut apakah yang hendak Anwar sampaikan kepada lebih 40,000 yang membanjiri padang Majlis Daerah Machang dan juga yang berhimpun di luar mengikut menerusi skrin besar kerana tidak ada ruang untuk masuk.

(Oh ada juga yang melihat ceramah di Machang malam tadi membuat hitungan hanya 4,000 saja. Pemerhati itu memberi tahu saya jumlahnya sekitar itu saja. Tidak menjadi masalah kerana memang ada manusia yang tahu membilang setakat 4,000 sahaja. Buta huruf dan pedal putus apa nak buat).

Biarlah saya tidak bercakap mengenai Hasan dalam suasana orang sedang memperhitungkan nasib Anwar dan juga bagaimana keadaan Pakatan Rakyat selepas ini sekiranya Anwar dipenjara. Sebabnya, apa yang disuarakan Hasan itu kontras dengan apa yang bermain dalam kepala umum. Orang ramai, khasnya yang hadir mendengar pidato Anwar dan menyokongnya, mahukan Anwar tidak dipenjara bagi memastikan agenda merampas Putrajaya lulus. Manakala Hasan pula cuba mempertahankan Putrajaya agar terus berada di tangan Umno.

Saya pulang ke Kelantan mengikut perjalanan Anwar itu untuk mengetahui bagaiman sambutan dan penerimaan rakyat Kelantan kepada Anwar. Saya tinggalkan cucu pertama (Muhammad Khalif Ummar) yang sedang dalam perjalanan pulang dari hospital ke rumah semata-mata untuk mengetahui sejauh mana sambutan dan penerimaan rakyat Kelantan terhadap Anwar. Jangan tanya apakah dia (Hasan) bakal diupah tetapi tindakan itu mempercayai Umno lebih Islamik dari partinya.

Jadi tidak eloklah kalau di acara kemuncak ceramah Anwar di Machang saya mencampur aduk isu atau soal-soal politik bilis patah kepala Hasan itu yang saya kira lebih kecil dari perca-perca meluku dalam senario politik Malaysia.

Mungkin orang meletak Hasan hebat. Pejuang bangsa dan pembela ad-din nombor wahid negara ini. Kan setiap langkah dan cakap Hasan akidah, akidah dan akidah. Hasan menentang arus perdana partinya kerana akidah. Elok kalau selepas ini kita kenali Hasan sebagai Hasan akidah.

Hasan petah dan cerdik setaraf dengan ilmu dan pendidikannya, tetapi bukan dengan saya barang kali untuk menerima kecerdikan dan intelek politik Hasan itu. Saya mengenal Hasan secara dekat tahun 2004 sewaktu beliau hendak bertanding Naib Presiden Pas. Dan pertama kali saya mendengar ucapan Hasan tahun 1999 di stadium Sultan Mohamad Ke IV di mana malam itu dia cuba mengajar rakyat Kelantan berpolitik. Walhal apa yang sudah diterima umum rakyat Kelantan adalah graduan politik yang paling hebat di negara ini ada keunikan sifat dan tindakan politiknya.

Ucapan ala-ala motivasi Hasan malam itu sampai bersembur air liur tidak ubah seperti mahu mengajar itik pandai berenang. Bagi rakyat Kelantan penampilan Hasan pada malam itu tidak kurang disenangi. Kerana sikap dan perangai orang Kelantan mereka tidak suka kalau mereka diajar keluar dari minda dan tradisi politik tradisi mereka. Orang Kelantan tidak mahu kepada politik smart learning seperti mana diajar oleh Hasan di dalam program-program summer camp kepada peserta berbayar.

Saya kenali Hasan dari dua keadaan itu. Jadi untuk apa saya mengulas lebih lanjut atau sibuk-sibuk menjadi bengong tidak tentu kalu dengan apa yang dilakukan sekarang ini. Aksi yang digunapakai Hasan sekarang ini sudah lapok dan ia sempurna di atas kertas atau di skrin dalam bilik-bilik kuliah saja. Hasan ingin cuba membawa sesuatu yang syumul mengikut pelajarannya dengan melupai akan kelaziman politik di negara ini.

Justeru elok kalau dibiarkan Hassan bersendiri. Dia tidak ubah seperti budak kecil yang menangis untuk menarik perhatian ramai. Di mana kalau makin diberi perhatian dia akan terus menangis kerana dia berfikir cara itu satu kebijaksanaan luar biasa, walhal tangisan itu membingit telinga dan mengambarkan dia belum baligh dalam siasah. Begitu juga kalau Hasan nak jadi pocong politik seperti beberapa yang lain jadilah.

Membaca laporan

Petang ini selepas kehabisan penat dan bermain dengan cucu saya membaca kenyataan dan laporan kenyataan Hasan Ali semalam dan malam tadi. Antara apa yang ditulis ialah Hasan menyeru mahasiswa agar tidak menghadiri himpunan 901 pada 9 Januri. Dia juga mengkritik tindakan Dr Rani Othman yang mengajak ahli Pas ke perhimpunan tersebut kerana himpunan itu bersifat peribadi mempertahankan Anwar. Dia juga dilaporkan berkata, dia lebih tua daripada Dr Rani yang mana maksud ayat itu mahu menggambarkan dia lebih dewasa, matang, lebih Islamik, lebih berakidah dan pandangan lebih jauh dari penggantinya untuk kerusi Pesuruhjaya Pas Selangor itu.

Saya ingin sebut di sini satu pelajaran mungkin tidak sempat dihafal dan dihayati Hassan. Dalam politik, kecil tidak bererti anak dan besar tidak bererti bapak. Dalam politik orang bodoh selalu menjadi pemimpin dan orang cerdik selalu menjadi pengikut yang pandir. Manakala orang terlebih cerdik akan terlebih langkah dan lomatan hingga ke luar pagar sempadan. Ini hakikat. Kalau Hasan cuba menafikan hakikat ini bermakna dia tidak wajar menyertai badan politik.

Saya sudah lama berpegang dan berkata begitu, politik sistem atau tatacaranya tersendiri yang sukar untuk difahami kerana ia bersifat rencam, Machiavelli. Makanya kalau kita tidak boleh menerima peraturan abnormal itu, nyah saja dari politik. Kita tidak seusai dan serasi dengan politik.

Kenapa saya tidak menyertai parti politik kerana sebab itulah. Jadi kalau Hasan sudah tidak boleh tahanan dengan politik, tektik dan strategi politik yang mana Abdul Hadi mengatakan fekah politik (Pas) nyah sahaja. Jangan sayangkan kepada kuasa keduduakn dan glamour keluarlah anda dari jerumun politik. Cara wadah baru atau bina wadah baru yang lebih demorkasi, lebih bijak dan lebih berakidah dari apa yang ada sekarang.

Buat apa anda menyusahkan diri anda dan juga menyakitikan hati orang lain. Politik bukan segala-galanya. Saya yakin kalau perjuangan Hasan benar dan betul para pengikut dan orang yang taksub dengan pendekatannya akan bersamanya. Bukan saja orang Pas, orang Umno juga. Hatta bekas pendolor punggung Anwar Ezam Mohamad Noor juga akan bersama Hasan.

Hasan harus membuktikan kehebatan dirinya dan dia jangan hanya berperasan hebat saja walhal ia tidak lebih dari tong kosong yang bakal tergolek di tepi longkang. Saya mengatakan ini berdasarkan apa yang pernah dilihat sebelum ini. Tetapi mungkin Hasan tokoh yang terkecuali dari itu, mungkin dia adalah sang mujadid yang dicari dan bukan pocong yang melompat-lompat di senja hari.

Hasan perlu memperakui status yang beliau capai hari ini, sebagai bekas ahli Parlimen (Parti Buntar) , bekas Adun Sungai Burung dan kini Adun Gombak Setia serta dilantik menjadi Exco Agama adalah atas kuasa dan kapasiti dia sebagai ahli Pas. Kalau pun dia baik dengan Sultan, dan boleh makan semeja dan berak setandas dengan orang tertentu kalau dia tidak menang pilihan raya dia tidak akan dapat dilantik sebagai Exco.

Jika Hasan merasa dia kuat, mendapat dokongan ribuan rakyat, dokongan Umno, dokongan istana saya cadangkan Hasan bertanding lagi dalam pilihan raya akan datang tetapi bukan atas tikit Pas. Mungkin beliau boleh gunakan Himpun Sejuta Umat untuk membantunya.

Sama-sama kita tenguk kekuatan Hasan sebenarnya. InsyaAllah perjuang suci, berlandaskan akidah, akidah dan akidah Hasan boleh menang. Jadi sementara itu Hasan janganlah menjadi si Hasan pencuri jambu yang dimarahi tok penghulu untuk memerli hati kawan-kawan lain.

Menurut bacaan siasah saya Hasan bukan lagi menjadi duri dalam daging kepada Pas tetapi Hasan adalah musuh yang sudah jelas dan terang benderang yang mana Pas juga perlu mengambil tindakan tegas termasuk memecatnya dari parti yang kini dianggap un Islamic dan bukan berakidah lagi. Hasan yang kalau sebelum ini adalah buah kepayang yang hendak ditelan pahit dan dibuang sayang, kini ia sudah menjadi kepayang yang sudah ketiadaan apa-apa rasa lagi. [wm.kl.5:57 pm 06/01/02]

Thursday, December 22, 2011

Menjolok Mentari

Hasan Ali Tidak Akan Sertai Umno?

BERDASARKAN kepada penjelasan dan pendirian serta teras perjuangannya seperti mana yang dinyatakan dalam program soal jawab di TV3 semalam saya tidak percaya kalau Hasan Ali akan menyertai Umno. Tawaran kepadanya untuk menyertai Umno akan sia-sia saja dan tidak lebih dari hemburan perasaan marah kerana beliau bersikap menyusahkan parti.

Menurut Hasan Ali dia dididik sejak dari kecil lagi dengan Islam. Ayah dan ibunya adalah guru Quran. Keluarganya banyak ke Timur Tengah. Ini bermakna dia sudah diasuh mengenali budaya yang dicerminkan dalam Quran dan berpegang kepada ayat-ayat Quran seawal usianya. Tidak ada guna kalau kita hafiz Quran tetapi tidak mahu mengikutinya. Saya tidak fikir Hasan hanya seorang orientalis.

Tiga asas besar yang ada dalam diri Hasan dan menjadi matlamat perjuangannya; Islam, bangsa Melayu dan menjaga institusi raja-raja Melayu. Sekaligus ini juga teras yang diperjuangkan oleh Umno pada masa kini walaupun Umno dilihat hanya bermain dengan ketiga-tiga teras dan matlamat yang serupa dengan Hasan itu sebagai memasung sentimen orang Melayu semata-mata.

Umno memang diwujudkan untuk memperjuangkan Melayu. Tetapi kita semua dapat menilai dan mengkaji sejauh mana Umno telah membawa Melayu keluar dari serkup tradisi dalam segala bidang. Umno tidak jujur dengan janji perjuangannya. Usahkan ekonomi, dari segi kebudayaan pun Melayu sudah hilang identiti. Agama jauh sekali. Jadi bagaimana boleh kita katakan Umno mengotakan janji perjuangannya.

Umum juga tahu macam mana persendaan Umno kepada Islam, kepada raja-raja Melayu. Raja-raja Melayu Umno hanya menjadi modal dan perlindungan saja tatkala parti itu bermasalah. Raja-raja Melayu adalah tali hayat kepada Umno. Peristiwa penghinaan ke atas raja-raja pada Umno di era Mahathir sudah tercatat dalam sejarah. Tetapi nasib baik Raja-raja Melayu bukan golongan yang emosi.

Tidak mengapa kalau asas itu hendak dibaik pulih oleh Umno dan menjadi keterliuran Hasan kepadanya. Namun saya tidak yakin Hasan akan menyertai parti berkenaan. Kenapa saya berkata begitu, kerana Hasan mengatakan dia tertarik dengan Pas sebab kepimpinan ulamak dalam Pas. Dia menyertai Pas kerana kagum dengan ulamak dan mahu menumpang ilmu ulamak. Perjuangan ulamak serasi dengan aspirasinya dan menyentuh kalbunya.

Tetapi kenapa dia sedikit terganjak dengan Pas ialah kerana berlaku perubahan dalam kepimpinan ulamak. Penguasaan ulamak dalam Pas kini sudah kurang separuh. Menurut perangkaan Hasan ulamak hanya ada sekitar 35 peratus saja selebih golongan profesional dan sekular seperti dia.

Mungkin kita boleh akui akan perubahan itu kerana tuntutan politik semasa. Sepatutnya Hasan kena faham Pas adalah badan siasah bukan saja badan dakwah dan tarbiyah. Pas perlu pragamtik kalau mahukan kepada kuasa. Sudah ada pegangan dan kepercayaan dalam Pas mereka memerlukan kuasa untuk melaksanakan cita-cita perjuangan. Jadi tanpa perubahan, pendekatan baru Pas akan kekal seperti sebelum ini.

Perubahan dalam Pas dilakukan oleh bukan seorang atau segelintir tetapi dilakukan oleh ahli dalam muktamar. Perwakilan yang memilih pemimpin mereka, pemimpin Pas bukan dipilih oleh mana-mana veto di luar Pas. Mungkin Hasan akan berhujah kerana golongan itu berkempen untuk menang dan ulamak tidak. Jadi siapa salah dan bebal dalam soal ini. Sepatutnya untuk mempertahankan ulamak Hasan kena berkempen mempertahankan ulamak, kena bercerita kehebatan ulamak atau pun beliau sesama menjadi Naib Presiden dulu patut ke depan memperjuangkan ulamak. Apakah Hasan berbuat begitu atau terlupa?

Bukankah dia mempunyai aura yang hebat. Yang datang ke tempat ceramahnya, masyaAllah bukan puluhan tetapi ribuan. Nah gunakan kebolehan dan kepetahan Hasan untuk memukau ahli Pas yang menjadi perwakilan muktamar. Tetapi kenapa tidak berlaku? Hasan kena renung, kena tepuk dada dan tanya diri sendiri. Tentu adalah sebab musababnya orang yang macam Mohamad Sabu, macam Mahfuz Omar yang bankrup idea politik boleh menang.

Itu realiti politik yang pada saya gagal dihayati dan dicerakinkan oleh Hasan. Politik San... bukan sekadar retorik... bukan sahaja petah bercakap dan mengemukaan teori itu dan ini. Politik bukan saja proposal atau kertas kerja, bukan motivasi saja, tetapi politik kena turun ke bawah dan meniarap di pasir. Ada pun Mat Sabu dan Mahfuz walaupun mereka bukan lulusan Phd dari Amerika tetapi mereka turun mengharung air selut dengan rakyat, siang malam bertabuh dengan rakyat tidak kira di mana.

Cara dan profesional yang Hasan ada melayakkan dia menjadi ketua kepada Ngo dalam bidang profesional bukannya gerakan massa seperti parti 'padi dan surau' seperti Pas. Di sini saya tidak mahu membangkitkan Hasan berubah kerana dia kecewa. Kerana adalah naif kalau orang hebat seperti Hasan kelumit-kelumit kekecewaan itu ada kepadanya.

Hasan tidak akan sertai Umno kenapa? Sebab berpandukan kepada naluri dan pegangan Hasan tadi. Saya nak tanya berapa peratuskah ulamak ada dalam Umno, kalau-kalau ia sudah memukau hati Hasan. Apakah melebihi 35 peratus yang ada dalam Pas mengikut tafsiran Hasan sekarang ini? Saya tak nak jawab, kita sama-sama menjawab.

Sambil kita memperakui kepimpinan dalam Pas kini bukan ulamak, bukan orang seperti Nasrudin Hasan berserban sebesar bakul, dan bercincin besar berwarna hijau, atau berjanggut sampai ke lutut, atau pun memiliki roman ulama, tetapi saya rasa mereka lebih ulamak dari para pemimpin Umno hari ini termasuk ustaz yang mengetuai biro agama Umno.

Pemikiran, syaksyiah, pembawaan dan sosial mereka - para pemimpin Pas jauh lebih baik berbanding dengan pemimpin Umno. Tidak usah pergi jauh pergi saja kepada masalah rasuah, hidup mewah, cara pergaualan, mengurus mesyuarat dan sebagainya, cara mereka lebih Islamik berbanding dengan Umno. Walaupun mereka tidak berserban sebesar bakul, berkopiah tajam sehingga boleh sembelih burung, (kata bekas ketua penerangan Umno Terengganu Wan Abdul Kadir Wan Ismail) tetapi mereka sudah ada terbiyah Pas, mereka sudah diasak dengan doktrin politik Islam.

Mereka adalah seperti Hasan itu juga. Hasan profesional dan sekular tetapi di hati kecil Hasan adalah tersemainya benih Islam. Jadi mereka juga begitu. Kenapa kalau Hasan boleh menerima dirinya yang ada hari ini, bukan berserban seperti Nasrudin Hasan, Abdul Hadi Awang, berkopiah merah seperti Ahmad Awang, tetapi tidak boleh menerima Mohamad Sabu, Sallahuddin Ayub, Mahfuz Omar, Husam Musa, Mujahid Yusuf Rasa? Bukankah mereka juga berlatar belakang dan mendapat tarbiyah seperti San?

Jauhlah merasa hanya diri kita saja sayangkan Islam, cintakan Melayu dan sanjung raja-raja Melayu sebaliknya orang lain tidak. Orang lain mungkin tidak menyebut, tetapi tidak bermakna mereka tidak ada perasaan-perasaan dan tanggungjawab itu. Bersikap dan berpandangan sebegitu adalah orang yang berperasaan. Ditimpa perasaan ini jauh lebih bahaya dari ditimpa batang balak.

Kalau Hasan menyedari apa yang saya kata ini dia tidak akan menyertai Umno. Tetapi bukan bermakna saya secara peribadi hendak menyakat Hasan menyertai Umno, tidak... tetapi saya yakin kalau apa yang terkandung di dalam hatinya hendak diterjemahkan menerusi Umno ia tidak akan menjadi kenyataan. Buruk atau baik perjuangan suci Hasan berasaskan kepada tiga teras itu hanya sesuai diperjuangkan dalam Pas dan bukan wadah lain. Dan saya tidak mengira Pas rugi besar juga kalau Hasan mengembara mencari bukit baru dalam Umno.

Bertolak dari hakikat itu saya merasakan Hasan tidak akan menyertai Umno, melainkan dia akan menubuhkan sebuah Ngo baru sebagai wadahnya yang akan diharapkan mendapat sokongan Umno dan Pas. Apakah Hasan berkemampuan untuk membuka tanah rancangan baru? Kita tenguk sebab detik dan minit terus berjalan dan berjalan, manakala penerawangan Hasan tetap juga akan berhenti di mana-mana. [wm.kl.10:00 am 22/12/11]

Friday, December 9, 2011

Hasan Ali

Cerita Hasan Mungkin Tidak Dicalon Terlalu Awal

APAKAH motif Ketua Penerangan Pas Selangor Saari Sungip membuat penjelasan mengenai kedudukan bekas Pesuruhjaya Pas negeri itu Hasan Ali kemungkinan tidak akan dicalonkan untuk pilihan raya umum ke-13 nanti. Alasan yang diberikan ialah kerana Hassan kurang mendapat pencalonan di peringkat kawasan.

Menurut Saari, nama Hasan berada di bawah tiga individu lain yang dicadangkan oleh kawasan di mana kerusi yang disandang kini Gombak Setia, kedudukan itu menyebabkan Hasan tidak layak kerana hanya tiga calon yang mendapat undi terbanyak saja layak untuk dipertimbangkang menjadi calon.

Sudah pasti bila Saari membuat penjelasan itu ada motif tertentu. Ia bukan saja-saja hendak melepaskan kata. Apakah ia merupakan mesej bahawa Hasan tidak akan dipilih untuk jadi calon disebabkan beberapa isu kontroversi ditimbulkan Hasan dan dikira telah merosakan parti sebelum ini, begitukah?

Ataupun ia sebagai testing terhadap pengaruh Hasan di Selangor yang digambarkan oleh media massa tertentu begitu meluas sekali di samping dia juga mendapat sokongan kerajaan. Atau testing juga kepada Hasan sendiri untuk menyatakan sikap beliau terhadap Pas ekoran tindak tanduknya yang tidak direstui parti?

Pada saya kalaulah itu alasan diberikan Saari Sungip ia kurang tepat dan bijaksana. Ia seolah membuka budu di tengah kedai dan kurang rempah politik. Tidak semestinya calon yang mendapat sokongan dari kawasan yang hanya boleh dipertimbangkan. Sebelum ini berapa ramai calon Pas untuk sesuatu kawasan tidak pun mendapat sokongan atau perlu sokongan kawasan. Itu... calon bidan terjun tidak pun memerlu tapisan kawasan.

Tetapi mereka diletakkan juga atas kapasiti untuk membantu parti. Kawasan pula menerima ada dasar samiat na watha na. Pas berbeza dengan parti-parti lain dan inilah mengukuh dan mengistimewakan Pas.

Berasaskan itu Saari sepatutnya tidak menyuara mengenai kedudukan Hasan begitu. Pada saya banyak buruk daripada baik dengan apa yang Saari lakukan. Kalaupun Hasan hendak digugurkan kerana dia memberi reputasi buruk kepada Pas, janganlah dibuat sekarang kerana pilihan raya masih jauh.

Atau pun seperti dikatakan tadi Pas Selangor hendak menguji sejauh mana Hasan akan menjadi masalah kepada Pas. Juga menguji sejauh mana ketulusan Hasan. Hasan sendiri pernah berkata beliau sedia dipecat kalau tindakan beliau membela Jais yang membuat serbuah ke gereja itu bagi menyatakan pendirian tegasnya dalam memperjuangkan akidah.

Hasan mengaitkan tindak tanduk itu dengan akidah. Tetapi apakah pula pendirian beliau mempertahankan Khusarin yang dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Selangor satu masa dulu juga atas prinsip akidah?

Bagi pandangan saya juga apa yang Saari lakukan itu kurang baik kerana ia boleh menimbulkan suasana tidak manis bagi Pas. Sudah tentu selepas ini penjelasan Saari itu akan jadi isu. Saari sepatutnya tidak membuka mulut awal-awal. Senyapkan dulu dan jangan bermurah sangat dengan media massa. Buruknya mesra media Saari itu akan dianggap sebagai dendam.

Musuh senantiasa mengintai peluang untuk menganggu Pas. Media massa penjilat buntut terutamanya akan cuba mendapat ulasan Hasan mengenai perkara itu. Dan Hasan pula yang dilihat mesra dengan media massa penjilat buntut tidak dapat mengelak dan akan memberi ulasan kalau tidak hari ini, esok kalau tidak esok lusa. Ulasan itu pula akan dijawab oleh sebelah sini, maka ia akan berleluasa dan berpanjanganlah polimeknya.

Polimek itu kalau tidak dapat dibatasi akan menambahkan masalah dalam Pas dan juga PKR. Sebab Hasan bukan kecil anak, ada pihak akan cuba melindungi dan bertindak menjadi suaka politik kepadanya. Kalau kebetulan Hasan pula merasakan dirinya tersisih dan sudah tidak berguna lagi saat ini prinsip seseorang hatta dia seorang ahli pakar motivasi boleh goncang juga.

Harap Hasan tidak mengambil kira sangat dengan pandangan Saari itu. Soal dicalon atau tidak bukan semata-mata bergantung kepada kawasan atau negeri. Kuasa memilih calon dalam Pas terletak di tangan Presiden parti. Layak atau tidak akan ditentukan pula oleh majlis syura ulama. Lainlah kalau Presiden juga tersihir dengan kenyataan Saari itu tidak mustahil Hasan akan tersepak keluar, tidak akan dicalonkan.

Jasa dan budi Hasan bukan sedikit. Saya percaya Presiden Abdul Hadi Awang tidak mudah 'semabur' di dalam hal ini. Hassan pula kalau benar tidak akan terpilih hendaklah sedia mengotakan kata-katanya, "saya redha kalau saya tidak diperlukan lagi" itu ayat yang Hassan pernah lafazkan. Hasan dan sesiapa belajarlah menjadi jiwa besar seperti Khalid al Walid. Masalahnya ada dalam Pas jiwanya sekecil hati lipas, sekali kena terus tercabut kedua belah kepak. [wm.kl.7:55 pm 10/12/11]

Sunday, August 7, 2011

Sesudah Subuh

Hasan Tidak Patut Jinakan Diri Dengan Utusan

HARI ini ada dua berita yang disiarkan oleh Mingguan Malaysia (MM) yang saya merasakan penyiarannya bermotif politik yang sangat jelas, bukan atas semangat kebebasan bersuara ataupun menempati prinsip-prinsip journalisme. Dua berita itu ialah, penegasan Exco Selangor Hasan Ali yang mengatakan dia rela dipecat demi kepentingan akidah umat Islam. Berita berkenaan disiarkan di muka hadapan di jadikan headline dengan judul "Saya rela dipecat."

Berita kedua di sebelah dalam mengenai kenyataan Timbalan Dewan Pemuda Pas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz. Antara lain berita itu melaporkan Nik Abdul menggesa supaya pemimpin Islam sepakat dalam isu akidah. Berita itu dibawah tajuk "Pemimpin Melayu perlu bersatu dalam isu akidah."

Kalau dibaca kepada tajuk laporan itu tidak menyeleweng ia merupakan pendirian dan sikap yang terpuji dan hasanah. Misalnya Hasan sedia untuk dipecat oleh parti dan juga digugurkan dari jawatan Exco kerana tindakannya itu. Ini bermakna beliau yakin dengan apa yang dilakukan. Laporan itu juga memberi gambaran Hasan adalah hero dalam membela Islam di Selangor.

Saya setuju atas ketegasan dan tanggungjawab Hasan. Sesiapa pun dan pada bila-bila masa tidak boleh bertolak ansur dalam soal agama atau akidah. Bila ada unsur cuba merosakkan keimanan orang Islam ia hendaklah diperangi habis-habisan. Apa lagi kalau orang itu mempunyai kuasa. Dalam konteks ini peranan dan tanggungjawab menjaga kesucian agama lebih penting dari menjaga kuasa politik.

Benar begitu. Kerana Allah dan Nabi menuntut menjaga kesucian dan maruah itu. Tahap penjagaan bukan saja setakat kena pecat dari jawatan hatta walaupun terpaksa menggadai nyawa sekalipun. Kerana mati di dalam agama adalah mati syahid. Kebanyakan para tabin dan sahabat Rasulullah s.a.w. syahid kerana mempertahankan kesucian agama Islam. Dan semua kita merindui syurga akhirat.

Bagaimana pun di sini satu perkara yang Hasan kena fikirkan dan orang lain juga; dalam konteks Hasan itu bukankan dia bersuara itu dari kuasa politik? Maksudnya kedudukkanya itu terhasil dari kuasa politik. Setelah partinya menang kemudian membentuk kerajaan PR Selangor lalu melantik beliau sebagai Exco? Kuasa politiklah yang melantik beliau dan beliau berada di situ adalah kerana politik.

Kita faham perlantikan itu amanah yang perlu dipikul. Satu tanggungjawab yang bukan boleh dimain-mainkan. Tetapi apa yang perlu diawasi ialah beliau harus bijaksana dalam melaksanakan tanggungjawab menerusi kuasa itu. Tanggungjawab Exco dalam membela agama bukan setinggi tanggungjawab Mufti yang dilantik khas oleh Sultan yang mempunyai bidang kuasa mutlak ke atas agama. Perlantikan Hasan adalah perlantikan menerusi instrumen politik.

Di sini kepentingan politik (kuasa) itu tidak kurang peri mustahaknya. Hasan tidak boleh bercakap seperti hari ini dan nilai suaranya tidak sehebat hari ini kalau beliau tidak seorang anggota Exco. Kalau tidak percaya cuba.. Hasan bercakap atas kapasiti dan kediriannya sebagai Hasan atau sebagai seorang fasilitator atau moderator yang handal. Nescaya kenyataanya tidak ada nilai langsung. Dia tidak pun akan diberikan ruang prime di akhbar berkenaan.

Apa yang saya hendak katakan di sini, maslahat mendapat kuasa politik (seperti hari) ini dan maslahat hendak menjaga agama itu sama penting. Jadi apabila Hasan mengatakan dia sanggup digugur atau dipecat adalah satu kenyataan yang merugikan dirinya dan merugikan umat Islam seluruhnya kandati pemecatan demi agama. Dari sudut lain kenyataan itu ada nada angkuh dan sombong.

Untuk menunjukkan keberanian dalam menegakkan kebenaran Hasan tidak perlu menjawab pertanayan soalan wartawan yang dipetik dari satu andaian direka-reka oleh manusia yang rosak akidah politik itu. Wartawan MM itu melontarkan pertanyaan itu setelah mementik andaian dibuat oleh seorang blogger yang juga ahli Parlimen yang kini demam akan kehilangan kerusi.

Sepatutnya Hasan tidak melayani persoalan itu dengan mengeluarkan pengakuan sejujur itu. Beliau boleh berhenti setakat mengatakan sekiranya parti merasakan tindakannya tidak benar dan bertentangan, terserah kepada parti. Tetapi apabila beliau meluahkan pengakuan begitu seolah beliau mencabar partinya dan meletakkan beliau dalam keadaan 100 peratus betul. Sikap merasakan kita betul, hebat dan tepat adalah bukan sifat mazmumah.

Kita memahami perasaan pejuang seperti Hasan. Dia mahu membela Islam dan bangsa. Mungkin luahan itu dilayani kerana kekecewaannya kepada parti yang tidak menyokongnya. Itu tidak menjadi masalah, sebagai pemimpin dan orang mukmin Hasan sudah terlepas dari dosa. Mempertahankan kesucian agama dalam bentuk itu adalah kewajiban umum (fardu kifayah). Hasan harus merasa senang kerana usaha itu telah memerdekakan orang lain dari menanggung dosa. Tindakannya sudah mendapat pahala.

Hasan tidak boleh mengharap segala masalah selesai dalam satu malam saja. Kain tidak akan kering kalau disidai di hari senja. Kuasa politik yang ada kepadanya adalah sedikit saja. Beliau sangat mengharapkan keberanian dan conscience beliau terhadap Islam beliau disokong oleh umat Islam lain. Tetapi apabila ada rakan sendiri yang skeptikal dengan usahanya inilah menyebabkan beliau kecewa dan sanggup untuk diambil tindakan oleh parti.

Semua yang Hasan lakukan itu betul, dari nawaitu kepada syariahnya. Cuma silapnya Hasan di sini menggunakan wadah milik parti lawan untuk meluahkan kekecewa dan membela diri. Sepatut beliau sedar akan realiti itu. Hasan boleh berkawan dengan wartawan atau penerbit, tetapi Hasan tidak boleh menerima atau berkawan dengan akhbar berkenaan yang ada agendanya sendiri. Inilah yang saya nampak satu kesilapan Hasan.

Apa yang hendak saya huraikan dan persoalkan di sini kenapa Hasan dan juga Nik Abduh memberi ruang kepada akhbar berkenaan untuk memberi semangat dan membela kepada mereka. Iya, mungkin kerana akhbar lidah parti tidak bersedia berkerjasama, memberi siaran kepada Hasan. Tetapi Hasan harus pandai menilai mana lebih menguntungkan dirinya dan politiknya dari MM yang menyiarkan kenyataan bersifat adu domba dengan akhabr lidah parti yang tidak menyiarkan kenyataanya, dan terlepas dari adu domba?

Kenyataan atau berita Hasan hari ini sudah tentu akan menjadi perhatian. Saya sangat merasakan tindakan MM memberi ruang begitu besar adalah untuk memerangkap Hasan dan juga Pas. Akhabr itu sudah tahu yang Pas akan mengadakan mesyuarat jawatankuasa hari ini. Mesyuarat itu tidak akan terlepas membincangkan soal serbuan gereja oleh Jais itu. Jadi apa yang diharap akhbar berkenaan mesyuarat Pas itu akan menghimpit Hasan. Kemuncak harapannya ialah Hasan akan terpelanting dan kalau itu berlaku maka berjayalah akhbar berkenaan mencaing-caingkan Pas agar memudahkan Umno merampas Selangor.

Sama ada sedar atau tidak cara Hasan itu telah membantu musuhnya sendiri. Kalau kebetulan pula ada ahli jawatankuasa yang berkepala panas, mereka akan mengusulkan apa-apa cadangan yang boleh membawa kepada kemusnahan Hasan dalam politik dan juga Pas. Tetapi saya berdoa berkat Ramadhan al Mubarak ini tidak adalah apa-apa yang tidak baik dalam mesyuarat itu kelak.

Saya lihat kemesraan Hasan dengan akhbar Umno itu bukan hari ini saja, tetapi sudah lama. Beberapa isu-isu lain sebelum ini memperlihatkan akan kejinakan Hasan dengan akhbar itu. Hasan senang dan selesa menggunakan wadah berkenaan. Sikap Hasan ini bertentangan dengan partinya yang kurang selesa dengan akhbar itu.

Kemesraan inilah yang memberi liabiliti kepada Hasan. Menyebabkan parti mencurigai beliau. Betapa baik, ikhlas dan molek hasrat Hasan dan kenyataannya dalam akhabr itu, ia tetap akan diprejudis kerana ia disiarkan oleh akhbar itu. Walhal sepatutnya itu hak Hasan, tetapi itulah hukum alam yang patut diketahui oleh Hasan. Selagi beliau berada dalam jelumun politik beliau tidak akan terlepas dari hukum dan peraturan klasik itu. Politik itu penuh dengan persepsi dan sedikit sangat realitinya.

Untuk tidak terus dibaham delima dan rasa serba salah dan berdosa, elok kalau Hasan membuat mahasabah. Istikharah. Kalau sudah tidak betah untuk mengikut lenggang lengguk perlarian politik, bersaralah dengan baik. Undur saja secara sukarela dan carilah wadah yang lebih harmoni dan bukannya meminta parti untuk bertindak ke atas kita.

Tetapi saya percaya, kehandalan dan kehebatan Hasan dalam pancak mempertahankan agama selepas ini tidak sebesar kuasa yang dimilikinya kini. Tidak percaya cubalah buat. Sudah banyak sejarah pejuang-pejuang agama (mujhidin) yang berada atas landasan politik, yang sebelum ini tersebut, tersohor tetapi setelah terkehel dari rahang politik mereka diam membisu menjadi ular air yang kesirnaan bisa.

Sesungguhnya hukum karma dalam buana politik sangat menakutkan. Tepatlah kata bidalan, politik itu membeliti seluruh sendi-sendi kehidupan. Politik itu bagaikan ular sawa yang sentimental menjerut dan mematahkan tulang temulang mangsanya sehingga lemah longlai. Wahalahu'alam. [wm.kl.7:04 am 07/08/11]