Showing posts with label Nasharudin Mat Isa. Show all posts
Showing posts with label Nasharudin Mat Isa. Show all posts

Tuesday, September 11, 2012

Tiada Tindakan Ke Atas Nasharudin Mengecewakan Media PB

SESUDAH SUBUH                                                                                                      

Tindakan bijak Majlis Syura Ulamak dan juga Jawatankuasa Pas Pusat tidak membincang dan mengenakan apa-apa tindakan ke atas Nasharudin Mat Isa berjaya mengecewakan beberapa pihak yang mengharap Pas akan berpecah belah menyebabkan pihak berkenaan mengeluarkan ulasan dan pandangan sinis memukul Pas dengan tindakan itu.

Nasharudin membuat kenyataan bersama semasa di Sarawak.
Media penjilat buntut membuat tuduhan kononnya golonagn Anwar Ibrahim kecewa dengan keputusan Pas itu. Ulas akhbar berkenaan, golongan Anwar sebelum ini beriya untuk melihat Nasharudin dipecat oleh Pas sehingga memfitnah Anwar mengecek Nik Aziz agar bertindak ke atas Nasharudin.

Beberapa individu, termasuk seorang tokoh 'jubah carik' telah digunakan akhbar berkenaan dan individu itu juga sanggup membuat fitnah kononnya pemergian Anwar ke Kota Bharu berjumpa Nik Aziz bagi mempengaruhi Nik Aziz agar bertindak ke atas ahli Parlimen Bachok berkenaan.

Nik Aziz selaku Mursyidul Am hadir ke mesyuarat berkenaan kemudian menyerahkan kepada timbalannya Dr Haron Din untuk mempengerusikan mesyuarat yang diadakan malam kelamarin. Tindakan Nik Aziz itu adalah sebagai mengambil jalan selamat dalam kes berkenaan. Semua harus faham sebelum ini Nik Aziz pernah 'menghalau' Nasharudin keluar Pas kerana tindak tanduk bekas timbalan presiden Pas itu menjadi sampah kepada Pas apabila mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan pemimpin tertinggi Umno untuk menjalinkan kerjasama politik.

Keputusan Majlis Syura Ulamak itu juga mengecewakan seorang bekas ahli Pas yang dilihat intim dan mahu melihat Nasharudin menjadi sahabatnya dalam menyerang dan memburukkan Pas. Individu itu menuduh kenyataan Abdul Hadi Awang yang menjelaskan isu Nasharudin tidak disentuh dalam mesyuarat sebagai satu retorik semata-mata. Beliau mempersoalkan masakan selama mesyuarat tidak sedikit pun bincang hal Nasharudin. Pertanyaannya, kenapa anda perlu mempersoalkan tindakan Pas itu sedangkan anda bukan sesiapa lagi dengan Pas melainkan beas.

Bekas lebih kurang macam mangkuk tandas sahaja?

Bekas ahli Pas itu beriya-iya supaya isu Nasharudin disentuh, dan lebih diingini lagi Nasharudin dikenakan tindakan pecat sepertinya kerana kalau Nasharudin dipecat mudahlah untuk beliau menjalankan perniagaan bersama Nasharudin menyerang Pas. Jelas sekali niat busuk individu berkenaan yang kononya padat dengan ilmu agama, intelektual dan seorang yang khatam Qur'an sewaktu 12 tahun. Individu itu mungkin sudah termakan ajakan Mahathir Mohamad agar berkawan dengan syaitan dikenali.

Sudah tentu dengan adanya rakan dia akan dapat membuat penjelajahan di seluruh negara mengkritik Pas dalam masa sama memburukkan Anwar Ibrahim. Dan apa diharap disebalik penerangan itu ialah wang upahan dari agensi tertentu di alam Umno. Individu berkenaan kini kekeringan wang setelah tidak lagi menjawat jawatan tinggi dalam politik. Apakah dia terdesak untuk menguruskan rumah tangganya yang mempunyai dua dapur?

Setiap majlis penerangan dan serangan Pas diadakan individu berkenaan bersama sebuah Ngonya akan menerima upahan dikatakan di antara RM50,000 hingga RM100,000. Sejumlah wang telah disalurkan kepada Ngo berkenaan untuk tujuan upahan dan bayar kepada kerja-kerja memburukkan Pas. Sebuah kementerian telah menyumbang sebanyak RM300,000 kepada Ngo berkenaan bagi tujuan pembukaan opis dan pembelian peralatan fitnah.

Kesimpulannya tindakan bijak Majlis Syura Ulamak yang tentunya atas nasihat Jawatankuasa Kerja Pas itu mematikan langkah individu berkenaan yang sudah lama bersekongkol dengan media penjilat buntut. Media itu juga kekeringan modal untuk menghentam Pas dan terpaksa membelek isu lama dan mengambil semula sekalian orang yang dicemuhnya selama ini untuk dijadikan sumber.

Dalam pada itu saya cukup yakin selepas ini Nasharudin akan sekali lagi digunakan untuk membuat kenyataan-kenyataan menyinggung Pas bagi membolehkan dendam mereka tercapai untuk melihat Pas berpecah belah sesama sendiri. Justeru kalau Nasharudin masih mengenang Pas beliau harus berhati-hati dan tidak mengeluarkan pendapatan yang boleh menimbulkan kontroversi. Manakala ahli Pas terutamanya pemimpin atasan tidak perlu membuka mulut lagi untuk mengulas apa-apa yang bakal terjadi.  [wm.kl.7:31 am 11/09/12]

Sunday, September 9, 2012

Tiada Tindakan Ke Atas Nasharudin, Beliau Masih Ahli Majlis Syura

TERKINI

Majlis Syura Ulamak Pas yang telah bersidang kira-kira jam 9:20 minit malam tadi telah pun selesai mesyuarat. Mesyuarat yang ditunggu-tunggu kerana ia dikatakan membincangkan kedudukan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa tidak memberi sebarang kejutan.

Nasharudin hadir di majlis berkenaan dan tidak ada apa-apa tindakan dibuat. Nasharudin masih seorang anggota majlis yura. Keputusan ini sesuatu yang bijak dan ia tentulah mengecewakan pihak-pihak yang mahu melihat Pas berkecamukkan sesama sendiri menerusi isu Nasharudin ini.

Pihak musuh Pas yang kian naif dan miskin isu menanti untuk menjaja isu Nasharudin kononnya dipecat oleh Pas. Atas keputusan bijak dan matang malam ini diucapkan berbanyak terima kasih. Tentu semua ahli Pas baik yang sayang kepada Nasharudin atau yang terkilan akan dapat tidur dengan nyenyak dan bermimpi indah UBN akan tumbang.

Kepada Nasharudin semoga selepas ini lebih berhati-hati dalam mengeluarkan apa-apa kenyataan atau memperagakan diri agar tidak menjadi isu. [wm.kl.11:26 pm 09/09/12]

Majlis Syura Tidak Perlu Bincang Hal Nasharudin

SESUDAH SUBUH

Malam ini Majlis Syura Ulamak akan mengadakan mesyuarat rutin bulanannya. Mesyuarat itu akan dipengerusi Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat yang kini sudah berada di ibu kota. Mesyuarat malam ini sudah pasti menjadi tumpuan dan dinanti-nanti media massa. Begitu juga ia sedang ditunggu oleh musuh-musuh Pas yang mahu melihat keputusan mesyuarat itu nanti akan membuahkan sesuatu yang kurang manis untuk dijadikan modal politik menghentam Pas. Itulah yang didoakan mereka.

Nasharudin: Biar dia pilih jalan sendiri.
Musuh Pas sangat berharap isu bekas timbalan presiden Pas, Nasharudin Mat Isa yang baru-baru ini 'sengaja' mendampingi perdana menteri Najib Razak semasa PM itu berjumpa dengan dua orang Mesir berjanggut di Makkah akan dibincang dan seterusnya diambil tindakan. 

Penampilan Nasharudin dengan PM menyebabkan beberapa hari peristiwa itu menjadi bahan berita. Termasuk beberapa orang anggota majlis syura juga turut 'disampuk hantu' mengulas isu yang sengaja dimainkan oleh media massa itu. Dua tiga orang anggota majlis itu memberi komen mempertahankan sikap Nasharudin dan memberi isyarat agar ia tidak dipengapa-apakan.

Pendirian awal anggota majlis syura itu dilihat tidak wajar dan mempengaruhi apa-apa perbincangan terhadap Nasharudin Mat Isa malam ini kalau diadakan. Kenapa tidak wajar kerana mereka selaku badan kehakiman tidak sepatutnya mengulas sesuatu isu yang mungkin dibincangkan. Inilah masalah berlaku di kalangan pemimpin Pas mereka selalunya dihidapi penyakit suka bercakap. Kalau boleh semua pihak cubalah berpuasa mulut dalam mengulas isu-isu yang boleh menyenakkan parti.

Jadi kerana kesampukan itu adalah elok sekali kalau majlis syura ulamak yang akan bersidang malam ini tidak membincangkan isu mengenai Nasharudin. Sebaiknya jangan disentuh dan diulas langsung. Juga tidak perlu diadakan sidang akhbar bagi menjawab mengenai perkara itu. Pastikan nama Nasharudin Mat Isa tidak disebut pun dalam sepanjang mesyuarat itu. Semua ahli majlis syura jangan sesekali membawa keluar apa juga butiran atau pun sikap ahli majlis syura di sepanjang mesyuarat itu. Jagalah rahsia dan bersikap amanahlah.

Tindakan ini lebih baik untuk menutup kes berkenaan agar ia tidak menjadi panjang dan diecerkan. Nescaya kalau isu Nasharudin dibincangkan malam ini ia membuka semula isu berkenana yang kini sudah hampir dilupakan kepada umum dan akan menjadi makanan lazat media massa. Media massa yang menjadi penjilat buntut akan eksploi isu berkenaan dan menghidupkan semula soal Nasharudin ini. Ini mereka nanti-nantikan.

Semua pihak kena faham musuh Pas suka kalau soal Nasharudin itu dibincangkan kerana mereka ada modal untuk mengungkitnya kembali. Hari ini Nasharudin tidak menjadi isu lagi. Jika ia dibuka semula malam ini Nasharudin akan terus menjadi isu. Dalam saat pilihan raya makin dekat Pas dari semua sudut dan oleh semua orang hendaklah lebih berhati-hati dan bersikap waras. Emosi yang berlebihan akan membawa parah.

Kalau isu Nasharudin ini tidak disebut dan dibicnangkan pun ia tidak menjadi masalah ia tidak akan memberi apa-apa kesan kepada Pas, untung pun tidak rugi pun bukan. Paling-paling Nasharudin atau media yang menyokongnya akan mengulas Pas takut kepada Nasharudin setakat itu saja... dan biarkanlah.

Untuk memastikan ini... jangan masukkan isu Nasharudin di dalam agenda mesyuarat dan jangan ada sesiapa bangkit dalam agenda hal-hal lain. Jangan ada juga sesiapa di kalangan anggota majlis syura gatal mulut untuk bercakap mengenai Nashardin dan kalau hendak bercakap juga biarlah sepakat dengan keputusan kita jangan pedulikan dia.

Paling afdal ialah tutup mulut dari menyebut namanya, habis cerita. Sama ada Nasharudin hendak kekal dalam Pas, hendak mengkritik Pas memuji Umno terpulang kepadanya. Pas bukan baru sekarang hendak merasai kehilangan bekas pemimpin tertingginya tetapi sudah acap kali. Jadi apa perlu dibimbangi.

Nasharudin hanya sebutir benih yang pernah disemai di dalam Pas tetapi sudah mula membakut hanya disebabkan semusim kemarau. Benih yang kuat dan ulit itu akan sanggup dibahan kemarau berdekad bahkan berabad sebelum ia akan tumbuh menjadi pokok yang besar, gagah dan berbuah. Usahkan sebulan kemarau seabad bah pun ia tetap utuh. [wm.kl.7:19 am 09/09/12]

Friday, August 24, 2012

Jawatan Kuasa Kerja Pas Tidak Perlu Bincang Nasharudin

SUSUPAN SENJA

Harap mesyuarat jawatankuasa Pas Pusat yang akan bersidang esok tidak membincangkan soal bekas timbalan presiden parti Nasharudin Mat Isa. Tidak ada apa sebenarnya untuk dibincang soal beliau kerana isu yang dicetuskan baru ini tidak menjadi kudis gatal kepada Pas.  Pas perlu anggap kenyataan beliau meminta Pas kaji kedudukan Pas dalam Pakatan Rakyat sebagai gesaan ahli yang terlupa tarikh muktamar saja.

Penampilannya dengan Najib Razak ketika berjumpa dengan dua orang Arab berjangguit di Makkah Pas boleh anggap itu kerenah kebudak-budakan saja yang suka meninjuk. Apa yang berlaku itu sebagai kerenah peribadinya, atau seperti anak kucing yang bergurau sesama sendiri dan seekor darinya terlingkup dalam tempurung.

Mesyuarat politik itu lebih baik untuk membincang perkara lain lebih penting menjelang pilihan raya misalnya masalah pembahagian kerusi atau pun penyemakkan calon-calon yang sebelum ini sudah ditetapkan kawasan dan kerusi masing-masing. Calon-calon yang tidak ada kawasan perlu dikaji semula akan relevensinya dan sejauh mana kekuatan untuk mencapai kemenangan.

Mungkin Pas juga boleh membincangkan perkembangan di Sabah dan Sarawak yang kini mula memberi petanda baik.

Dalam pada itu Pas juga tidak perlu apa-apa membuat kenyataan akhbar yang menyentuh mengenai kedudukan Nasharudin di akhir mesyuarat. Pertanyaan atau pun jerat wartawan mengenainya hendak dielakkan sebaik mungkin.

Seboleh-bolehnya mana-mana pemimpin Pas tidak menyebut fasal beliau yang membolehkan beliau membalas balik dan akan membentuk polimek. Biarlah Nasharudin menjadi anak kucing yang terlingkup di dalam tempurung bersendirian. Sama ada dia akan kelemasan atau berjaya menguis tempurung untuk keluar sendiri terserah maklum kepadanya.

Membincang soal Nasharudin dan memberi ulasan dengan menjawab pertanyaan wartawan satu tindakan tidak berapa sihat dan sekaligus menjadikan Nasharudin yang kini sudah jatuh harga akan naik sedikit. [wm.kl.5:51 pm 24/08/12]

Thursday, August 16, 2012

Pas Patut Belajar Dengan Umno

SEBELUM TERAWIH

Tampaknya gesaan saya agar pemimpin Pas tidak banyak mengulas dan memberi publisiti murah kepada Nasharudin Mat Isa tidak diperhati betul-betul. Selepas Mohd Nuri Mat Yaacob, Mahfuz Omar, Nasruddin Hasan, Tuan Ibrahim Tuan Man masih ada beberapa pemimpin lain yang ikut gatal mulut untuk mengulas sambil menyinis mengenai fiil Nasharudin.

Orang yang selalu lapar membuat ulasan bersabit isu-isu negatif mengenai Pas, Khalid Samad tidak dapat mengzipkan mulutnya turut sama memberi ulasan. Kenapa tidak boleh didiamkan saja. Bila Khalid mengulas ia akan dipandang lain kerana orang tahu sikap berani dan 'kecoh' Khalid Samad serta hubungan 'sejuk panas' beliau dengan Hasan Akidah yang dilihat intim dengan Nasharudin Mat Isa.

Timbalan Presiden Pas Muhammad Sabu walaupun nampak tidak mahu memberi komen turut sama memberi komen dalam konotasi lain. Masih ada lagi lain-lain pemimpin yang ikut bercakap fasal ahli parlimen Bachok ini.

Saya rasa tidak perlu bercakap dan mengulas telatah Nasharudin. Lagi bercakap lagi dia suka dan merasakan dia sama hebat dengan Hasan Akidah. Sebagai orang yang sudah mulai terpinggir dari minda umum, beliau memerlukan sesuatu yang boleh orang kenangnya. Hari ini bila pakat bercakap mengenainya orang ramai akan ingat dan tahu bahawa dia masih ada.

Dalam keadaan berdepan dengan kerenah politik tidak cukup inchi begini, Pas sepatutnya belajar dari Umno. Umno lebih bijak dalam menghilangkan isu-isu yang ditimbulkan ahli seperti ahli berpaling tadah dan menyertai parti lain.

Umno tidak memberi apa-apa ulasan dan membiarkan saja ahli yang bertindak meninggalkan parti itu membawa diri sendiri. Dengan cara itu menyebabkan masyarakat umum dan ahli partinya tidak lagi menyebut ahli yang pergi itu, jadi menyebabkan Umno seolah-olah tidak terkurang apa dengan tindakan itu.

Tenguk macam mana Umno tangani isu Tamrin Ghafar yang mengumumkan keluar parti dan menyertai Pas minggu lalu. Pemimpin Umno tidak sedikit pun menyebut dan mengulasnya. Kalau pun yang membuat ulasan ialah Ketua Pemuda yang tidak ada kuasa, Khairy Jamaluddin. Khairy pun mengulas kerana nak tumpang semangkuk dua untuk memberi tahu umum yang beliau masih ada, tidak demam.

Begitu juga dengan tindakan bekas ketua penerangan Umno Kelantan Sobree Shafii. Bila Sobree menyerahkan surat penarikan diri sebagai ahli Umno tidak ada siapa pemimpin Umno memberi reaksi. Usahkan presiden atau ketua Umno Kelantan, ketua cawangan di mana Sobree menjadi ahli pun... tidak membuat apa-apa ulasan.

Kebijaksanaan itu menyebabkan orang Umno termasuk di kampung Sobree sendiri tidak menyedari yang Sobree sudah meninggalkan Umno. Inilah kebijaksanaan Umno yang berdasarkan pengalaman sebagai sebuah parti politik terlama negara.

Sepatutnya pemimpin Pas belajar dari Umno bagaimana hendak meleyapkan keaiban diri sendiri dan bagaimana hendak menjaja keaiban lawan. Lepas ini hendaknya jangan ada lagi sesiapa pemimpin atau ahli Pas perkatakan mengenai Nasharudin. Biarlah dia mengulik lagu untuk tidurnya sendiri. Saya juga tidak akan membuat apa-apa ulasan lagi, melain dia sudah sah keluar dari Pas dan menjadi ahli Umno. [wm.kl.9:42 pm 16/08/12]

Wednesday, August 15, 2012

Pemimpin Pas Tidak Perlu Ulas Mengenai Nasharudin

ULASAN ISU

Para pemimpin Pas telah memberi reaksi berbagai-bagai tanggapan terhadap bekas timbalan presidennya, Nasharudin Mat Isa yang kini miring kepada fahaman sekular, Umno. Pandangan-pandangan pemimpin itu bukan merupakan ketetapan parti tetapi lebih merupakan pandangan peribadi. Kesemua pandangan itu walaupun bergumpal dengan nada kekesalan, tetapi masih cuba memberi ruang dan peluang kepada timbalan presiden yang bersaiz 4' -11" itu.

Nasharudin Mat Isa
Yang pertama memberi reaksi ialah Dewan Pemuda Pas Kelantan yang agak keras memberi peringatan kepada Nasharudin kalau beliau sudah tidak betah dengan Pas sila keluar sahaja dari Pas. Lebih tegas lagi Pemuda Pas Kelantan menerusi setiausahanya Mohd Nuri Mat Yaacob menggesa Nasharudin supaya melepaskan kerusi Bachok dalam keadaan baik. Alasan Nuri tidak ada guna beliau kekal di situ kerana sudah tidak sebulu dengan Pas.

Manakala Setiausaha Agung Mustapa Ali pula lebih lunak dengan menyatakan Pas sedang memantau perkembangan seterusnya apa yang akan dilakukan Nasharuddin.  Bagi Mustapa beliau nampak berhati-hati sebelum membuat komen langsung kepada Nasharudin. Beliau mungkin bimbang kalau tidak kena cara menyebabkan timbul salah anggap beliau ke atas komen itu kerana beliau sebelum ini dikatakan orang yang tidak disenangi Nasharudin.

Begitu juga dengan ketua Pemuda Pas, Nasudin Hassan dalam komennya lebih kepada menyeru Nasharudin supaya insaf dengan apa dilakukan kerana ia boleh merugikan parti dan menggembirakan musuh. Ternyata Nasharudin 'pemuda anak' ini tampak lebih matang dan berhemat berbanding dengan Nasharudin 'separuh ayah' itu.

Kata Nasrudin, ahli parlimen Bachok itu harus tampil berbincang jika terdapat apa-apa yang tidak disetujunya kerana cara mengkritik Pas secara terbuka ia lebih menguntungkan musuh Pas. Beliau juga tidak setuju dengan cara Nasharudin kalau beliau mengikut jejak langkah Hasan Akidah yang memburukkan Pas di merata tempat.
 
Seorang lagi pemimpin Pas yang kurang senang dengan karektor politik Nasharudin ialah Mahfuz Omar. Naib Presiden Pas itu mencabar Nasharudin supaya berdepan dengan Majlis Syura Ulama kalau tidak berpuas hati terhadap 'tahalluf syiasi'  Pas yang hubung dengan DAP.  Ini kerana jalinan politik dengan parti lain termasuk PKR dalam pengetahuan Majlis Syura di mana beliau salah seorang anggotanya.

"Persoalannya kata Mahzfuz apakah dia tidak cukup ilmu untuk berdepan dengan Majlis Syura Ulamak?", kata Mahfuz seperti dilapor.

Tentu orang awam sedang menanti apakah ulasan selanjutnya terhadap Nasharudin yang dilihat sudah mula ghairah mematuk Pas itu. Dalam hal ini komen dan ulasan yang sangat dinanti ialah dari Mursyidul Am Nik Abdul Aziz Nik Mat dan juga presiden Abdul Hadi Awang.

Bagaimana pun yang paling digeruni untuk mendengar komen terhadap tindak tanduk Nasharudin ialah dari Nik Aziz. Sebelum ini Nik Aziz pernah menghalaukan Nasharudin keluar dari Pas kerana perilakunya yang cuba mengadakan kerjasama politik dengan Umno.

Mungkin kerana sejarah itu kalau Nik Aziz membuka mulut terhadap Nasharudin ia sangat pedas dan menggerikan. Jangan salahkan Tok Guruku itu kalau beliau hanya berkata 'no komen' mengenai Nasharudin kerana beliau sudah mensyarahinya panjang lebar sebelum ini. Mantik 'no komen' nanti merupakan satu kemarahan besar beliau kepada Nasharudin. Justeru saya berharap baik Abdul Hadi dan Nik Aziz tidak memberi apa-apa komen dan reaksi. Sebaiknya biarkan sahaja Nasharudin dengan gleagat dan peta baru politiknya.

Gambar klasik Nasharudin memeluk Baru Bian di Kucing.
Kalau pun Nasharudin ingin kekal menjadi jurualih bahasa kepada Najib tidak menjadi masalah. Semua pemimpin Pas dan ahli Pas harus menyedari Nasharudin perlu hidup yang lebih selesa dan lumayan. Jawatan baru itu mungkin gaji dan pendapatannya lebih lumayan dari apa yang beliau perolehi semasama bergelar ahli Pas. Ia juga lebih berprestaj. Bagi orang yang gilakan prestaj sangat seronok dengan jawatan itu kerana boleh mendamping PM.

Seperti apa yang saya katakan sebelum ini sebagai seorang berjiwa kecil dalam perjuangan Nasharudin tidak akan teringat lagi bahawa dia pernah diberi peluang menjadi orang kedua tertinggi dalam Pas, di mana peluang itu tidak mungkin akan diperolehinya walaupun beliau menubuh parti sendiri. Keistimnewaan itu akan dialpakan begitu saja kerana tempias sinar pelangi dari dalam Umno. Jadi ukur dan analisa sendirilah bagaimana orang ini.

Nasharudin sendiri mungkin menyedari selama lebih empat atau lima tahun menjadi timbalan presiden beliau tidak dapat menjadi 'asoib' yang baik kepada Abdul Hadi Awanag melainkan megah dengan kedudukan itu ke mana sahaja. Jadi... kalau pun selepas ini Nasharudin mempertikaikan mengenai pendekatan Pas kini yang kononnya tidak tidak Islamik, memusnahkan Melayu, bersekongkol dengan Cina dan sebagainya ...biarkan sahaja.

Beliau umpama si burung tukang (burung malas) yang akan bertukang bila siang bertukar malam. Selepas ia bertukang tatkala hari hendak siang maka akan berhentilah dia bertukang (berkokok) maka begitu jugalah Nasharudin. Saya tidak kira kalau ditakdirkan dia menyertai Umno akan mendapat makam yang sama dengan apa yang di perolehi dari Pas.

Juga kerana keyakinan dia bahawa Umno lebih Islamik dari Pas, biarlah dia mencapai 'mardatilah' dalam Umno. Di sini biarlah saya mendahului orang lain untuk mengucap selamat menyertai parti baru buat Nasharudin. [wm.kl.4:09 pm 15/08/12]

Tidak Boleh Jadi Menteri, Jadi Jurualih Bahasa Pun Cukup

MERENTAS MALAM

Zohor tadi seorang rakan dari Rantau Panjang, Kelantan dengan nafas tercungap-cungap menelefon saya bertanyakan status Nasharudin Mat Isa bekas timbalan presiden Pas. Saya jadi terheran dengan pertanyaan rakan itu. "Abang Ti macam mana dengan status Ustaz Nasharudin Mat Isa sekarang ini?" tanya rakan itu.

Nasharudin di sebelah Najib. Inilah gambar menyakitkan mata orang Pas.
"Status apa..?" tanya saya balik tidak memahami apa yang dimaksudkan.

"Macam mana  dia dengan Pas, dia masih ahli Pas ke atau tidak.." soalnya.

"Kenapa..?" saya jadi tambah hairan dengan pertanyaan itu. Setahu saya Nasharudin masih ahli Pas dan masih dihormati oleh sebahagian ahli Pas. Pas tidak pun mengambil tindakan memecatnya seperti mana dilakukan ke atas Hasan Akidah yang dilihat rakan atau patnernya.

"Ahli Pas guana dia bersama Najib di Makkah. Dia sambut Najib...," katanya dengan nada sedikit geram dan kesal dengan apa yang dilihat.

"Apa salahnya, Najib kan PM Malaysia. Sesiapa boleh sambut dan hormat Najib.... kalau abang Ti ada di Makkah ketika itu, abang Ti juga sambut Najib," kata saya mahu meredakan kemarahannya dan mengajar politik rasional kepadanya.

"Tetapi abang Ti berat dia ni, dia duduk sebelah Najib...," katanya lagi.

"Tengok di mana?" Tanya saya mahukan kepastian. Saya tidak tahu menahu akan apa diperkatakan oleh rakan ini.

"Baru sekejap tadi dalam berita TV3 ditunjuk Ustaz Nasarudin bersama Najib...nampak mesra benar," katanya.

Baru saya faham cerita dan faham juga kenapa kawan itu sanggup menghabiskan top-up untuk bertanyakan hal itu. Sebagai ahli Pas yang tegar dia tidak tergamak atau malu melihat aksi sebegitu. Baginya menyakitkan hati dan memalukan parti.

Beberapa jam selepas itu bila saya membelek Fb saya terjumpalah foto yang dikatakan itu. Nasharuddin kelihatan duduk bersimpuh di samping Najib sambil tersenyum. Gambar itu menunjukkan Nasharudin dan Najib sedang berbual-bual dengan dua orang Arab berjanggut lebat. Tidak dinyatakan siapa dua orang Arab itu. Saya mengagak Najib menjadi tetamu kepada orang Arab berkenaan manakala Nasharudin menjadi jurubahasanya. Walaupun menteri agama Jamil Bahrum ada sama, tetapi Nasarudin diberikan tugas menjadi jurubahasa kerana bahasa Arab Nasharudin lebih baik dari Jamil.

Memang satu-satu kelebihan yang ada kepada Nasharudin berbanding dengan timbalan dan bekas timbalan presiden Pas ialah dia dapat berbahasa dalam beberapa bahasa. Nasharudin tahu berbahasa Arab, Perancis dan Inggeris dengan baik. Dia juga pandai loghat Negeri Sembilan tetapi agak telor dengan lorat Kelantan walaupun sudah lebih empat tahun menjadi wakil rakyat Bachok.

Atas kepandaian itu sesetengah ahli Pas yang menjadi pengkagum tegar kepadanya merasakan Nasharudin lebih layak untuk menjadi pengganti Abdul Hadi Awang sebagai presiden Pas berbanding Muhammad Sabu atau Husam Musa. Jadi apabila dia kecundang dalam pertandingan merebut jawatan timbalan presiden ditangan Muhammad Sabu dan Tuan Ibrahim Tuan Man, murih sakan si para penyokong Nasharudin.

Tentang gambar itu beberapa orang rakan Fb saya juga bertalu-talu bertanya saya dan minta saya ulas mengenainya. Ada yang hantar sms dan ada yang menghantar mesej dalam PM. Mereka minta saya ulas mengenai gambar berkenaan. Rupanya gambar berkenaan menjadi satu masalah.

Sebenarnya saya tidak berminat untuk menyetuh kedudukan Nasharudin dan juga memperkatakan chasis politiknya yang bagi saya sudah rosak. Saya mulai merasakan chasis politiknya mulai renyuk bila mana beliau tidak dapat menerima kekalahan dalam merebut jawatan timbalan presiden. Nasharudin saya sifatkan sebagai seorang yang berjiwa kecil. Orang berjiwa kecil memang tidak layak untuk menjadi pemimpin melainkan sesuai menjadi lalang. Jika jiwanya besar dia tidak mudah ugah dan terus berjuang seperti biasa dalam Pas.

Tetapi dia telah menolak perlantikan parti dan tidak menghadiri mesyuarat. Bermula dari tindakan beliau ini saya sudah dapat mengagak ke mana hujung jatuhnya nanti. Dan apa yang beliau tunjuk dan pamerkan dengan bermesra dengan pemimpin Umno menjelaskan keadaan itu. Chasisnya sudah rosak dan wajahnya sudah renyok ke arah lain.

Bukan tidak boleh untuk bermesra dengan pemimpin Umno, boleh. Bergambar dan makan bersama juga boleh. Tetapi cara Nasharudin mempamirkan kemesraaan itu seakan mahu menyakiti pihak-pihak tertentu. Dalam masa sama beliau mahu menunjukkan yang beliau tidak kisah dan masih laku dan sedia dibeli oleh pedagang politik. Dia menunjukkan kononnya dia hebat dan dicari oleh sesiapa saja.

Sebenarnya perilaku beliau dengan Najib di Makkah itu bukan aksi pertama Nasharudin yang boleh menyebabkan ahli dan penyokong Pas bertanya dan mengsyaki sesuatu kepadanya. Sebelum ini dia telah pun bergambar dengan Udin anak Yassin di rumahnya ketika timbalan perdana menteri itu hadir ke majlis kenduri anaknya di Bukit Mahkota, Bangi.

Sekali lagi bergambar dengan Udin anak Yassin tidak menjadi kesalahan kerana Udin bukan makhluk yuang najis. Tetapi cara Nasharudin lakukan itu ia semacam sengaja mahu menyakitkan mata orang-orang tertentu. Gambar itu misalnya tidak salah kalau presiden atau timbalan dan mana-mana pemimpin lain ada sama. Ia dilihat indah dan cantik lagi. Tetapi nawaitu Nasharudin tampaknya bukan begitu...

Jadi kesimpulan dengan apa yang berlaku dan dilakukan Nasharudin hari ini tidak perlu merasa anih dan pelik. Sepatutnya orang Pas boleh membayangkan awal-awal lagi apa yang akan berlaku ke atas bekas timbalan presiden Pas ini. Apabila beliau meninggalkan muktamar di hari beliau kalah tanpa bersalaman dengan pemimpin lain sudah mengenalkan siapa beliau sebenarnya. Apabila beliau menolak perlantikan dibuat parti, kita sudah dapat membaca apa yang ada dalam fikirannya.

Bahkan jauh dari itu apabila beliau beriya untuk membawa Pas bergabung dengan Umno, sedangkan sebahagian ahli Pas lain menentangnya, sepatutnya sudah dapat diramalkan apa warna siasah Nasharudin. Nasharudin sungguh tidak dapat melupai angan-angannya untuk menjadi menteri apabila Pas bergabung dengan Umno. Kegagalan penggabungan itu, Unity Government (UG) menjadikan Nasharudin benar-benar kecewa dan marah.

Kenapa tidak, kalau termenterai kerjasama Umno dengan Pas beliau akan menjabat salah satu daripada dua kerusi menteri yang dijanjikan. Antara syarat pembetukan UG ialah Pas akan mendapat dua kerusi menteri, di mana salah seorangnya Nasharudin kerana kedudukannya sebagai timbalan presiden ketika itu. Nasharudin merasakan dia layak walaupun ada lagi orang lebih layak dan senior daripadanya. Kerana kegagalan itulah menyebabkan beliau merajuk, kesal tidak sudah-sudah.

Mungkin Nasharudin masih mengharapkan mimpi berkenaan menjadi kenyataan di mana dengan keilmuan yang beliau ada, beliau akan dilantik menjadi menteri oleh Umno. Walaupun beliau sedar tidak akan menang dalam pilihan raya, mungkin Umno akan melantik beliau menjadi senator seperti Nalakarupan, Ezam Mohd Noor untuk terus menabur budi kepada Umno. Atas merasakan dia seorang berilmu dan pandai bercakap beberapa bahasa Umno akan mengambilnya untuk jadi menteri.

Orang Pas dan penyokong Pas usah kesal dan marah dengan telatah dan sikap Nasharudin. La tahzan. Sebaliknya doakan dia dapat mencapai cita-cita politiknya. Biarlah dia menjadi menteri. Cuma apa yang saya hendak ambil kesempatan di sini, mengucapkan terima kasih kepada ahli parlimen Bachok itu kerana berjaya menyakitkan hati orang Pas. Mungkin kekesalan ahli dan rakyat Bachok tidak sesakit dan sekesal ahli Pas dan rakyat Pasir Mas atas perbuatan Inchek Ibrahim Ali, tetapi apa yang berlaku iras-iras itulah juga.

Orang Bachok hingga ke sembilan keturunan akan kenang atas apa yang dilakukan Nasharudin.
Sebenarnya tindakan Tok Guru yang dianggap kejam, menghalau Nasharudin satu waktu dulu adalah tindakan benar berdasarkan daya kahsyafahnya yang saudah mengetahui ke parit mana akhirnya Nasharudin akan tergelincir. Tindakan Tok Guru itu sepertilah tahunya Khidir mengenai nasib seorang kanak-kanak yang dibunuhnya walaupun dibantah Musa a.s. [wm.kl. 12:01 t/malam 15/08/12]

Wednesday, December 21, 2011

Susupan Petang

Pemimpin Pas Bertelagah Patut Masuk Ke Dalam Dram
Terima Pengakuan Nasharudin Mat Isa


PERNYATAAN Nasharudin Mat Isa hari ini bahawa beliau tidak mempunyai niat sebesar zaharah pun untuk meninggalkan Pas hendaklah diterima dengan penuh keikhlasan oleh semua ahli dan penyokong Pas. Hendaknya pernyataan itu bukan saja menjawab tanggapan Mustapa Ali kepada Nasharudin bahawa bekas timbalan presiden Pas itu terperangkap dalam jerat Umno, tetapi pernyataan untuk semua orang juga.

Hari ini Nasharudin dalam kenyataan akhbar bagi menjawab tanggapan Mustapa Ali berkata dia tetap bersama Pas untuk menyampaikan risalah Islam. Rasanya semua orang lega penjelasan Nasharudin itu. Sebenarnya bila Nasharudin membuat kenyataan berasingan dengan Hasan Ali berhubung kemelut dan tuduh menuduh yang berlaku sekarang ini, menunjukkan bekas setiausaha agung Pas di era Mohd Fadzil Nor (Allahyarham) itu masih sayangkan Pas.

Mana-mana pemimpin Pas yang terbuku hati dengan sikap Nasharudin sebelum ini kerana beliau tidak menghadiri mesyuarat dan menerima perlantikan ketua lujnah antarabangsa hendaklah terima seadanya dan janganlah membuat pelbagai tuduhan lain lagi.

Anggapan ketidakhadiran Nasharudin pada mesyuarat jawatankuasa agung Pas itu sebagai satu keterkejutan beliau kerana kalah dalam perlawanan yang dijangka akan mudah dimenang olehnya.

Tentulah sebagai pemimpin muda yang sebelum ini menang menjulang, kemudian kalah dihina, merasa terkejut monyet bila tewas dalam perlawanan apa lagi lawannya orang yang dianggap canggung dengan perjuangan Pas yang berlandaskan Islam. Silap tanggap Nasharudin dan juga para penasihatnya telah meletakkan Nasharudin dalam keadaan serba salah. Nasharudin dalam hal ini kurang faham mengenai sepak terang politik. Di dalam politik sering saya katakan orang bodoh memerintah orang cerdik, begitu juga dalam konteks politik Pas sebab Pas juga menerima sistem yang sama dengan Umno.

Dengan pernyataan Nasharudin itu juga selepas ini jangan ada sesiapa yang 'cepelak' mulut lagi. Yang nyatanya Nasharudin masih ahli Pas dan setia dengan Pas. Pengakuan itu anggaplah bai'ah beliau. Dalam konteks yang berlaku sekarang ini tidak boleh menyamakan sikap, pendirian dan pembelaan diri Hasan Ali adalah sama dengan dirinya. Nasharudin lebih bersikap tawakus dan merendah diri dan jangan pakejkan Nasharudin dengan Hasan Ali walaupun mereka berkawan baik.

Apabila beliau menjawab terhadap tohmahan ke atas Mustapa Ali itu anggaplah itu adalah hak asasinya. Adalah tidak elok kalau dalam keadaan sekarang di mana Pas sedia untuk mengganti Umno tiba-tiba wujud kecelaruan dalam Pas. Pas dalam hal ini harus malu kepada DAP. Ironisnya apabila PKR selesai bertetak sesama sendiri Pas pula hendak 'berkelewang' sesama sendiri. Aduh... sakitnya.

Kepada Nasharudin secara peribadi saya mengucapkan terima kasih kerana masih tetap dapat mengeluarkan kenyataan yang lunak, sedarhana dan tetap menggambarkan seorang pemimpin dari jemaah Islam. Semoga beliau akan istiqamah dan tenang menghadapi apa-apa juga celaan dan ingatlah sabar itu separuh daripada iman. Kekuatan dan keulitan seseorang pejuang ialah apabila ia dapat menghadapi tribulasi ke atas dirinya oleh kawan sendiri dan bukan musuh.

Apa yang akan berlaku selepas ini jangan dibuat spekulasi yang sehinggakan akan dieksploitasikan oleh musuh. Pengakhiran babak yang berlaku dalam Pas kini hendaklah ditunggu bagaimana pengakhirannya pada saat dewan dibubar nanti. Saya yakin emosi orang-orang Pas termasuk yang bertelagah akan berubah bila parlimen dibubarkan.

Sebaik-baik untuk menenangkan kemelut yang berlaku sekarang ini, Pas Bachok di mana Nasharudin menjadi ahli Parlimen di situ patut mengambil inisiatif melegakan keadaan membuat pernyataan mereka masih mahukan Nasharudin mewakili mereka. Saya percaya kalau ada sikap dan sifat berkorban seperti ini segalanya akan dapat diatasi. Tentu ramai orang Kelantan yang tidak setuju dengan cadangan itu, tetapi bagi saya itulah sebaik- baiknya kalau kita ikhlas dan jujur hendak mengatasi masalah yang berlaku.

Apakah Pas Bachok mampu dan sanggup berbuat demikian. Sekali saya katakan hanya orang berjiwa besar dan berjiwa hamba kepada perjuangan sahaja boleh melakukan demikian. Bagi saya tidak ada sebab untuk Pas Bachok atau Pas Kelantan mahu menukarkan kerusi Bachok kepada orang lain. Saya tetap berkeyakinan dalam keadaan Awang Adek sedang diputar isu SPRM, Nasharudin mampu mengatasinya, dengan syarat Nasharudin akan terus berlunak selepas ini. Nasharudin juga perlu kembali kepada pangkuan para sahabat dan tidak menyisihkan diri kerana berbuat begitu menyebabkan syaitan banyak akan mencelah.

Adapun sdr Hasan Ali yang saya lihat sudah terlebih syok untuk mengadakan sidang akhbar sudah agak terlajak jauh. Betul yang tergelecah dari ril perjuangan ialah Pas, tetapi beliau dalam hendak membetulkan Pas itu terlajak jauh kerana lebih lajak dari laju. Hasan juga harus membuang sifat mazmumah yang merasakan dia hebat, bijak dan kaya dengan idea politik.

Sepatah sahaja saya nak kata di sini kalau Hasan ikhlas dan jujur hendak perbaiki Pas dengan keadaan yang ada hari ini dia harus tahu teknik yang betul untuk membaikinya.

Saya lihat hari ini - merujuk kepada isu Hasan, Saari Sungib dan Mustapa Ali itu Pas sebenarnya kemek di bahagian luar sahaja bukan dari bahagian dalam. Kalau ibarat dram ia kemek di luar. Jadi kalau ia kemek di luar cara membaikinya ialah masuk ke dalam dram dan ketuk dari dalam. Seberapa kuat nak ketuk dari dalam nah lakukanlan kerana ia tidak akan membingitkan ahli di luar.

Dengan apa yang Hasan buat mengetuk dram kemek dari luar ia tidak boleh menyempurnakan keadaan tetapi menambahkan lagi kekemekan dram berkenaan, dan yang 'rewelnya' juga ia menganggu ketenteraman orang lain.

Berdoalah semoga selepas ini kita semua insaf, tidak saling berbalas tembak lagi. Janganlah memberi modal kepada media penjilat buntut. Lepas ini jangan ada lagi kenyataan akhbar dari mana-mana pihak. Khabarnya besok setiausaha agung akan membuat kenyataan akhbar, elok berhentilah kalau kenyataan itu untuk membalas kenyataan Hasan, melainkan kalau untuk mendamaikan keadaan.

Dalam hal ini juga saya tertanya-tanya ke mana perginya sang presiden? Apakah kemelut yang berlaku kini tidak terlantas di telinganya. Kenapalah presiden diam membisu seolah apa yang berlaku tidak ada kena mengena dengan urusan dan tanggungjawabnya. Saya tenguk sikap presiden dalam hal ini tak ubah seperti badak tuli yang tidur tepi lebuhraya!

Sepatut sebagai presiden beliau harus bersuara dan memanggil pihak bertelagah duduk semeja dan selesaikan kekusutan yang berlaku. Mungkin Abdul Hadi juga perlu bermahasabah sejauh mana relevansi beliau menjadi seorang presiden parti politik yang sudah mulai hilang punca untuk berdamai dan kabur untuk mencari hadith-hadith persaudaraan.

Ingat pesan saya, kalau hendak baiki dram yang kemek di luar masuk ke dalam dan ketuk dari dalam. Bukan saja Mustapa, Hasan, Saari dan yang lain-lain Abdul Hadi juga kena masuk dan ketuklah dari dalam. Berdegung berdegang berdegung berdegang... tak mengapa. Belum sah tetapi ada berita mengatakan Ahmad Maslan tidak akan dicalonkan dalam pilihan raya akan datang. [wm.kl.4:22 pm 21/12/11]

Saturday, February 26, 2011

Kenyataan Akhbar

Kecam Yusuf Al Qardhawi Najib Tidak Cerdik

TIMBALAN Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa begitu kesal dan terkilan dengan kenyataan Peradna Menteri, Najib Razak yang menuduh Dr Yusuf Al-Qardhawi dan gerakan Ikhwan Muslimin sebagai parti ekstremis dan terlibat dengan keganasan.

Najib dikatakan telah membuat kenyataan itu yang disiarkan dalam laman web National Review Online.

Sehubungan itu Nasharudin meminta Najib menarik balik tuduhan berkenaan yang dianggap sebagai kenyataan yang tidak cerdik.

Berikut disiarkan sepenuhnya kenyataan Nasharudin Mat Isa yang dikirimkan ke email saya baru sekejap tadi;

Merujuk dalam satu laporan berita yang disiarkan dalam laman web National Review Online, saya mendesak Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Mohd Najib Razak supaya menarik balik tuduhan liar yang dilemparkan kepada gerakan Ikhwan Muslimin dan ulama’ terkenal dunia, Syeikh Dr Yusuf Al-Qardhawi.

Memetik ucapan yang dibuat olehnya di Istanbul baru-baru ini, beliau mendakwa bahawa parti politik Ikhwan Muslimin terlibat dengan keganasan dan sifat ekstremis.

Ikhwan Muslimin merupakan sebuah gerakan Islam yang sah di Mesir. Malah, mereka turut terlibat dan berpartisipasi secara aktif dalam beberapa siri pilihanraya di Mesir. Tambahan lagi, mereka sering melaungkan tema “Penglibatan dan Bukan Penguasaan” disamping memelihara peruntukan-peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan Mesir.

Walaubagaimanapun, hak dan nilai demokrasi mereka sebagai rakyat dan parti politik yang sah telah dicabul sehingga mereka terpaksa berdepan dengan ancaman, ugutan serta penyelewengan kuasa yang dilakukan oleh pemerintah Mesir.

Menyentuh mengenai kebangkitan rakyat di Mesir, Ikhwan Muslimin berpendapat bahawa segala kerosakan dan pencerobohan yang berlaku adalah disebabkan tindakan kumpulan-kumpulan samseng yang bersengkongkol dengan pihak-pihak tertentu untuk menindas kemahuan rakyat.

Malah Ikhwan Muslimin turut memberikan penghargaan kepada seluruh tentera Mesir yang berkhidmat untuk menjaga keselamatan dan memelihara keamanan sepanjang tempoh revolusi yang berlaku.

Ini membuktikan bahawa Ikhwan Muslimin tidak terlibat dengan sebarang bentuk provokasi dan strategi bagi melakukan keganasan dan kekacauan di Mesir.

Syeikh Dr Yusuf Al-Qardhawi yang juga Pengerusi Kesatuan Ulama’ Sedunia pula merupakan seorang tokoh ilmuan yang sangat terkenal seluruh dunia. Bahkan segala usaha-usaha yang dilakukan olehnya mendapat pengiktirafan serta penghormatan yang tinggi.Sempena majlis sambutan Ma’al Hijrah 1431/2009, Timbalan Yang Di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah telah berkenan menyampaikan Tokoh Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan kepada beliau atas sifat peribadi unggul dan sumbangannya yang begitu besar dalam agama serta dunia Islam seluruhnya.

Malah, beliau selalu berkunjung ke Malaysia untuk menyampaikan ilmu serta bertemu dengan ramai individu, parti politik serta pihak-pihak tertentu. Ini membuktikan sifat beliau disenangi dan diiktiraf oleh kerajaan Malaysia.

Kenyataan Perdana Menteri itu dilihat tidak cerdik. Saya berpendapat Najib harus menarik balik kenyataan tersebut dan meminta maaf kepada gerakan Ikhwan Muslimin dan Syeikh Dr Yusuf Al-Qardhawi segera.

Jika tidak, beliau telah menunjukkan sikapnya sebagai seorang yang pro kuasa Barat dan takut untuk menzahirkan kebenaran.

Disediakan oleh
NASHARUDIN MAT ISA,
Timbalan PresidenParti Islam SeMalaysia

[wm.kl.8:30 pm 26/02/11]