Showing posts with label RENCANA. Show all posts
Showing posts with label RENCANA. Show all posts

Saturday, February 23, 2013

PAS Yang Bernasib Lebai Malang

RENCANA SUMBANGAN                                                                                           

Saya menerima satu artikel yang agak menarik juga yang mengupas mengenai senario didalam PAS dan menegur serta memberi cadangan terhadap apa yang berlaku ke belakangan ini mengenai tindak tanduk golongan agama atau ulamak di dalam PAS. Penulis berkenaan menamakan dirinya CUCU NUJUM PAK BELALANG Bandar Baru Bangi. 

Saya yakin artikel ini terhasil ekoran meletusnya isu berhubung desakan Majlis Syura Ulamak (MSU) yang tidak mahu menerima Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri.

Saya mengambil tanggungjawab menyiarkan rencana sebagai sumber dan bahan renungan kita semua. Saya tidak melakukan apa-apa pengeditan kecuali membetulkan beberapa kesalahan ejaan menurut kaedah kewartawanan. Terima kasih kepada pengirim. Salam Mso.

Salam tuan.

Sedikit pandangan atas kelakuan PAS hari ini. Semua persoalan ini mudah dirungkaikan dengan melihat sejarah lampau PAS. PAS terbentuk hasil gabungan Persatuan Ulamak dan Biro Agama UMNO ketika menghadapi pilihan raya 1959.

Friday, October 23, 2009

Tazkirah Jumaat

Hendak Singkir Pemimpin
Tidak Perlu Adakan Muktamar Khas

SAMA seperti Tok Guru Nik Abdul Aziz, hati saya jarang sekali merasa gundah gulana dan cemas dalam memerhati tingkah laku politik Pas seperti muasir ini. Sejak dari tahun 70-an sebaik saya mengenali erti politik, jarang sekali nubari saya berkeadaan gundah gulana seperti hari ini. Ada persamaan saya dengan Tok Guru dalam hal ini.

Kalau hati beliau pernah bergolak di zaman Mohd Asri Muda (Allahyarham), maka hati saya juga bergolak di zaman itu. Tetapi dari sudut berlainan, difarakhkan oleh status kami berlainan. Beliau sebagai orang parti dan pemimpin, (Ustaz) saya sebagai pemerhati dan penyokong kerdil pelari gambar cogannya mengeliling kampung.

Kata Tok Guru hatinya bergolak masa itu kerana tidak senang dengan politik Asri. Sebaliknya hati saya bergolak dan kesal kerana Pas mengalami kekalahan sehingga hilang kerajaan negeri Kelantan selepas pilihan raya umum 1978.

Sebahagian rentetan malang Pas hilang kerajaan negeri Kelantan yang dikuasai selama 18 tahun itu, saya ada kisahkan dalam buku saya berjudul “Kelantan Selepas Pantang,” terbitan tahun 1991. Semua itu dijadikan rekod sejarah dan bahan kajian.
Seperti apa yang Tok Guru ingat (tanggungjawab) itu juga, maka saya juga teringat akan tanggungjawab itu; mengenai teguran Tuhan ke atas Muhammad. Saya mengambil semangat dan teladan itu. Kalau Muhamad boleh ditegur Allah, apalah lagi dengan orang lain yang tidak maksum, bertambah-tambah boleh ditegur.
Bertolak dari amanah itulah saya mengambil tanggungjawab sebagai hamba politik, rakyat, orang awam, penulis dan pengamat kerdil membuat teguran-terguran bila mana perlu waima kepada sesiapa saja tanpa kompromi.

Saya tidak perlu menyertakan hujah, nas atau dalil dari Quran dan Hadith untuk menegakkan pendirian saya ini. Cukuplah kalau dirujuk apa yang disebut Tok Guru dalam tulisan terbaru dalam blognya itu. Atas prinsip itulah maka saya membuat teguran dan kritikan kepada sesiapa sahaja tidak kira Tok Guru, perdana menteri atau sultan Kelantan.

Apa mauduknya di sini? Mauduknya ialah mengenai sokongan Tok Guru ke atas beberapa bahagian tulisan Prof Abdul Aziz Bari yang meminta Pas menyingkir beberapa pemimpin Pas khasnya, Abdul Hadi Awang, Nasaruddin Mat Isa, Hasan Ali, Mustapa Ali. Apabila Tok Guru menyokong saranan Abdul Aziz itu bererti beliau mahukan mereka ini dinyahkan dari Pas. Perdamaian dan jabatan tangan sebelum ini hanyalah sandiwara saja.

Pun begitu Tok Guru masih sopan dan berlapik untuk menyingkirkan mereka itu dengan mencadangkan supaya diadakan muktamar khas. Katanya untuk melakukan Tajdid (perubahan) harus dibincang dalam muktamar Pas. Apakah membuang pemimpin itu sebagai satu Tajdid? Dan apakah untuk berjaya bersama Pakatan Pas harus bertindak sampai ke situ sekali? Ini menarik untuk direnungi bersama. Dan saya akan cuba mengupas hal ini dalam tulisan lain.

Adapun keperluan mengadakan muktamar khas itu Tok Guru Nik Aziz domankan kepada apa yang berlaku dalam MCA, Umno dan PKR. Katanya kalau MCA dan Umno boleh mengadakan AGM – kongres khas kenapa tidak dengan Pas. Di sini Nik Aziz menerima pakai mesyuarat khas itu boleh digunakan untuk melakukan perubahan, rombakan dan pernyingkiran di kalangan sesetengah pemimpin Pas.

Saya terperagah membaca alasan ini. Bila pula Pas atau Nik Aziz sedia mengikut peraturan dan tektik Umno? Selama ini Tok Guru begitu liat untuk menerima apa-apa pembaharuan, pendekatan dan dogma politik Umno, tiba-tiba, alih-alih kini ingin menuruti Umno pula. Apakah beliau mengambil mana-mana yang baik saja dari Umno? Nampaknya begitulah...

Saya menghormati pandangan Tok Guru kalau ianya merupakan pandangan dan ilham asli beliau. Saya yakin sebagai Mursyidul Am Pas, beliau mahu membawa ahli Pas ke Syurga dan bukan ke Neraka. Sebagai Mursyidul Pas beliau kepingin meninggalkan legasi yang penuh kecemerlangan dalam Pas sebagai parti Islam. Justeru Tok Guru tidak akan tergamak untuk menimbulkkan apa-apa keburukan dalam Pas. Saya tidak terfikir kalau ada sejambak pemikiran jahat dalam mindanya.

Alamiahnya begitu. Tetapi di sini banyak yang mengelirukan mengenai ‘pemikiran, sikap dan telatah Tok Guru sejak ke belakangan ini yang bolehlah dikatakan sebagai ‘gelenyar”. Tambah mengelirukan bila beliau tidak semena-mena bersetuju dengan idea dari luar. Ada simpang siur yang tidak diketahui ke mana arah tujunya. Seolah beliau kini hanya menggunakan satu kompas saja untuk mencari jalan benar dalam sesat tanpa membuat pemeriksaan petunjuk kompas itu dengan kompas lain. Tidak ada double check? Tok Guru hanya menggunakan nasihat dari seorang sahabat saja dan mengabaikan sahabat-sahabat lain.

Nampaknya Tok Guru juga sudah melompat jauh ke hadapan mengatasi siasah Muhammad s.a.w. yang sering mengambil kira pandangan Abu Bakar, Omar, Othman dan Ali serta para sahabat lain. Nampaknya teladan Muhammad dalam hal ini ditinggalkan Tok Guru. Kenapa? Inilah keanihan yang berlaku di sekitar diri Tok Guru. Keanihan ini juga menyebabkan wibawa Tok Guru semakin hari semakin dipertikaikan.

Bukan hendak mengatakan tetapi setiap ahli Pas boleh merujuk realiti ini dengan apa yang berlaku di Kelantan baik dalam parti atau kerajaan negeri. Siapakah orang-orang yang dirujuk atau pun diterima nasihat Tok Guru? Kalau awal dulu Tok Guru dinasihati oleh tiga orang sahabat dari kumpulan Tiga Abdul, tetapi kini Tok Guru dinasihatinya oleh seorang pengembara yang haus saja.

Di sinilah kesilapan menyebabkan timbul kekeliruan dan keganjilan Tok Guru akhir-akhir ini. Menyebabkan keputusan dan kenyataanya menimbulkan persoalan sehingga orang mencari apakah ia dari ‘minda’ Tok Guru atau dari mana. Sebab itulah politik Pas di Kelantan bercelaru biru dalam tempoh 10 tahun ini. Keputusan pilihan raya kecil di Manik Urai tempoh hari ada sangkut paut dengan wibawa Tok Guru, tetapi nampaknya ia cuba dinafikan oleh manusia berkepentingan. Tok Guru terlalai akan kelemahan itu kerana diselindungi dengan pujian bermadu.

Kecelaruan politik Kelantan ini tidak terzahir tetapi bagi mereka yang bernafas di Kota Bharu sangat merasai kesesakkan suasana politik di sana. Berpetak-petak dan ia sudah berbau bau. Apa yang berlaku di Kelantan ia membengkak dari dalam yang mana akhirnya memburaikan kohongnya nanti. Saya tidak tahu apakah Tok Guru sedar keadaan ini ataupun terus terlena dengan pujian dan pengagungan melampau oleh sesetengah pihak?

Mengenai saranan Abdul Aziz Bari itu, disebalik logik dan benarnya, rasanya elok kalau Tok Guru meneliti dari sudut-sudut lain dan tidak mudah menerima apa saja keratan akhbar yang sesetengah perkataannya diboldkan yang diletakkan di atas mejanya. Beliau harus menyelidiki dari mana setiap cadangan dan idea yang keluar itu dan sumbernya. Dalam hal ini beliau harus mendengar dan memberi perioriti suara dari dalam daripada suara luar?

Kenapa saya berkata begitu kerana cadangan itu jelas sekali bertentangan dengan aspirasi muktamar Pas yang lalu. Cadangan itu membelakangkan kehendak muktamar lepas yang baru membuat pemilihan pemimpin. Apakah di sini Tok Guru juga tidak akur dengan keputusan muktamar yang diputuskan oleh ahli itu? Yang bersuara dalam muktamar itu bukan dari satu golongan sahaja. Tetapi ia adalah kombinasi dua kumpulan yang dikatakan kontras. Ada bau-bau seperti Tok Guru juga terikut dengan malaun yang enggan menerima hakikat yang diputuskan dalam muktamar tempoh hari.

Apakah sikap ini menunjukkan muktamar Pas sudah tidak mempunyai intergriti lagi? Bukan menjadi forum menyelesaikan segala permasalahan termasuk proses memilih pemimpin? Cadangan itu mencerminkan ketidakpercayaan Nik Aziz kepada konsesus berkenaan.

Malanglah kalau keputusan muktamar pun turut diragui Tok Guru. Ini bermakna Tok Guru sendiri tidak percaya kepada mesyuawarah di dalam parti berkenaan yang menjadi amalan dan tradisi menurut perlembagaan sejak berpuluh tahun lalu. Atau apakah cadangan itu untuk membolehkan Tok Guru berlawan dengan Abdul Hadi disebabkan dalam muktamar lepas beliau hanya mendapat satu pencalonan saja di mana itu tidak melayakkan beliau bertanding jawatan presiden?

Kalaulah itu yang menjadi impian Tok Guru rasanya beliau tidak perlu terpanggil dengan cadanagn Aziz Bari itu.Sebagai tokoh berwibawa dan agung naiflah kalau Tok Guru terpalit dengan air ludah sarjana duniawi itu. Kalau beliau benar ingin Abdul Hadi, Nasaruddin Mat Isa, Mustafa Ali dan Hassan Ali – yang dituduh pro- Umno oleh Aziz Bari itu, tidak berada dalam barisan kepimpinan Pas, ia tidak perlu kepada muktamar Pas. Cukup kalau Tok Guru memanggil mereka dan menyatakan isihatinya meminta dengan hormatnya mereka melepaskan jawatan dan meninggalkan Pas!

Saya berani jamin, kalau Tok Guru berani meminta mereka melepaskan jawatan secara dari hati ke hati mereka akan akur walaupun Pas itu bukan hak Tok Guru secara sendirian berhad. Siapalah mereka untuk bantah kata-kata Tok Guru. Untuk ini silalah Tok Guru panggil dan beri kata dua kepada mereka. Apa yang dilakukan kepada Asri tahun 1982 dulu boleh diulang sekali lagi. Kalau orang sehebat Datuk Asri boleh Tok Guru turunkan hanya dengan kata-kata, apalah Abdul Hadi, Nasarudin, Mustafa Ali atau Hasan Ali. InsyaAllah saya sedia untuk menjadi tukang padah tanpa dikenakan apa-apa komisyen.

Untuk mengadakan muktamar khas tidak guna kerana ia tidak akan menyelesaikan masalah bahkan lebih buruk lagi. Tertakdir muktamar itu masih mengekalkan mereka, apakah Nik Aziz akan akur? Tentu tidak! Apa yang berlaku kepada muktamar lepas boleh dijadikan iktibar. Ada orang yang tidak boleh menerima hakikat kekalahan dan mencari seribu alasan untuk mengatakan dia adalah pemenang. Helah itu juga termasuk mempersoalkan wibawa jawatankuasa pemilih.

Kerana itu pada saya kalau diadakan muktamar ia tidak akan menamatkan masalah yang dikira sudah berulamkan perasaan dan bernasi amarah itu.

Cuma satu Tok Guru kena ingat. Atas sejarah yang akan tercatat selepas itu beliau harus bertanggungjawab di dunia dan di akhirat. Saya percaya dengan kedudukan dan ilmu setaraf dengan jawatan itu Mursyidul Am, Tok Guru sudah mendapat ilham direct dari Tuhan. Kalau tidak masakan dia berani untuk mengemukakan cadangan demikian yang bertentangan sama sekali dengan lunas-lunas demokrasi dan semangat ukhwah dalam Pas.

Apa yang menjadi harapan saya semoga Tok Guru tidak tertipu. Jangan pula suara Tuhan yang didengari itu adalah suara Tuhan palsu seperti mana yang ditunjukkan dalam filem-filem Hindustan. Maksudnya cadangan itu bukan dari dhamirnya tetapi dari nafsu orang lain yang tergilakan kuasa dan kini dalam keadaan kepanasan!

Adalah dipohonkan kepada Tok Guru apabila beliau sudah tidak menyukai Abdul Hadi wajarlah kalau beliau menamakan seseorang yang sesuai dan cocok untuk menjadi presiden Pas. Jangan hanya tahu mencadang tetapi tidak menyiapkan calonnya? Dalam muktamar lalu saya sudah mencadangkan calon kesukaan Tok Guru agar menentang Abdul Hadi tetapi kenapa takut untuk berbuat demikian?

Bila Tok Guru sudah tunjuk calonya boleh sama-sama kita nilai dan tilik apakah ianya lebih mampu ataupun tidak untuk memimpin Pas? [wm.kl. 12:00 t/hari 23/10/09]

Thursday, October 15, 2009

Ulasan Ucapan Najib

Fahami Dua Mesej Tersirat Najib

PRESIDEN Umno, Mohd Najib Tun Razak baru saja selesai menyampaikan ucapan dasar sulungnya di perhimpunan agung Umno ke-60. Najib mengambil masa selama 1 jam 28 minit dan terpaksa meneguk air sebanyak enam kali.

Ucapan dasar itu memang ditunggu-tunggu oleh semua pihak bukan saja ahli Umno tetapi para pemerhati dari dalam dan luar negara juga. Pembangkang juga saya percaya (yang tidak ada tugas lain) mengikut ucapan yang disiarkan secara langsung menerusi beberapa saluran tv itu dengan penuh minat.

Selepas ini akan adalah ulasan dan kritikan atau sinisme daripada pemimpin pembangkang ke atas ucapan dasar itu. Mereka akan mengulas mengenai sudut negatif saja dan akan menenggelamkan aspek-aspek positif untuk agama, bangsa dan negara!

Ucapan ini dikira penting dan mempunyai signifiken tersendiri bagi Najib dan Umno. Apa yang ditunggu ialah mengenai kupasan dan ulasan Najib mengenai usaha Umno meminda perlembagaan bagi memulihkan parti Melayu itu. Orang ingin menunggu apakah rasionalnya keputusan Umno meminda pelembagaan itu. Apakah ianya satu tindakan hakiki atau hanya retorik untuk mengabui mata umum saja.

Selain itu penghayatan ke atas ucapan dasar itu juga untuk menyelami dan membaca mesej-mesej tersirat yang dicuba disampaikan Najib bagi difahami bersama.

Nampaknya Umno tidak ada menghadapi masalah dalam pindaan perlembagaan. Ahli Umno sepakat menerimanya atas prinsip untuk melihat parti berkenaan terus kekal sebagai parti pemerintah di negara ini.

Atas kepercayaan pindaan itu untuk memperkuatkan Umno ia akan diterima sebulat suara nanti. Kata Najib menerusi tema ucapan Menjunjung Tradisi dan Menzahirkan Perubahan, Najib yakin demokrasi dalam Umno akan dipulihkan, mendapat kepercayaan rakyat dan Umno terus akan menjadi peneraju kerajaan. Katanya juga tindakan itu sejarah buat Umno dan melambangkan keberanian Umno melakukan perubahan. Ini katanya adalah kesungguhan Umno untuk mengubah dirinya.

Menerima kata-kata Najib ini sebagai satu kebenaran, ini boleh difahami bahawa selama ini, khasnya sejak Umno di bawah kepimpinan Mahathir Mohamad, parti itu sudah tidak demokratik lagi. Ini juga bermakna selama 22 tahun Mahathir memegang jawatan itu dengan pemerintahan ala kuku besi dan menggunakan kuasa veto.

Jika Umno kini rosak parah dan perlu diperbaiki kerana ia tidak demokratik dan menjadi parti dimiliki seorang taukeh, maka orang yang perlu bertanggungjawab dan berdosa mewujudkan ini ialah Mahathir bin Mohamad. Sekiranya Umno tewas dalam pilihan raya nanti, Mahathirlah yang kena bertanggunjawab.

Apakah perubahan itu akan berjaya? Demokrasi dalam Umno akan dapat dipulihkan dan sehubungan itu akan berbondong-bondonglah generasi muda akan menyertai Umno kerana sudah berlalu perubahan itu? Pemilihan kepimpinan dua tahun depan akan menjawab persoalan ini.

Menerusi sistem dan kaedah pemilihan akan datang Umno bukan lagi dipilih oleh 1,500 perwakilan yang sudah dikandangkan, tetapi dipilih oleh 160,000 ahli bawahan.

Soalanya lagi apakah tidak akan berlaku kandang mengandang lagi di kalangan ahli bawahan yang diberi kuasa memilih itu. Kalau 1,500 para perwakilan sebelum ini dikandang dan diberikan makanan yang kompeks dan bergizi dalam bentuk pelet dan sebagainya, apakah ahli sebanyak 160,000 tidak akan dikandangkan dan diberikan makanan rumput dan daun-daun?

Dalam tujuan ini bagi saya, bukan soal jumlah kecil atau banyak kuasa memilih pemimpin yang menjadi sebab berlaku rasuah yang merosakkan Umno, tetapi yang penting kejujuran, kesungguhan dan keikhlasan ahli Umno seluruhnya dalam berorganisasi. Di sini apa yang perlu ditekankan ialah intergriti; kebersihan, kejujuran dan keikhlasan ahli Umno bukan bergantung kepada skla kecil atau besar.

Nampaknya dalam ucapan tadi Najib tidak menekankan aspek dalaman manusia terhadap ahli Umno ini. Tidak ada apa-apa cadangan atau pendekatan berasaskan agama dikemukakan untuk membina dalaman ahli Umno yang tepu dengan keimanan dan pemikiran yang baik. Apakah Najib terlupa mengemukakan ini dalam ucapan dasarnya atau beliau sememang kurang dengan dogma pendidikan Islam?

Adalah diharap semoga akan ada perwakilan semasa membahas ucapan dasar Najib itu mengemukakan cadangan-cadangan untuk merubahkan gaya hidup, pemikiran, sosial orang Umno menerusi pendekatan dan syaksiah Islam.

Meneliti secara umumnya, ucapan Najib sedarhana saja. Roh keseluruhan ucapan itu ialah beliau melahirkan iltizamnya untuk mengukuhkan Umno yang sekaligus memastikan beliau tidak akan menjadi PM hanya satu penggal saja seperti mana yang diramalkan di luar sana.

Kesungguhan dan iltizam itu juga menunjukkan Najib begitu bimbang dan cemas dengan masa depan Umno terutamanya bagi meghadapi pilihan raya akan datang. Kemenangan tidak rasional Umno di Bagan Pinang minggu lalu nampaknya tidak dijadikan azimat besar kepada Najib dan Umno. Umno tampaknya faham kenapa mereka boleh menang besar itu.

Apabila beliau membawa sejarah Umno serta mengemukakan prediction yang tidak tepat terhadap Umno, mencerminkan apa yang bergelora di dalam hati Perdana Menteri itu.
Hujah Najib semua prediction mengenai nasib malang dan kecelakaan yang bakal menimpa Umno yang dibuat selama ini semuanya tidak betul. Katanya, sejak tahun 50-an lagi Umno sudah dibayangkan akan hancur apabila PAS ditubuhkan. Kemudian ia diikuti pada tahun 1969 apabila Perikatan hilang majoriti 2/3 dalam pilihan tahun itu.

Selepas itu beberapa kali lagi prediction dibuat mengenai nasib Umno termasuklah pada tahun 1987 apabila berlaku perpecahan dalam Umno. Dan terbaru apabila UBN kalah teruk tahun lepas sehingga hilang majoriti 2/3 di parlimen serta kehilangan lima buah kerajaan negeri.

Satu perbezaan nyata dan boleh dipuji dalam ucapan Najib ini berbanding dengan ucapan dasar oleh presiden lain, khasnya Mahathir ialah beliau tidak menyerang pembangkang dan mengkritik peribadi. Inilah kehebatan seorang najib. Beliau tidak emosi dan prihatin kepada keadaan semasa dan seorang yang membuat mahasabah ke atas diri dan partinya sendiri. Sikap Najib begini menyerlahkan sikap terbukanya dalam mencari kebenaran.

Najib juga mengambil sikap berbeza, dimana tidak bermusuh dengan sesiapa pun dan tawaduk dengan membuka pintu untuk berkerjasama dengannya atas matlamat untuk membina bangsa dan negara dan sedia mengenepikan kepentingan-kepentingan lain yang remeh temeh.

Dalam pada itu ada dua mesej yang diselit Najib dalam ucapannya tidak boleh dipandang rendah oleh mereka di luar Dewan Merdeka bangunan Umno itu.

Mesej itulah anjurannya supaya orang Melayu bersatu. Saya percaya mesej ini dilemparkan kepada orang-orang Melayu yang berada dalam wadah berlainan, terutamanya Pas. Beliau sangat berharap dalam menghadapi cabaran globalisi ini orang Melayu perlu bersatu dan memahami risiko masa depan mereka. Beliau juga mempercayai orang Melayu tidak perlu dan tidak larat untuk berpecah.

Mesej kedua, dan ini menggerunkan saya sedikit, ialah bila Najib menceritakan kebaikan Umno dan ketidaksediaan Umno untuk mengkhianti demokrasi. Katanya pada tahun 1969 di mana selepas berlakunya Trgaedi 13 Mei, Umno boleh mengubah kondisi politik negara, menjadikan sistem dua parti ataupun menyerahkan pentabdiran kepada tentera ketika itu.

Tetapi menurutnya Umno tidak melakukan itu dan masih memberi peluang kepada sistem demokrasi. Apakah maksud dan tujuan Najib mezahirkan perkara itu memberi gambaran Umno masih berkesempatan dan sedia melakukan tindakan itu?

Saya tidak menolak kenapa Najib meluahkan itu kerana ada buah kilas di sebaliknya. Jika Umno sudah terdesak dan keadaan negara sudah sukar dikawal mungkin Umno dengan kuasa politik yang tersisa akan membenarkannya.

Yang menarik juga bagi saya dalam ucapan ini Najib nampaknya berusaha mendewasaan dirinya dengan elemen-elemen Islam yang mendamaikan hati tatkala mendengarnya. Beberapa perkataan atau intri Arab berhubung dengan siasah dan tarbiah disebutkan Najib dalam ucapannya.

Begitu juga pembukaan ucapan dengan membawa firman Allah dan petikan kata-kata Saidina Ali, ada tanda-tanda Najib kini sedang mendalam falsafah Islam yang mungkin akan diterapkan dalam pentadbirannya ataupun aura Nik Abdul Aziz Nik Mat sudah menjangkitinya sejak beliau menziarahi MB Kelantan yang keuzuran di hospital tidak lama dulu! [*** kl. 11:30 am 15/10/09]

Catatan: Bekas Presiden Umno, Abdullah Ahmad Badawi dan Ketua Bahagian Ketereh, Annuar Musa didapati tidak hadir semasa ucapan dasar.

Sunday, October 11, 2009

Ulasan Pilihan Raya Bagan Pinang

Kemenangan Yang Tidak Rasional

[kemaskini] MEDIA masa pro kerajaan yang kempunan sejak pilihan raya kecil Permatang Pauh tahun lalu, esok akan dapat mengembangkan senyum hingga ke pipi. Akhbar-akhbar arus perdana dan media eletronik perdana juga boleh menambahkan muka surat atau memanjang siaran untuk melaporkan kemenangan bergaya UBN di Bagan Pinang sekejap tadi. Kemenangan itu perlu diuar-uarkan.

Seperti selalunya bila UBN menang akhbar dan tv akan menyiarkan secara besar-besaran. Akhbar penjilat buntut UBN dan segala macam kroninya esok akan meletakkan gambar Mohd Isa Samad yang sedang angkat telunjuk simbol 1 Malaysia dimuka depan. Najib dan Rosmah juga turut gembira.

Maka akan diulas dan dicincanglah Pas selumat-lumatnya dengan apa yang berlaku dan ternatijah dalam pilihan raya itu. Ditafsirkan kemenangan itu menunjukkan Pas dan Pakatan Rakyat ditolak oleh rakyat. Bahawa UBN sudah mula mendapat kepercayaan rakyat semula. Bahawa 1 Malaysia diterima oleh semua lapisan rakyat.

Maka bersedialah Pas dan rakan Pakatan serta penyokongnya untuk menghadapi hari esok, menerima ulasan penuh emosi dan egois, sombong dan tinggi hidung dipihak UBN dalam media arus perdananya.

Memang untuk bergembira itu adalah hak UBN. UBN yang sudah kesekian lama haus dan malu kerana satu demi satu kalah, dengan kemenangan wajar tadi wajar merasa gembira ataupun melompat-lompat di padang luas beramai-ramai untuk meraikan kemenangan Mohd Isa itu.

Majoriti 5,435 undi yang dicapai calon mereka Mohd Isa Abdul Samad itu memang besar, lebih besar daripada bukit Qaf dicerita dalam hikayat di tanah Arab. Lagipun dalam demokrasi tidak ada perhitungan apakah kemenangan itu cara baik atau sebaliknya. Yang penting ia menang hatta dengan satu undi dan tidak perlu kita memikirkan bagaimana kaedah mencapai kemenangan itu. Kitab politik sekular dari kulit berwarna apa saja menerima perkara itu.

Tetapi hanya UBN berhak merayakan kemenangan itu. Bagi mereka yang sihat akal dan waras merasa malu untuk menerima kemenangan itu. Majoriti diraih oleh Mohd Isa itu sesuatu yang tidak rasional! Biasanya mereka yang tidak rasional sahaja yang menerima hal-hal yang tidak rasional.

Bagi saya, majoriti sebanyak itu benar-benar tidak rasional dan masuk akal. Makanya sukar untuk diterima kemenangan itu seagai kemenangan hakiki seperti mana orang UBN merasainya sekarang. Untuk apa kita berseronok dengan kemenangan palsu! Perbuatan itu samalah dengan menipu diri sendiri. Persis kita mengakui kaya tetapi poket kosong. Bukankah keadaan itu menyusahkan kita bila mana kita berhadapan dengan hakikat?

Hakikat untuk menentukan apakah UBN atau Pakatan Rakyat akan mendapat sokongan bukan dalam pilihan raya kecil. Tetapi dalam pilihan raya umum. Kalaupun Pakatan menang, mereka juga tidak boleh mendabik dada dan tinggi hidung mengatakan mereka sudah lebih hebat dari UBN. Justeru kemenangan yang dicapai sebelum ini bukan merupakan kayu ukur tepat untuk menilai kekuatan pengaruh melainkan boleh dijadikan pemandu semangat saja dan pencetus perubahan mendatang.

Disebabkan kemenangan dengan majoriti tidak rasional maka ramai orang terkejut dengan pencapaian Mohd Isa itu. Mahathir juga mungkin termenung panjang berfikir bagaimana Mohd Isa boleh menang besar. Paling mengejutkan Mahathir ialah Isa seorang yang cemar moral politiknya boleh dipilih semula menjadi pemimpin.

Mereka yang tidak boleh berfikir secara rasional atau memaca makrifat di sebalik kemenangan UBN semalam, mungkin lemah gemalai dan tidak lalu makan menerima keputusan pilihan raya berkenaan. Muhyiddin Yassin sendiri ketika mengulas kemenangan itu mengatakan ianya sesuatu yang tidak terduga. Apakah maksudnya itu? Apakah ada tektik atau strategi penipuan untuk menang besar bagi pihaknya.

Kenapa tidak rasional? Jawabnya mudah, kerana pengundian yang berlaku bukan atas kerelaan kesemua pengundi di Bagan Pinang. Mohd Isa menang kerana berlaku undi yang sudah dipenjara oleh UBN. Maksud undi yang dipenjarakan atau ditawan itu ialah undi pos di kalangan tentera dan polis sebanyak 4,221.

Sekiranya tanpa undi penjara ini atau undi yang digari ini, majoriti yang rasional ialah sekitar 1,500 atau 2,000 sahaja. Semua orang beranggapan demikian. Apabila Isa memperolehi undi diluar dugaan maka peninglah dan terkejut beruklah segala orang. Apa lagi sebelum ini pun banyak yang tidak kena dalam proses pengundian dengan berlakunya peraturan-peraturan dan teknik yang tidak rasional dan lebih memihak kepada parti pemerintah.

Cuba bayangkan secara logik jika undi pos itu tidak digari, apakah ia mungkin kesemua undi pos sebanyak 4,122 akan mengalir kepada Mohd Isa. Apakah tentera semuanya tidak tahu menilai antara intan dengan permata. Ada juga askar atau polis yang membaca berita dan mengetahui kisah Isa. Tetapi kerana undi mereka telah digari apalah yang boleh mereka lakukan, kecuali akur saja. Undi mereka mengalir ke dalam peti undi Isa tanpa diizinkan. Tahniah kepada menteri pertahanan kerana berjaya menggarikan undi tentera.

Saya percaya berdasarkan pencapaian pilihan raya lalu, undi tentera akan turut mengalir ke dalam peti undi Pas. Kalaupun tidak mencecah sampai 50 peratus tetapi 30 peratus mungkin ada. Seperti mana diketahui dan didakwa Pas, tentera yang berhak mengundi dan berada dalam kem hanya sekitar 1,200 sahaja. Manakala selebihnya tidak diketahui ke mana mereka dan undi mereka misteri.

Ini bermakna undi tentera yang benar-benar bebas dan terbuka sebanyak 1,200 undi saja, manakala selebihnya yang sudah digari untuk UBN. Daripada undi pos Pas hanya mendapat 601. Kemungkinan undi itu ialah daripada 1,200 tentera yang mengundi sendiri itu. Manakala undi tentera yang selebihnya sebanyak 3,000 lagi semuanya melayang tanpa izin ke dalam peti undi UBN ataupun ditukar dengan sejumlah wang?

Seandainya undi sebanyak 3,000 lagi diberikan kebebasan, mungkin Pakatan dapat meraih sekurang-kurang 30% daripada jumlah itu. Kalau Pas dapat undi sebanyak itu ini bermakna Pas mendapat 1,000 undi lagi. Jika dicampurkan undi ini dengan undi yang Pas perolehi hari ini, 2,578 bermakna undi Pas ialah sebanyak 3,578.

Kalau ini berlaku bermakna Isa tidak akan dapat undi sebanyak 8,013. Paling-paling Isa hanya mampu meraih undi sebanyak 6,500 saja. Jadi undi yang boleh dianggap relevan dan rasional untuk kedua calon hari ini ialah, Isa sekitar 6,500 undi manakala Pas disekitar 3,500 undi. Dengan angka ini majoriti yang berhak diraih Isa sekitar 3,500 saja.

Pencapaian ini pun dikira tinggi, tetapi ia masih lagi dalam lingkungan logik dan rasional.

Justeru kepada penyokong UBN jangan terpengaruh dengan majoriti tidak rasional itu. Dalam perkiraan politik, kalau UBN dapat 3,000 undi, ini bermakna mereka (Pakatan) memerlukan kira-kira 1,500 undi sahaja lagi untuk mengatasi UBN. Kelebihan 1,500 di pihak UBN itu bolehlah disimpulkan undi peribadi Mohd Isa di Bagan Pinang dan bukan undi untuk UBN.

Kesimpulannya kalau undi pos bebas dan bukan Mohd Isa yang menjadi calon, UBN mungkin akan terus menangis, dan pilihan raya itu akan dimenangi oleh Pakatan.

Apapun ulasan dan tanggapan berhubung pilihan raya kecil itu, semua pihak hendaklah menerima hakikat bahawa keputusan adalah muktamad. Soal kemenangan itu dicapai secara adil, halal atau kotor itu soal lain. Apapun sifatnya ia harus diterima kerana ia dihalalkan oleh demokrasi yang kita dokongi bersama hari ini. Tidak boleh dinafikan dalam konteks melakukan provokasi, tindakan melampau kedua pihak turut sama terliat, kerana tepuk tangan sebelah tidak akan berbunyi.

Kepada Mohd Isa diucapkan tahniah, dan kepada Pas jangan tangisi kekalahan ini kerana majoriti besar itu bukan menandakan hakikat rakyat menolak Pakatan dan Pas. [wm.kl. 9:00 pm 11/10/09]

Analisa Pagi Bagan Pinang

UBN Dijangka Menang Dalam Kekalahan

SETENGAH jam lagi akan bermulalah pengundian di Bagan Pinang. Setelah mendengar dan menilai penjelasan dan kempen kedua pihak selama lapan hari pengundi akan membuat pilihan. Kita percaya kesemua 13,664 pengundi berdaftar di Bagan Pinang sudah membuat keputusan siapa yang akan mereka pangkah. Keputusan yang diterjemahkan hari ini adalah keputusan yang dibuat, paling akhir menjelang tengah malam tadi.

Sejajar itu juga debaran kini kian kencang dan rasa ingin tahu mendesak dalam hati setiap pemerhati politik. Sehingga menjelang petang nanti teka teki kalangan pemerhati masih berterusan. Biasanya selepas tengah hari gambaran keputusan sudah mula dapat dibayangkan. Pencerap politik akan membuat perhitungan berdasarkan kepada lagak dan lenggang lengguk pengundi baik ketika memasuki tempat mengundi atau ketika keluar. Kalau ada barung panas, pengecaman dan perkiraan awal dilakukan di sini. Biasanya barung parti yang ramai dikerumuni pengundi parti itulah akan menang.

Bercakap fasal pilihan raya kecil N31 Bagan Pinang ini, dari segi fizikal dan semangat UBN merasakan mereka akan menang. Awal-awal lagi UBN yakin kali ini mereka akan dapat menebus kekalahan dalam tujuh pilihan raya lalu. Ada beberapa faktor kenapa UBN merasa begitu. Antaranya ialah kerana pengaruh mereka cukup kuat di Bagan Pinang dan percaya Bagan Pinang masih kekal sebagai kubu ampuhnya.

Bertolak dari itu UBN merasa mereka akan menang. Apa lagi dengan meletakkan Mohd Isa Samad keyakinan UBN bertambah, kerana Isa dikehendaki oleh pendudukan tempatan. UBN mempercayai bahawa reputasi calonnya itu tidak tercalar dan terus mendapat sokongan.

Sebenarnya perletakkan Mohd Isa yang mempunyai masalah moral seperti calon mereka di Permatang Pasir adalah satu perjudian besar dilakukan UBN. Kalau UBN menang hari ini parti itu akan tetap kalah kerana tidak berjaya menampilkan calon bersih!

Pilihan raya ini juga memperlihatkan keyakinan Pakatan Rakyat berbeza dengan dibeberapa pilihan raya kecil lain. Mungkin keadaan Bagan Pinang diketahui sebagai kubu kebal UBN menyebabkan Pakatan mengambil sikap tidak banyak cakap atau mengarai harapan yang tinggi.

Pakatan khasnya Pas juga mengalami sedikit masalah dari segi jentera pilihan raya tidak seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah, di mana ahli mereka sudah terlatih dan mahir dalam berpilihan raya. Jentera pilihan raya Pas Bagan Pinang ini digerakan oleh petugas luar. Ini masalah Pas.

Besar kemungkinan dalam pilihan raya ini Pakatan tidak akan merayakan kemenangan total dengan memperolehi kerusi itu. Tetapi Pakatan tetap juga merasai kemenangan dari sudut-sudut lain yang mana dengan kemenangan itu akan dijadikan penambah semangat kepada perjuangan mereka. Pakatan harus sedar Bagan Pinang berbeza dengan pilihan raya ditempat lain, baik muka bumi politik, budaya, adat dan juga sejarahnya.

Walaupun pengaruh Pakatan mula meluas di Negeri Sembilan, hakikatnya UBN masih menguasai kerajaan negeri. Situasi ini memeri semangat lebih kepada UBN. Sebaliknya sekiranya hari ini Negeri Sembilan sudah ditawan Pakatan, walaupun Bagan Pinang kubu UBN sudah tentu pilihan raya hari ini akan dimenangi Pakatan. Semangat memerintah akan memecahkan kekuatan kubu UBN itu.

Bagi UBN setelah mereka merasakan selesa dengan kemenangan, apa yang diharap atau mahu ditunggu hari ini ialah angka majoriti yang akan diperolehi. UBN mengidam untuk mengekalkan majoriti yang diperolehi dalam pilihan 2008 lalu sebanyak 2,333 undi disamping memimpikan majoriti 4,411 yang diraih pada pilihan raya 2004. Mungkin UBN akan berjaya mengekalkan majoriti 2008 tetapi sukar untuk mengacapi majoriti 2004.

Sebaliknya kalau majoriti UBN hari ini merudum ke angka bawah 2,000 ini bermakna UBN boleh diistyharkan kalah. Keadaan ini juga sudah cukup membahagiakan Pakatan dan mereka bolehlah menari dan membayangkan untuk menguasai Negeri Sembilan pada pilihan raya umum ke-13 nanti. Kejayaan mengekang UBN dengan majoriti sekitar 2,000 adalah kejayaan buat UBN.

Ada beberapa faktor yang boleh dirumuskan secara ringkas pilihan raya hari ini.

  • Kejayaan UBN bergantung kepada faktor pengundi Melayu. Sekiranya pengundi Melayu bertambah ini bermakna UBN boleh memperbaiki reputasinya hari ini. Kemenangan besar UBN pula akan disumbangkan oleh peratus tinggi pengundi Cina dan India serta pengundi kalangan muda.
  • Sekiranya peratus pengundi Cina dan India melebihi 80 peratus ia memberi gambaran buruk kepada masa depan UBN dan keputusan pilihan raya ini juga turut menjejas UBN. UBN sangat memerlukan undi bukan Melayu sebagai menampung undi pos yang sudah dimilikinya. Dipercayai dari jumlah sekitar 4,000 undi pos UBN menguasai lebih 70 peratus iaini kira-kira 2,800.
  • Pakatan pula bergantung kepada undi orang muda dan undi Cina dan India di samping diharap berlaku pertambahan dari kalangan undi orang Melayu. Kemenangan kepada Pakatan akan berlaku sekiranya undi Cina dan India kepada Pakatan melebihi 80 peratus disamping mengekalkan undi golongan muda.
  • Dijangka peratus keluar mengundi sekitar 80 peratus iaini kira-kira 10,931. Berdasarkan perkiraan rambang hari ini UBN dikatakan menguasai sekitar 58 peratus undi. Ini bermakna UBN bakal meraih kira-kira 6,339 undi berbanding dengan UBN sebanyak 42 peratus atau pun sekitar 4,591. Berdasarkan perkiraan itu majoriti dipihak yang menang sekitar 1,748.
Sekiranya dapatan di atas itu benar bermakna UBN tidak akan dapat bergembira dengan pilihan raya hari ini dan mereka tetap dianggap kalah. Jelas Mohd Isa yang dicagarkan itu tidak mampu mengembalikan kegemilangan UBN! [*** 8:00 am 11/10/09]

Saturday, October 10, 2009

Darah Palsu Di Bagan Pinang?

Strategi Silap Atau Taktik Melampau

KEMPEN Pas pada pilihan raya kecil Bagan Pinang pada awalnya berjalan lendik, lancar dan bersih nampaknya berakhir dengan suasana tidak begitu menyenangkan ekoran dakwaan Pas kononnya penyokongnya ditetak oleh penyokong UBN, walhal berita itu hanya lebih kepada satu gimik dan provokasi saja.

Keadaan ini sudah pasti ia meninggalkan kesan tidak baik kepada keputusan pilihan raya berkenaan. Kejadian yang berlaku di hujung kempen ini juga turut menjejaskan nama baik Pas sebagai parti yang berlandaskan akhlak al-Quran. Apa yang berlaku sebenarnya, dan di manakah silapnya?

Diawal lagi ketika meneliti gambar dikatakan seorang penyokong Pas yang dimuatkan dalam portal berita Pas yang dikatakan ditetak ia menimbulkan pertanyaan kepada saya. Sebab itu saya tidak sedia copy gambar berkenaan dan dimasukkan dalam posting saya mengenai kejadian itu. Beberapa penjenguk blog saya mempertikaikan kenapa saya tidak selitkan gambar mangsa berkenaan, dan ada yang menuduh saya sebagai tidak peka!

Ada yang mengirimkan kepada saya gambar berkenaan yang dicopy daripada portal berita parti itu dan ada juga yang dikirimkan ke dalam FB saya. Kenapa saya tidak teruja dengan gambar itu ialah kerana ia agak melampau. Si mangsa juga nampaknya releks sahaja dan tidak menunjukkan keperitan atas apa yang berlaku. Entah kenapa perasaan saya kurang yakin dengan penampilan gambar berkenaan.

Sepatutnya jurugambar lebih bijak dan kreatif mengambil wajah mangsa berkenaan. Seharusnya di close-upkan di tempat luka. Biar nampak jahitan atau tulang. Lagi real. Dan sudah tentu dalam kes jenayah seperti itu memerlukan bukti laporan polis. Nama mangsa dan detik-detik kejadian serta saksi. Saksi juga tidak disertakan dalam laporan berkenaan.

Kalau setakat laporan rambang dan penuh dengan rekaan untuk menimbulkan kebencian dan kemarahan, ia bukan pemberitaan yang tepat. Bersalahan dengan etika kewartawanan dan Islam juga marah melakukan provokasi demikian. Sesuatu yang tidak benar adalah fitnah walaupun siapa yang melakukannya.

Apakah dalam konteks ini kalau fitnah itu dilakukan oleh sesama kita ianya boleh dihalalkan dan kalau fitnah dilakukan di pihak lain ia haram perlu dikutuk siang dan malam? Inilah sikap berat sebelah yang tidak baik diamalkan.

Ada peringatan dari cerdik pandai berbohong jangan lebih daripada dua kali. Kalau lebih daripada dua kali maka akan naaslah jawabnya!

Seperti dikatakan tadi laporan tanpa usul periksa atas kejadian yang menimpa mangsa tidak bernama itu menjejaskan Pas yang dianggap bersih selama ini. Barang kali benar juga kata orang sejak berkawan dengan PKR, Pas kini sudah pandai melakar strategi dan taktik di luar kerangka pemikiran dan landasan hukum diamalkan parti itu selama ini. Apa-apa yang diajar dan ditunjukkan oleh PKR dan DAP tidak seharusnya Pas mengambil semuanya. Ingat juga kemenangan yang mutlak itu kemenangan yang melalui kaedah yang dihalalkan! Pada saya biarlah kita kalah dengan kebenaran daripada menang dengan kebatilan!

Tidak dinafikan bahawa pilihan raya di negara ini berjalan dengan penuh kepincangan dan kekotoran. Bukan bermakna orang Pas tidak dipukul dan dibelasah sebelum ini, ada. Sudah beribu orang Pas dan penyokong Pas yang menjadi mangsa. Bukan saja setakat berlumuran darah, tetapi ada yang maut dan syahid semasa kempen. Ayah saya dan sepupu saya juga pernah menjadi mangsa pemuda tahan lasak Umno tahun 60an.

Bagaimana pun kejadian-kejadian dan kezaliman itu tidak boleh diambil sebagai lesen untuk mengatakan pihak musuh jahat. Kalau benar mereka jahat, kejam dan zalim buktikan apa yang mereka lakukan. Biarlah kejahatan itu mereka lakukan dan bukan kita mencipta dan membayangkan kejahatan mereka.

Kalau tidak ada bukti maka terjadilah seperti hari ini, ia menyusahkan dan menyebabkan Pas terjejas dengan apa yang berlaku. Kini orang mulai mempertikaikan mengenai wibawa Pas dengan apa yang berlaku itu. Gara-gara pembohongan itu juga menyebabkan kalau sesuatu kejadian seumpama itu benar-benar berlaku di masa akan datang ia boleh menjadikan orang keliru sama ada hendak percaya atau tidak.

Dalam hal ini saya tidak mahu menyalahkan Pas khasnya jentera pilihan raya kempen di Bagan Pinang seratus peratus. Mungkin apa yang berlaku itu diluar pengetahuan dan kawalan pengarah pilihan raya berkenaan dan mungkin juga ia helah pihak musuh. Tetapi yang terlepas pandang dan ghairah untuk membantu Pas, perlu dipersalahkan.

Dalam hal ini portal berita parti berkenaan serta blog yang pro Pas, individu penyokong Pas harus dipertanggungjawabkan sama kerana menyiarkan berita, menghantarkan SMS yang tidak sahih dan dari sumber yang tidak tepat. Malang bagi mereka yang melaporkan kejadian itu kerana tidak menggunakan ilmu serta bijak mencongakkan apa yang berlaku. Kerana kelalaian itu telah menimbulkan risiko, kini mereka perlu berikhtiar dan memikirkan bagaimana untuk mengatasi masalah yang timbul daripada laporan atau catatan yang tidak tepat dan melampau itu.

Portal berita parti berkenaan seharusnya profesional sesuai ianya dirujuk oleh pelbagai pihak di seluruh dunia. Sepatutnya ia tahu menilai mana yang baik mana yang buruk. Mana yang boleh menjejaskan Pas dan mana yang menguntungkan Pas. Di sini mereka yang mengendalikannya perlu daya kepengarangan yang tinggi, strategis dan bukan hanya tahu politizekan apa-apa saja yang dihumbankan kepadanya.

Di masa akan datang penyiaran berita bersifat jenayah ini harus lebih berhati-hati dan tidak pakai tangkap muat sembarangan. Ingat, pembaca hari ini bukan mudah diputar belit. Mereka akan mengkaji disetiap sudut. Apa yang penting kebenaran dan bukannya provokasi. Kebenaran yang akan kekal manakala provokasi akan terlerai juga dijalanan bila sampai masanya. Kebatilan akan padam.

Apa yang paling penting dan perlu dijaga ialah wibawa portal berita berkenaan dan blog-blog pro pembangkang lain juga. Kita tidak mahu satu masa nanti wibawa portal berita dan blog pro pembangkang tidak akan dipercayai oleh pembaca kerana terlalu memuatkan berita yang hampas. Bagi memastikan wibawa blog dan portal berita ini terjamin kualiti dan peranannya ia hendaklah diawasi bersama dan bentuk pemberitaan atau provokasi juga perlu dinilai semula.

Dalam masa tidak sampai 48 jam saya tidak fikir Pas dapat memperbaiki keadaan berhubung berita provokasi berlebihan itu. Kalau pun ada pendapat mengatakan kejadian itu didalangi oleh pihak musuh yang sengaja mahu memburukkan Pas, rasanya pembuktiannnya bukan mudah. Tuduhan itu tidak lebih daripada cuba menyembunyikan garam dalam laut sahaja.

Penjelasan Pengarah Pilihan Raya Bagan Pinang, Sallahuddin Ayub (foto atas) mengenai berlakunya beberapa kesalahan termasuk orang Pas diganggu tidak mudah untuk menimbuskan berita provokasi mengenai 'mangsa Pas' yang teruk dibelasah itu. Kecualilah Sallahuddin dapat mengesahkan mangsa yang berjujusan dengan darah itu bukan ahli Pas dan penyokong Pas. Bahawa dia hanya sengaja menahan mukanya dengan sebalan darah dipotretkan untuk dijadikan bahan kempen bagi memburukkan Pas.

Apakah Sallahhdin boleh jelaskan hal ini dalam masa 48 jam? Bagi Sallahuddin sendiri kena ingat kegagalan atau kelemahan jentera pilihan raya Bagan Pinang dipertanggungjawab ke atas bahunya. Pilihan raya itu adalah ujian pertama baginya selaku Naib Presiden Pas. Kalau Pas kalah tidak mengapa ia tidak menjejaskan Sallahuddin, tetapi kesilapan yang berlaku di sepanjang pilihan raya itu boleh menjejaskan kredibilitinya sebagai seorang pemimpin! [wm.kl. 10:00 am 10/10/09]

Tuesday, October 6, 2009

Melerai Keresahan

Pengganti Tok Guru Sudah Ada

SETELAH membaca catatan Dinsman dalam blog detikdaily.com Ogos lepas dibawah kolom Penulis Tamu, saya telah menghantar notis lisan kepada Dinsman menyatakan saya akan cuba menjawab persoalan yang beliau bangkitkan dalam tulisan itu.

Saya berbuat begitu kerana saya merasakan berpengetahuan serba sedikit bersabit persoalan yang diangkat Dinsman itu. Saya rasa ianya perlu dihuraikan untuk mencari sebab musabab kenapa permasalahan itu timbul.


Dalam pada itu saya tidak percaya kalau Dinsman jahil terhadap persoalan yang dilontarkan itu. Sebagai penulis, pengamat politik macam saya, saya yakin Dinsman bisa menghuraikan tanpa dimediakan isu itu. Malahan jiwa penyair yang dimiliki Dinsman lebih halus untuk menjamah persoalan itu secara damai dan tuntas. Justeru beliau mengangkat mauduk itu untuk direnungi bersama dan diteaterkan dalam minda umum. Itulah motifnya.

Apa yang bermain di kepala Dinsman ialah siapakah bakal mengganti Tok Guru Nik Aziz Nik Mat sebagai pemimpin Pas Kelantan dan juga selaku Menteri Besar. Pertanyaan inilah juga yang menggaru-garu benak banyak orang. Kerana itu pertanyaan ini sering mendapat perhatian dan membutuhkan jawaban. Ia semakin menjadi ‘gatal’ lagi apabila mengenangkan hayat Tok Guru sebagai MB semakin menghujung.

Kecemerlangan dan kilauan beliau sebagai MB benar-benar sudah melayakkan untuk beliau berhenti dalam keadaan aman dan dimegahi dunia. Pada 21 Oktober ini genaplah 19 tahun beliau menjadi MB dan memimpin Pas Kelantan. Satu jangka yang menunjukkan kehebatan beliau dan mungkin sukar dipecahkan pencapaian ini oleh mana-mana tokoh selepas ini. Sebab penjelmaan tokoh seperti di Tok Guru Nik Aziz – ulama dan mujadid akan berlaku dalam setiap satu abad saja.

Sehubungan itu Dinsman melukis kebimbangannya mengenai siapa yang akan mengganti Tok Guru itu. Langsung itu juga beliau bertanya kenapa tidak ada orang yang ingin menjadi seperti Tok Guru dalam persiapan untuk mengganti Tok Guru dan mengambil kepimpinan Pas.

Kata dan tanya Dinsman;

“Mengapa tidak ada orang yang nak ikut macam dia? Berpakaian macam dia. Tinggal dalam rumah seperti rumah dia, yang tak ada pagar, tak ada orang gaji, bersebelahan dengan masjid, dalam kawasan sekolah agama yang dijalankan oleh ahli keluarganya. Tiap waktu menjadi imam di masjid, dan khasnya solat Subuh setiap pagi, dengan tazkirah ringkas selepas solat Subuh.

Dengan rasa kagum tambah Dinsman; “Selalu menyampaikan kuliah agama, tak kira di mana dan tak kira sama ada pendengarnya ramai atau sedikit. Dan pada setiap pagi Jumaat, selama satu jam, menyampaikan kuliah tafsir al-Quran di tengah-tengah bandar ibu negeri. Ini jadual tetap yang dianggap paling penting. Menyampaikan tafsir al-Quran yang dilihat dari sudut hubungannya dengan isu-isu semasa.

Kata Disman lagi; “Hidup serba sederhana. Suka memberi sedekah. Duit gajinya setiap bulan dipotong 45 peratus untuk sumbangan kepada parti dan kerajaan. Elaun rumah tak diambilnya, elaun keraian tak diambilnya, elaun buka puasa dan elaun hari r
aya juga tak diambilnya, dan macam-macam lagi.”

Apabila Dinsman mengungkitkan itu jiwanya semacam penuh dengan gumpulan kekesalan dan heran memanjang, kenapa tidak ada watak-watak seperti Tok Guru itu dalam Pas kini. Padahal amalan yang dibuat Nik Aziz adalah terbaik. Beliau adalah sebaik-baik model yang perlu diikuti dan dicontohi. Malangnya tidak ada murid yang lahir dari kewujudan itu. Madrasah politik Tok Guru selama 19 tahun tidak melahirkan murid seperti beliau. Inilah yang dimusykilkan Dinsman.

Apa yang membimbangkan Dinsman ini seperti mana diawal tulisannya, satu hakikat tidak dapat dielakkan bahawa suatu hari Nik Aziz akan pergi juga. Betapa sayang dan kasihnya orang kepadanya beliau akan pergi juga. Atas sifatnya sebagai makhluk baru beliau akan sirna juga. Pemergiannya tidak dapat ditahaan atau dilambatkan walaupun sesaat. Sedangkan kekosongan itu perlu diisi oleh tokoh yang sepadan dan sejiwa dengannya bagi memastikan kesenimbungan kepimpinan Pas dan kerajaan Kelantan.

Nada kebimbangan Dinsman mengenai hal ini ada logik dan benarnya kerana dalam matanya belum ada bayangan bakal pengganti dan orang berkelayakan mengambil alih tempat Nik Aziz. Belum ada tokoh berperibadian seperti Tok Guru Nik Aziz.

Kata Dinsman hanya ada seorang Nik Aziz di atas dunia bukan alasan da ia tidak patut dijadikan hujah dalam soal mencari orang seperti Tok Guru. Kerana kata Dinsman Nik Aziz begitu beriya untuk melahirkan kepimpinan berperibadian seperti Rasulullah s.a.w. sepatutnya dalam tempoh 19 tahun itu Pas Kelantan tidak bermasalah untuk mencari penggantinya. Tempoh itu terlalu lama, seharusnya sudah ada beberapa Abu Bakar as Siddik, Omar Khattab, Othman Affan atau Ali Abu Thalib. Tetapi realitinya belum ada mereka yang pantas untuk menjadi pengganti Nik Aziz.

Sebenarnya bukan saja Dinsman mengharapkan demikian. Saya sendiri selaku pemerhati politik Kelantan dan bergaul dengan sebahagian besar pemimpin Pas Kelantan dibelenggu permasalahan itu. Sudah lama saya mengesali keadaan ini. Dalam tilikan saya tidak ada orang yang ingin menjadi seperti Tok Guru atau cuba belajar menjadi Tok Guru seperti mana diharapkan Dinsman itu.

Jika Pas menerima orang seperti Tok Gurulah yang layak dan sesuai mentadbir Kelantan, seolah keyakinan itu disia-siakan saja kerana usaha melahirkan orang seperti itu tidak dilakukan secara langsung dan serius oleh jemaah itu.

Sebenarnya kerja untuk mewujudkan sosok seperti Nik Aziz bukan senang. Tok Guru bukan boleh duplicate seperti mana kita menfotokopikan dokumen. Saya ada pengalaman dan terlibat secara langsung membenihkan seorang calon untuk menjadi pengganti kepada Tok Guru. Beliau dipilih kerana dilihat lama mendampingi Tok Guru. Atas keperayaan dia banyak mempelajari corak hidup dan memegang ilmu siasah Tok Guru saya kira dia dapat dididik menjadi calon yang baik.

Harapan terlalu tinggi diletakkan kepada peribadi itu. Namun harapan itu akhirnya terbangkalai dijalan. Salah sangka dari jangka, calon itu tidak mampu membina dan dibina dirinya menjadi bayangan kepada Tok Guru Nik Aziz. Adalah amat mustahil dalam masa singkat ini kalau peribadi itu dapat memperbetulkan dirinya kemudian muncul menjadi pengganti Tok Guru!

Dalam perhatian saya ada beberapa faktor kenapa tidak mudah untuk mencetak seorang lagi Nik Aziz di Kelantan. Faktor atau kesukaran itu seperti mana rumusan ringkas mengenai diri Tok Guru Nik Aziz ini;

Nik Aziz seorang tokoh yang berperwatakan zuhur, tawaduk dan merendah diri. Beliau seorang kawan dan guru dalam politik dan agama. PR beliau sangat membanggakan kerana itu beliau disenangi oleh semua orang dan semua kaum di mana-mana saja.

Beliau juga berfikiran verstaile dan ever green. Walaupun dia seorang tok guru, berpendidikan agama yang selalu dianggap sebagai jumud, lambat dan kolot oleh golongan sekolar, namun bukan begitu dengan Nik Aziz. Beliau berjaya dan pandai menyesuaikan diri dan pemikirannya dengan tuntutan semasa. Beliau adalah pembawa pemikiran baru apabila berani meruntuhkan tahyul-tahyul atau fahaman lama dalam agama.

Selain berani beliau juga seorang yang istiqamah dengan keyakinan dan pendiriannya. Inilah adalah asas untuk seorang tegak sebagai pemimpin. Tengok bagaimana beliau terus menegakkan kebenciannya kepada Umno kerana tidak yakin dengan pendirian parti itu terhadap Islam. Beliau tidak peduli dan gerun kepada apa yang dibilang kepadanya. Beliau juga seorang yang apologetik, sedia mengaku kesilapan dan tidak ego melulu. Beliau sedia memohon maaf jika dirasakan tindakannya tidak betul. Apa yang berlaku ke atas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa adalah salah satu contoh keperibadian mulia Nik Aziz yang bukan mudah untuk diteladani.

Inilah antara kelebihan dan inilah kewibawaan yang ada kepada Nik Aziz. Semua sifat-sifat ini jarang dimiliki oleh pemimpin Pas lain termasuk yang mahu menjadi Tok Guru untuk menjadi MB Kelantan. Kebanyakan calon dan orang yang berhajat untuk menggantinya hipokrit kononnya memiliki peribadi Tok Guru walhal itu hanya lakonan hujung minggu saja.

Sebagai contoh mengenai budaya berpakaian serban dan kupiah, pakaian ala tok guru. Kalau berada di Kelantan mereka tidak akan membuang kupiah dan nampak zuhur tetapi selepas saja melewati sempadan Kelantan di Gua Musang atau Jertih atau Golok atau Takbai, kupiah mereka akan hilang entah ke mana. Saya sendiri pernah melihat bagaimana seorang Exco menyembunyikan kupiah dalam poket seluar bila berada di pasar raya di Bukit Bintang. Dan bagaimana lucunya mendengar cerita kupiah seorang wakil rakyat Kelantan melayang jatuh ke dalam lautan Pasific semasa menaiki feri pelancongan!

Selain itu hakikat yang kena terima untuk Nik Aziz berada di mercu yang diduduki hari ini bukan gampang. Beliau melalui perjuangan yang panjang. Pendidikannya juga mapan untuk muncul sebagai pemimpin dan ulama. Beliau bukan saja memiliki satu kepakaran dalam bidang agama, tetapi mengetahui beberapa kepakaran lain. Perjuangannya dalam Pas bukan secara dibentuk oleh isu dan keadaan semasa tetapi atas keyakinan kepada perjuangan Pas yang berlandaskan Islam.

Keistimewaannya juga beliau seorang yang hafiz al-Quran, mampu mentafsir Quran. Beliau juga seorang penghafal Hadith dan berjaya mengupas Hadith dan diberikan kefahaman secara moden dan mudah difahami untuk disesuai dengan zaman kini. Pendeknya kelengkapan dirinya dengan ilmu Islam sebaik selesai berkhatan lagi dan bukan selepas beranak tiga atau berbini dua. Maknanya beliau memang dididik dengan Islam dari awal dan bukan menemui Islam sesudah remaja di kolej atau universiti atau sesudah mengikut usrah gerakan Islam kontemporari kerana ajakan kawan dan rakan.

Pergaulan beliau juga luas merentasi benua. Beliau pernah belajar di India dan Mesir. Ketika inilah beliau mempelajari ilmu hubungan antara manusia dan hubungan antara negara. Peluang dan ruang inilah yang memungkin beliau mudah mengolahkan dirinya dengan dunia apabila berada di tempatnya kini.

Apabila ditilik dan dibandingkan kepada calon-calon yang akan mengambil tempat beliau, pemimpin Pas Kelantan hari ini, mereka tidak memiliki kemampuan dan aset itu. Walaupun mereka profesional yang dilihat hebat tetapi profesional itu dalam satu aspek sahaja. Kekurangan-kekurangan itulah tidak melayakkan mereka menjadi seperti Nik Aziz dan seterusnya menjadi MB Kelantan yang berfikir global.

Apa yang dapat disimpulkan di sini ketiadaan atau kegagalan orang untuk meniru cara hidup Nik Aziz ialah kerana kurangnya ilmu dan tidak mempunyai kepakaran khusus dalam bidang agama seperti mana dimiliki Nik Aziz itu. Tokoh-tokoh yang ada hari ini malas untuk mendalami ilmu. Sebalik setengahnya lebih rajin untuk mempelajari tektik dan keadah bagaimana hendak memanipulasikan projek pembangunan kononnya untuk rakyat sedangkan manfaatnya untuk diri dan kroni.

Barang kali melampau kalau dikatakan tidak ada seorang tokoh pun yang memiliki ilmu dan pegangan siasah seperti Nik Aziz. Kalau boleh disebut di sini dalam pemerhatian saya ada dua tokoh agamawan yang berpotensi atau ada iras-iras Tok Guru Nik Aziz. Malahan pada satu masa mereka sudah pun ‘dilatih’ oleh Nik Aziz sebagai tokoh penting di Kelantan.

Mereka itu ialah Ustaz Yahya Othman dan Ustaz Mohamad Daud Iraqi. Kedua-duanya bekas Exco Kelantan. Kedua tokoh ini memiliki ilmu agama yang cukup tinggi dan mempunyai syaksiah yang baik. Mohamad Daud seorang ahli fikah yang tidak ada tolak bandingnya. Seorang penghafal Hadith dan mahir dalam hukum hakam. Dalam kes-kes tertentu Nik Aziz sendiri merujuk mengenai hukum hakamnya dengan Mohamad Daud.

Begitu juga dengan Ustaz Yahya Othman. Penglibatannya dalam gerakan Islam peringkat antarabangsa menyebabkan beliau mempunyai ramai kawan dan sahabat di negara Islam. Beliau pernah terdedah dengan gerakan Islam dan dakwah internasional. Di dalam Pas beliau dianggap sebagai mentor dan guru yang memberi didikan dan terbiah mengenai Siasah dan dakwah Islamiah dan perkedaran.

Tetapi sayang mereka ini tidak dapat pergi jauh dan berada di belakang Tok Guru kerana kelemahan mereka dalam bidang admistratif dan iktisad. Mereka boleh dikatakan jahil langsung berhubung dengan bidang ini dalam konteks politik demokrasi. Mereka buta mengenai strategi dan taktik perang yang dihalalkan oleh Machiavellisme. Kerana kelemahan inilah menyebabkan mereka gagal meletakkan diri mereka setanding dengan Tok Guru Nik Aziz dan kemudian terpaksa diundur atau berundur.

Jadi apakah kini masih ada tokoh yang oleh dianggap berkelayakan seperti kedua mereka itu? Jawabnya ada. Sesungguhnya pengganti Nik Aziz sudah pun ada! Hari ini orang itu umpama ceding kecil yang tumbuh dibatang. Dia masih terlindung dan dinaungi pokok induk. Dia perlukan dipupuk dan dibajai. Sesudah pokok induk sudah tidak ada dia akan menyerlah, subur dan merimbun seperti pokok asalnya juga. Sabarlah bila sudah sampai masanya nanti saya akan menyorot tokoh ini secara menyeluruh. [wm.kl 7:30 am 06/10/09]

PERHATIAN: Rencana ini ditegah dicutpagekan dalam manna-mana blog pengumpul tanpa keizinan. Bagaimanapun link terus dibenarkan. Tegahan ini bagi mengelakkan komen-komen yang dibuat menerusi blog pengumpul dimasukkan tanpa pengetahuan penulis di mana sukar untuk penulis membuat ulasan terhadap komen-komen itu jika perlu ia dibuat demikian. Salam MSO.

Monday, October 5, 2009

Analisa Pencalonan Mohd Isa

UBN Tidak Tanding di Bagan Pinang?

PROSES penamaan calon pilihan raya kecil N 31 Bagan Pinang, Negeri Sembilan sudah pun selesai Sabtu lalu. Kali ini tidak ada orang kurang siuman demokrasi yang ikut menyertai pilihan raya berkenaan. Walaupun awalnya ada ura-ura seorang kurang simuman demorkasi ingin mencuba nasib, tetapi tidak menjadi. Mungkin tidak ada pencadang dan penyokong serta wang deposit RM5,000 maka nawaitu itu dibatalkan.

Mujurlah... kejadian di Bukit Selambau, Kedah tidak berulang di Bagan Pinang. Kalau tidak haru juga dibuatnya.

Tanpa adanya penyertaan manusia demokrasi tidak siuman, (calon bebas) maka pilihan raya kali ini berlaku pertandingan dua penjuru menemukan musuh tradisi Pas dengan Umno. Pas meletakkan Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar, 45 manakala UBN meletakkan bekas MB, Mohd Isa Samad, 59.

Dari pandangan umum memperlihat perbezaan ketara antara dua calon ini seorang muda dan baru, seorang lagi usang dan tua. Seorang beriteri dan seorang menduda kerana kematian isteri. Seorang belum diketahui rekod kepimpinannya dan masih suci, manakala yang seorang lagi sudah diketahui rekod kepimpinannya selama 22 tahun dan tahu kegagalan dan kelemehannya.

Proses penamaan calon kelmarin juga berjalan lancar tanpa ada insiden yang menitiskan darah dijalan raya. Kalau pun ada hanya jerit menjerit dan caci maki antara satu sama lain. Perkara ini sudah biasa dalam ‘sabung’ politik di negara ini. Selagi tahap ketamdunan demokrasi kita ditakak Tadika, sabung politik yang rendah adat itu akan terus berlaku.

Kandatipun ada seorang ahli majlis tertinggi Umno, Abdu Azeez Abdul Rahim kononnya ditumbuk bertubi-tubi oleh beberapa orang namun keabsahan kejadian itu masih belum pasti. Walaupun ada kecenderungan mahu menyalahkan penyokong Pakatan Rakyat, ia perlu disiasat sedalam mungkin dan tuduhan itu bersifat mencurah minyak ke bara api.

Kalau benar dakwaan pihak berkuasa sudah mengenal pasti pelakunya, tunggu apa, bawa ke muka pengadilan dan pamerkan muka mereka. Jangan hanya sebut dan salahkan mana-mana pihak. Cara begitu hanya menimbulkan kesan buruk. Sekiranya pihak berkuasa gagal mendakwa dan mempamerkan wajah pelaku itu dalam tempoh kempen ini bermakna apa yang menimpa Abdul Azeez itu hanya satu sandiwara yang tidak cukup latihan sahaja untuk meraih simpati.

Tidak mustahil apa yang berlaku ke atas Abdul Azeez itu adalah perbuatan dia sendiri. Jika teori pemimpin agung Umno, Dr Mahathir Mohamad digunapakai apa yang terjadi itu tidak menghairankan. Mahathir pernah menuduh Anwar Ibrahim menghantukkan mukanya ke lutut sesama dalam penjara hingga lebam mata. Tujuannya dakwa Mahathir Anwar berbuat begitu untuk menarik simpati orang ramai.

Walhasil siasatan Suruhanjaya di Raja menunjukkan Anwar dibelasah oleh polis. Maka ternafikan dakwaan jahat Mahathir ke atas Anwar itu.

Orang yang bijak dan punya akal lebih sejengkal tidak akan mudah terpengaruh dengan kejadian didakwa yang bersifat provokasi itu. Banyak keanihan yang boleh dipertikaikan atas kejadian itu. Menurut dakwaan Abdul Azeez beliau ditumbuk bertubi-tubi. Bersamanya yang turut cuba ditumbuk ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Kepengunaan, Ismail Sabri Yaacob.

Persoalanya apakah bersama menteri dan Abdul Azeez itu tidak ada polis atau pengawal keselamatan. Biasanya seorang menteri dan seorang vvip seperti Abdul Azeez itu akan diberi kawalan rapi oleh polis dan pasukan keselamatan partinya sendiri. Bukankah banyak pemuda Umno yang memakai vest bertulis “Pasukan Keselamatan”. Apakah mereka tidak nampak kejadian itu?

Ataupun polis nampak kejadian itu tetapi sengaja membiarkan saja? Soalnya kenapa mereka biar? Inilah menyebabkan timbul tanggapan kejadian itu sebagai provokasi. Ia dilakukan sendiri dari kalangan Umno kerana motif tertentu seperti mana motif yang Mahathir tuduhkan kepada Anwar itu.

Berbalik kepada perihal calon UBN di Bagan Pinang, iaini Mohd Isa Samad, sebelum ini Umno Kuala Lumpur bertegas tidak mahukan Isa. Pemimpin agung Umno itu sendiri telah mengeluarkan gesaan terbuka agar menolak Mohd Isa. Beliau berbuat begitu difahami kerana mahu menjaga imej Umno.

Sebab Mohd Isa dilarang dari diambil menjadi calon ialah kerana latar belakang dan calaran hitam beliau yang terlibat dengan rasuah dalam politik. Mohd Isa pernah digantung keahlian selama tiga tahun dan jawatan yang dimenangi dengan rasuah juga dinafikan. Beliau adalah banduan rasuah politik. Sebagai banduan politik rasuah Mohd Isa dilihat akan mecemarkan Umno. Kalau dia dipilih menjadi calon, menunjukkan Umno hanya menanam tebu di bibir mulut saja mengenai soal rasuah. Inilah yang Mahathir pertikaikan.

Ada munasabahnya kalau pemimpin agung Umno berpendapat demikian. Bagi Dr Mahathir, Umno harus meletakkan seorang calon yang bersih dan bebas rasuah. Baginya Umno kalah tidak mengapakan kerana kekalahan itu masih dapat menjaga keutuhan Umno. Apa guna Umno menang kalau kemenangan itu dari tangan seorang banduan?

Tetapi lain dengan pemikir sesetengah pihak dalam Umno. Kerana mereka memikirkan calon bersih, tidak pasti akan membawa kemenangan maka mereka harus letakkan Mohd Isa yang dianggap sebagai dapat mempertahankan kerusi UBN itu. Mereka juga suka kalau Isa menjadi calon kerana mereka akan mendapat manfaat kilat darinya. Mohd Isa seorang pemurahan dan 'dermawang'.

Dalam konteks ini Umno tidak lagi mengambil kira impak ke atas intergriti Umno yang didakwa sebagai memperjuangkan Islam sebaliknya semata-mata memantingkan kuasa (kemenangan). Kalau Umno meletakkan soal intergiti Umno tidak akan tergamak walaupun mengambil Mohd Isa sebagai pencadang atau penyokong apa lagi untuk diletak sebagai calon.

Keputusan Umno memilih Isa itu menunjukkan parti itu benar-benar terdesak dan hilang kompas. Soal keperibadian, kesucian pemimpin bukan menjadi perhitungan lagi. Apa yang penting Mohd Isa boleh membawa kemenangan, itu saja difikirkan.

Sekiranya ada seorang pembunuh lebih berpengaruh dari Mohd Isa di Bagan Pinang Umno rela mencalonkannya sekiranya pembunuh itu dijamin akan membawa kemenangan.

Bagi Umno kemenangan penting untuk menjaga agar zon selatan di mana satu-satu zon dianggap selamat dan masih utuh. Implikasinya besar kalau Bagan Pinang yang berada di zon selatan sudah roboh ia menandakan semua zon yang menjadi milik Umno sebelum ini akan berkecai dalam pilihan raya umum akan datang.

Sesungguhnya Umno dan Barisan Nasional (UBN), tidak bertanding di pilihan raya kecilk Bagan Pinang 11 Oktober ini. Ini kerana Isa bukan atas kehendak Umno tetapi atas kehendak kaum keluarga dan penyokong Isa yang diberi makan macam ayam daging sejak lebih 30 tahun lalu. Isa dipilih oleh ‘para ayam daging’ bukan dipilih oleh Umno.

Apa sebnenarnya yang berlaku di Bagan Pinang, Umno telah menswastakan pencalonan itu kepada Isa kerana Umno sudah tidak mempunyai wibawa dan modal untuk berhadapan dengan Pas dan Pakatan Rakyat yang semakin mendapat sokongan dan modal dari rakyat bebilang kaum.

Jadi kalau pun Mohd Isa kalah dalam pilihan itu kelak Umno tidak perlu merasa sedih dan kecewa kerana Mohd Isa bukan calon mereka yang sebenarnya! Kalau Isa menang juga, kemenangan itu tetap mengalahkan Umno kerana parti itu tunduk kepada tekanan para ayam daging di Teluk Kemanng. [wm.kl. 8:45 am 05/10/09] PERINGATAN: Tulisan ini bukan untuk dicutpage untuk disiar mana-mana blog pengumpul. Bagaimana pun pengambilan secara link terus dibenarkan. Larangan ini kerana pengambil secara cutpage menyebabkan komen-komen terhadapnya tidak dapat dipantau dan diberikan ulasan langsung oleh saya jika ianya perlu dibuat demikian. Salam MSO.

Sunday, October 4, 2009

Soksek-Soksek di Kelantan

Ada Orang Politik Ditarik Gelaran Datuk?

SELAIN daripada masalah orang yang memohon untuk menjadi anak angkat dengan bakal bapa angkatnya, yang ‘kalut malut’ sehari dua ini di Kelantan, ada satu lagi cerita yang belum tersingkap ke muka dunia. Bagaimana pun isu ini sudah menjadi bualan dan soksek-soksek secara senyap di kalangan tertentu saja. Orang-orang kanan dalam kerajaan dan politik sudah pun mengetahui isu ini. Ia hanya menanti masa saja untuk gempar.

Isunya ialah mengenai seorang ahli politik yang menerima darjah kebesaran membawa gelaran Datuk daripada Sultan Kelantan khabarnya akan ditarik balik darjah kebesaran itu. Kalau perkara ini benar ia tentulah menggemparkan dan umum akan melihat ada masalah berlaku di Kelantan waktu ini antara orang politik dengan istana?

Penarikan darjah kebenaran di Kelantan selalunya akan menjadi perhatian umum. Rakyat dan masyarakat akan melihat penarikan itu sesuatu yang mengaibkan bagi yang terlibat dengan penarikan itu. Ia akan dilihat orang berkenaan dimurkai pihak istana, kalau tidak masakan darjah kebesaran dan gelaran itu ditarik balik. Dan natijah seseorang dimurkai istana amatlah trajis dalam minda Melayu.

Sultan atau pun mereka yang berkuasa mengurniakan darjah kebesaran biasanya tidak mudah untuk menarik balik sesuatu anugerah, kalau bukan kerana sebab-sebab tertentu yang besar. Tetapi apabila penerimanya melakukan kesalahan, cara lain tidak ada melainkan menarik balik darjah kebesaran atau pingat bagi menjaga maruah dan juga kedaulatan isana, daripada memberi pengikhtirafan kepada mereka yang tidak berhak.


Penarikan itu bukan menunjukkan Sultan atau pihak yang memberi itu murka sepanjang hayat, tetapi adalah sebagai pengajaran dan dijadikan teladan membaiki diri. Tidak mustahil kalau penerima itu berkelaluan baik, dapat menunjukkan bakti dan perangai yang elok serta taat setia kepada Sultan ia dipulangkan semua.


Menyebut perihal kejadian ini ia berlaku sejak tahun 60-an lagi. Kalau tidak silap saya, orang politik pertama yang ditarik darjah kebesaran di Kelantan ialah Datuk Mohd Asri Muda, bekas MB Kelantan. Darjah kebesaran yang dianugerahkan kepadanya pernah ditarik balik. Bagaimana pun kerana Allahyarham menerima beberapa darjah kebesaran dari Sultan atau pembesar lain yang juga membawa gelaran datuk, maka gelaran Datuk itu terus kekal pada pangkal namanya dan ia semacam tidak terjejas.


Selain itu, Hussein Ahmad (kini Tan Sri) juga menerima nasib yang sama. Darjah kebesaran yang diberikan kepadanya membawa gelaran Datuk ditarik balik oleh Sultan Kelantan, Sultan Yahya Petra. Hussein diminta agar menyerahkan pingat kebesaran itu. Peristiwa ini berlaku pada awal tahun 1980-an. Kerana Hussein hanya menerima satu gelaran saja, maka gelaran Datuk tertanggal dari namanya. Untuk beberapa ketika beliau hanya dikenali dengan Cikgu Hussein semula. Bagaimana pun selepas itu, Umno telah mengrokemkan kerajaan Melaka untuk memberi darjah kebesaran kepada Hussein yang membawa gelaran Datuk.


Saya masih ingat kejadian ini telah dipolitizekan. Hussein bersama rombongan telah berarak ke Istana Balai Besar untuk menyerah sendiri darjah kebesaran itu dalam satu upacara yang disusun khas untuk mendapat publisiti. Sikap berani dan kejantanan Hussein menjadikan krisis beliau dengan pihak istana semakin membesar dan belum 'sendik' sampai ke hari ini.


Lain-lain kejadian seumpama itu, penarikan balik pingat dan darjah kebesaran di Kelantan, pernah menimpa dua orang ahli Exco Kelantan, Takiyuddin Hassan dan Mohamad Daud Iraqi. Pingat kebesaran yang dianugerahkan kepada mereka ditarik balik.


Sebab-sebab penarikan balik tidak dinyatakan kepada umum, tetapi yang jelas pihak yang mengurniakan pingat dan darjah itu ada hak dan alasan untuk berbuat demikian.


Bagaimana pun setahun setengah selepas itu anugerah yang ditarikan itu dikembalikan semula dan Takyiddun selepas itu dianugerahkan pula dengan darjah kebesaran membawa gelaran Datuk. Bagi Takiyuddin ada hikmatnya mengalami peristiwa itu kerana beliau mendapat untung berganda.


Dari sudut politik cerita penarikan balik gelaran atau anugerah kebesaran ini sangat sensitif. Ia boleh menjejaskan kredibiliti dan populariti orang berkenaan di mata rakyat. Orang yang terlibat juga akan dilihat buruk oleh rakyat. Ia juga dicapkan sebagai penderhaka.


Usahkan darjah kebesaran ditarik balik, kalau seseorang ahli politik itu tidak dibenarkan menghadap ataupun mengiringi Sultan atau Pemangku Sultan, atau menghantar Sultan ke lapangan terbang sewaktu Sultan hendak berangkat pun sudah memalu dan mengaibkan. Ketiadaan seseorang pembesar negeri dalam majlis umum Sultan tanpa sebab dilihat umum orang itu sebagai bersalah atau tidak disenangi Sultan.


Di Kelantan sebelum raya lalu telah tersebar cerita mengenai seorang Exco kanan tidak termasuk dalam senerai orang-orang kenamaan yang diminta untuk mengiringi Sultan atau Pemangku Sultan. Nama Exco ini juga tidak disenaraikan sebagai orang-orang kenamaan yang dibenarkan untuk menghantar Sultan ke lapangan terbang. Bagi pihak pejabat Sultan tentu ada kesalahan atau kekhilafan besar dilakukan Exco ini maka nama Exco berkenaan digugurkan dan dihalang daripada bersalaman dengan Sultan atau Pemangku Sultan.


Rasanya nama Exco ini akan turut terbongkar apabila nama orang politik yang dikatakan akan ditarik balik darjah kebesaran itu tersebar di media massa tidak lama lagi. Biarlah di sini kita tidak mendahului pihak istana dalam memaklumkan perkara ini kepada umum. Biarlah sesudah pejabat istana mengesahkan baru kita menyebut satu persatu dan juga melukiskan kesalahannya. Kerja sultan dan istana jangan dilangkaui.


Apapun di sini, ingin saya timbulkan apakah masih wajar lagi kejadian-kejadian menarik darjah kebesaran itu berlaku di Kelantan? Para penasihat Sultan atau Pemangku Sultan atau pihak istana eloklah berfikir banyak kali dalam soal ini sebelum mengambil tindakan seumpama itu. Atau kalau tindakan itu hendak juga diteruskan, cuba hitung kiri dan kanan jangan sampai ia menjejaskan nama baik Sultan atau Pemangku Sultan.


Saat ini nama Pemangku Sultan begitu indah dan manis dimulut dan mata rakyat. Di segenap penjuru negeri orang memuji dan kagum dengan sifat mulia dan prihatinnya kepada rakyat. Rakyat berdia agar beliau memerintah dengan baik, sempourna dan penuh keadilan. Beberapa tindakan demi rakyat yang baginda lakukan menunjukkan sesuatu yang positif dan sangat mendapat pujian.


Kita percaya Sultan atau Pemangku Sultan akan bertindak atas nasihat para penasihat dan orang-orang kepecayaan baginda saja. Kalau salah nasihat dan maklumat diberikan, maka salahlah tindakan dan keputusan diambilnya.


Sama-samalah menjaga nama baik Sultan, Pemangku Sultan, Raja Perempuan dan istana Kelantan seluruhnya. Jangan sesekali ada pihak-pihak yang licit menggunakan nama-nama institusi ini utuk kepentingan diri dan berlaku zalim pada yang lain.


Allah selamatkan Kelantan dan kepada-MU kami berserah! [wm.kl. 1:10 /thari 04/10/09]

Thursday, October 1, 2009

Keluhan Perantau

Wang Mara Habis Kerana Dirompak

MENJELANG Syawal lalu saya menerima satu email dari seorang penuntut berbangsa Melayu di luar negara yang mengadu masalah mendapatkan bantuan kewangan daripada Mara. Pelajar berkenaan mengeluh dan kesal kerana Mara gagal menyalurkan bantuan kewangan kepada pelajar. Pelajar itu mempersoalkan kenapa berlaku demikian.

Beliau sendiri sudah beberapa kali menghubungi Mara bertanyakan mengenai hal itu. Malangnya pihak Mara menjelaskan institusi itu tidak mempunyai dana untuk menampung bantuan kepada para pelajar yanng mula disalurkan pada tahun 1974 itu.

Pelajar itu mempersoalkan kenapa berlaku keadaan demikian? Sebelum ini katanya walaupun negara dilanda kemelesetan ekonomi, tetapi Mara masih lagi dapat menghulurkan bantuan.

Apakah keadaan kewangan Mara hari ini begitu teruk, tanya beliau? Dan kalau benar teruk apakah tidak ada usaha dan ikhtiar untuk menambahkan dana untuk pendidikan, soalnya lagi?

Menurut pelajar itu disebabkan Mara tidak sedia membantu pelajar menyebabkan pelajar di luar negara yang miskin dan tidak ada sponsor menghadapi dilema, sama ada hendak meneruskan pelajaran ataupun tidak. Untuk pulang sayang kerana pengajian sudah masuk suku atau separuh jalan. Manakala hendak terus wang pula tidak ada.

Tujuan pelajar berkenaan mengadukan masalah itu kepada saya ialah untuk dihebahkan perkara ini. Beliau mahu perkara ini dibaca dan diketahui oleh pihak atasan, ahli politik, pihak Mara dan juga menteri-menteri sampai ke Perdana Menteri. Harapan besarnya semoga masalah yang mereka hadapi diselesaikan dan nasib mereka terbela. "Tolonglah Tuan bagi tahu kepada pihak atasan termasuk perdana menteri," tulisnya.

Sebenarnya keluhan dari pelajar luar negara ini bukan pertama kali tetapi sebelum ini sudah ada beberapa pelajar mengadukan hal yang sama. Manakala surat rayuan untuk mendapatkan derma pengajian tiba di rumah boleh dikatakan setiap bulan, terutamanya pelajar Timur Tengah.

Pelajar itu juga mempertikaikan sikap kerajaan yang memberi galakan anak-anak Melayu mengambil kursus kritikal dan profesional untuk meningkatkan daya dan kualiti hidup. Tetapi malangnya apabila ada anak-anak Melayu menyahut seruan itu, belajar bersungguh kerana untuk mengambil pengajian dalam bidang-bidang kritikal, peruntukan kewangan pula tidak diberikan. Keadaan ini katanya samalah seperti tahu melahirkan anak tetapi tidak tahu membekalkan makanan untuk mereka. (Kejam - MSO).

Sedih membaca email pelajar berkenaan. Apabila beliau mengirimkan kepada saya menceritakan masalah itu menunjukkan ia sudah sampai ke peringkat kritikal memikirkan masalah itu. Pelajar itu juga sudah buntu tidak tahu ke mana lagi hendak adukan masalahnya.

Kita boleh bayangkan betapa susahnya pelajar bersendirian berada di luar negera. Kos hidup dan peralatan pengajian tinggi. Bagi anak ahli korporat, anak pegawai tinggi kerajaan atau anak ahli politik, tidak menjadi masalah. Tetapi bagi anak nelayan, penoreh getah, pengayuh beca, cikgu sekolah rendah di mana nak dapatkan wang?

Dalam pada itu kita memahami masalah kewangan Mara pada masa ini. Kerajaan sudah menjelaskan mengenai hal itu berkali-kali. Justeru itulah pihak Mara sendiri telah membuat rayuan termasuk di akhbar kepada peminjam agar membayar balik pinjaman. Tindakan mahkamah yang kadang-kadang memalukan orang Melayu juga dibuat ke atas peminjam yang sengaja tidak mahu membayar. Ini semua menunjukkan kewangan Mara sudah nazak sampai terpaksa menagih hutang di depan publik.

Tetapi itu sebenarnya bukan alasan. Mara ditubuhkan untuk membantu orang Melayu dalam bidang utama; pendidikan dan usahawan. Itulah matlamat Mara. Penubuhannya dibuat menerusi akta Parlimen. Ianya bukan sengaja diwujudkan dan bukan juga secara sembunyi yang perlu diselindungkan kepada sesiapa pun. Mara adalah wadah membantu ekonomi dan pendidikan Melayu.

Kalau benar dana pendidikan Mara sudah kering, Mara harus mencari wang bagi meneruskan bakti mereka kepada anak-anak bangsa. Apa jalan sekalipun perlu diusahakan untuk tidak menghampakan harapan orang Melayu. Kalau Mara terpaksa mencuri dan merompak, ia halal dilakukan demi membantu orang Melayu.

Dalam usaha mendapatkan dana pendidikan Mara ini, pemimpin politik (Melayu) juga perlu kebijaksanan dan keberanian. Banyak instrumen atau saluran yang boleh dibawakan duit untuk Mara. Banyak institusi kerajaan (GLC) yang kaya raya dan boleh membantu Mara. Ingatlah hanyalah peruntukan menerusi Mara sahajalah yang merupakan gratis kemerdekaan kepada orang Melayu yang rebah dan menyulur memerdekakan negara ini. Apakah gratis yang kecil dan tidak seberapa ini pun hendak dihapuskan atau dinafikan juga kerana ada yang mengkritik dan mencemburuinya?

Mengenai masalah Mara ini, sebenarnya ia bukan tidak mendapat peruntukan. Setiap tahun kerajaan menyalurkan peruntukan berbillion ringgit. Tetapi apa yang berlaku ialah penyalahgunaan peruntukan ataupun pengurusan kewangan tidak berhemah dan berlaku pembaziran secara mentah-mentah. Perbelanjaan digunakan secara membazir dan pembaziran itu tidak pada tempatnya. Kekeringan tabung kewangan Mara juga buka kerana ia disalurkan kepada rakyat, tetapi disebabkan berlaku penyelewengan, atau rompakan dalaman Mara itu sendiri yang 'dirangah' oleh para kroni.

Banyak laporan dan gosip-gosip yang menceritakan bagaimana wang Mara disalahgunakan. Akibat ini segelintir kumpulan sahaja yang mendapat manfaat dan orang lain yang sepatutnya berhak menerima dinafikan. Seolah-olah institusi Mara dibangunkan untuk membantu segelintir manusia saja. Selalunya yang mendapat manfaat Mara ialah manusia berbangsa Umno dan kroninya saja ataupun yang menguasai badan berkenaan.

Bentuk rompakan ke atas Mara dilakukan dengan berbagai cara dan taktik. Satu contoh apabila Mara mencadangkan untuk mewujudkan kolej komuniti Mara di setiap bandar besar di negara
ini siapa yang mengaut keuntungan daripada projek berkenaan? Bukankah orang yang mencari bangunan atau tapak untuk kolej itu para pemimpin Umno. Bagaimana penyelewengan berlaku. Mereka akan menaikkan harga berkenaan berlipat kali ganda. Misalnya harga bangunan sebenarnya ialah RM5 juta tetapi dimark up sampai RM25 juta. Jadi yang lebih RM10 juta itu ke mana?

Sebab itulah kroni pemimpin Umno kaya raya dan hidup mewah. Pendapatan mereka adalah daripada projek-projek seumpama itu. Cuba check dan periksa sumber kewangan ketua-ketua bahagian dari mana. Boleh dikatakan semua ketua bahagian Umno ada lesen kelas A ataupun kroni yang memiliki lesen kelas A.

Banyak kalau nak disebut mekanisme untuk mendapat wang panas atau wang terpijak ini dari agensi Mara. Satu lagi contoh ialah mengenai projek yang disalurkan menerusi Tabung Ekonomi Usahawan (Tekun). Cerita Tekun ini saya akan kisahkan lain kali. Panjang kalau nak dihuraikan fasal Tekun di sini. Ada kes special mengenai Tekun ini yang berlaku di depan mata dan menimpa anak buah saya sendiri.

Kesimpulannya di sini kenapa kantong Mara kering kontang ialah kerana ianya dicurah kepada projek-projek berkenaan yang dikendalikan oleh kroni Umno. Selagi tidak ada pemantauan dan pembaiki dalam penggunaan wang ini, laborkan seberapa banyak wang pun ia tidak akan mencukupi. Dan apa yang paling menyesalkan wang sepatutnya digunakan untuk membantu orang Melayu dalam pendidikan dan perusahawan itu melayang ke tangan pihak lain yang tidak memberi pulangan menguntungkan kepada negara. [wm.kl. 12:00 t/hari 01/10/09]

Saturday, September 26, 2009

Perang Nafsu di Selangor

Isu Selcat, Siapa Si Kucing Liar?

“SHEIKH apa dah jadi dengan Selangor? Ulaslah sikit..!” Begitulah pertanyaan seorang kawan dari Kota Bharu yang diemailkan ke dalam Facebook. Beberapa teman lain juga turut sama bertanyakan perkara sama menerusi SMS. Meminta saya mengulas mengenai ‘kegemparan’ yang berlaku di Selangor kini. Apa yang telah terjadi di Selangor sebenarnya? Saya terlepas memantaunya kerana beraya di kampung.

Cuma semasa nak berlepas dari Kota Bharu untuk pulang ke Kuala Lumpur tengah hari kelmarin (24 Sept) saya sempat menyilau sebuah akhbar harian yang melaporkan berita Khalid Samad suruh Dr Hassan Ali meninggalkan Pakatan. Apa fasal? Saya tidak membaca habis laporan itu, tetapi sudah dapat memahaminya sebab musabab yang dihuraikan. Melihat kepada tajuk berita itu saya sudah dapat agakkan apa yang terkandung dalam berita itu seterusnya, ia tentu negatif buat Pakatan Rakyat.

Gambaran berita itu kenapa Khalid bertindak begitu kerana Hassan tidak bersetuju dengan cara Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat). Itu saja kesnya. Hassan mempersoalkan prosuder penyiasatan Selcat itu kerana dikatakan ia mengaibkan pegawai yang terlibat. Justeru beliau mencadangkan agar ianya diadakan secara tertutup. Cadangan Hassan itu disalah anggap sebagai menentang dasar kerajaan.

Sebenarnya kalau Khalid Samad kecam Hassan Ali, bagi saya tidak memelikkan. Ia bukan kerja ajaib ataupun perbuatan ganjil lagi. Memang tugas Khalid Samad akhir-akhir untuk mencari salah Hassan Ali saja. Atau mungkin juga Tuhan jadikan Khalid Samad untuk bertindak sebagai penganggu Hassan Ali untuk menguji sejauh mana ketahanan semangatnya sebagai pemimpin. Umpama Tuhan menjadikan syaitan untuk menggoda manusia bagi menguji keimanan hamba-Nya. Kalau godaan yang dilakukan Khalid itu dapat diatasi Hassan maka layaklah beliau menerajui Selangor!

Mungkin ceritanya menjadi ganjil dan menarik kalau pada hari raya lalu Khalid memuji kepimpinan Dr Hassan Ali sebagai Pesuruhjaya Pas Selangor. Atau mereka saling bermaaf-maafan dan bermaufakat untuk memperkuatkan Pas bagi memastikan Pas menang banyak kerusi pada pilihan raya akan datang dan seterusnya memerintah Selangor, dan bukan memperkuatkan mana-mana kuasa individu lain. Itu akan jadi cerita pelik dan menarik bagi saya. Tetapi kalau berita Khalid kritik Hassan sudah klise.

Sesampai di KL saya mencari maklumat di sebalik kenyataan Khalid itu. Saya kelebek situ dan buka sini takut-takut ada lagi masalah atau isu besar di sebalik teguran Hassan Ali kepada tindakan Selcat itu. Sampai disuruh Hassan keluar Pakatan tentulah besar salahnya! Manalah tahu takut-takut selepas beberapa hari lepas raya ini tiba-tia Hassan Ali mengistyharkan diri bergabung dengan Umno dan menumbangkan kerajaan Pakatan Rakayat. Manalah tau...

Cari situ dan cari sini tidak ada apa-apa perkembangan terbaru mengenai ura-ura penggabungan Pas dengan Umno di Selangor untuk membentuk kerajaan. Ianya menjadi kebimbangan pihak tertentu sahaja, sebahagain dari PKR dan sebahagian dari Pas Selangor sendiri yang dikepalai oleh Khalid Samad. Hassan Ali pun sudah menjelaskan mengenai tuduhan dan prejudis itu, bahawa ia tidak betul. Dalam masa sama Setiausaha Perhubungan Pas Selangor, Roslan Ahmad Shahir sering mengeluarkan kenyataan menegaskan bahawa Pas akan tetap bersama Pakatan.

Pun begitu penegasan dan penjelasan berkala itu bukan mudah dipercayai. Apa lagi ia dibuat mengikut arus angin. Tindakan ini dianggap sebagai pura-pura saja. Dan sikap inilah juga menyebabkan ada prangsangka terhadap Hassan dan beliau dianggap sebagai hipokrit.

Sebenarnya dalam tilikan saya usaha Hasaan nak menggabung diri dengan Umno itu kemudian beliau akan dilantik menjadi MB samalah dengan impian Sang Kurian hendak mengahwani Dayang Sumbi dalam cerita rakyat Indonesia. Di mana Sang Kurian diminta menyiapkan perahu oleh Dayang Sumbi dalam tempoh satu malam sebelum dapat mengahwininya. Kalau Sang Kurian dapat berbuat demikian maka dapatlah dia mengahwini Dayang Sumbi. Masakan dalam satu malam sebuah perahu dapat disiapkan! Nah begitulah cerita Hassan nak jadi MB itu tidak lebih dari itu. Apakah orang-orang seperti Khalid tidak membaca cerita dongeng ini?

Mengenai isu Selcat ini ia tidak perlu diperbesarkan begitu sekali sehingga mendesak Hassan Ali meninggal Pakatan atau keluar Pas. Cara dilakukan Khalid itu tidak berhemah dan terlalu menuruti emosi dan dendam peribadi. Apa yang Hassan Ali buat bukan kesalahan peringkat melawan ketua. Tindakan Hassan itu kalau hendak dibandingkan dengan apa yang Khalid lakukan ke atasnya (Hassan) jauh lebih berat kesalahan Khalid. Namun Khalid tidak pun sampai diminta meninggalkan Pas melainkan dipecat sebagai timbalan pesuruhjaya saja.

Hendak tak hendak buruk atau baik, Hassan Ali adalah pesuruhjaya Pas Selangor. Atas kapasiti jawatan itu walaupun beliau bebal, lembab dan sebagainya sekalipun Khalid kena menerimanya sebagai ketua. Dalam prinsip Islam perlu kena taat kepada ketua selagi ketua tidak melanggar hukum-hukum Allah. Apakah mempertahankan larangan terhadap arak melanggar hukum agama. Atau mempertahankan aib orang (para pegawai kerajaan) melanggar hukum agama?

Isu Selcat ini adalah isu yang sengaja diperpanjangkan dan cuba dibangkitkan oleh Khalid Samad dengan motif yang jelas untuk memburukkan imej Hassan. Tetapi bacaan Khalid itu silap kerana tindakan Hassan itu disokong oleh para pegawai kerajaan. Hassan dapat merasai sokongan pegawai kerajaan penting kepada sesebuah kerajaan kerana mereka agen pelaksana. Ini dilupai oleh Khalid Samad.

Bagi mereka yang tahu sejarah Khalid tidak akan merasa ganjil dengan tindakan beliau itu. Beliau boleh menghalau sesiapa saja agar meninggalkan Pakatan waima meninggalkan Pas, tetapi tidak semua ahli bersetuju dengannya. Khalid kena ingat kelantangan, keberanian dan sikap kurang ajar yang ada kepadanya bukan disenangi semua ahli Pas. Pilihan raya ke-13 kelak Khalid akan dapat mengukur sejauh manakah tindak tanduk dan pendekatannya hari diterima rakyat khasnya orang Melayu. Tindakan menghalau seseorang seperti dilakukan Kahlid itu menggambar seorang yang ego.

Pada saya, apa yang saya nampak kecaman Khalid terhadap Hassan itu bukan isu Selcat. Itu hanya sampingan sahaja. Tetapi yang sebaliknya ialah kerana rasa dendam Khalid kepada Hassan Ali. Kecaman berterusan itu untuk menjatuhkan Hassan di Selangor. Umum tahu beliau tidak senang dengan Hassan Ali bukan baru. Ada beberapa perisitwa yang menjadi Khalid iseng dengan Hassan Ali. Makanya Khalid hanya menjadi kucing liar di sebalik isu Selcat ini.

Punca pertama yang sangat menekan Khalid ialah apabila beliau dipecat sebagai Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor oleh Dr Hassan Ali setahun lepas. Pemecatan itu menjadi titik mula kebencian Khalid kepadaa kepimpinan Hassan Ali. Khalid tidak dapat menerima dan menduga Hassan bertindak demikian terhadapnya.

Tindakan Hassan Ali itu memang tepat. Sesiapa pun yang tidak dapat berkerjasama dengan satu team dan menjaga amanah parti perlu dipecat. Di Kelantan Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat mengambil kangkah yang sama. Mana-mana pemimpin yang tidak perform akan dipecat dan diganti dengan muka baru waima orang itu adalah besannya sendiri. Di Kelantan tidak ada pula yang memprotes sampai suruh Nik Aziz berhenti. Memang tidak ada guna kalau menyimpan lipan dalam selimut.

Usaha Khalid untuk menjatuhkan Hassan berterusan. Dalam muktamar lalu Khalid sangat berharap si baju petak-petak merah menang sebagai timbalan presiden Pas. Jika si baju petak-petak merah menang mungkin ada tuah kepadanya untuk menjadi Pesuruhjaya Pas Selangor. Malangnya si baju petak-pertak merah rebah tertiarap dalam muktamar berkenaan. Jadi impian Khalid turut sama sirna, lebih malang lagi Hassan Ali terus diberi kepercayaan untuk memimpin Pas Selangor.

Dendam dalam politik tidak mudah berlalu. Orang politik akan melalukan apa saja dan mengambil kesempatan atas apa sahaja untuk kepentingan dan kemenangannya. Kerana itu bagi Khalid, pantang Hassan Ali bercakap beliau akan kritik. Apa sahaja yang Hassan Ali buat beliau akan bantah dan diperbesar-besarkan untuk menarik sokongan umum bagi mencapai agenda peribadinya. Kalau takdir Khalid nampak Hassan Ali berak menghadap kiblat pun beliau akan dedahkan dan jadikan isu.

Jadi isu teguran Hassan terhadap cara Selcat yang menyoalsiasat para pegawai kerajaan ini sengaja diperbesarkan oleh Khalid Samad untuk memburukkan Hassan Ali. Ia ditimbulkan untuk menunjukkan sikap Hassan tidak sebulu dengan kerajaan Pakatan, dan mengharapkan orang Pakatan akan marah dan kecam kepada Hassan. Itu tujuannya dan motifnya.

Sekiranya Khalid mendinginkan kepalanya, teguran Hassan Ali itu ia tidak akan menjadi masalah. Hassan Ali bukan tidak setuju dengan perwujudan jawatan kuasa berkenaan, tetapi tidak setuju dengan caranya soalsiatnya. Selcat menyoal pegawai kerajaan secara terbuka tidak manis kerana ia mengaibkan pegawai berkenaan. Cara itu boleh mengeruhkan lagi hubungan pegawai kerajaan dengan kerajaan, dan kalau ini berlaku ia memberi masalah kepada kerajaan.

Kena ingat pegawai kerajaan adalah agen pelaksana polisi dan dasar kerajaan. Kalau mereka sebotaj ataupun bersikap dingin ia menyebabkan kerajaan yang susah. Jentera kerajaan akan jam dan semua kerja akan tergendala. Pada masa ini pun berapa urusan kerajaan bergerak perlahan kerana tidak ada komitmen tinggi dari pegawai kerajaan. Khabarnya semasa diadakan majlis sambutan Hari Malaysia 16 September peringkat Selangor baru-baru ini pegawai kerajaan telah memboikotnya. Dalam keadaan ini kalau perkara itu dibuat ke atas mereka ia menambahkan lagi masalah.

Teguran Hassan itu bagi memastikan pegawai kerajaan bersikap lunak dengan kerajaan. Itu sahaja. Apakah dengan membuat cadangan itu Hassan perlu tinggalkan Pakatan atau keluar dari Pas dan lepaskan jawatan pesuruhjaya kepada Khalid Samad? Yang kecam Khalid itu bukan pun ramai hanya Khalid seorang saja. Kalau yang setuju hanya mereka yang sewaktu dengan Khalid Samad dan beberapa rakan tea tarik Khalid di luar Selangor. Secara keseluruhan Hassan Ali masih mendapat sokongan ahli Pas.

Cuma dalam hal ini Khalid bertuah kerana mendapat kerjasama dari beberapa wakil rakyat DAP Selangor yang turut sama mengecam Hassan Ali. Antaranya ialah Tony Pua dan Jef Ooi yang turut sama mengecam Hassan Ali sebagai hendak menjadi hero membela pegawai kerajaan dan hipokrit. Tindakan Tony ini tidak menghairankan kalau dia bersikap lebih sudu dari kuah. Yang hipokrit bukan Hassan tetapi Pua. Anihnya bedalan Tony Pua kepada pemimpin Pas itu dibiarkan saja.

Kenapa ahli DAP lain tidak ikut sama mengecam Hassan Ali. Kalau diperhatikan mereka yang mengecam Hassan Ali itu adalah ahli atau wakil rakyat DAP yang bermasalah. Sama juga seperti Pas, DAP Selangor juga mengalami krisis dalaman sesama sendiri. Satu pihak berketuakan Ronnie Liu manakala satu pihak berpihak kepada, Teng Chang Khim, Speaker DUN Selangor.

Kesimpulannya isu Selcat yang timbul hari ini tidak sepatutnya sampai ada cadangan orang itu dan orang ini keluar gabungan dan sebagainya. Ia sepatutnya diselesaikan dengan baik dan diplomasi dan semangat uhkwah Islamiah yang tinggi. Pertelingkah dan perselisihan pandangan dalam apa jua perkara biasa. Malahan pertelingkahan itulah bakal menghasilkan natijah bermutu. Bukankah semua tahu baca dan faham maksud hadith? Jangan membaca hadith untuk dituju kepada orang Umno saja tetapi tujulah kepada diri sendiri juga.

Cadangan untuk mengadakan mesyuarat khas mengenai perkara itu Isnin depan adalah cara terbaik bagi menyelesaikan isu ini. MB, Khalid Ibrahim diharap dapat menjernihkan pertelingkahan ini. Cadangan untuk membawa ketiga pihak, Exco, pegawai kerajaan dan jawatankuasa Selcat bersemukaka juga adalah baik. Masalah ini menjadi rumit dan kelihatan besar apabila ada orang yang berniat jahat dan merasakan dirinya saja yang hebat, profesional dan kononnya ada pengikut ramai. [wm.kl. 11:15 am 26/09/09]