Tuesday, July 3, 2007

Sajak

Mohd Sayuti Omar.

KIBARKAN PANJI DIRI

Panji itu dinaikkan dengan beraian airmata

yang menggulungkan harapan dan impian

disemah dengan

tetes darah perwira

diiringi selaut doa berkat rakyat jelata

diseru dengan semangat dan pegangan

sebuah aqidah hakiki.

Lalu ia berkibar menjulang angkasa

megah menongkah angin dari tujuh jalur alam.

Harapan umat terpacak di puncaknya

tiangnya menjadi pancang keramat

tempat rakyat pasrahkan diri

mencipta tamadun

lalu kita merasa berhak untuk tegak

atas tapak kaki sendiri

dan menggubal “undang-undang” dengan tinta sejati.

Demikian janji dan sumpah yang diperlembagakan

menjadi slogan

mendakap kehidupan sepanjang masa.

Panji itu dijahit dengan benang semangat

disulam dengan sutera keramat

membentangi sebidang harapan

membuka sebuah padang kehidupan ...

Dukalara...

hari ini setelah setengah abad

ia tidak memberi sesuluh cahaya

demi menyapu mimpi-mimpi ngeri

melainkan cebis nostalgia

atau menjadi perca permainan di sebuah pesta si bocah.

Masih nyaring di telinga,

janji yang dilapaz di bawah panji itu;

harapan konon akan terdampar

lautan biru konon akan terbentang

sebuah cermin besar akan tergantung

... itulah pidato sipemain kata-kata celaka

namun semua itu kering dan pudar

Panji itu yang berkibar

membawa semangat dan keyakinan

menguntai rantai di kaki

membuka semutar kebekuan di kepala

hanya menjadi seruan saja

menjadi simbol kepada tamadun sebuah bangsa

menjadi karcis segelintir kita untuk jadi bongkak

(Apa itu tamadun?

kalau haknya masih terinjak

kalau al-dinnya masih dinodai

kalau budaya bercampur aduk hilang rupa diri!)

Apabila panji penjajah turun merendah diri

dengan penuh muslihat

kita... merdeka merdeka merdeka (setakat melaung)

melupai cerita lalu menanti sebuah arca besar

perut tetiba menjadi kenyang

tidur juga lena

mimpi indah silih berganti

wujudlah kita sebagai wangsa bakal berjaya!

Konon!

Hari ini setelah setengah abad panji berkibar

meganya hanya di mata

perut tetap menangis

kebebasan masih terbelenggu

penindasan bermaharajalela

hak sendiri sirna

makin dilihat ia menjadi kosong

makin dihayati makin ternampak

kepura-puraan merangkak-rangkak

di hadapan.

Apakah perlu panji kebebasan itu diturunkan dan

masing-masing kita mengibarkan panji diri!

Wangsa Melawati,

Kuala Lumpur.

18 Jun – 3 Julay 2007.

Monday, July 2, 2007

Analisa

Altantuya terus berhantu bagi Najib

NAMPAKNYA orang-orang Najib Razak sangat tidak senang hati apabila nama TPM itu disebutkan di dalam mahkamah pada hari akhir minggu kedua perbicaraan kes bunuh Altantuya Shaariibuu.

Mereka cepat menepis dan menafikan apa yang disebut itu sebagai tidak ada kena mengena dengan Najib. Mereka ramai-ramai berpakat untuk menepis perkara itu.

Kenapa? Jawabnya kerana apa yang disebut dan diceritakan oleh Burmaa Oyunchimeg atau Amy, sepupu Altantuya itu memberi gambaran bahawa Najib memang kenal dan pernah berjumpa dan bermesra dengan Altantuya.

Anihnya Najib diam saja. Apakah dengan diam itu dan membiarkan juak-juaknya yang menjawab, bahawa Najib kini dalam ketakutan? Atau kalau beliau bersuara menyebabkan perkara ini akan menjadi bertele-tele dan lebih panjang lagi, maka elok kalau beliau terus membisu!

Sebenarnya cerita soal gambar itu masih kabur. Ia masih boleh dipersoalkan. Samada ianya wujud atau tidak, tidak dapat disahkan. Najib atau orang-orangnya tidak perlu risau atau memberi perhatian berlebihan sangat kepada soal gambar itu. Mahkamah pun tidak merekodkan prihal gambar itu.

Mudah saja untuk memahami kisah ini, kalau gambar itu ada, bermana Najib berbohong. Dan orang-orang yang cuba menghalang daripada cerita gambar itu, juga terdiri mereka yang bohong dan bersedia menerima upah daripada Najib.

Kaitan nama PM

Seperti mana dijelaskan oleh setiuausaha akhbarnya, Tengku Sharifuddin Tengku Ahmad, Najib sebelum ini beberapa kali menafikan yang beliau kenal atau pernah berjumpa dengan Altantuya. Najib juga pernah menyebut kononya Perdana Menteri, Ketua Polis Negara dan Ketua Hakim Negara tahu semuanya. (Tahu mengenai apa dan tentang apa walhualam)

Seperti ditegaskan tadi, kalau Najib menafikan yang beliau tidak kenal dan tidak pernah berjumpa maka sahih dia berbohong sekiranya apa yang diceritakan oleh foto disebutkan Amy itu benar.

Ketahuilah apakah konotasi sifat bohong. Bohong ialah sifat munafik. Ada tiga sifat munafik antaranya ialah bohong. Orang munafik tidak boleh menjadi pemimpin, sebab kalau dia menjadi pemimpin habis rakyat akan ditipunya.

Persaksian orang munafik juga tidak boleh diterima. Persumpahan orang munafik juga tidak boleh diterima. Hatta imam yang munafik juga tidak boleh diterima.

Apa yang menarik di sinilah, ialah kenapa orang-orang Najib cerpat melatah cuba mengikiskan apa yang diceritakan oleh Amy itu. Kalau Najib tidak ada apa-apa mereka tidak patut melenting dan menjadi takut. Apabila mereka melenting menyebabkan ianya menjadi perhatian umum. Persepsi orang ramai tentang Najib dan Altantuya makin menjadi-jadi lagi.

Sebelum ini ada tanda-tanda untuk mengelakkan nama Najib disebut di dalam mahkamah. Jika dilihat kepada sikap dan tingkah laku pihak tertentu dalam mahkamah, ada tanda-tanda untuk melindungi Najib. Kenapa? Kalau Najib tidak bersalah, putih dan bersih beliau tidak perlu takut dan orang-orangnya tidak payah berdoa agar nama Najib tidak disebut. Bukankah Tuhan memberi jaminan keselamatan dan kesejahteraan dunia dan akhirat bagi orang-orang yang baik (bertakwal dan beriman).

Tetapi akhirnya nama Najib terkeluar juga. Apa lagi ianya disebut dalam keadaan eksklusif, di mana Najib dikatakan sedang makan bersama Razak Baginda dan Altantuya. Tidak dijelas apakah masih ada seorang perempuan lain bersama mereka itu. Mungkin juga Amy (gambar sebelah) sengaja tidak menyebutnya, dan mungkin juga beliau sendiri turut berada dalam gambar itu.

Menurut Amy gambar itu ditunjukkan oleh Altantuya kepadanya sesama mereka di Hong Kong. Apakah gambar itu diambil di sebuah restoran di Hong Kong. Tidak pelik kalau gambar itu diambil di Hong Kong, kerana tanah jajahan British itu memang menjadi termpat tumpuan pembesar dan ahli perdagangan dari pelbagai negara.

Chek rekod perjalanan Najib

Apakah TPM Malaysia pernah ke Hong Kong. Masih ada peluang untuk puak-puak Najib menjelaskan perkara ini. Mereka harus menyemak perjalanan rasmi atau tidak ramsi Najib ke luar negera dari tahun 2004 hingga Jun 2007. Apakah dalam senarai itu terdapat perjalanan Najib ke Hong Kong.

Apabila nama Najib dikaitkan baik secara sengaja atau tidak sengaja, menyebabkan kenyataan Mazlinda Makhzan isteri Razak sebelum ini, yang berbunyi suaminya tidak bercita-cita menjadi Perdana Menteri, berkembang semula didalam minda orang ramai. Orang akan menganalisa dan mengkaji kenapa Mazlinda berkata demikian.

Razak adalah pemikir politik kepada Najib. Dia adalah think tank Najib. Kehidupannya terlalu intim dan mesra dengan Najib. Apakah kerja Razak bukan saja setakat memikirkan strategi politik Najib tetapi tergelecah keluar daripada itu?

Dalam konteks ini, apakah Razak menjadi kambing hitam untuk menyelamatkan Najib. Serba kemungkinan boleh berlaku. Apapun misteri gambar yang disebut Amy itu menjadi titik poit utama untuk melihat sejauh manakah Najib terlibat dan berperanan dalam isu Altantuya ini.

Melihat kepada kemelut isu ini barangkali wajar untuk Najib bercuti rihat sekejap di mana-mana destinasi perlancongan dalam negara ini sebagai menyahut slogan Tahun Melawat Malaysia. Dan selepas bercuti kelak bolehlah pula berfikir untuk terus berundur. Altantuya tampaknya terus mengekori Najib dan ianya makin berhantu.

Saturday, June 30, 2007

Taktik Sinar Harian

Nik Aziz baru sedar

MSO
MENTERI Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dilaporkan sebagai telah membaikot akhbar Sinar Harian dengan melarang para pegawainya membawa masuk akhbar berkenaan ke dalam bilik pejabatnya.

Tindakan Nik Aziz itu ekoran sikap akhbar berkenaan dikatakan telah memberi laporan sensasi yang tidak menguntungkan Pas semasa Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan minggu lalu.

Berita yang dikatakan tidak disenang MB itu ialah bertajuk “Sidang DUN Kelantan Tegang”.

Akhbar Sinar Harian satu-satunya akhbar harian diterbitkan di Pengkalan Chepa Kelantan.

Akhbar ini diterbitkan dan dicetak oleh Syarikat Akhbar Cabaran Sdn. Bhd., di mana permitnya kepunyaan bekas wartawan Utusan Malaysia di Kelantan, Wan Ahmad Wan Hassan. Wan Ahmad juga merupakan bekas Pengerusi Tetap Umno Bahagian Machang sekitar tahun 1980-an.

Tuan punya penerbitan akhbar dan majalah Karangkraf Sdn. Bhd., Hishamuddin Yaacob menjadi rakan kongsi yang menanggung percetakan dan penerbitan akhbar berkenaan.

Luaskan edaran

Akhbar ini mulai diterbitkan di Kelantan kira-kira sejak setahun lalu. Pada mulanya ia beredar di Kelantan dan Terengganu saja. Dua tiga hari lalu akhbar ini mula dikembangkan ke Pahang. Jumlah edarannya sekitar 60,000 naskah sehari.

Peringkat awal akhbar bersaiz tabloid ini bersikap bebas dengan menyiarkan berita kegiatan parti-parti politik tanpa mengira faham idealogi baik Pas maupun Umno.

Para pemimpin Pas sangat berbangga dengan kelahiran akhbar ini di mana ia dieksploitasikan sebagai satu lagi kemajuan dan pembangunan di Kelantan. Akhbar ini menjadi pujian pemimpin Pas Kelantan dengan menyifatkannya sebagai sebuah media yang bebas.

Wartawan akhbar ini bukan main lagi dilayan dan sering diundang ke majlis makan malam oleh pemimpin-pemimpin Pas Kelantan. Keghairahan itu menyebabkan ada yang melupai atau pun tidak terperasaan peranan akhbar nyamuk lain yang lebih jelas dan konsisten mempertahankan Kerajaan pimpinan Nik Aziz itu selama ini.

Kalangan pemimpin Pas tidak tahu dan kurang bijak dalam membaca politik akhbar berkenaan yang sengaja bebuat begitu dengan motif untuk menjinakkan Kerajaan Kelantan dan para penyokongnya (ahli Pas) agar terbiasa dengan akhabr berkenaan.

Untuk tujuan itu mereka sanggup menghidangkan apa saja berita yang disukai Pas dengan harapan selepas pembaca sudah serasi mereka perlahan-lahan akan menyuntik racun propaganda parti pemerintah dan dengan itu terlaksanlah agenda utamanya.

Apakah pemimpin Pas, khususnya mereka yang dikatakan pintar dan mesra IT serta ghairah mewujudkan media Pas mengetahui perkembangan dan juga politik akhbar tabloid berkenaan?

Umno beli empat muka surat

Bahawa hari ini pihak Umno Kelantan sudah membeli empat muka surat akhbar berkenaan pada setiap hari untuk diisi dan dimuatkan dengan berita-berita ataupun menyiarkan laporan berbentuk propaganda Umno.

Penulis difahamkan mulai Jun lalu Umno Kelantan membayar RM1,000 untuk satu muka ini bermakna Umno membayar RM4,000 sehari atau RM120,000 sebulan sehingga menjelang pilihan raya umum akan datang.

Untuk tujuan itu Umno telah melantik salah seorang bekas wartawan Berita Harian yang pernah menerima Hadiah Kajai untuk menjadi pengarang khas untuk empat muka surat berkenaan.

Umno memang tidak loket untuk kepentingan partinya. Tindakan itu menggambarkan kesungguhan Umno untuk menawan Kelantan. Sepatutnya orang Pas yang bijak dan pintar IT juga berbuat demikian dan tidak memandang enteng kepada akhbar nyamuk yang memberi ruang kepada mereka selama ini.

Keghairahan mewujudan pelbagai media (baik cetak, internet dan sebagainya) untuk membantu Pas tetapi tidak dimonitor dengan baik dilihat tidak banyak menguntungkan Pas sebaliknya membazirkan kewangan parti berkenaan.

Pemimpin Pas juga seharusnya tidak terus beranggapan apa yang dilakukan oleh akhbar nyamuk dan penulis bebas yang mendokong mereka selama ini dilakukan secara ikhlas sepanjang masa.

Mereka boleh terus berdiri atas prinsip itu, tetapi kalau ada pemimpin yang tidak ikhlas dan tidak sedikit pun cuba memahami pengorbanan mereka, apalah gunanya mereka bersekang mata dan menitiskan peluh berkorban kepada orang yang tidak pernah mengenangnya!

Mudah-mudahan maklumat kecil ini akan memberi kesedaran dan dijadikan iktibar oleh para pemimpin Pas Kelantan dalam menjalinkan hubungan dengan mana-mana pihak khasnya yang berkecimpung dalam lapangan penerbitan dan persuratkhbaran.

Thursday, June 28, 2007

Kesilapan Anwar

Anwar – Pilot Yang Sedang Memandu Kapal Rosak!

HAMPIR seminggu meninggal tanahair kerana menghadiri satu seminar berunsur 'sufisme' dan 'spritual' di negara seberang, (Indonesia), banyak kejadian dan perisitwa yang berlaku dalam negara. Semua itu menggaru kepala dan menganggu perjalanan dan tugasan di sana.

Kes perbicaraan pembunuhan Altantuya ternyata semakin menarik dan dramatik, mauduk yang senantiasa terkemen di dalam ingatan. Apa yang dijangka sebelum ini nampaknya tidak jauh meleset. Seluruh rakyat Malaysia dan dunia sedang menanti keputusan perbicaraan itu, mahu melihat siapa yang kena!

Nampaknya hakim, Mohd Zaki Md Yasin telah mula menyebut beberapa kali perkataan yang cukup menderau darah rakyat negara ini kira-kira 10 tahun lalu, iaitu perkataan ‘tidak relevan’. Perkataan ini menjadi popular dan satu ejekan apabila hakim yang membicarakan bekas TPM Anwar Ibrahim menggunakan perkataan ini untuk membuang beberapa hujah atau menyembunyikan bukti yang dikemukakan.

Adalah diyakini lebih banyak lagi perkataan tidak relvan akan disebut oleh hakim dalam perbicaraan kes bunuh Altantuya ini. Sama-sama kita tunggu dan lihat serta menilai siapa yang tidak relevan sebenarnya!

Sewaktu saya meningalkan Malaysia untuk ke Jakarta, dan beberapa daerah yang manis di sana, tulisan terakhir yang melakari di blog ini ialah mengenai Keadilan – Kabare Keadilan. Saya melontarkan sebuah pertanyaan sinis kepada Keadilan mengenai kedudukan dan juga situasinya ekoran gelora yang beralun di dalam parti berkenaan.

Naluri saya sudah merasakan ada sesuatu yang kian buruk akan berlaku didalam parti berkenaan. Lantas saya meminta agar penasihatnya, Anwar Ibrahim memberi tumpuan dan mengambil tindakan segera menyelesaikannya sebelum ia menjadi parah dan berdarah.

Apa yang saya bimbang, Anwar bukan hanya akan terlepas bekas Bendahari Agungnya, Abdul Rahman Othman dan beberapa orang lain sebelum ini yang kuat dan kononnya sehidup sematinya dengannya, tetapi turut akan terlepas yang lain juga.

Tinggal najis

Kebimbangan itu nampaknya menjadi kenyataan apabila selepas dua hari saya melantunkan kebimbangan itu di blog ini, bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Ezam Mohamad Noor pula telah terbang sambil meninggalkan najis di telapak tangan Anwar.

Lelaki romanatik itu nampaknya terpaksa juga melaksanakan agendanya. Ezam akhirnya mengalah juga kepada Azmin dan akhirnya bertindak membakar kelambu kerana marahkan seekor nyamuk bernama Azmin.

Sebenarnya kasus antara Ezam dan Azmin sudah lama berlaku. Apabila ia berakhir dengan perpisahan, jelas Anwar tidak berjaya mengatasinya atau akur kepada satu pihak saja dan keadaan ini sedikit dikesalkan. Kegagalan ini menunjukkan kelemahan Anwar.

Pemerhati politik dan ahli Keadilan sudah lama menyedari perseteruan antara Azmin dan Ezam ini yang sedang berebut uri untuk memiliki dan mendapat perhatian lebih daripada Anwar. Dalam hal ini Azmin lebih vokal dan agresif sementara Ezam mengambil sikap pasif dan merendah diri dan bersikap dewasa. Di sinilah menunjukkan Azmin kemungkinan mempunyai chemistry dengan Anwar.

Terbuka dan fleksible

Pada saya mereka berdua tidak seharusnya bersikap begitu dan merelaikan pakatan perjuangan ditengah jalan. Mereka seharusnya bersikap terbuka dan fleksible serta saling memahami antara satu sama lain serta meletakan agenda perjungan di hadapan bukannya soal titik bengit dan personal.

Dalam hal ini saya tidak mahu salahkan kepada sesiapa. Atau kalau saya hendak salahkan, kedua mereka berhak disalahkan. Tidak bermakna Ezam betul Azmin salah, atau Azmin salah Ezam betul. Selaku pemimpin mereka harus memahami hakikat ini.

Kedua mereka senantiasa kena ingat bahawa mereka adalah enjin kepada Anwar. Sebagai enjin antara mereka tidak boleh retak atau rosak salah satunya. Kalau diibaratkan Keadilan itu boeing dan Anwar adalah pilotnya, Ezam adalah enjin kiri sementara Azmin enjin kanan.

Keduanya kena seimbang dan berada dalam keadaan stabil dan elok sepanjang masa. Mereka kena pastikan ini bagi menjamin boeing itu akan terbang dengan baik dan mendarat ke destinasinya dengan selamat dan jaya.

Keduanya kena seimbang dan bergerak serentak. Mereka kena senantiasa melihat ke hadapan tanpa mengira apa yang berlaku di kiri kanan ataupun di belakang. Itulah sepatutnya. Namun hari ini semua yang dibimbangi itu sudah pun berlaku.

Enjin kiri (Ezam) sudah pun retak dan jatuh. Boeing bernama Keadilan yang kini dipandukan Anwar berada dalam keadaan tidak stabil atau tidak siuman kerana menggunakan satu enjin saja bernama Azmin. Dengan satu enjin harapan untuk kapal terbang itu sampai ke destinasinya sungguh tipis sekali.

Kini pilihan lain sudah tidak ada lagi. Untuk membaiki atau mengambil semula enjin yang jatuh dan rsoak itu tidak mungkin. Jalan terbaik kini adalah pilot kapal terbang itu kena hentikan penerbangan. Pilotnya kena cari lapangan tebang terbaik untuk mendaratkan boeing yang dalam kecederaan itu.

Kegagalan Anwar mendaratkan kapal terbang itu menyebabkan ia boleh memusnahkan semua penumpang, krew dan dirinya sendiri. Sementara kalau Anwar terus membiarkan kapal itu terbang dalam keadaan kritikal itu ia aalah satu tindakan tidak siuman.

Kalau dalam perbicaraan kes bunuh Altantuya kita mengambil sikap memerhati dan menanti siapa yang kena, maka demikian juga dalam kes boeing bernama Keadilan ini kita sedang menanti apakah ianya sempat dibumikan ataupun akan meletup di udara!


Friday, June 22, 2007

Kabare Keadilan

Anwar Perlu Bertindak Sebelum Keadilan Parah

MSO

TERUK benarkah masalah yang membelenggu di dalam parti Keadilan (Parti Keadilan Rakyat) dewasa ini? Selepas terlepas untuk mengikuti kongres tahunannya di Seremban akhir Mei lalu saya tidak banyak menghandiri masjlis atau aktiviti parti berkenaan kerana masa tidak begitu mengizinkan.

Perkembangan parti itu diikuti menerusi internet dan di coffee house saja. Di coffee house bicara mengenai Keadilan atau Anwar Ibrahim tidak serancak dulu. Semacam ada pengenduran pemerhatian umum kepada tokoh reformasi itu. Entah kenapa harapan umum kepada Anwar untuk menerajui negara ini juga jadi agak menipis tidak setabal sewaktu beliau berada di Sungai Buloh.

Ketika Anwar masih ditahan harapan orang ramai kepada beliau tinggi menggunung. Seolah-olah beliau akan keluar dan terus ke Putrajaya membetulkan kecacatan dan kesumbangan dilakukan Mahathir Mohamad kira-kira 22 tahun lalu. Ada juga bayangan akan berlaku persalinan antara beliau dengan Abdullah Ahmad Badawi.

Bunga seri pagi

Tanggapan itu rupanya meleset. Harapan umum kepada Anwar kini sudah mengucup bagaikan bunga ‘seri pagi’ apabila menjelang hari senja. Pembebasan Anwar bukan menggebukan harapan umum, malah menimbulkan perbalahan dan krisis keyakinan sesama sendiri didalam parti itu sehingga ia boleh melemah dan meletakkan Keadilan sebagai parti kelas tiga.

Jika dipadankan dengan cerita-cerita di coffee house dan laporan di dalam internet, memberi gambaran bahawa iklim Keadilan tidak begitu ‘sumringah’. Semacam ada sesuatu yang tersekang dileher Keadilan menjadikan ianya terkial-kial untuk melepas atau menelannya. Apakah Keadilan kini dalam proses pembersihan dan penapisan untuk melahirkan ahli dan pendokong yang berkualiti?

Jika diperhatikan masalah ataupun suasana ‘samrawik’ di dalam Keadilan ini bermula dengan tindakan bekas Ketua Angkatan Mudanya, Ezam Mohamad Noor yang melepaskan semua jawatannya yang dipegang dalam Keadilan Bahagian Shah Alam dan Perhubungan Keadilan Selangor.

Alasan Ezam berbuat begitu ialah kerana ingin menumpukan kepada Gerak sebuah badan NGO yang memperjuangkan demokrasi tulen dan pembenterasan gejala rasuah.

Bermula dari sinilah selepas satu, satu insiden yang memberi gambaran buruk kepada Keadilan berlaku. Terbaru ialah dilaporkan bekas Bendahari Agungnya, Abdul Rahman Othman pula bertindak meninggalkan parti berkenaan. Beberap minggu sebelum ini kalut mengenai beberapa Keadilan di Kedah dikatakan akan dibubarkan.

Selepas selesai kongres parti itu dikejutkan oleh tindakan Nallakarupan yang tiba-tiba mengambil keputusan meninggalkan Keadilan. Belum kering air liur Nallakarupan yang berjanji untuk memperjuangkan nasib orang India menerusi Keadilan, tiba-tiba beliau sudah mogok dan memburukkan kononnya Keadilan tidak memberi tempat kepada orang India.

Jahil politik

Beberapa bulan sebelum kongres di Seremban, Keadilan Kelantan juga kecoh apabila beberapa bahagian dan ahli perhubungannya tidak bersetuju dengan Pengerusi Perhubungannya, Nik Mahmood Nik Hassan yang dikatakan jahil dalam politik. Sebuah bahagian hampir-hampir dibubarkan gara-gara isu Nik Mahmood. Kesan daripada itu ketua Keadilan Tumpat, Saufi Daud bertindak keluar parti.

Sebenarnya masalah dalaman sesebuah parti politik biasa saja. Ia merupakan asam garam dalam perjuangan. Gimik itulah menjadikan sesebuah parti itu hidup dan orang akan memberi fokus kepadanya. Tetapi dalam hal Keadilan ini ia agak aneh sedikit dan tidak sepatutnya kekeochan seumpama itu berlaku kerana ia parti baru.

Keadilan masih belum ada tenaga dan juga ilmu untuk bergaduh dan berpolemik. Keadilan juga tidak layak untuk berpecah kerana ia memerlukan kepada usaha dan tenaga untuk mengampuhkan parti itu sesuai dengan kehadiran Anwar. Kehadiran Anwar juga dilihat pada mulanya akan merapatkan hubungan antara ahlinya dan menyelesaikan beberapa masalah tetek bengik yang bersifat personal itu, tetapi nampaknya Anwar sendiri gagal atau tidak serius menanganinya.

Sebelum ini ahli meletakkan kepercayaan dan harapan besar kepada penasihatnya itu. Mereka melihat kemunculan Anwar di arena siasah akan menambah semangat dan nilai Keadilan. Suara Anwar akan menjadi suara penyatu dan perdamaian antara individu-individu yang berselisihan sesama sendiri.

Kelemahan yang ditanggung Keadilan selama ini kerana ia berpresidenkan seorang wanita akan berakhir apabila ianya diambil alih sang suami wanita itu. Itulah alasannya. Namun semuanya kelihatan seperti tidak benar, bahkan keaktifan suami wanita itu menimbulkan masalah lain pula.

Merendahkan darjat parti

Kepulangan dan pembebasan Anwar makin menjadikan parti itu kelam kabut dan juga merendahkan darjat parti itu. Apa yang berlaku kini ia tidak sepadan sebagai sebuah parti yang dinasihati oleh bekas Timbalan Perdana Menteri ataupun oleh tokoh yang telah berjuang berdekad dalam parti dan gerakan Islam.

Apa yang berlaku dalam Keadilan kini tentulah ia mempunyai masalah tersendiri. Dan masalah ini tentulah pula bukan senang untuk diatasi dan bukan bermakna ia tidak boleh diberesi. Kalau diibarat kepada penyakit, Keadilan kini menghidap sejenis penyakit antara 123 penyakit yang aneh dan belum menemui penawar di dunia ini.

Daripada cakap-cakap di luar semua semacam sepakat menghukum apa yang berlaku di dalam Keadilan kini ialah kerana sikap Anwar sendiri yang dikatakan terlalu mendengar cakap bekas Setiausaha Sulitnya, Azmin Mohd Ali. Anwar dikatakan begitu sebuku dengan Azmin sehingga menimbulkan kecemburuan rakan lain.

Bagi golongan ini Azmin sudah menjadi libiliti kepada Keadilan dan Anwar sendiri.

Apakah Anwar sedar atau tidak tentang hakikat ini? Sukar untuk diselongkari apakah sebab kalau Anwar jadi begitu terpalut dengan Azmin. Kalau mereka ada rahsia besar (chemistry) sehingga Anwar sukar untuk mengenepikan Azmin, apakah rahsia itu?

Daripada cakap-cakap di luar ada menyebut, kandatipun apa yang berlaku Anwar tidak akan melepaskan Azmin begitu sahaja sebab Azmin menjaga kepentingan Anwar. Antara kepentingan itu ialah harta dan juga buku simpanan Anwar Ibrahim.

Tuduhan ini sukar untuk dipercayai, tetapi ia bukan sesuatu yang ganjil dan tuduhan persis itulah yang lebih logik dan mudah untuk disebarluaskan kepada setersu. Pun jika diperhatikan kepada perangai Anwar tuduhan itu tidak mudah untuk dipercayai sekira ianya tidak dibuktikan secara nyata.

Cari dana parti

Apakah Anwar seorang yang gila kekayaan? Kalau diukur kepada kerjanya selama ini di luar negeri, sanggup menjadi pensyarah jemputan di beberapa buah universiti dan memberi ucapan di seminar antarabangsa dengan kadar upah yang tinggi, adalah semata-mata untuk mencari dana untuk parti semua tuduhan itu tertolak sama sekali.

Kesimpulannya sekiranya dalam hepotesis umum menerima keakraban Anwar dengan Azmin itu menjadi masalah kepada kawan-kawanya dan Keadilan, elok kalau Anwar membuat semakan dan penilaian semula. Anwar perlu ingat didalam perjuangan, kemenangan itu bukan saja bergantung kerpada seorang sahabat baik, tetapi ia bergantung kepada sokongan rakyat bawahan.

Sejarah dan nostalgia masa lampau (jika ada) mungkin tidak wajar diberikan keutamaan selepas Timbaan Perdana Menteri menghadapi musibah besar kira-kira 10 tahun lalu. Anwar kena lupa diary lama dan perlu membuka buku cacatan harian baru.

Sesungguhnya masalah yang menimpa satu demi satu di dalam Keadilan kini hanya dapat dituntaskan oleh Anwar bin Ibrahim saja; sebab beliaulah yang mengetahui apakah puncanya dan sebab musababnya!

Thursday, June 21, 2007

Aura Parlimen

Perihal Kenaifan Ahli Parlimen

KEBIJAKSANAAN seseorang wakil rakyat, baik Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) maupun Parlimen bukan saja diukur dari aspek petah atau tidak ketika mereka berpidato ataupun segak atau tidak pakainnya ketika ke Parlimen atau Dewan Undangan Negeri.

Ia bukan dinilai samada mereka pandai mematah hujah pihak lawan yang disulami dengan ayat-ayat Quran atau Hadith Nabi atau mampu melemparkan sinikal-sinikal dan cerita Hikayat 1001 malam bagi mempengaruhi orang ramai.

Seorang wakil rakyat diukur dan dinilai pada sejauh mana dia mampu membawa sesuatu usul ataupun isu di Parlimen. Apakah isu itu menarik, tepat dan dapat menarik perhatian anggota ahli Dewan yang lain untuk turut membahas apa yang dibangkitkan. Dan tentulah natijah daripada itu isu akan dapat diselesaikan dan rakyat terbela kerananya.

Kalau isu besar, namun cara persembahan dan kupasannya dangkal, ia tidak menjadi pehatian umum. Isu itu akan berlalu seperti angin lalu saja, nyamuk dan semut pun tidak akan peduli kepada apa yang dibangkitkan itu. Apa lagi di zaman ini Kerajaan sedang dihidapi penyaklit pekak dan bisu lagilah ia memerlukan kelatangan dan keberanian yang luar biasa.

Sesuatu isu besar yang menyangkut kepentingan agama, bangsa dan tanah air seharusnya dibawa secara serius. Perlu ada kajian (homework) yang mantap dan lengkap. Disertai dengan bukti-bukti berbentuk fact dan figure dan tidak hanya dikutip daripada kertas usang surat khabar saja.

Wakil rakyat yang mengutip isu di kertas usang surat khabar adalah wakil rakyat pemalas, kurang berkerja serta tidak tahu buat kerja secara profesional. Wakil rakyat seperti ini layak dipanggil makan gaji buta saja. Kalau dia mengetahui ‘kapasiti’ dirinya wajar kalau dia berundur ataupun menolak pencalonan untuk pilihan raya akan datang.

Seribu dalih

Tidak usahlah menggunakan seribu dalih untuk terus bertanding, - kononnya untuk membela agama atau rakyat atau parti masih memerlukan kepimpinan kita kerana masih banyak lagi orang berkelayakan dan berbobot berbanding kita.

Sebenarnya banyak wakil rakyat bersikap demikian. Pemalas dan datang ke parlimen kerana ingin menuntut elaun saja atau pun untuk memenuhi buku ‘attendance’ dan mengelak daripada dikenakan tindakan tatatertib. Ataupun datang duduk di kantin melayani tetamu untuk minum dan makan tengah hari, kemudian menjelang jam 4.00 petang pulang untuk mendampingi isteri.

Wakil rakyat seumpama ini menjadikan jawatan itu sebagai profesyen untuk cari makan.

Soalan-soalan atau isu yang cuba diketengahkan hanya dipermukaan saja, tidak mendalam dan menyeluruh. Kelemahan ini menyebabkan menteri yang diberi tanggungjawab untuk menjelaskan menjadi hambar ataupun tidak tertekan untuk menjelaskannya.

Apa lagi kalau soal itu dikemukakan secara bertulis, ia akan habis begitu saja. Akibat daripada tidak ada homework, ataupun sayang untuk mengupah pembantu mencari maklumat, maka ia berlalu begitu saja.

Saya masih ingat suatu masa dulu bagaimana seorang ahli Parlimen bernama Ibrahim Ali pernah membawa sekampit beras ke Parlimen ketika beliau membahaskan isu mengenai kualiti beras. Cara dan kerajinan sebeginilah yang diharapkan di mana gara-gara tindakan itu menjadikan Menteri Pertanian pening kepala dan terpaksa menjawab apa yang dibangkitkan.

Suatu hal yang sering berlaku di dalam Dewan hari ini ialah kelemahan wakil rakyat bertindak bijak dalam mengemukakan soalan tambahan. Keadaan ini berlaku kerana kelembaban wakil rakyat itu sendiri. Lembabnya itu pula ada hubung kait dengan malas dan tidak produktif. Kalau diumpamakan sifat Perdana Menteri ialah suka tidur.

Ada kalanya soalan yang dikemukakan baik secara mulut tidak dijawab sepenuhnya oleh menteri. Atau menteri sengaja mencari bahasa yang mudah atau ayat paling ringkas untuk membunuh soalan itu. Di sinilah seorang wakil rakyat memerlukan kepakaran untuk berhujah dan bijak mengemukakan soalan tambahan bagi mendapatkan penjelasan menteri berhubung isu yang dibangkitkannya.

Penonton saja

Untuk bersikap demikian wakil rakyat perlu bijak, sarat dengan maklumat dan bersifat ‘intelligent’. Kalau hanya kaku di kerusi dan hanya jadi penonton sahaja, ia tidak membawa apa-apa faedah dan kemajuan. Kedatangannya sedikitpun tidak memberi manfaat apa-apa dan menghampakan harapan pengundi yang memangkahnya.

Saya merujuk kepada soal yang dibangkitkan oleh ahli Parlimen Tumpat, Kamaruddin Jaaffar berhubung dengan isu dalam Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), mengenai tander pembinaan Kompleks Perikanan di Kuala Kedah, Kedah dan juga mengenai skandal pinjaman sebanyak Euro 10 juta atau RM46 juta.

Meneliti kepada jawaban yang diberikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, M Kyavaes jelas soalan itu tidak begitu mendalam dan mendatar sahaja. Ia seperti melepas batuk ditangga saja. Kalau soalan mendatar maka jawaban juga mendatar dan itu disenangi oleh pihak kerajaan, manakala di pihak rakyat tidak sangat berpuas hati dengan sikap begitu.

Sebelum mengemukakan soalan itu, seharusnya ahli Parlimen bersuara lemah lembut itu membuat penyelidikan dan homework secukupnya. Beliau kena faham apakah masalah di sebalik isu itu. Beliau juga kena tahu kronologi mengenai isu berkenaan.

Dalam hal ini beliau kena rajin mencari maklumat, menyelongkar dan mengoreknya di mana-mana dan bukan hanya mengutip di kertas usang surat khabar. Apa lagi kalau soalan itu diajukan sekadar memenuhi kouta soalan yang diperuntukan kepada seseorang wakil rakyat dengan kadar sekian-sekian ia sungguh malang sekali.

Saya kira masih banyak perkara yang bersabit atau boleh ditimbulkan di sebalik isu LKIM yang dibangkitkan oleh Kamaruddin itu. Kamaruddin nampaknya sangat naif dalam hal ini dan seperti tidak bersedia untuk membongkar permasalahan sewajarnya. Apabila pengetahuan cetek dan malas membuat penyelidikan mengenai masalah ini maka jadilah beliau bercakap tidak mengikut rukun.

Latar belakang

Misalnya mengenai pinjaman sebanyak Euro 10 juta atau kira-kira RM46 juta itu seharusnya ada kronologi mengenainya. Sedikit sebanyak Kamaruddin kena mengetahui tentang latar belakangnya. Siapa yang terlibat dan bagaimana pinjaman itu dibuat, serta bank mana yang mengeluarkan pinjaman itu serta untuk apa?

Beliau juga perlu memberi ulasan ataupun bentuk kemungkinan berlaku penyelewengan mengenai pinjaman berkenaan. Kalau Kamaruddin atau wakil rakyat lain dapat membantu mendedahkan isu berkenaan, isu itu akan menjadi lebih menarik dan pihak Kerajaan juga akan tertekan terutamanya menteri yang mengawal LKIM itu.

Meskipun Kyavaes telah memberi jawaban bertulis kepada soalan itu, Kamaruddin harus bijak mencari celah dalam mana-mana ruang perbahasan untuk membangkitkannya. Kebijaksanaan itulah menjadikan soal jawab mengenai isu itu lebih dramatik lagi.

Ataupun kalau beliau mempunyai PR yang baik dengan media, atau dalam erti kata lain pandai tackle media, isu itu boleh didedahkan menerusi media.

Bukankah tujuan ahli Parlimen Tumpat itu menimbulkan isu itu untuk memberi gambaran buruk kepada LKIM. Bahawa berlaku penyelewengan di institusi berkenaan. Yang kemudiannya ia mengheret kerajaan yang mengamalkan konsep Islam Hadhari itu. Bukan begitu?

Saya bersedia membantu Kamaruddin didalam hal ini. Rasanya pengetahuan dan maklumat mengenai perkara itu lebih banyak ada kepada saya daripada Setiausaha Agung Pas itu.

Sukacita diingatkan kepada Kamaruddin didalam hal ini, beliau harus banyak berkawan dan bersikap tebuka baru maklumat masuk kepadanya. Antara perkara perlu dilakukan Kamaruddin ialah berkawan dengan 'talibarut' Umno! Sekiranya beliau hanya berkawan dengan tali barut Pas, nescaya rahsia (maklumat) itu bukan saja tidak diperolehi malah ianya akan diselindung daripada pengetahuan Kamaruddin.

Tuesday, June 19, 2007

Kacamata

Pokhara merawat hati nan rawan

MSO

SELAIN lain daripada Gunung Everest yang menjadi sebutan dan menggahkan nama Nepal, masih banyak tempat-tempat lain yang menjadi ikon negera berkenaan. Bagi mereka yang suka sukan lasak dan ingin menguji kekuatan mental dan fizikal serta mencatat sejarah, Everestlah destinasi yang cukup berprestaj.

Sewajarnya kalau puncak Sagarmatha (nama asal Everest) itu menjadi tumpuan kerana ianya merupakan gunung atau pun puncak tertinggi di dunia dengan ketinggian 8,484 meter dari paras laut. Menjadi kebanggaan sesiapa saja apabila menjejak atau sampai ke puncak berkenaan.

Tetapi bagaimana pun bagi mereka yang mahu mencari ketenangan fikiran dan tidak suka kepada aktiviti lasak dan mencabar, Everest mungkin bukan tempatnya. Everest selain memberi kehebatan ia juga memberi risiko yang cukup tinggi semasa pendakian naik dan turun.

Bagi mereka berjiwa sentimental, Pokhara (sebuah bandar kecil) yang terletak di Barat, Nepal adalah destinasinya. Bandar ini jaraknya 200 km dari Kathmandu dan boleh dikunjungi menerusi kapal terbang yang mengambil masa 30 minit dari Kathmandu atau pun jalan darat yang mencecah empat atau lima jam perjalanan.

Pokhara yang wujud sejak 250 tahun lalu merupakan sebuah ibu negeri kepada sebuah kerajaan di Nepal berkeluasan 123 batu persegi dan berada kira-kira 872 meter dari paras laut, manakala penduduknya seramai 170,000.

Tempat-tempat menarik

Sekurang-kurang ada dua tempat menarik di sini yang menjadi idaman pelancong ataupun mereka ingin merehatkan fikiran; iaini taksik Pehwa Tal dan banjaran Annapurna yang bergabung dengan banjaran Himalaya.

Banjaran ini menempatkan beberapa gunung yang didominasikan oleh Annapurna yang membentuk beberapa kemuncak seperti gunung; Dhaulagin (8,168) yang terletak di sebalah selatan, Annapurna 1, (8,091), Fistheil atau Machapuchere (6,993), Annapurna 3, (7,555), Annapurna 4, (7,525) dan Annapurna 2, (7,937).

Selain banjaran ini mempunyai keunikannya sendiri kerana puncanya berbentuk pirmid, ia menjadi jalan laluan sang suria mengembangkan sayapnya setiap pagi untuk menmyirami alam maya menyebabkan banjaran ini menjadi tumpuan.

Pagi-pagi lagi khasnya pelancong ke Phokara akan datang ke pinggir banjaran ini dan berada di sebuah puncak untuk melihat matahari muncul dari arah belakang Annapurna. Sinar matahri yang memajar cahaya menyuluh batang tubuh Annapurna menyebabkan cahaya memecah dan menjalakan alam sekitar perlahan-lahan menerbitkan satu panorama semulajadi yang cukup indah dan menginsafkan.

Manakala tasik Phewa Tal pula dicatat sebagai tasik terbesar di Nepal. Airnya tenang dengan pohonan hutan tropica yang tumbuh menghijau memberi ketenangan kepada mata memandangnya.

Paling mempersonakan dan ini menjadikan tasik ini hidup ialah apabila waktu senja tatkala menteri yang melintasi puncak Annapurna, segumpal bayangan Annapurna akan rebah kesayuan di dada tasik ini seakan menceritakan bawa Annapurna bersedia untuk berihat sehingga bangkit lagi pada keesokannya.

Rahsia alam

Suasana ini seakan memecahkan rahsia bahawa Annapurna memiliki dua wajah, satu wajah di daratan dan satu lagi wajah di dalam air, tasik. Ataupun kehidupan Annapurna begitu akrab dengan Phewal Tal yang menjadi roh kepada Pokhara.

Keindahan ini memberi inspirasi dan semangat kepada pengunjungnya. Bagi pasangan yang berbulan madu atau orang yang sedang berasmara dapat mengambil iktibar betapa kasih sayang dan paduan mereka itu bagaikan jasad Annapurna dan banjaran Himalaya yang bersatu wajah di dalam tasik berkenaan.

Betapa kesatuan itu harus ada di mana-mana jua untuk menerbitkan sebuah nilai keagungan dan kasih sayang demikian. Begitu juga kita dengan Tuhan, bayangan (diri) Tuhan seharusnya sentiasa terdampar di lubuk batin “Mardiyah” dan “Lawammah” kita.

Tidak banyak sejarah bandar ini dapat dikupas, tetapi dilihat kepada wajahnya ia melukiskan sebuah bandar yang klasik. Sesuai dengan itu bandar ini berbaur antara klasik dan moden. Ini dapat dibukti dengan adanya alat komunikasi moden seperti internet. Di sepanjang jalan utama di bandar berkenaan yang bentuk memanjang (rantau) terdapat kemudahan kedai internet (siber cafe) dan ia sangat popular.

Aktiviti utama bandar ini ialah industri pelancongan. Bazar-bazar yang wujud di sepanjang tasik itu berciri tradisional menjual barangan perlataan pelancongan, baju sejut, sukan dan sebagainya. Bagi memudahkan pelancongn meninjau atau membuat aktiviti riadah, kemudahan sewaan basikal dan motosikal disediakan dengan harga yang jauh lebih murah berbanding dengan tempat kita.

Tempat misteri

Selain daripada memilik tasik yang indah, serta banjaran gunung Annapurna yang melahirkan banjarannya tersendiri, Pokhara turut memilik beberapa tempat misteri yang dikujungi oleh penganut agama Hindu dan Buddha, salah satunya air terjun, Devis Fall.

Keunikan air terjun ini, airnya dapat dilihat dari atas bukan seperti kebiasaan di mana air terjun di lihat dari bawah. Air terjun berkenaan terbentuk apabila air dari puncak Himalaya mengalir dari bawah menerusi celahan batu membentuk lubang dan ‘gelongong’ yang luas.

Akibat lama air menerjuni maka lubang itu menjadi tebing (tubir) berlapis-lapis secara tidak langsung menggambarkan akan kelamaan usia air terjun berkenaan. Bagi penganut agama Hindu, mereka menerima kewujudan air terjun itu sebagai sebahagian dari unsur kebesaran agama itu.

Selain daripada beberapa tempat yang dianggap mitos itu, sesuatu yang dikira istimewa di Pokhra ialah kewujudan Muzium Gunung, yang menyimpan segala khazanah pendakian Everest serta melukiskan sejarah baik realiti atau misteri mengenai Sangamatha (Everest).

Kepada mereka yang berminat mengenai pendakian atau berhajat untuk mendaki ke mana-mana puncak di Himalaya atau mana-mana punca tertinggi di bunua dunia, adalah sangat sesuai mengunjungi ke muzium ini kerana ia merupakan satu-satu muzium mengenai pendakian dan Everest yang lengkap.

Nota: Rencana ini sudah disiarkan dalam Siasah Bilangan: 51.

Monday, June 18, 2007

Rencana Khas

Tengku Razaleigh Legasi Tun Razak

Sempena kemerdekaan negara ke-50 Pemuda Umno telah mencuri peluang untuk menjual keprihanan mereka dengan mengingati perjuangan bekas Perdana Menteri ke-2 Tun Abdul Razak Hussein melalui satu seminar – Legasi Tun Abdul Razak.

Elok dan sesuai benarlah seminar tersebut dibuat untuk membangkitkan dan mengenang perjuangan Tun Razak dalam membawa keluar bangsanya dari kawat duri kemiskinan, penindasan dan sekaligus melakarkan peta negara di mata dunia.

Seminar itu kena pada masanya kerana orang Melayu kini seperti dalam keadaan kerosakan kompas!

Apa yang diharapkan dari seminar berkenaan ialah agar generasi muda tidak lupa kepada sejarah dan perjuangan orang-orang terdahulu. Tahniah dan terima kasih kepada pencetus idea terutamanya nadi seminar berkenaan, Akademi Pemuda Umno yang dipengerusikan oleh Khairy Jamaluddin.

Nampaknya Pemuda Umno di dalam brutalnya masih ada rasa hormat kepada orang tua!

Rapatkan diri

Sedikit sebanyak dengan adanya seminar berkenaan, generasi muda yang terpisah jauh baik dari segi geografi, masa dan keadaan dengan generasi terdahulu dapat merapatkan diri dan mengenali suka duka serta menghidupkan perjuangan ‘bapa-bapa’ mereka terdahulu.

Seminar berkenaan berlangsung selama dua hari bermula pada 15 dan berakhir pada 16 Jun lalu. Timbalan Perdana Menteri, Mohd Najib, anak sulung kepada Tun Razak telah diberi penghormatan untuk menyampaikan ucaptama seminar berkenaan kemudian merasmikannya.

Sebagai anak sulung, apa lagi satu-satunya anak Tun Razak yang menurut jejak bapanya, (berpolitik) Najib sangat tahu mengenai perjuangan ayahnya. Beliaulah mungkin orang paling hampir dan sesuai untuk memperkatakan mengenai diri, sifat dan perangai ayahnya selaku perjuangan bukan di medan tetapi di halaman rumah!

Pun begitu khbarnya Najib sebak ketika mengisahkan perjalanan dan membayangi liku-liku perjuangan ayahnya. Kesebakan itu menunjukkan Timbalan Perana Menteri itu insaf betapa suci dan perihnya perjuangan bapaknya serta para pemuka rakyat terdahulu.

Mungkin ada sesuatu yang berdelima didalam jiwanya ketika beliau memberi ucaptama itu sehingga beliau menjadi sebak dan hiba!

Seperti mana difahami maksud seminar itu ialah untuk membangkitkan nostalgia mengenai Tun Razak di kalangan generasi muda khasnya Pergerakan Pemuda Umno yang menjadi generasi pelapis. Atas motif dan tujuan itulah maka Khairy beriya mengadakan seminar berkenaan.

Sebenarnya banyak maduk ataupun kisah perjuangan Tun Razak yang boleh dibangkitkan. Beliau meninggalkan berbagai legasi kepada anak bangsanya. Kisah itu tidak akan terungkap dalam satu malam atau menerusi satu seminar saja.

Bagaimana pun antara jasa-jasa besar yang ditinggalkan Tun Razak yang disifatkan sebagai jurutera dan arkitek bangsa, ialah berhuhubng dengan pembangunan negara dan pembentukan masyarakat menerusi tiga aspek utama; politik, ekonomi dan pendidikan.

Tun Razak begitu obes kepada tiga bidang ini yang dijadikan asas dan teras kepada pembinaan plan pembangunan nasional negara iaitu Dasar Ekonomi Baru (DEB) selepas meletusnya tragedi berdarah 13 Mei.

Sejarah semua kaum negara ini tidak dapat menafikan akan kesuksesan DEB yang diilhamkan Tun Razak bersama teman-teman lain. Walaupun DEB bukan diteteskan oleh Tun Razak bersendirian namun ia ilihat begitu lebih mesra dan intim dengannya.

Legasi terbesar Tun Razak kepada bangsa dan negaranya ialah bagaimana beliau telah meletakkan perpaduan, politik dan pendidikan bangsa dalam satu acuan yang ampuh dan syumul (sempurna).

DEB telah menjadi wahana dalam perpaduan kaum negara. Sekarang ini kita bergerak atas acuan yang telah dibingkaikan oleh beliau itu. Sesiapa pun tidak dapat dinafikan hatta negara-negara luar termasuk negara kolonial sendiripun mengakui akan hakikat kebijaksanaan Tun Razak dalam hal ini.

Agen pengisi kemedekaan

Semua pihak khasnya orang Melayu di dalam Umno sepakat menerima Tun Razak sebagai pencetus kepada kedaulatan bangsa dalam erti kata sebenarnya. Tun Razak menjadi agen pengisi kepada kemerdekaan selepas beliau berusaha membentuknya.

Orang Umno tidak boleh menolak semuanya itu. Justeru menjadi kewajiban mereka juga kini untuk meneruskan dan mengimplimentasikan apa-apa juga legasi atau wasiat yang ditinggalkan oleh Tun Razak.

Jika sungguh orang Umno dan Pemuda Umno sangat sayang kepada Tun Razak mereka tidak hanya perlu setakat mengadakan seminar, membincang sambil mengenangkan kewiraan Tun Razak sebaliknya bersedia untuk menghayati dan bertindak melaksanakan legasi Tun Razak dalam kehidupan dan politik hari ini.

Begitu juga Najib bukan saja sekadar menjadi sebak tetapi bersedia mempetulkan semula landasan dan kiblat perjuangan dan nawaitunya sejajar dengan apa yang bapa beliau pacakkan itu.

Dalam hubungan ada satu perkara yang mungkin terlupa oleh Pergerakan Pemuda Umno dan juga kebanyakan ahli Umno seluruhnya mengenai pesanan atau warisan yang ditinggalkan oleh Tun Razak. Apa yang dimaksudkan ialah mengenai pemimpin yang ditinggalkan Tun Razak untuk menyambung perjuangannya dalam usaha membina dan membela bangsa.

Sebanrnya Tun Razak bukan saja meninggalkan legasi dari segi strategi ataupun formula untuk membela negara seperti mana dizahirkan DEB. Tetapi ia lebih penting daripada itu Tun Razak juga meninggalkan beberapa orang kawannya selaku pemimpin yang diharap meneruskan dasar dan polisinya.

Antara teman dan pemimpin yang ditinggalkan Tun Razak yang diharapkan untuk meneruskan perjuanganya ialah dua orang tokoh yang dipanggil untuk memberi ucapan pada seminar berkenaan iaitu Tengku Razaleigh Hamzah dan Musa Hitam. Kedua tokoh ini boleh dikatakan membesar di bawah ketiak Tun Razak.

Kedua mereka didik dan bekerja dengan Tun Razak. Baik Tengku Razaleigh atau Musa mereka sangat setia dan menjadi penyokong dan pelaksana apa juga gagasan dan idea Tun Razak. Kalau hendak bercakap mengenai suka duka Tun Razak dalam membina dan membangun negara, kedua mereka ini lebih layak daripada anak-anak Tun Razak sendiri.

Mengenai DEB mungkin melampau kalau hendak dikatakan TengkuRazaleigh atau Musa turut sama duduk semeja dengan Tun Razak merancang dan berfikir bagaimana hendak melahirkan plan berkenaan. Tetapi suatu hakikat yang tidak dapat dinafikan, apa-apa cabang atau hasrat menerusi DEB itu seperti Petronas, Pernas, Bank Bumuputera, UDA dan sebagainya jelas ianya dirancang dan dilaksanakan oleh Tengku Razaleigh Hamzah.

Palaksana afdal

Berdasarkan kepada realiti dan sejarah itu sesiapa pun tidak boleh menafikan bahawa bekas Menteri Kewangan itu adalah legasi Tun Razak dan antara tokoh pelaksana afdal kepada cita-cita dan aspirasi politik Tun Razak.

Justeru itu sekiranya Pemuda Umno dan orang-orang Umno benar-benar sayangkan kepada Tun Razak, menerima wahana Tun Razak yang terbaik, menerima dan mengakui Tun Razak sebagai jurutera dan jurubina negara berdaulat, maka mereka hendaklah bersedia memberi peluang kepada ‘sub-kon’ nya iaini Tengku Razaleigh untuk meneruskan projek pembinaan negara.

Sesungguhnya dalam keadaan negara hari ini yang sudah rosak ianya bukan saja perlu diperbaiki segera, sebaliknya ianya perlu diserahkan kepada mereka yang pakar ataupun terlibat dalam merekacipta plan asalnya dan bukan dibiarkan kepada mereka yang tidak tahu ataupun tidak berwibawa menyebabkan pembinaan negara akan terus tersasau daripada aspirasi luhur Tun Razak.

Saturday, June 16, 2007

Fokus

Ku Li dan Musa Legasi Tun Razak

Kemunculan Tengku Razaleigh Hamzah bersama Musa Hitam sering kali menjadi perhatian umum. Apa lagi kalau kemunculan penuh cerita dan mereka saling sapa menyapa, bergurau serta bernostalgia tentang perjalanan politik mereka masa lampau menambahkan keceriaan suasana keceriaan itu.

Sebagai orang politik kemunculan ataupun cakap-cakap mereka tetap akan dikaji dan menjadi bahan cerita. Orang sering beranggapan bercakapan mereka membawa lebih dari dua makna tersirat.

Petang kelmarin mereka berdua muncul untuk kesekian kalinya dengan lagak dan gaya tidak berubah seperti mana berlaku sebelum ini. Gaya mereka berjalan dan ketawa mengembalikan ingatan bukan saja kepada mereka, tetapi juga mengenai masa lampau yang mereka berdua lalui dan catat dalam kanvas politik tanah air.

Mereka muncul dan duduk semeja menjadi ahli penal dalam Seminar Legasi Tun Abdul Razak yang pusat Konvenysen Sime Darby anjuran Akademi Pemuda Umno. Tentunya 'persembahan' kedua tokoh legasi Tun Razak itu menggembirakan Pemuda Umno yang sengaja mengundang mereka untuk mempelajari sesuatu dan menimba pengalaman yang dimiliki kedua tokoh legenda Umno berkenaan.

Ikutilah rencana khas "Tengku Razaleigh Legasi Tun Razak" yang akan menyusul - mso.