Thursday, June 10, 2010

Muktamar Pas Ke 56

Muktamar Pas Ke 56 Membuka Tirai

MUKTAMAR Pas ke 56 yang berlangsung di Kota Bharu Kelantan dari 10 hingga 13 membuka tirai semalam dengan upacara perasmian serentak muktamar Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat Pas bertempat di Pusat Terbiayah Islamiah (Putik) Pengkalan Chepa.

Perasmian itu dilakukan Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat. Perasmian serentak dilakukan Mursyidul Am Pas itu merupakan pertama kali dan pemecahan tradisi. Sebelum ini perasmian serentak dewan-dewsan berkenaan dilakukan Timbalan Presiden Pas.

Perubahan itu menyebabkan Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa tidak berkesempatan untuk memberi pandangan ataupun melontarkan apa-apa wawasan politik dan juga mengkritik deewan-dewan berkenaan.

Perubahan ini katanya untuk memberi kesempatan dewan-dewan berkenaan menerima pandangan dan lontaran idea daripada Nik Aziz yang dilihat senantiasa segar dan relevan!

Hari ini ketiga-tiga dewan berkenaan akan bersidang. Dewan Ulama bersidang di Machang, Pemuda di bangunan Kelantan Trade Centre (KCT) Kota Bharu, dan Muslimah di Perdana Resort, Pentai Cahaya Bulan (PCB).

Hari ini juga pendaftaran perwakilan untuk muktamar penuh bermula. Esok peramian akan berlangsung disebelah pagi di Putik yang akan dilakukan oleh Presiden Pas, Abdul Hadi Awang. Dianggarkan muktamar itu mendapat pehratian lebih 5,000 pemerhtai dan perwakilan. [kb.12:10 t/hari 10/06/10]

Tuesday, June 8, 2010

Susupan Petang

Najib Panas Kepala Dengan Judi Bola Sepak?

PANAS dan pening juga kepala Najib Razak gara-gara lesen judi bola sepak. Mungkin kerana pening menyebabkan Najib terlupa apa yang dikatakan tentang lesen itu sebelum ini. Dalam jawaban bertulis di Parlimen semalam Najib selaku Menteri Kewangan menjawab lesen itu belum dikeluarkan lagi kerana masih menerima maklum balas dari berbagai pihak.

Manakala Vicent Tan yang diberikan lesen judi menerusi syarikat Berjaya Corp pula mengatakan lesen itu sudah pun diluluskan kepadanya. Beliau siap untuk menderma untuk kebajikan sebanyak RM525 million hasil dari wang berkenaan. Mana satu yang betul ni? Apakah Najib bohong ataupun Vicent Tan yang benar, atau sebaliknya?

Yang jelasnya Najib panas dan pening kepala mengenai lesen judi ini. Berbagai pihak menentang kelulusan lesen judi itu. Bukan saja Pas, PKR dan DAP, tetapi pemimpin BN juga turut sama menentangnya.

Bekas PM, Abdullah Badawi juga turut menentangnya. Kata Abdullah kerajaan perlu mendengar pandangan dari rakyat bawahan. Yang agak teragak-agak hendak menentang ialah Dr Mahathir Mohamad. Saya tidak terdengar tentangan Mahathir mengenai perkara ini. Begitu juga dengan NGO yang kononnya radikal Melayu juga tidak berapa lantang menentang judi setakat buat kenyataan di stesen berbanyar saja.

Kenapa kali ini NGO berkenaan tidak pakai kain lilit kepala merah menentang judi? Kalau tentang kepala lembu, tentang kenyataan menyentuh raja bukan main lagi, siap dengan belit kepala dengan kain merah. Apakah pemimpin NGO berkenaan rakain baik Vicant Tan? Barangkali.

Untuk tamatkan cerita dan sejutkan kepala Najib senang saja batalkan pemberian lesen itu kepada Vicent Tan, habis cerita. Berat sangatkah untuk batalkan. Percayalah negara tidak akan bankrap kalaupun lesen judi tidak dikeluarkan. Masih banyak lagi sumber lain untuk dijana ke dalam perbendahraan negara.

Atau Najib merasa kekok untuk membatalkan sebab sudah terima komisyennya daripada Vicent Tan. Begitukah? Selalunya begitulah setiap apa-apa projek hendak diluluskan 10 hingga 30 persen komisyen telahpun dikaut. Telah dibahagi-bahagiakan dalam Gua Bukit Tunggal!

Baik Najib berteurs terang saja kalau sudah ambil komisyen. Berapa jumlahnya. Dan jika ianya telah digunakan, Najib boleh punggut derma untuk membayar balik wang komisyen itu kepada Vicent Tan. Rakyat Malaysia yang pemurah sedia menghulurkan derma daripada membiarkan negara mereka bergelumang dengan perjudian. [wm.kl. 2:55 pm 08/06/10]

Monday, June 7, 2010

Dari Parlimen

Kutuk Israel, Sindir Kerajaan!

PERBUATAN dan serangan terkutuk regim Israel ke atas flotila Lifeline 4 Gaza hari ini telah mendapat perhatian Parlimen Malaysia. Satu usul mengutuk Israel dengan mengambil 15 ketetapan telah dibentang oleh Perdana Menteri, Mohd Najib Razak pagi tadi.

Antara ketetapan yang diambil ialah mengajak seluruh dunia supaya mengheret si jahanam Israel ke muka pengadilan dunia serta menuntut regim laknatullah itu membayar ganti rugi yang dialami rakyat Palestin akibat kejahatan Israel dan juga ganti rugi dialami misi bantuan kemanusiaan untuk Gaza.

Tanggal 31 Mei lalu komando Israel telah menyerang dan menembak mati 19 orang sukarelawan dan menahan berpuluh sukarelawan misi bantuan kemanusiaan untuk Gaza yang lain. Turut sama ditahan ialah sukarelawan negara kita yang berada di kapal Mavi Marmara.

Semua fraksi parti politik mengambil bahagian membahas usul berkenaan dan mengutuk Zionis Israel sekeras-kerasnya. Ada yang tegang urat semerang sampai ke dhubur! Di samping membahas mereka mengemukakan cadangan tambahan untuk memberi kesan ke atas tindakan untuk mengajar Israel.

Dalam masa sama, ahli parlimen yang bercakap mewakili parti masing-masing tidak dapat mengelakkan diri daripada terus menyindir sesama sendiri. Pihak pembangkang terus menegur dan menyalahkan beberapa tindakan kerajaan terutamanya tentang sikap kurang tegas dan dolak dalih kerajaan dalam isu kutukan ke atas Israel.

Sebagai contohnya dalam masa kerajaan mengutuk dan menyumpah Israel tetapi kerjasama dan bantuan (perdagangan) masih diteruskan juga.

Justeru memandang hakikat itu menyebabkan rata-rata ahli Pakatan Rakyat menyifatkan kerajaan Malaysia tidak serius dengan kutukan itu dan lebih kepada untuk mengambil hati rakyat sahaja. Mereka juga meminta supaya kerajaan menyatakan pendirian tegas berhubung dasar luar dengan negara penyembah anak lembu merah itu.

Ahli Parlimen Pakatan Rakyat juga mencabar Perdana Menteri, kalau beliau serius Malaysia hendaklah mengikhtiraf kemenangan Hamas dalam pilihan raya lalu dan sebagai jemaah yang menguasai Palestin hari ini. Namun hakikatnya sikap Malaysia agak keberatan dan berdolak dalih untuk mengikhtiraf Hammas.

Antara perbahasan ahli Parlimen yang sempat saya ikuti menerusi internet (yang tenggelam timbul) ialah ahli Parlimen Bachok, Nasharudin Mat Isa. Nashaurdin dengan nada agak lembut menarik perhatian dewan berhubung tindakan Israel yang tidak pernah mendiamkan diri dalam melakukan aktiviti untuk mencapaikan agenda global mereka.

Katanya kalau di Palestin mereka menggunakan senjata untuk membunuh rakyat Palestin bagi melemahkan serangan ke atasnya, tetapi di negara ini Zionis menggunakan hiburan melalailah anak-anak muda. Beliau meminta kerajaan supaya mengawasi kegiatan hiburan yang berleluasa.

Ahli Parlimen, Tumpat, Kamaruddin Jaafar ikut sama mengambil peluang membahas usul berkenaan. Kamaruddin mempersoalkan kenapa Malaysia tidak mengikhtiraf Hammas sebagai kerajaan yang sah di Palestin.

Katanya, kalau Malaysia betul-betul hendak kutuk Israel Malaysia tidak perlu ikhtiraf kumpulan Fatah sebaliknya menerima Hammas sebagai wakil yang sah di negara ini.

Beliau juga menarik perhatian mengenai sikap Amerika Syarikat mengenai Israel. Jelasnya sesiapa pun yang menguasai Palestin, baik Hammas, Fatah, PLO, atau parti buruh, Mubima dan sebagainya tetapi Amerika tetap akan sokong Israel.

Menjawab dakwaan ahli Parlimen Kinabatangan, Bung Mokhtar Raden yang mendakwa bahawa pihak kerajaan sahaja yang menghantar misi bantuan ke Palestin, Kamaruddin menyangkal dakwaan itu sebagai tidak betul.

Menurut Kamaruddin, lama sebelum ahli parlimen Pakatan Rakyat, (Padang Terap) pernah ke Palestin tetapi malangnya ia tidak diberi bantuan sewajarnya oleh konsul Malaysia di Istanbul dan permergian itu juga tidak diuar-uarkan.

Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail juga turut membahas usul berkenaan. Saifuddin menarik perhatian keganasan di Palestin bukan baru tetapi ia berterusan sejak puluhan tahun lalu. Begitu juga tragedi pembunuhan tidak bermoral dilakukan Israel ia berlaku berdekad dulu.

Katanya kematian pengasas Hammas, Sheikh Ahmad Yassin yang ditembak mati sebaik keluar masjid selepas Subuh tahun 2004 adalah antara kekejaman yang dikutuk dunia. Jelasnya kematian Ahmad Yassin itu mendapat perhatian PBB.

Satu usul dikemukakan di PBB mengutuk pembunuhan itu. Sebanyak 31 buah negara menyokong dan dua menentang usul itu bagaimana pun usul untuk mengenakan tindakan keras ke atas Israel itu tidak dapat dikenakan apabila Amerika Syarikat membatalkan dengan kuasa vetonya.

Begitu juga sekiranya usul yang dibentang hari ini diterima PBB ia tidak akan dapat dilaksanakan kerana Amerika akan menggunakan kuasa vetonya.

Bagaimana pun katanya usul itu disokong sebagai menandakan kebencian kepada regim Israel. Beliau menarik perhatian sekiranya benar kerajaan Malsysia peka dan prihatin ke atas nasib rakyat Palestin, apa yang dibuat oleh rakyat dan kerajaan Kelantan perlu ditiru.

"Buat masa ini kerajaan dan rakyat Kelantan membelanjakan sebanyak RM1.3 juga setahun untuk membiayai perbelanjaan 30 orang anak-anak Palestin yang belajar di sini hingga ke peringkat ijazah. Jadi kalau kita ingin membantu mereka, saya cadangkan setiap ahli Parlimen boleh menderma sebanyak RM5,000 seorang," katanya.

Saifuddin juga meminta kerajaan menjelaskan pendirian sebenar mereka mengenai Israel kerana dalam tilikannya ada dolak dalih disebalik sikap sebenar Malaysia dalam mengutuk Israel.

Turut sama berucap membahas usul berkenaan ialah ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Yusuf. Suara Zailah dalam soal ini agak lantang dan 'bengking'. Di samping mengutuk Israel beliau turut menyindir kerajaan Malaysia sebagai mempunyai perangai Israel.

Zailah merujuk kepada peristiwa pembunuhan 18 penduduk kampung Memali tahun 1986 sebagai tindakan ala-ala Israel. Demikian juga dengan penganiayaan ke atas rakyat Kelantan yang menafikan royalti minyak dan pembangunan adalah perangai- perangai sadis Israel.

Jadi katanya sebelum kerajaan mengutuk Israel yang membunuh rakyat Palaetin, elok juga kalau kerajaan Malaysia mengutuk diri sendiri dan membuang perangai Israel. [wm.kl. 7:20 pm 07/060/10]

Sorotan Isu

Badan Konsesus Bebas Sayap Kiri BN Di Parlimen

HARI ini lima orang ahli Parlimen yang meninggalkan parti dan mengecewakan pengundi kawasannya telah membentuk apa yang dinamakan Konsensus Bebas di Dewan Rakyat. Badan itu akan berrtindak menjadi kuasa ketiga dalam parlimen.

Mereka itu ialah, Zahrain Hashim, (Bayan Baru), Tan Tee Beng (Nibong Tebal), Mohsin Samsuri (Bagan Serai) Zulkefli Nordin (Kulim Bandar - Baru) dan Wee Choo Keong (Wangsa Maju). Kesemua mereka bertanding atas tikit PKR. Seorang lagi ahli Parlimen yang bertindak menjadi bebas dan mengkhinati penyokong Pas, tidak disebut menyertai badan berkenaan.

Selamanya tindakan mereka meninggalkan parti akan dikutuk oleh pengundi kerana mereka mengundi wakil rakyat dulu atas status mereka sebagai calon PKR. Belum tentu mereka akan dapat memasuki parlimen kalau mereka bertanding atas badan Konsensus Bebas?

Pembentukan badan ini ada hubung kaitnya dengan satu perjumpaan beberapa orang ahli parlimen di sebuah hotel di Kuala Lumpur beberapa minggu lepas. Antara yang berjumpa ialah beberapa ahli Parlimen yang mengumumkan menyertai badan berkenaan.

Dalam perjumpaan itu seorang ahli parlimen bebas yang tidak menyertai badan itu turut sama hadir. Apakah dengan tidak mengumumkan dia ikut menyertainya dan beliau bertindak menjadi ketua badan konsensus berkenaan.

Tidak mengapalah tidak dapat jadi ketua whip di Parlimen baik untuk BN atau PKR untuk bebas pun jadilah. Yang penting ialah menjadi ketua. Dasar manusia tidak dapat duduk di bawah orang ia akan berusaha juga melompat ke atas walaupun dengan kaki terjuntai ke langit.

Saya tidak nampak badan berkenaan berfungsi menjadi badan bebas untuk kepentingan rakyat. Mana ada bebas di negara ini. Seperti mana saya kata, bebas di Malaysia adalah penyokong atau sayap kiri kepada kerajaan dalam Parlimen. Hal ini daspat disaksikan kepada tindak tanduk mereka semasa di parlimen. Mereka hanya mengambil bahagian semasa hendak menghendak Pakatan Rakyat, khususnya menghentam dan memburukkan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim.

Isu-isu yang berkaitan dengan pihak kerajaan atau individu dalam kerajaan haram mereka tidak sentuh. Jadi tidak payahlah mereka mengabui mata rakyat dengan alasan untuk menjadi badan ketiga. Lebih mereka jelaskan saja bahawa mereka adalah sayap ketiga penyokong BN dalam parlimen, lagi jantan.

Apa lagi kebanyakan mereka meninggalkan parti asal mereka kerana dibayar dengan sejumlah wang. Mereka meninggalkan parti bukan kerana menegakkan perjuangan tetapi kerana memenuhi keperluan mereka. Dalam kata lain lompat kerana membawa perut borai mereka atau ingin menutupi kepala botak.

Hal ini boleh dirujuk kepada pendedahan dibuat Anwar Ibrahim baru-baru ini. Difahamkan Anwar akan membuat pendedahan di parlimen tidak lama lagi mengenai upah yang mereka terima untuk meninggalkan PKR. Kita tengok bagaimana mereka akan jadi macam cancing kepanasan bila tembelang mereka didedahkan kelak. [wm.kl. 2:40 pm 07/06/10]

Sunday, June 6, 2010

Promo Tengah Malam

Umno Kelantan Bermukim di Surabaya Untuk Rampas Kelantan

MINGGU lepas Umno Kelantan telah mengadakan permukiman (retreat) di Surabaya Indonesia selama tiga hari empat malam. Semua anggota badan perhubungan Umno menghadirinya. Pengerusi dan timbalannya, Mustapa Mohamed dan Awang Adek juga ikut sama. Annuar Musa juga tidak ketinggalan. Apakah resolusi atau pun hasil daripada permukiman berkenaan?

Apakah mereka ke Surabaya benar-benar bermukim atau pun melakukan keseronokan politik lain. Ada sesuatu yang menarik dari Surabaya itu dan Pas Kelantan perlu berbuat sesuatu.

Sesuatu yang lain katanya ada sepasang peserta wanita dan lelaki yang hilang dan tidak pun sempat untuk sama-sama melakukan permukiman. Mereka dikatakan bermukim di tempat lain? Benarkah?

Saya menunggu maklumat ini dan kalau ianya didapati benar akan saya ulas bersama hasil permukiman itu! [wm.kl. 11:30 pm 06/06/10]

Menyelami Riak

Razali Ibrahim Seorang Oportunis?

TERANG benar Pemuda Umno tidak sehaluan dan sekata. Mungkin kerana ada keretakan dalaman ini menyebabkan pergerakan itu tidak begitu menonjol dan seperti kapal penyelamat yang kehilangan haluan untuk dituju.

Ketidaktentuan ataupun tiada kekompakan dalam Pemuda ini tidak dapat disembunyikan lagi. Walaupun ada usaha membendung masalah itu, ia lama kelamaan mulai berbau. Paling ketara hubungan antara ketuanya dengan naib ketuanya, antara Khairy Jamaluddin dengan Razali Ibrahim.

Mereka berdua ini seolah tidak senada dalam percakapan dan tidak cuba membela antara satu sama lain bagi mengukuhkan hierarki kepemudaan. Senyuman semasa berdepan hanyalah sandiwara yang sudah diketahui penamatnya.

Razali tidak menampakkan akan ke'walakan beliau kepada Khairy sebagai ketua. Mungkin Razali menerima dakwaan kemenangan Khairy kerana rasuah. Orang yang kelihatan bersih seperti Razali mungkin sukar untuk berkompromi dengan perasuah?

Sejak awal lagi Razali dilihat bukan satu team dengan Khairy. Razali dilihat lebih akrab dan sesuai berganding dengan Mukhriz Mahathir. Rezza Merican Naina Merican yang berdepan dengan Razali pula lebih sesuai berganding dengan Khairy. Warna kulit mereka juga cocok benar!

Malangnya, takdir Allah, Rezza Merican kalah. Jadi hendak tidak hendak Khairy kena menerima Razali sebagai regunya dan begitu juga sepatutnya. Tetapi Razali tidak begitu. Dia masih merasakan Mukhriz sebagai ketuanya. Jadi penghormatan kepada Khairy tidak begitu kuat. Kekalahan mutlak Muhriz mengecewakannya. Keadaan ini menyebabkan kedua mereka hanya berada dalam satu rumah tetapi membawa hal dan angan-angan berbeza.

Bagaimana Razali meremehkan Khairy jelas bila mana, Razali semasa bercakap di Kota Bharu Kelantan menyatakan pemuda Umno tidak terkilan kalaupun Khairy tidak dilantik menjadi menteri. Katanya, isu Khairy tidak dilantik sengaja ditimbulkan oleh pembangkang. Apakah maksud dan tafsiranya bila beliau membuat ralat yang tidak perlu itu.

Kenyataan Razali itu menafikan apa yang dilahirkan beberapa ketua pemuda mengenai tindakan Najib Razak tidak mengambil Khairy sebagai jemaah menteri. Apabila Razali berkata begitu berertinya Razali tidak suka kalau Khairy masuk ke dalam Kabinet. Sebagai naib ketua yang sepatutnya taat kepada ketua, Razali tidak menjawab begitu tetapi membela Khairy walaupun Khairy tidak mengharap begitu darinya.

Razali cuba menjustifikasikan alasan itu – pemuda tidak terkilan, dengan menuduh pembangkang sengaja memperbesarkan isu itu. Katanya, perkara itu tidak timbul kerana rombakan itu tidak melibatkan Umno. Rasanya orang lain juga tahu bahawa tidak ada orang Umno terlibat dalam rombakan itu. Tetapi apa yang orang lain rasa perlu, alang-alang buat rombakan (pembetulan) masuklah sekali Khairy dalam jemaah menteri. Pemuda merasakan Khairy perlu berada dalam kabinet untuk menguat dan menambahkan semangat perjuangan pemuda Umno.

Razali sepatutnya tidak bercakap begitu. Dalam hal ini Razali semacam double standard dalam hal ini. Kepada Khairy beliau tidak mahu diberikan jawatan menteri, tetapi beliau sendiri mengambilnya. Jika Razali ikhlas dan jujur, dia tidak menerima perlantikan sebagai timbalan menteri. Demi ketuanya beliau patut menolaknya dan memberi kepada Khairy.

Tetapi apabila beliau menerima, maka jelas Razali seorang yang tidak tahu menghormati ketua. Ataupun memang dia tidak menghormati Khairy sebagai ketua cuma Khairy saja tersengeh-sengeh merasakan dia seorang ketua Pemuda Umno yang bijak, hebat dan berketrampilan tetapi bakat itu tidak pun tersentuh ke hati Najib dan Rosmah.

Mengenai pendirian Razali Ibrahim itu rasanya perlu kalau pemuda Umno menilai semula siapa dia Razali. Apakah dia seorang pemuda yang genius dengan sikap jujur, ikhlas dan kebertanggungjabwabannya atau seorang oportunis? [wm.kl. 11:00 am 06/06/10]

Celoteh Murai 71

Kesiannnn... Jamil Khir Bahrum

BILA dipostkan cerita tentang Syed Hamid yang nak dilantik jadi Pengerusi Lembaga Tabung Haji tetapi terpaksa di KIV (mungkin juga ditarik semula atau diganti dengan jawatan lain yang lebih rendah tarafnya), ramailah orang bertanya Murai mengenai peranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Jamil Khir Bahrum.

Mereka bertanya dan soal, kenapa kalau Jamil yang minta Syed Hamid tarik balik alias tolak perlantikan itu. Mereka tanya Murai tidakkah kalau menurut prosudernya Jamil yang buat perlantikan sebab dia menteri, dan kenapa 'muskilnya' tetiba dia suruh Habib itu tarik balik pulak.

Murai mulanya jadi pening kepala juga nak jawab dan nak jelas perkara ini. Kalaulah ianya sungguh berlaku begitu, 'rewel' sangatlah keeadaanya.

Memanglah kalau ikut prosudernya surat perlantikkan itu dibuat oleh Jamil sebab dia menteri bertanggungjawab mengenai Lembaga Tabung Haji. Dan sudah tentu juga sebelum buat surat Jamil akan rujuk dulu kepada bos dia, perdana menteri. Lepas PM setuju baru dia buat surat pelantikan.


Atas logik dan peraturan biasanya itu Murai rasanya, kalau bukan kerana ada orang lain yang memaksa Jamil untuk bagi tahu Habib Syed Hamid, Jamil tidak akan buat. Mana dia akan berani untuk ubah keptusannya.

Lagipun cara begitu boleh mejejaskan kredibiliti dan maruahnya sebagai seorang menteri agama. Ulamak mana boleh cakap berbelit-belit dan mengubah baris al Quran!
Kalau dia buat bermakna dia tidak menghomari dirinya sendiri. Orang juga berkata dia mempunyai lidah biawak yang bercabang dua. Dia lantik dia tarik, bukankah 'ngor...' kerja macam itu. "Ngor" kepada pembaca blog ini ialah tolol, dungu, sinting dan seerti dan seperangai dengannya.

Makanya dalam hal ini apa yang Murai dapat telahkan Jamil sudah jadi serba salah.
Untuk Jamil pertahankan keptusannya tidak mungkin. Murai percaya dan yakin Jamil lebih sayangkan jawatan menteri itu daripada membuat keputusan yang benar. Persetan dengan maruah asalkan pendapatan menerusi jawatan menteri tidak akan hilang. RM20 hingga 30 ribu sebulan banyak wei.... Murai tidak kira Jamil sanggup kehilangan rezeki kerana mempertahankan maruahnya dan maruah orang yang dilantiknya.

Jadi apabila Murai mengenangkan nasib dan telatah Jamil dalam menghadapi tekanan dan suruhan orang ini, teringatlah Murai kepada orang bernama Rafi dalam filem Madu Tiga. Si Rafi ini lurus bendul dan ikut saja apa yang tuannya arahkan. Bila tuannya arah dia perlu hanya menjawab kesian... kesian... bila ditanya oleh isteri tuannya, makasi Rafi akan menurut saja macam burung tiong yang diraut lidahnya, menjawab kesian... kesian saja.

Cuma bezanya kalau dalam filem itu bosnya bernama Jamil tetapi dalam filem 'batalkan perlantikan Habib Hamid' ini, Jamil adalah orang yang menjadi seperti Rafi, ikut saja apa yang orang suruh.
Perbezaan lain kalau dalam filem Madu Tiga bos si Rafi seorang lelaki gantang, tetapi bos si Jamil Khir itu seorang perempuan gemuk gedempul. Kesiaan .. kesian... Jamil!

Murai: Ada belas kesihan tetapi tidak mudah menggadaikan rasa ehsan.

Saturday, June 5, 2010

Ziarah Sahabat

Kesihatan Lutfi Semakin Pulih

SETELAH beberapa kali tertangguh, lewat petang tadi saya bersama isteri dan dua anak ke rumah Ahmad Lutfi Othman di rumahnya di Bukit Ampang, Selangor. Lutfi sudah lima minggu selamat menjalani pembedahan pintasan jantung. Alhamdulilah walaupun keadaa kesihatannya belum pulih sepenuhnya, namun beliau sudah dapat berjalan, bertatih menggunakan tongkat.

Menurutnya beliau masih menerima rawatan dan luka pembedahan jantung sudah hampir sembuh cuma luka di bahagian kaki masih belum baik sepenuhnya. Kesan kencing manis menyebabkan tahap kesembuhan agak lambat.

Lutfi kelihatan cerita dan kesempatan itu masih bercakap soal dunia penulisan serta dunia persurat khabaran. Lutfi masa ini adalah Ketua Pengarang akhbar Harakah. Beliau juga merupakan orang bertanggungjawab memulakan penerbitan Siasah bersama saya.

Bagaimana pun disebabkan Harakah lebih memerlukan tenaganya menyebabkan Lutfi terpaksa meninggalkan Siasah setelah menerbitnya sehingga keluaran 14 dan berhijrah ke Harakah. Harakah mempunyai sentimen value cukup tinggi kepada Lutfi.

Justeru memandang pembedahan pintasan jantung memerlukan kos yang tinggi elok kalau Harakah tanggungjawab untuk menanggung sepenuhnya perbelajaan berkenaan. Rasanya budi dan pergorbanan Lutfi untuk Harakah tidak akan terbayar walaupun seberapa banyak bantuan dihulurkan buatnya.

Bercakap mengenai kos perbelanjaan rawatan yang tinggi, Lutfi menyatakan terima kasih kepada rakan-rakan dan pihak membantunya. Beliau juga bernasih baik kerana mendapat perhatian dari dua Exco Kelantan, Husam Musa dan Takiyuddin Hassan yang menghulurkan bantuan. Beliau juga menyebut hampir semua pemimpin Pas menziarahinya antara Abdul Hadi Awang, Dr Hassan Ali dan lain-lain.

Kemurahan hati Husam membantunya, kata Lutfi telah merintis jalan kepada sahabat-sahabat lain turut memberi sumbangan mengiku kadar masing-masing. Dan semasa saya di rumah Lutfi tadi, wartawan Harakah Saidah Hairan bersama seorang rakan turut menziarahi bosnya itu. Didoakan semoga Lutfi cepat sembuh dan kembali ke gelanggang untuk 'menyantun' Harakah seperti biasa. Harakah tanpa Lutfi kurang bersemangat dan kurang menyengat! [wm.kl. 9:00 pm 05/06/10]

Respons Laporan

Cerita Mengenai Syed Hamid Sudah Hampir Benar

BELUM sampai 12 jam saya postkan maklumat mengenai pembatalan perlantikan Syed Hamid Albar sebagai Pengerusi Lembaga Tabung Haji (LTH), sebuah portal berita pro Kerajaan telah melaporkan Syed Hamid telah dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pengakutan Awam Darat (SPDA).

Menurut laporan perlantikan Syed Hamid akan berkuatkuasa pada 1 Jun iani sama dengan berkuatkuasanya perlantikan beliau sebagai Pengerusi LTH.

Menurut portal berita berkenaan yang memetik sumber terdekat dengan Syed Hamid mengesahkan perlantikan itu. Dalam pada itu lapor portal itu juga menyebut, Najib Razak akan mengumumkan senarai suhanjaya itu tidak lama lagi. Manakala menurut laporan itu Syed Hamid enggan mengesahkan perlantikan berkenaan.

Beberapa jam lalu saya mendedahkan mengenai apa yang dikatakan campur tangan Rosmah dalam perlantikan Syed Hamid sebagai pengerusi LTH. Dari makluman bekas pemimpin Pemuda sebuah kawasan memberi tahu pelantikan Syed Hamid sebagai pengerusi LTH dibatalkan kerana campur tangan Rosmah.

Jamil Khir dikatakan telah meminta Syed Hamid supaya menarik balik pembatalan dan tidak memasuki pejabat.

Saya juga melaporkan sebagai pertukaran Syed Hamid akan dilantik mempengerusi sebuah syarikat (GLC) lain.

Sekiranya benar pertukaran itu dibuat dengan melantik Syed Hamid sebagai pengerusi suruhanjaya, SPAD itu bermakna janji Najib untuk melantik Syed Hamid mempengerusi sebuah GLC seperti mana difahamkan tidak kesampaian.

Adalah dirasakan munasabah kalau perubahan itu, dari menjadi pengerusi GLC kepada suruhanjaya kerana apalah yang Syed Hamid dapat lalukan hanya dengan menjadi pengerusi kepada sebuah suruhanjaya.

Nampaknya nasib ahli Parlimen Kota Tinggoi, Johor itu terus malang, mulanya hendak dilantik menjadi Pengerusi Petronas, alih-alih kepada sebuah suruhanjaya yang mana ia tidak melibatkan soal perancangan ekonomi, korprat atau perdagangan. Kita tunggu perkembangan selanjtunya. [wm.kl. 11:35 am 05/06/10]


Ia juga munasabah kalau ada halangan

Rileks Mingguan

Bagaimana Manipulasi Berita Dilakukan

BAGI mereka yang tidak mengetahui seluk beluk dunia penyiaran tentu akan mempercayai dengan apa saja yang dihidangkan oleh media massa. Mereka akan percaya bulat-bulat apa yang disiarkan. Akan menelan terus yang dipersembahkan itu macam telan biji selasih.

Ada setengahnya yang menjadikan akhbar tertentu sebagai hadith sahih dalam merujuk tentang sesuatu pekara. Mereka akan mempercayai apa saja yang didedahkan meskipun akal mereka meraguinya.

Keretan akhbar yang diterakan di atas (foto) adalah sebuah berita mengenai demontrasi menentang Israel semalam. Tajuk berita ini ialah ialah "Ribuan sertai demonstrasi" dengan memaparkan gambar ketua Pemuda Umno yang tidak dilantik menjadi menteri, Khairy Jamaluddin sedang berucap mengecam Israel.

Dalam gambar ini juga tertera dua kain pemindang yang menentang Israel. Di penjuru kain pemindang ini dicatat perkataan Pemuda BN dan logo Umno - keris lucah! (Kenapa saya kata keris lucah kerana ia tidak bersarung, keris telanjang).

Memang perarakan raksasa semalam yang diketuai Anwar Ibrahim, Nasharuddin Mat Isa, Lim Kit Siang dan barisan pimpinan Pakatan Rakyat mencapai jumlah puluhan ribu. Rata-rata media mencatatkan angka 10,000. Jadi yang mendapat sambutan ialah pihak Pakatan Rakyat bukannya pihak Pemuda BN. Mungkin anda boleh membilang sendiri berapa jumlah yang mengeliling Khairy.

Bagaiman pun di sini bukan soal kita mahu merebut siapa menjadi hero dan juara dan pihak mana yang ramai. Biarlah berapa angka yang hadir menunjuk perasaan menentang binatang Israel, tidak kisah. Seorang pun jadi. Tetapi apa yang hendak dipaparkan bagaimana sifat munafik akhbar ini dalam melaporkan berita, memberi kelebihan kepada satu pihak dan menyembunyikan fakta di pihak lain. Bukankan cara akhbar ini menyembunyikan fakta?

Jadi bila kita bercakap soal integriti, soal profesional dan etika kewartawanan ianya sungguh memalukan.

Saya rasanya UBN yang didokong akhbar ini tidak untung sangat kalau mereka eksploitkan laporan itu dengan menumpang kehebatan himpunan pihak lain. Kepada orang ramai bukan soal angka tetapi soal komitmen terhadap Gaza. Itu yang penting.

Namun inilah hakikat dan realiti kita kalau terlalu politiking tidak kira masa dan keadaan. Barangkali ada kebenarannya seruan Najib Razak ketika meletak batu asas bangunan baru akhbar berkenaan supaya, akhbar itu bersikap rasional dan tidak mementingkan soal sensasi. Apabila akhbar berkenaan lebih mementingkan itu maka matlamat perjuangan asal akhbar itu sudah tidak bererti lagi. [wm.kl. 11:00 am 05/06/10]