Thursday, June 24, 2010

Ulasan Isu

Bantahan Lesen Judi Bola Sepak
Pemuda Umno Tertinggal Bas

TAHNIAH diucapkan kepada Dewan Pemuda Pas kerana mendahului Pemuda Umno dalam membantah pemberian lesen judi bola sepak. Dewan Pemuda Pas awal-awal lagi telah membantah pemberian itu dengan mengadakan tunjuk perasaan di perkarangan-perkarangan masjid sebaik saja Timbalan Menteri Kewangan, Awang Adek Hussein mengumumkan cadangan kerajaan untuk memberi lesen perjudian itu.

Ketuanya, Nasrudin Hassan (foto) bersama saf kepimpinannya terus menggerakkan kempen membantah pemberian lesen berkenaan. Hasil bantahan Pemuda Pas itu orang ramai menyedari akan bahaya perjudian berkenaan. Ekoran itu juga berbagai pihak turut menyatakan kesalan dan bantahan mereka berhubung perkara itu.

Dalam soal ini bolehlah dianggap Pemuda Pas yang mempeloporinya manakala pergerakan Pemuda Umno ketinggalan bas dalam hal ini!

Setelah dua minggu Pas mengadakan bantahan, hari ini baru Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menyatakan pergerakan itu juga turut membantah pemberian lesen judi bola itu. Katanya keputusan itu setelah ditanya pandangan rakan-rakannya dalam MCA dan MIC.

Cara Khairy untuk memutuskan soal pemberian lesen judi itu menunjukkan kelemahan Pemuda Umno. Pemuda sepatutnya tidak perlu merujuk kepada pemuda MIC dan MCA dalam memutuskan perkara itu. Soal yang jelas haramnya Pemuda Umno tidak perlu berbincang sebalik langsung membuat keputusan. Apakah sekiranya pemuda MCA dan MIC tidak bersetuju maka pergerakan pemuda Umno juga rela bersubahat dengan maksiat dan jenayah itu?

Bukankah pergerakan itu juga ada biro agama dan turut dianggotai oleh ustaz-ustaz mudanya ada yang berkelulusan universiti Al Azhar dan Madinah. Bahkan ada Exconya yang pernah mencabar dan mengajak Nik Abdul Aziz untuk berdebat. Apakah keilmuan ustaz muda dalam pergerakan pemuda Umno belum cukup ilmu untuk mengharamkan perjudian. Kalau Mursyidul Am Pas berani dicabar apakah mereka begitu naif untuk menghukumkan soal judi?

Bantahan Khairy itu juga dibuat setelah Dr Mahathir Mohamad menyatakan pendiriannya mengenai pemberian lesen berkenaan. Kata Mahathir kalau beliau masih berkuasa nescaya lesen itu akan membenarkan lesen berkenaan. Apakah keputusan Khairy itu sebagai menempal Mahathir. Sebelum ini Mahathir berkali-kali mengkritik dan menyinis Khairy termasuk kemenangan menanti bekas Perdana Menteri ke 4 itu sebagai ketua pemuda disebabkan rasuah.

Apakah tindakan Khairy membantah judi itu kerana semata-mata mahu mengambil pendirian bertentangan dengan idoanya itu? Sekali lagi diucapkan tahnizah kepada Dewan Pemuda Pas semoga dewan itu akan lebih peka dan terus bergerak untuk membenteras rasuah dan maksiat. Pemuda Pas jangan saja menjadi juara dalam isu-isu semasa sebaliknya harus istiqamah dan serius dalam membenteraskan maksiat dan perjudian yang sudah lama bersarang di negara ini seperti empat nombor ekor, toto, pelacuran, rumah urut dan sebagainya. [wm.kl. 3:00 pm 24/06/0]

Pandangan Dari Negeri Yap Ah Loy

Untuk Pasti Kekuasaan Pas di Kelantan
Pas Perlu Gugurkan 25 Wakil Rakyatnya


DALAM gema dan talun pilihan raya umum ke 13 sudah hampir tiba saya yakin Pas Kelantan sudah pun mula mencongak dan mengira bagaimanakah untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang. Sudah pasti Pas telah mula mengatur langkah dan strategi mampan.

Lawannya, Umno sudah pun membuat persiapan awal dengan mensasarkan 21 kerusi di samping mengekalkan enam kerusi yang disandang kini. Dalam retreat parti berkenaan selama dua hari tiga malam di Surabaya, Indonesia akhir Mei lalu Umno telah memasang angan-angan untuk menguasai Kelantan.

Bagi Pas untuk menghadapi pilihan raya kali ini terasa berat sedikit. Ada dua faktor yang ketara. Pertama, Pas kali ini tidak mungkin akan dapat menggunakan kekeramatan Mursyidul Amnya, Nik Abdul Aziz Nik Mat sepenuhnya untuk dijadikan modal pilihan raya. Nik Aziz kemungkin tidak lagi akan bertanding memandangkan usia sudah lanjut.

Bukan itu saja Pas tidak akan mengalami perubahan drastik selagi ianya dinakhodai oleh Pas. Makanya kalau Pas ingin melihat perubahan drastik beliau perlu meninggalkan kerusi eksekutif berkenaan dan merestui kepada mana-mana anak didiknya.

Kedua, ialah kerana kelaziman pasang surut politik Kelantan. Arus politik Kelantan akan memihak antara Pas dan UBN setiap lima tahun sekali. Pasang surut ini berlaku boleh dikatakan terjadi sepanjang masa. Fenomena alam seperti bajir dan kemarau yang dialami Kelantan juga terikut dalam 'cakra' politiknya.

Tahun 2004 sewaktu pilihan raya ke 11, arus politik Kelantan tidak memihak kepada Pas. Parti itu hampir-hampir kehilangan kerajaan negeri apabila hanya menang dengan kelebihan dua kerusi saja. Sebaliknya tahun 2008 pada pilihan raya ke - 12, arus itu kembali menyuburkan Pas. Pas menang dengan besar dengan mendapat 38 kerusi dari 45 kerusi dengan kelebihan tujuh kerusi tanpa termasuk kerusi PKR.

Perubahan mendadak arus itu ada sangkut paut dengan pertukaran teraju kepimpinan Umno di peringkat pusat di mana waktu pilihan raya 2004 Abdullah Badawi baru mengambil alih kepimpinan Umno dari Mahathir Mohamad. Selepas pilihan raya Mac 2008 lalu, sekali lagi pucuk pimpinan Umno bertukar tangan apabila Najib Razak mengambil alih. Pengambilalihan ini dilihat akan memberi semangat baru kepada Umno.

Berpandukan kepada arus politik tidak menentukan itu, kemungkinan pilihan raya ke - 13 ini ia tidak akan memihak kepada Pas. Arus yang melandai di pantai Pas kini mungkin akan berolak kepada pantai Umno pula. Pas tidak boleh optimistik dengan pencapaian lalu dan harus meletakkan kemungkinan itu dalam kepala.

Justeru Pas kena berhati-hati dan bijak dalam mengatur strategi untuk menghadapi pilihan raya ke - 13 nanti. Dalam konteks ini Pas perlu berkorban dalam menyusun strategi terutamanya mengemukakan calon-calonnya dalam pilihan raya berkenaan. Menjelang pilihan raya ke- 13 ini ramai yang perlu berkorban dan bermahasabah diri dan meninggalkan hal-hal titik bengik yang masih menjadi perhitungan penting sesetengah pihak.

Dalam hal ini pada pengamatan awal saya tindakan besar yang Pas Kelantan perlu lakukan dalam memastikan kemenangan kelak ialah menggugurkan 26 wakil rakyatnya. Mereka ini harus ditukar dengan muka baru yang lebih bertenaga, berpendidikan, berketrampilan dan berkeupayaan membawa perubahan dan menjana masa depan Kelantan sesuai zaman kini.

Dari jumlah itu seramai empat orang ahli parlimen dan 21 orang ahli Dewan Undangan Negeri.
Secara spesifiknya dari jumlah itu, empat dari kawasan Pasir Puteh, masing-masing tiga dari kawasan Pengkalan Chepa, Pasir Mas, Kota Bharu, dua dari kawasan Tumpat, Rantau Panjang, Kubang Kerian dan Kuala Krai. Manakala satu masing-masing di Ketereh, Jeli dan Gua Musang.

Alasan kenapa wakil rakyat ini perlu digugurkan kerana pencapaian mereka tidak memberangsangkan. Meskipun mereka mampu membawa kemenangan tetapi dalam memberi khidmat dan membantu membangunkan negeri mereka tidak begitu berjaya dan mampu menyerlahkan sebagai pemimpin berkualiti. Rasanya Pas perlu mengorbankan atau pun seimbangkan dalam menilai pencapaian mereka dengan pengaruhan peribadi di kawasan setempat.

Antara wakil rakyat itu termasuklah dua orang anggota Exco. Exco ini sudah berkhidmat lebih dari dua penggal tetapi tidak berjaya menunjukkan kebolehan mereka dalam menguruskan kerajaan serta memberi impak kepada parti. Mereka ini hanya mempunyai pengaruh peribadi di kawasan mereka saja. Mereka ini juga tidak menunjukkan daya kreativiti mereka dalam membantu Nik Aziz sebagai Menteri Besar. Apa lagi untuk mencetus dan menetaskan idea baru sama sekali tidak. Yang sedap ditenguk kepada mereka hanya memandu Mercedez keliling kampung saja.

Sekiranya Pas masih mengekalkan 26 wakil rakyat ini Pas akan menghadapi masalah kerana mereka sudah menjadi liabiliti kepada parti. Liabiliti ini bukan kerana mereka mempunyai masalah peribadi tetapi keupayaan mereka sebagai wakil rakyat di zaman ini. Kebanyakan mereka masih menggunakan pakai stail wakil rakyat di zaman 60-an.

Sehubungan itu elok kalau Pas Kelantan sudah mengenal pasti ataupun memperkenalkan calon yang bakal mengganti mereka ini. Mereka yang layak untuk mengganti wakil rakyat berkenaan sudah perlu berada di kawasan dan mengambil bahagian aktif dalam parti. Pas perlu menonjolkan mereka sejak awal lagi bagi mengelakkan berlaku salah faham atau timbul sebarang masalah. Sebaik-baik penonjolan ialah mereka yang memilik pelbagai kemahiran dan profesional.

Persiapan awal ini juga penting bagi menguji sejauh manakah penerimaan rakyat kepada mereka. Dalam pada itu ahli dan penyokong Pas perlu bersikap terbuka dan melihat kepentingan serta keperluan untuk membawa perubahan kepada parti lebih penting daripada merasakan mereka perlu dicalonkan lagi kerana mempunyai hubungan baik dengan mereka atau ada konteks peribadi.

Setelah lebih 20 tahun Pas memerintah Kelantan sudah sampai masanya untuk parti itu mementingkan kualiti calon bukannya semata-mata melihat calon atau wakil rakyat itu mampu membawa kemenangan. Satu acuan politik baru perlu dibangunkan. Perlu diingat apabila parti berjaya menjadi kerajaan, penilaian rakyat bukan kepada kemampuan calon itu memberi kemenangan tetapi sejauh mana wakil rakyat itu berperanan dalam membangunkan negeri.

Seperkara yang tidak boleh dikesampingkan oleh Pas Kelantan bagi menghadapi pilihan raya kali ini ialah memulihkan keretakan kecil yang berlaku dalam parti itu kerana sentimen dan perbalahan peribadi. Sikap berpuak-puak atau bertanah rancangan hendaklah dileburkan. Sekali lagi diminta, sebelum Tok Guru Nik Aziz berundur tanah-tanah rancangan ala mini estet itu hendaklah disatukan dalam lot besar.

Saya yakin demi kemenangan Pas tuan-tuan tanah rancangan atau minit estet itu sedia untuk menyatukan lot-lot mereka. Penyatuan ini kalau lagi cepat lagi bagus. Untuk tujuan itu mungkin satu plan penyatuan secara menyeluruh dan kemas perlu diwujudkan. Semua pihak dalam Pas Kelantan juga harus sudah membayangkan siapakah yang paling layak untuk menjadi Menteri Besar dalam zaman serba mencabar ini. Sebaik mereka biarlah yang memilik skil dan ketinggian daya mentadbir! [wm.kl.9:20 pm 23/06/10]

Wednesday, June 23, 2010

Bingkas Ke Dalam

Adakala Diam Itu Lebih Baik Dari Bersuara

Presiden Pas, Abdul Hadi Awang tidak perlu cepat memberi reaksi berhubung dakwaan ada agenda pihak tertentu menimbulkan isu Wahbi dan Jemaah Islam (JI) sebagai strategi pilihan raya. Selaku presiden, Abdul Hadi seharusnya tunggu dan lihat perkembangan seterusnya dan tidak mudah gaduh untuk membuat tafsiran.

Mengulas rumours yang dibuat oleh portal berita tidak bijak. Lainlah sudah ada kenyataan terus dan terang dari pihak kerajaan yang mengaitkan perkara berkenaan. Cara Abdul Hadi terus mengulas itu samalah dengan sikap setengah pemimpin Pas yang pelahap dengan pembesar suara atau tape recorder wartawan.

Terlalu cepat memberi ulasan terhadap sesuatu yang belum sahih ataupun yang dibangkitkan oleh portal dan blog tidak bagus juga. Apakah Pas telah menganggap portal berkenaan cukup berwibawa dan bertindak menjadi mata telinga kepada Pas. Kalau portal berita berkenaan digaji oleh Pas menyiasat mengenai sesuatu ada logiknya kalau Hadi mengulas.

Sebelum ulas pastikan dulu dan tilik apakah motif portal berita berkenaan mengeluarkan kenyataan demikian. Sikap bijak mengenali hala tuju media massa dalam soal ini penting bagi mengelakkan kita terperangkap dalam jeratnya. Media massa suka kalau pemimpin politik mengikut telunjuknya.

Ada kesan buruknya bila Hadi sudah bercakap mengenai perkara tidak sepatutnya beliau bercakap. Bercakap mengenai apa saja, kepada sesiapa saja memberi gambaran presiden itu tidak tahu menjaga standard dan statusnya sebagai presiden. Selaku presiden Hadi seharusnya memilih topik untuk mengulas agar kata-kata dan pandangannya dilihat bernas dan mahal.

Wibawa seseorang pemimpin itu akan dilihat kepada perwatakan, peribadi dan mutu atau nilai isi percakapannya di samping sejauh mana kreativiti mindanya dalam memperkatakan sesuatu. Presiden tidak sama dengan Naib Presiden yang suka bercakap kerana ingin mencari publisiti atau untuk dilihat mereka tidak telor. Sebab itu ada Naib Presiden Pas cakap apa saja sama ada ia ada kaitan dengan dirinya ataupun perjuangannya parti atau tidak. Gurauan perdana menteri agar minta menamakan kucingnya pun diulas lebih separuh muka surat.

Kelemahan Abdul Hadi dalam soal ini adalah kelemahan para pegawai dan penasihatnya. Pegawai Abdul Hadi, termasuk setiausaha politik dan akhbar boleh memberi nasihat dan tunjuk ajar mana isu yang relevan atau tidak untuk dicapakkan.

Tengok, kesan daripada tidak berhati-hati bila Hadi ulas mengenai perkara itu terkeluar ayat yang akan dikomersilkan oleh pembangkang yang berbunyi; "Memang saya sekolah di sekolah Wahbi, tetapi saya ada pemikiran sendiri." Secara tak langsung pengakuan yang berbentuk sinikal itu telah mengesahkan bahawa beliau rapat dengan Wahabi.

Benarlah kata bidalah, lebih baik kita diam dalam sesutau perkara yang tidak kita dalami daripada memperkatakannya kerana ada kalanya bila kita bersuara kita akan menyerlahkan kelemahan diri sendiri. Ertinya selama kita mendiamkan diri dalam sesuatu bidang kita akan dianggap mengetahuinya cuma enggan bersuara saja. [wm.kl. 2:20 pm 23/06/10]

Tuesday, June 22, 2010

Susupan Petang

Menteri Otak Kemetot Nak Buang Tak Boleh...

MAAF lah kepala saya jadi panas dengan tiba-tiba bila mendengar Menteri Pertahanan, Ahmad Zahid Hamidi menyelar Anwar Ibrahim ketika bercakap dengan pemberita berhubung Jemaah Islam (JI). Kata Zaid, Anwar tidak sepatutnya memanipulasikan isu berkenaan.

Saya rasa baik Menteri Pertahanan dan juga Menteri Dalam Negeri serta Ketua Polis Negara dan juga Menteri Pelajaran tidak berapa masak dalam hal ini. Kalau Anwar tidak masak munasabah, sebab dia ketua pembangkang di mana akan membangkang apa saja tidak kira makanan yang dihidangkan beracun atau lazat.

Kenapa saya kata tidak berapa masak ialah, kenapa mereka mendedahkan isu JI yang kononnya sudah meresap dalam kampus dan mengancam keselamatan negara. Dan seperti mana kata Zahid seorang Profesor Madya terlibat dengan JI.

Saya percaya kalau polis bersama menteri-menteri tidak mendedahkannya, ketua pembangkang tidak akan bercakap. Ketua pembangkang tidak ada modal untuk memanipulasikan isu berkenaan! Ahli parlimen Pakatan Rakyat yang lain tidak akan bercakap. Dan rakyat juga tidak akan tahu mengenai hal itu. Bila menteri dan ketua polis dedah baru rakyat tahun yang ada JI di negara ini.

Selalu berlaku demikian. Kerajaan mendedahkan sesuatu tidak sepenuhnya. Dedah sikit-sikit dan samar-samar. Bila pihak pembangkang mempertikaikan mereka akan marah. Kata pembangkang mengambil kesempatan dan jadikan modal politik murahan. Dalam kes JI saya kira baik ketua polis, Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Menteri Pelajaran dan terbaru Menteri Pertahanan tidak payah gatal mulut untuk bercakap. Diamkan saja.

Baru-baru ini polis ada tangkap 10 orang warga asing, kenapa tidak dedahkan identiti mereka dan jelaskan apakah aktiviti dan jenayah yang mereka lalukan. Sejauh manakah penglibatan mereka dalam JI?

Kalau setakat tangkap masuk guni dan tidak ceritakan kepada rakyat ia jadi masalah. Zaman ini zaman segala maklumat tidak boleh disimpan di bawah karpet lagi. Selain polis yang ada kuasa menangkap, rakyat juga ada hak untuk menilai dan menghakimi dengan akal dan otaknya atas prinsip kebebasan. Selalu juga terjadi polis tidak bertindak secara profesional tetapi lebih sedia menjadi lembu mandul dicocok hidung kepada UBN.

Untuk apa Muhyiddin Yassin meminta semua Naib Cencelor jumpa ketua polis negara. Untuk apa pula Zaid sebutkan perkara ini kepada pemberita sambil melanyak bekas ketua kabilahnya? Untuk apa? Untuk apa? Apakah untuk membendungnya atau untuk apa? Apakah dengan cara mendedahkan itu ia boleh dibendung? Atau tiba-tiba saja bila isu JI didedahkan mereka yang cuba menyebarkannya akan berhenti? Begitukah? JI ini bukan calang-calang gerakan. Saya rasa mereka tidak akan berhenti setakat ada menteri mendedahkan kegiatan mereka. Mereka yakin dan komited dengan jihad mereka.

Sebab itu pendedahan menteri dan ketua polis mengenai JI itu tidak begitu jelas dan konkrit. Sebab itulah juga pembangkang membuat andaiannya ia adalah motif dan helah politik. Bahawa kerajaan sengaja menimbulkan itu untuk menakut-nakutkan orang ramai. Menimbulkan kebimbangan. Dan ada benarnya juga kalau ada yang beranggapan kerajaan akan tangkap pemimpin pembangkang atas motif politik.

Kejadian mengkambinghitamkan pihak pembangkang ini bukan baru. Ia pernah berlaku sebelum ini. Dalam tahun 1986 atau 1987 yang tunjuk perasaan dan menimbulkan isu perkauman para pemuda Umno, yang kena tangkap pemuda Pas. Semua orang masih ingat. Zahid sendiri juga rasanya ada pengalaman mengenai tindakan rakus kerajaan ini tahun 1998 sewaktu reformasi lalu. Apakah pengalaman yang dilalui itu tidak boleh dijadikan iktibar. Jangan munafik?

Di sini kalau kerajaan ikhlas hendak membenteraskan isu itu (kalau ada seperti mana dikatakan itu) ia tidak perlu dihebuhkan. Cekup perlahan-lahan dan sumbat ke dalam penjara. Masukkan ke dalam ISA. Tetapi kalau awal-awal sudah heboh riuh randah sekampung apa halnya? Jangan marahkan orang kalau ada tuduh ada motif di sebalik itu. Belajarlah menjadi bijak dan cerdik sedikit.

Itu Zaid Hamidi pun tidak payahlah selar dan marahkan Anwar. Anda Menteri Pertahanan ada kuasa, ada bedil dan ada bom, bom sajalah tutup cerita. Kalau C4 milik tentera boleh dilepaskan untuk hancurkan Altantuya apa salahnya kalau ia digunakan untuk bom JI? Gunalah...

Kalau menimbulkan isu kerana nak burukkan Anwar nak hina Anwar rasanya tidak payah. Seorang menteri seharusnya ada wibawa, ada klas dan mempunyai integriti yang tinggi. Kalau Zahid atau Hishmuddin juga bercakap macam ketua pemuda cawangan malanglah kerajaan Najib Razak. Malang bagi Najib nak tukar menteri bodoh dan otak kemetot tak dapat kerana ahli parlimen Umno hanya ada berapa kerat saja. Al nasib wa nasab.... [wm.kl. 6:00 pm 22/06/10]

Khabar Umno Selangor

Umno Selangor Sudah Mulai Berbau!

CERITANYA kecil saja, Mohamed Satim Diman iaini Setiausaha Badan Perhubungan Umno Selangor tidak hadir mesyuarat pengurusan badan perhubungan itu malam tadi. Timbalannya Noh Omar menjelaskan yang Satim ada menghubunginya dan jelas kenapa tidak dapat hadir. Bendahari, Fatah Iskandar Mohamad Mansor dan Ketua Pemuda, Suhami Ghazali juga tidak hadir.

Kata Noh Omar Fateh dan Suhaimi tidak hadir kerana berada di luar negara. Kenapa tidak sampai tunggu mereka balik untuk adakan mesyuarat? Mereka adalah penting dalam mesyuarat itu. Kalau ketiga orang penting tidak ada macam mana mesyuarat itu dijalankan?

Apakah ketidakhadiran mereka itu khususnya Satim ada kena mengena dengan khabar angin sebelum ini menyatakan Satim akan keluar parti? Dalam politik biasanya ia bermula dengan khabar angin, kemudian bertukar menjadi khabar ribut selepas itu khabar taufan. Tup tup... tumbanglah segala pohon kayu kayan. Misalnya mengenai kejatuhan kerajaan Pakatan Rakyat Perak ia bermula dengan khabar angin. Pihak Pakatan membantahnya dengan keras, akhir sekali menungging makan tanah.

Satim bukan orang baru. Dia sudah empat penggal menjadi Adun Selangor. Dia lebih senior daripada bekas Menteri Besar, Mohamad Khir Toyo. Semasa Abu Hassan Omar bermasalah kerana skandal dengan adik iparnya, nama Satiman Diman disebut-sebut akan dilantik jadi MB.

Ertinya Satim Diman bukan sembarangan. Ada benarnya juga kalau beliau merasakan disisih dalam Umno. Atau merasakan dia yang patut menjadi Timbalan Pengerusi bukannya Noh Omar. Apakah ulah yang beliau buat kini untuk memperbetulkan Umno ataupun benar-benar mahu menyusahkan Umno? Ceritanya baru bermula...

Ada juga cerita mengatakan Satim Diam berminat dengan pembangkang? Walaupun cerita ini hanya 'cerita ceriti' saja ia tidak boleh dianggap sampah. Dalam politik semuanya boleh terjadi. Sampah pun boleh dijadikan emas. Mungkin kalau Najib Razak tidak cepat bertindak melendikkan keadaan apa saja akan terjadi. Sudah ada tanda-tanda Umno Selangor nak rusuk.

Umno Selangor tidak pernah merasai 'nikmati' kekalahan. Kekalahan merupakan neraka kepada mereka. Dalam keadaan hari ini tidak mungkin Umno juga akan terkena kepanasan neraka kekalahan itu menyebabkan akan ada orang-orangnya tidak tahan disula baham kepanasan. Kekalahan dan kehilangan kerajaan negeri menjadikan orang Umno Selangor nanar sampai tidak jumpa pintu untuk masuk rumah. Khir Toyo juga masih belum kebah sampai hari ini.

Mungkin Satim Diman sudah membentuk pasukannya sendiri atas nama nak betulkan Umno, atau secara terus terangnya nak suruh Najib buang Noh Omar jadi timbalan pengerusi. Mungkin dalam perkiraan Satim pendekatan Noh ala-ala gengstar itu tiak cocok dan menjauhkan lagi rakyat dengan Umno. Noh masih tidak sedar apa yang berlaku di sekelilingnya, beliau kini sedang di kepung.

Dalam keadaan ini di manakah Khir Toyo! Tengoklah sehari dua nanti Najib akan panggil Umno Selangor ke rumahnya untuk memberi nasihat dan juga mendegar cerita dari Umno Selangor yang kini sudah mulai berbau! [wm.kl. 11:00 am 22/06/0]

Monday, June 21, 2010

Hanya Sebuah Firasat

Saya Tidak Fikir Asri Akan Sertai Umno?

DESAS desus bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin akan menyertai parti politik mendapat perhatian ramai termasuk kalangan pemimpin politik. Walaupun Asri menjelaskan beliau belum buat keputusan tetapi ia tetap menjadi perhatian. Semuanya bermula dan jadi heboh bila perkara Asri nak sertai Umno ini didedah oleh Setiausaha Kerja Umno, Abdul Raof Yusuf.

Menurut Raof, Asri akan sertai Umno bersama 100 orang cerdik pandai Islam termasuk yang berkelulusan Phd? Tarikhnya Jumaat ini bersempena dengan hari Umno akan mengadakan mesyuarat MT. Mungkin Najib Razak akan mengumumkan ketika itu? Kata Raof, Asri diberitakan akan menjadi ahli Dataran Merdeka dalam kawasan Bukit Bintang?

Melihat cara Raof menghebahkannya ia seperti benar akan berlaku. Tetapi dari sisi lain hebahan itu ada semacam tektik tertentu saja. Anihnya tidak ada pula tokoh-tokoh besar mengalu-alukan desas desus itu apakah ada orang Umno tidak berminat dengan Asri?

Ramailah juga orang mengajukan pertanyaan kepada saya apakah benar desas desus itu. Saya tidak dapat nak mengesahkan cuma mengikut perkembangan - desas desus itu menerusi portal berita saja. Adapun kali terakhir saya berjumpa dengan Asri ialah pada hari kematian Hassan Shukeri. Beliau turut hadir untuk menyembahangi jenazah Hassan.

Sementara menanti kehadiraan Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat, saya nampak Asri duduk di kerusi bersama Abdul Hadi Awang dan beberapa pemimpin yang lain. Ketika dia berjalan nak masuk bawah bangsal tempat sembahyang jenzah dia ada berjalan ke arah saya dan bersalaman. Kami sempat bercakap sepatah dua, dan beliau menceritakan biliau biasa ziarah Allahyarham.

Semasa muktamar Pas di Kota Bharu dua minggu lepas beliau juga hadir. Menjadi tetamu pada muktamar Dewan Pemuda Pas dan juga tetamu VVIP pada muktamar penuh di Putik. Kehadiran di dua majlis itu menjelaskan secara politiknya beliau mempunyai hubungan yang baik dengan Pas. Ada tanda-tanda beliau berminat dengan Pas.

Pun begitu kalau dia tiba-tiba nak sertai Umno tidak menjadi masalah. Tidak semestinya orang yang hadir pada muktamar Pas, menjadi tetamu kehormatan tidak boleh masuk Umno. Sedangkan pemimpin Pas sendiri ada yang masuk Umno. Mungkin juga Asri nak melihat bagaimana Pas bermuktamar. Ataupun dia hadir kerana menghormati jemputan. Atau pun merisik dan melihat sejauh mana penerimaan orang Pas ke atas kehadirannya.

Mungkin juga disebabkan kehadiran Asri itu maka Umno merasa gerun dan bimbang. Makanya sesuatu kena dibuat. Itulah Raof pun buat kenyataan yang Asri nak sertai Umno. Hubungan Asri dengan bekas MB Perlis Shahidan Kassim digunakan sebagai hujahnya. Shahidan juga mengatakan yang Asri mungkin pilih Umno. Sekali lagi hubung baik Asri dengan Shahidan tidak semestinya Shahidan akan menyertai Umno.

Semasa berlaku kes Asri ditangkap kerana mengajar tanpa tauliah saya berkesempatan berjumpa dengannya di sebuah rumah di Hulu Klang. Ada beberapa orang pengikutnya menyebut, kalau payah sangat nak ceramah dan mengajar buat mereka suruh Asri parti sendiri. Berdasarkan kata-kata itu boleh dianggap kalau Asri menyertai mana-mana parti pun sebagai helah atau dijadikan platform untuk beliau berdakwah saja. Pada saya tugas dan tanggungjawab Asri memecahkan beberapa persoalan dalam Islam lebih penting untuk beliau sertai parti kerana nak jadi Yang Berhormat.

Justeru saya tidak kira Asri akan menyertai parti politik dalam masa terdekat. Kalau beliau benar menyertai Umno pilihan itu pada saya salah. Beliau tidak akan mampu untuk memperbaiki parti berkenaan. Begitu juga kalau penyertaanya bertujuan untuk memperkasakan Umno. Dalam perhatian saya penerimaa dan tafsiran kepentingan Melayu dalam minda Asri sama dengan penerima dan tafsiran Nik Aziz. Perjuangan Asri bukan kepada Melayu tetapi kepada masalah kekeliruan, bidayaah atau kurafat dalam Islam. Manakala mempercayai kepada Melayu itu sebagai satu-satu kuasa dapat menyelamatkan Malaysia juga saya kira kurafaat atau bidaah!

Kerana itu beliau tidak akan cari fasal dengan Umno. Begitu juga kalau beliau menyetertai Pas beliau juga tetap bermasalah. Tuduhan beliau sebagai penganut fahaman wahabi menyebabkan beliau akan ditentang oleh sebahagian ahli Pas yang kuat berpegang kepada mazahab. Kalau ada beberapa fahaman dan pembaharuan yang dibuat Nik Aziz pun dipersoalkan apa lagi kalau Asri bercakap sebagai ahli Pas.

Secara peribadi saya masih berpegang kepada nasihat saya kepada Asri sebelum ini agar beliau tidak menyertai mana-mana parti politik untuk mengekekalkan kehebatannya. Martabat dan wibawanya sebagai ulama akan tercemar kalau beliau menerjunkan diri dalam parti politik. Beliau akan terus disanjung dihormati oleh semua pihak jika beliau berada dalam keadaan bebas. Hari ini orang Umno tidak membenci Asri, orang Pas juga tidak membencinya dan orang PKR juga tidak mencemuhnya. Tetapi kalau beliau sudah menyertai mana-mana politik boleh akan dibenci dan akan dicemuhi.

Kalau beliau sudah menyertai Pas beliau tidak lagi akan dipanggil ke majlis-majlis Umno begitu juga kalau beliau menjadi ahli Umno. Politik Malaysia yang masih lagi belum tamadun, terbuka dan profesional sukar untuk sesuatu parti menerima pandangan dan hujah pihak lain. Malahan bukan saja untuk diudang memberi pandangan yang berkadas, hatta setakat untuk berada dalam satu majlis pun sukar.

Kalau boleh biarlah Asri kekal dengan kedudukan seperti hari ini, berkawan dengan semua pihak di mana cara ini juga memberi peluang beliau untuk berdakwah seluas dan sebebasnya. Kalau beliau membuat teguran atas kedudukannya sebagai bebas beliau tidak akan dilihat sebagai teguran politik dan mungkin diterima. Tetapi kalau sudah menjadi ahli parti teguran itu akan dianggap sebagai teguran politik walaupun ia adalah yang haq tetapi akan dianggap sebagai jahat. [wm.kl. 3:00 pm 21/06/10]

Sunday, June 20, 2010

Perhatian

Tolonglah Jangan Ganggu Email Saya

Setiap hari saya menerima puluhan email liar yang menawarkan berbagai bentuk skim atau sistem untuk mendapat wang cara mudah. Macam-macam yang ditawarkan sekilas pandangan seolah wang atau untuk menjadi kaya begitu senang sekali. Kemudahan IT hasil ketinggian ilmu Allah yang disalurkan melalui pelbagai jenis manusia seakan menafikan kita untuk bekerja dengan tulang empat kerat seperti lazimnya untuk kaya dan memenuhi keperluan hidup.

Saya tidak percaya kepada segala macam tawaran itu. Saya juga tidak ada masa untuk ikut sama terjebak didalamnya. Saya merayu dengan rendah hati tawaran-tawaran kekayaan yang tidak tersaul dek akal itu usahlah dikirimkan kepada saya. Mengirimkan kepada saya hanya membuang masa anda dan juga masa saya untuk melupuskannya. Tidak fasal-fasal juga menyebabkan saya akan menyumpah dan memakin hamu kepada si pengirim.

Tak apalah, saya tidak sama sekali berhajat untuk menjadi kaya dengan menyertai apa-apa skim yang ditawarkan itu. Kepada si pengirim saya ucapkan selamat maju jaya dan menjadi kaya menerusi sistem atau skim yang berkenaan. Cubalah kepada orang lain tetapi jangan kepada saya. Sesungguhnya saya tidak sesekali akan bersubahat dengan aktiviti-akviti yang mungkar!

Harap faham dan mengerti!


Salam hormat,
MSO

Ulasan Isu

Hishmuddin dan Musa Tidak Perlu Marah Anwar

MENTERI Dalam Negeri, Hishamuddin Hussein dan Ketua Polis Negara, Musa Hassan kali ini sepakat dan senada marahkan Anwar Ibrahim ekoran bekas TPM itu berpendapat isu militan Jemaah Islam (JI) yang ditimbulkan pihak kerajaan sebagai helah mengalihkan isu saja.

Pihak keselamatan telah mendedahkan bahawa militan JI kini sudah mulai meresapi ke dalam kampus dan mendakwa ada pensyarah yang turut terlibat.

Dalam kata lain Anwar tidak percaya dengan dakwaan JI meresapi ke dalam kampus di negara ini. Kata Hishamuddin kenyataan Anwar itu sebagai gila manakala kata Musa Hassan Anwar tidak perlu bercakap kerana ia bukan bidang kuasa Anwar.

Kedua kenyataan itu agak keras dan kasar tidak sepatutnya diluahkan oleh kedua mereka. Apakah soal keselamatan negara ini seratus peratus menjadi tanggungjawab polis? Selalu kita mendengar polis membuat seruan supaya orang ramai membantu polis. Jadi bila Musa Hassan menempelak Anwar begitu seolah polis tidak memerlu bantuan orang awam.

Begitu juga kalau kenayataan Anwar itu gila Hishamuddin tidak sepatut menjawab dan melayannya. Bukankah Anwar orang politik, bila-bila masa dan di mana saja dia akan berbicara atas sifat politik.

Politik adalah persoalan dan persepsi. Jadi apa yang dibangkitkan Anwar itu persoalan dan persepsi beliau terhadap apa yang dibangkitkan oleh kerajaan. Mungkin dia beranggapan kerajaan tidak serius membangkitkan soal itu melainkan untuk mengalihkan isu saja. Anwar juga pernah menjadi pemimpin Umno dan arif dengan tektik dan strategi Umno dalam melarikan isu. Mungkin Hishmuddin terlupa akan sejarah itu.

Al maklumlah hari ini kerajaan berdepan dengan beberapa isu yang tidak menyenangkan. Isu kerugian Sime Darby, isu ekonomi yang tidak berapa menyenangkan. Isu orang Melayu tidak menyokong Umno sepenuhnya dan berbagai isu lagi.

Bertolak daripada keadaan itu menyebabkan kemungkinan kerajaan membuat berbagai pendedahan untuk mendapat perhatian rakyat khasnya orang Melayu. Dengan mendedahkan soal keselamatan Umno mengira orang Melayu akan kembali bersatu!

Musa Hassan pula tidak perlu naik angin dengan Anwar Ibrahim. Kalau masalah JI benar-benar menjalar dalam kampus dan sudah ada pengsyarah terlibat, tunggu apa lagi tangkap mereka. Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) membolehkan mereka ditangkap tanpa bicara masih ada. Gunakanlah!

Tidak ada gunanya berlawan mulut dengan Anwar. Disebabkan Anwar dan Musa ada chamistry tersendiri mereka tidak akan berdamai dalam apa saja. Apabila Anwar mengeluarkan kenyataan begitu mungkin dia mahu mencabar wibawa polis agar mengatasi segera gejala berkenaan. Seharusnya baik Musa dan Hishmuddin tidak mudah prejudis terhadap apa-apa yang Anwar bangkitkan.

Kerana politik itu persepsi rakyat di luar sana tidak akan percaya kepada Musa dan Hishmuddin sebaliknya akan yakin dengan apa yang Anwar timbulkan itu. Jadi untuk menjawab dan menutup mulut Anwar, polis jangan teragak-agak benteras dan tangkap saja siapa yang menjadi penggerak JI.

Kalau polis gagal berbuat demikian dan Hishamuddin hanya setakat mengeluarkan kenyataan maka benarlah apa yang ditanggapi oleh Anwar itu, bahawa isu JI hanya isu ciptaan kerajaan saja untuk menakutkan rakyat dan melarikan isu-isu besar yang kronik yang ada masa kini. Dan hari ini nampaknya apa yang diandaikan Anwar itu lebih dipercayai daripada apa yang Hismuddin dan Musa Hassan ucapan. [wm.kl. 5:30 pm 20/06/10]

Ilham Ahad

Saman Ekor Bukan Menyusahkan Tetapi Menganiayakan

SEMUA rakyat yang sayangkan negara mengalu-alukan langkah kerajaan berusaha untuk menambahkan pendapatan negara. Dalam keadaan ekonomi meleset manakala pemimpin pula terkial-kial mencari idea macam mana untuk menambah pendapatan, apa juga ikhtiar oleh kerajaan perlu disokong oleh rakyat. Kerjasama dan sokongan rakyat sangat penting. Kalau tanpa sokongan rakyat usaha yang baik kerajaan tidak akan berhasil dan tanpa sokongan rakyat ia tidak membawa berkat.

Bagaimana pun dalam hal ini kerajaan hendaklah memahami masalah rakyat. Janganlah semata-mata kerana kerana hendak tambah wang perbendahraan negara maka rakyat jadi mangsa. Dikikis wang dari saku rakyat. Memang pun rakyat perlu dimangsakan, tetapi jangan melampau sehingga menyusahkan.

Ada beberapa tindakan kerajaan menunjukkan kerajaan begitu terdesak kerana ketiadaan wang dan rakyat dimangsakan sesuka hatinya.

Salah satu ialah mengenai tindakan pihak polis dan Jabatan Pengakutan Jalan (JPJ) yang tiba-tiba jadi iseng menguatkuasakan tindakan menyenaraihitamkan kenderaan yang disaman sehinggakan sukar untuk empunya memperbahari cukai jalan adalah satu tindakan menganiayakan rakyat.

Pelik, sebelum ini kenderaan yang disaman ekor tidak disenaraihitamkan. Tetapi mulai April lalu ianya telah disenarai hitamkan. Saman yang tertunggal beberapa tahun sebelum yang diberikan pengecualian tiba-tiba dikenakan tindakan tegas. Sikap tiba-tiba menjadi iseng oleh JPJ dan polis ini menunjukkan keterdesakan kerajaan dalam mencari wang!

Tindakan itu bertentangan dengan slogan Najib Razak Rakyat Didahlukan Pencapaian Diutamakan. Memahami dari seruan Najib itu, PM itu mahu memberikan kesenangan dan keselesaan kepada rakyat disamping para pegawai kerajaan dan agensinya pula berusaha sebaik mungkin mempertingkatkan mutu kerja. Apakah bagi polis dengan menguatkuasakan tindakan itu sebahagian kerja baik mereka?

Kalau polis atau JPJ menyahut seruan Najib ini sudah pasti tindakan menguatkuasakan tindakan menyenarai hitam kenderaan ini tidak dilakukan sewenang-wenangnya. Ataupun kalau hendak dikuatkuasakan haruslah dinotiskan dulu dan tidak melaksanakan undang-undang ikut suka hati dan nafsu saja.

Mungkin kalangan rakyat yang terlibat dengan masalah ini dapat merasakan bagaimana kerajaan khasnya pihak polis dan JPJ menganiaya mereka. Bayangkan berapa seseorang kena bayar kalau mereka ada dua atau tiga saman? Bukankah separuh gaji mereka harus diberikan kepada Polis hanya untuk mendapat cukai jalan baru. Ini tidak adil kerana kesalahan yang ditunding kepada mereka belum pasti lagi betul atau tidak.

Saya baru mendapat tahu hal ini dari beberapa orang rakan yang menghadapi kesulitan untuk memperbaharui cukai jalan masing-masing. Rata-rata mereka mengeluh dan menyatakan kerajaan tidak adil, menyusahkan dan menganiayakan.

Sebelum ini kenderaan yang disaman ekor (saman poerangkap laju) tidak dikenakan tindakan kenderaan disenarai hitamkan. Tuan punya masih boleh memperbaharui kenderaan masing-masing. Hanya saman di sekatan jalan yang ditanda tangani langsung oleh pemandu saja yang dikuatkuasakan. Mana-mana saman demikian kalau tidak dilunasi pihak JPJ tidak akan memperaharui cukai jalan melainkan selepas menjelaskan kepada pihak polis.

Rasanya kelonggaran ini ada baiknya dan masih dirasakan tidak begitu menganiayakan rakyat. Manakala saman yang ditandan tangani patutlah kuatkuasakan. Ada alasannya kerana saman yang ditanda tangani itu jelas kenderaan itu melakukan kesalahan. Polis dan pemandu kenderaan itu sendiri dapat mengetahui akan kesalahan mereka.

Berlainan dengan saman ekor, (perangkap laju) di mana polis bersembunyi di dalam semak atau di balik tembok. Di mana tuan punya kenderaan tidak mengetahui apakah dan dimana kesalahan mereka. Selalu terjadi bila mana kenderaan mereka dibawa oleh orang lain. Walaupun pihak polis ada mengeluarkan surat minta penjelasan siapa yang memandu kenderaan tempoh hari, tetapi surat penjelasan itu tidak pratikal.

Adakalanya surat tidak sampai kerana pertukaran alamat. Kalau mengikut prosuder biasa mana-mana saman yang tidak diserahkan sendiri kepada si pesalah ianya tidak boleh dibawa ke mahkamah?

Peraturan atau sistem saman sebegini tidak praktikal sebenarnya. Ia juga lebih kepada menganiaya rakyat. Rata-rata kalau saman ekor ini di bawa ke mahkamah saya rasa mahkamah akan menolaknya. Ada pendapat mengatakan saman ekor ini tidak valid untuk dibicarakan kerana ia tidak menurut peraturan-peratusan mengenai perundangan. Tetapi kerana sikap rakyat kita malas berurusan dengan mahkamah dan ingin mengelekkan berlaku 'kelecean' ke mahkamah menyebabkan mereka terus sahaja membayarnya.

Mungkin baik juga kalau ada sesiapa yang menghadapi kenderaan mereka disenaraihitamkan ekoran tidak melunas saman ini membawanya ke mahkamah. Biar ianya menjadi precedent apakah saman itu valid atau sebaliknya. Persatuan-persatuan penggunan mungkin boleh menguruskan hal ini. Banyak perkara yang berlaku dalam negara ini di mana rakyat diminta bayaran sedangkan ianya tidak sepatutnya.

Berbalik kepada tindakan iseng Polis menyenaraihitamkan kenderaan yang disaman ekor kerana tidak melunasi kompoun itu perlulah dikaji balik. Musim ini musim 'kaat' - musim rakyat sesak janganlah menyusahkan lagi rakyat dengan kesusahan-kesusahan baru. Harapnya Perdana Menteri peka dan prihatin mengenai hal ini ada kemungkinan juga tindakan iseng Polis ini sebahagian dari ciri-ciri mensebotajkan dan menterbalikan seruan Najib itu, rakyat hendaklah disusahkan! [wm.kl. 9:30 am 20/06/10]

Saturday, June 19, 2010

Berita Hujung Minggu

Saran Wanita Sembahyang Jumaat
Satu Lagi Pembaharuan Nik Aziz


TERIMA kasih kepada Tok Guruku Nik Abdul Aziz Nik Mat kerana melontarkan satu cadangan yang bernas agar wanita juga turut mendirikan solat Jumaat. Mungkin cadangan beliau ini sesuatu yang anih dan mengejutkan banyak pihak di negara ini.

Cadangan ini sekali lagi menggambarkan pemikiran Nik Aziz jauh ke depan meninggalkan para ulama lain termasuk juga para Mufti. Menghairankan kita kenapa para ulama termasuk Mufti tidak ternampak apa yang dilihat oleh Nik Aziz?

Kehadiran wanita pada hari Jumaat bukan sesuatu yang memelitkan dan ia menjadi kebiasaan di negera-negera Islam lain. Tetapi fenomena ini satu perkara yang asing di Malaysia sehingga mungkin ada beranggapan cadangan Nik Aziz itu kurafat seperti mana ketegasan Nik Aziz menggunakan masjid untuk berpolitik.

Mereka yang menolak masjid dijadikan medan politik sudah tentu akan menolak cadangan berkenaan. Mereka yang sempit pemikiran akan mengira masjid hanya untuk lelaki saja kerana mereka tidak pernah melihat masjid digunakan oleh wanita secara meluas.

Beliau membuat saranan itu semasa berucap menyerahkan dan menerima derma untuk tabung pembinaan kompleks Masjid Datuttarbiyah di Wakaf Zin Bachok.

Katanya dengan siapnya kompleks terletak atas tanah satu ekar bernilai RM2 juta itu nanti memberi ruang unutuk wanita sama-sama mendirikan solat Jumaat. Di mana ruang bawah boleh digunakan oleh wanita.

Mungkin ada sebahagian dari umat Islam sendiri sebelum ini terkeliru apakah wanita boleh atau tidak untuk mendirikan solat Jumaat. Apabila Nik Aziz membuat cadangan itu kekeliruan mengenai fungsi itu akan terjawab. Sudah tentu ada mereka yang selalu prejudis dengan fatwa atau pandangan luar biasa Nik Aziz mengenai sesuatu khasnya dalam aspek agama mula membelek buku telefon untuk bertanyakan ustaz, ulama dan Mufti mengenai saranan Nik Aziz itu.

Kepada saya saranan itu mengesahkan lagi betapa progresif dan dinamiknya pandangan Nik Aziz terhadap agama. Cadangan itu akan merombak faham kolot bahawa wanita itu tidak perlu di bawah ke tengah masjid. Inilah kehebatan beliau berani melakukan perubahan. Mudah-mudahan dengan bermulanya wanita ikut mendirikan solat di negara ini, wanita tidak lagi tertinggal untuk mendapat apa-apa pesanan, amanat dan wasiat yang disalurkan menerusi khutbah. Dengan itu juga masjid akan menjadi lebih makmur dan meriah lagi.

Golongan wanita termasuk pertubuhan wanita, NGO wanita dan sebagai seharusnya mengalu-alukan pandangan Nik Aziz dengan baik. Mereka perlu mengambil kesempatan untuk ikut sama memanfaatkan sepenuhnya masjid sebagai tempat berbincang hal-hal ilmu dan jangan lagi melihatkan masjid hanya sebagai tempat untuk mendirikan solat saja.

Bermula dengan kebebasan untuk sama-sama mendirikan solat Jumaat ini lah juga memberi peluang wanita terus memartabtkan kedudukan mereka di mata dunia.

Apakah selepas ini ada pendapat yang menyanggah pandangan Nik Aziz? Sama-sama kita tunggu. Saya rasakan pasti ada yang akan mempertikaikan cadangan itu. Sekali lagi terima kaish kepada Nik Aziz atas saranan berkenaan. [wm.kl. 4:00 pm 19/06/10]