Sunday, July 11, 2010

Gurauan Penjenguk

Shwan Harus Faham Politik 4C

CATATAN saya di bawah tajuk : Pas Parti Sesat, Umno Parti Haram! mendapat reaksi dari beberapa penjenguk. Ada yang terus masukkan ke dalam box email dalam blog dan ada yang menghantar ke email peribadi. Salah seorangnya darinya, sdr Shwan Abdullah. Saya turunkan email beliau dan akan menjawab atau menjelaskan apa yang dipersoalkan secara ringkas.

salam tuan,

saya tau komen saya tidak akan terlepas kerana saya lebih pro umno dari pas atau pkr walaupun saya bukan ahli umno. jadi saya amek keputusan untuk hantar emel direct ke address tuan dan meluahkan pandangan saya tentang kenyataan shafie afdal.

pertama sekali, analisa yang tuan buat terlalu mudah. tuan samakan sesat dengan haram. apa yang tuan tak faham atau pura-pura tidak faham ialah haram itu cuma dari segi undang-undang dunia saja. kalau umno haram sekalipun, ianya mengikut undang-undang dunia yang direka oleh manusia sendiri. undang2 boleh digubal dan diubah bila2 masa.

bagaimanapun sesat pas ini mengikut undang2 allah swt yang dipakai oleh dunia sejagat dan tidak boleh diubah dengan apa2 undang2 pun dalam dunia ini.

jadi, adakah tuan masih fikir sesat pas dengan haram umno dua benda yang sama?

saya menyokong kenyataan shafie afdal sbb ulama pas pernah keluar kenyataan beberapa kali yang menyatakan beliau akan bubar pas dan masuk umno kalau umno ikut ajaran islam. dengan fatwa ini, bermaksud umno bukan islam dan maknanya umno kafir.

kasihan dengan orang2 kampung. mereka yang tidak dapat membezakan kenyataan politik dengan hukum tuhan sudah tentu menelan bulat2 fatwa ini. pada mereka, umno adalah parti kafir dan hanya pas sahaja parti islam. kalau tuan tak percaya ada orang termakan kata2 ini, bolehlah ikut saya melawat kelantan dan kita tinjau sendiri pendapat org kampung tentang pas dan umno. ramai yang akan kata umno bukan parti islam. itulah sebabnya berlaku perpecahan di kalangan umat islam sehingga berlakunya sembahyang dua imam dan perceraian suami isteri dan pelbagai lagi keadaan yang tidak menguntungkan umat islam di negara ini.

apa yang saya harapkan agar tuan tidak lagi mengeluarkan kenyataan yang tidak bertanggungjawab seperti ini. tulisan tuan boleh mempengaruhi pemikiran golongan yang cetek ilmu yang mungkin meminati tulisan tuan. saya minta tuan menulis perkara yang benar sahaja. jadilah manusia yang bertanggungjawab dan bukan menulis untuk menyokong parti sendiri.

pohon maaf sekiranya tulisan saya ini menyakiti hati tuan. saya tahu tuan pernah menulis sekiranya sesiapa yang tidak suka dengan tulisan tuan supaya tidak membaca blog tuan kerana tuan tidak pernah menuruh sesiapa pun membaca blog tuan. bagaimanapun menegur kemungkaran adalah tanggungjawab semua umat islam.

salam


Terdahulu terima kepada sdr Shwan kerana mengirimkan komen ini dan minta penjalsan. Waalaikumusalam. InsyAllah dengan pertolongan Allah juga saya akan menjawab apa yang sdr musykilkan.

1. Tanggapan sdr bahawa komen sdr tidak akan disiarkan mungkin salah. Saya seberapa yang boleh akan melepaskan apa juga komen selagi ia beradat, tidak kesat atau menimbulkan implikasi lain. Kalau komen seperti ini tentu saya akan lepaskan kerana ia boleh menjadi polemik dan renungan bersama.

2. Saya faham mengenai pengertian haram dan sesat dari kedua konteks berhubung perkara itu. Tetapi sdr harus faham dari konteks mana saya menimbulkan perkara ini. Ianya dalam konteks politik. Saya sudah katakan dalam politik ada 4C... sila baca dan fahami sebaik mungkin cacatan berkenaan dan prejudis melulu. Mesej saya dalam tulisan itu ialah antara Pas dengan Umno (orang Melayu) sama saja. Saling mengata dan memburuk di antara satu sama lain. Dalam erti kata lain saya mengkritik keduanya sekali, cuma saya tekankan supaya Shafei lebih melihat kepada partinya di Kelantan yang tidak ikut Akta Pertubuhan. Dalam kata lain saya mengambil subjek ditimbul Shafei untuk membuat teguran umum.

3. Saya tidak menganggap kebenaran kepada kata-kata Shafei Afdal itu. Lagipun hujah dan dalil mengatakan Pas sesat mengikut versinya lemah, sangat lemah dan fitnah. Kalau sdr Shwan hendak mengatakan Pas sesat kerana Pas mengatakan Umno sesat ia tidak relevan dan tepat. Dalil dan bukti itu tidak cukup. Sdr harus menghuraikan satu persatu dengan membuat kajian ke atas tuduhan Pas mengenai Umno itu. Apakah yang menyebabkan mereka berkata demikian. Apakah dari segi politik, agama dan adat kenyataan politik Pas itu salah, dan kenyataan atau aksi Umno memolehkan Pas mengatakan begitu betul. Apapun saya sendiri bersetuju politik berlebih begitu (menghukum sesat) adalah buruk.

4. Sdr kena kemukakan nas bahawa tuduhan Pas itu salah baik dari versi Quran maupun politik barulah sdr boleh mengiyakan apa yang Shafei katakan itu. Seperkara lagi dari konteks politik kalau yang difahami Pas jika Umno tidak mengambil Quran dan Hadith sebagai panduannya apakah ia tidak sesat? Bukankah Quran dan hadith itu penunjuk jalan lurus? Tetapi saya tidak berfahaman otordoks seperti Pas dalam soal ini, cuba menghujahkan ini isecara logik.

5. Alasan sdr kemukakan pernah mendengar kenyataan Pas mengatakan akan bubar kalau Umno mengambil Islam, bukan alasan untuk mengatakan tuduhan Pas ke atas Umno itu benar sesat. Sdr kena faham itu adalah provokasi politik. Kalau sdr mengutip setiap kata-kata orang Pas dan menganggapnya sebagai benar, maka sdr sebenarnya belum cair mengenai politik sekular yang dianuti kedua buah parti berkenaan. Pemahaman sdr lebih cetek daripada pemahaman orang kampung yang sdr bimbangkan itu.

6. Saya tidak akan marah kepada sdr, tetapi saya tetap berpendirian mereka yang otot kemetot atau naif dalam memahami politik 4C tidak perlu bersusah payah untuk membaca blog saya kerana ia membuang masa pembaca berkenaan dan juga saya untuk menjawabnya.

Salam.
MSO

Saturday, July 10, 2010

Politik Dua Kali Lima

Pas Parti Sesat, Umno Parti Haram!

NAIB Presiden Umno kuota Sabah, Shafei Afdal mencari modal untuk mempopularkan diri dalam parti itu dengan mengatakan Pas sebagai parti ajaran sesat. Walaupun Shafei bukan Mufti tetapi kata-kata bersifat politik itu menimbulkan kemarahan orang Pas. Pas Johor telah membuat laporan polis terhadap Shafei Afdal. Beliau dilaporkan berkata di Johor ketika merasmikan persidangan sebuah bahagian Umno.

Shafei memberi alasan (dakwaan itu) kerana Pas sebelum ini mengeluarkan berbagai fatwa termasuk menyesatkan golonngan tertentu. Umum sudah mengetahui bahawa fatwa Pas itu tidak sah dan bersifat fatwa politik semata-mata dan tidak lebih dari itu. Fatwa dikeluarkan oleh para pemimpin tidak pun digezetkan oleh mana-mana Majlis Agama Islam Negeri sebagai fatwa. Sepatutnya beliau tidak menggunakan hujah demikian bagi mempertahankan dakwaanya.

Makanya tidak wajar dan tidak kena kalau Shafei mengambil 'fatwa-fatwa' politik Pas itu sebagai satu kebenaran.

Di sinilah menyerlahkan mutu politik orang Malaysia terutamanya orang Melayu. Mereka suka mengambil dan memikirkan perkara yang remeh temeh (furuk) daripada membahas dan mengangkatkan perkara yang boleh menyelesaikan permasalahan (pokok) yang mereka hadapi selama ini. Misalnya, lebih baik bagi Shafei Afdal mengemukakan cadangan bagaimana orang Melayu Biru dan orang Melayu Hijau untuk duduk sekali daripada asyik melemparkan tuduhan yang memedihkan telinga kerana perbuatan itu akan menjauhkan tapak antara Umno dengan Pas.

Begitu juga dengan pemimpin Pas, sudah tahu bahawa mereka tidak sesat mengikut sudut pandangan dan ijtihad ilmu Shafei Afdal itu kenapa nak bising. Pas tidak perlu melayan kenyataan Shafei itu dan patut biarkan saja. Sebelum ini orang tidak ingat dan kenal pun Shafei bila Pas buat laporan polis maka orang akan mengenalinya. Bagi Shafei Afdal beliau mendapat untung di sebalik apa yang dilakukan itu walaupun ia menghamprakkan Melayu. Shafei dianggap hero oleh Umno kerana berjaya menyibukkan Pas dengan kenyataan itu.

Sebagai Naib Presiden, Shafei sepatutnya memberi tumpuan kepada perkara lebih besar. Contohnya daripada menyesatkan Pas, Shafei lebih baik menyelesaikan masalah lebih 2,000 cawangan Umno di Kelantan yang dikatakan sebagai tidak sah dan haram. Perkara ini lebih afdal untuk diselesaikan kerana ia membabitkan soal hidup mati Umno dan maruahnya sebagai sebuah parti politik dalam negara berperlembagaan.

Masalah yang menimpa Umno Kelantan sesuatu yang membahayakan parti berkenaan. Umno Kelantan dalam keadaan sangat parah kini. Sekiranya ada pihak yang membawanya ke mahkamah ia menyebabkan seluruh Umno Kelantan boleh diistyharkan haram. Penghamaraman Umno Kelantan ia boleh membabitkan Umno Malaysia juga haram. Umno berpeluang untuk diharam kali kedua selepas dikenakan tindakan demikian tahun 1987 dulu.

Pada 7 Julai lalu satu laporan polis telah dibuat oleh bekas Setiuasaha Bahagian Umno Tanah Merah, Amran Abdul Rahman (foto) mengenai kedudukan cawangan Umno dalam Bahagian Tanah Merah. Menurut kenyataan akhbar yang dikirimkan kepada saya, hanya lima cawangan saja daripada 131 cawangan Umno dalam bahagian itu sah, manakala yang lain (126) tidak mematuhi akta pertubuhan 1966.

Petikan kenyataan akhbar sdr Amran Abdul Rahman:

"Sebanyak 126 cawangan Umno di bahagian itu tidak sah pendaftarannya mengikut Akta Pertubuhan 1966 apabila telah ditubuhkan melebihi tempoh 3 bulan dari tarikh yang diberikan oleh Pendaftar Pertubuhan mengikut Seksyen 12(6).

Selain itu 126 cawangan Umno tersebut juga telah ditubuhkan tanpa mendapat perlanjutan masa dan tanpa kebenaran daripada Pendaftar Pertubuhan.

Kerana itu kedudukan 126 cawangan Umno Tanah Merah adalah jelas berstatus sebagai pertubuhan-pertubuhan yang menyalahi undang-undang serta kelulusan Pendaftar Pertubuhan bagi penubuhannya hendaklah disifatkan sebagai mana dijelaskan pada Seksyen 41(1)(c) dan 412(2) Akta Pertubuhan 1966.

Umno bahagian dan juga 126 cawangannya tidak boleh menjalankan sebarang aktiviti termasuk menjalankan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian dan Persidangan Umno Cawangan sebagai mana Seksyen 6(2) dan adalah melakukan kesalahan jika melanggar pada Seksyen 6(2) sebagaimana dijelaskan Seksyen 6(3).

Kesimpulan daripada semua perkara di atas, Umno bahagian Tanah Merah termasuk 126 cawangannya adalah satu pertubuhan yang meyalahi undang-undang atau tidak sah mengiku Akta Pertubuhan 1966 boleh dihadapkan dengan seksaan-seksaan sebagaimana Seksyen 42, 43, 44, 45, 46, 47 dan 48 Akta Pertubuhan.

Bahagian Pendaftran Negara dan Pertubuhan, Kementerian Dalam Negeri serta Jabatan Pendaftran Pertubuhan diminta mengambil tindakan segera sebagaimana yang diperuntukan mengikut Akta Pertubuhan terhadap kewujudan Umno bahagian Tanah Merah serta 126 cawangannya yang berstatus sebagai pertubuhan yang menyalahi undang-undang."

Dalam konteks pertubuhan politik yang mendaftar dengan pejabat Pendaftaran Pertubuhan, apa yang dinyatakan Amran itu menyebabkan kedudukan Umno sebenarnya lebih mencemaskan daripada kedudukan Pas yang dikatakan sesat oleh Shafei Afdal itu. Kesesatan Pas itu tidak sampai ianya boleh dibatalkan pendaftrannya, tetapi keadaan Umno Kelantan yang boleh diharamkan itu boleh menyebabkan Umno lenyap di atas muka bumi ini. Dan barang sesiapa menyertainya boleh dianggap segai kumpulan haram.

Makanya kepada Shafei Afdal lain kalau hendak bercakap ingatlah pesanan orang tua-tua, cakap malam dengar-dengar, cakap siang pandang-pandangan. Dan berfikirlah dulu sebelum berkata-kata. Sebelum mengata dan memburukkan orang lain bersihkan diri sendiri dulu. Kesimpulannya Pas mengikut verisi Shafei hanya sebagai sesat, tetapi Umno mengikut versi Amran Abdul Rahman ianya haram! Sesat dengan haram kira-kira dua kali lima saja. Ha ha... [wm.kl. 10:15 am 10/07/10]

Friday, July 9, 2010

Lambaian Nusa, Bukan, Dosa!

Wakil Rakyat Oportunis Tipu Orang Kampung

Malam tadi saya jumpa kawan lama yang sama-sama bekerja keras untuk menaikan seorang manusia bagi mencapai cita-citanya dalam dunia politik. Semasa wakil rakyat berkenaan 'jelepek' macam anjing buruk telinga, kawan inilah yang jadi hamba abdinya, mengangkutnya ke sana ke sini masuk kampung keluar kampung. Dialah menjadi teman bercakap, berbual dan juga minum kopi dan popia panas di hotel Perdana di Kota Bharu.

Saya selalu melihat dia kerana saya juga bersama individu berkenaan. Baik saya atau kawan ini membantu manusia ini atas dasar kesian mengenangkan nasibnya yang tidak ada kuasa, dicemuh dan dibenci orang serata tempat kerana perangainya dan hidup macam kera sumbang selepas dibuang oleh partinya.

Saya kira kawan ini juga sama seperti saya. Suka memikul biawak berlumut untuk dibersihkan sebelum dilepaskan semula dalam kloni awam. Prinsip saya selagi manusia itu tidak berbuat jahat di depan kita dan melibatkan diri sendiri, sejuta kali kejahatan dikatakan orang saya tidak akan terima. Itu semua adalah cocokan syaitan dan hasutan bagi merenggangkan kita dengan seseseorang.

Bukan tidak tahu dan tidak dengar kejahatannya yang dicerita dan diperkatakan orang tentang manusia ini, sudah padat telinga mendengarnya. Baik saya dan kawan berkenaan mendengarnya, malah tahu lebih daripada itu mengenai diri manusia itu. Kata si kawan itu (maaflah), berapa panjang 'rambut-rambut' kecil dalam kain orang itu juga dia tahu. Bidalan itu bagi menggambarkan dia rapat dan intim dengan manusia berkenaan.

Namun dia tidak peduli dan terus membantunya. Berkat bantuan dan sokongan akhirnya manusia itu berjaya. Kedudukannya terpulih semula. Dia dilihat hebat kerana dalam orang tidak sangka boleh berjaya dapat berbuat demikian. Selepas dia menang maka ramailah kawan-kawan mengerumuninya. Yang dulu pandangnya macam tengok anjing, kini terbelalak mata melihatnya bagaikan seekor gajah hitam yang perkasa dapat memberi wang bergunung.

Kawan yang dulu membantu siang dan malam mulai berjauhan dan dijauhi. Tetapi kawan itu tidak kisah, asalkan dia selamat dia sudah gembira dan bahagia. Umpama kita yang diminta tolak kereta mampus, tidak mengapa kita ditinggal asalkan kereta hidup dan terus berjalan. Biasalah si penolak kereta mogok yang dapat hanya asap dan habuk saja.

Tetapi katanya apa yang beliau sedih bila manusia itu tidak berubah, tidak insaf dan kembali menjadi 'mangak' dan ego seperti dulu. Ini yang dia kesal. Dia merasakan bantuan yang diberikan itu sia-sia saja kerana tidak dapat mengislahkan seorang manusia.

"Tidak mengapa dia tak ingat kat kawan (saya), itu tak penting. Yang penting dia sudah berjaya, tetapi janganlah buat perangai lama yang membawa beliau berada dalam keadaan hina. Kawan (saya) tidak mahau dia hina semula," kata kawan itu bersedih.

Banyak yang kawan itu bercerita dan meluah perasaan, maklumkan sudah tiga tahun tidak berjumpa dengan saya. Tidak elok kalau tulis semua apa yang dihemburkan. Tetapi apa yang hendak diceritakan di sini bagaimana sikap munafik dan oportunis manusia berkenaan makin menjadi-jadi.

Baru-baru ini berlaku kebakaran di bandar di mana manusia itu menjadi wakil rakyat. Biasalah kalau ada orang susah ditolongnya. Jadi menurut kawan itu manusia ini juga nak tunjuk baik membantu mangsa kebakaran berkenaan. Empat orang keluarga Cina terlibat dalam tragedi itu. Satu keluarga diberi RM10,000 seorang.

Rakyat yang tidak tahu, suka dan bangga dengan wakil rakyat berkenaan. Mereka beranggapan wakil rakyat itu menghayati perangai Umar Ibnu Aziz. Sanggup menghabiskan wang sebanyak itu. Para pengangguk dan peminum teanya di kedai kopi dan cafe hotel bukan main lagi, manggak sampai pipi tinggi daripada hidung beranggapan bos mereka itu ada duit banyak dan baik hati.

Kesimpulan mudah mereka, kalau wakil rakyat itu tidak ada wang masakan dia boleh berikan satu keluarga RM10,000.

Cerita sebenar di sebalik wang RM40,000 itu tidak siapa tahu. Tetapi si kawan ini panjang kaki dan banyak 'saing sobat' yang bercerita dengannya. Akhirnya pecah tembelang wang RM40,000 yang manusia itu berikan kepada mangsa kebakaran bukan wangnya dari kocek atau elaunnya RM12,000 hingga RM15,000 sebulan tetapi wang dari sport toto. Wang dari syarikat judi yang taukehnya berada di Kuala Lumpur yang disumpah malam dan siang.

"Kawan tidak belawak (bohong), kawan tahu bila mana Cina MCA yang bagi tahu. Cina MCA itu kini pening kepala kerana sepatutnya wang itu diberi melalui dia tetapi 'disamun' oleh manusia itu dan berikan kepada mangsa kebakaran," cerita kawan itu.

Oh! Sebenarnya kejadian itu tidak hairan. Selalu berlaku begitu orang politik suka berak atas pusu. Atau bersikap macam pelanduk nak berak besar bila tengok gajah besar besar. Dia tidak tahu kapastitinya tak setanding namun cuba ditunjukkan juga. Namun kerana cerdik (bukan cerdik tak malu muka), dia sebat dan sapu sahaja untuk dijadikan modal politiknya tak kira wang halal atau haram.

Sebenarnya masih boleh dimaafkan atas kelicitan itu. Orang boleh menerimanya. Namun bagi mereka yang kenal orang ini dan dengar bagaimana dia melalak bencikan wang judi, menafikan tidak ada sher dalam syarikat judi, saman orang itu dan orang ini yang dedah dia ada sher, alih-alih akhirnya ambil wang judi untuk dijadikan modal politik supaya orang tenguk kita baik dan dermawan. Tipu orang kampung bolehlah...

Kawan, sebenarnya saya tidak hairan dengan kejadian itu, ia kecil saja. Masih ada dosa paling besar yang dilakukan orang politik untuk dijadikan modalnya. Kita bercerita kemudian bila sampai masa nanti. Titik. [wm.kl. 10:00 am 09/06/10]

Thursday, July 8, 2010

Isu Permit Suara Keadilan

Lebih Baik PKR Berlembut dan Akur

MAAFLAH ini saya nak cakap sedikit fasal akhbar Suara Keadilan yang kini permitnya masih belum disambung lagi ekoran kontroversi menimpa akhbar berkenaan selepas ia melaporkan berita spekulasi Felda bankrup baru-baru ini.

Nampaknya pucuk pimpinan PKR yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap penerbitan akhbar berkenaan beriya untuk menerbitkan akhbar berkenaan walaupun berdepan dengan masalah. Amaran dan risiko yang disebutkan oleh pihak KDN seperti tidak sedikitpun digeruni.

Menurut Pengarah Strateginya, Tian Chua yang bertanggungjawab menguruskan penerbitan itu menegaskan akhabr berkenaan tetap akan dicetak. Mulanya ia hendak dicetak semalam tetapi disebabkan masalah tiada pencetak yang berani menyebabkan ia tertangguh. Terbaru seperti mana dilaporkan, akhbar itu sudah dicetak 100,000 dan akan diedar dalam kadar terdekat.

Saya tidak berhak untuk bercakap, apa lagi saya juga ada permit akhbar sendiri nanti dikatakan sebagai ada kepentingan tertentu. Tetapi rasanya tidak salah kalau saya memberi pandangan untuk kebaikan bersama berdasarkan sedikit pengalaman menguruskan permit sebuah akhbar.

Sesiapa pun tidak senang dengan tindakan KDN itu. Kerana ia menyusahkan akhbar berkenaan dan merugikan penerbitnya. Selain itu pemberhentian itu melibatkan kerugian. Paling jelas ialah beberapa orang akan kehilangan pekerjaan dan ini menyusahkan hidup mereka anak beranak.

Saya percaya mereka yang berkerja dengan akhbar berkenaan bukan 100 peratus pejuang tetapi mereka berkerja kerana di situ ada peluang pekerjaan. Apabila berlaku sesuatu ke atas penerbitan itu ia turut membebankan mereka.

Makanya pihak Suara Keadilan harus sama melihat kepada implikasi itu dan bukan terlalu ghairah mempolitikkan keadaan yang berlaku sehinggakan meragut kepentingan sendiri.

Dalam hal ini pada saya sebaiknya pihak PKR harus bersikap terbuka dan menerima juga syarat-syarat yang dikenakan oleh KDN. Seharusnya PKR dan mana-mana parti politik juga bersyukur atas kesediaan kerajaan mengeluarkan permit kepada mereka. Sebenarnya syarat yang dikenakan memang ketat terhadap permit akhbar yang melibatkan parti politik. Tetapi tindakan KDN tidaklah sekejam syarat berkenaan. Soal birokrasi itu adalah biasa, saya sendiri juga turut sama merasainya.

Misalnya kalau mengikut syarat permit akhbar parti ia dikeluarkan dengan syarat ketat misalnya edaran terhad kepada ahli saja. Ia tidak boleh diedarkan secara terbuka seperti akhbar lain. Tetapi apa yang berlaku hari ini batas dan syarat itu sudah lama dicerobohi. Sebab itu kita boleh lihat akhbar yang menjadi lidah parti ini di mana-mana sahaja.

Saya cukup yakin pihak pengurusannya sedar akan hakikat ini. Kerana itu bila ia diberikan sedikit kebebasan seharusnya ia disyukuri ataupun dijaga dengan baik termasuk tidak mencabar atau bersikap degil dengan KDN. Apa yang harus difahami sebagai agensi kerajaan KDN juga tentulah ada maruah dan wibawanya tersendiri dan tanggungjawab mempertahankan kerajaan.

Tetapi nampaknya kebebasan dan syarat-syarat itu tidak dipatuhi seperti mana dikehendaki.

Sebaiknya bagi mengelakkan kontroversi yang merugikan diri sendiri dan menyakiti pihak lain PKR harus bersikap terbuka dan sedarhana dalam soal ini. Jangan jadikan soal kelambatan penyambungan permit (renew) itu sebagai alasan menyerang KDN. Apa lagi kalau dijadikan modal politik lebih memburukkan keadaan. Tindakan itu tidak ada untungnya. Saya rasa pihak KDN bukanlah kejam sangat. Kalau semua prosuder dituruti tidak ada sebab dan alasan kenapa permit itu tidak disambung.

Sekiranya PKR terus membuat provokasi dan mengajak orang ramai menyerang dan mempertikaikan tindakan itu serta degil dengan arahan ia boleh mengusutkan lagi keadaan. Tindakan mengikut emosi itu menyebabkan KDN juga akan mengikut emosi. Sekiranya ikut beremosi dan tegas kerugian besar ialah kepada PKR kerana parti itu akan hilang satu wadah untuk orang ramai mengikuti perkembangan aktiviti politik mereka.

Apakah PKR terutamanya Tian Chua tidak boleh berlembut dan akur dalam hal ini. Tidak ada gunanya kalau Tian Chua tetap berkeras untuk menerbitkan akhabr itu seperti mana yang dikatakan itu.

Adalah silap kalau Tian Chua berharap dengan provokasi dan kedegilan itu beliau mengharapkan rakyat akan lebih ramai menyokong PKR. Mungkin strategi itu betul tetapi pada saya ia tidak berapa bijaksana. Kesan dari tindak balas atas tindakan KDN itu saya kira tidak sebesar kesan Suara Keadilan berada di pasaran. Bagi saya lebih baik Suara Keadilan terus diterbit walaupun dengan kawalan ketat daripada ia dihentikan terus.

Sebagai mentimun PKR atau mana-mana parti politik harus sedar realiti itu. Suka tidak semua pihak kena akur bahawa parti yang menjadi kerajaan hari ini masih BN. Besok setelah Pakatan Rakyat memerintah mereka boleh memansuhkan apa juga peraturan dan birokrasi yang berlaku demi untuk lebih adil dan saksama lagi. [wm.kl 5:00 pm 09/06/10]

Susupan Pagi

Zulkifli Nordin Yang Terus Busuk

KEBUSUKAN itu kalau sudah terlalu sangat ia tidak dapat disembunyikan lagi. Usahalah macam mana sekali pun hendak melindunginya ia tetap juga akan berbau. Sebaliknya makin ditutup ia makin melarat. Sudah menjadi sunatulah, bahawa kebatilan itu tidak boleh ditegakkan.

Begitulah apa yang dapat disimpulkan dengan sikap dan tindak tanduk ahli Parlimen Kulim Bandar Baru, Zulkifli Nordin. Busuknya bukan setakat memualkan tetapi sudah ke peringkat memuntahkan. Semasa berlaku tsunami di Aceh dulu saya tiba ke negeri berkenaan ketika mayat bermembekak dan bergelimpangan. Bau mayat Tuhan saja yang tahu. Betapa pun busuk namun bau itu terpinggir juga dari deria rasa dan ingatan saya. Namun kebusukan Zulkifli Nordin ini tidak mahu beralih dari saraf pengalaman saya mengenainya.

Semalam di parlimen tanpa didesak dan diminta sesiapa dia sendiri mengakui berbohong kepada orang ramai di sepanjang kerjaya politiknya. Dia mengakui berbohong mengenai Anwar Ibrahim diracun dengan arsenik. Dia memberi tahu dunia segala apa yang dilemparkan kepada kerajaan sebelum ini ada strategi yang diatur dan disusun oleh Anwar. Nauzubilahimina zalik.

Dia mengakui dialah yang membawa isu Anwar dirancun dengan arsenik. Dia mengakui dia ke depan dalam isu berkenaan. Dakwaan itu betul, cuma yang beluknya dia meletakkan kesalahan itu kepada Anwar Ibrahim yang membuat strategi itu. Dia kata dia disuruh berbuat demikian. Kalau benar Anwar menyuruh dari situ orang sudah dapat merasakan betapa ahli parlimen ini seorang yang pandir dan tidak bertindak mengikut akal yang sihat.

Soalnya benarkan Anwar yang menyuruhnya?

Apa yang diperkatakan Zulkifli dulu, kini dan selamanya (pinjam slogan Umno) adalah temberang besar yang mungkin sudah tercatat di langit akhirat mengenai Zulkifli Nordin.
Catatan ini kabur untuk dilihat hari ini tetapi ia akan menjadi besar dan terang bersama segugusan pembohongan beliau yang akan datang dari masa ke semasa. Tengoklah...apa yang berlaku seterusnya.

Hari ini dia mengakui dia silap dan telah menyesali atas apa yang berlaku. Betulkah dia menyesali dan insaf. Saya yang mengenali dia secara peribadi tidak fikir dia akan insaf. Kalau dia benar-benar kesal dan sudah bertaubat dia tidak permainankan Tuhannya. Kerana hari ini dia terus galak dan mencipta pembohongan demi pembohongan baru bagi menghidupkan aksi politik munafiknya. Semoga Tuhan akan memaafi saya kerana pernah membawa manusia ini berteleku di hadapan Kabbah 12 tahun lalu.

Apakah wakil rakyat bebas ini sudah memohon keampunan atas apa yang berlaku? Mungkin! Tetapi bila sekali lagi dia menyalahkan Anwar terhadap tindak tanduknya itu, menyebabkan kita keliru apakah dia insaf atau pun bertaubat atas perbuatan beliau itu.

Apa yang berlaku ke atas Zulkifli itu umpama tangki najis di belakang rumah yang sudah penuh dengan tahi. Ia sudah sebak dan melimpah. Walaupun ditutup tetapi ia membuak-buak ke atas juga. Kita percaya Zulkifli cuba menutup segala kebusukan sejak beliau berpaling tadah dan pelahap dengan wang dari UBN dan demi mengekalkan kedudukannya sebagai ahli parlimen.

Tetapi kerana ia terlalu banyak menyebabkan tidak mampu melindungi. Beranikah dia menanfikan beberapa perjanjian dan persetujuan yang beliau sebut dan buat dengan Najib Razak, dan seorang menteri? Saya dengar dan saya ingat semuanya. Buat masa ini saya tidak tergamak untuk memperkatakannya.

Umpama tangki najis tadi ia melimpah dan terkena ke atas batang hidungnya sendiri. Sebab itu saya kata dia ini umpama bunga kembang pagi saja. Molek dan cantiknya setakat pukul lapan, tetapi akan kecut menjelang tengah hari dan akan hancur bila tiba waktu Asar. Kini periodenya untuk menempuh kehancuran. Habis saja penggal parlimen ke 12 ini maka masuk kuburlah Zulkifli bersama geng-geng bebas yang lain. Usah risau saat itu nanti sama-samalah kita mentalqinkan mereka.

Mengenai kebejatan dan kebajiangan politik beliau ini saya sudah meramlkan setahun sebelum beliau membuat onar melarikan diri. (Baca semua posting saya mengenainya). Malangnya ada penyokong Pakatan Rakyat yang otak kemetot menuduh saya membuat fitnah. Hari ini dunia mengetahui apakah yang saya spekulasi itu fitnah atau apa?

Teringin saya mendengar ulasan si otak kemetot berhubung dengan kedudukan Zulkifli Nordin hari ini ataupun tentang maruah dan wibawa politiknya. Apakah dia masih balik ke Kulim dan masih memegang tongkat di mimbar menyampaikan khutbah Jumaat? Atau pun masih mengadakan ceramah dan kuliah agama di serata surau dan pejabat kerajaan dan swasta dengan mendapat wang seratus dua yang kononnya untuk diberikan kepada parti? Ceritalah.

Dengan gelagat dan kebusukan yang Zulkifli lumurkan sendiri pada dirinya itu, marilah kita tutup kisah si budak kecil ini. Biarlah dia bermain dengan guli-guli politiknya di bawah rumah. Penyokong Pakatan Rakyat khasnya dan rakyat umumnya jangan terkilan dan sedih atas apa yang berlaku. Sama-sama kita dengar suatu hari nanti mengenai berita Zulkifli Nordin terlekat biji guli di tengkok dan akan diketawakan di segenap jalan yang dilewatinya. [wm.kl. 12:00 t/hari 09/07/10]

Tuesday, July 6, 2010

Simpul Simpul Politik

Ada Sebab Kenapa Polis Tidak Mahu Tangkap Raja Petra

APABILA terpampang gambar Penyelaras Pakatan Rakyat, Zaid Ibrahim bersama Raja Petra Kamarudin dan Balasubaramaniam di internet, terbelak mata pemimpin Umno dan kuncu-kuncunya. Sekalian orang termasuk yang 'dibaptiskan' kali kedua menjadikan ahli parti itu jadi naik angin. Dada mereka tetiba disongsong angin biru lautan. Mereka emosi menggesa polis supaya menangkap segera kedua orang itu.

Pemaparan gambar itu juga menyebabkan mereka kesal dan marah dengan polis yang gagal bertindak dan mengesan Raja Petra dan Bala sebelum ini. Kata mereka dengan terpampangnya gambar kedua 'pelarian' itu, Raja Petra dan Balasubramniam polis perlu segera bertindak menjejaki dan menangkap mereka.

Tidak ada alasan lagi bagi polis berdolak dalih untuk tidak memberkas mereka. Bagi mereka kalau Raja Petra dan Bala tidak ditangkap dan diseret ke mahkamah atau dikurung dalam lokap semacam mata mereka tidak akan terkatup rapat kalau mereka mati. Marah betul...

Memang apa yang berlaku juga memalukan polis sebagai pasukan keselamatan. Sebelum ini polis mengatakan mereka sedang menjejaki Raja Petra dan memberi jaminan tidak akan melepaskannya. Orang mempercayai bahawa polis sedang membuat kerja itu. Orang, terutama kuncu-kuncu yang baru dibaptiskan itu hanya menunggu masa untuk bersorak saja bila Raja Petra digiring ke tanah air. Mungkin mereka akan buat sepanduk terpanjang di dunia bagi mengalu-alukan kepulangan secara paksa ke atas Raja Petra dan Bala itu.

Orang cukup marah dan kesal dengan polis ialah, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin. Di parlimen semalam beliau mengkritik polis atas kegagalan menangkap Raja Petra Kamaruddin. Polis mungkin tersentak dengan bidasan pedas Khairy Jamaluddin itu. Ia mencabar wibawa dan imej polis. Iya... tak iya juga kenapa polis diam membisu dan seolah tidak mahu sentuh Raja Petra. Apakah kerana dia berbau kerabat dengan istana?

Khairy ada sebab kenapa dia mahukan Raja Petra disumbat dalam penjara. Dia ada dendam peribadi lama terhadap Raja Petra kerana bloger itu mendedahkan keaibannya serta lubang-lubang cari makan secara bersiri dalam blog bloger berkenaan. Itulah sebabnya.

Tidak saja Khairy sebenarnya, mungkin ramai yang bingung melihat telatah dan sikap polis mengenai isu Raja Petra ini. Kenapa kali ini polis menjadi sangat lemah dan kurang agresif untuk memburu Raja Petra. Apakah waran tangkap yang dikeluarkan mahkamah ke atas Raja Petra tidak cukup kuat dan kebal untuk menangkapnya?

Sebenarnya jika dilihat dari tugas dan tanggungjawab polis, apa yang dirasai oleh Khairy itu dirasai juga oleh banyak orang. Orang ramai merasa pelik dengan lagak dan laku polis. Sebelum ini Ketua Polis, Musa Hassan bukan main lagi bermadah, polis akan bertindak tegas dan akan membawa pula untuk dihadap ke mahkamah. Cara polis membuat kenyataan dan memberi reaksi bila ditanya soal Raja Petra seolah-olah polis akan mengusung Raja Petra dalam tempoh 24 jam.

Orang percaya dengan kenyataan itu dan mengira polis sedang giat memburu Raja Petra. Sesetengah orang jadi takut untuk berjumpa atau berhubung dengan Raja Petra bimbang dikaitkan sama. Manakala setengah mereka yang lurus bendul berdoa agar polis selamat menjalankan kerja mereka untuk kebaikan Umno dan kerajaan itu.

Malangnya tunggu punya tunggu, tak ada apa-apa hasil. Macam tunggu buah durian putik saja. Orang mengira polis belum mengetahui di mana Raja Petra bersembunyi. Tetapi bila wajah Raja Petra terpampang bersama Zaid di London orang mula naik angin dan marahkan polis. Apa lagi Zaid berjenaka pula dia pergi tengok bola dan belanjakan Raja Petra bersama Bala aiskrim kacang.

Sebenarnya bukan saja kuncu-kuncu Umno dan Khairy akan marah apabila ternampak wajah Raja Petra, orang lain juga yang yakin dengan jenayah dilakukannya mahukan Raja Petra ditangkap akan marahkan polis. Akan beranggapan polis lembab atau tidak berdaya memberkas seorang Raja Petra.

Orang akan menuduh polis Malaysia tidak 'intelligent' sebab untuk membawa pulang Raja Petra pun tidak mampu. Itulah tuduhan yang dibuat tanpa mengambil kira kesan dan implikasi tindakan ke atas penangkapan Raja Petra. Sebaliknya mereka yang boleh membaca kilat dalam kilau akan menerima apa yang polis lakukan itu adalah terbaik.

Polis kita tidak naif untuk menangkap Raja Petra. Saya yakin sejak mula lagi polis sudah tahu di mana Raja Petra berada. Begitu juga cara Raja Petra keluar meninggalkan Malaysia, polis, imigresen dan segala macam pasukan keselamatan tahu dan maklum. Kita tidak boleh merendahkan keupayaan polis.

Tetapi kenapa di sini melihatkan polis sebagai lemah tidak berkeupayaan menjejak Raja Petra ialah kerana ada pertimbangan lain yang lebih penting. Perkara pokok perlu difaham kesalahan dilakukan Raja petra ialah kesalahan bermotifkan politik? Begitu juga tujuan polis diarah menangkap Raja Petra bermotifkan politik. Hal Raja Petra dan Bala bukan membabitkan jenayah atau kesalahan biasa yang boleh memburukkan negara. Kesalahan dilakukan mereka berangkaian dan berangkaian. Kena faham. Mungkin polis sendiri kurang berminat kerana kes itu membabitkan individu dan bukan kepentingan negara!

Tujuan polis menangkap seorang penjenayah adalah untuk keselamatan. Di sini kaedah yang sama juga dilakukan polis. Polis mengkura-kurakan diri dari berbuat begitu mungkin untuk menjaga keselamatan dan kedamaian orang lain yang dirasakan lebih perlu. Kalau pun polis silap di sini ialah kerana mereka nampaknya mengutamakan kepentingan individu dari kepentingan watan.

Apa yang saya dapat rumuskan atas kelemahan polis yang kini sedang dimarahi oleh kuncu-kuncu Umno termasuk ahli yang baru dibaptiskan itu, sekiranya Raja Petra dibawa balik sudah tentu beliau akan dihadapkan ke mahkamah atas beberapa kesalahan yang dituduhkan terhadapnya. Kesalahan terbesar ialah memfitnah isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor yang dikaitkan dengan pembunuhan kejam menggunakan C4 ke atas Altantuya.

Mungkin itu tuduhan palsu? Tetapi dengan membawa Raja Petra ke mahkamah ia boleh memberi kesan lain dan menyekasakan jiwa orang tertentu. Sesuatu yang mungkin tidak pernah didengar umum mungkin akan tersebut di mahkamah. Sesuatu yang belum terdedah mungkin akan terbongkar. Jadi inilah yang mungkin hendak ditutup dan dielakkan sehingga polis sanggup menulikan telinga dari menerima cemuhan kuncu-kuncu Umno yang kemetot akal politik itu.

Penangkapan atau pun pengurungan Raja Petra dalam lokap pula akan dijadikan isu oleh pembangkang. Pembangkang akan menggunakan penangkapan itu untuk menceritakan kepada rakyat akan kekejaman polis, walaupun tangkapan itu berasas. Inilah juga yang cuba dikendurkan.

Polis juga sedar pyswar atau provokasi pembangkang memburukkan polis mudah diterima rakyat. Kenapa pasukan polis jadi buruk ialah kerana polis dicucuk hidung untuk mempertahankan individu tertentu semasa meletuskan refomasi 10 tahun lalu. Sebelum itu dajat polis tinggi, megah dan gah di mata rakyat. Tetapi individu itulah yang membuat kehebatan dan keagungan polis.

Selain itu usaha membawa balik 'bangkai bernyawa' kepada negara 1 Malaysia itu memerlukan wang yang banyak. Dalam keadaan negara tidak mempunyai untuk apa ia dihabiskan hanya melayan kerenah Raja Petra ataupun penyiasatan privet itu.

Justeru Khairy dan orang-orang yang sama waktu dengannya, dan sewarna kulit dengannya tidak arif akan muslihat itu. Polis Malaysia saya percaya mampu untuk menangkap dan mengheret Raja Petra balik. Mereka ada peruntukkan undang-undang untuk berbuat demikian. Bukankah polis Malaysia antara polis terbaik didunia? Kepada Khairy usahlah menjerit dan mengherdik polis. Sesungguhnya anda masih mentah untuk memahami sepak terajang politik orang dewasa terutama seorang Perdana Menteri anda. [wm.kl. 12:05 t/malam 06/07/10]

Monday, July 5, 2010

Susupan Tengahari

Gurauan Dr Hatta Agak Melebih

TAHNIAH kepada Pakatan Rakyat kerana berjaya melancarkan sebuah kelab, Sahabat Pakatan di London. Dengan penubuhan kelab itu peta dunia Pakatan bertambah seinchi lagi. Ia memberi imej tinggi kepada parti berkenaan.

Tentu mereka yang melahirkan idea berkenaan ada perkiraan sendiri untuk apa kelab itu ditubuhkan. Ia juga sudah mengira gerak kerja atau pun input yang bakal diberikan kelab itu dalam menjayakan perjuangan Pakatan.

Semasa perlancarannya Raja Petra Kamarudin ada bersama. Apakah beliau dilantik menjadi presiden kelab berkenaan?

Saya tidak mahu mengulas lanjut atau membuat perkiraan awal akan keberkesanan kelab berkenaan. Itu terserah kepada pihak Pakatan Rakyat sendiri dan bagaimana kelab berkenaan berfungsi. Apakah ianya sama dengan puluhan kelab Umno di luar negara? Yang hanya kembali semasa perhimpunan parti atau meraikan kejayaan saja? Harapnya tidak begitu.

Tetapi apa yang ingin saya ungkitkan di sini mengenai cakap Bendahari Pas, Dr Mohd Hatta Ramli yang hadir sama pada majlis berkenaan. Saya kira beliau mewakili pihak Pas.

Dalam laporan yang dipetik Hatta sebagai berkata pilihan raya mengikut pandangannya akan diadakan pada tahun ini. September adalah bulan pilihannya. Itu tidak menjadi masalah, tetapi mengenai keyakinannya, kalau pilihan raya diadakan tahun ini katanya Pakatan akan menang besar. Dan kalau diadakan pada tahun depan Pakatan akan menang lebih besar.

Saya kira Hatta melawak dengan kata-kata itu. Saya tidak fikir dia sudah ada maklumat ataupun instinct awal mengenai suasana pilihan raya umum akan datang. Bila bercakap dalam sebuah majlis seperti pelancaran kelab itu ianya sebagai menyuntik semangat kepada ahli saja.

Bagaimana pun dari sudut lain kata-kata Hatta itu agak takabul sedikit. Kalaupun Hatta dan Pakatan rasa mempunyai maklumat ataupun perasaan akan menang besar ekoran perkembangan muasir ini, namun tidak wajar kalau kata-kata berlebihan itu diungkapkan. Islam mengajar kita berserdahana dalam segala hal.

Gurauan Hatta itu akan tetap menjadi pegangan mereka yang cetek dan tidak mudah faham politik. Kesannya mereka akan menjaja ke serta tempat yang Pakatan akan menang besar. Natijah dari itu ia bukan memberi semangat menambah kerja, sebaliknya akan mengurangkan rasa ingin berkerja. Simpatis atau penyokong luar Pakatan akan bersikap tidak perlu berkerja keras kalau sudah menang besar. Bagi rakyat yang mencemuhi BN mereka bukan mahu memang besar, tetapi sekadar menang satu undi pun sudah memadai. Apa yang mereka mahu tengok BN tumbang.

Cakap dan gurauan tidak salah tetapi biarlah sepadan dan kena pada tempatnya. Kalau silap cakap apa lagi berbau takbul orang akan mengatakan rendahnya mutu politik kita. Orang tentu akan mengukur sejauh manakah kekuatan dan kesediaan Pakatan untuk menghadapi pilihan raya hari ini dan membandingkan dengan persiapan yang telah dan sedang BN lakukan.

Pada saya peluang Pakatan Rakyat tidak semudah apa yang diucapkan oleh Hatta. Mungkin saya tidak layak untuk melawak dan bergurau kerana apa yang kita tulis dan catatan akan diberi perhatian dan ditandai di dalam kepala. Secara mudah bagi saya dengan gerak kerja bagi menghadapi pilihan raya kini, BN ke depan. BN sudah mula membuat perang saraf dengan menghentam pemimpin Pakatan Rakyat.

Di pihak Pakatan belum ada gerakan menyerang secara tersusun. Isu-isu yang dibangkit hari ini yang kira boleh menyerabutkan BN ia timbul secara kebetulan saja. Seperti isu Apco, Sime Darby dan juga terbaru Felda. Isu itu bukan dirancang untuk digerakkan secara tersusun. Sebaliknya BN dalam mengambil kesempatan dalam isu itu sudah bertindak ke atas permit Suara Keadilan.

Surat khabar itu tidak boleh diterbitkan lagi. Ini mengurangkan satu wadah propaganda bagi Pakatan Rakyat. Ini juga termasuklah dalam tindakan persiapan menghadapi pilihan raya oleh BN.

Makanya kalau Pakatan ingin memang besar seperti mana digambarkan Hatta, Pakatan harus menyusun dan bergerak secara bersistemetik dalam menangkiskan isu-isu yang dibangkit oleh BN yang nampaknya terancang itu. Juga, dari dalam parti-parti gabungan Pakatan Rakyat juga harus mulai melupai agenda peribadi masing-masing dan sederap maju ke depan bagi menghadapi ancaman BN. [wm.kl.12:00 t/hari 05/07/10]

Sunday, July 4, 2010

Susupan Malam

Salahkah Kalau PKR Berikan Wang Kepada Raja Petra?

[kemaskini] MENURUT Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Nazri Aziz beliau ada bukti yang PKR telah memberi wang sebanyak RM500,000 kepada bloger Raja Petra Kamaruddin. Perkara itu juga turut diakui oleh Najib Razak hari ini. Cara pemberian wang itu didedahkan seolah-olah tindakan itu satu kesalahan. Baik Nazri maupun Najib seakan mahu mempengaruhi orang ramai supaya marah kepada Raja Petra dan PKR.

Najib telah meminta pihak berkuasa menyiasat apakah tindakan itu satu kesalahan atau pun tidak.

Kenapa begitu dangkal sekali pemahaman politik dan mengenai undang-undang negara ini oleh Nazri dan Najib. Apakah mereka sedar hakikat di sebalik itu cuma sengaja mahu mainkan perkara itu sebagai isu. Kalaulah benar dakwaan mereka itu apakah salah kalau PKR memberikan wang kepada Raja Petra untuk menguatkan partinya di samping memburuk-burukkan UBN. Adat berlawan begitulah! Tindakan itu adil. Dalam politik sekular apa juga urusan dihalalkan.

Apakah Umno juga tidak berbuat perkara yang sama? Tidak pernah mengupah atau menggunakan apa-apa agensi atau perantaran untuk membantu mereka? Bolehkah Nazri atau Najib membuktikan bahawa UBN adalah sebuah badan siasah paling bersih? Para pemimpinnya tidak terlebih dengan sebarang skandal?

Kalau cara PKR memberi wang itu kepada Raja Petra (benar), bermakna cara UBN memberi kepada mana-mana pihak untuk mempertahankan parti berkenaan juga satu perbuatan salah dan wajar dikutuk. Kalau PKR dan Raja Petra minta dihukum maka orang yang memberi atau menerima dari pihak UBN juga kena dilaknat sama. Kalau tindakan PKR itu salah maka UBN juga harus mempersalahkan diri mereka juga. UBN kena mengutuk diri mereka sendiri dulu sebelum menjelekkan orang lain.

Saya rasa UBN tidaklah sebersih mana dan turut sama bergelumang dengan najis dan kebusukkan yang dikecam itu. Jadi kalau UBN juga membuat kerja yang sama kenapa harus dikutuk Raja Petra dan PKR. Bukankah tindakan sebegitu boleh double standard atau bersikap nampak kuman di seberang laut tetapi tak nampak gajah di depan mata.

Dalam hal ini saya rasa elok UBN melupai soal Raja Petra. Lagi disebut pelarian itu lagi terkenal dan akan diingatkan orang. Apa yang baiknya UBN khasnya Umno menunjukkan pengajaran yang baik kepada rakyat. Umno kena pastikan bahawa rasuah tidak berlaku dalam parti berkenaan.

Umno kena pastikan bahawa masalah kronisme dan nepotis tidak wujud. Dalam suasana Felda diserang bertalu-talu sebagai bangkrup, UBN wajar mengeluarkan bukti mengenai keadaan kewangan Felda kukuh dan projeknya berpotensi. Jangan Felda merasa menang apabila ia berjaya membawa peneroka kemudian berdemonstrasi yang entah ditujukan kepada siapa.

Saya nampak persoalan yang ditimbulkan pihak pembangkang brhubung Felda masih belum dijawab dengan tuntas. Felda hanya asyik mengerahkan peneroka yang tidak tahu apa benda mengenai Felda itu menunjuk perasaan mengutuk Suara Keadilan. Cara begitu tidak profesional dan menggambarkan pemikiran mereka yang menguruskan Felda dan melayan kerenah Suara Keadilan itu sama tarfnya dengan akhbar lidah rasmi PKR itu.

Membina martabat diri sendiri lebih baik daripada memburukkan orang lain. Hari ini apa juga yang pemimpin Umno lemparkan kepada pemimpin pembangkang terutamanya Anwar Ibrahim bukan mudah untuk rakyat menerimanya. Seperti mana Umno mempengaruhi rakyat mengatakan Anwar pembohong, agen Yahudi dan sebagainya, begitulah juga rakyat beranggapan kepada UBN dalam memburukkan Anwar itu juga sebagai pembohong.

Keputusan pilihan raya umum lalu menyebabkan UBN kehilangan majoriti 2/3 di Parlimen membuktikan rakyat menolak UBN. Ada baiknya kalau UBN berusaha secara profesional mengembalikan kuasa itu. Berikan keyakinan kepada rakyat bahwa UBN lebih baik dari Pakatan Rakyat. Saya lihat akhir-akhir ini Najib sudah tidak dapat menahan sabar ikut sama bermain politik ala budak-budak Pakatan Rakyat. Sudah ada persepsi di kalangan rakyat antara UBN dengan Pakatan Rakyat dua kali lima saja.

Misalnya Umno memperakui parti itu memperjuangkan Melayu, manakala parti lain meleburkan Melayu, nah Umno harus konsistennya dan perkuatkan semangat dan jiwa mereka mengenai Melayu. Mengukuhkan Melayu secara menyeluruh lebih afdal daripada Umno terus memburukkan pemimpin PKR. Rakyat hari ini sudah matang dan tidak mudah diperolok-olokkan lagi dengan retorika tidak bertunjang. UBN janganlah bersikap persis si penari yang bagangan tidak pandai menarik menyalahkan tanah tidak rata. [wm.kl. 7:30 pm 04/07/10]

Kalut Umno Kelantan

Umno Rantau Panjang dan Tanah Merah Tidak Sah?

MENURUT Setiausaha Agung Umno, Tengku Adnan Mansor sebanyak 40 bahagian Umno minta tangguh dari mengadakan mesyuarat perwakilan bahagian. Penangguhan itu kerana bahagian Umno itu menghadapi masalah logistik - tempat untuk menjalankan mesyuarat. Dalam kenyataan sama beliau menyebut mengenai dua bahagian Umno di Kelantan, iaitu Tanah Merah dan Rantau Panjang.

Katanya, kedua Umno bahagian ini menghadapi masalah dalaman. Apabila perkara ini disebut oleh Tengku Adnan masalahnya tentulah serius. Umno Rantau Panjang minggu lalu telah mencatat sejarah apabila dua kumpulan mengadakan mesyuarat serentak. Kedua-duanya sah oleh apabila Naib Presiden, Ahmad Zahid Hamidi menghadapi pada kedua persidangan berkenaan.

Sebenarnya kehadiran itu mengelirukan. Ia seolah-olah menandakan Zahid mengesahkan kewujudan kedua-dua kumpulan berkenaan. Yang menjadi masalah kini apakah pula status Umno kawasan itu dari sisi perundangan dan akta pertubuhan. Apakah akta pertubuhan memberi pengecualian kepada Umno boleh melakukan apa saja yang mereka suka.

Dan pendirian Zahid juga menjadi tanda tanya. Apakah beliau lebih menghormati dan menjaga hati ahli kedua kumpulan itu daripada peruntukan undang-undang dan juga akta pertubuhan.

Apakah selagi tidak ada apa laporan dari Umno Rantau Panjang Pejabat Pertubuhan (ROS) tidak boleh bertindak dan beranggapan Umno bahagian itu tidak bermasalah. Apakah laporan media mengenai aktiviti itu tidak boleh digunapakai oleh ROS untuk bertindak? Begitukah?

Atau memang ada ahli Umno bahagian itu telah membawa kes berkenaan ke mahkamah cuma menunggu masa saja untuk meletup?

Umno Tanah Merah pula sudah lama berhadapan dengan masalah apabila bekas Setiausaha Bahagian, Amran Abdul Rahman telah membuat petisyen di mahkamah menghalang Umno bahagian itu menggunakan aset termasuk membekukan dua akaun milik Umno bahagian itu.

Amaran membawa Umno Tanah Merah ke mahkamah kerana kemenangan Akmal Ehsan sebagai Ketua tidak sah kerana kewujudan cawanagan palsu di dalam bahagian itu. Cawangan yang mencalonkan Akmal juga dikatakan sudah lama dibubarkan. Dalam kata lain pencalonan Ikhma Ihasan Abdul Aziz.


Malangnya tindakan Amran itu telah dihukum kejam oleh pihak Umno ibu pejabat. Keahlian Amran telah digugurkan. Pengguran keahlian Amran itu untuk menafikan locus standinya membawa ke berkenaan. Bagaimana pun pengguguran secara back dated itu ditolak oleh mahkamah. Sila rujuk posting ini:

Tindakan ke atas Amran itujuga bukan berlandaskan keadilan dan kebenaran sebaliknya lebih mirip untuk mempertahankan individu yang berkasta tinggi. Tindakan inilah menyebabkan banyak pihak merasakan keadilan dan kesamarataan dalam Umno sudah tidak ada lagi. Umno bersedia bersikap rakus ke atas ahli bawahan marhaen dan membela mereka yang berkasta tinggi dan kaya raya.

Walaupun usaha ibu pejabat Umno menyelesaikan kes Umno Tanah Merah dengan memecat Amran, namun mahkamah tidak semudah itu disihirkan. Mahkamah tetap mengatakan Amran berhak untuk membawa kes itu ada status individu dan sebagai seorang warganegara. Kes itu kini dalam mahkamah.

Adalah memelikkan bagaimana mesyuarat perwakilan bahagian Tanah Merah sudah ditetapkan pada 15 Julai di mana akan dirasmikan oleh Muhyiddin Yassin sedangkan kedudukan Umno bahagian itu masih dalam pertimbangan mahkamah. Bagaimana kalau mahkamah rayuan kelak memberi kemenangan kepada Amran? Bukankah keputusan hukuman berat sebelah Ibu Pejabat Umno itu terbatal?

Memikirkan implikasi ini rasanya mesyuarat perwakilan Tanah Merah harus ditangguhkan sehingga selesai tuntutan Amran di mahkamah. Bukan itu saja dari maklumat yang boleh diterima sekiranya Muhyiddin bersedia untuk menghadiri mesyuarat bahagian berkenaan katanya akan ada satu laporan politik dibuat ke atas Muhyiddin yang dianggap merasmikan sebuah pertubuhan haram! [wm.kl. 2:00 pm 04/07/10]

Saturday, July 3, 2010

Meraba Masalah

Umno Kelantan Dalam Keadaan Haram?

SEMALAM saya tidak sempat untuk menyaksikan secara langsung perlawanan antara Brazil dengan Belanda. Perlawanan antara pasukan itu sungguh hebat. Permainan kedua pasukan itu mempamerkan seni sukan bola sepak yang tinggi.

Elok kalau pasukan Malaysia minta untuk jadi pemungut bola di luar padang semasa kedua pasukan itu bermain. Pasukan Malaysia boleh belajar dari dekat teknik dan juga cara-cara bermain bola yang berkualiti.

Baru sekejap tadi saya menyaksi siaran ulangan. Sepanjang 90 minit detik perlawanan itu ternyata mendebarkan. Saya agak pelik sikit dalam menyaksi bola sepak di tv ini. Saya tidak kira siapa yang menang tetapi saya hanya mahu melihat aksi dan seni bola sepak. Sebab itu kekadang saya tidak tahu berapa gol yang disumbat pun.

Keputusannya perlawanan Brazil dan Belanda mengejutkan. Seperti mana kata sahabat saya, Mohd Sobree Shafei dalam blognya, Yang Kudengar Dan Kulihat, (YKDK) kekalahan Brazil mengejutkan banyak pihak. Kalau saya melihat bola sepak kepada seninya, Sabree pula menganologikan kekalahan Brazil itu kepada dunia politik. Katanya kalau Brazil yang terkenal kuat, jaguh dan hebat boleh kalah tidak mustahil BN yang kuat, jaguh dan memegang kerajaan selama lebih 50 tahun juga boleh tumbang.

Memang betul kata Sobree itu. Jangan sesekali kita bermegah dan merasakan dunia ini kita yang punya bila kita memiliki kuasa, menjadi kerajaan. Atau Perdana Menteri hari ini dari parti kita maka kita merasakan parti kita tidak akan kalah dan menang 'sokmo'. Kuasa hanya pinjaman Tuhan sahaja, bila-bila masa ia boleh hilang dan lenyap begitu saja. Bukan kepada Umno, sebaliknya kepada Pas juga. Kelantan, Kedah atau Selangor boleh ghaib dan ghuyup kalau para pemimpin megah, lupa orang bawah dan melupai perjuangan asal.

Saya rasa hampir semua peminat diseluruh dunia kecuali dari Belanda meramalkan dan berharapkan Brazil akan menang. Brazil yang terkenal dengan kehebatan dan kejaguhna bola sepak tidak akan boleh kalah. Siapalah Belanda untuk menjatuhkan Brazil. Tetapi bak kata Sobree keran Barzil lalai, megah dengan kehebatan akhirnya kelalaian dan kemegahan itu menyebabkan pasukan Samba itu akhirnya tersungkur.

Jadi nasib yang menimpa Brazil itu tidak mustahil akan menimpa Umno. Jadi kalau perangai ahli dan pemimpin Umno sama seperti perangai pemain Brazil seperti mana diulaskan Sobree itu tunggulah masa untuk melihat orang Umno akan menangis.

Dalam menepelak Umno itu Sobree ada menyebut mengenai tarikh 15 Jun akan berlaku kejutan di Kelantan. Saya tercari-cari apakah signifikan dengan tarikh tersebut. Apakah pada tanggal itu 40 ulama muda dalam Pas akan menyertai Umno, atau sebaliknya. Sobree tidak akan melepaskan tip itu kalau tidak mempunyai maklumat yang tepat. Katanya pada tarikh itu Timbalan Presiden Umno, Muhyiddin Yassin akan merasmikan mesyuarat Umno Bahagian Tanah Merah.

Lalu saya merisik apakah rahsia yang akan terbongkar pada tarikh tersebut. Saya menghubungi seorang Timbalan Ketua Umno Bahagian di Kelantan pagi tadi untuk mengetahui apa yang berlaku pada tarikh tersebut. Mulanya dia agak keberatan untuk menjelaskan, tetapi selepaa saya melontarkan beberapa persoalan memerangkapnya akhirnya beliau menyebut apa yang dimaksudkan Sobree itu.

Katanya, mungkin apa yang dimaksudkan apa yang meletup pada 15 Julai berhubung dengan pengharaman Umno bahagian Tanah Merah. Katanya beberapa cawangan Umno dalam bahagian Tanah Merah didapati haram dan berikutan menyebabkan kemenangan ketua dan jawatan kuasa yang ada hari ini tidak sah.

Katanya kes itu sudahpun dibawa ke mahkamah. Beliau tidak berani menjelaskan apa yang berlaku selanjut dan implikasi terhadap kes mahkamah itu. Cuma menjelaskan kalau tindakan segera tidak diambil oleh Umno menyebabkan Umno kemungkinan akan diharam sekali lagi.

Sementara itu sumber lain pula menjelaskan kira-kira 1,700 cawangan Umno dari semua bahagian Umno di Kelantan didapati haram. Perkara ini katanya sudah pun dalam pengetahuan Muhyiddin Yassin dan juga Hishamuddin Hussein Onn. Paling merujakan dua kesemua cawangan dalam dua bahagian Umno didapati semuanya haram.

Beberapa pemimpin tertinggi Umno juga sudah dibekalkan dengan dokumen mengenai status cawanagn berkenaan. Ini termasuklah Ketua Badan Perhubungan Umno Kelantan, Mustapa Mohamed. Tambah sumber itu sekiranya tindakan mahkamah diadakan, membawa cawangan yang tidak sah itu ke mahkamah kemungkinan Umno akan mengalami nasib malang sekali lagi.

Berkenaan dengan tarikh misteri 15 Julai seperti mana disebut Sobree itu, katanya seorang bekas ahli Umno yang dikenakan tindakan dipecat oleh parti itu akan membuat laporan polis berhubung status Umno itu sebelum ianya akan dibawah ke mahkamah bagi menentukan apakah ekoran fenomena itu Umno akan diistyharkan sebagai pertubuhan haram sekali lagi.

Tunggu berita dan perkembangan selanjutnya! [wm.kl. 3:00 pm 03/07/10]