Tuesday, July 20, 2010

Sebaik Bumi Dipijak

Mokhtar Petah Dimasukan Ke Wad CCU Hospital Putrajaya


PENULIS veteran sdr Mohktar Petah masukkan ke wad CCU hospital Putrajaya. Beliau dimasukan sejak Jumaat lalu (hari saya berlepas meninggalkan negara) dipercayai serangan jantung. Menurut salah seorang anaknya Aidi Mokhtar yang dihubungi sebaik saya tiba di KLIA jam 10:00 pagi tadi, ayahnya sudah sedar tetapi denyutan jantungnya masih lemah.

Menurutnya doktor masih membuat pemeriksaan lanjut untuk mengetahui masalah ayahnya itu. Sementara itu isterinya, dalam SMS kepada saya memaklumkan yang Mokhtar tidak sedarkan diri dan meminta kawan dan sesiapa juga kenalan kepada penulis berkenaan agar berdoa untuk kesejahtraan Mokhtar Petah.

InsyaAllah selepas reda kepenatan saya akan menjenguk beliau. Saya ke Lebnon selama lima dalam rangka kerja di sana. Wassalam. [wm.kl.11:40 am 20/07/10]

Thursday, July 15, 2010

Perhatian

Assamualaikum khas untuk penjenguk setia blog ini. Dimaklumkan tiada posting terbaru dalam tempoh beberapa hari ini. InsyaAllah kalau ada kemudahan dan 'kerajinan' akan posting dari kejauhan. Wassalam. - MSO.

Susupan Pagi

Isu Pasir Selangor dan Akhbar Parti
Pendekatan Lembut Yang Berkesan


KEDUA-DUA langkah yang diambil oleh kerajaan Selangor dan Pakatan Rakyat mengenai masalah pencurian pasir dan pemberhentian penerbitan akhbar suara ketiga-tiga parti Pakatan Rakyat, Suara Keadilan, Harakah dan Roket adalah bijak dan satu penyelesiaan yang baik.

Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim dengan rendah hati memohon bantuan Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin untuk menangkap pencuri pasir yang berleluasa di Selangor. Dipercayai Khalid terbuka pintu puadnya untuk berbuat demikian ekoran kenyataan dan kritikan sinis Muhyiddin berhubung masalah pencurian pasir di Selangor.

Muhyiddin menyindir Khalid dan Anwar Ibrahim dengan mengatakan berleluasanya pencurian pasir di Selangor menunjukkan kelemahan kedua mereka itu dan membuktikan Kahlid dan Anwar tidak layak menjadi pemimpin. "Kalau urus pasir pun tak boleh macam mana nak urus negeri," begitulah kira-kita sinis Muhyiddin.

Tindakan Khalid itu juga dikira tepat untuk memerangkap daya kepimpinan Muhyiddin. Ia juga menguji sejauh mana keikhlasan Muhyiddin untuk menghapus penjenayah pasir. Seperti mana kata Khalid sekiranya Muhyiddin tidak menangkap pencuri pasir Timbalan Perdana Menteri itu dianggap bersubahat dengan penjenayah pasir.

Khalid juga tururt sama menghantar surat kepada Menteri Dalam Negeri (KDN), Hishamuddin Hussein, Ketua Polis Negara, Musa Hassan, Ketua Polis Selangor, Khalid Bakar dan juga Peguam Negara Abdul Ghani Petail yang menjelaskan masalah itu dan memohon bantuan mereka.

Langkah diambil merupakan pengembalian paku buah keras kepada Muhyiddin dan mereka yang mempersoalkan kegagalan kerajaan Selangor dalam mengatasi masalah pencurian pasir. Tindakan Khalid itu betul kerana masalah jenayah bukan saja tanggungjawab seorang individu atau kerajaan tetapi semua orang yang bermukim di Malaysia ini.

Khalid juga turut memberi ganjaran kepada orang ramai yang dapat menangkap penjenayah pasir. Jadi kepada mereka yang tidak ada kerja dan untuk menambahkan pendapatan bolehlah berpakat menangkap penjenayah pasir dan menuntut ganjaran dengan kerajaan Selangor.

Apa yang menariknya Khalid akan turut mengeluarkan nama-nama mereka yang diberi lesen mengaut pasir di zaman pemerintah Barisan Nasional. Dengan penyenaraian itu nanti dunia akan mengetahui siapakah mereka di sebaliknya. Apakah tuduhan bekas MB Selangor, Khir Toyo mengatakan pemberian lesen menerusi konsortium Kumpulan Semesta Sdn Bhd (anak syarikat kerajaan Selangor) dilakukan kepada kroni benar atau tidak. Apakah pemberian secara individu di zaman BN memerintah dulu bukan kepada kroni? Bukankan 'kalong-kalong' pasir di Selangor ada kaitan dengan Umno?

Semua pihak kelak akan dapat membuat penilaian sendiri berhubung perkara ini. Kita mengalu-alukan agar Khalid cepat mengeluarkan nama-nama berkenaan. Dengan keluarnya nama-nama itu nanti akan diketahui siapa yang menjadi penyangak sebenarnya dan mengaut keuntungan menerusi 'komiditi' itu selama ini.

Dalam pada itu Khalid menjelaskan dengan kaedah pengurusan 'komoditi' itu di Selangor pada masa ini ia telah memberi keuntungan kepada Selangor. Hasil pasir tahun 2007 sebanyak RM2.9 juga meningkat ke RM6.3 juta tahun 2008.

Jumlah itu terus meningkat sebanyak RM5.4 juta tahun 2009 dan sebanyak RM10.3 juta setakat Jun tahun ini. Dengan perangkaan itu jelas kaedah atau sistem penghasilan pasir di Selangor yang dilakukan Khalid berjaya menambahkan kewangan negeri. Hanya mereka yang jahil matemetik saja akan beranggapan sistem yang dilakukan Khalid itu rugi.

Perkara kedua yang menarik perhatian ialah keputusan Pakatan Rakyat menghenti penerbitan akhbar lidah parti. Konsensus yang diambil Pakatan semalam adalah tepat. Menurut Anwar Ibrahim Pakatan bersetuju untuk mematuhi arahan KDN agar akhabr, Suara Keadilan, Roket dan Harakah tidak diterbitkan sehingga permitan diluluskan.

Dalam pada itu Pakatan akan berjumpa dengan KDN untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung dengan syarat-syarat dan proses penyambungan permit yang sedikit mengelirukan. Cara dan langkah diambil itu adalah lebih kepada kompromi dan tidak keras seperti mana yang cuba dilakukan oleh sesetengah individu di dalam parti Pakatan yang lebih untuk menunjukkan ego dan keras kepala.

Dengan langkah terbaru itu juga menyebabkan KDN akan merasakan mereka dihormati dan sudah tentu tidak ada sebab kenapa permit penerbitan ketiga-tiga akhbar lidah parti itu tidak akan disambung sekiranya semua syarat dan peraturan sedia dipatuhi oleh pihak berkenaan. [wm.kl. 9:45 am 15/07/10]

Wednesday, July 14, 2010

Celoteh Murai 73

Salentia Disuruh Jadi Jurulatih Beruk

MURAI ada baca dalam akhbar pagi ini ada seorang wakil rakyat mengemukakan cadangan bagi mengatasi keganasan binatang liar seperti beruk daripada memakan tanam dan menganggu ketenteraman manusia, agar ianya dilatih menjadi pemain bola sepak. Aduh... hebat idea wakil rakyat ini. Mungkin orang lain tidak berfikir sepertinya. Inilah genius Melayu perkasa.

Katanya beruk ini binatang boleh dijinak dan cerdik. Mungkin dia tahu sebab di kampungnya banyak beruk yang digunakan untuk panjat pokok. Dia sendiri juga semasa kecil dulu Murai diberitahu suka here
t (bawa) beruk keliling kampung. Diletak atas handle basikal. Sebab itu di kampungnya juga dia dikenali dengan nama ******* beruk.

Kata wakil rakyat itu lagi pasukan beruk itu sekumpulan dinamakan beruk Selangor dan satu lagi beruk Kelantan. Ini yang Murai tak sedap ni.... Mulanya sudah elok cadangan itu kerana ia tidak menyentuh perasaan sesiapa. Tetapi bila di masukkan perkataan Selangor dan Kelantan, menyebabkan orang faham ke mana siniskalnya itu. Apa lagi dia juga pernah memberukkan seorang ustaz di Kelantan tidak lama dulu dengan mengatakan 'tok guru kera".

Dan Murai juga terbacalah dalam berita itu, seorang ahli parlimen lain mencadangkan wakil rakyat yang mengemukakan cadangan itu supaya ahli parlimen itu menjadi jurulatihnya. Ar... bak ini Murai tidak setuju. Murai bimbang kalau dia jadi jurulatih, beruk itu akan jadi lain nanti. Bukan saja dia setakat tahu main bola sepak, tetapi bimbang dia akan melompat situ melompat sini, panjat tiang gol... koyak bendera, hingguk itu hindik sini..... haru jadinya.

Al maklumlah perangai wakil rakyat itu begitu, suka melompat dan sinonimas dengan Salentia. Dahlah perangai semula jadi beruk suka melompat dan menghingguk, ditambah dengan budaya lompat yang dimiliki wakil rakyat berkenaan menyebabkan beruk itu jadi semakin beruk, gila melompat dan menghingguk.


Malahan lompatannya mengatasi dan mengalahkan lompatan biasa oleh si beruk di hutan. Dia bukan saja lompat untuk makan pisang, atau buah-buahan, dia boleh lompat ke Yayasan Perdana, bahkah sanggup lompat ke bulan dan terjun turun dengan kepala dulu dan tidak lupa meninggalkan tahi di cekrawala itu.

Kalau perangai ini melekat kepada beruk yang disuruh latih itu, naas jawabnya. Dan apa lagi yang menakut dan membimbangkan Murai, beruk itu bukan saja setakat melompat tinggiiii... tetapi takut juga dia akan mencium punggung orang kerana sejarah jurulatih itu diketahui bersedia mencium punggung seseorang kerana inginkan sesutau benda.

Kesimnpulannya Murai tidak setuju kalau wakil rakyat itu dijadi coach kerana bimbang beruk bukan saja tahu melompat tetapi pandai dan tergian pula nak cium punggung orang.

Murai: Suka jadi penjaga garisan.

Tuesday, July 13, 2010

Menjernihkan Siasah

Umno Perlu Juga Bersetuju Menemui PKR

Timbalan Perdana Menteri (TPM), Muhyiddin Yassin mengatakan Umno sedia untuk bertemu dengan Pas bagi menjalinkan kerjasama dalam usaha memperkukuhkan Islam dan kedudukan orang Melayu di negara ini. Katanya walaupun usaha itu sering kali menemui kegagalan ia tidak pernah mematahkan semangat Umno. Baguslah kalau begitu.

Kenyataan Muhyiddin itu pasti akan menjadi kontroversi dan modal politik bagi ahli politik yang mudah miang mulut bila diajukan perkara itu. Dan kenyataan yang sama akan dikeluarkan oleh media massa sekejap lagi yang mengulas kenyataan Muhyiddin itu. Portal berita yang tidak senang dengan penyatuan Melayu akan melagakan pemimpin Melayu.

Kenyataan berbau kebencian kepada Umno akan terhembur di mana-mana secara kesat dan kasar. Pasti akan ada yang mengulas kenyataan Muhyiddin itu sebagai menggambarkan Umno sudah terdesak.

Muhyiddin akan disindar dan disinis semahunya.

Juga akan ada pemimpin Pas mengulas kenyataan itu serta mengulangi tuntutan Pas agar Umno mengubah perlembagaanya sebelum bekerjasama dengan Pas. Selamanya kenyataan sebegitu akan diprejudiskan oleh Pas. Di Kota Bharu sana akan terkeluar kenyataan yang kliese mengenai perkara itu. Paling lama Jumaat akan datang.

Tidak mengapa Pas berhak untuk berkata demikian berpandukan kepada sejarah dan kepercayaan. Tetapi apa yang saya hendak pertikaikan kenyataan Muhyiddin itu kenapakah Umno hanya bersedia untuk menemui Pas sahaja. Kenapa Umno tidak terbuka fikiran untuk menemui sama dengan PKR? Sesekali cubalah Umno menghulurkan salam persaudara dengan PKR? Dalam PKR rasanya ada orang yang akan menyambut salam Umno sebab ada yang faham erti assalamualaikum?

Saya rasa satu kejutan kalau tiba-tiba Umno menyatakan kesediaan untuk berjumpa dengan PKR dan berbincang dengan Anwar Ibrahim. Perjumpaan tiga buah parti Melayu ini akan membuka era baru dan membawa semangat baru kepada orang Melayu. Ia tentu merujakan banyak pihak.

Kalau Muhyiddin atau Umno ikhlas dan benar untuk menyatukan orang Melayu, Muhyiddin tidak boleh abaikan PKR. Mengajak Abdul Hadi Awang dan Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak boleh meninggalkan Anwar Ibrahim. Hampir separuh dalam PKR adalah orang Melayu. Rasanya lebih mudah mengajak orang PKR bersatu berbanding dengan Pas kerana sebahagian besarnya mereka adalah darah daging Umno.

Pada saya selagi penyatuan dan kerjasama tidak membabitkan PKR harapan untuk melihat Melayu bersatu dan kerjasama sia-sia sahaja. Pas yang kini sudah berikat atas dasar politik (Pakatan) tidak akan bersetuju. Dan sekiranya Umno sedia jumpa sama dengan PKR rakan Pas dan PKR, DAP tidak perlu merasa cemas dan cemburu. Mereka berhak berjumpa atas nama bangsa Melayu. DAP juga perlu menghormati pertemuan itu kerana mereka adalah sebangsa dan seagama!

Seharusnya persepakatan politik untuk mendapatkan kuasa tidak menjadi penghalang untuk mana-mana bangsa dan kaum berjumpa sesama mereka memikir mengenai nasib dan masa depan masing-masing. Begitu juga kalau DAP hendak berjumpa dengan parti-parti lain yang sekaum dengannya Pas dan PKR tidak perlu merasa gusar.

Kalau benar kita sedia menerokai politik baru, pro dan liberal pembahruan ini perlu dikemukakan. Selagi kita saling curigai mencuriagai antara satu sama lain maka selama itulah rintisan kepada politik yang profesional tidak akan bermula di negara ini dan selamanya kita akan bercakaran seperti yang berlaku kini. [wm.kl. 2:00 pm 13/07/10]

Monday, July 12, 2010

Susupan Petang

Maklumat Yang Boleh Memakan Diri Sendiri

ORANG Pas yang tidak suka parti mereka dikritik (walaupun untuk kebaikan) mungkin suka dan bahagia dengan apa yang dijelaskan oleh salah seorang Naib Presidenya yang mengatakan undi teras Melayu kepada Pas tidak berubah bahkan meningkat sedikit.

Tentulah pernyataan itu akan menafikan dakwaan ataupun kebimbangan sesetengah pemerhati yang menduga undi Melayu kepada Pas akan merosot ekoran pendekatan baru Pas muasir ini yang dilihat liberal dan tidak berpegang kepada prinsip atau pendekatan asal. Ini termasuklah memberi tumpuan kepada bukan Melayu dengan mewujudkan Dewan Himpunan Penyokong Pas. Kontrasnya usaha ini tidak ada perancangan atau agenda khusus untuk memacing undi Melayu.

Sesetengah pemerhati merasakan tindakan agresif Pas itu seolah mengalpakan pengundi Melayu dan merupakan satu gerakan mempengaruhi pengundi yang tidak seimbang. Pas mengadakan perancangan khas untuk menambah undi bukan Melayu menerusi Dewan Himpunan Penyokongnya dimana dewan itu telah diikhtrafkan oleh Pas, tetapi belum ada program menjerat pengundi Melayu.

Tetapi di sini saya ingin memperbetulkan tanggapan atau analisa selamba Naib Presiden Pas berkenaan yang didakwa merupakan satu rumusan dalam retreat Pas selama tiga hari lalu di Port Dickcson.

Saya tidak bersetuju dan merasakan penegasan mengenai hal itu tidak tepat dan boleh memakan diri sendiri. Menurut Naib Presiden Pas itu, pada tahun 1995 peratus undi Melayu kepada Pas ialah 38% hingga 40%. Peratus pada tahun 1999 bertambah hingga 55%. Pertambahan ini menggunakan alasan kerana berlaku pemecatan Anwar Ibrahim dari Umno. Penambahan itu pun berlaku bukan kerana ada pembaharuan dan tarikan dari Pas melainkan kerana isu Anwar.

Dalam tahun 2008 katanya sokongan Melayu kepada Pas antara 42% hingga 46%. Berdasarkan fakta itu menurut Naib Presiden bermisai dan berjanggut putih itu, undi teras Melayu tidak berubah.

Saya tidak tahu apakah pandangan Naib Presiden itu bahawa peratus undi teras Melayu yang dikatakan itu statitik, maksudnya ia satu angka yang tidak akan berubah menjelang pilihan raya ke 13 nanti atau bagaimana? Bahkan ada kemungkinan makin melonjak? Begitukah yang beliau fikirkan ataupun penjelasan itu sekadar untuk menafikan tanggapan negatif terhadap Pas yang kurang disenanginya? Kalau beliau berfikiran begitu alangkan dangkalnya.

Pada saya, pencapaian-pencapaian itu, tahun 1995, 1999 dan 2008 tidak boleh dipakai lagi kerana kedudukan dan senarionya berubah. Pas tidak boleh asyik dengan perangkaan untuk menyedapkan hati itu. Pencapaian itu tidak boleh dijangka sekiranya ia tidak mengambil kira perubahan semasa dan isu semasa yang berlaku waktu ini di mana sesetengahnya memberi kesan negatif kepada Pas dalam konteks orang Melayu.

Misalnya tahun 1995 membawa ke tahun 1999 Umno di dalam keadaan bergolak. Masa itu berlaku pertukaran kepimpinan dari Dr Mahathir Mohamad kepada Abdullah Ahmad Badawi. Selepas pertukaran itu Umno menghadapi masa yang amat kritikal ekoran kepimpinan Abdullah.

Sesetengah orang Melayu Umno sendiri yang terpengaruh dengan hasutan dan dengki Mahathir menyerang Abdullah, menerima pandangan Dr Mahathir. Orang Melayu Umno ikut protes Umno dan undi Melayu dari Umno (pengundi) inilah yang lari kepada Pas.

Begitu juga Naib Presiden berkenaan mengatakan peningkatan undi Melayu kepada Pas tahun 1999 ekoran pemecatan Anwar dari Umno. Perlu diambil kira hari ini Anwar bukan lagi dipecat, dan Umno bukan lagi di bawah kepimpinan yang diserang siang dan malam, tetapi sudah bertukar tangan kepada Najib. Dan kes liwat yang dihadapkan kepada Anwar hari ini bukan yang pertama tetapi yang kedua, di mana persepsinya berhubung kes ini mungkin berbeza.

Kini suasana itu sudah tidak ada lagi. Malahan peralihan dari Abdullah kepada Najib menyerlahkan kesungguhan dan kerajinan Najib memperbetulkan kesilapan lampau mereka.

Demikian juga kata Naib Presiden itu, undi untuk Pas pada pilihan raya kecil kecil Bukit Gantang, Perak meningkat hingga 45% juga tidak boleh dipakai. Waktu itu Perak dalam keadaan kabur dan belum ada pemulihan dari Umno. Hari ini selepas Umno menguasai Perak setahun 'kepala' Melayu Perak sudah dingin sedikit. Apapun nak dikatakan dan nak dilebelkan mengenai pengambilan alih kerajaan Perak ia memberi untung kepada Umno berbanding Pas. Lainlah tentang pengundi Cina.

Begitu juga sebelum ini tidak ada gerakan untuk menyedarkan (menubakan) orang Melayu agar tidak meninggalkan Umno. Hari ini sudah ada berbagai pertubuhan bukan kerajaan yang siap untuk menjadi perkas kepada Umno. Sedikit sebanyak kemunculan NGO-NGO ini boleh memberi input dan kejutan baru kepada orang Melayu agar kembali semua kepada parti asal mereka. Sebaliknya tidak ada NGO yang vokal untuk membela Pas kecuali NGO menuntut royalti minyak di Kelantan.

Makanya pandangan atau kenyataan Naib Presiden berkenaan tidak boleh diterima sebagai satu lesimpulan konkrit apa lagi untuk diguna pakai sebagai indaktor bagi pilihan raya yang akan datang. Saya cukup bimbang kalau tidak ada program dan agenda khusus untuk memberi keyakinan dan semangat kepada orang Melayu - termasuk generasi muda, bahawa Pas parti yang mempunyai komitmen untuk membela nasib mereka peratus undi yang dibanggakan itu akan menurun. Seharus disamping menerima Islam sebagai ideologi Pas juga harus menerima Melayu sebagai asas perjuangan.

Dalam hal ini pada saya lebih baik Pas berusaha secara senyap untuk menarik undi Melayu daripada bercakap tentang kejayaan masa lepas yang layak untuk dikenangkan saja. Kejayaan yang lepas masih belum tentu apakah ia berulang dan berpihak kepada kita atau sebaliknya. Sesuatu figure yang belum tentu memberi keuntungan sepatutnya tidak didedah sehingga menampakkan kedangkan kita dalam mengatur strategi. [wm.kl. 7:00 pm 12/07/10]

Susupan Tengahari

Saman Ekor: Jejaskan Undi UBN
Sokong Permintaan Hishmuddin Hussein


PERMINTAAN Menteri Dalam Negeri (KDN), Hishamuddin Hussein suapaya Polis dan Jabatan Pengakutan Jalan (JPJ) menimbangkan daripada mengambil tindakan dan kuatkuasakan saman ekor ke atas pemilik kenderaan yang terlibat dialu-alukan. Permintaan Hishamuddin itu satu pembelaan kepada rakyat marhaen yang terbeban dengan tindakan berkenaan.

Katanya dia banyak mendengar rintihan rakyat yang tidak berpuas hati dengan saman ekor dan implikasinya apabila tidak menjelaskannya. Apa yang menjadi kesalan orang ramai ialah apabila saman itu tidak diketahui kerana tidak menerima notis. Tindakan sebegini boleh dianggap satu penganiayaan oleh pihak Polis dan JPJ dalam usaha mendisiplin pemandu dan mengurangkan kehilangan jiwa atas jalan raya.

Hishamuddin meminta suapaya tindakan ke atas pemilik kenderaan yang disaman tetapi tidak menerima notis hendaklah dipertimbangan. Bagaimana pun katanya bagi mereka yang menerima notis tidak ada sebab untuk merasa kesal dan enggan membayar saman berkenaan. Memang, kerana mereka boleh membuat perundingan dengan pihak berkuasa berhubung saman berkenaan. Tetapi bagi mereka yang tidak mengetahui mereka disaman tiba-tiba tindakan dikuatkuasakan ke atas mereka satu penganiayaan dan zalim.

Saya sudah luahkan pandangan dalam blog ini mengenai kerenah saman ekor (perangkap laju) sudah tidak relevan dan praktika serta satu penganiayaan secara senyap oleh pihak kerajaan kepada rakyat. Bayaran saman manimum RM300 setiap satu kesalahan juga membebankan. Bayangkan kalau pesalah mempunyai tiga saman bermakna mereka kena menyediakan RM900 untuk membolehkan memperbaharui road tax kereta mereka. Jumlah itu adalah lebih separuh gaji bulan pegawai rendah kerajaan.

Sejak September 2009, 2.5 juta pesalahan tarfik dikenakan saman dan dari jumlah itu sebanyak 1.07 juta pesalah trafik kereta mereka disenaraihitamkan. Mereka harus melunasi jumlah saman sebelum road tax diperbaharui. Jumalah itu bukan sedikit. Lantaran itu ada yang beranggapan penguatkuasaan saman ekor secara tiba-tiba itu kerana kerajaan ketiadaan wang. Jadi jalan mudah untuk kerajaan menambah duit ialah dengan mengikis wang rakyat dengan pelbagai denda dan hukuman atas pelbagai kesalahan.

Adalah wajar kalau saranan Hishamuddin itu diberi perhatian. Menteri dan ahli Parlimen serta badan bukan kerajaan lain juga harus membuat desakan dan menyokong saranan Hishamuddin. Dalam kontkes politik kalau tiada penyelesaian atau pemaafan diberikan kepada persalah trafik ia memberi kesan kepada parti yang memerintah. Apa kata kalau separuh dari jumlah pesalah kenderaan itu marah dengan tindakan itu? Mereka sudah pasti tidak akan mengundi parti memerintan pada pilihan raya akan datang. Tindakan ini tentulah menjejaskan sokongan UBN.

Jadi di samping untuk tidak membebankan rakyat dengan tindakkan saman ekor itu (apa lagi dalam musim ka'at ini) adalah baik kalau kerajaan mempertimbangkan untuk menghapuskan terus saman berkenaan atau memberi potongan hingga 50% kepada mereka yang bersalah.

Pendapat Ketua Trafik Bukit Aman, Abdul Aziz Yusuf mengatakan tindakan saman ekor itu untuk mendisiplinkan pemandu ianya tidak boleh diterima kerana idea itu tidak begitu pratikal dalam konteks sikap pemandu negara ini. Tindakan sebegitu tidak akan memberi apa-apa erti kepada pemandu yang sudah liar dan menunjuk-nunjuk atas jalan raya. Mereka sukar untuk dirubah dengan peraturan berbentu saman dan denda, sebaliknya tindakan sebegitu menyebabkan imej kerajaan akan dipersoal.

Apa lagi saman ekor itu pula dijalankan secara tersembunyi di bawah kolong atau dalam semak di mana seolah-olah polis sengaja mahu main sembunyi-sembunyi dengan pemandu dan senagaja mahu memerangkap mereka. Keadaan menyebabkan mereka tambah mempermainkan saman berkenaan.

Jadi untuk mendisiplin pemandu Polis dan JPJ harus mencari satu pendekataan baru. Mekanisme lain perlu dikaji oleh polis bagaimana hendak mendisiplinkan para pemandu di negara ini. Mungkin dalam melaksanakan saman ini polis dan pegawai JPJ juga perlu didisiplinkan!

Jalan penyelesaian terhadap sesuatu perkara itu sebenarnya luas ia bergantung kepada keupayaan dan keyakinan kita bagaimana mengatasinya. Kalau kita tetap meneruskan keadah yang sudah lapok tidak menyerlahkan perubahan apa juga tindakan itu tidak akan mencapai maksud yang dikehendaki. Sebaliknya ia akan diterjemahkan sebagai satu penganiayaan kepada orang ramai pula. [wm.kl. 2:30 pm 12/07/10]

Sunday, July 11, 2010

Gurauan Penjenguk

Shwan Harus Faham Politik 4C

CATATAN saya di bawah tajuk : Pas Parti Sesat, Umno Parti Haram! mendapat reaksi dari beberapa penjenguk. Ada yang terus masukkan ke dalam box email dalam blog dan ada yang menghantar ke email peribadi. Salah seorangnya darinya, sdr Shwan Abdullah. Saya turunkan email beliau dan akan menjawab atau menjelaskan apa yang dipersoalkan secara ringkas.

salam tuan,

saya tau komen saya tidak akan terlepas kerana saya lebih pro umno dari pas atau pkr walaupun saya bukan ahli umno. jadi saya amek keputusan untuk hantar emel direct ke address tuan dan meluahkan pandangan saya tentang kenyataan shafie afdal.

pertama sekali, analisa yang tuan buat terlalu mudah. tuan samakan sesat dengan haram. apa yang tuan tak faham atau pura-pura tidak faham ialah haram itu cuma dari segi undang-undang dunia saja. kalau umno haram sekalipun, ianya mengikut undang-undang dunia yang direka oleh manusia sendiri. undang2 boleh digubal dan diubah bila2 masa.

bagaimanapun sesat pas ini mengikut undang2 allah swt yang dipakai oleh dunia sejagat dan tidak boleh diubah dengan apa2 undang2 pun dalam dunia ini.

jadi, adakah tuan masih fikir sesat pas dengan haram umno dua benda yang sama?

saya menyokong kenyataan shafie afdal sbb ulama pas pernah keluar kenyataan beberapa kali yang menyatakan beliau akan bubar pas dan masuk umno kalau umno ikut ajaran islam. dengan fatwa ini, bermaksud umno bukan islam dan maknanya umno kafir.

kasihan dengan orang2 kampung. mereka yang tidak dapat membezakan kenyataan politik dengan hukum tuhan sudah tentu menelan bulat2 fatwa ini. pada mereka, umno adalah parti kafir dan hanya pas sahaja parti islam. kalau tuan tak percaya ada orang termakan kata2 ini, bolehlah ikut saya melawat kelantan dan kita tinjau sendiri pendapat org kampung tentang pas dan umno. ramai yang akan kata umno bukan parti islam. itulah sebabnya berlaku perpecahan di kalangan umat islam sehingga berlakunya sembahyang dua imam dan perceraian suami isteri dan pelbagai lagi keadaan yang tidak menguntungkan umat islam di negara ini.

apa yang saya harapkan agar tuan tidak lagi mengeluarkan kenyataan yang tidak bertanggungjawab seperti ini. tulisan tuan boleh mempengaruhi pemikiran golongan yang cetek ilmu yang mungkin meminati tulisan tuan. saya minta tuan menulis perkara yang benar sahaja. jadilah manusia yang bertanggungjawab dan bukan menulis untuk menyokong parti sendiri.

pohon maaf sekiranya tulisan saya ini menyakiti hati tuan. saya tahu tuan pernah menulis sekiranya sesiapa yang tidak suka dengan tulisan tuan supaya tidak membaca blog tuan kerana tuan tidak pernah menuruh sesiapa pun membaca blog tuan. bagaimanapun menegur kemungkaran adalah tanggungjawab semua umat islam.

salam


Terdahulu terima kepada sdr Shwan kerana mengirimkan komen ini dan minta penjalsan. Waalaikumusalam. InsyAllah dengan pertolongan Allah juga saya akan menjawab apa yang sdr musykilkan.

1. Tanggapan sdr bahawa komen sdr tidak akan disiarkan mungkin salah. Saya seberapa yang boleh akan melepaskan apa juga komen selagi ia beradat, tidak kesat atau menimbulkan implikasi lain. Kalau komen seperti ini tentu saya akan lepaskan kerana ia boleh menjadi polemik dan renungan bersama.

2. Saya faham mengenai pengertian haram dan sesat dari kedua konteks berhubung perkara itu. Tetapi sdr harus faham dari konteks mana saya menimbulkan perkara ini. Ianya dalam konteks politik. Saya sudah katakan dalam politik ada 4C... sila baca dan fahami sebaik mungkin cacatan berkenaan dan prejudis melulu. Mesej saya dalam tulisan itu ialah antara Pas dengan Umno (orang Melayu) sama saja. Saling mengata dan memburuk di antara satu sama lain. Dalam erti kata lain saya mengkritik keduanya sekali, cuma saya tekankan supaya Shafei lebih melihat kepada partinya di Kelantan yang tidak ikut Akta Pertubuhan. Dalam kata lain saya mengambil subjek ditimbul Shafei untuk membuat teguran umum.

3. Saya tidak menganggap kebenaran kepada kata-kata Shafei Afdal itu. Lagipun hujah dan dalil mengatakan Pas sesat mengikut versinya lemah, sangat lemah dan fitnah. Kalau sdr Shwan hendak mengatakan Pas sesat kerana Pas mengatakan Umno sesat ia tidak relevan dan tepat. Dalil dan bukti itu tidak cukup. Sdr harus menghuraikan satu persatu dengan membuat kajian ke atas tuduhan Pas mengenai Umno itu. Apakah yang menyebabkan mereka berkata demikian. Apakah dari segi politik, agama dan adat kenyataan politik Pas itu salah, dan kenyataan atau aksi Umno memolehkan Pas mengatakan begitu betul. Apapun saya sendiri bersetuju politik berlebih begitu (menghukum sesat) adalah buruk.

4. Sdr kena kemukakan nas bahawa tuduhan Pas itu salah baik dari versi Quran maupun politik barulah sdr boleh mengiyakan apa yang Shafei katakan itu. Seperkara lagi dari konteks politik kalau yang difahami Pas jika Umno tidak mengambil Quran dan Hadith sebagai panduannya apakah ia tidak sesat? Bukankah Quran dan hadith itu penunjuk jalan lurus? Tetapi saya tidak berfahaman otordoks seperti Pas dalam soal ini, cuba menghujahkan ini isecara logik.

5. Alasan sdr kemukakan pernah mendengar kenyataan Pas mengatakan akan bubar kalau Umno mengambil Islam, bukan alasan untuk mengatakan tuduhan Pas ke atas Umno itu benar sesat. Sdr kena faham itu adalah provokasi politik. Kalau sdr mengutip setiap kata-kata orang Pas dan menganggapnya sebagai benar, maka sdr sebenarnya belum cair mengenai politik sekular yang dianuti kedua buah parti berkenaan. Pemahaman sdr lebih cetek daripada pemahaman orang kampung yang sdr bimbangkan itu.

6. Saya tidak akan marah kepada sdr, tetapi saya tetap berpendirian mereka yang otot kemetot atau naif dalam memahami politik 4C tidak perlu bersusah payah untuk membaca blog saya kerana ia membuang masa pembaca berkenaan dan juga saya untuk menjawabnya.

Salam.
MSO

Saturday, July 10, 2010

Politik Dua Kali Lima

Pas Parti Sesat, Umno Parti Haram!

NAIB Presiden Umno kuota Sabah, Shafei Afdal mencari modal untuk mempopularkan diri dalam parti itu dengan mengatakan Pas sebagai parti ajaran sesat. Walaupun Shafei bukan Mufti tetapi kata-kata bersifat politik itu menimbulkan kemarahan orang Pas. Pas Johor telah membuat laporan polis terhadap Shafei Afdal. Beliau dilaporkan berkata di Johor ketika merasmikan persidangan sebuah bahagian Umno.

Shafei memberi alasan (dakwaan itu) kerana Pas sebelum ini mengeluarkan berbagai fatwa termasuk menyesatkan golonngan tertentu. Umum sudah mengetahui bahawa fatwa Pas itu tidak sah dan bersifat fatwa politik semata-mata dan tidak lebih dari itu. Fatwa dikeluarkan oleh para pemimpin tidak pun digezetkan oleh mana-mana Majlis Agama Islam Negeri sebagai fatwa. Sepatutnya beliau tidak menggunakan hujah demikian bagi mempertahankan dakwaanya.

Makanya tidak wajar dan tidak kena kalau Shafei mengambil 'fatwa-fatwa' politik Pas itu sebagai satu kebenaran.

Di sinilah menyerlahkan mutu politik orang Malaysia terutamanya orang Melayu. Mereka suka mengambil dan memikirkan perkara yang remeh temeh (furuk) daripada membahas dan mengangkatkan perkara yang boleh menyelesaikan permasalahan (pokok) yang mereka hadapi selama ini. Misalnya, lebih baik bagi Shafei Afdal mengemukakan cadangan bagaimana orang Melayu Biru dan orang Melayu Hijau untuk duduk sekali daripada asyik melemparkan tuduhan yang memedihkan telinga kerana perbuatan itu akan menjauhkan tapak antara Umno dengan Pas.

Begitu juga dengan pemimpin Pas, sudah tahu bahawa mereka tidak sesat mengikut sudut pandangan dan ijtihad ilmu Shafei Afdal itu kenapa nak bising. Pas tidak perlu melayan kenyataan Shafei itu dan patut biarkan saja. Sebelum ini orang tidak ingat dan kenal pun Shafei bila Pas buat laporan polis maka orang akan mengenalinya. Bagi Shafei Afdal beliau mendapat untung di sebalik apa yang dilakukan itu walaupun ia menghamprakkan Melayu. Shafei dianggap hero oleh Umno kerana berjaya menyibukkan Pas dengan kenyataan itu.

Sebagai Naib Presiden, Shafei sepatutnya memberi tumpuan kepada perkara lebih besar. Contohnya daripada menyesatkan Pas, Shafei lebih baik menyelesaikan masalah lebih 2,000 cawangan Umno di Kelantan yang dikatakan sebagai tidak sah dan haram. Perkara ini lebih afdal untuk diselesaikan kerana ia membabitkan soal hidup mati Umno dan maruahnya sebagai sebuah parti politik dalam negara berperlembagaan.

Masalah yang menimpa Umno Kelantan sesuatu yang membahayakan parti berkenaan. Umno Kelantan dalam keadaan sangat parah kini. Sekiranya ada pihak yang membawanya ke mahkamah ia menyebabkan seluruh Umno Kelantan boleh diistyharkan haram. Penghamaraman Umno Kelantan ia boleh membabitkan Umno Malaysia juga haram. Umno berpeluang untuk diharam kali kedua selepas dikenakan tindakan demikian tahun 1987 dulu.

Pada 7 Julai lalu satu laporan polis telah dibuat oleh bekas Setiuasaha Bahagian Umno Tanah Merah, Amran Abdul Rahman (foto) mengenai kedudukan cawangan Umno dalam Bahagian Tanah Merah. Menurut kenyataan akhbar yang dikirimkan kepada saya, hanya lima cawangan saja daripada 131 cawangan Umno dalam bahagian itu sah, manakala yang lain (126) tidak mematuhi akta pertubuhan 1966.

Petikan kenyataan akhbar sdr Amran Abdul Rahman:

"Sebanyak 126 cawangan Umno di bahagian itu tidak sah pendaftarannya mengikut Akta Pertubuhan 1966 apabila telah ditubuhkan melebihi tempoh 3 bulan dari tarikh yang diberikan oleh Pendaftar Pertubuhan mengikut Seksyen 12(6).

Selain itu 126 cawangan Umno tersebut juga telah ditubuhkan tanpa mendapat perlanjutan masa dan tanpa kebenaran daripada Pendaftar Pertubuhan.

Kerana itu kedudukan 126 cawangan Umno Tanah Merah adalah jelas berstatus sebagai pertubuhan-pertubuhan yang menyalahi undang-undang serta kelulusan Pendaftar Pertubuhan bagi penubuhannya hendaklah disifatkan sebagai mana dijelaskan pada Seksyen 41(1)(c) dan 412(2) Akta Pertubuhan 1966.

Umno bahagian dan juga 126 cawangannya tidak boleh menjalankan sebarang aktiviti termasuk menjalankan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian dan Persidangan Umno Cawangan sebagai mana Seksyen 6(2) dan adalah melakukan kesalahan jika melanggar pada Seksyen 6(2) sebagaimana dijelaskan Seksyen 6(3).

Kesimpulan daripada semua perkara di atas, Umno bahagian Tanah Merah termasuk 126 cawangannya adalah satu pertubuhan yang meyalahi undang-undang atau tidak sah mengiku Akta Pertubuhan 1966 boleh dihadapkan dengan seksaan-seksaan sebagaimana Seksyen 42, 43, 44, 45, 46, 47 dan 48 Akta Pertubuhan.

Bahagian Pendaftran Negara dan Pertubuhan, Kementerian Dalam Negeri serta Jabatan Pendaftran Pertubuhan diminta mengambil tindakan segera sebagaimana yang diperuntukan mengikut Akta Pertubuhan terhadap kewujudan Umno bahagian Tanah Merah serta 126 cawangannya yang berstatus sebagai pertubuhan yang menyalahi undang-undang."

Dalam konteks pertubuhan politik yang mendaftar dengan pejabat Pendaftaran Pertubuhan, apa yang dinyatakan Amran itu menyebabkan kedudukan Umno sebenarnya lebih mencemaskan daripada kedudukan Pas yang dikatakan sesat oleh Shafei Afdal itu. Kesesatan Pas itu tidak sampai ianya boleh dibatalkan pendaftrannya, tetapi keadaan Umno Kelantan yang boleh diharamkan itu boleh menyebabkan Umno lenyap di atas muka bumi ini. Dan barang sesiapa menyertainya boleh dianggap segai kumpulan haram.

Makanya kepada Shafei Afdal lain kalau hendak bercakap ingatlah pesanan orang tua-tua, cakap malam dengar-dengar, cakap siang pandang-pandangan. Dan berfikirlah dulu sebelum berkata-kata. Sebelum mengata dan memburukkan orang lain bersihkan diri sendiri dulu. Kesimpulannya Pas mengikut verisi Shafei hanya sebagai sesat, tetapi Umno mengikut versi Amran Abdul Rahman ianya haram! Sesat dengan haram kira-kira dua kali lima saja. Ha ha... [wm.kl. 10:15 am 10/07/10]

Friday, July 9, 2010

Lambaian Nusa, Bukan, Dosa!

Wakil Rakyat Oportunis Tipu Orang Kampung

Malam tadi saya jumpa kawan lama yang sama-sama bekerja keras untuk menaikan seorang manusia bagi mencapai cita-citanya dalam dunia politik. Semasa wakil rakyat berkenaan 'jelepek' macam anjing buruk telinga, kawan inilah yang jadi hamba abdinya, mengangkutnya ke sana ke sini masuk kampung keluar kampung. Dialah menjadi teman bercakap, berbual dan juga minum kopi dan popia panas di hotel Perdana di Kota Bharu.

Saya selalu melihat dia kerana saya juga bersama individu berkenaan. Baik saya atau kawan ini membantu manusia ini atas dasar kesian mengenangkan nasibnya yang tidak ada kuasa, dicemuh dan dibenci orang serata tempat kerana perangainya dan hidup macam kera sumbang selepas dibuang oleh partinya.

Saya kira kawan ini juga sama seperti saya. Suka memikul biawak berlumut untuk dibersihkan sebelum dilepaskan semula dalam kloni awam. Prinsip saya selagi manusia itu tidak berbuat jahat di depan kita dan melibatkan diri sendiri, sejuta kali kejahatan dikatakan orang saya tidak akan terima. Itu semua adalah cocokan syaitan dan hasutan bagi merenggangkan kita dengan seseseorang.

Bukan tidak tahu dan tidak dengar kejahatannya yang dicerita dan diperkatakan orang tentang manusia ini, sudah padat telinga mendengarnya. Baik saya dan kawan berkenaan mendengarnya, malah tahu lebih daripada itu mengenai diri manusia itu. Kata si kawan itu (maaflah), berapa panjang 'rambut-rambut' kecil dalam kain orang itu juga dia tahu. Bidalan itu bagi menggambarkan dia rapat dan intim dengan manusia berkenaan.

Namun dia tidak peduli dan terus membantunya. Berkat bantuan dan sokongan akhirnya manusia itu berjaya. Kedudukannya terpulih semula. Dia dilihat hebat kerana dalam orang tidak sangka boleh berjaya dapat berbuat demikian. Selepas dia menang maka ramailah kawan-kawan mengerumuninya. Yang dulu pandangnya macam tengok anjing, kini terbelalak mata melihatnya bagaikan seekor gajah hitam yang perkasa dapat memberi wang bergunung.

Kawan yang dulu membantu siang dan malam mulai berjauhan dan dijauhi. Tetapi kawan itu tidak kisah, asalkan dia selamat dia sudah gembira dan bahagia. Umpama kita yang diminta tolak kereta mampus, tidak mengapa kita ditinggal asalkan kereta hidup dan terus berjalan. Biasalah si penolak kereta mogok yang dapat hanya asap dan habuk saja.

Tetapi katanya apa yang beliau sedih bila manusia itu tidak berubah, tidak insaf dan kembali menjadi 'mangak' dan ego seperti dulu. Ini yang dia kesal. Dia merasakan bantuan yang diberikan itu sia-sia saja kerana tidak dapat mengislahkan seorang manusia.

"Tidak mengapa dia tak ingat kat kawan (saya), itu tak penting. Yang penting dia sudah berjaya, tetapi janganlah buat perangai lama yang membawa beliau berada dalam keadaan hina. Kawan (saya) tidak mahau dia hina semula," kata kawan itu bersedih.

Banyak yang kawan itu bercerita dan meluah perasaan, maklumkan sudah tiga tahun tidak berjumpa dengan saya. Tidak elok kalau tulis semua apa yang dihemburkan. Tetapi apa yang hendak diceritakan di sini bagaimana sikap munafik dan oportunis manusia berkenaan makin menjadi-jadi.

Baru-baru ini berlaku kebakaran di bandar di mana manusia itu menjadi wakil rakyat. Biasalah kalau ada orang susah ditolongnya. Jadi menurut kawan itu manusia ini juga nak tunjuk baik membantu mangsa kebakaran berkenaan. Empat orang keluarga Cina terlibat dalam tragedi itu. Satu keluarga diberi RM10,000 seorang.

Rakyat yang tidak tahu, suka dan bangga dengan wakil rakyat berkenaan. Mereka beranggapan wakil rakyat itu menghayati perangai Umar Ibnu Aziz. Sanggup menghabiskan wang sebanyak itu. Para pengangguk dan peminum teanya di kedai kopi dan cafe hotel bukan main lagi, manggak sampai pipi tinggi daripada hidung beranggapan bos mereka itu ada duit banyak dan baik hati.

Kesimpulan mudah mereka, kalau wakil rakyat itu tidak ada wang masakan dia boleh berikan satu keluarga RM10,000.

Cerita sebenar di sebalik wang RM40,000 itu tidak siapa tahu. Tetapi si kawan ini panjang kaki dan banyak 'saing sobat' yang bercerita dengannya. Akhirnya pecah tembelang wang RM40,000 yang manusia itu berikan kepada mangsa kebakaran bukan wangnya dari kocek atau elaunnya RM12,000 hingga RM15,000 sebulan tetapi wang dari sport toto. Wang dari syarikat judi yang taukehnya berada di Kuala Lumpur yang disumpah malam dan siang.

"Kawan tidak belawak (bohong), kawan tahu bila mana Cina MCA yang bagi tahu. Cina MCA itu kini pening kepala kerana sepatutnya wang itu diberi melalui dia tetapi 'disamun' oleh manusia itu dan berikan kepada mangsa kebakaran," cerita kawan itu.

Oh! Sebenarnya kejadian itu tidak hairan. Selalu berlaku begitu orang politik suka berak atas pusu. Atau bersikap macam pelanduk nak berak besar bila tengok gajah besar besar. Dia tidak tahu kapastitinya tak setanding namun cuba ditunjukkan juga. Namun kerana cerdik (bukan cerdik tak malu muka), dia sebat dan sapu sahaja untuk dijadikan modal politiknya tak kira wang halal atau haram.

Sebenarnya masih boleh dimaafkan atas kelicitan itu. Orang boleh menerimanya. Namun bagi mereka yang kenal orang ini dan dengar bagaimana dia melalak bencikan wang judi, menafikan tidak ada sher dalam syarikat judi, saman orang itu dan orang ini yang dedah dia ada sher, alih-alih akhirnya ambil wang judi untuk dijadikan modal politik supaya orang tenguk kita baik dan dermawan. Tipu orang kampung bolehlah...

Kawan, sebenarnya saya tidak hairan dengan kejadian itu, ia kecil saja. Masih ada dosa paling besar yang dilakukan orang politik untuk dijadikan modalnya. Kita bercerita kemudian bila sampai masa nanti. Titik. [wm.kl. 10:00 am 09/06/10]