Wednesday, July 21, 2010

Ledakan Maruah

Perpaduan Melayu Umno - Pas Dah Jadi Macam Tahi

SEBENARNYA rasa mual dan loyak mengenai cerita perpaduan Umno dan Pas sudah melonjak ke atas halkum saya. Jika ditahan ia sudah pasti akan menjeluak keluar. Sudah muak benar saya mendengarnya. Mungkin saya seorang yang tidak boleh berbasa-basi lama mengenai sesuatu, mudah muak dan loya. Orang lain di luar sana mungkin gembira mendengar lagu perpaduan ini terus dinyanyikan.

Bukan saya tidak setuju kalau Pas dan Umno duduk sekali, apa lagi bertanding atas satu lambang demi kekukuhan politik orang Melayu, sangat bersetuju. Kalau Umno dan Pas boleh sepakat membahagikan kerusi dalam pilihan raya akan datang lagi bagus. Tetapi apa boleh buat perkiraan dan nafsu orang politik tidak sama dengan nafsu kita. Orang politik mempunyai berbagai perhitungan diluar perkiraan kita dan sanggup melakukan apa saja aksi yang tidak terfikir oleh kita.

Kini pun tengkuk merasa loya. Tetapi apa boleh buat sebagai penulis kena tulis juga, kena ulas juga setidak-tidak ia boleh mengurangkan rasa loya. Banyak orang tidak faham mengenai tabiat penulis sebegini. Iya, kalau benci kenapa ditulis! Mungkin selepas ini saya tidaka akan manulisnya? Mungkin!

Berbagai manusia bercakap mengenai perpaduan Melayu. Biasalah keadaanya. Yang digambarkan, Umno inginkan kepada perpaduan manakala Pas menolaknya. Bermati-matian para pemimpin Pas menyatakan menolak ajakan Umno itu sampai ada yang terputus urat semereh. Iya lah... macam tolak orang menyuakan bangkai babi atau anjing ke dadah. Menjinjkkan.

Umno pula saya kira tolol amat di sini. Tahu Pas tidak mahu kenapa disuakan lagi anak anjing dan anak babi bernama perpaduan itu. Buang saja la ke laut habis cerita. Pas tidak akan merasa berdosa selagi musibah besar terhadap Melayu tidak akan berlaku. Begitu juga dengan Umno tetap akan merasakan parti itulah relevan dan penyelamat Melayu walhal keporak perandaan Melayu hari ini disebabkan Umno.

Saya sudah lontarkan pandangan sebelum ini. Angan-angan untuk menyatukan Melayu tidak akan terjadi kalau tidak diheret sama Anwar Ibrahim. Kalau tak percaya Umno boleh mencubanya. Pas akan ikut saja ke mana Anwar pergi. Pas tidak ada kekuatan sendiri. Semua orang tahu sesetengah pemimpin Pas merasakan kekuatan parti itu terletak ditangan Anwar. Sekali lagi diulang, tak percaya cubalah.

Tetapi Umno tidak akan berbuat begitu. Baru sekejap tadi Najib Razak menolak siniskal orang ramai mengatakan orang Melayu sudah meluat kepada Umno. Maaflah saya tidak selera untuk mengulas isu perpaduan Melayu lagi. Kepada saya, ia sudah menjadi najis, malahan lebih busuk daripada itu. Bercakap mengenai perpaduan Melayu dalam konteks Umno dan Pas menghabiskan masa saja.

Saya yakin Melayu boleh berpadu bila bangsa ini ditimpa mala petaka besar, semisalnya perang dan seumpama dengannya. Cuma perpaduan pada masa itu sudah terlewat. Kata-kata yang didakwa sebagai menjadi azimat Hang Tuah; takkan Melayu hilang di dunia akan terjadi sebaliknya. Melayu akan hilang di dunia.

Alasan saya mudah saja. Bangsa Melayu tidak memiliki benua seperti China, Inggeris atau Arab. Bangsa Melayu hanya mempunyai tanah sekangkang kera, tetapi memilik nasfsu sebesar bumi Afrika. Itulah bangsa Melayu, bangsa kita. [wm.kl. 8:30 pm 21/07/10]

Tuesday, July 20, 2010

Susupan Malam

Kesian Adibah Terima Kasih Rosmah!

SEBAGAI sekaum (profesyen - penulis) saya merasa bangga dan ingin mengucap terima kasih kepada Badan Amal Dan KebajikanTenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) yang menghulurkan bantuan kewangan sebanyak RM50,000 kepada tokoh persuratan bahasa negara, Adibah Amin (foto) yang kini menderita diserang angin ahmar sejak tiga bulan lalu.

Saya tidak pernah berjumpa dengan Adibah dan mengenalinya menerusi penulisan-penulisannya saja. Saya mula membaca novalnya berjudul "Seroja Masih di Kolam" sekitar tahun 70-an. Kalau tidak silap ingatan saya novel itu mencerita kehidupan remaja di alam kampus. Seronok dan menghiburkan.

Kenapa membolehkan saya membaca noval itu kerana membantu seorang sahabat saya yang tidak mempunyai penglihatan (buta), bernama Mat Darus Sulaiman atau nama penanya M Hayat.

Sekembali dari sekolah saya akan ke rumah Mat Darus untuk membaca novel berkenaan. Sesuatu yang mengkagumkan saya, Mat Darus tidak pernah bersekolah - disekolahkan oleh orang tuanya, al maklumlah orang kampung yang serba serbi kurang mengenai maklumat dan kesesaran melihat orang catat sebagai liabiliti yang menyusahkan dan bukan sebagai aset. Saya yakin kalau kawan saya ini diberi kesempatan beliau akan muncul menjadi orang buta berjaya seperti Almarhum, Prof Ismail Salleh.

M Hayat tidak pedulikan itu. Namun minatnya dalam dunia sastera dan penulis sangat tinggi dan berkobar. Dia tidak merasakan kecacatan sebagai penghalang. Ketika itu ada dua orang penulis di kampung saya, Mat Jusoh Mat Taib (M Jusof Taib) dan Ismail Mustafa (Norhisham Mustafa). Kedua mererka terkenal sebagai penulis skrip radio. Malahan skrip mereka disiarkan saling seli dengan skrip Adibah Amin.

Mengenai hasil kegigihan M Hayat tadi beliau akhirnya muncul menjadi penulis skrip drama radio yang tidak asing di Pantai Timur dan turut sama disiarkan oleh Rangkaian Nasional.

Apa yang saya nak cerita di sini ialah mengenai bantuan pihak tertentu kepada kaum penulis. Adibah yang gah, tokoh bahasa, penulis novel, cerpen, sajak dan drama radio, wartawan yang unggul sebagai seorang tokoh tidak sepatutnya mengalami kesusahan kewangan sehingga terpaksa dibantu. Tetapi itulah hakikat dunia penulisan di negara ini. Rata-rata relatif daif dan sangsara.

Musykil di kepala saya, apakah penulis di negara ini tidak boleh hidup dan di akhir kegemilangannya terpaksa menumpang kasih dan belah kasihan pihak lain? Sudah sampai masanya kalau pihak kerajaan memikirkan bagaimana untuk membantu penulis meneruskan kehidupan. Begitu juga persatuan penulis harus memikirkan masa depan - hari tua kaum mereka.

Saya tidak pernah dengan Gapena - Gabungan Penulis Nasional yang kini diketuai oleh Ismail Hussein sudah mencecah separuh abad, turut sama memainkan peranan membantu para penulis yang sangsara dan daif? Kalau Gapena belum berbuat demikian elok memulakan sekarang. Gapena boleh menggunakan kuasa dan kedudukan Ketua Satunya yang mesra kerajaan itu bagi mencari dana untuk tabung bantuan kepada kaum penulis yang sangsara.

Adibah Amin bernasib baik sebab dia penulis dan tokoh terkenal. Dia istimewa. Keperempuannya menimbulkan keinsafan Bakti. Kesangsaraanya telah digunakan oleh Bakti untuk menonjolkan keprihatinan isteri perdana menteri di mana kesan itu akan memberi keuntungan kepada Najib Razak. Tidak mengapa, yang penting ada orang lain mendapat laba dari percaturan itu.

Berbeza dengan seorang penulis, aruah Abdul Halim Mahmood. Rona-rona kehidupannya di hujung usia sungguh menyedihkan. Beliau menghadapi kesempitan untuk hidup bagi mengubati penyakit strok yang dihadapinya. Merata beliau mencari duit dan ada masanya menangih dengan kawan-kawan. Saya sendiri sempat membantunya membawa berubat di Melaka. Paling menyedihkan beliau terpaksa menjual maruahnya menerusi sebuah karya demi untuk hidup.

Kes Halim adalah kes terpencil yang menjadi simbol kepada dunia penulis negara ini. Banyak kes-kes melibatkan kesangsaraan penulis kerana ketiadaan wang dan mana-mana badan yang turun membantu. Adalah diharap, Bakti tidak akan memberi bantuan secara bertompok dan ikut sama menghulurkan bakti mereka kepada mana-mana penulis yang sangsara. Biarlah.... apa orang politik hendak tunding kepada Bakti yang penting penulis akan mendapat sedikit nikmat dari sejuta nikmat yang melimpah dalam Bakti.

Terima kasih Rosmah semoga keprihatinan dan eksploitasi keadaan sebegitu demi kepentingan politik suaminya juga akan turut diambil oleh pihak pembangkang. Parti politik seharus berlumba-lumba untuk membantu rakyat dan bukannya berlumba-lumba untuk mempergunakan dan memperalatkan rakyat demi kepentingan mereka. [wm.kl. 8:00 pm 21/07/10]

Laporan Dari Lebnon

Persidangan Gerakan Islam Dunia
Persidangan Hizbut Tahrir Dikawal Ketat

SEPERTI mana yang telah saya notiskan, blog saya tidak diupdatekan beberapa hari lalu. Malam Sabtu, 15 Julai lalu saya berangkat menuju ke Lebnon, Bairut. Saya telah memberi isyarat dalam Fb saya takut peminat blog ini tertunggu-tunggu ke mana saya pergi.

Mereka yang mengikuti perkembangan Fb saya, tahu ke mana saya. Entahlah, saya rasa bersalah kalau meninggalkan blog atau Fb tanpa apa-apa posting terbaru.

Bagaimana pun walaupun sudah dinotiskan, masih ada juga rakan tertanya-tanya ke mana saya menghilang diri. Mereka ini ialah yang masih belum cekap atau belum ada akaun Fb atau yang belum menjadi ahli Fb saya. Kebetulan pula saya tidak membuat apa-apa posting selama berada di luar negara, keadaan ini benar-benar menjadikan penjenguk blog ini tertanya-tanya. Banyak SMS dan email yang saya terima bertanyakan hal saya.

Benar Bairut negara moden dan ada kemudahan IT, tetapi 'sistem Arab' dan budaya mereka tahulah sendiri, sukar untuk kita melayaninya. Bagi mereka yang pernah berurusan dengan bangsa Arab ataupun mungkin tidak merasa pelik kalau suasana ini berlaku. Kebanyakan di negara Arab banyak kerenah birokrasinya. Saya telah cuba untuk membuat beberapa posting tidak berapa menggalakkan!

Saya ke Bairut, Lebnon kerana menghadiri persidangan Media Massa Antarabangsa Hizbut Tahrir mengenai masalah krisis umah dan masalah Umat Islam di seluruh dunia yang berlangsung pada Ahad, 18 Julai. Menerusi persidangan itu gerakan Islam berkenaan cuba memberi pandangan berhubung masalah itu dan mengemukakan cadangan penyelesaian sejagat dengan pendekatannya tersendiri.

Gerakan ini sebenarnya baru buat saya dan mungkin juga setengah rakyat negara ini yang lain. Saya sendiri baru mengenalinya secara mendalam selepas menerima jemputan berkenaan. Jemputan itu membolehkan saya membuat sedikit kajian latar belakannya serta matlamat dan peranannya terhadap perkembangan dunia Islam hari ini.

Hizbut Tahrir merupa sebuah gerakan Islam, parti politik yang liberal dan cuba mengembali sistem pemerintahan Islam secara khalifah. Secara mudahnya parti ini tidak menerima konsep demokrasi pilihan raya seperti mana diamalkan di kebanyakan buah negara. Ianya diasaskan pada tahun 1953 di Al Quds (Baitul Muqadis) oleh seorang ulama bernama Syeikh Taqiyuddin An-Nabhani seorang ulama Mesiryang pernah menjadi Hakim Mahkamah Syriah, Palestin.

Setengah orang meragui akan kewujudannya sebagai sebuah gerakan Islam ekstrem tetapi ternyata tuduhan itu meleset apabila ia bergerak bebas secara terbuka dan mempunyai carta organisasinya tersendiri. Sehingga kini ia telah mewujudkan cawangannya di lebih 40 buah negara.

Bersempena persidangan itu juga ia menyambut hari penubuhan Hizbut Tahrir.

Sebenarnya bukan saya seorang yang diundang oleh wakil Hizbut Tharir Malaysia, tetapi beberapa media dan juga beberapa individu politik termasuk pembangkang dan kerajaan. Khabarnya bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad juga turut sama diundang tetapi malangnya tidak dapat hadir. Begitu juga dengan individu politik lain dan media massa mainstrain ikut sama dijemput tetapi tidak ikut sama. Jadi yang ke sana hanya saya bersama dua wakil dari Bernama TV; seorang wartawan dan seorang jurugambar.

Menghadiri persidangan sebuah gerakan Islam sedunia di sebuah negara yang bersempadanan dengan Israel sesuatu yang agak menarik dan memberi pengalaman baru khasnya buat saya. Apa lagi persidangan itu dihadiri oleh lebih 40 buah negara yang mempunyai cawanagn Hizbut Tahrir. Antaranya, Mesir, Libya, Sudan, Algeria, Turki, United Kingdom, Perancis, Jerman, Austria, Belanda, Lebnon, Syaria, Palestin, Jordan, Amerika Syarikat, Russia, Uzbekistan, Tajikistan, Kurgyzstan, Pakistan, Indonesia, Malaysia, Australia dan lain-lain.

Betapa tidak sepanjang persidangan itu berlangsung hotel tempat berlangsungnya persidangan itu dikawal rapi oleh pasukan tentera dan polis yang lengkap bersejanta.

Setiap orang yang akan memasuki ke hotel berkenaan diperiksa rapi dan harus melalui pintu pengibas khusus.

Melihat keadaan itu sudah menggerunkan. Namun pemandangan seumpama itu ianya perkara biasa saja di negara berkenaan dan mana-mana negara bergolak atau dalam situasi perang. Menurut jurucakapa Hisbut Tahrir, Lebnon, mulanya kerajaan Lebnon cuba menghalang persidangan berkenaan. Tiga hari sebelum berlangusung telah timbul sedikit masalah. Kerajaan Lebnon cuba untuk membatalkannya.

Tetapi hasil penerangan dan penjelasan akan tujuan persidangan itu serta dengan adanya campur tangan Menteri Dalam Negeri, Lebnon akhirnya ia dibenarkan.

Dalam pada itu tegahan terus dikenakan ke atas beberapa orang perwakilan dari beberapa buah negara. Antaranya Palestin, Indonesia, Afghanistan, Pakistan dan lain-lain. Walaupun wakil dari beberapa buah negara tidak dapat hadir namun dengan adanya kemudahan IT mereka mengirimkan mesej menerusi internet secara live.

Pada persidangan itu empat buah kertaskerja utama telah dibentangkan; (1) Permasalahan Kaum Muslim di negeri-negeri Arab (Palestin, Iraq, Sudan - "Pemisahan Selatan", (2) Permasalahan Kaum Muslim Di Selatan Asia (Afghanistan, Pakistan - Khasmir), (3) Permasalahan Kaum Muslim Di Asia Tenggara (Indonesia dan Gerakan-Gerakan Pemisah) dan, (4) Permasalahan Kaum Muslim Di Barat dan Tengah Asia (Turki - Cyprus, Kaukas, Turkistan Timur). [wm.kl 5:00 pm 20/07/10].

Sebaik Bumi Dipijak

Mokhtar Petah Dimasukan Ke Wad CCU Hospital Putrajaya


PENULIS veteran sdr Mohktar Petah masukkan ke wad CCU hospital Putrajaya. Beliau dimasukan sejak Jumaat lalu (hari saya berlepas meninggalkan negara) dipercayai serangan jantung. Menurut salah seorang anaknya Aidi Mokhtar yang dihubungi sebaik saya tiba di KLIA jam 10:00 pagi tadi, ayahnya sudah sedar tetapi denyutan jantungnya masih lemah.

Menurutnya doktor masih membuat pemeriksaan lanjut untuk mengetahui masalah ayahnya itu. Sementara itu isterinya, dalam SMS kepada saya memaklumkan yang Mokhtar tidak sedarkan diri dan meminta kawan dan sesiapa juga kenalan kepada penulis berkenaan agar berdoa untuk kesejahtraan Mokhtar Petah.

InsyaAllah selepas reda kepenatan saya akan menjenguk beliau. Saya ke Lebnon selama lima dalam rangka kerja di sana. Wassalam. [wm.kl.11:40 am 20/07/10]

Thursday, July 15, 2010

Perhatian

Assamualaikum khas untuk penjenguk setia blog ini. Dimaklumkan tiada posting terbaru dalam tempoh beberapa hari ini. InsyaAllah kalau ada kemudahan dan 'kerajinan' akan posting dari kejauhan. Wassalam. - MSO.

Susupan Pagi

Isu Pasir Selangor dan Akhbar Parti
Pendekatan Lembut Yang Berkesan


KEDUA-DUA langkah yang diambil oleh kerajaan Selangor dan Pakatan Rakyat mengenai masalah pencurian pasir dan pemberhentian penerbitan akhbar suara ketiga-tiga parti Pakatan Rakyat, Suara Keadilan, Harakah dan Roket adalah bijak dan satu penyelesiaan yang baik.

Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim dengan rendah hati memohon bantuan Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin untuk menangkap pencuri pasir yang berleluasa di Selangor. Dipercayai Khalid terbuka pintu puadnya untuk berbuat demikian ekoran kenyataan dan kritikan sinis Muhyiddin berhubung masalah pencurian pasir di Selangor.

Muhyiddin menyindir Khalid dan Anwar Ibrahim dengan mengatakan berleluasanya pencurian pasir di Selangor menunjukkan kelemahan kedua mereka itu dan membuktikan Kahlid dan Anwar tidak layak menjadi pemimpin. "Kalau urus pasir pun tak boleh macam mana nak urus negeri," begitulah kira-kita sinis Muhyiddin.

Tindakan Khalid itu juga dikira tepat untuk memerangkap daya kepimpinan Muhyiddin. Ia juga menguji sejauh mana keikhlasan Muhyiddin untuk menghapus penjenayah pasir. Seperti mana kata Khalid sekiranya Muhyiddin tidak menangkap pencuri pasir Timbalan Perdana Menteri itu dianggap bersubahat dengan penjenayah pasir.

Khalid juga tururt sama menghantar surat kepada Menteri Dalam Negeri (KDN), Hishamuddin Hussein, Ketua Polis Negara, Musa Hassan, Ketua Polis Selangor, Khalid Bakar dan juga Peguam Negara Abdul Ghani Petail yang menjelaskan masalah itu dan memohon bantuan mereka.

Langkah diambil merupakan pengembalian paku buah keras kepada Muhyiddin dan mereka yang mempersoalkan kegagalan kerajaan Selangor dalam mengatasi masalah pencurian pasir. Tindakan Khalid itu betul kerana masalah jenayah bukan saja tanggungjawab seorang individu atau kerajaan tetapi semua orang yang bermukim di Malaysia ini.

Khalid juga turut memberi ganjaran kepada orang ramai yang dapat menangkap penjenayah pasir. Jadi kepada mereka yang tidak ada kerja dan untuk menambahkan pendapatan bolehlah berpakat menangkap penjenayah pasir dan menuntut ganjaran dengan kerajaan Selangor.

Apa yang menariknya Khalid akan turut mengeluarkan nama-nama mereka yang diberi lesen mengaut pasir di zaman pemerintah Barisan Nasional. Dengan penyenaraian itu nanti dunia akan mengetahui siapakah mereka di sebaliknya. Apakah tuduhan bekas MB Selangor, Khir Toyo mengatakan pemberian lesen menerusi konsortium Kumpulan Semesta Sdn Bhd (anak syarikat kerajaan Selangor) dilakukan kepada kroni benar atau tidak. Apakah pemberian secara individu di zaman BN memerintah dulu bukan kepada kroni? Bukankan 'kalong-kalong' pasir di Selangor ada kaitan dengan Umno?

Semua pihak kelak akan dapat membuat penilaian sendiri berhubung perkara ini. Kita mengalu-alukan agar Khalid cepat mengeluarkan nama-nama berkenaan. Dengan keluarnya nama-nama itu nanti akan diketahui siapa yang menjadi penyangak sebenarnya dan mengaut keuntungan menerusi 'komiditi' itu selama ini.

Dalam pada itu Khalid menjelaskan dengan kaedah pengurusan 'komoditi' itu di Selangor pada masa ini ia telah memberi keuntungan kepada Selangor. Hasil pasir tahun 2007 sebanyak RM2.9 juga meningkat ke RM6.3 juta tahun 2008.

Jumlah itu terus meningkat sebanyak RM5.4 juta tahun 2009 dan sebanyak RM10.3 juta setakat Jun tahun ini. Dengan perangkaan itu jelas kaedah atau sistem penghasilan pasir di Selangor yang dilakukan Khalid berjaya menambahkan kewangan negeri. Hanya mereka yang jahil matemetik saja akan beranggapan sistem yang dilakukan Khalid itu rugi.

Perkara kedua yang menarik perhatian ialah keputusan Pakatan Rakyat menghenti penerbitan akhbar lidah parti. Konsensus yang diambil Pakatan semalam adalah tepat. Menurut Anwar Ibrahim Pakatan bersetuju untuk mematuhi arahan KDN agar akhabr, Suara Keadilan, Roket dan Harakah tidak diterbitkan sehingga permitan diluluskan.

Dalam pada itu Pakatan akan berjumpa dengan KDN untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung dengan syarat-syarat dan proses penyambungan permit yang sedikit mengelirukan. Cara dan langkah diambil itu adalah lebih kepada kompromi dan tidak keras seperti mana yang cuba dilakukan oleh sesetengah individu di dalam parti Pakatan yang lebih untuk menunjukkan ego dan keras kepala.

Dengan langkah terbaru itu juga menyebabkan KDN akan merasakan mereka dihormati dan sudah tentu tidak ada sebab kenapa permit penerbitan ketiga-tiga akhbar lidah parti itu tidak akan disambung sekiranya semua syarat dan peraturan sedia dipatuhi oleh pihak berkenaan. [wm.kl. 9:45 am 15/07/10]

Wednesday, July 14, 2010

Celoteh Murai 73

Salentia Disuruh Jadi Jurulatih Beruk

MURAI ada baca dalam akhbar pagi ini ada seorang wakil rakyat mengemukakan cadangan bagi mengatasi keganasan binatang liar seperti beruk daripada memakan tanam dan menganggu ketenteraman manusia, agar ianya dilatih menjadi pemain bola sepak. Aduh... hebat idea wakil rakyat ini. Mungkin orang lain tidak berfikir sepertinya. Inilah genius Melayu perkasa.

Katanya beruk ini binatang boleh dijinak dan cerdik. Mungkin dia tahu sebab di kampungnya banyak beruk yang digunakan untuk panjat pokok. Dia sendiri juga semasa kecil dulu Murai diberitahu suka here
t (bawa) beruk keliling kampung. Diletak atas handle basikal. Sebab itu di kampungnya juga dia dikenali dengan nama ******* beruk.

Kata wakil rakyat itu lagi pasukan beruk itu sekumpulan dinamakan beruk Selangor dan satu lagi beruk Kelantan. Ini yang Murai tak sedap ni.... Mulanya sudah elok cadangan itu kerana ia tidak menyentuh perasaan sesiapa. Tetapi bila di masukkan perkataan Selangor dan Kelantan, menyebabkan orang faham ke mana siniskalnya itu. Apa lagi dia juga pernah memberukkan seorang ustaz di Kelantan tidak lama dulu dengan mengatakan 'tok guru kera".

Dan Murai juga terbacalah dalam berita itu, seorang ahli parlimen lain mencadangkan wakil rakyat yang mengemukakan cadangan itu supaya ahli parlimen itu menjadi jurulatihnya. Ar... bak ini Murai tidak setuju. Murai bimbang kalau dia jadi jurulatih, beruk itu akan jadi lain nanti. Bukan saja dia setakat tahu main bola sepak, tetapi bimbang dia akan melompat situ melompat sini, panjat tiang gol... koyak bendera, hingguk itu hindik sini..... haru jadinya.

Al maklumlah perangai wakil rakyat itu begitu, suka melompat dan sinonimas dengan Salentia. Dahlah perangai semula jadi beruk suka melompat dan menghingguk, ditambah dengan budaya lompat yang dimiliki wakil rakyat berkenaan menyebabkan beruk itu jadi semakin beruk, gila melompat dan menghingguk.


Malahan lompatannya mengatasi dan mengalahkan lompatan biasa oleh si beruk di hutan. Dia bukan saja lompat untuk makan pisang, atau buah-buahan, dia boleh lompat ke Yayasan Perdana, bahkah sanggup lompat ke bulan dan terjun turun dengan kepala dulu dan tidak lupa meninggalkan tahi di cekrawala itu.

Kalau perangai ini melekat kepada beruk yang disuruh latih itu, naas jawabnya. Dan apa lagi yang menakut dan membimbangkan Murai, beruk itu bukan saja setakat melompat tinggiiii... tetapi takut juga dia akan mencium punggung orang kerana sejarah jurulatih itu diketahui bersedia mencium punggung seseorang kerana inginkan sesutau benda.

Kesimnpulannya Murai tidak setuju kalau wakil rakyat itu dijadi coach kerana bimbang beruk bukan saja tahu melompat tetapi pandai dan tergian pula nak cium punggung orang.

Murai: Suka jadi penjaga garisan.

Tuesday, July 13, 2010

Menjernihkan Siasah

Umno Perlu Juga Bersetuju Menemui PKR

Timbalan Perdana Menteri (TPM), Muhyiddin Yassin mengatakan Umno sedia untuk bertemu dengan Pas bagi menjalinkan kerjasama dalam usaha memperkukuhkan Islam dan kedudukan orang Melayu di negara ini. Katanya walaupun usaha itu sering kali menemui kegagalan ia tidak pernah mematahkan semangat Umno. Baguslah kalau begitu.

Kenyataan Muhyiddin itu pasti akan menjadi kontroversi dan modal politik bagi ahli politik yang mudah miang mulut bila diajukan perkara itu. Dan kenyataan yang sama akan dikeluarkan oleh media massa sekejap lagi yang mengulas kenyataan Muhyiddin itu. Portal berita yang tidak senang dengan penyatuan Melayu akan melagakan pemimpin Melayu.

Kenyataan berbau kebencian kepada Umno akan terhembur di mana-mana secara kesat dan kasar. Pasti akan ada yang mengulas kenyataan Muhyiddin itu sebagai menggambarkan Umno sudah terdesak.

Muhyiddin akan disindar dan disinis semahunya.

Juga akan ada pemimpin Pas mengulas kenyataan itu serta mengulangi tuntutan Pas agar Umno mengubah perlembagaanya sebelum bekerjasama dengan Pas. Selamanya kenyataan sebegitu akan diprejudiskan oleh Pas. Di Kota Bharu sana akan terkeluar kenyataan yang kliese mengenai perkara itu. Paling lama Jumaat akan datang.

Tidak mengapa Pas berhak untuk berkata demikian berpandukan kepada sejarah dan kepercayaan. Tetapi apa yang saya hendak pertikaikan kenyataan Muhyiddin itu kenapakah Umno hanya bersedia untuk menemui Pas sahaja. Kenapa Umno tidak terbuka fikiran untuk menemui sama dengan PKR? Sesekali cubalah Umno menghulurkan salam persaudara dengan PKR? Dalam PKR rasanya ada orang yang akan menyambut salam Umno sebab ada yang faham erti assalamualaikum?

Saya rasa satu kejutan kalau tiba-tiba Umno menyatakan kesediaan untuk berjumpa dengan PKR dan berbincang dengan Anwar Ibrahim. Perjumpaan tiga buah parti Melayu ini akan membuka era baru dan membawa semangat baru kepada orang Melayu. Ia tentu merujakan banyak pihak.

Kalau Muhyiddin atau Umno ikhlas dan benar untuk menyatukan orang Melayu, Muhyiddin tidak boleh abaikan PKR. Mengajak Abdul Hadi Awang dan Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak boleh meninggalkan Anwar Ibrahim. Hampir separuh dalam PKR adalah orang Melayu. Rasanya lebih mudah mengajak orang PKR bersatu berbanding dengan Pas kerana sebahagian besarnya mereka adalah darah daging Umno.

Pada saya selagi penyatuan dan kerjasama tidak membabitkan PKR harapan untuk melihat Melayu bersatu dan kerjasama sia-sia sahaja. Pas yang kini sudah berikat atas dasar politik (Pakatan) tidak akan bersetuju. Dan sekiranya Umno sedia jumpa sama dengan PKR rakan Pas dan PKR, DAP tidak perlu merasa cemas dan cemburu. Mereka berhak berjumpa atas nama bangsa Melayu. DAP juga perlu menghormati pertemuan itu kerana mereka adalah sebangsa dan seagama!

Seharusnya persepakatan politik untuk mendapatkan kuasa tidak menjadi penghalang untuk mana-mana bangsa dan kaum berjumpa sesama mereka memikir mengenai nasib dan masa depan masing-masing. Begitu juga kalau DAP hendak berjumpa dengan parti-parti lain yang sekaum dengannya Pas dan PKR tidak perlu merasa gusar.

Kalau benar kita sedia menerokai politik baru, pro dan liberal pembahruan ini perlu dikemukakan. Selagi kita saling curigai mencuriagai antara satu sama lain maka selama itulah rintisan kepada politik yang profesional tidak akan bermula di negara ini dan selamanya kita akan bercakaran seperti yang berlaku kini. [wm.kl. 2:00 pm 13/07/10]

Monday, July 12, 2010

Susupan Petang

Maklumat Yang Boleh Memakan Diri Sendiri

ORANG Pas yang tidak suka parti mereka dikritik (walaupun untuk kebaikan) mungkin suka dan bahagia dengan apa yang dijelaskan oleh salah seorang Naib Presidenya yang mengatakan undi teras Melayu kepada Pas tidak berubah bahkan meningkat sedikit.

Tentulah pernyataan itu akan menafikan dakwaan ataupun kebimbangan sesetengah pemerhati yang menduga undi Melayu kepada Pas akan merosot ekoran pendekatan baru Pas muasir ini yang dilihat liberal dan tidak berpegang kepada prinsip atau pendekatan asal. Ini termasuklah memberi tumpuan kepada bukan Melayu dengan mewujudkan Dewan Himpunan Penyokong Pas. Kontrasnya usaha ini tidak ada perancangan atau agenda khusus untuk memacing undi Melayu.

Sesetengah pemerhati merasakan tindakan agresif Pas itu seolah mengalpakan pengundi Melayu dan merupakan satu gerakan mempengaruhi pengundi yang tidak seimbang. Pas mengadakan perancangan khas untuk menambah undi bukan Melayu menerusi Dewan Himpunan Penyokongnya dimana dewan itu telah diikhtrafkan oleh Pas, tetapi belum ada program menjerat pengundi Melayu.

Tetapi di sini saya ingin memperbetulkan tanggapan atau analisa selamba Naib Presiden Pas berkenaan yang didakwa merupakan satu rumusan dalam retreat Pas selama tiga hari lalu di Port Dickcson.

Saya tidak bersetuju dan merasakan penegasan mengenai hal itu tidak tepat dan boleh memakan diri sendiri. Menurut Naib Presiden Pas itu, pada tahun 1995 peratus undi Melayu kepada Pas ialah 38% hingga 40%. Peratus pada tahun 1999 bertambah hingga 55%. Pertambahan ini menggunakan alasan kerana berlaku pemecatan Anwar Ibrahim dari Umno. Penambahan itu pun berlaku bukan kerana ada pembaharuan dan tarikan dari Pas melainkan kerana isu Anwar.

Dalam tahun 2008 katanya sokongan Melayu kepada Pas antara 42% hingga 46%. Berdasarkan fakta itu menurut Naib Presiden bermisai dan berjanggut putih itu, undi teras Melayu tidak berubah.

Saya tidak tahu apakah pandangan Naib Presiden itu bahawa peratus undi teras Melayu yang dikatakan itu statitik, maksudnya ia satu angka yang tidak akan berubah menjelang pilihan raya ke 13 nanti atau bagaimana? Bahkan ada kemungkinan makin melonjak? Begitukah yang beliau fikirkan ataupun penjelasan itu sekadar untuk menafikan tanggapan negatif terhadap Pas yang kurang disenanginya? Kalau beliau berfikiran begitu alangkan dangkalnya.

Pada saya, pencapaian-pencapaian itu, tahun 1995, 1999 dan 2008 tidak boleh dipakai lagi kerana kedudukan dan senarionya berubah. Pas tidak boleh asyik dengan perangkaan untuk menyedapkan hati itu. Pencapaian itu tidak boleh dijangka sekiranya ia tidak mengambil kira perubahan semasa dan isu semasa yang berlaku waktu ini di mana sesetengahnya memberi kesan negatif kepada Pas dalam konteks orang Melayu.

Misalnya tahun 1995 membawa ke tahun 1999 Umno di dalam keadaan bergolak. Masa itu berlaku pertukaran kepimpinan dari Dr Mahathir Mohamad kepada Abdullah Ahmad Badawi. Selepas pertukaran itu Umno menghadapi masa yang amat kritikal ekoran kepimpinan Abdullah.

Sesetengah orang Melayu Umno sendiri yang terpengaruh dengan hasutan dan dengki Mahathir menyerang Abdullah, menerima pandangan Dr Mahathir. Orang Melayu Umno ikut protes Umno dan undi Melayu dari Umno (pengundi) inilah yang lari kepada Pas.

Begitu juga Naib Presiden berkenaan mengatakan peningkatan undi Melayu kepada Pas tahun 1999 ekoran pemecatan Anwar dari Umno. Perlu diambil kira hari ini Anwar bukan lagi dipecat, dan Umno bukan lagi di bawah kepimpinan yang diserang siang dan malam, tetapi sudah bertukar tangan kepada Najib. Dan kes liwat yang dihadapkan kepada Anwar hari ini bukan yang pertama tetapi yang kedua, di mana persepsinya berhubung kes ini mungkin berbeza.

Kini suasana itu sudah tidak ada lagi. Malahan peralihan dari Abdullah kepada Najib menyerlahkan kesungguhan dan kerajinan Najib memperbetulkan kesilapan lampau mereka.

Demikian juga kata Naib Presiden itu, undi untuk Pas pada pilihan raya kecil kecil Bukit Gantang, Perak meningkat hingga 45% juga tidak boleh dipakai. Waktu itu Perak dalam keadaan kabur dan belum ada pemulihan dari Umno. Hari ini selepas Umno menguasai Perak setahun 'kepala' Melayu Perak sudah dingin sedikit. Apapun nak dikatakan dan nak dilebelkan mengenai pengambilan alih kerajaan Perak ia memberi untung kepada Umno berbanding Pas. Lainlah tentang pengundi Cina.

Begitu juga sebelum ini tidak ada gerakan untuk menyedarkan (menubakan) orang Melayu agar tidak meninggalkan Umno. Hari ini sudah ada berbagai pertubuhan bukan kerajaan yang siap untuk menjadi perkas kepada Umno. Sedikit sebanyak kemunculan NGO-NGO ini boleh memberi input dan kejutan baru kepada orang Melayu agar kembali semua kepada parti asal mereka. Sebaliknya tidak ada NGO yang vokal untuk membela Pas kecuali NGO menuntut royalti minyak di Kelantan.

Makanya pandangan atau kenyataan Naib Presiden berkenaan tidak boleh diterima sebagai satu lesimpulan konkrit apa lagi untuk diguna pakai sebagai indaktor bagi pilihan raya yang akan datang. Saya cukup bimbang kalau tidak ada program dan agenda khusus untuk memberi keyakinan dan semangat kepada orang Melayu - termasuk generasi muda, bahawa Pas parti yang mempunyai komitmen untuk membela nasib mereka peratus undi yang dibanggakan itu akan menurun. Seharus disamping menerima Islam sebagai ideologi Pas juga harus menerima Melayu sebagai asas perjuangan.

Dalam hal ini pada saya lebih baik Pas berusaha secara senyap untuk menarik undi Melayu daripada bercakap tentang kejayaan masa lepas yang layak untuk dikenangkan saja. Kejayaan yang lepas masih belum tentu apakah ia berulang dan berpihak kepada kita atau sebaliknya. Sesuatu figure yang belum tentu memberi keuntungan sepatutnya tidak didedah sehingga menampakkan kedangkan kita dalam mengatur strategi. [wm.kl. 7:00 pm 12/07/10]

Susupan Tengahari

Saman Ekor: Jejaskan Undi UBN
Sokong Permintaan Hishmuddin Hussein


PERMINTAAN Menteri Dalam Negeri (KDN), Hishamuddin Hussein suapaya Polis dan Jabatan Pengakutan Jalan (JPJ) menimbangkan daripada mengambil tindakan dan kuatkuasakan saman ekor ke atas pemilik kenderaan yang terlibat dialu-alukan. Permintaan Hishamuddin itu satu pembelaan kepada rakyat marhaen yang terbeban dengan tindakan berkenaan.

Katanya dia banyak mendengar rintihan rakyat yang tidak berpuas hati dengan saman ekor dan implikasinya apabila tidak menjelaskannya. Apa yang menjadi kesalan orang ramai ialah apabila saman itu tidak diketahui kerana tidak menerima notis. Tindakan sebegini boleh dianggap satu penganiayaan oleh pihak Polis dan JPJ dalam usaha mendisiplin pemandu dan mengurangkan kehilangan jiwa atas jalan raya.

Hishamuddin meminta suapaya tindakan ke atas pemilik kenderaan yang disaman tetapi tidak menerima notis hendaklah dipertimbangan. Bagaimana pun katanya bagi mereka yang menerima notis tidak ada sebab untuk merasa kesal dan enggan membayar saman berkenaan. Memang, kerana mereka boleh membuat perundingan dengan pihak berkuasa berhubung saman berkenaan. Tetapi bagi mereka yang tidak mengetahui mereka disaman tiba-tiba tindakan dikuatkuasakan ke atas mereka satu penganiayaan dan zalim.

Saya sudah luahkan pandangan dalam blog ini mengenai kerenah saman ekor (perangkap laju) sudah tidak relevan dan praktika serta satu penganiayaan secara senyap oleh pihak kerajaan kepada rakyat. Bayaran saman manimum RM300 setiap satu kesalahan juga membebankan. Bayangkan kalau pesalah mempunyai tiga saman bermakna mereka kena menyediakan RM900 untuk membolehkan memperbaharui road tax kereta mereka. Jumlah itu adalah lebih separuh gaji bulan pegawai rendah kerajaan.

Sejak September 2009, 2.5 juta pesalahan tarfik dikenakan saman dan dari jumlah itu sebanyak 1.07 juta pesalah trafik kereta mereka disenaraihitamkan. Mereka harus melunasi jumlah saman sebelum road tax diperbaharui. Jumalah itu bukan sedikit. Lantaran itu ada yang beranggapan penguatkuasaan saman ekor secara tiba-tiba itu kerana kerajaan ketiadaan wang. Jadi jalan mudah untuk kerajaan menambah duit ialah dengan mengikis wang rakyat dengan pelbagai denda dan hukuman atas pelbagai kesalahan.

Adalah wajar kalau saranan Hishamuddin itu diberi perhatian. Menteri dan ahli Parlimen serta badan bukan kerajaan lain juga harus membuat desakan dan menyokong saranan Hishamuddin. Dalam kontkes politik kalau tiada penyelesaian atau pemaafan diberikan kepada persalah trafik ia memberi kesan kepada parti yang memerintah. Apa kata kalau separuh dari jumlah pesalah kenderaan itu marah dengan tindakan itu? Mereka sudah pasti tidak akan mengundi parti memerintan pada pilihan raya akan datang. Tindakan ini tentulah menjejaskan sokongan UBN.

Jadi di samping untuk tidak membebankan rakyat dengan tindakkan saman ekor itu (apa lagi dalam musim ka'at ini) adalah baik kalau kerajaan mempertimbangkan untuk menghapuskan terus saman berkenaan atau memberi potongan hingga 50% kepada mereka yang bersalah.

Pendapat Ketua Trafik Bukit Aman, Abdul Aziz Yusuf mengatakan tindakan saman ekor itu untuk mendisiplinkan pemandu ianya tidak boleh diterima kerana idea itu tidak begitu pratikal dalam konteks sikap pemandu negara ini. Tindakan sebegitu tidak akan memberi apa-apa erti kepada pemandu yang sudah liar dan menunjuk-nunjuk atas jalan raya. Mereka sukar untuk dirubah dengan peraturan berbentu saman dan denda, sebaliknya tindakan sebegitu menyebabkan imej kerajaan akan dipersoal.

Apa lagi saman ekor itu pula dijalankan secara tersembunyi di bawah kolong atau dalam semak di mana seolah-olah polis sengaja mahu main sembunyi-sembunyi dengan pemandu dan senagaja mahu memerangkap mereka. Keadaan menyebabkan mereka tambah mempermainkan saman berkenaan.

Jadi untuk mendisiplin pemandu Polis dan JPJ harus mencari satu pendekataan baru. Mekanisme lain perlu dikaji oleh polis bagaimana hendak mendisiplinkan para pemandu di negara ini. Mungkin dalam melaksanakan saman ini polis dan pegawai JPJ juga perlu didisiplinkan!

Jalan penyelesaian terhadap sesuatu perkara itu sebenarnya luas ia bergantung kepada keupayaan dan keyakinan kita bagaimana mengatasinya. Kalau kita tetap meneruskan keadah yang sudah lapok tidak menyerlahkan perubahan apa juga tindakan itu tidak akan mencapai maksud yang dikehendaki. Sebaliknya ia akan diterjemahkan sebagai satu penganiayaan kepada orang ramai pula. [wm.kl. 2:30 pm 12/07/10]