Sunday, August 1, 2010

Bidasan Ahad

Apa Pemimpin Pas Tidak Boleh Jadi Perdana Menteri!?

[kemaskini] SAYA hendak melihat dari sisi lain sedikit mengenai reaksi daripada sdr Roslan SMS terhadap pandangannya yang dilontarkan oleh Presiden MCA, Chua Soi Lek yang membayangkan sekiranya rakyat memilih Pakatan Rakyat dalam pilihan raya akan datang, Pas (pemimpin) boleh jadi Perdana Menteri.

Roslan agak pismis dan menjadi lemah diri mengenai kata-kata Soi Lek itu. Roslan meminta ahli Pas supaya tidak syok atau termakan dengan kata-kata itu kerana ia berunsur dakyah. Dalam perhatian Roslan, Soi Lek sengaja melemparkan kata-kata itu sebagai dakyah berelemen untuk memecah belahkan Pas dan Pakatan Rakyat.

Roslan berandaian Soi Lek bertujuan untuk menimbulkan huruhara dalam Pakatan Rakyat. Dengan melontarkan pandangan begitu menyebab kaum bukan Islam dalam Pakatan Rakyat akan resah ataupun tidak berpuas hati yang akhirnya menatijahkan Pakatan akan pecah. Itulah apa yang ternampak oleh Roslan dari kata-kata Soi Lek itu. Roslan juga merasakan kata-kata itu jahat dengan mengungkitkan soal akhlak orang yang menuturkan kata-kata itu.

Sebenarnya Sok Lek ada alasan kenapa beliau berkata begitu. Salah satunya kerana organisasi Pas lebih tersusun dan keahliannya lebih ramai berbanding dengan dua parti komponen Pakatan lain, PKR dan DAP. Apa yang diperkatakan Soi Lek itu adalah hakikat muasir ini.

Tetapi kenapa Roslan bersikap negatif terhadap pandangan Soi Lek itu? Sekiranya perasaan Roslan itu benar, tampak Roslan tidak yakin dengan masa depan dan kekuatan partinya sendiri. Atau Roslan faham kekuatan partinya dan sengaja membuat penjelasan itu atas tujuan tertentu? Dan kalau dia mengakui kata-kata Soi Lek itu menujukkan Roslan tidak pandai berniaga menggunakan modal orang lain.

Bagaimana pun saya tidak melihat begitu berhubung kata-kata Soi Lek itu. Pada saya Soi Lek berkata sesuatu yang benar pada mata politiknya. Dia memberi gambaran yang ditafsirkan kepada realiti semasa. Dan selalunya pandangan pemimpin China rasional dan berpijak di bumi nyata. Kalau pun orang Cina bermain politik tetapi ia tidak separah orang Melayu.

Kenapa tidak.. kalau dibandingkan dari segi organisasi, Pas ternyata lebih ke depan dengan PKR dan DAP. Pas lebih tua dan parti terbesar dalam pakatan berkenaan. Pengaruh Pas kini bukan saja menyubur di bumi ada padi dan surau saja, – pantai timur dan sebahagian utara, tetapi sudah merebak ke barat dan selatan. Perkembangan ini perlu disedari dan diakui oleh semua pihak.

Mungkin Soi Lek sendiri dapat melihat pengaruh Pas yang membuak-buak di Johor. Kesungguhan Umno untuk berkerjasama dengan Pas kini adalah kerana Pas itu kuat dan berpengaruh. Umno sebagai parti berlandaskan kepada materialistik tidak akan mahu berkawan dengan orang miskin dan lemah. Sebab itulah Umno tidak tergila-gila kepada PKR.

Tetapi malangnya Pas tidak tahu akan kekuatan dirinya. Pas masih lagi suka bertenggek atau ditenggekkan oleh mana-mana individu untuk kepentingan dirinya. Jenis orang Pas jenis suka menjadi hamba dan dihimpit perasaan infrioriti kompleks yang menebal.

Sebelum ini saya sudah tulis dan jelaskan yang Pas sebuah parti yang tidak yakin kepada kekuatan diri sendiri. Pas tidak bijak bagaimana untuk meletakkan kekuatan dan pengaruhnya untuk menjadi parti memimpin. Malangnya Pas suka menjadi hamba dan suka juga membenarkan dirinya ditenggek oleh orang lain.

Dalam masa sama Pas suka mendokong orang lain. Sikap negatif dan rendah diri begini sepatutnya tidak ada kepada Pas. Konsesnus untuk menerima Anwar Ibrahim sebagai PM bukan mengunci segala langkah Pas. Konsensus itu mungkin baik pada waktu ini tetapi bukan selama-lamanya. Satu segi kalau diperhatikan mereka yang menyokong penuh Anwar sebagai PM dari dalam Pas adalah mereka yang 'serahim' dengan Anwar.

Mungkin buat masa ini Anwar adalah relevan menjadi PM dari Pakatan Rakyat. Namun formula atau pilihan itu bukan selama-lamanya. Di masa depan ia harus melihat kepada kekuatan parti dan kepercayaan rakyat kepada sesebuah parti dan bukannya kepada kehebatan, polariti dan ketokohan seseorang pemimpin saja. Di masa depan Pas tidak boleh lagi memilih calon dari mana-mana parti melainkan perlu memilih dari kalangan mereka. Ini juga bagi memastikan pemimpin itu membawa idealisme dan visi perjuangannya.

Mungkin buat masa ini Pas sedang menghadapi masalah mencari calon PM. Pertembungan dalam Pas masa kini juga saya lihat sebagai persiapan untuk mencari calon PM. Presiden dan Mursyidul Am kini sudah pun terlucut dari musimnya. Abdul Hadi Awang dilihat tidak dapat untuk menongkah arus politik semasa pada masa ini yang semakin kronik dan sofistikated. Manakala Nik Abdul Aziz Nik Mat pula sedang dikejar oleh usianya. Tetapi perubahan atau islah politik yang dibawa oleh mereka berdua adalah benih yang akan membuka ruang kepada masa depan Pas untuk menjadi perdana menteri di masa depan.

Baik Abdul Hadi dan Nik Aziz berjaya menepiskan kekeliruan atau persepsi buruk orang bukan Islam terhadap Pas. Walaupun pembaharuan atau politik baru itu kadang-kadang menyenakkan minda namun pada saya inilah kemuncak kejayaan mereka secara peribadi yang kemudian membawa kepada perubahan besar Pas yang perlu ditantang sebaik mungkin pemimpin pelapis.

Mengenai calon PM dari Pas di masa depan Pas tidak 'kasik'. Pas memiliki tokoh-tokohnya sendiri yang kini dalam proses pembinaan diri (syaksiah), membina idealisme untuk menjadi pemimpin besar di masa depan. Mereka inilah nanti yang akan memimpin Pas. Waktu itu kalau Pas sudah berkembang merekalah calon perdana menterinya.

Sesiapa pun jangan perkecilkan nama-nama seperti, Tuan Ibrahim Tuan Man, Husam Musa, Dr Hassan Mohd Ali atau Nasharuddin Mat Isa, Nizar Jamaluddin, Mohammed Sabu dan beberapa lagi. Mereka kini sedar atau tidak, adalah pemimpin masa depan Pas. Baik dari segi latar belakang pendidikan dan bakat semuanya memiliki kelebihan tersendiri. Mereka juga ada pengaruh dan pengikut tersendiri. Masa yang mereka lalu kini adalah masa untuk berlatih dan menimba sebanyak mungkin pengalaman sebagai persediaan itu. Antara mereka ini akan ditentukan kepada sejauh mana istiqamah mereka dengan Pas serta mampu meneruskan 'tahlul' dan idealisme Pas.

Justeru saya yakin untuk masa selewat-lewatnya tiga atau tujuh tahun lagi salah seorang dari mereka akan mengambil kepimpinan utama Pas. Mereka akan menjadi presiden. Sekiranya Pas dapat mengekalkan keadaan dan momentum hari ini, kepercayaan dan harapan rakyat Malaysia sebagai sebuah parti Islam yang adil, praktikal dan universal dalam konteks Malaysia mereka akan jadi tokoh utama. Sekiranya Pakatan masih ada dan menang waktu itu, maka dari kalangan merekalah yang berhak dipilih jadi Perdana Menteri.

Saya tidak fikir dalam tempoh lima tahun akan datang Anwar masih kekal dengan kehebatan yang ada hari ini dan terus diharap untuk menjadi perdana menteri. Anwar pun sekira beliau jujur beliau sudah harus menurunkan wasiat jawatan perdana menteri itu bukan saja dari kalangan pemimpin PKR, tetapi pemimpin-pemimpin Pas itu juga.

Justeru kepada saya apa yang diucapkan Chua Soi Lek itu adalah yang disuluh dari realiti politik masa kini yang kalau-kalau terbawa ke masa depan. Kalau itu berlaku maka apa yang diungkapkan Soi Lek itu bukan mustahil. [wm.kl.2:00 pm 01/08/10]

Saturday, July 31, 2010

Berita Petang

Zaid Akan Berperang Dengan Tajuddin Rahman di Perak?

ESOK akan berlangsung majlis Himpunan Warga Felcra Peringkat Kebangsaan di Felcra Bandar Seberang Perak, Perak. Ia tetap diadakan biarpun beberapa berita pembatalan program mula disebarkan pihak-pihak tertentu sejak kelmarin. Berita itu untuk mensebotaj himpunan berkenaan.

Sejak malam tadi lagi sudah timbul desas desus kononnya perhimpunan berkenaan dibatalkan. Para peneroka juga telah dilarang termasuk diugut daripada menghadiri program berkenaan. Satu portal berita dipetik mendedahkan peneroka dan orang ramai diugut akan ditangkap kalau menghadiri majlis berkenaan.

Sebelum ini Pengerusi Felcra Tajuddin Rahman yang merasa penas dengan majlis berkenaan telah memberi amaran keras akan menyaman mana-mana pihak yang cuba memfitnah lembaga berkenaan.

Tajuddin merasai majlis itu sebagai satu cabaran besar untuknya dan mencabar statusnya sebagai pengerusi lembaga berkenaan. Tajuddin dikenali seorang Ali Parlimen yang lantang di dewan dan juga seorang yang dilihat sebagai agresif dan samseng. Kakitangan Felcra dan mereka yang rapat dengan Tajuddin kenal akan sikap berang ahli Parlimen Pasir Salak ini. Beliau juga dikatakan pernah bertelagah dengan pemandunya.

Petang tadi, Penyelaras Pakatan Rakyat, Zaid Ibrahim (foto) menelefon memberi tahu saya beliau akan ke Perak esok menghadiri himpunan berkenaan. Sudah pasti kedatangan Zaid itu akan menggeletarkan Tajuddin. Ia juga dilihat akan memulakan perang baru terhadap lembaga tanah berkenaan yang dicetuskan oleh Pakatan Rakyat.

Majlis himpunan berkenaan dianjurkan oleh Persatuan Anak-Anak Peneroka Kebangsaan (Anak) yang dipimpin oleh Mazlan Aliman.

Sementara itu jelas Zaid selepas dia menghadiri majlis berkenaan beliau akan ke ke Lumut dan Ipoh dalam dua program parti berasingan. Beberapa hari lalu beliau ke Sarawak dalam rangka memperkuatkan kedudukan PKR di negeri berkenaan.

Mengulas mengenai ancaman Pengerusi Felcra, Tajuddin Abdul Rahman akan menyaman kalau ada pihak memfitnah Felcra, Zaid berkata Tajuddin tidak perlu takut. Katanya yang menggelarkan Tajuddin Rahman sebagai panglima tidak perlu bimbang dengan himpunan berkenaan. Rakyat hanya ingin mendapat penjelasan berhubung isu-isu berkaitan tanah rancangan berkenaan dan Tajuddin selaku pengerusi sepatutnya ikut sama.

"Negara ini mengamalkan sistem demokrasi sesiapa saja boleh bercakap dan rakyat berhak mengetahuinya penjelasan", kata Zaid.

Himpunan berkenaan dilihat sebagai permulaan pihak pembangkang untuk membongkar skandal dalam Felcra selepas mereka mendedahkan Felda yang dikatakan berada di ambang bankrup sebelum ini. Pendedahan itu benar-benar mengoncangkan Felda sehingga beberapa tindakan drastik diambil ke atas pembangkang termasuk mengharamkan akhbar lidah rasmi PKR, Suara Keadilan kerana mendedahkan perkara berkenaan. [wm.kl 8:00 pm 31/07/10]

Rencana Petikan Siasah

Perpecahan Melayu Kerana Tiada Agenda Bersama (Bhg 2 dan Akhir)
Oleh Mohd Sayuti Omar

ATAS pendirian bahawa penyatuan Melayu bukan saja menerusi Umno tetapi juga melalui badan atau wadah lain. Jadi kenapa kita harus merasa gerun dengan kebimbangan Umno itu?

Kebimbangan Umno tidak semestinya menjadi lagu kewalangan semua orang. Lainlah kalau sudah termutlak
bahawa survival Melayu ini hanya terletak di tangan Umno. Soalnya apakah ada pernyataan atau ‘dikri’ alam menyebut begitu?

Perlu disedari menyatu dan memperkasakan Melayu bukan tanggungjawab Umno semata-mata. Bahkan ia tanggungjawab semua teremasuk PAS, PKR, badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan setiap individu Melayu. Bahkan Umno sudah tidak relevan lagi untuk membela Melayu disebabkan perubahan dan evolusi serta dosa-dosa yang mereka lakukan kepada bangsa sendiri sejak berkuasa dulu, memerlukan ia patah balik ke pangkal.

Adalah satu mitos dan bidaah kalau mengatakan Melayu ini hanya boleh disatukan dengan Umno. Di Indonesia, selatan Thailand, Filipina atau mana-mana pelusuk dunia yang Melayu wujud, mereka boleh juga bersatu dan mempertahankan identiti mereka meskipun di situ tidak ada pertubuhan berlandaskan kaumiyah seperti Umno. Ini menunjukkan penyatuan mereka berlaku atas prinsip ataupun landasan lain seperti
budaya, agama dan lain-lain faktor termasuk geografi.

Sejarah negara kita sudah membuktikan kepada kita politik tidak boleh menyatukan ummah Melayu. Kehendak, naluri, cita-cita besar manusia politik yang menganuti berbagai fahaman (isme) duniawi tidak
memungkinkannya. Walaupun kaum lain boleh bersatu dalam politik, tetapi bukan kepada bangsa Melayu. Sebaliknya bangsa Melayu menjadikan politik sebagai instrument untuk mereka saling tidak menyokong antara satu sama lain dan taksub dengan kuasa keakuan.

Sikap mendakwa parti aku terbaik, parti kamu tidak baik telah merenggang dan meruntuhkan institusi ketamdunan seperti yang disenandungkan dalam lagu dan gurindam klasik. Dalam kata lain politik sekular yang dilimbahi kebendaan dan kuasa tidak mungkin akan dapat menyatukan Melayu selama-lamanya.

Mungkin ada yang mempersoalkan bukankah Melayu di negara ini menganut satu akidah sama, Islam? Apakah Islam tidak boleh mempersatukan sedangkan agama itu adalah unsur dan alat persaudaraan? Benar, tetapi
kerana agama tidak dihayati dengan roh dan hanya mengambil jasadnya saja maka agama dalam negara ini tidak boleh mempersatukan Melayu.

Sebabnya tidak ada persatuan akidah di antara dua puak ini.

Secara ringaskanaya kenapa politik tidak boleh menjadi wadah persautuan umah Melayu di negara ini kerana faktor berikut;

1. Perjuangan Melayu tidak ada agenda sebaliknya masing-masing mengutamakan agenda politik parti yang tidak berteraskan akidah (agama).

2. Perasaan keakuan (parti) terlalu tinggi diiringi dengan rasa dendam, cemburu serta irihati yang senantiasa membuak. Ia ada kaitan dengan kegagalan dalam mendidik nafsu menjadi baik disebabkan kegagalan sistem terbiah dalam parti.

3. Setiap pemain politik kita sudah dipengaruhi dan senantiasa dirangsang oleh faham Barat – faham humanisme dan materialisme. Kesan paling teruk ialah apabila faham-faham liberalisme, globalisasi dan
sebagainya menjadi anutan dan pujaan mereka.

Apakah agenda yang sepatut ditanam dalam parti dan perjuangan? Memperkasakan bangsa dan mertabatkan agama disamping memantapkan rupadiri bangsa dengan menjaga adat, budaya dan tradisi selagi ia
terlurus atas syariah agama. Tampaknya roh ini tidak ada dalam perjuangan politik orang Melayu.

Selain itu orang politik senantiasa ditakluki oleh kepercayaan dan dambaan nafsunya. Mereka bersultan kepada nafsu sebab itu pendekatan secara kerohanian tidak menjadi pilihan. Semua masalah diselesai
dengan kebendaan dan doa-doa, ikhtiar dan pengharapan kepada kuasa Yang Maha Esa dipandang remeh.

Kesimpulannya Melayu akan bersatu dan padu kalau sepakat meletakkan agenda dalam perjuangan. Kelemahan Melayu hari ini ialah kerana mereka tidak ada agenda atau matlamat jelas dalam perjuangan dan lebih bersifat pragmatif kerana mengejar kedudukan, kuasa dan harta benda. Sedar atau tidak bahawa tidak ada kebersamaan agenda dalam perjuangan politik Melayu selama ini. [wm.kl 11:30 am 31/07/10]

Friday, July 30, 2010

Analisa Isu

Dua Lagi Bekas Menteri Perlu Dihadap Ke Mahkamah?

KATA Muhyiddin Yassin pendakwaan bekas Presiden MCA yang juga bekas Menteri Pengangkutan, Ling Liong Sik, 67 menandakan perundangan negara ini telus dan saksama. Pendakwaan itu menunjukkan undang-undang negara ini tidak memilih bulu. Semalam Liong Sik bekas menteri era Mahathir Mohamad itu dihadap ke mahkamah atas tuduhan kerana menipu kerajaan berhubung skandal PKFZ.

Semasa menjadi menteri, beliau didakwa menipu kerajaan berhubung pembelian tanah di Pulau Indah.

Liong Sik didakwa memperdaya Kabinet supaya bersetuju dengan terma yang dipersetujui antara syarikat Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDBS) dan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) berhubung pembelian tanah yang dengan curang menyembunyikan fakta mengenai penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta Kemteri Kewangan ke atas tanah berkenaan.

Semalam Liong Sik hadir ke mahkamah sekeyen untuk menghadapi pertuduhan berkenaan.

Baguslah. Rakyat suka melihat peristiwa itu. Jarang para kaloi atau jerung negara ini dapat ditangkap dan dihadapkan ke mahakmah. Rakyat suka kalau melihat vvip berada di kandang orang salah dan bukan saja penjenayah seluar dalam ataupun ragut. Tetapi apakah dengan tindakan itu ia boleh diterima perundangan dan mahkamah kita telus dan saksama?

Mungkin rakyat yang sudah lupa beberapa perisitwa sebelum ini akan menelannya macam menelan biji selasih dalam air batu campur. Tetapi bagi mereka yang kuat ingtan dan mengetahui luar dan dalam kerajaan sukar untuk menerima kata-kata Muhyiddin itu.

Perbicaraan ke atas Anwar Ibrahim mengenai tuduhan liwat yang sedang berlaku sekarang di mana banyak soal-soal teknik dilihat meragukan. Apakah itu juga ketelusan dan kesaksamaan seperti dikatakan Muhyiddin. Keteluasan dalam perundangan negara ini tidak akan absah kalau hanya kerana pendakwaan Liong Sik sebaliknya tidak dilihat licin dan telus dalam perbicaraan lain termasuk kes berprofile tinggi seperti ke Anwar itu.

Orang ramai perlu ingat mengenai terdapat lebih 10 kes berprofile tinggi seperti mana diumumkan Rais Yatim semasa beliau jadi Menteri Undang-Undang dulu samapai kini belum diketahui nasibnya. Setengah siasatan sudah selesai tetapi masih belum ada pendakwaan. Apakah kerana ia ada kaitan dengan kedudukan kerajaan kini maka kes itu 'diguakan' begitu saja?

Pada saya perundangan negara tidak mudah untuk dianggap telus dan saksama berdasarkan pendakwaan ke atas Liong Sik itu tetapi kalau tidak sama mendakwa dua lagi bekas menteri yang dikatakan sudah disiasat kerana terlibat dengan rasuah. Perkara ini pernah diumum sendiri oleh bekas PM, Mahathir Mohamad mengenai jenayah yang mereka lakukan. Selamanya rakyat tidak akan melupai akan pengabaian disengajakan untuk mendakwa dua bekas menteri berkenaan.

Bahkan kertas siasatan atau arahan mengenai pendakwaan bekas menteri berkenaan sudahpun dibuat oleh Peguam Negara (AG). Tetapi kerana atas permintaan Mahathir sendiri maka pendakwaan tidak dibuat. Seorang terlibat meluluskan tander (saham) untuk anak menantunya dan seorang lagi berhubung projek PPRT bernilai puluhan juta ringgit.

Demi mengabsahkan pandangan Muhyiddin itu elok kalau dua bekas menteri berkenaan diheret ke mahkamah.

Selain itu seorang menteri dikatakan juga terlibat dengan rasuah. Harus menteri ini juga dibawah ke mahakamah. Sekiranya kertas siasatan sudah ditutup, ia boleh dibuka kembali. Ketelusan dan kesaksamaan perundangan negara ini boleh diikhtiraf sekiranya ia turut melibat mendakwa para kaloi dan jerung ini, khasnya dua bekas menteri berkenaan dan seorang menteri itu.

Muhyiddin tidak boleh semata-mata menjadikan kes menimpa Liong Sik itu untuk meminta orang ramai mengikhtiraf ketelusan dan kesaksamaan dalam perlaksanaan undang-undang di negara ini kerana setiap dari kita ada mengetahui akan kepincangannya. Krisis kehakiman dan perundangan negara yang yang tercatat dulu adalah sejarah hitam dalam perundangan yang menyerlahkan akan ketidak telusan perundangan kita. Sejarah itu sesungguhnya masih hidup ke hari ini. [wm.kl.9:30 am 31/07/10]

Rencana Petikan Siasah

Perpecahan Melayu Kerana Tiada Agenda Bersama (Bhg Pertama)

KEBIMBANGAN mengenai masa depan orang Melayu dan kuasa politiknya timbul dan sering disebut dan diulang-ulangi dari masa ke semasa.Naluri gerun dan takut ini wujud sejak lama dulu. Setiap kali Melayu memikirkan masa depan, mereka berdepan dengan persoalan ini.

Sejakterkarangnya kata-kata “Takkan hilang Melayu di dunia” orang Melayu yang sedar tiada sesuatu yang kekal di dunia ini sudah bersedia menghadapi musibah itu.

Persoalan ini tidak pernah hilang dari minda orang Melayu. Ia juga wujud secara bermusim pasang dan surut persis air laut. Adakalanya ia mengendur ada kalanya menonjol yang kadang-kadang menjadi serius sehingga setengah orang panik ‘giler’ memikirkannya.

Kebelakangan ini sekali lagi isu ini timbul dan agak rancak diperkatakan. Kali ini ia begitu kerap didendangkan dan berada dalam ruang polemik awam agak panjang.

Semua puak dari berbagai profesyen khasnya aktivis sosial dan politik bercakap mengenai perkara ini - perpecahan Melayu atau soal Melayu tidak bersatu.

Penonjolan isu ini ketara selepas pilihan raya umum ke-12 lalu yangmenyaksikan pertama kali Umno yang menunjangi Barisan Nasional (BN) gagal memperolehi majoriti dua pertiga di Parlimen. Kepercayaan bahawa kekuatan Melayu hanya berada di tangan Umno menyebabkan isu ini menjadi perdebatan dan membimbangkan.

Ghalibnya isu ini akan ditimbulkan bila mana kedudukan Umno terancam dan kritikal. Begitu juga penonjolan kini kerana kegagalan BN dalam pilihan raya lalu. Kehilangan empat buah negeri, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor disamping gagal mengugat Kelantan benar-benar mencemaskanUmno.

Kegagalan itu disimpulkan kerana dua faktor menjadi penghambatnya; undi bukan Melayu lari dari menyokong BN dan undi Melayu tidak menyokong Umno. Manakala banyak sebab musabab yang membawa kepada munculnya situasi itu. Tetapi yang jelasnya perkembangan itu benar-benar merimaskan Umno dan juga segelintir Melayu lain yang meletakkan harapan kepada Umno atau menjadi tukang sapu ekor Umno.

Bertolak dari itu berbagai pihak seakan mula sedar dari tidur lena lantas berusaha dan berfikir mengenai survival bangsa. Berusaha untuk menyatukan Melayu. Riuh bercakap mengenai masa depan Melayu.

Perpecahan yang ketara ialah dari kalangan partisan, penganut dan penggemar politik baik yang berteraskan agama maupun yang berteraskan kepada humanisme dan materialisme.

Bila sebut parti secara automatik ia terujuk kepada dua kumpulan siasah iaitu Umno dan PAS serta sebahagiannya PKR. Sebab dalam ketiga-tiga parti ini kaum Melayu yang mendominasinya. Kumpulan atau serpihan Melayu yang berada di luar orbit politik tidak ketara keretakan mereka atau tidak berpecah langsung.

Begitu juga mereka yang berada di zone lain, kebudayaan, ekonomi, teknokrat dan sebagainya,tidak berpecah. Mereka masih aman bahkan seakan tidak mempedulikan polemik mengenai perpecahan Melayu ini.

Manakala mereka yang cemas dan sedar pula gagal mencari petua dan formula, tangkai dan azimat bagaimana hendak menyatukan Melayu. Sudah lenguh mulut mereka menyeru dan sudah hampir habis ayat-ayat Quran dan Hadith dibaca dan diterjemahkannya.

Umno pula terus menggunakan tektik reverst psikologis untuk menyatukan Melayu dengan menzahirkan kebimbangan dan menimbulkan kegerunan demi kegerunan melampau. Berbagai ‘slogan’ provokasi dicipta untuk menimbulkan rasa gerun dan seruan kebangkitan untuk bersatu – bersatu menyokong mereka!

Antaranya Melayu akan hilang kuasa, menjadi hamba di tanah air sendiri dan kemuncak akhirnya konon Melayu akan hilang kuasa majoriti. Cara sebegini sebenarnya tidak positif sebaliknya memberi kesan jiwa yang negatif.

Sebaliknya kempen dan rasa gerun yang ditimbulkan Umno itu dibantah oleh golongan lain. Hujah itu ditolak dengan anggapan kebimbangan itua dalah satu tektik Umno agar orang Melayu terus mendokong mereka. Ada yang bayangkan Melayu akan menjadi minoriti ditolak dengan hujah akademik dan janji-janji keyakinan yang berkobar-kobar.

Seorang pensyarah universiti menegaskan yang Melayu tetap akan menjadi majoriti berdasarkan kepada populasi kaum Melayu pada setiap tahun. Statistik ini menyakinkan beliau.

Di sini saya bukan nak menafi atau mengiya dakwaan mana-mana pihak yang saling bertentangan dan ghairah mengejar kekuasaan itu. Mengenai kedudukan orang Melayu atau kebimbangan terhadap masa depan kuasa politik orang Melayu ianya subjektif. Satu tanggapan yang simplistik yang tidak bertunjang kepada hakikat.

Kalau kita melihat dari kecenderongan menyokong Umno ia ada kebenarannya. Sebab kemerosotanUmno menjelaskan hakikat itu. Sebaliknya kalau kita berada di sebelah satu lagi atau ditengah-tengah, dakwaan dan kebimbangan Umno itu akan ternafi dengan sendirinya.

Kebimbangan itu bangkit dari ilusi ketakutan Umno kehilangan kuasa. [wm.kl. 6:00 pm 30/07/10]

*Artikel ini disiarkan dalam siasah Bil: 0209 18 - 24 Julai 2010.

Thursday, July 29, 2010

Citera Hari Khamis

Sebuah Benar Mengenai Cikgu
Cikgu Pakai Lencana, Murid Bawa Bendera Di Sekolah

LANGKAH kerajaan membenarkan guru siswazah Gred DG41 hingga DG 48 boleh aktif dalam politik menimbulkan pro dan kontra. Pembangkang kurang senang dengan tindakan itu kerana ia dilihat sebagai strategi untuk mengukuhkan kedudukan UBN khususnya Umno.

Ada logiknya kebimbangan itu kerana sesuatu polisi atau peraturan (kelonggaran) baru tidak akan dibuat kalau ianya tidak memberi keuntungan kepada Umno. Kerajaan senantiasa saja memperkenalkan peraturan baru atau memberi kelonggaran semata-mata untuk membantu UBN. Apakah kelonggaran ini menandakan pilihan raya umum semakin hampir? Manakala kedudukan UBN pula begitu terdesak sekali?

Sebelum ini guru-guru siswazah dibenarkan aktif dan memegang jawatan dalam parti politik. Mulai tahun 1993 satu peraturan baru diperkenalkan di bawah Peraturan 21, Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 - di mana guru siswazah tidak dibenarkan memegang jawatan atau aktif dalam politik kecuali pegawai sokongan saja.

Peraturan itu dibuat untuk kebaikan perkhidmatan awam itu sendiri mungkin setelah mendapati guru-guru yang aktif dalam politik mengabaikan tugas mereka di sekolah. Kesannya merugikan pendidikan dan murid. Kenapa tidak, bila guru sudah terlibat dalam politik masa mereka banyak dihabiskan kepada politik. Atau terpaksa berpawah dengan politik. Malam berceramah siang bermesyurat atau menghadiri program parti. Ada kalanya tidak sempat nak ke sekolah.

Kisah cikgu Shaari dalam filem Masam-Masam Manis yang jadi penyanyi sambilan di kelab malam kita lihat sudah menganggu tugasnya sebagai guru di sekolah. Asyik tidur saja. Kalaulah cikgu aktif dalam politik apa lagi memegang jawatan ketua atau timbalan atau setiausaha, tentu akan tidur lebih teruk daripada cikgu Shaari itu.

Hal ini benar-benar berlaku bukan rekaan. Akhiarnya yang jadi mangsa ialah anak-anak murid di sekolah. Masuk penggal dua setengah daripada sukatan pelajar yang diajarkan oleh guru aktif politik belum khatam lagi. Siapa rugi?

Bukan itu saja, ada juga cikgu yang aktif dalam politik ini menyalah gunakan harta benda sekolah. Misalnya menggunakan peralatan dan kemudahan pejabat untuk aktiviti parti. Saya masih ingat semasa sekolah dua bagaimana dua orang cikgu sekolah saya (keduanya lulusan siswazah, seorang guru besar dan seorang penolong kanan) terlibat dalam politik.

Seorang memegang jawatan setiausaha parti peringkat kawasan dan seorang guru besar menjadi penyokong setia sebuah parti. Dalam sebulan mereka akan menghadiri aktiviti parti dan terpaksa tuang kelas terpaksa meminta cikgu lain mengganti tempatnya. Yang seorang mengajar Bahasa Melayu dan seorang lagi mengajar Ilmu Alam (Geografi).

Cikgu yang menjadi setiausaha itu saya tengok hampir setiap minggu bersama buku cadangan mengajarnya dikilik sama minit mesyuarat partinya atau terselit surat jemputan berlogokan parti. Ada kalanya dia menggunakan stensilan (kertas pendua) pejabat untuk menaip minit mesyuarat bahagian partinya. Begitu juga dengan kemudahan mesin pendua turut digunakan. Kertas untuk dicetak soalan ujian digunakan untuk mencetak minit mesyuarat.

Kerana cikgu besar juga parti sama dengan cikgu itu dia tidak ditegur. Dia sendiri pernah masuk mengajar tanpa memecat lencana parti yang tersemat di dadanya. Ceritanya, suatu hari dia baru pulang dari penamaan calon satu pilihan raya kecil di Kota Bharu. Terlupa nak buang lencana parti politik terus masuk ke kelas saya untuk mengajar. Saya dan murid lain menyedarinya. Tidak ada siapa berani nak menengur guru berkenaan. Saya yang memang membawa bendera sebuah parti politik sebagai sapu tangan, mengelurkan dari poket dan mengelap muka.

Cikgu besar itu ternampak dan menerkam ke arah saya. "Siapa suruh bawa bendera parti ke sekolah. Kecil-kecil dah nak main parti ke?" sergahnya dengan muka merah. Mukanya yang hitam saya nampak merah menyala macam ayam bapak kejar betina. Murid lain tercengeng ketakutan.

"Itu... cikgu pakai apa! Cikgulah yang ajar saya," saya menunjukkan lencana parti yang tersemat di dadaya. Dia memandang ke dadahnya dengan muka marah.

Apa lagi si cikgu besar ini naik angin. "Mari ikut aku ke bilik," dia memerintah saya memasuki ke biliknya. Bilik guru besar. Di dalam bilik dia suruh saya buang bendeara itu dan jangan bawa datang ke sekolah lagi. Saya melawan dengan mengatakan, saya tidak akan buang kalau cikgu juga tidak buang bendera parti di baju cikgu.

Dia membuka lencananya dan letak atas meja. Dan saya juga meletakkan bendera parti yang saya buat sapu tangan atas mejanya. Sambil memberi amaran kepada saya dia berjalan diiringi saya masuk semula ke kelas menyambung pelajaran Geografi yang masanya sudah tersisa lebih separuh.

Ha, itulah sekelumit kisah daripada bahana cikgu yang tergila dan mabukkan politik. Jadi berhubung dengan kebenaran guru aktif dalam politik mulai 1 Ogos nanti seperti diumumkan KSN, Tan Sri Mohd Sidik Hassan (foto) itu, saya bimbang akan ada cikgu yang menjadi seperti dua orang cikug saya itu. Kalau adalah perangai macam itu parahlah anak murid.

Kelonggaran itu bukan saja menyebabkan cikgu terlali dengan tanggungjawabnya sebagai pendidikan, tetapi kelonggaran itu juga akan menimbul masalah lain. Bila cikgu dibenarkan aktif, bukan semua cikgu akan menyokong Umno. Ada yang menyokong pembangkang. Bila cikgu sokong pembangkang maka akan adalah tindakan menukar cikgu ke luar daerah kerana menyokong pembangkang. Ini merugikan murid dan menyusahkan cikgu berkenaan.

Kejadian seumpama ini pernah berlaku di Kelantan pada tahun 60-an,70-an dan 80-an. Di mana cikgu yang menyokong Pas atau pun yang kelihatan menghadiri ceramah Pas ditukar ke Hulu Kelantan, ataupun di luar Kelantan sebagai hukuman.

Saya sangat bimbang kalau kejadian ini berulang apabila cikgu-cikgu dibenarkan aktif dalam parti. Siapa boleh jamin cikgu yang walaupun dihantar menghadiri kursus indoktrinasi agar menyokong Umno di Biro Tata Negara atau semacamnya akan menyokong UBN. Mereka yang sudah mengetahui akan keburukan, penyelewengan dan sifat semulajadi UBN tidak akan sedia menyokongnya. Mereka bersedia dikenakan apa juga tindakan. Hari ini pun tanpa kelonggaran itu sudah ada yang aktif dan memegang jawatan dalam parti.

Jadi kesimpulan kelongran yang diberikan itu tidak menguntung murid sekolah dan bakal menyeksakan kehidupan cikgu yang gian untuk aktif dalam politik. Tersilap aktif mereka akan menerima bahana ditukar ke hulu negeri. Adalah elok kalau kelonggaran itu tidak dibenarkan, biarlah cikgu mengajar muridnya tanpa diganggui dengan elemen-elemen politik. Atau kalau benar mahukan pemimpin berpengalaman, berilmu maka bukalah kelongaran itu kepada semua jangan saja kepada Umno. Saya tegaskan kalau dilihat cara kita berpolitik elok larangan itu dikekalkan. [wm.kl.11:45 am 29/07/10]

Wednesday, July 28, 2010

Susupan Petang

Penubuhan Majlis Media Alternatif Dialu-alukan

SAYA mengalu-alunya tindakan Aktivis Media Independen (Kami) yang diketuai Ahmad Lutfi Othman yang bercadang untuk menubuhkan Majlis Media Alternatif (MMA) untuk dijadikan mekanisme mengawal selia diri sendiri. Saya rasa hasrat seperti sudah lama patut dilakukan dan bukan saja setakat membunting dalam kepala saja.

Selain daripada mendesak kerajaan memasuhkan Akta Mesin Cetak yang dilhat satu mekanisme dipihak kerajaan menganggu kebebasan bersuara di negara ini dalam menyalurkan maklumat yang benar dan telus, baik sangatlah kalau NGO berkenaan melihat ke dalam diri sendiri. Sebab di pihak media alternatif sendiri banyak kecacatan dan kecurangan yang disedari tetapi dibiarkan.

Misalnya ada media alternatif melampau dalam membuat laporan tanpa memikirkan soal-soal atau kepentingan lain yang dikira untuk manfaat bersama. Setengahnya beremotif sangat sehinggakan mengabaikan profession media. Kebanyakan media alternatif juga mahu bersikap seperti media arus perdana yang tidak sedikit pun nampak kebaikan pembangkang.

Keperluan majlis berkenaan juga dirasakan amat perlu memandangkan kini muncul berbagai media termasuk web site dan blog yang menyokong pembangkang secara bebas tetapi tidak terkawal. Banyak berlaku penulisan atau pun laporan yang tidak mempunyai strategi jelas dan kadang kala memakan diri sendiri.

Kerana kurang cermat atau tidak ada pengalaman dalam penulisa berstrategi menyebabkan ada bloger yang melondehkan pekung diri sendiri menyebabkan menimbulkan masalah kepada parti yang disokongnya. Ada kalanya pihak parti terpaksa berpolemik sesama sendiri akibat pendedahan kurang sipan bloger.

Dengan adanya badan bebas mengawal diri sendiri nanti saya rasa selepas ini hal-hal yang tidak sepatutnya berlaku itu akan dapat diatasi. Disebabkan sesetengah penulis atau media pembangkang khususnya penulis blog yang terlampau bebas, tidak dibatasi sebarang undang-undang atau etika adakalanya penulis terhentam rakan sendiri.

Dengan adanya majlis itu juga, ia boleh memberi tunjuk ajar kepada penulis blog yang rata-rata tidak begitu berpengalaman dan mengetahui etika penulisan. Kebanyakan mereka lahir kerana ghairah dengan dunia blog tanpa ada ilmu mengenai penulisan. Ahli atau aktivis Kami yang ramai dan kebanyakan berpengalaman itu boleh menganjurkan bimbingan penulisan dari masa ke semasa.

Apa yang pentingnya juga ia harus mendapat pengiktirafan daripada kerajaan Pakatan Rakyat bagi menyenangkan segala aktiviti yang diatur kelak. Kerajaan Pakatan Rakyat juga sepatutnya tidak membiarkan Kami bersendirian dan bergerak dengan sukarela sepanjang masa. Perasaan timba balik perlu ada di antara kedua pihak.

Hendaknya dengan berjalanya idea itu nanti ia boleh memabantu perwujudan Majlis Media Malaysia (MMC) yang tertangguh sebelum ini. Mungkin MMA nanti boleh mengemukakan cadangan-cadangan konkrit, adil, bebas dan profesional berhubungan penubuhan MMC itu kelak.

Tahniah kepada Kami. [wm.kl.7:15 pm 28/07/10]


Tuesday, July 27, 2010

Susupan Pagi

Contohilah Tuan Ibrahim Tuan Man

PENGERUSI Jawatankuasa Disiplin Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man (foto) semalam dipetik meminta semua pihak menghentikan menimbulkan isu pertemuan Hasan Ali dengan Harussani Zakaria kerana pertemuan itu tidak mendatangkan apa-apa keburukan seperti mana disangka.

Beliau juga meminta tindakan meminta Hassan Ali melepaskan jawatan juga dihentikan segera.

Menurutnya juga Hassan tidak akan akan dipanggil untuk memberi penjelasan apa lagi untuk dikenakan tindakan disipilin.

Naib Presiden Pas itu dilaporkan bersetuju kritikan terhadap Hassan itu sesuatu yang amat teruk kerana ia seolah-olah Pas jumud sehinggakan tidak boleh berjumpa dengan pihak Umno.

Dalam pada itu Tuan Ibrahim mengakui beliau sendiri didatangi pemimpin Pas dan Umno berhubung perpaduan Melayu. Anihnya kenapa tidak ada kritikan dan kegelisahan bila keadaan yang berlaku ke atas Hassan Ali itu menimpa dirinya? Jelasnya Pas tidak menghalang ahlinya untuk berjumpa sesiapa saja untuk kebaikan.

Padangan Tuan Ibrahim itu lebih lunak dan menggambarkan peribadi Pas yang sebenarnya. Seharusnya pemimpin Pas lain terutamanya dua Naib Presiden lain bersikap terbuka dan rasional seperrti Tuan Ibrahim. Sikap takut kepada bayang-bayang kemudian mengeluarkan kenyataan bersikap dendam dan membenci seseorang boleh membunuh diri kedua pemimpin itu sendiri.

Selama ini saya tidak memberi perhatian kepada Tuan Ibrahim dan melihat beliau sebagai orang baik yang jarang bercakap. Kerana itu pemikiran ataupun corak beliau bertindak tidak menyerlahkan kemampuan beliau yang sebenarnya. Tetapi setelah beliau mengemukakan pandangan menampaknya bahawa beliau ternyata lebih mampu dan cemerlang serta memilik idea politik bernas berbanding dari dua Naib Presiden lain.

Tugas dan tanggungjawabnya selaku pengerusi Jawatankuasa Disiplin juga dilaksanakan dengan baik walaupun ada kritikan dari anak buahnya sendiri. Kritikan itu lebih kepada sikap 'assobiyah' di kalangan tertentu yang merasa terhina atas tindakan diambil Tuan Ibrahim dalam menjalankan tugasnya.

Patutlah dalam muktamar dua tahun lalu beliau memperolehi undi tertinggi untuk jawatan Naib Presiden. Pemilihan Tuan Ibrahim ternyata bukan satu kesilapan. Adalah diharap Tuan Ibrahim terus memainkan peranan dan bersikap lunak seperti mana yang diamalkan kini. Dan eloklah juga kalau dua Naib Presiden bersama beberapa pemimpin kecil lain yang jumud dengan siasah Islam mengunjungi Tuan Ibrahim untuk belajar kitab mengenai siasah Islam dan juga ciri-citi ketinggian akhlak seorang muslim. [wm.kl. 11:00 am 27/07/10]

Monday, July 26, 2010

Susupan Petang

Pemimpin Pas Perlu Berjiwa Besar

SEORANG rakan lama yang menjawat ketua sebuah kawasan Pas di Kelantan menelofon saya sekejap tadi bertanya khabar hal Kuala Lumpur. Sengaja dia telefon, bukan sangat tidak tahu perkembangan di Kuala Lumpur, tetapi atas budi untuk mengingati kawan, bertanya khabar kerana lama tidak berhubung. Terima kasih.

Terlanjur bercakap, biasalah orang politik tidak dapat lari dari memperkatakan isu yang riuh 'randah' kini, soal perpaduan Umno – Pas yang saya sudah anggap menjadi tahi.

Beliau juga tidak berminat untuk sentuh isu tetapi hanya memberi reaksi kepada mereka yang ‘lacat’ – ghairah bercakap mengenainya. Beliau merujuk kepada dua orang Naib Presiden Pas yang memberi reaksi berlebihan berhubung isu perjumpaan Hassan Ali dengan Mufti Perak, Harussani Zakaria.

Katanya kenapa pemimpin Pas itu ‘berdoah’ (berlebih-lebih) benar membuat teguran atau bingkas mengenai perkara itu. Sepatutnya mereka diam saja dan tidak memperpanjangkan begitu rupa. Masih banyak isu lain yang boleh diketengahkan dan relevan untuk kebaikan bersama ditimbulkan.

“Padsa ana mereka tidak bijak dan tidak faham politik. Umno sengaja lontar isu itu untuk memerangkap Pas dan menimbulkan perhatian umum. Umno hendakkan orang ramai simpati kepadanya, itu saja.

“Untuk apa kita ulas panjang-panjang, macam perkara itu iya-iya berlaku?” Tanya beliau kesal.

Sambungnya lagi di sinlah tidak bijak orang kita. Ana nampak gopoh sangat dalam memberi reaksi atau tidak pandai memilih isu untuk diperkatakan akhirnya menyusahkan diri sendiri saja. Kalau nak popularkan diri bukan dengan cara memainkan isu itu.

Lalu kata kawan itu membuat anolagi atas apa yang berlaku itu tak ubah seperti anjing pemburu yang suka menyalak tidak tentu fasal sehingga mengelirukan pemburu.

“Ana nampak cara mereka tak ubah seperti anjing pemburu yang akan menyalah apa saja yang lintas di depannya. Orang lontar kayu pun terus disalak. Keadaan ini mengelirukan pemburu..” katanya.

Kalau nak salah pun ujarnya biarlah yang melintas depan kita itu, mangsa besar sikit. Macam pemburu nak buruk rusa atau kijang, janganlah biawak lalupun kata salak. Nampak sangat kita tidak pandai menilai isu atau mangsa. Pada ana isu perjumpaan Harussani dengan Hassan Ali itu macam biawak saja,” tambahnya selamba.

Katanya, akhirnya kerana kita tidak berhati-hati dan tidak berhemah kita jadi letih sendiri. Apa yang kita timbulkan itu menyeronokkan Umno. Sebaliknya ahli kita yang penat dan letih kerana terperangkap dalam isu yang dimainkan oleh pihak Umno disebabkan kurang berhemah di sebalah kita. Kita kena ingat katanya isu perpaduan Melayu Umno - Pas jadi phobia kepada sesetengah ahli.

Mengenai pertemuan Hassan dengan Harussani itu kata ketua bahagian itu ia tidak perlu dibimbangi apa-apa. Pertemuan itu hanya biasa saja dan tidak boleh mengubah keadaan. “Kalau pun Hassan berjumpa bincang masalah Melayu ia tidak akan membawa erti apa-apa kerana Hassan atau sesiapa saja kena bawa ke dalam mesyuarat Pas.

“Jadi untuk apa nak bimbangkan dengan perrtemuan itu, apa lagi ianya berlaku secara tidak formal dan khsusus,” tambahnya. Apa yang berliau tampak mereka yang mempersoalkan pertemuan Hassan itu mereka yang dengki dengan beliau (Hassan) dan tidak yakin kepada parti serta ada agenda peribadi.

Bukankah parti sudah memutuskan dalam beberapa muktamar, bahawa tidak akan ada rundingan, kerjasama dengan Umno. Jadi kalau pun seribu kali Hassan Ali atau sesiapa saja berjumpa, ia tidak akan memberi apa-apa erti. Apa benak sangatkah mereka ni?, tanya beliau.

Begitu juga katanya, nak berbalas tembak dengan Mufti rasanya kurang bijak. Sepatutnya biarlah bloger saja yang serang dan tembak Harussani bukannya pemimpin tertinggi. Kalau bloger serang tak menjadi kesalahan kerana bloger, bukan pemimpin yang akan membuat keputusan ke atas parti.

Dalam pada itu ketua kawasan itu meminta supaya pemimpin Pas berjiwa besar. Jangan sampai nak jumpa pemimpin Umno pun tidak boleh. Kalau kita berjiwa besar kita tidak perlu gerun di mana dan dengan siapa kita berjumpa. Katanya tidak semestinya bila kita berjumpa seseorang kita akan terpengaruh dan mengikutnya. Sebaliknya kalau kita bijak kita boleh mempengaruhi mereka bersama kita.

Anihnya juga ada pemimpin Pas berjumpa dengan pemimpin Umno tidak jadi masalah, tidak hebuh pun tetapi kalau pemimpin lain hebuk. Ini satu double standard?

Beliau juga kenapa prejudis begitu sesetengah ahli Pas sampai nak berjumpa dengan Mufti pun tidak boleh. Kalau kita boleh duduk sekali dengan Padri, masuk gereja ataupun makan dengan Tok Cai, kenapa tidak boleh dengan Mufti,” Tanya beliau menyesali apa yang berlaku.

Saya bersetuju seratus peratus dengan ketua Pas berkenaan. Hanya mereka yang berhemah dan berjiwa besar saja boleh menjadi pemimpin besar yang hati kecil eloklah berhenti atau jangan sokong lagi. [wm.kl.7:00 pm 25/07/10]

Racun Diair Lalu

Orang Pas Selangor Macam Orang Umno Kelantan

PEREBUTAN kuasa berlaku di mana-mana. Ia tidak terkecuali dalam parti mana sekalipun. Perebutan kuasa ini semakin menjadi lagi apabila ada tanda-tanda sesebuah parti itu berpotensi untuk jadi kerajaan. Makin terserlah parti itu kuat, maka terserlah lagilah perebutannya. Inilah sikap semula jadi manusia.

Pagi ini saya nak syarah sedikit mengenai Pas Selangor di mana segelintir pemimpinnya yang tidak habis-habis bergesak sesama sendiri. Dari awal kemenangan Pakatan Rakyat 8 Mac 2008 hingga kini Pas Selangor macam telaga air panas di Selayang bergelagak sepanjang masa. Kenapa ya?

Ada ketika ia reda, tetapi seketika kemudian ia menjadi panas balik. Kenyatan ini jelas apabila sepanjang 2008 hingga 2010, hanya Pas Selangor yang terlibat dengan ahlinya digantung. (Nasib baik tidak dibuang kerana menurut Tuan Ibrahim Tuan Man bukan jenis Pas membuang ahli). Kalaulah Pas jenis parti buang ahli mungkin dua tiga kerat ahli Pas Selangor yang membuat kacau itu dibuang oleh Pas.

Pas di negeri lain-lain nampaknya tenang dan aman. Di Terengganu walaupun Pas negeri berkenaan kalah, tetapi ahlinya tenang saja. Tidak bergaduh sesama sendiri dan tidak ada pula huduh menguduh sesama sendiri. Kalau pun ada yang tidak puas hari antara satu sama lain tetapi rasa tidak puas hati itu disalurkan dengan baik.

Bukan orang tidak tahu sebahagian besar pemimpin Pas Terengganu hari ini tidak disukai oleh ahli dan orang muda Pas. Mustapa Ali, Bakar Chik, Harun Taib, Wan Mutalib Embong malahan Abdul Hadi Awang tidak disenang. Mereka dituduh pembawa sial kepada Pas Terengganu. Namun ahli Pas Terengganu tidak pernah memalukan mereka. Tidak ada yang biadap mengkritik secara terbuka dari Kuala Terengganu.

Begitu juga Pas Kedah, tidak menjadi kalut. Pas Kedah sejiwa menghadapi ulah dan fill Umno. Mereka bersatu di bawah Azizan Razak. Walaupun ada pemimpin Pas Kedah yang mengidam untuk menduduki kerusi Pengerusi Perhubungan Pas Kedah, tetapi orang itu menikus saja. Bukan semua orang Kedah suka kepada Azizan yang perengus, keras dan bangkeng itu, tetapi mereka bersopan santun. Mereka tidak tergamak mengkritik dan menghuduhkan Azizan depan orang ramai atau mengata dalam blog. Orang Kedah lebih beradat dari orang Pas Selangor.

Pas Perak juga tidak sekalut Pas Selangor. Tidak ada pemimpinnya yang kena gantung. Malahan pemimpin Pas Perak boleh diberi tabik kerana walaupun tidak dilantik terus memegang jawatan tetapi tidak 'berona' (tidak membuat masalah). Tenang menerima apa yang berlaku. Nampaknya pemimpin itu insaf dan sedar sejauh manakah kebolehan dan kelemahanya.

Pas Johor, Melaka, Pagang, Perlis ataupun Pualu Pinang tidak ada apa-apa masalah. Semuanya aman damai tidak ada sengketa dan dengki mendengki sesama sendiri. Mungkin kebanyakan mereka tidak profesional dan bukan lulusan luar negeri. Jadi mereka tidak reti untuk bergaduh.

Bahkan Pas Kelantan yang menjadi tekanan dan serangan Umno habis-habisan juga dapat membendung masalah mereka. Di Kelantan Pas bukan tidak ada krisis dalaman ada. Malahan krisisnya lagi teruk. Ada peringkat mengadu domba sesama dendiri. Tetapi mereka dapat kawal perasaan.Tidak ada ahli-ahli Pas di Kelantan yang dikenakan tindakan tatatertib atau digantung. Kalaupun mereka begaduh mereka bergaduh macam laki bini yang cerdik tidak sampai ke luar dan hanya berantan atas katil saja.

Lebih menakjubkan lagi ahli Pas Kelantan boleh berhenti dari bergaduh bila mereka berdepan dengan serangan bertalu-talu oleh Umno. Mereka lupa masalah peribadi dan tumpukan kepada kekuatan parti. Mereka letak golok, keleweng dan parang, sederap berhadapan untuk menangkis Umno.

Tengok isu royalti minyak, walaupun ramai yang tidak senang dengan orang yang mengepalai menggerakan isu itu, tetapi mereka bersatu bersamanya. Memberi sokongan padu kerana isu itu untuk kebaikan rakyat Kelantan. Inilah uniknya rakyat dan Pas Kelantan.

Juga di Kelantan bukan tidak ada pemimpin itu kena buang pemimpin ini kena cantas. Ada. Banyak. Tetapi mereka reda dan menerima keadaan. Mereka tidak cuba memburukkan orang yang mencantas dan membuangnya. Mereka menganggap itu perkara biasa. Dan mereka tawaduk menerimanya. Kalau pun mereka tidak bersetuju mereka hanya diam dan bukan berkokok macam Ibrahim Ali.

Jadi kenapa Pas Selangor tidak oleh meniru atau mengambil teladan yang baik dari Pas Kelantan dan menjadi seperti Pas negeri lain. Saya nampak dendam dalam diri orang Pas Selangor begitu menebal. Pantang ada kesempatan sikit digunakan untuk mengoyangkan yang lain. kadang-kadang isu yang timbul itu tidak relevan pun untuk diambil kesempatan tetapi digunakan. Walaupun isu itu sampah tetapi dikira boleh memburukkan orang lain, tetap dijadikan isu. Lemah sangat akal politik mereka.

Mereka yang bermasalah di Selangor saya pehatikan tidak ramai. Hanya dua tiga kerat sahaja. Kalau dihalusi mereka ini sebenarnya bukan anak jati Selngor pun tetapi orang luar yang mencari makan di Selangor saja. Mereka inilah yang membuat masalah. Sekali lagi saya ulangi orang Kelantan juga ramai menggerakan Pas di Selangor. Tetapi mereka tidak membawa masalah apa-apa. Mereka dapat menghayai budaya Selangor dan budaya Pas. Mereka benar-benar taat dan patuh kepada parti.

Mengenangkan apa yang berlaku dalam Pas Selangor akhir-akhir ini saya teringat kepada Umno di Kelantan. Umno di Kelantan bergaduh dari hari pertama hingga ke kehari ini. Mereka tidak pernah berhenti bergaduh. Seolah-olah bergaduh dan memburuk di antara satu sama lain itu ada kegiatan parti buat mereka. Gara-gara bergaduh itulah mereka hilang kekuatan dan kalah dalam setiap kali pilihan raya.

Saya bimbang kerana pergaduhan Pas Selangor ini menyebabkan enam kerusi yang Allah berikan semasa pilihan raya lalu akan hilang. Baru menang enam kerusi baru rasa-rasa nak boleh jadi MB Pas Selangor sudah bergaduh sesama sendiri. Bayangkan kalau menang 16 kerusi dan Pas jadi MB mungkin pergaduhan berlaku siang dan malam. Ingatlah kepada marfum satu peringatan Allah dalam surah Ibrahim 14:7 yang bermaksud; Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras."

Melihat kepada perbalahan yang tidak henti-henti itu semacam Pas Selangor tidak mensyukuri kemenangan yang kecil itu. Berpandu kepada peringatan itu tidak mustahil Pas akan kehilangan kesemua kerusinya dalam pilihan raya akan datang kalau perbalahan diteruskan. Pas Selangor janganlah jadi Umno di Kelantan, sebaliknya jadilah macam Pas Kelantan yang bergaduh jauh dari musuhnya dan akan berbaik bila musuhnya berdiri di depan. Pilihan raya ke 13 adalah musuh Pas Selangor berdamailah. [wm.kl.2:00 pm 25/07/10]