Friday, December 10, 2010

Gurau Jumaat

Zaid Akan Sambung Perjuangan Cikgu Musa

PARTI Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim) katanya bersedia untuk menyerahkan kepimpinan parti itu kepada Zaid Ibrahim. Presidennya Zakaria Salleh memperakui akan kesediaan itu. Kata Zakaria dia yakin Zaid akan menyertai parti itu. Elok sangatlah kalau Zakaria menyerahkan Akim kepada Zaid.

Sudah tentu dengan wibawa, pengalaman yang ada kepada Zaid beliau boleh memimpin dan membawa Akim lebih maju lagi. Tidak mustahil Akim di bawah pimpinan Zaid yang dikenal sebagai seorang politician yang hebat, berprinsip dan mempunyai wang, beliau dapat mengubah nasib dan masa depan Akim.

Nama Akim itu sendiri bagus; Angkatan Keadilan Insan Malaysia. Ia merangkumi dua nama yang diminati Zaid. Keadilan dan Malaysia. Menerusi parti itu Zaid akan dapat menerapkan idealisme keadilan dan demokrasi mengikut acuannya. Selama ini pun Zaid memperjuangkan Keadilan untuk sejagat, jadi molek benarlah. Kalau Pas agak 'rohok' sikit sebab Pas berlandaskan idealisme Islam di mana ia kurang cocok dengan Zaid. Katakan kalau Pas nak proceed huduh ianya akan bercanggah dengan naluri Zaid.

Pastinya Akim nanti akan menjadi model politik Malaysia yang berwibawa. Ataupun kalau tidak dapat berbuat demikian Zaid boleh gunakan Akim untuk bertanding dalam pilihan raya kelak. Zaid dengan kehebatan dan kesucian politiknya boleh bertanding di mana-mana saja di Malaysia ini dari Perlis hingga ke Sabah.

Beliau juga mempunyai pengikut setia yang ramai. Ini berasaskan kepada percubaanya untuk merampas kuasa dalam PKR. Zaid sudah memperhitungkan segala kekuatan beliau itu. Malangnya perhitungan itu silap. Tetapi dengan adanya parti baru ini Zaid boleh menjenamakan semula dan dimemanfaatkan para pengikutnya itu untuk memperkuasakan Akim dan seterusnya menguasi Malaysia!

Rasanya tidak ada masalah bagi Zaid untuk menguasai Akim. Apa lagi kalau dinilai pemimpin Akim yang ada hari ini tidak begitu menonjol dan sepopulari Zaid. Biarlah tidak dapat untuk menawan PKR, setidak-tidaknya Akim menjadi galang gantinya. Yang penting Zaid dapat juga kelak jadi Presiden. Bukankan itu yang dihajatinya?

Sikit sejarah mengenai Akim ini. Mungkin orang yang menjadi ahli Akim termasuk presidennya sendiri (Zakaria) tidak mengetahui akan sejarah ini. Akim diasas dan ditubuhkan oleh seorang ahli politik dari Kelantan bernama Musa Salleh (gambar). Musa lebih dikenali dengan panggilan Cikgu Musa.

Cikgu Musa seorang politik yang lantang dan berani. Menghabiskan harta bendanya untuk politik dan perjuangan. Saya berkesempatan mengikut ceramah-cderamah politiknya sekitar tahun 1978 hingga 1986. Sebelum tubuh Akim beliau adalah aktivis Pas di Pasir Puteh. Pernah menjadi ketua Pas kawasan Pasir Puteh. Pernah bertanding atas tikit Pas, kalah.

Sebelum menyertai Pas beliau menjadi ahli Parti Rakyat Malaysia (PRM). Semasa Pas bergabung dengan Umno membentuk kerajaan campuran 1972 beliau bersama beberapa tokoh Pas yang menentang kerjasama itu turut sama membentuk pasukan Bebas Bersatu bagi menentang Pas pada pilihan umum 1978.

Cikgu Musa juga dengan beberapa orang aktivis Pas di Bukit Abal cuba menubuhkan parti Imam - Ikatan Muslim Malaysia yang menjadikan al-Quran sebagai simbol. Kalau tidak silap Imam ini perndaftarannya tidak dibenarkan. Disebabkan kegagalan itu maka semua pendokong Imam bertanding atas satu simbol bas yang dinamakan Bebas Bersatu.

Kemenangan Pas tahun 1990 tidak memberi laba politik buatnya. Jasa dan pengorbanannya dalam Pas diketepikan begitu saja. Kerana kecewa atas tindakan pemimpin Pas terutama kumpulan Tiga Abdul (Cikgu Rahim, Abdul Halim dan Fatah) ketika itu menyebabkan beliau berundur dari Pas.

Pengunduran itu membawa beliau berusaha menubuhkan Akim. Saya masih ingat beliau beberapa kali ke rumah saya di Wangsa Maju untuk meminta pandangan dan sekaligus minta menjadi ahli Akim. Ketika itu beliau ada masalah kerana pendaftaran mahukan ahli jawatan kuasa penajanya dari semua negeri di Semenanjung kalau tidak ianya tidak boleh didaftarkan.

Akhirnya ata usaha gigih Allahyarham Akim berjaya ditubuhkan dan beliau menjadi Presidennya. Dalam pilihan raya, 1995 Akim mengambil bahagian dalam pilihan raya dengan meletakkan dua calon Parlimen dan 14 calon di kerusi Dun Kelantan. Cikgu Musa sendiri bertanding di Semerak salah satu Dun dalam parlimen Pasir Puteh.

Semua 16 calon Akim kalah dan hampir semua hilang wang deposit termasuk cikgu Musa. Pemerhati politik melihat penyertaan Akim itu hanya untuk menganggu Pas yang ketika itu bergabung dengan Semangat 46 membentuk Angakatan Perpaduan Ummah.

Ada juga yang membuat telahan penyertaan Akim dalam pilihan raya itu atas tajaan UBN. Manakala cikgu Musa dan beberapa pemimpin Akim yang lain dikatakan telah memperdagangkan Akim untuk mendapat wang panas dalam pilihan raya. Sejauh mana dakwaan ini sukar juga untuk dipastikan.

Cuma sewaktu bertembung dengan Allahyarham di lapangan terbang beberapa hari sebelum hari penamaan calon beliau membisik kepada saya yang dia baru lepas berjumpa dengan Ghafar Baba.

Akim menjadi celaru dan hilang ketua apabila Cikgu Musa meninggal dunia. Untuk beberapa ketika timbalannya Nik Ismail Nik Idris mengambil alih menjadi presiden sebelum diserahkan kepada seorang peniaga ubat-ubat kuat di Kelantan.

Mungkin gambaran ini berguna untuk Zaid memperbaiki parti itu seterusnya meletakkan Akim sebagai parti berwibawa melebihi Pas dan PKR atau DAP dalam pilihan raya akan datang. Tetapi saya yakin Zaid tidak mudah 'mabuk' untuk berbuat demikian. [wm.kl.12:45 pm 09/12/10]

Thursday, December 9, 2010

Catatan Lewat

Sastera Dan Budaya Kita Tercemar

MALAM kelmarin saya bersama 'orang baru' Sabree Shafii, Dr Wan Suhaimi dan dua rakan yang juga penyokong setia Sabree menghadiri majlis himpunan Seniman dan Budayawan dengan Sasterawan Negara di perkarangan Madrasah Tarbiah Kampung Bandar Dalam Gombak. Majlis itu sempena ulang tahun ke 150 tujuh buah kampung tradisi yang kini nasibnya tak ubah nyawa di hujung pedang kerana bakal menjadi korban urbanisasi Kuala Lumpur.

Sempena dengan majlis itu berbagai program diadakan. Sebelah pagi pertandingan melukis, manakala malam bacaan puisi dan nyanyian lagu-lagu puisi. Ulang tahun itu bagi menyemarakan semangat penduduk kampung tradisi berkenaan, agar tidak mudah mengaku kalah dan menyerah diri kepada kerakusan pembangunan Kuala Lumpur.

Manakala penglibatan budayawan dan sasterawan yang bergagung dalam Paksi pimpinan Dinsman adalah untuk membantu menyuntik semangat agar penduduk kampung itu tidak mengaku kalah dan terus mempertahankan kampung tempat terkafanya tembuni mereka. Sebagai memberi kesan langsung sebuah antologi sajak (booklet) diterbitkan yang ditulis oleh 59 orang.

Saya ikut sama menulis puisi apabila penyelanggaranya Pyan Habib, SMS meminta puisi untuk diantologikan. Walaupun saya menolak kerana ketiadaan masa dan puisi ready made disuruh juga saya mendipta puisi spontan. "Buatlah, macam ucapan pun tak apa yang penting bagi semangat kepada kampung itu," begitu tulis Pyan.

Dalam masa setengah hari disiapkan puisi yang berjudul "Kesian orang kampung itu".

Saya merasa bangga atas usaha budayawan yang memberi simpati mendalam kepada penduduk kampung berkenaan. Peranaan mereka besar ertinya. Walaupun mereka hanya boleh melawan dengan kata-kata, tetapi ia cukup diterima kasih oleh penduduk kampung yang kian terhimpit dan terkepit itu. Setidak-tidak budayawan bebas, lebih baik dan prihatin dari budayawan merdeka yang berbayar atau para penyair yang bernaung di bawah Gepena ataupun Pena.

Mereka walaupun juga golongan seni tetapi hanya sanggup menyair di hotel ataupun dibawah pokok yang terus memuji bulan, pantau dan ombak tanpa menyuluh ke dalam nasib marhaen. Mereka itu juga mengajurkan majlis bacaan puisi dan persidangan budaya dalam kamar dingin dengan dibayar. Dalam kata mudah mereka berbudaya dan bersastera secara selamat dan bukan menjadi 'ambiguiti' kepada rakyat.

Kenapa terjadi demikian? Naluri kepenyairan sudah hilang. Penyair selalu menyairkan nasib orang malang, merawat kesediahaan dan bukan mngangkat orang yang hidup mewah dan memuji para antogonis. Biarlah daif para perjuangan Paksi tetapi mereka istiqamah membela rakyat dan menentang kezaliman. Daif tidak daif antologi yang diterbitkan itupun kos cetakkannya masih berhutang. Mereka berjuang dengan keringat bukannya dengan RM.

Melibat wujudnya dua jenis budayawan ini menjadi saya tertanya sendiri. Orang seni selalunya memiliki daya seni dan pengertian yang tinggi dan murni. Tetapi kenapa dalam hal ini ada dua jenis budayawan? Apakah ini dinamakan sasterawan absud? Ataupun penyair al sook?

Alangkah baiknya kalau dua kelompok budayawan dan sasterawan itu bersatu untuk membela rakyat. Mereka kena kembali kepada keasalan penyair dan budayawan itu sendiri yang berjuang tanpa ada kepentingan diri dan mereka suci hati untuk rakyat. Saya rasa tidak wajar kalau mereka terbentuk mengikut ego dan keganasan politik. Tampaknya sudah ada tanda-tanda sastera dan budaya kita ingin diklonkan dengan politik duniawi. Entahlah... sakit punggung! [wm.kl. 8:00 pm 08/12/10]

Wednesday, December 8, 2010

Lintas Langsung Dari Pulau Melaka

Tok Guru Sudah Pulih Dari Demam Urat

KEADAAN Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang 'demam urat' semalam semakin pulih. Baru sekejap tadi Sdr Rushdan Mustapa yang menziarah beliau melaporkan Tok Guru sudah sihat dan sudah boleh mengimani solat Asar sekejap tadi.

Dengan mengenakan baju gumbang berwarna hijau beliau turun ke masjidnya yang terletak berkembar dengan rumahnya.

"Ana baru lepas sembahyang Asar bersama Tok Guru sekejap tadi. Dia kelihatan ceria dan berbual seperti biasa, ini gambar terbaru ana dengan dia, dia kirim salam pada enta," tulis Rushdan dalam SMS yang disertakan gambar beliau bersama Tok Guru.

Gambar ini (sebelah) katanya diambil sewaktu Tok Guru turun dari rumahnya untuk ke masjid. Di sebelah kiri Rushdan ialah Pegawai Akhbarnya, Ahmad Fadzli.

Gambar ini menafikan laporan blog liar sebelum ini mengatakan Menteri Besar Kelantan itu sakit tenat dan terlantar di hospital.

Adalah diharap gambar ini akan menceritakan segala hakikat sebenar dan menimbuskan segala cerita palsu sebelum ini yang sengaja disebarkan untuk menggemparkan suasana. Terima kasih kepada Sdr Yie yang mengirimkan gambar ini. [ttdi kl 5L10 pm 08/12/10]

Pemakluman Pagi

Tok Guru Sihat, Cuma Sakit Urat..

ALHAMDULILAH ternyata Tok Guruku Nik Abdul Aziz Nik Mat masih menjadi pujaan dan disayangi ramai. Sejak tengah malam tadi hingga ke saat ini telefon saya tidak habis berdering untuk bertanya khabar tentang keadaan Tok Guru. Semuanya berpunca dari laporan blog liar mengatakan Tok Guru sakit dan kini terlantar di hospital.

Dalam perjalanan ke pejabat tadi (eik ada opis pulak), bekas orang kuat Umno Kelantan yang baru berhijrah untuk mencari lemah baru, Sabree Shafii telefon dengan nada bimbang bertanya fasal Tok Guru. "Betul ke Tok Guru tenat?" tanya beliau cemas.

"Tenat apa?" tanya saya menawarkan perasaan beliau. Layan tak layan saja sebab sedang pulas stering kereta.

"Kata dia sakit, masuk sepital?" kata dan tanyanya.

"Sapa kata?" tanya saya sedikit tidak terkudis dengan pertanyaan itu.

"Ada dalam blog?" jawab beliau.

"Blog mana?" tanya saya. Saya sudah tahu apa-apa blog yang menyiarkan berita bohong mengatakan Tok Guru masuk hospital.

Beliau menyebut nama blog. "Ohh.. itu blog Umno...dalam blog Merah Tinta ada?" runggut dan tanya saya.

"Tak ada," katanya.

"Jadi kalau Merah Tinta tak ada anggaplah apa yang dikatakan itu sebagai bohong saja." balas saya melegakannya.

Tetapi beliau nampak tidak mudah hendak tenangkan dia minta saya hubungi orang dalam Tok Guru. Dapat saya rasanya Sabree ini mula sudah jatuh kasih kepada Tok Guruku. Baru ini dia ada bertemu Tok Guru meminta Tok Guru mendoakan kesejahtraan hidup beliau dan anak beranaknya. Sabree ini walaupun dulu orang kuat Umno tetapi dia tidak pernah mengeluarkan kata-kata busuk dan buruk kepada Tok Guru.

Pertemuan selepas Subuh itu juga sungguh mesra dan membawa seribu makna buatnya.

Sesampai di opis beberapa lagi call masuk bertanyakan hal yang sama.

Saya menghubungi orang dalam Tok Guru termasuk anak-anaknya. Tiada jawaban, mungkin mereka sedang bersiap sedia untuk mendirikan solat Dhuha. Baru sekejap tadi salah seorang keluarganya menghubungi saya dan meminta agar membuat sikit pengumuman.

"Enta jelas sikit dalam blog, kata Tok Guru sakit tenat tu tak betul," minta anggota famili Tok Guru berkenaan. Beliau lantas menjelaskan; semalam ayah ada mengurut dengan tukang urut baru. Entah guana (macam mana) dia urut kuat ba'kali mungkin kerana tak serasi tangan, ayah sakit urut. Dia jadi tidak boleh bergerak... tetapi Alhamdulilah pagi tadi sudah solat Subuh tetapi tak jadi tok imam."

Oh rupanya Tok Guru sakit urat sahaja bukannya tak sihat seperti mana lapor blog. Mudah-mudahan blog yang merlaporkan Tok Guru sakit tenat dan kini terlantar di hospital itu bukan blog celaka. Dan bila orang tahu yang Tok Guru dilaporkan sakit menyebabkan orang ramai akan menandah tangan memohon kepada Allah minta Tok Guru jadi lagi kuat. Yalim lim ya limmm lim yalim..[ttdi kl. 10:00 am 08/12/10]

Lontaran Rasa

Sejarah Tidak Bererti Kalau Ianya Tidak Dikanunkan

MASA kini ada yang vokal memperjuangkan menggunakan sejarah sebagai asas untuk menuntut sesuatu. Paling ketara ialah dari kalangan Umno dan golongan Melayu tertentu misalnya menjadikan sejarah kesultan Melayu Melaka 600 tahun lalu sebagai asas. Apa-apa dirujukkan kepada sejarah berkenaan. Memang kita tidak boleh menolak sejarah. Sejarah adalah cermin untuk suluh hidup dan menjadi kompas untuk mengarahkan meruntun perjalanan ke masa depan. Sejarah adalah perisitwa yang patut diingat dan dijadikan iktibar.

Dalam mempertahankan hak, kedudukan dan kuasa, sejarah tidak cukup dan tidak ampuh. Kerana sejarah atau peristiwa lampau bukan undang-undang atau akta. Sejarah adalah sebahagian dari bukti atau sandaran bagi mengemaskan percakapan saja. Atau pun boleh dijadikan hujah untuk menyedapkkan percakapan. Tidak lebih dari itu. Yang jelasnya sejarah bukan undang-undang yang boleh dikuatkuasakan ke atas sesiapa dan dalam keadaan bagaimana sekalipun.

Sejarah tidak sebisa undang-undang dan peraturan yang dikanunkan. Sebenarnya undang-undang lalu lintas - langgar lampu merah lebih berkuasa dari sejarah keagungan kerajaan Melaka.

Misalnya sejarah mengatakan pokok pinang itu adalah hak Melayu kerana ia ditanam dan dipupuk oleh orang Melayu. Itu setakat sejarah dan cerita saja. Pokok pinang itu tidak semestinya menjadi hak Melayu selamanya kerana ia tidak ditulis ataupun dikanunkan demikian. Justeru bila tidak ada catatan undang-undang mengatakan demikian maka pemilikan atau sesiapa saja boleh mengatakan pokok pinang itu sebagai hak mereka.

Begitu juga kalau panglima membunuh kolonial kerana mereka datang menjajah ke negara ini dan memilik segala harta, ia bukan boleh dianggap sebagai itu satu hukuman berdasarkan sejarah itu. Kita tidak boleh membunuh sesiapa saja yang datang dan memiliki apa-apa harta negara ini berdasarkan sejarah itu. Ini kerana sejarah itu tidak dikanunkan sebagai undang-undang.

Jadi apabila sejarah tidak merupakan undang-undang tetapi hanya boleh dijadikan iktibar ataupun panduan kepada hakim yang membuat keputusan dalam sesutau kes. Namun ia bukan konkrit. Sesiapa pun tidak boleh menghukum dengan menggunakan sejarah. Sejarah tidak laku dalam mahkamah.

Sejarah hanya boleh dicakap dan dicakap saja tanpa ada autoriti darinya untuk dilakukan apa-apa. Jadi bila setiap kali kita merujuk kepada perbuatan tidak senonoh bukan Melayu ke atas Melayu maka dirujuk kepada sejarah, rujukkan itu tidak memberi apa-apa kesan. Sebaliknya ia akan diketawakan orang kerana kebodohan kita tidak mengkanunkan sejarah.

Sayang kita telah melakukan kesilapan dalam hal ini. Lama kesilapan ini menghayat diri. Kita hanya membaca sejarah tetapi tidak mengambil iktibar apa lagi untuk menggubal sesuatu yang pernah dilalui itu dalam mana-mana undang-undang. (Kanunkan). Maka hari ini bila ada kejadian berulang ianya hanya boleh dilihat saja. Paling-paling dikecam dengan sepanduk dan laungan secara biadap. Sejarah akan tetap menjadi sejarah sampai ke bila-bila.

Justeru, mengenai kebimbangan sesetengah pihak terhadap kuasa Melayu, terhadap gangguan ke atas Melayu, ia tidak boleh diambil tindakan berdasarkan sejarah, melainkan setakat bercakap saja. Makanya kalau orang Melayu yang berkuasa hari ini mempercayai dan merasakan perlu hak Melayu dan kedudukan Melayu terus kekal seperti kini, maka pindalah perlembagaan untuk membolehkan sejarah yang memberi pengajaran kepada bangsa Melayu itu dikanunkan.

Dalam konteks ini apakah Umno yang kini lantang memperjuangkan hak Melayu atau menjadikan Melayu sebagai tuan, berani untuk mencadangkan perlembagaan dipinda? Seperti mana diketahui umum dalam perlembagaan negara tidak dimaktubkan Melayu sebagai tuan. Nah buat cadangan untuk meminda perlembagaan bagi memasukkan perkara itu sebagai undang-undang memagar kepentingan Melayu.

Umnu boleh mencatatkan dalam manifesto pilihan rayanya nanti akan meminda perlembagaan berdasarkan sejarah. Dalam erti kata lain akan mengkanunkan sejarah.

Kalau Umno juga tidak berani untuk membuat cadangan itu, cakap-cakap lantang Umno kini demi menjaga hak Melayu tidak ada guna setengah dinar Kelantan pun. Cakap-cakap itu ternyata tidak lebih dari satu retorik untuk memberi tahu yang Umno mengambil berat tentang Melayu. Dalam kata lain Umno hanya ingin bermuka-muka saja bagi menunjukkan mereka adalah hero dan pembela Melayu.

Umno hanya ini gambaran saja. Kononnya apabila Umno cuba mempertikai dan mengelirukan pemikiran umum yang PKR khsusnya Anwar Ibrahim hendak menghapuskan Melayu perbuatan itu tidak lebih daripada membubuh gula dibibir mulut selepas Umno terketik (tergigit cili api? [wm.kl. 7:50 am 08/12/10]

Tuesday, December 7, 2010

Tahniah

Nik Aziz dan Haron Din Terima Anugerah

Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat dan timbalannya, Dr Haron Din masing-masing dianugerah tokoh Hijrah Rasul dan tokoh Maal Hijrah hari ini.

Nik Aziz menerima anugerah tokoh Hijrah Rasul dari Sultan Kelantan, Sulatan Mohamad Ke V dalam satu majlis di Kota Bharu pagi tadi.

Manakala Harun Din pula menerima Maal Hijrah Selangor yang disampaikan oleh Tengku Panglima Diraja Selangor, Tengku Sulaiman al Haj yang berlangsung malam tadi.

Penerimaan anugerah oleh Mursyidul dan Timbalan Mursyidul itu merupakan sejarah buat Pas. Ia juga secara tidak langsung membuktikan pengikhtiraf pihak menganjurkan anugerah berkenaan terhadap jasa dan bakti kedua tokoh itu terhadap perkembangan Islam di negara ini. Tahniah kepada kedua-duanya. [wm.kl.8:20 pm 07/12/10]

Monday, December 6, 2010

Ulasan Letih

Hijrah Dan Nasib Seorang Politik

ESOK umat Islam akan menyambut kedatangan tahun baru Hijrah 1432. Tidak sampai 5 jam lagi maka akan tibalah tahun baru Hijrah. Biasanya bersempena kedatangan tahun baru Hijri orang Melayu (Islam) akan memasang berbagai niat ingin berubah. Dari jahat menjadi baik, dari baik menjadi bertambah baik dan kuat imannya. Ada juga yang memasang azam untuk tambah isteri.

Sesungguhnya di ambang Hijrah ini umat Islam seharus bergembira untuk memasang niat dan azam baru. Menggunakan detik-detik kedatangannya untuk bermahasabah diri. Bagaimana pun kedatangan Hijrah tahun ini disambut dukacita oleh bekas MB Selangor Mohammad Khir Toyo. Hari ini Khir Toyo terpaksa hadir ke mahkamah kerana didakwa telah melakukan rasuah. Peristiwa hari ini adalah sebadang jadam untuk Khir dan keluarganya.

Khabarnya sebelum digiring ke mahkamah, beliau telah disoal siasat dan ditangkap di pejabatnya. Kesalahannya ialah kesalahan lama kerana dituduh yang berbunyi; mendapatkan untuk dirinya dan isterinya Datin Seri Zaharah Kechik, 45, suatu barang berharga dengan suatu balasan yang beliau ketahui tidak mencukupi iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di alamat No 8 & 10, Jalan suasa 7/1L, Shah Alam, daripada Ditamas Sdn, Bhd melalui pengarah Ditamas, Shamsuddin Hayroni (macam keturunan Jawa juga bunyinya), dengan harga RM3.5 juta sedang harta itu dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.

Dr Khir didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7, Shah Alam, pada 29 Mei 2007.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Panjang merangkap Ketua Pembangkang Dun Selangor itu didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun (sikitnya) atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mungkin ramai yang tidak faham dengan pertuduhan itu, bunyinya berbelit-belit dan macam ayat budak sekolah Tadika baru belajar undang-undang. Apa boleh buat itulah yang ditafsirkan undang-undang berkenaan dari bahasa Inggeris. Mungkin maksud ataupun ayat asalnya lebih terang bersuluh. Apakah undang-undang berbelit-belit bunyinya itu akan menghasilkan keputusan dan hukuman berbelit juga kelak?

Tidak kisahlah sama ada undang-undang berbelit atau pun tidak jelas. Tetapi hari ini Khir Toyo seperti juga Anwar Ibrahim terpaksa kena hadir dan dibawa ke mahkamah. Anwar hadir untuk mendengar perbicaraan kesnya, manakala Khir pula untuk mendengar pertuduhan ke atasnya. Apa yang bakal dilalui Khir selepas ini sudah mangli dilalui Anwar.

Secara mudahnya orang boleh beranggapan tuduhan terhadap Khir Toyo itu kerana beliau 'terlibat dalam rasuah' pemilikan tanah banglow. Itulah pemahaman umum. Bahawa Khir Toyo selepas ini kena hadir ke mahkamah dan melalui perbicaraan terhadap tuduhan itu. Beliau kena jelas tuduhan itu yang pada anggapan orang ramai beliau mendapat tanah itu dengan harga yang jauh lebih murah daripada sepatutnya.

Berita yang melibatkan Khir Toyo itu adalah berita menggemparkan hari ini. Bayangkan kalau pertuduhan dibuat semasa Khir Toyo menjadi MB tentu berita itu akan menjadi berita utama. Nasib baik sedikit Khir sudah tidak menjadi MB lagi. Kalau Khir masih jadi MB maka nasibnya akan jadi sama dengan dua bekas MB Selangor sebelum ini Harun Idris dan Abu Hassan Omar yang terpaksa melepaskan jawatan itu kerana skandal. Seorang kerana dituduh rasuah dan seorang dibabitkan dengan skandal sex.

Kata Khir Toyo ketika mengulas pendakwaan itu, dia semacam merasa bertuah kerana dirinya akan diproses menerusi undang-undang. Katanya selepas ini dirinya akan bersih dan boleh main politik semula. Khir macam yakin bahawa beliau tidak bersalah dan tuduhan itu akan terlepas. Apakah itu sebagai merangsang diri sendiri. Baguslah kalau benar begitu. Kalau Khir masih boleh tersenyum dan dapat tidur lena, bertuahlah Khir. Mungkin kalau tertakdir dia akan dijatuhi hukuman penjara dia juga sudah bersedia.

Anihnya kalau dia merasakan tidak bersalah kenapa dia segera melepaskan jawatan sebagai ketua pembangkang di Dun Selangor? Apakah keputusan itu dibuat atas rasa tanggung jawabnya (responsibiliti) sebagai seorang ahli politik. Bila Khir tiba-tiba mengambil keputusan itu menyebabkan orang ramai akan mula berfikir mungkin Khir merasakan dia akan didapati bersalah, maka dia mengambil keputusan awal-awal lagi.

Baguslah dan hebatlah Khir kalau mengambil tanggungjawab itu. Baru sehari masuk ke mahkamah untuk mendengar pertuduhan sudah letak jawatan. Inilah dikatakan berintegriti. Tetapi peliknya kenapa jawatan ketua pembangkang saja yang diletakkan, kenapa jawatan lain dipegang. Kalau Khir benar-benar dianggap seorang yang berintegriti beliau juga harus melepaskan semua jawatan dalam parti termasuk sebagai Adun Sungai Panjang.

Tunggu apa lagi? Katanya soal itu diserahkan kepada pucuk pimpinan parti. Hendak tunggu apa lagi. Lebih baik Khir mengambil keputusan melepas semua jawatan sebelum diarah. Itu baru dianggap pisik. Selepas tidak menjadi MB Selangor pucuk pimpinan sudah lama tidak pedulikan Khir. Pertukaran Pengerusi Perhubungan Umno Selangor kepada Perdana Menteri menjelaskan Khir sudah tidak dipedulikan. Hari ini Khir hanya dilantik sebagai Pengarah khas Umno Selangor sahaja. Hakikatnya beliau sudah tidak ada apa-apa jawatan dan kuasa di Selangor.

Percayalah kalau Khir melepaskan semua jawatan dan termasuk Adun dia akan dilihat sebagai hebat. Beliau akan dikenal sebagai anak Jawa yang bertanggungjawab dan gentleman. Selamanya orang akan menyebut bahawa Khir bersedia menerima risiko dan akibat atas perbuatannya sendiri. Tetapi kalau Khir Toyo melepaskan jawatan selepas disuruh ataupun selepas mahkamah menjatuhi hukuman bersalah, Khir sudah tidak dianggap bermaruah lagi. Tindakan beliau selepas itu tidak memberi apa-apa wisdom kepadanya lagi. Mungkin dia hanya akan dianggap sebagai anak toyol saja.

Mungkin Khir sakit untuk berbuat demikian. Namun hakikat dan sunah-sunah seorang pejuang Khir harus menelannya. Seorang pejuang akan menangis sendiri bila ditimpa bencana dan akan berketawa beramai-ramai bila mendapat kemenangan. Hari ini Khir boleh bayangkan bagaimana beliau semasa menjadi MB dan kini semasa menjadi OKT di mahkamah. Banyak bezanya.

Dan kalau Khir ingin mengenali rakan dan sahabatnya, hari inilah. Pada hari dia menghadapi pertuduhan dan terpaksa berada di kandang orang salah dalam mahkamah. Mana-mana orang yang datang mengiringi beliau atau hadir dalam perbicaraan itulah sahabatnya. Khir kena ingat baik-baik. Kepada Khir selamat menghadapi perbicaraan di mahkamah semoga diberikan kekuatan oleh Allah. Kalau kita boleh angkat penyapu maka kita juga sedia untuk kena sapu. Dan kepada pemimpin lain juga perlu berwaspada mungkin anda juga akan ada giliran memeritkan itu. [wm.kl. 5:00 pm 06/12/10]

Selepas Subuh

Kenang Tok Kenali, Tok Janggut Dulu
Baru Cheng Ho


SEBUAH berita dari Kota Bharu yang dilaporkan oleh portal parti Pas, Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat cadangkan supaya pihak pemaju menamakan sebatang jalan dalam kawasan bandar baru Tunjung yang sedang dibangunkan kini sebagai nama 'Haji Cheng Ho'. Cadangan itu sebagai kenangan atas jasa-jasa laksamana Cina berkenaan yang berjaya mengadakan hubungan persahabatan, perdagangan dan menyebarkan agama Islam di Nusantara ini termasuk Kelantan.

Tidak salah kalau Kelantan mengenang ataupun menghimbau kembali akan eksepidisi dakwah serta jalinan perdagangan berlandaskan Islam dilakukan Cheng Ho. Kerana itu langkah kerajaan Kelantan mengadakan expo Cheng Ho baru-baru ini disokong dan merupakan satu pandangan jauh kerajaan Kelantan dalam mengembang agama Islam dan sekaligus memberi kesedaran sejarah kepada rakyat Kelantan khasnya dan rakyat Malaysia seluruhnya betapa penting hubungan humaniti untuk mensejahtrankan dunia ini.

Tetapi apabila Tok Guru begitu bermurah hati untuk menamakan sebatang jalan dengan nama Cheng Ho rasanya kurang bersesuaian. Kenapa kita harus begitu murah untuk memacakkan ingatan dan sejarah orang lain di negeri kita? Walhal masih banyak orang berjasa di Kelantan yang tidak dikenang sebagai sepatutnya.

Mungkin Tok Guru atau Pas Kelantan merasa jijik untuk menyebut nama Mohd Asri Muda Muhammad Nasir ataupun Ishak Lotif. Ketiga-tiga nama itu adalah bekas Menteri Besar Kelantan. Asri Muda adalah bekas presiden Pas. Nama-nama lain Amaluddin Darus, Ahmad Yatim yang merupakan orang pertama terlibat dalam penubuhan Pas di Kelantan. Tidak dapat dinafikan jasa dan bakti mereka besar terhadap pengembangan Pas Kelantan. Mereka itu semua laksana Cheng Ho Kelantan.

Sebelum tahun 1990 nama mereka adalah harum dan menjadi sanjungan. Merekalah antara orang yang bergadai bergolak untuk menghidupkan Islam (nasionalis) di Kelantan. Seharusnya jasa mereka dikenang. Kalaupun tidak mahu mengenang jasa mereka selepas mereka membuat onar - keluar parti dan masuk Umno (hanya Asri), tetapi kenanglah jasa mereka sebelum itu. Apakah salah?

Mengenang seseorang berjasa, penting. Mendedahkan pengorbanan mereka juga penting. Biarlah orang muda mengetahui bagaimana perit dan pedihnya jalan dilalui mereka untuk mengolahkan sebuah perjuangan. Mungkin bagi mereka yang dianggap tidak istiqamah dengan parti, tetapi harus diingat mereka ada anak, cucu dan cicitnya. Tentu anak, cucu dan cicit mereka akan merasa bangga kalau keturunan mereka dihargai. Generasi mereka diharap akan bersama Pas.

Tak mengapa kalau Pas tidak mahu mengenangkan mereka untuk menamakan mana-mana lorong atau denai dengan nama mereka. Tetapi Pas masih ada berlambak nama-nama tersohor dan mereka yang telah menggadaikan nyawa dalam memperjuangkan Islam menerusi Pas, yang akhirnya menghembus nafas terakhir dalam Pas. Salah seorang dari mereka yang besar pengorbanan ialah Abdul Samad Gul Ahmad Miaji, ahli parlimen Pasir Mas Hulu (Rantau Panjang). Beliau syahid kerana dikapak oleh musuh.

Nama-nama lain Khidir Khatib, Muhammad Amin Yaacob, Bunyami Yaacob, Wan Jamil dan lain-lain. Apakah jasa dan budi mereka kecil untuk tidak dikenang. Rasanya elok kalau nama mereka diabadikan pada apa-apa monumen sebagai mengenang jasa dan pengorbanan mereka.

Ataupun kalau nama orang politik hanyir untuk diabadikan, masih ada nama lain yang lebih sesuai dan 'paten' untuk diabadi dan disanjungi. Tok Kenali dan Tok Janggut adalah dua nama hebat di Kelantan. Namanya wangi bukan saja di Kelantan tetapi di seluruh Malaysia malahan disebut hingga ke segenap Nusantara.

Tok Kenali selamanya dirujuk kepada bidang agama sebagai guru tasauf terhebat di Kelantan. Manusia yang berjaya melalui mujahadah nafsu dan berjaya mencapai peringkat 'khuwah' sehingga dapat memecahkan wajahnya menjadi tujuh bayangan? Manakala Tok Janggut pula sebagai seorang penentang kolonial di Kelantan. Dia digantung songsang oleh Inggeris dan mayatnya diseret berbatu-batu.

Rasanya jasa dan budi mereka besar kepada pembangunan agama dan politik di Kelantan. Bukan tidak boleh kalau hendak menamakan mana-mana jalan dengan nama Cheng Ho, ataupun kalau ada yang memasang niat untuk mengahwini anak cicit Puteri Hang Lipo sekali pun, tetapi dahulukan anak negeri dulu. Masih ramai janda dan anak dara Kelantan yang belum disunting.

Nama Cheng Ho rasanya boleh diabadikan sebagai kenangan atas 'kedatangan' beliau ke Kelantan baru-baru ini (expo) dengan membina replika armada beliau di Pantai Cahaya Bulan (PCB). Sebuah monumen berupa replika boleh dibina di PCB untuk mengenangkan beliau. Katanya kira-kira 600 tahun lalu armada dagang dan dakwahnya pernah berlabuh di situ. Bahkan Cheng Ho didakwa sampai di Kelantan 93 tahun dulu sebelum bermukim di Melaka.

Rasanya pembinaan replika itu lebih sesuai dan afdal daripada menamakan sebatang jalan di Tunjung itu. Pada masa sama juga replika itu boleh dijadikan daya tarikan pelancong untuk mengujungi pantai berkenaan yang makin malap kerana tidak ada usaha untuk menceriakannya. [wm.kl. 6:50 pm 06/12/10]

Sunday, December 5, 2010

Epilog

Tindakan Polis Tidak Profesional

Setelah meneliti dan melayari beberapa blog dan portal berita baru diketahui ada tindakan sadis polis pada demostrasi protes cadangan menaikkan harga air petang tadi. Ia bukan setakat sembur gas pemedih mata dan sembur water cannon tetapi ada anggota polis yang tendang dan tarik rambut dan sembam muka penunjuk perasaan ke bumi dan sebagainya.

Aksi demikian tidak wajar dan ia menunjukkan kekejaman polis. Polis tidak menggambarkan mesra alam. Sama ada punca kejadian itu kerana provokasi atau lakunan polis sendiri, itu hal lain. Yang nyatanya ada gambar dan foto menunjukkan perbuatan tidak bertamadun itu.

Saya berharap ketua polis negara yang baru ambil perhatian dan jangan membiarkan kejadian ini berterusan. Polis juga tidak sepatutnya berdolak dalih. Kalau mereka tidak berdaya melayan para demostrasi, mereka hendaklah gagalkan awal-awal. Jangan beri kebenaran dan sampai disekerat jalan bertindak.

Tidankan kejam polis berdasarkan gambar yang dirakam termasuk oleh agensi luar negara, tidak mengguntungkan pihak kerajaan. Kekejaman itu membuatkan rakyat akan lebih meluat kepada kerajaan dan merosakan reputasi pasukan polis.

Saya secara peribadi tidak mempedulikan itu. Tidak kira apakah polis bertindak untuk memberi keuntungan kepada Pakatan Rakyat atau BN, tetapi yang penting biarlah ia menggambarkan sebuah pasukan yang profesional dan disanjungi rakyat sepanjang masa.

Rasanya Yang Dipertuan Agong juga wajar melihat kejadian itu atas kapasitinya sebagai payung rakyat. Lainlah kalau penunjuk perasaan itu membuat kacau, melontar batu ke masjid ataupun melakukan pencerobohan. Kalau itu berlaku mereka bukan saja setakat perlu disembam muka ke bumi tetapi tembak pun rasanya wajar.

Kepada penjenguk blog Merah Tinta boleh layar dan selak blog lain dan saksikan apa yang berlaku di perkarangan rumah Allah Negara petang tadi. Ianya sungguh menyesalkan. [wm.kl. 11:00 pm 05/12/10]

Susupan Petang

Kebangkitan Semula Tunjuk Perasaan?

KETIKA kira-kira 2,000 para perwakilan konvensyen BN sedang membincangkan tujuh perkara pokok di Wisma MCA Jalan Ampang, KL lebih 5,000 rakyat marhaen dari berbagai kaum menunjuk perasaan di perkarangan Masjid Negara untuk memprotes cadangan memberi kebenaran kepada syarikat konsensi menaikan harga air di Selangor.

Dua himpunan ini dilihat kontras di antara satu sama lain. Satu melibatkan rakyat yang membela hak dan diri mereka kerana dimanipulasikan oleh pihak tertentu dengan cadangan kenaikan harga air itu, manakala satu lagi berbincang untuk mengekalkan hegemoni politik mereka bagi membolehkan para pedagang dan lintah darat terus menyedut darah mereka.

Kalau mengikut role sebenar seharusnya perhimpunan di masjid negara itu tidak perlu diadakan dan tuntutan rakyat itu sepatutnya diselitkan dalam konvensyen BN. Konvensyen itu seharusnya membangkit dan membincangkan masalah rakyat bawahan termasuk mengenai kenaikan harga air itu.

Sebenarnya banyak masalah rakyat bawahan di bawah tanggungjawab kerajaan BN masih belum selesai. Berbagai isu bertaburan dan menjadi perdebatan di mana-mana saja. Semua isu itu akan menjadi senjata yang bakal memakan diri BN dalam pilihan raya akan datang. Sepatutnya di sampin BN membincang mengenai kedudukan mereka dan mempertahankan Putrajaya mereka juga perlu membincang masalah rakyat.

Misalnya ia wajar kalau ikut sama membincangkan kenaikan harga minyak petrol yang akan berjangkit kepada kenaikan harga barangan lain. Namun tidak terjadi demikian. Sebahagian orang yang menghadiri konvensyen BN itu adalah mereka yang bertanggungjawab menentukan harga barangan. Sebagai pemimpin kerajaan mereka bertanggungjawab menentukan kadar harganya.

Malang tidak berlaku begitu.

Saya tidak jenguk ke tempat konvesnyen itu dan apakah resolusi yang diluluskan. Apakah 13 parti komponen BN sepakat menerima resolusi yang diputuskan. Ataupun ada yang tidak berpuas hati dan perdebatan yang ketika ini dirasakan masih diteruskan.

Tetapi yang jelas dan nyatanya protes kenaikan harga air di masjid negara itu berjaya. Ia memulakan momentum baru kebangkitan rakyat selepas pasca Abdullah Badawi menjadi perdana menteri. Apabila tunjuk perasaan itu dihalang dan disuraikan oleh polis dengan melakukan tangkapan seramai 48 orang, ia dianggap berjaya. Itulah yang diidam-idamkan oleh para demonstran.

Selalunya dalam siri-siri tunjukan perasaan kalau tidak ada demonstran yang kena tangkap atau kena pukul ia tidak dianggap berjaya. Mereka akan bangga kalau mereka ditangkap. Demostrasi tanpa ada polis tidak menarik dan mencabar. Sebab itu kalau ada yang kena pukul gambar mereka dianiaya polis akan diesploitasikan secukupnya dalam internet ataupun portal berita. Penganiyaan dan 'kezaliman terpaksa' itu dijadikan modal politik yang cukup enak.

Dalam ukuran dan sifir rakyat marhaen sesuatu tunjuk perasaan itu juga berjaya apabila kehadiran melebihi 5,000 orang dan dikawal oleh ribuan polis. Ia paling berjaya dan bermakna lagi bila polis melepaskan gas pemedih mata, menyembur water cannon ataupun mengejar penunjuk perasaan dengan cota oleh pasukan berkepala (topi) merah.

Nampaknya semua keadaan itu berlaku pada hari ini. Saya tidak dapat memasuki ke perkarangan Masjid Negara tempat menjadi lokasi utama demostrasi kerana semua jalan menuju ke rumah Allah itu disekat. Empat kawasan lokasi untuk penunjuk perasaan berhimpun, di Kampung Atap, Pasar Seni, perarangan Masjid Negara, Istana Negara dan Masji Jamek di kawal rapi.

Kelihatan polis macam turus pagar bercacangan, mengawal keadaan. Semua jalan menuju ke Masjid Negara dan Istana Negara dikawal ketat macam hendak berdepan dengan lembu matador (bull) terlepas dan gila. Polis FRU dijadikan perisai menghalang kemaraan para penunjuk perasaan untuk bergerak ke Istana Negara. Sementara di udara pula berlegar helekopter polis meninjau apa yang berlaku di bumi. Tidak pula dapat dipastikan apakah helekopter juga turut berlegar di Jalan Ampang?

Ketika saya turun komuter polis sedang mengamuk menyembur watar cannon dan melepaskan gas pemedih mata. Ini menyebabkan penunjuk perasaan bercemperaian lari dan ada yang masuk ke stesen keretapi. Beberapa penujuk perasaan yang membawa anak kecil juga lari melindungi anak mereka di kawasan stesen keretapi.

Saya hanya memerhati dari dalam pagar stesen kereta api kerana tidak dapat untuk mara lebih dekat. Semua pintu pagar keluar menghala ke masjid ditutup rapat. Beberapa warga emas dan perempuan bersama anak juga turut melarikan diri. Kelihatan baju mereka basah kerana disembur water cannon.

Mereka tidak sedih tetapi gembira dan seronok. Sambil berjalan mengilai dan ada yang mencaci polis dan BN.

Seorang anak muda dengan muka merah, mata berair menyapa saya dan meminta air mineral untuk membasuh mukanya. Mungkin dia tidak biasa berdemostrasi.

Dari percakapan dengan sekumpulan anak muda yang 'melarikan' diri saya dapat gambaran tunjuk perasaan itu berjaya. Katanya yang paling mengejutkan ialah ramai orang Cina dan India ikut sama mengambil bahagian. Seorang lelaki Cina mengaku datang dari Perak melaungkan ke arah trak polis dengan kata-kata, kenapa buat jahat kepada kami? Geram betul dia.

Sebelum ini yang mendominasi tunjuk perasaan ialah anak muda Melayu. Selalunya tidak sampai 10 persen orang Cina dan India yang mengambil bahagian. Kalaulah dakwaan anak muda itu benar ia memberi petanda baik bahawa tunjuk perasaan di masa depan ada potensi untuk menjadi lebih hebat. Apakah tunjuk perasaan hari ini sebagai muqadimah kepada beberapa siri tunjuk perasaan lain?

Mungkin berdasarkan suasana dan kejayan hari ini sudah ada terpeta di dalam kepala Mohammad Sabu untuk menganjurkan tunjuk perasaan lebih besar dan lebih tersusun selepas ini. Mat Sabu juga dilaporkan hadir. Katanya ada ura-ura untuk mengadakan tunjuk perasaan Bersih kali kedua. Apakah keadaan akan memberi inspirasi kepada Mat Sabu?

Dan apa yang dapat saya simpulkan dengan tunjuk perasaan hari ini ia memberi petanda bahawa kebangkitan rakyat masih berterusan. Walaupun ada perubahan dan transformasi dilakukan Najib namun ia tidak mampu mendamaikan keadaan. Begitu juga kecaman hebat dan pemanipulasi isu ketuanan Melayu oleh UBN tidak memberi bekas.

Bahawa serangan peribadi ke atas Anwar dan usaha melagakan pemimpin Pakatan Rakyat tidak memberi hasil. Begitu juga pendakwaan kali kedua Anwar atas tuduhan liwat juga tidak mudah mematikan semangat anak-anak muda untuk bangkit mempertahankan hak mereka yang mereka sandarkan kepada Anwar sebagai ikon pejuang rakyat marhaen. Apa yang akan berlaku makin ditekan dan diseksa mereka, mereka akan jadi makin murih dan sedia untuk bangkit dengan lebih bengis lagi.

Dari kejauhan dan ketika berselisih ketika hendak ke komuter saya nampak beberapa muka demostran yang mengambil bahagian dalam siri tunjuk perasaan tahun 1998 - 1999 juga kelihatan dan masih bersemangat. [wm.kl. 5:00 pm 05/12/10]

P/s: Maaflah kerana tidak dapat gambar real (dari dekat), gambar ini pun diambil dengan BB.