Wednesday, June 15, 2011

Sesudah Subuh

Penganalisa Politik Profesor Ipomoea Reptans

MASIH teringat ketika berjumpa dengan bekas Ketua Penerangan Umno Malaysia yang juga tokoh Umno Kelantan Hussein Ahmad beliau ada mencemuhi beberapa orang cerdik pandai yang bergelar profesor yang sering bercakap di kaca tv mengenai politik negara ini. Katanya, semua profesor yang bercakap dalam tv itulah yang memusnahkan pilitik orang Melayu. Menurutnya apa yang mereka cakapkan itu tidak sedikit pun membantu orang Melayu mempertingkat daya intelektual politik orang Melayu tetapi lebih menambahkan kelukaan orang Melayu.

"Baik hentikan saja dari mengundang mereka bercakap. Lagi banyak mereka bercakap lagi rosak orang Melayu." demikian tuturnya denga nada marah. Mengapa beliau berkata begitu kerana mereka bercakap mengikut haluan yang ditetapkan dan bukan memberi pandangan mengikut ilmu atau pun bidang yang mereka pelajari. Mereka dikandangkan oleh ideologi.

Katanya tidak silap kalau saya katakan mereka adalah profesor upahan; "hentikan saja panggil mereka." Ulang beliau dengan jengkil.

Ada kebenaranya kata-kata Hussein yang juga dikenali di zaman kehebatannya sebagai Hussein Serama itu. Kalau diperhatikan kepada profesor atau jurucakap politik yang dipanggil dan minta pandangan semua bercakap bukan untuk membina politik bangsa tetapi bercakap untuk mengukuhkan kedudukan mereka serta meninggikan perut masing-masing. Nampak sangat mereka bercakap menggunakan air liur Umno untuk menggerakan mulut.

Mereka ini juga tidak ada prinsip. Nada cakap mereka ini juga berlainan semasa mereka berkhidmat dengan kerajaan, sewaktu pencen mencari kontrek kerja dan selepas mendapat kontrek kerja di mana-mana institusi atau pun syarikat GLC kerajaan.

Contoh terbaik apa yang berlaku kepada Zainal Kling [foto] seorang yang dianggap sebagai penganalisa politik yang bercakap melalui saluran pipa. Kalau mendengar cakap dan ulasan politiknya hanya menjurus kepada satu pihak. Dia hanya mengkritik parti pembangkang saja dan senyap sendu untuk menegur politik parti pemerintahan.

Saya juga hairan macam mana dia boleh dianggap sebagai penganalisa politik. Sepanjang hidup saya tidak pernah berjumpa dengan beliau di kapangan untuk membuat kajian dan nilaian politik dengan mata kepalanya sendiri. Tidak seperti sesetengah profesor lain yang turun ke lapangan dan melihat sendiri gerak nadi politik. Kalau membuat analisa dari dalam bilik berhawa dingin atau pun di birai rumah-rumah menteri, tidak mencukupi maklumat dan lebih baik jadi pengampu berdaftar sajalah.

Saya pernah mendengar tuturnya pada suatu majlis di rumah Pena di Kuala Lumpur. Ketika itu beliau masih menganggur dan menjadi aktivis Ngo Melayu yang tegar. Bukan main lagi berani mengkritik kerajaan. Dia juga mengsyorkan supaya diadakan dokumen khas untuk ditaburkan kepada rakyat di dalam pilihan raya. Biar rakyat membacanya satu dokumen bebas yang berwibawa! Dokumen itu mengkritik parti pemerintah yang ketika itu dipimpinan oleh Abdullah Badawi.

Naik semangat juga mendengar cadangan beliau itu. Ketika itu menampakkan akan daya keintelektualan beliau sebagai seorang profesor dan akademis yang berdiri atas prinsip kebenaran dan keadilan berlandaskan keilmuan.

Tetapi suasana berubah bila beliau mendapat kontrek berkerja dengan kerajaan kalau tidak salah di UPSI.

Perhatikan kepada cakap dan ulasannya hari ini. Semuanya berbau munafik dan tujuannya lebih untuk mengukuhkan kedudukannya dengan kontrek berkenaan. Saya yakin kalau sesudah habis kontrek nanti nadanya akan jadi lain pula, lebih kritis dan telus. Mungkin sekali lagi dia akan mencadangkan diadakan dokumen khas untuk ditaburkan kepada rakyat.

Selain itu pandangan beliau juga amat naif sekali kalau dibandingkan dengan ilmu dan pengetahuan yang ada dalam tubuhnya. Terbaru dia mengkritik Pas agar menukar nama Islam yang ada kepada parti berkenaan. Semuanya kerana Pas membawa tema baru dalam meraih sokongan rakyat iaitu 'Membangun Negara Berkebajikan.'

Zainal menyifatkan perjuangan Pas tidak Islam lagi kerana telah menukar perjuangan dari Islam kepada sosialis. Saya percaya beliau terpengaruh dengan apa yang diulas dalam akhbar yang menjadi tempat beliau berkokok. Sedih, seorang profesor yang sarat dengan ilmu membiarkan begitu saja lehernya dijerut oleh laporan akhbar yang menjadi lidah parti politik. Adakala ulasan politiknya menghentam pembangkang lebih rendah dari minda ketua cawangan Umno di hulu.

Apakah beliau tidak meluangkan sedikit masa untuk mengkaji apa yang berlaku dalam Pas dengan tema berkenaan? Kalau pun malas untuk membuat kajian sendiri upahlah budak-budak atau mahasiwa di bawah belenggunya untuk membuat kajian apakah Pas sudah berubah hala tujuan perjuangan atau tidak. Kajilah secara akademik dan bukannya dengan emosi kebencian.

Saya merasa malu kalau begitulah pemikiran dan sikap seorang profesor yang mudah dipengaruhi oleh akhbar lembu. Bagaimana para pelajar hendak menghormati dan menyanjungi keilmuannya. Dimana prinsip atau kaedah memahami sesuatu perkara yang dipelajar selama ini. Apakah Zainal tahu atau mendalami akan perlembagaan Pas dan juga struktur yang membentuk parti berkenaan.

Dan apakah Zainal melihat hala tuju sesebuah parti itu kepada cakap-cakap lisan atau pandangan individu pemimpin saja dan tidak dilihat apa yang digariskan dalam perlembagaannya. Apakah beliau jahil untuk mengetahui apa itu perlembagaan dan apakah fungsinya.

Untuk maklumat Zainal Kling yang tidak pergi ke muktamar Pas atau pun bercakap dengan orang Pas, hala tuju perjuangan Pas masih kekal seperti sedia kala. Tidak betul dan tidak benar kalau Pas telah menukar perjuangan dari Islam kepada sosialis persis DAP. Perjuangan Pas berpandu kepada Quran dan hadith jauh beza dengan sosialis DAP. Ulama masih lagi menjadi pemandunya. Tidak timbul kalau Pas menukar hala tuju atau dasar perjuangannya. Pas hidup dan berkembang bukan seperti diri profesor seperti anda.

Majlis Syura Ulama adalah pengawal kepada segala polisi dan dasar yang hendak diperkenal oleh Pas. Apa-apa perubahan yang hendak dilakukan mesti mendapat kelulusan majlis berkenaan. Sepatut sebagai seorang penganalisa politik beliau mengetahui akan hakikat ini. Macam mana seorang profesor boleh bercakap atas angin begitu saja.

Akhirnya saya rasa, lebih baik Zainal tidak bercakap dan mengulas mengenai Pas kalau beliau tidak tahu apa itu Pas. Lagi banyak beliau bercakap lagi jatuh martabatnya sebagai seorang profesor. Saya jamin dia tidak pernah memegang perlembagaan Pas sepanjang hayatnya. Atau kalau dia pegang perlembagaan Pas lagaknya pun tak ubah seperti pegang daun pakau saja.

Jangan Zainal malukan golongan profesor negara ini dengan pandangan dangkal dan lebih ke arah untuk menjaga periuk nasi dan meninggi perut seperti itu. Malaulah kalau seorang intelektual tetapi masih lagi menjadi pengampu kepada satu golongan semata-mata kerana ingin menjaga periuk nasi bukannya menegakkan keadilan dan kebenaran menerusi ilmu yang dipelajarinya. Jangan pula seorang profesor perlu kembali belajar semula dengan anak murid yang jauh ke depan.

Mungkin istilah yang pernah dipakai oleh Prof Syed Hussein Alattas yang mencemuhi golongan profesor yang cetek dan teduh ilmunya ini sebagai "profesor kangkung" layak untuk dikalungkan dileher Zainal Kling. [wm.kl.6:22 am 16/06/11]

Monday, June 13, 2011

Tikaman Petang

Wajarkah Dr Johari Terima Perlantikan Senator?

DEWAN Undangan Kelantan (DUN) yang akan bersidang minggu depan dijangka akan membuat perlantikan seorang senator apabila khidmat Rosli Ibrahim tidak disambungkan lagi. Katanya nama untuk diangkat menjadi senator telah pun ada. Orang itulah Dr Johari Mat seorang tokoh pendidikan dan dakwah yang tidak asing lagi di Kelantan khususnya. Pada masa ini Johari adalah pengarah di sebuah institusi pengajian tinggi berorentasikan agam di Kelantan.

Beliau adalah bekas seorang pensyarah, kalau tidak silap di UKM.

Mulanya beliau diletakkan harapan tinggi oleh Pas sebagai salah seorang tokoh akademik dikira dapat membantu kerajaan Kelantan. Apabila perkhidmatannya dengan universiti berkenaan beliau katanya diundang oleh pihak Pas Kelantan untuk dimanfaatkan ilmu dan pengalaman luasnya.

Tok Guru Nik Abdul Aziz dalam satu perbualan dengan saya di pejabatnya pernah membayangkan Dr Johari hendak dibawa tanding di Dun bagi dilantik sebagai Exco pendidikan. MB itu menaruh harapan begitu memandangkan pengalaman dan penglibatan beliau dalam bidang pendidikan sangat luas.

Pada pilihan raya 2004 beliau sepatutnya sudah bertanding untuk merealisasikan harapan itu. Bukan saja Nik Aziz, orang lain juga yang melihat ketrampilan, watak dan syaksiyah Dr Johari ianya adalah sesuai untuk dilantik menjadi salah seorang Exco kerajaan Kelantan. Wataknya yang lemah lembut, sopan santun dan mahir dalam metode dakwah sangat layak sekali untuk menerajui porfolio pendidikan atau dakwah.

Dalam satu penerbangan ke Aceh untuk menghadiri majlis angkat sumpah Gebenur Aceh, Irwandi empat atau lima tahun lepas saya ada bertanya dan mencadangkan kepada beliau hal itu. “Dr kena tanding dalam pilihan raya dan jadi Exco pendidikan?” Begitulah usik dan usul saya.

Dia tersenyum dan ketawa. Selepas menjelaskan dia tidak mahu terlibat dalam politik. Katanya dia lebih suka atau seronok berada dalam bidang pendidikan. Kalau pun hendak bantu Tok Guru (negeri Kelantan) ujarnya biarlah dari luar.

“Saya lebih suka begini, banyak perkara yang saya boleh lakukan dengan cara ini. Saya sudah buat surau di kampung isteri saya, sesekali saya boleh memberi kuliah dan tazkirah di situ, didik orang kampung dalam bidang agama,” begitulah kira-kira jawaban Dr Johari kepada saya. Dia nampak begitu keberatan sekali untuk menerjunkan diri secara langsung dalam politik.

Saya difahamkan surau baru yang dibina itu ialah di Kedai Menanti, Pasir Puteh. Waktu itu kerusi yang dicadangkan kepadanya ialah Dun Selising. Walaupun dia asal Tanah Merah bersepupu dengan Ahli Exco Fatah Mahmod tetapi banyak tinggal di Selising.

Ketika itu beliau begitu tegas dengan keputusannya. Dan semasa beliau hadir di majlis kenduri di rumah Almarhum bapa mertua saya di Rantau Panjang, saya ada mengusulkan sekali lagi kepadanya perkara sama. Dr Johari tetap memberi jawaban yang sama yang beliau tidak mahu terlibat dalam politik secara langsung apa lagi menjadi wakil rakyat. Saya cukup faham kenapa beliau mengelak untuk dijadikan wakil rakyat.

Hakikat ini disahkan lagi oleh beberapa kawan yang memberi tahu apabila menjelang pilihan raya lalu beliau telah menutup telefonnnya kerana tidak mahu bercakap denagn sesiapa yang mempelawanya bertanding dalam pilihan raya. Sikap dan tindakan ini menjelaskan bahawa beliau serius tidak mahu memikul tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

Kini namanya telah diangkat untuk menjadi senator. Apakah Dr Johari akan menerima pemberian jawatan ini? bukan bermakna saya tidak suka kepada beliau tetapi ada sesuatu yang ingin saya perkatakan di sini. Kalaulah Dr Johari menerima jawatan ini apakah beliau sudah berubah fikiran yang menjadi pegangannya sebelum ini? Atau apakah dia merasakan senator itu bukan membebankan dan bukan satu jawatan politik?

Sekiranya beliau istiqamah dengan pegangannya sebelum ini yang bersikeras untuk tidak menjadi Adun dengan alasan yang beliau sendiri ketahui, apakah pula alasan yang akan beliau berikan kalau beliau menerima jawatan senator ini? Pada saya kalau Dr Johari menerima jawatan ini kerana ingin lepas dari masalah yang dihadapi di institusi yang dipegang sekarang ini, yang khabarnya bermasalah, ia jelas satu pendirian yang tidak berapa betul.

Saya percaya dan yakin nama beliau dicadangkan oleh mereka yang rapat dan bertalian saudara dengan beliau. Dalam bahasa politik cablenya kuat. Itulah maklumat yang saya ketahui. Kalau begini cara pencalonan itu maka wajar Dr Johari yang terkenal sebagai seorang yang amat menitik berat soal-soal syariah Islam menimbang semula terhadap pencalonan beliau itu. Beliau juga sedar bahawa jawatan senator lebih merupakan jawatan sebagai membalas jasa kepada mereka yang berjasa dalam Pas.

Beliau perlu kena ingat selain beliau masih ramai lagi tokoh atau pun pejuang Pas yang banyak berjasa dan sudah kesekian lama bergelumbang dalam Pas. Malangnya kerana mereka tidak mempunyai cable yang kuat maka mereka tersisih. Bagaimana pun Tok Guru Nik Aziz sebagai pesuruhjaya Pas Kelantan seharusnya meneliti setiap calon yang dikemukakan untuk apa juga jawatan, bagi mengelakkan tidak berlaku penganiyaan. Tok Guru sangat mementingkan soal keadilan dan mengelak dari berlaku penganiayaan.

Sebenarnya kalau Dr Johari tidak dilantik menjadi senator masih ada lagi ruang untuk beliau berkhidmat dalam Pas bukannya menerusi kerusi senator yang dilihat kerusi politik.

Pun begitu kalau Dr Johari merasakan beliau banyak berjasa tidak ada masalah, terima saja jawatan itu sebagai satu kewajiban yang semestinya dipikul dengan penuh tanggungjawab dan beramanah. Tetapi kalau menerima atas alasan dipaksa apa lagi kerana motif politik melalui cable tertentu lebih baik beliau tolak dengan hormat agar nama baik dan intergriti yang ada kepada beliau tidak tercemar.

Saya bimbang jika beliau tidak dapat menjalanakan tanggungjawab dengan baik menerusi jawatan itu akhirnya wibawa beliau selama ini akan tercemar. [ttdi.kl.5:49 pm 13/06/11]

Sunday, June 12, 2011

Susupan Malam

Kabinet Hadi Laksana:
Kereta Baru Driver Lama


PETANG Abdul Hadi Awang telah melengkapkan barisan kabinetnya untuk dua tahun lagi. Sudah pasti pembentukan barisan kabinet itu mengambil kira kepada keperluan untuk menghadapi pilihan raya akan datang dan juga sebagai bingkas kepada kehendak muktamar yang baru lalu.

Sebelum barisan kabinet itu diumum ramai yang membuat telahan tetapi tidak berani untuk menulisnya. Saya sendiri telah menulis barisan kabinet menurut pandangan saya, yang saya rasa lebih relevan dengan barisan kabinet sudah diumumkan itu. Kebinet yang saya bayangkan adalah kombinasi kepada dua golongan dalam Pas dan untuk tidak membuka ruang kepada musuh menterjemahkan bahawa Pas memang berpuak.

Juga sebagai seorang pemerhati dan melihat dengan adil, (seboleh-bolehnya) kabinet yang saya bayangkan itu tidak bias - berat sebelah sebaliknya ia lebih kepada penyatuan atau pun kabinet pengukuhan Pas yang kini diterjemahkan dengan berbagai versi baik oleh Umno atau kalangan Pas sendiri. Itu yang saya cuba ketengahkan tetapi sayang tidak ternampak oleh Presiden, timbalan dan naib-naib presiden.

Memerhati kepada pembentukkan kabinet hari ini menjelaskan Abdul Hadi Awang tidak menggunakan kedudukan kuasa prerogatif sebagai presiden sepenuhnya sebaliknya masih menggunakan khidmat konsultan dalam membentuk kabinetnya. Pada saya pembentukan itu masih berbau rakan dan mundir politiknya, Mustapa Ali.

Ada dua faktor yang saya nampak kenapa ia berbau Mustapa Ali. Pertama, Abdul Hadi masih mengekalkan Mustapa sebagai setiausaha agung. Kedua mengekalkan Abdul Halim Abdul Rahman dalam Dewan Harian Pas dengan melantiknya sebagai Bendahari untuk kali kedua.

Pertukaran Pengerusi JPP kepada Dr Mohd Hatta Ramli dikira cocok, walaupun tokoh yang sesuai untuk menggerakan armada perang Pas ini ialah seorang strategis seperti Husam Musa. Tetapi tidak mengapa kerana umum tahu hubungan Husam dengan Dr Hatta, jawatan itu masih boleh digerakan. Kedua mereka boleh duduk sekali berfikir dan menjana JPP untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang. Sebelum ini pun mereka bekerja secara teamwork.

Sudah tentu bila Hatta duduk di situ beliau akan melantik orang yang dikenal pasti dapat mengatur dan menyusun strategi bagaimana untuk memperkuatkan JPP. Tidak kurang juga orang yang boleh menjana kewangan untuk parti kerana pilihan raya memerlukan wang yang bukan sedikit. Mungkin Dr Zulkefli Ahmad bekas Pengarah Stategi Pas akan digunapakai oleh Dr Hatta. Dan kalau Dr Hatta tidak terikut emosi mungkin dia juga boleh melantik Dr Hasan Ali, yang digugurkan sebagai Pesuruhjaya Selangor setidak-tidaknya untuk dijadikan pakar motivator dalam JPP. Kena ingat Hassan seorang pakar pengurusan dan banyak pengalaman dalam aspek itu.

Bersabit pengguran Hasan ini saya lihat Abdul Hadi cuba meredakan pertemburan di antara Hasan dengan Khalid Samad. Niat itu memang tepat, tetapi apakah Hadi sudah menimbang dan mengira mana yang lebih banyak untungnya dengan Hasan dikekal dengan Hasan dilucutkan dari jawatan itu? Saya berdoa Abdul Hadi telah mengambil kira ini semua. Tetapi adalah malang kalau pertukran Pesuruhjaya Selangor itu dibuat atas nasihat Mustapa Ali yang dikatakan bermasalah dengan Hasan Ali. Mereka ini bin saja sama, tetapi tidak sekata dalam polisi politik.

Tetapi apabila Abdul Halim diletakkan sebagai menggantikan Dr Hatta sebagai Bendahari, saya tidak faham untuk apa dan apa logiknya. Kalau dia dipecat dari jawatan itu kerana tidak perform kenapa pula dia diambil untuk menjana kewangan Pas? Di sinilah saya merasakan Abdul Hadi tidak membuat istikharah atau pun membuka kitab tajul mulut terlebih dahulu.

Justeru pada saya perlantikan Abdul Halim itu tidak ada sebab dan alasan lain melainkan kerana untuk dijadikan regu veteran didalam Pas saja. Atau pun untuk menggunakan pakai idea dan pengalamannya. Pemilihan Abdul Halim itu tentu bukan atas pandangan Abdul Hadi sendiri melainkan ia adalah atas nasihat Mustapa Ali. Timbul juga persoalan di sini apakah pengekekalan Abdul Halim itu kerana disebabkan ada agenda di antara mereka berdua? Ada desas desus kedengaran sebelum ini ada usaha membawa Abdul Halim balik bertanding di kerusi state semula pada pilihan raya akan datang bagi mengganti Tok Guru Nik Aziz sebagai MB?

Saya akan ulas semula berhubung kewujudan Tiga Abdul yang dikatakan cuba untuk menguak kembali di Kelantan. Perlu diingat hubungan Mustapa Ali dengan Abdul Halim bukan baru, jadi mereka saling perlu memerlu di antara satu sama lain untuk dijadikan pembela bila berdepan dengan masalah khasnya dalam Dewan Harian. Dalam hal ini apa yang saya nampak Mustapa memerlukan sokongan Back Bancher dalam Dewan Harian. Jelas kalau perlantikan ini dibuat ia diambil bukan atas kepentingan parti tetapi kepentingan peribadi. Perlantikan berdasarkan kehendak individu sesuatu yang salah.

Nasib baik saya tidak jadi Mustapa dan Abdul Halim. Kalau saya jadi mereka, saya sudah tinggalkan parti kepada anak-anak muda yang jauh lebih berketrampilan dan lebih 'casligas' daripada orang lama seperti mereka berdua. Apa yang baik dilakukan mereka berdua hanya sebagai penasihat saja.

Era politik masa kini sudah tidak relevan dengan corak dan stail politik mereka. Musim dan era mereka sudah pun berlalu sejak 10 tahun lalu. Pada saya kenapa Terengganu tewas antara faktor ialah kerana orang-orang maca Mustapa Ali masih kekal dan berperanan di Terengganu. Perasaan syok sendiri inilah kadang-kadang menyebabkan kita akan jatuh tergolek macam Mat Jenin.

Apabila Mustapa Ali dikekalkan sebagai setiausaha dan Abdul Halim sebagai Bendahari (sudah dua kali pegang), maka nampak sangat kabinet Abdul Hadi tidak memenuhi kehendak golongan muda sepenuhnya. Perlantikan mereka dua ini menyebabkan Pas masih lagi berada di takah lama. Anjakan paradigama yang diharapkan tidak akan berlaku secara meluas dan besar. Saya mengira ia tidak mememuaskan kehendak naluri anak muda seperti mana yang dibayangkan dalam muktamar yang lepas.

Perlantikan bergilir-gilir itu juga seolah Pas kehabisan dan ketandusan calon muda yang lebih berwibawa. Kalau tidak salah saya sebelum ini jawatan Bendahari pernah dipegang oleh Mustapa Ali. Putaran atau pengiliran ini menampakkan Pas miskin dengan tokoh dan sekaligus ia juga menyebabkan mereka yang terasa layak memegang jawatan itu tidak dipedulikan.

Walhasil pada saya dengan kabinet yang baru ini tidak membawa Pas jauh ke depan seperti mana diharapkan. Apakah perlantikan mereka itu untuk menjadi pemangkin kepada Melayu dalam Pas? Mungkin begitu alasan yang diberikan. Dan kalau sebelum ini muktamar berkeras menolak kerjasama Pas dengan Umno dengan menjadikan Nasharudin Mat Isa atau Dr Hassan Ali sebagai kambing hitam, maka kambing hitam itu sebenarnya masih ada lagi. Orangnya ialah Mustapa Ali dan Abdul Halim.

Terus terang saya sebutkan mereka adalah antara jururunding yang atau orang yang masih berkepercayaan bahawa Pas perlu mendekati Umno! (Catatan bila saya tulis ini bukan bermakna saya menentang pandangan mereka).

Jadi kerana mata sudah mengantuk saya nak simpulkan kabinet dibentuk Abdul Hadi ini begini; kabinet Abdul Hadi tidak ubah seperti sebuah kereta baru tetapi pemandunya orang lama. Jadi kerana pemandunya orang lama segala macam peralatan canggih yang ada pada kereta itu tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya. Ini termasuklah untuk menggunapakai GPS.

Tenguklah driver veteran bawa kereta, bila mereka nak masuk ke kanan, mereka akan buka cermin dan melewa-lewakan tangannya, walhal signal sudah pun bernyala lip..lip...lip. [wm.kl.9:30 pm 12/06/11]

Kabinet Baru Pas

Pas telah susun kabinet barunya petang ini dengan mengekal Mustafa Ali sebagai Setiausa Agung. Dr Mohd Hatta Ramli dilantik sebagai Pemgerusi Jabatan Pilihan Raya (JPP) mengangganti tempat Abdul Halim Abdul Rahman yang dilantik menjadi Bendahari mengambil tempat Dr Mohd Hatta.

Tuan Ibrahim Tuan Man Man yang tewas dalam perebutan Timbalan Presiden dilantik memegang Ketua Penerangan. Idris Ahmad pula dilantik sebagai ahlijawatan kuasa tambahan.

Kedudukan Pesuruhjaya Negeri Negeri pula (ralat) empat buah negeri mengalami perubahan. Negeri itu ialah Terengganu (Wahid Enduk), Melaka (Azli Zahari), Sabah (Amiruddin Ali), Negeri Sembilan (Taufik Abdul Ghani) dan Selangor (Dr Rani) menggantikan Hasan Ali. (pjaya 6:00 pm 12/06/11)

Celoteh Murai 82

Siapa Jantan Syhawat Lembek?

Ahli Parlimen yang menang atas lambang bulan purnama penuh kemudian dia kencing atas lambang itu telah memberi amaran supaya himpunan menuntut pilihan raya bersih dan adil (Bersih) yang hendak diadakan pada 9 Julai ini dihentikan.


Katanya dia bersama kuncu-kuncunya akan berusaha untuk mengagalkan himpunan dan perarakan itu. Katanya dia dan gengnya juga akan mengadakan himpunan pada masa sama untuk untuk menghalangnya sekiranya himpunan itu diteruskan juga. Alasan kenapa dia bertindak demikian kerana bimbang himpunan itu akan menjadi seperti apa yang berlaku di Asia Tengah.

Sekali dengar amaran itu boleh merindingkan bulu roma. Tetapi bagi Murai yang sudah muak dan hendak termuntah mendengar kata-kata seperti itu dari ahli parlimen berkenaan tidak lah merasa gentar sedikit pun. Suaranya gempa saja lebih tetapi hakikatnya macam tin kosong saja. Air liur saja bersembur tetapi bacul untuk berdepan.

Sebelum ini pun dia menerusi apa yang dinamakan Perkasam acap benar memberi amaran demi amaran. Tetapi sedikitpun amaran yang dikeluarkan tidak dipedulikan. Malahan makin banyak bercakap makin bercelaru Ngo berkenaan. Umno yang cuba dirisik juga mula merasa cuak padanya.


Cakapnya tak ubah macam cakap orang gila saja yang tidak ada siapa mahu mendengarnya. Merapu rapu dan meracau sesuka hatinya.

Murai rasa elok juga kalau ahli parlimen berkenaan berhimpun pada 9 Julai ini. Murai nak tengok sejauh mana keberaniannya. Kalau boleh ingin sekali Murai tenguk biar ahli parlimen berkenaan 'berlembe' darah di atas jalan raya pada hari itu. Murai nak tenguk siapa anak jantan dan siapa jantan syhwat lembek.

Kalau boleh biar dia beradu kekuatan fizikal dengan Mohamad Sabu. Kita tenguk siapa yang hebat dan siapa yang kuat. Dari segi status hari ini ternyata Mohamad Sabu jauh meninggalkan ahli parlimen berkenaan di belakang. Mat sudah pun menjadi timbalan presiden parti yang memimpin 1 juta ummat.

Manakala pemimpin berkenaan yang selalu menghina dan memperlekehkan Mat masih belum berparti dan hanya memimpin Ngo cabuk. Sudah habis parti politik diliwat dan dirogolnya tetapi tidak ada satu pun yang boleh menahan hati dengan kerenah dan sikapnya.

Murai sangat berharap pada 9 Julai ini dia akan keluar membawa bala tenteranya. Biarlah dua kumpulan ini bertempur kita mahu lihat siapa yang kuat. Setelah perundingan menggunakan akal, ilmu tidak berjaya elok kalau mereka beradu kekuatan pula ala-ala di zaman purbawara dahulu.

Dan Murai rasa mereka yang kini bersiap sedia untuk keluar berarak ramai-ramai pada 9 Julai ini sedikit pun tidak akan gentar dengan amaran ahli parlimen berkenaan. Kalau amaran Menteri Dalam Negeri mereka tidak pedulikan inikah pula amaran ahli parlimen yang menanti saat dan ketika saja untuk dikambuskan rakyat di kawasannya.


Murai: Akan menghadiri himpunan berkenaan awal-awal lagi.

Saturday, June 11, 2011

Catatan Sabtu

Antara Kebajikan Dan Kebuncitan

BAGI orang yang tidak arif lenggang lengguk politik mungkin merasa hairan dengan tindakan Umno yang mempertikaikan kenapa Pas mengemukakan tema baru semasa muktamar lepas iaini Membangun Negara Islam. Mereka yang terpengaruh dengan nyanyian Umno akan tertanya-tanya sendiri apa sudah jadi dengan Pas. Apakah Pas sudah meninggalkan matlamat asalnya untuk menerapkan nilai-nilai Islam dalam negara ini seperti mana disebut dalam perlembagaanya.

Tetapi bagi mereka yang arif dengan politik tidak merasa pelik sedikit pun dengan pengenalan tema baru itu. Sebaliknya akan melihat keributan Umno mengkritik Pas itu menunjukkan Umno begitu takut dan kecut perut dengan perubahan dan anjakan paradigma yang dilakukan Pas. Tema baru itu dirasakan boleh memberi nilai tambah kepada Pas seperti mana Buku Jingga yang boleh menyebabkan Umno kelam kabut dan terpaksa memerah idea untuk mengatasinya.

Kenapa saya kata begitu? Kerana kalau Umno tidak kecut perut parti itu tidak akan mengulas dan menghentam Pas. Dia tidak akan menarik isu-isu itu ke tengah masyarakat. Cara Umno menimbulkan perkara itu menunjukkan parti itu sudah terdesak dan seakan sudah dapat menghidu panjang atau pendek usianya dalam pilihan raya umum ke -13 kelak.

Umno jelas sekali tidak ikhlas apabila mempersoalkan Pas kononnya tidak mahu kepada Islam lagi. Benar seperti kata Dr Asri Zainal Abidin Umno tampak macam hipokrit dalam hal ini. Kenapa tidak satu masa dulu bila Pas fokus kepada negara Islam Pas dituduh fanatik dan ekstrem. Bila Pas cuba membawa gagasan tidak menggunakan pakai perkataan Islam dituduh pula Pas hendak meninggalkan Islam.

Sebenarnya Umno tidak patut bersusah payah dalam menerima tagline baru Pas itu. Kita tahu Umno mengambil sikap menyibuk itu hendak menunjukkan dia pejuang Islam dan bangsa di negara ini. Kalau benar Umno sayangkan Islam beliau tidak perlu geger, sebaliknya menjadi galang ganti kepada Pas memperjuangkan Islam.

Umno patut menjadi pelupor di dalam hal ini. Mulai sekarang Umno letakkan matlamat untuk membangun Islam di depan. Buang perjuangan untuk bangsa tukar kepada perjuangan untuk agama (Islam). Kalau Umno juga takut dan tidak yakin dengan Islam tidak payahlah sibuk-sibuk hendak kritik dan hentam Pas.

Kalau betul berani Umno tukar dulu perlembagaan partinya. Masukkan perkataan 'negara Islam" dalam perlembagaanya. Atau masukkan perkataan al Quran dan al Hadtih. Beranikah Umno atau macam mana? Kalau Umno juga tidak suka kepada perkataan-perkataan itu maka eloklah Umno juga duduk diam. Kita bimbang kalau lebih bercakap nanti, kata-kata akan memakan diri.

Kalau muka kita penuh dengan getah nangkal jangan cuba mengatakan muka orang lain comot.

Semalam Najib Razak Negara Berkebajikan yang Pas nak buat itu ditiru Umno. Umno sudah lama berbuat kebajikan kepada rakyat. Disebutlah contohnya perwujudan Felda, Felcra, Bank Bumiputera (sebenarnya bank bumiputera sudah lama ghuyup), dan macam-macam lagi. Jelas Najib tidak faham bentuk berkebajikan yang Pas hendak bangunkan itu. Dan kalaulah kebajikan yang Umno buat itu bertepatan dan dapat memberi nikmat kepada rakyat apa salah kalau ditiru oleh Pas? Salahkah kalau kita meniru sesuatu yang baik. Rasanya tidak.

Yang salahnya kalau Pas meniru keburukan kerajaan UBN. Peralatakan SPR, polis, budak sekolah, hatta biawak dan ular untuk memastikan kemenangan UBN. Perbuatan itu kalau Pas tiru wajarlah ia dikecam. Tetapi kalau meniru yang baik apa salahnya?

Sebenarnya kebajikan yang disebut Najib itu bukan kebajikan sebenarnya. Kata Najib Umno buat kebajikan dengan penubuhan Felda, Felcara, bank Islam dan sebagainya. Penubuhan segala institiusi itu bukan seratus peratus kebajikan untuk rakyat tetapi satu pemanipulasian tenaga rakyat untuk kepentingan kroni saja.

Dalam erti kata lain kebajikan itu berunsur komersial, bukannya kebajikan tulen untuk rakyat. Kalau apa-apa yang rakyat dapat dari institusi tanah rancangan itu, itu bukan pemberian kerajaan tetapi atas titik peluh dan usaha mereka juga.

Kebajikan Pas berlandaskan pentadbiran negara Islam seperti mana disebut dalam Quran. Negara yang aman makmur dan mendapar keredhaan Allah. Dalam kamus Umno perjuangannya untuk memakmurkan negara tetapi tidak mempedulikan sama ada ia mendapat keredhaan atau tidak. Untuk memahami cara Umno berkebajikan ini mudah saja, buat sesuatu yang dapat untung tetapi jangan peduli apakah ia diredha atau tidak. Anologinya sama dengan orang dapat duit dengan berjudi, tetapi mereka tidak menilai apakah duit itu diperoelhi secara sah atau tidak.

Jadi kalau orang memahami cara Pas nak berbuat kebajikan ini ianya nampak perbezaan dengan kebajikan yang dilakukan oleh Najib. Saya yakin kalau Pas memerintah negara ini apa yang dinamakan loteri kebajikan tidak akan digalakkan seperti mana Umno menggalakkan loteri kebajikan.

Kebajikan berunsur judi dan memerah tenaga rakyat itulah acuan kebajikan Umno. Dalam kontes agama kebajikan demikian bukan kebajikan namanya tetapi lebih tepat 'kebuncitan'. Deng ... deng...denggg... Mat Maslah terjatuh motorsikal! [wm.kl.9:20 am 11/06/11]

Friday, June 10, 2011

Kritik Sosial

Kedai Cantik Tapi Servis Very Bad...

SEBUAH kedai kopi siber (kopitiam) yang terletak di Taman Permata, Hulu Kelang, Selangor bolehlah dikelaskan cantik dan menarik. Ia memenuhi ciri-ciri kedai kopi moden hari ini. Ada kemudahan wifi, ada rak majalah dan surat khabar disediakan. Tatapi sayang bahan bacaan disediakan semuanya dalam bahasa Inggeris, seolah-olah pelanggannya terdiri dari 'mat salleh' yang tinggal di Ukay Height atau pun Bukit Antarabangsa.

Kedai berkenaan terbahagi kepada dua seksyen, berhawa dingin dan terbuka, merokok.

Malangnya kedai yang cantik dan berstatus kedai kopi moden yang menjadi kegilaan hari ini tidak menggambarkan keadaan sebenarnya apabila layanan yang diberikan tidak begitu memuaskan malahan boleh dikatakan very bad.

Jika dibandingkan dengan kedai mamak jauh 100 kali baik kedai mamak dari segi kecepatan meminta pesanan dan menghantar makanan yang dipesan. Kelebihan kedai mamak inilah, servisnya kelas satu. Walaupun kedai mamak agak teruk dari segi kebersihan, tetapi kerana servisnya bagus dan harga murah ia tetap juga dikunjungi.

Apa yang belaku pagi tadi di kedai kopitiam itu cukup mengecewakan saya dan saya kira pelanggan lain juga. Bayangnya kedai yang mempunyai lebih 15 buah meja di bahagian luar dan 10 meja di bahagian dalam (yang eksklusif) hanya mempunyai seorang pelayan perempuan sahaja.

Pelayan perempuan berusian 20-an inilah saya tenguk mundar mandir menguruskan semua sekali, mengambil oder, menghantar oder sehingga lagaknya macam lipas kudung. Di wajahnya usahkan nak senyum nak lap peluh pun tak sempat. Dua tiga meja penuh dengan bekas cawan dan piring tidak sempat dibersihkan. Di lantai bahagian luar pula, bersepak puting rokok yang pecah perut bertaburan.

Pelanggan ketika itu ada di sekitar 30 orang yang semuanya ingin bersarapan pagi. Saya nampak dah ada yang tarik muka retak seribu. Dah agak lama saya tak masuk ke kedai ini. Saya ke situ kebetulan hendak menanti seorang kawan. Ketika saya masuk kawan yang dimaksudkan sudah pun ada, saya kira dia baru sampai kerana belum ada apa-apa makanan di atas mejanya walaupun menurutnya sudah lebih setengah jam sampai.

"Belum oder apa-apa lagi?" tanya saya.

"Dah lebih setengah jam belum sampai-sampai lagi," katanya. "Pelayan seorang... tenguk tu, piring cawan di meja tidak dibersihkan, bersepah..." sambungnya lagi sambil merungut "kenapa teruk sangat kedai ni?" Malu juga saya bila kawan itu berkata demikian kerana walaupun itu bukan kedai saya tetapi ia terletak di kawasan saya, maka saya juga terasa macam bertanggungjawab.

Saya memang pantang berlamaan mulalah darah akan naik ke kepala. Sudah lebih setengah jam oder kopi O dan roti bakar tetapi belum juga sampai. Sudah dua kali panggil pelayan itu tetapi dia langsung tidak endah. Timbul rasa nak marah tetapi mengenangkan dia seorang yang layan pelanggan lebih 30 orang tak tergamak pula, sebalik timbul kesian.

"Dik seorang saja ke?" tanya saya. Dia mengangguk sekali dengan wajah yang kurang senang. "Cakaplah dengan tuan kedai tutup saja kalau tak ada pekerja, kalau seorang aniya," akahirnya saya melepas geram.

Sebenarnya sudah lama saya terperasaan pelayan di kedai ini tidak dapat bertahan lama. Setiap kali saya masuk, ada-ada saja muka baru dan muka lama sudah hilang entah ke mana. Saya rasa macam kedai ini ada masalah pengurusan menyebabkan pekerjanya tak lekat dan sering keluar dan masuk.

Harap kalau tuan punya kedai ini membaca catatan ini ambillah perhatian jangan saja tahu check berapa wang masuk setiap minggu atau setiap bulan. Kebajikan perkerja perlu sama diberi layanan dan dijaga seperti mana piagam yang dikenakan kepada pelayan untuk menjaga dan mengawasi kedai. Barang kali perlu juga kalau kedai berkenaan diadakan piagam kepada tuan punya agar tidak memerah pelayan dan pekerjanya untuk kepentingan tuan punya. Ingat pelanggan perlu diutamakan kerana kami datang bukan saja nak makan tetapi bawa duit. Wow...[wm.kl.6:00 pm 10/06/11]

Thursday, June 9, 2011

Selepas Subuh

Abdul Hadi Mencari Ilham Di Kota Bharu

SEMALAM Abdul Hadi Awang telah turun ke Kota Bharu Kelantan dan telah mengadakan pertemuan dengan Tok Guru Nik Aziz. Kunjungan itu adalah pertama kali selepas selesainya muktamar Pas ke 57.

Sudah tentu kunjungan itu ada kena mengena dengan penyusunan barisan kepimpinan Pas berhubungan perlantikan beberapa post penting parti seperti Setiausaha, Bendahari dan Ketua Penerangan. Penjawat jawatan ini juga nanti merupakan Dewan Harian Pas iaini dewan politik yang akan merumus atau menentukan tindakan politik semasa.

Selain itu juga enam orang ahlijawatankuasa tambahan akan dilantik. Kunjungan beliau ke Kota Bharu itu mungkin untuk mencari ilham untuk pengeasan kabinet barunya.

Khabarnya Abdul Hadi akan memanggil mesyuarat Dewan Hariannya yang pertama pada Ahad depan, 12 Jun. Mesyuarat itu akan dihadiri oleh timbalan presiden, naib-naib presiden, ketua dewan-dewan; ulama, muslimat dan pemuda. Dalam mesyuarat inilah nanti akan melantik, Setiausaha, Bendahari dan Ketua Penerangan. Mereka ini akan turut menganggotai Dewan Harian.

Mungkin juga mesyuarat itu akan membuat perlantikan pesuruhjaya-pesuruhjaya Pas negeri dan Wilayah Persekutuan.

Perlantikan anggota tambahan yang bakal menjadi anggota Dewan Harian sangat penting dalam mengukuhkan parti dan sekaligus mengukuhkan kedudukan Abdul Hadi sendiri. Mungkin tokoh-tokoh yang akan dilantik nanti mengambil kira bukan saja mengenai track record perkhidmatan mereka tetapi orang boleh membantu presiden dan membawa perubahan positif kepada parti.

Apa yang jelas sekarang presiden keseorangan kalau dilihat dari segi watak dan budaya berpakaian, apabila Tuan Ibrahim Tuan Man dan Idris Ahmad kalah. Sebelum ini kedua mereka adalah orang yang dilihat banyak membantu dan sehaluan dengan presiden dalam membuat perancangan terhadap parti terutamanya mengukuh dan mempertahankan elemen-elemen Islam dalam Pas.

Apabila kedua mereka kalah ia seolah-olah presiden 'kekesitan'. Timbalan yang baru walaupun seorang pejuang Islam yang vokal tetapi ada perbezaan perwatakan, pemikiran dan budaya dengan presiden. Sebenarnya bukan itu yang kurang menyenangkan Abdul Hadi tetapi kemunculan serangkap, naib-naib presiden yang 'profesional' dan bersongkok hitam itu yang boleh mengekokkan sedikit Abdul Hadi Awang dan ditafsirkan bakal menganggu mindanya.

Keadaan ini lah menyebabkan kelihatan Abdul Hadi sedikit keresahan. Mengapa tidak, suara profesional yang ingin membawa Pas keluar dari serkupan serban dan jubah (konservetif) sudah mendominasi di dalam barisan kepimpinan baru ini. Kalau golongan ingin membuat sesuatu ke atas presiden, boleh saja dengan kedudukan yang ada hari ini. Mereka sudah majoriti.

Sebenarnya Abdul Hadi tidak perlu bimbang. Saya tidak fikir puak profesional itu akan mudah terlajak aksi untuk menekan presiden atau drastik mengubah parti. Mereka juga sedar dengan suasana hari ini di mana pilihan raya umum akan tiba Pas memerlukan kepada pasukan yang mantap. Perkara-perkara yang boleh menimbulkan pergeseran perlu dihindarkan. Di sinilah akan menguji kebijaksanaan Abdul Hadi dan juga sejauh mana ketegasannya sebagai presiden mengekangnya.

Golongan berkenaan hendaknya tidak begitu terpengaruh dengan pandangan 'konsultan' politik di luar sana yang melihat Abdul Hadi menjadi liabiliti kepada Pas. Adalah satu kesilapan besar kalau pandangan konsultan yang berkepentingan itu diterima pakai sehingga dilakukan tindakan dan tekanan menyebabkan akhirnya Abdul Hadi akan terpaksa berundur. Kalau pun pandangan itu ada kebenaran, tetapi bukan masa ini untuk bertindak tetapi biarlah sehingga habis periode ini.

Berbalik kepasa perlantikan anggota tambahan nanti, baik Abdul Hadi atau pun pihak satu lagi tidak perlu sangat mementingkan soal puak. Kepuakan di dalam parti boleh meninggalkan kesan buruk. Assobiyah aliran akan memberi kesempatan kepada musuh untuk terus memencil-mecilkan Pas.

Dalam hal ini sebaiknya, presiden boleh memilih di kalangan mereka yang kalah dalam perlawanan lalu. Seperti mana janjinya semasa ucapan penggulungan mereka yang kalah tidak akan dibiarkan, dan akan terus dimanfaatkan tenaga dan pengalaman mereka. Lagipun itulah Pas tidak melupai mereka yang tercicir dalam pemilihan kecuali ada yang sengaja mahu diri mereka dicicirkan.

Dua calon timbalan presiden yang tewas, Nasharudin Mat Isa dan Tuan Ibrahim Tuan Man hendaklah dibawa masuk ke dalam barisan kepimpinan. Fikirlah sama ada mereka perlu dilantik untuk menganggotai Dewan Harian atau tidak. Kalau mereka perlu diambil saya melihat bukan untuk mengukuhkan kedudukan mana-mana peribadi tetapi demi mengutuhkan Pas itu sendiri dan demi menampakkan Pas lebih dinamik. Pada saya kedua mereka boleh menjadi pemangkin dan denak menarik orang atas pagar ke dalam Pas kerana perwatakan mereka boleh diterima banyak pihak.

Begitu juga dengan Idris Ahmad, Mohd Amar Nik Abdullah dan Nizar Jamaluddin yang kalah untuk jawatan Naib Presiden. Mohd Amar yang diharap Nik Aziz akan menang dalam pemilihan mungkin boleh diangkat menjadi Bendahari Pas. Dalam situasi hari ini rasanya Mohd Amar perlu berada dalam Dewan Harian membantu presiden.

Ketua Penerangan boleh difikirkan untuk melantik Idris Ahmad semula atau diberikan kepada Nizar Jamaluddin. Tetapi perlu diingat jawatan ini penting kerana ia juga turut menjadi alat untuk mempropagandakan Pas, jadi orang yang duduk di kerusi ini perlulah mereka yang boleh menerang, menjelas dan arif erti provokasif, lebih penting yang memahami siasah Islamiyah kerana Pas adalah parti Islam.

Dalam hal ini mungkin tidak salah kalau Pas mengambil Abu Bakar Chik dari Terengganu untuk memikul tanggungjawab ini. Beliau saya lihat seorang yang rajin berkerja untuk parti dan sanggup ke mana-mana saja. Saya melihat bekas Exco Terengganu ini tidak ubah seperti Ibu Batutah yang mengembara ke seluruh negara dari Subuh ke Isyak untuk mempertahankan parti.

Orang yang rajin dan membuat kerja tanpa disuruh inilah yang layak memikul amanah sebagai ketua penerangan.

Nasarudin pula memandangkan beliau mempunyai hubungan diplomatik yang luas elok kalau dilantik untuk memegang lujnah hubungan antarabangsa. Dengan pengalaman dan rangkaian beliau dengan gerakan Islam dan NGO di seluruh dunia, anak didik Almarum Fadzil Noor itu boleh mengestbelishkan Pas di peringkat antarabangsa.

Sudah sampai masanya gerakan Islam Pas di globalisasikan dan tidak hanya tertumpu untuk mengambil alih kekuasaan di Malaysia saja. Pas perlu menjadi gerakan Islam yang mempedulikan nasib umat Islam dan manusia sejahat. Setelah lebih 50 tahun Pas perlu disejagatkan, menjadi gerakan siasah antarabangsa.

Saya rasa dengan kedudukan ini barulah pantas Pas sebagai sebuah parti Islam, sebab Islam itu bukan saja di Kelantan, Selangor, Kedah atau Terengganu dan lain-lain negeri tetapi di dunia lain juga. Untuk tujuan ini lujnah berkenaan perlu diperbesarkan dan kalau boleh Pas harus ada sekretariat di luar negara seperti mana diwujudkan Palestin dan lain-lain.

Rasanya sesuai kalau diberikan jawatan ini kepada Nasharudin. Penglibatan beliau di peringkat antarabangsa juga boleh menghilangkan kesangsian terhadap beliau yang dimomokkan untuk membawa Pas berkerjasama dengan Umno! Dengan beradanya beliau di arena antarabangsa membawa panji Pas akan lenyaplah cerita Pas nak berkawan dengan Umno.

Mungkin yang agak berat kepada presiden ialah untuk memilih siapa yang layak untuk jadi setiausaha agung bagi menggantikan Mustapa Ali. Mustapa sudah dilihat tidak relevan lagi sebagai setiausaha agung dalam suasana hari ini. Apa lagi beliau dilihat orang yang membayangi presiden. Presiden sendiri dilihat dikokong oleh kuasa dan game politik penyu. Itulah yang orang nampak walaupun hakikatnya tidak begitu.

Untuk menghentikan Mustapa agak susah bagi presiden kerana selama ini, nyawa politiknya berada ditangan Mustapa. Umum sudah melihat mereka adalah kembar siam Pas di Terengganu. Persepsi demikian adalah sangat buruk kepada seseorang politican kerana orang melihat dia tidak berkeupayaan, maka Abdul Hadi kena menghakiskan persepsi itu dari dirinya.

Dalam masa sama Abdul Hadi kena melihat orang yang boleh dipercayai atau setia kepadanya sebab jawatan Setiausaha Agung cukup penting. Pada hemat saya di pihak profesional akan menuntut jawatan ini agar diberikan kepada golongan mereka. Tidak menjadi masalah sebenarnya asalkan orang itu berketrampilan dan dapat menggerak parti dengan efeksyen.

Sekiranya Abdul Hadi ingin membuang persepsi umum terhadap hubungan dan kekuasaan Mustapa ke atasnya, mungkin Tuan Ibrahim boleh diangkat menjadi Setiuasaha Agung. Walaupun beliau juga akan menjadi Pesuruhjaya Pahang tetapi ia tidak membebankan kerana Setiausaha Agung boleh melantik tiga penolong setiausaha.

Takyiuddin Hassan yang dilantik memegang jawatan itu sebelum ini bersama dua yang lain nampaknya boleh memikul tanggungjawab itu. Kalau Takiyuddin dilantik ia boleh merengankan kerja-kerja Tuan Ibrahim.

Ditegaskan dalam perlantikan ini jangan dipersoalkan kumpulan mana yang ramai kumpulan mana yang sedikit. Semua pihak perlu menerima bahawa pasukan yang dibentuk dan diperkemas nanti terdiri daripada ahli Pas yang kompitem dan mereka yang berjuang atas dasar ikhlas untuk mendaulatkan Islam. Sekiranya semua berpegang kepada matlamat dan nawaitu itu, sudah pasti barisan kepimpinan Pas 2011 - 2013 yang dibentuk atas aspirasi untuk menghadapi pilihan raya akan berjaya. [wm.kl. 9:03 am 09/06/11]

Tuesday, June 7, 2011

Ceritera Malam

Bila Mahathir Teringin Nak Makan Jering

WAH wah.. wahhhh...Mahathir kita sudah sihat rupanya, sudah dapat bercakap dan bersuara. Sudah keluar dari IJN, bila? Hari ini dia memberi komen tentang barisan kepimpinan baru Pas. Selamat segar, Dok! Biasalah nadanya, sebagai seorang penentang Islam Pas nombor satu penuh sinis dan sindir menikam kalbu. Inilah kehebatan Mahathir kita dia boleh tembak orang selamba saja.

Kali ini dia membuat perbandingan orang Pas dengan memilih pelapik kepala, songkok dan kopiah. Kata Mahathir puak ulama dikalahkan puak songkok hitam. Maksud beliau puak songkok hitam ialah puak yang menyokong Anwar Ibrahim. Mahathir sangat alergik terhadap kedua-duanya, kepada Pas dan Anwar. Dialah yang memecatkan Anwar sehingga Melayu jadi huruhara sehingga hari ini dan Umno terus menyentak-nyentak.

Kata Mahathir dengan kemenangan puak songkok hitam ia memberi kemenangan besar kepada Karpal Singh. Jauh tilikkan dan sindiran beliau. Mat Sabu yang berlawan dengan Nasharudin Mat Isa dan Tuan Ibrahim Tuan Man, Karpal Singh yang menang, bukan orang Pas ataupun Umno. Inilah bidasan orang politik veteran bernas dan berkias menyenakan hati. Sebenarnya juga inilah permainan politik.

Apa dimaksudkan Mahathir kita ni, dengan menangnya puak profesional maka Karpal Singh tidak perlu bimbang lagi dengan Pas yang hendak tegakkan Islam di negara ini. Mahathir cuba memberi fahama bahawa pemimpin yang menang hari ini bukan mempunyai cita-cita Islam.
Dalam kata lain mereka akan membentrakan harapan Pas untuk menubuh negara Islam.

Jadi kerana itu Karpal Singh tidak payah lagi menjadikan dirinya mayat untuk dilangkahi oleh orang-oang Pas yang hendak daulatkan Islam. Kerana orang Pas pun sudah tidak terhingin lagi hendak membangun Islam. Kalau orang Pas masih nakkan Islam mereka tidak pilih Mat Sabu. Sebelum ini Karpal Singh begitu vokal menentang negara Islam versi Pas sehinggakan sanggup mati demi menghalang Islam Pas tertegak.

Wah Mahathir... mudah membuat penilaian dan menghina tahap keimanan Mohamad Sabu dan barisan kepimpinan Pas yang baru. Kita juga tidak tahu rupa-rupanya Mahathir mengikhtiraf kepimpinan Pas selama ini sebagai kepimpinan Islam.

Bila Mahathir beranggapan begitu, rupa-rupanya Mahathir tidak kenal dengan 'sengoti' siapa dia Mohamad Sabu yang dipanggil imam dari kalangan pengikutnya. Apakah istilah 'imam' itu bukan zahir dari rahang Islam. Itulah Mahathir kerana jarang ke Iran maka perkataan imam pun tidak difahami apa ertinya.

Jelas juga Mahathir tidak mengenali organ Pas sedalam-dalamnya. Dia masih mamai barang kali ingatkan Pas macam Umno. Ubat bius di IJN masih belum hilang. Di dalam Pas untuk pengetahuan Mahathir ia bukan dipimpin oleh satu saf, kepimpinan mentadbir dan mencatur jihad saja, tetapi ada dua lapis lagi. Dalam Pas ada Dewan Ulama dan Majlis Syurag Ulama. Kedua institusi inilah yang menjaga Pas dan menjadi roh kepada perjuangan Pas. Adapun individu tertinggi mengusai institusi ini ialah al Mursyidun.

Mereka yang menduduki kedua institusi ini bukan sebarangan. Mahathir sendiri walaupun sudah menjadi PM selama 22 tahun belum tentu dapat duduk dalam institusi ini kalau dia tertakdir menyertai Pas satu hari nanti. Mereka yang menganggotai institusi ini bukan hanya kerana mereka memakai kopiah puteh dan tutup mereka, tetapi yang beramal dengan segala ilmu-ilmunya.

Ertinya Pas tidak boleh ditadbir atau dibawa mengikut arah dan kompas keyakinan seseorang. Pas harus dipandu dan ditetapkan kiblat perjuangan oleh kedua institusi ini. Apabila Mahathir dengan muda menyangkakan bahawa Pas telah merombak cita-cita Islam, sebenarnya Mahathir mendangkalkan ilmu siasahnya sendiri.

Kita nampak, Mahathir kita ini sangat susah hati apabila golongan profesional menang. Kenapa? Kalau orang tidak tahu memang merasakan apa yang dilakukan Mahathir dan pemimpin Umno lain itu satu tindakan yang perlu disokong. Cara Mahathir mengomen menunjukkan seolah dia seorang pemimpin yang komited dengan Islam. Yang berjurus sejak kecil menjujung 'Quran' hingga ke pejabat dan bercita-cita besar untuk menegakkan hukum Allah di atas muka bumi ini! Seorang yang mahu Islam di negara ini ditegakkan atau seorang penentang kepada kerja menghalang Islam wujud di negara ini.

Orang masih tidak lupa siapa Mahathir sebenarnya. Dia adalah bekas PM orang paling bekuasa di negara ini. Selama 22 tahun menjadi pedana menteri. Masa dia menjadi PM Umno tidak pernah sekali pun kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen. Mahathir seorang yang powerful sekali. Dia juga dianggap sakti, keramat dan berani. Barang diminta semuanya diperolehi. Macam Pak Dogol dalam wanyang kulit, dia bersin pun emas akan menggolek ke kakinya.

Dengan kuasa dia telah melakukan apa yang dikehendaki. Paling klasik ialah dia membuang imuniti raja-raja Melayu. Satu tindakan berani yang melambang dan menjadi mahkota keberanian Dr Mahathir seorang perdana menteri sehingga digelar Mahafiraun. Lepas itu dia buang pula para hakim yang tidak sebeulu dengannya.

Sepatutnya dengan keberanian itu Mahathir telah melakukan apa yang dia merasa tidak sempat dilakukan hari ini. Iaitu menghakiskan kekuasaan orang Cina dan India. Atapun menegakkan bukan syiar Islam di negara Islam tetapi perlaksnaan hukum termasuk hukum hudud. Tetapi sayang seribu kali sayang bulu ketiak Cik Minah panjang...

Melihat cara Mahathir kita mengkritik kepimpinan Pas seolah dia adalah pejuang Islam tulen mengalah Osama Ben Ladin. Kita nak tanya Mahathir kenapa semasa berkuasa dulu beliau tidak melaksanakan apa yang teringin hari ini. Kenapa? Tidak ada gunanya Dok kalau kita ingin makan jering relong setelah gigi kita bergonjang dan gigi kacip dan geraham sudah tercabut. Kalau setakat gonyel gonyel (kunyah) telan sudah tidak ada umppp lagi.

Makanya pada saya apa yang disuarakan Mahathir itu tidak lebih daripaa hendak menunjukkan bahawa dia masih sihat, masih sengar dan masih boleh berkata-kata. Ibarat orang berahi jering relong kalau tak dapat mamah pun hidup bau haringnya pun cuku. Sebenarnya kalau dikatakan dia obses kepada Islam, obses kepada Melayu ia hanya lakonan sahaja, sebab semasa dia berkuasa, dia mengabaikan segala ini malahan dalam sudut tertentu dihinanya dan ditentangnya mereka yang ingin laksanakan Islam.

Sesunguhhan sebahagian daripada mala petaka yang dihadapi negara ini termasuk penghakisan kuasa politik Melayu dan timbulnya liberalisme dalam agama Islam adalah hasil didikan dan ajaran Al Mahathir Ibnu Mohamad Ickandar.
Ho ho...wm.kl.9: 34 pm 07/06/11]

Menyimpul Harapan

Husam Perlu Mengemudi Jentera Pilihan Raya Pas

PENAKA musafir di padang pasir yang kehausan air, begitulah perumpamaan boleh dikatakan kepada Husam Musa apabila sebaik menang sebagai naib presiden Pas beliau terus mencampakan idea dan harapannya untuk mengatur pelan bagi memajukan Pas. Katanya (Pas) akan merancang dan menyusun program di semua sudut untuk meletakkan Pas dalam keadaan kondusif bagi menghadapi pilihan raya. Begitulah kira-kiranya dan diharap saya tidak tersalah mentafsir!

Dua tahun Husam meninggalkan Jalan Raja Laut, meninggalkan bangunan Pas yang pembelian diusahakan olehnya. Nasib kata orang, sebaik rumah siap dia terpaksa berada di luar, menikmati keindahan dari jauh dengan penuh kekangenan membelai jiwa.

Pejabat naib presiden yang baru siap dan dilengkapi dengan kemudahan terpaksa ditinggalkan apabila kalah dalam pertandingan merebutan jawatan timbalan presiden dua tahun lepas. Walaupun tidak ada siapa yang menghalang untuknya berkontor di situ, tetapi Husam semacam merasakan kekalahan itu satu ruang untuk dia bermahasabah dan mengungsi dari situ untuk mencari ketenangan jiwa.

Dan kemenangannya untuk menduduki semula kerusi naib presiden seolah-olah membawa pulang semula beliau ke rumah asalnya. Dia kembali kini saya percaya sesudah melakukan mahasabah dan istikharah yang banyak. Pengembalian kini samalah dengan kembalinya Hang Tuah yang ke istana raja Melaka selepas disembunyikan di Hulu Melaka oleh Bendahara Tun Ali.

Tidak dapat dibayangkan apakah yang sudah dilakukan dan kejayaan yang sudah dicapai dalam tempoh itu kalau dia memenang jawatan timbalan presiden dua tahun lepas. Mungkin sudah banyak perubahan dan kemajuan untuk Pas. Iya, walaupun dilantik menjadi Ajk dan memegang lunjnah pembinaan bangunan Pas, tetapi kerja itu tentulah tidak sepenuh jiwa dilakunya. Kata orang semangat untuk bekerja tidak begitu penuh bila mana tewas dalam sesuatu pertandingan yang dibumbui harapan menggunung.

Keadaan itu ditimpa pula dengan suasana politik Pas di Kelantan yang berombak dingin atau bertiup bagaikan angin semilir. Walaupun tidak kencang tetapi kedinginan angin semilir yang meliang lintuk turun dari bukit ke lembah cukup menyejukkan badan dan menikam ke sum-sum. Walaupun Pas Kelantan tidak berkedut sangat, tetapi suasananya tidak begitu lendek. Masalah kedutan halus yang boleh dianggap seni dan mencabar permain politik Kelantan perlu segera dilendek dan diuraikan kerana pilihan raya umum sudah menggamit tiba.

Di sini sejajar Exco kanan kerajaan Kelantan itu menyebut fasal menyusun pembangunan dan kemajuan untuk Pas, ingin saya mengongsikan sedikit idea bersama 'bekas' kawan saya ini. Mudah-mudahan didengarnya dan mendapat restu pula daripada Pas pusat. Apa yang saya perkatakan ini adalah dari kepingan hati yang jilah dan tulus.

Pada 12 Jun ini kepimpinan baru Pas - Dewan Harian akan buat pertama kali bermesyuart bagi membentuk barisan kempimpin sessi 2011 - 2013. Dalam mesyuarat itu presiden akan mencadangkan beberapa orang ahli jawatankuasa tambahan untuk dipersetujui oleh Dewan Harian. Selepas itu penyusunan dan pengemasan lunjnah akan dilakukan.

Serentak itu juga lantikan pesuruhjaya Pas negeri-negeri akan dibuat. Di sini saya tidak mahu bercakap fasal Pesuruhjaya tetapi ingin memberi fokus kepada satu cabang penting dalam Pas iaini mengenai pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Pilihan raya adalah penting. Pilihan raya adalah destinasi terakhir kepada segala gerak kerja yang dilaksanakan oleh Pas. Dari sudut atau kaedah untuk mendapat kuasa bagi merealisasikan cita-cita Pas, pilihan raya adalah penentunya. Walaupun Pas kini mendapat sokongan rakyat, tetapi kalau jentera pilihan raya masih ditakak lama dan tidak ada pembaharuan baik teknik dan strategi gerakannya ia tidak menjamin kemenangan. Jentera pilihan raya sangat memainkan peranan penting dan utama. Dalam hal jentera pilihan raya ini harus dimantapkan lagi dengan idea-idea baru yang bernas dan bersifat kontemporari.

Iya memerlukan seorang kreatif dan tahu membaca masa depan olakan politik. Sorang yang strategis dan pakar perundingan yang pintar dan cemerlang. Seorang yang bijak memintas perangkap dan jerat musuh. Yang arif membaca tektik dan muslihat lawan. Dalam masa sama seorang yang pandai mengumpankan musuh untuk terjerut dalam perangkap sebelum diserahkan kepada sang algojo.

Apabila melihat keperluan ini, di sini saya melihat Husam adalah antara orang yang memiliki beberapa keistimewaan itu dan layak diberikan tanggungjawab untuk mengemudikan jentera pilihan raya. Sekali lagi disebut jentera pilhan raya bukan saja setakat membuat penculaan ala stail lama itu tetapi teknik-teknik lain yang lebih canggih, sistemetik dan juga memerlukan pembiayaan yang banyak. Untuk merealisasi ini saya yakin Husam mampu mencapainya kalau diberi kerjasama mantap oleh semua pihak.

Bukan bermakna Pengerusi JPP kini Abdul Halim Abdul Rahman sudah tidak laku dan diperlukan lagi. Tetapi pendekatan atau strategi yang digunapakai Abdul Halim sudah tidak relevan pada masa ini. Ianya sudah out of dated. Kalau kita insaf kegagalan dalam beberapa pilihan raya kecil lalu adalah disebabkan stail atau strategi yang lama yang diguna pakai sejak tahun 60-an lagi. Bagi memanfaatkan Abdul Halim beliau bolehlah dilantik sebagai penasihat JPP atau pun pengendalian kurus kepada pengawai JPP.

Sebenarnya banyak kalau hendak diperkatakan perubahan atau pendekatan yang perlu beralih dalam aspek ini dan saya yakin kalau ianya diserahkan kepada orang yang berkebolehan seperti Husam ia akan dapat meningkatkan martabat dan keberkesanan jentera pilihgan raya Pas. Kalau Mat Sabu penggerak massa biarlah Husam menyusun dan mengatur massa itu secara sistemetik menerusi JPP. Perlu diingat tidak ada guna sokonngan ramai kalau undi tidak jatuh ke kebok undi. Kombinasi antara dua kepakaran ini tentu akan memberi impak kepada Pas.

Saya rasa penyerahan jawatan itu bukan merugikan sesiapa apa lagi untuk menurunkan pangkat dan mengurangkan peranan sesiapa, tetapi atas satu tujuan dan matlamat meningkatkan daya kerjanya. Dalam hubungan ini apa yang sangat diharapkan, perlantikan itu nanti akan turut sama membawa perubahan kepada JPN Kelantan yang saya kira perlu diberikan tumpuan khusus.

Dalam hal ini Husam boleh memanggil semula rakan-rakan sebaya yang menjadi pemimpin pelapis di Kelantan, seperti Mohd Amar Nik Abdullah, Takiyuddin Hassan, Zulkefli Mamat serta adik-adik pemimpin muda Dr Mohd Fadzli Hassan, Nik Abdul Nik Abdul Aziz, Mohd Zaki Abdul Rahaman, Arifahmi Abdul Rahman dan lain-lain. Tenaga ini perlu digemblengkan untuk memastikan Kelantan dapat dipertahankan. Tidak molek kalau ada di antara tenaga di Kelantan di kesampingan kerana untuk berdepan dengan lawan semua perlu selangkah sederap. Zaman kita bergaduh atau ingin menunjuk akulah hebat ataulah hero rasanya sudah berlalu. Jadilah orang yang bijak di mana mencari masa cerlak waktu musuh rihat untuk bergaduh.

Saya berharap cadangan ini akan diberi perhatian oleh Prersiden khususnya dan Dewan Harian yang akan bersidang pada 12 Jun ini. Dan janganlah pula apabila saya mencadang Husam dan tidak yang lain ada menganggap tempua sudah bersarang rendah. Saya sesungguhnya berbuat sesuatu bukan untuk kebaikan diri tetapi untuk kepentingan bersama. Untuk mengenali saya dalam hal ini tanya diri anda jangan tanya diri orang di luar diri anda. [wm.kl. 11:00 pm 06/06/11]