Friday, January 6, 2012

Selepas Subuh

Lebih 40,000 Sambut Anwar di Machang

Padang Majlis Daerah Machang (MDM) malam tadi penuh sesak dengan orang yang datang untuk mendengar pesanan dan peringatan Anwar Ibrahim menjelang hari menjatuhkan hukuman ke atas beliau atas tuduhan meliwat. Kira-kira 40,000 orang ramai yang datang dari segenap penjuru di Kelantan untuk mendengar amanat dari tokoh yang didoakan bakal menjadi pemimpin nombor satu Malaysia.

Sejak dari Ashar lagi orang ramai terutamanya dari Gua Musang, Jeli dan termasuk dari Terengganu sudah mulai memenuhi padang MDM. Cuaca yang cerah tanpa hujan tambah menarik minat orang ramai untuk mengikuti amanat Anwar.

Walaupun hanya Tuhan sahaja yang tahu apa yang sedang bergelora di dalam hati Anwar bagi menghadapi 9 Januri, tetapi beliau seperti biasa terus membakar semangat rakyat dan memberi harapan agar terus berjuang dan melawan untuk menjatuhkan UBN.

Katanya dirinya tidak penting yang penting rakyat dan UBN mesti dijatuhkan untuk memastikan rakyat selamat. Ketidakadilan, korupsi, penyelewengan dan pengkayaan kroni di dalam Umno hendaklah di tentang habis-habisan.

Bagi dirinya, katanya dia akan bersama rakyat walaupun dalam keadaan apa sekali pun. Malam kelmarin katanya beliau bersama keluarga sudah berbincang untuk menghadapi apa saja kemungkinan. "Kami berbincang dan keluarga memutuskan agar saya menghadapinya tanpa melarikan diri... bagi mengelakkan diri di penjara," katanya penuh semangat.

"Iya saya mengambil keputusan untuk bersama rakyat walaupun apa akan terjadi," katanya disambug dengan laungan dan takbir.

Keputusan itu menjelaskan bahawa Anwar sudah membuat perhitungan rela mati kerana memperjuangkan keadaan kepada rakyat dan meruntuhkan sistem pemerintah UBN yang zalim dan tidak adil.

Dengan gaya seorang pidato bebas tanpa duduk di restrom dan bergerak ke segenap penjuru pentas Anwar sekali lagi mengulangi komitmen Pakatan Rakyat terhadap nasib dan masa depan rakyat dan negara. Katanya sekiranya Pakatan Rakyat diberi kemenangan, segala keperluan rakyat yang terdesak kini dan tidak dapat diatasi oleh kerajaan UBN seperti masalah kenaikan harga barang, pengangguran akan diatasi.

"InsyaAllah kalau hari ini kita menang, esok juga kita akan turunkan harga petrol", katanya di sambut laungan takbir Allahuakbar.

"Sekiranya kita menang kita akan tuntut royalti minyak supaya dikembalikan ke Kelantan," sambugnya, sekali lagi disambut dengan gemuruh oleh para hadirin. Di celah-celah sambutan itu terdengar jeritan dan pekikkan tumbang kan Umno pengkhinat.

Dalam pidato selama kira-kira 45 minit itu Anwar mengajak rakyat supaya tidak terpengaruh dengan gula-gula atau sogokan kewangan oleh Umno. "Anak muda jangan mudah terpengaruh dengan wang RM50 sehingga menggadaikan maruah negara," pesannya.

Sebelum Anwar, turut menyampai ucapan Pengerusi Perhubungan PKR Kelentan Abdul Aziz Kadir, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail, Speaker Dun Kelantan Nasruddin Daud yang mengganti Tok Guru yang sepatutnya hadir tetapi terpaksa membatalkan kerana kurang sihat.

Semua pemimpin PKR peringkat cabang dan negeri hadir. Turut sama kelihatan di pentas dan sempat bersalam dengan saya, Angoota Exco Kelantan Dr Mohd Fadzli Hasan, Ahli Parlimen Kota Bharu Wan Abdul Rahim Wan Abdulah, Adun Gaal Dr Nik Maziah Nik Mohamad, Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Geaw, Pengarah JPP Pas Dr Mohd Hatta Ramli dan lain-lain.

Sebelum tiba di MDM Anwar telah mengadakan pertemuan dan berdialog rengkas dengan para mahasiswa dan juga blogers bertempat di Darul Quran di Labok. Anwar sempat memberi penjelasan kepada beberapa persoalan yang ditimbulkan termasuk mengenai masa depan Pakatan Rakyat sekiranya beliau di penjara.

Kata Anwar tanggapan Pakatan Rakyat akan berpecah dan hancur sekiranya beliau di penjara adalah tidak benar kerana Pakatan Rakyat diwujud atas ikatan perjuangan bersama. "Kita ada ikatan dalam pakatan sebab itu ia tidak mudah untuk dipecahkan," katanya.

Dalam kesempatan itu juga Anwar telah mengujungi veteran Pas Kelantan yang juga bekas pemimpin Kelantan dan Exco kerajaan negeri Ustaz Yahaya Othman yang kini agak keuzuran. Yahya juga merupakan kawan Anwar semasa sama-sama di dalam Abim dan mereka adalah di antara perwakilan dari Malaysia yang sering diundang oleh gerakan dakwah sedunia menghadiri seminar atau forum antarabangsa. [wm.kl.9:21 am 06/01/12]

Thursday, January 5, 2012

Lintas Lanngsung

Anwar Sedang Berunding Dengan Nik Aziz

Penasihat PKR Anwar Ibrahim ketika ini sedang meengadakan perjumpaan dengan Pesuruhjaya Pas Kelantan Tok Guru Nik Abdul Aziz di JKR 10 Kota Bharu. Iku sama dalam pertemuan yang dianggap penting dan sulit itu Timbalan Pesuruhjaya Pas yang juga timbalan menteri besar Ahmad Yaacob, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail dan Pengerusi PKR Kelantan Abdul Aziz Kadir.

Sebelum tu ketibaan Anwar di lapangan terbang Sultan Iismail Petra Kota Bharu disambut lebih 100 orang pemimpin PPK peringkat negeri dan cabang di Kelantan serta penyokong setia beliau diketui Abdul Aziz Kadir. Anwar tiba jam 4:45 petang.

Perundingan petang ini dipercayai berkisar soal pembahagian kerusi dan juga persiapan pilihan raya umum akan datang dan juga dipercayai ada kena mengenai dengan kemungkinan persiapan bagi menghadapi keputusan perbicaraan Anwar 9 Januari kelak. Berita seterusnya akan menyusul [kb.kel. 5:45 pm 05/12/12]

Wednesday, January 4, 2012

Susupan Pagi

Anwar Jumpa Nik Aziz Esok

Esok Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan 'terakhir' ke Kelantan sebelum beliau dijatuhi hukuman berhubung dakwaan liwat pada 9 Janauri. Dalam kunjungan itu Anwar akan mengisi beberapa program yang diatur oleh PKR Kelantan.

Sebaik sampai di Kota Bharu kira-kira jam 4:00 petang beliau langsung berjumpa dengan Pesruhjaya Pas Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat diikuti pertemuan beliau dengan Timbalan Pesuruhjaya Ahmad Yaacob.

Selepas itu akan ke Padang Kada, Melor melawat pondok tradisi. Di situ beliau akan bersembahyang berjemaah, solat hajat dan munajak.

Dari Padang Kala beliau akan ke Madu, Machang Kelantan
berjumpa dengan beberapa pemimpin NGO, penulis, bloger dan facebooker. Selepas itu akan ke Machang untuk berceramah umum bersama Nik Aziz dan beberapa pemimpin lain.

Lawatan atau acara paling penting Anwar di Kota Bharu ialah perjumpaan dengan Nik Aziz. Perjumpaan itu penting mengenai masa depan Pakatan Rakyat dan menjelaskan apakah plan kotengensi yang telah difikirkan.

Dalam pada itu difahamkan juga pertemuan itu turut membincangkan soal kerusi yang akan ditandingi oleh PKR di Kelantan. Anwar sudah mendapat formula untuk dibincang bersama Nik Aziz, Ahmad Yaacob dan pemimpin yang lain. Adalah dipercayai formula itu mengenai pembahagian kerusi yang perlu dikonsensuskan atau diberikan kata putus.

Di fahamkan formula yang bakal dikemukakan Anwar untuk mendapat persetujuan Pas ialah menukarkan beberapa kerusi. Sebelum ini Anwar dikatakan telah berbincang lanjut dengan seorang pemimpin kanan Pas Kelantan di rumahnya. Mungkin idea atau pun rumusan dibuat bersama pemimpin itu menjadi panduan Anwar.

Antara apa yang termasuk dalam formula itu ialah kerusi Parlimen Kota Bharu yang disandang oleh Wan Abdul Rahim Wan Abdullah kini diminta balik oleh PKR. Kerusi Kota Bharu asalnya milik PKR yang diganti dengan kerusi Machang. Kerusi Parlimen Machang yang kini disandang oleh Saifuddin Nasution akan diserah balik kepada Pas.

Saifuddin yang dikatakan bermasalah di Machang dan tidak memenuhi piawaian mengikut politik Machang khabarnya akan dihantar ke kerusi Kulim Bandar - Baru yang mana kerusi itu kosong apabila wakilnya 'terkena' air kencing Inchek Ibrahim Ali, bersikap memakan upah.

Formula itu boleh diterima dan dianggap adil dan saksama. Tetapi apa yang menjadi persoalannya, katanya Anwar ada calonnya sendiri untuk diletakkan di Kota Bharu. Nik Mahmod Nik Hasan yang pernah kalah di Kota Bharu ditangan Hajah Ilani Ishak akan dipertaruhkan untuk bertanding di Kota Bharu.

Kalaulah ini benar ia satu kesilapan. Nik Mahmod yang menolak untuk dicalonkan di Tanah Merah dalam pilihan raya lalu tidak mampu untuk membawa kemenangan kepada PKR di Kota Bharu. Banyak faktornya. Mungkin dia ramai saudaranya di sana, tetapi anggota keluarganya tidak cukup untuk menimbus jumlah pengundi.

Pengaruh PKR di Kota Bharu juga tidak sebanyak mana. Selain itu pergerakan Nik Mahmod sendiri terhad dan muncul sekali sekala saja dalam program kepartian di Kota Bharu. Penampilannya di Kota Bharu juga tidak menggambarkan dia sebagai seorang ahli politik.

Adalah dibimbangi kalau inilah antara formula yang akan disampaikan Anwar nanti ia akan memberi natijah buruk. Pengundi juga akan teruja dengan penampilan semula Nik Mahmod itu. Lebih malang lagi kalau orang membandingkan di antara keramahan dan kecaknaan ahli Parlimen sekarang Wan Rahim dengan Nik Mahmod.

Hendaknya Anwar tidak tersalah perhitungan dalam soal ini. Kalaupun Anwar percaya kepada kebolehan dan pengalaman Nik Mahmod dalam perniagaan tetapi jangan keterujaan beliau dalam aspek itu dibawa dalam politik kerana Nik Mahmod perlu mendalami banyak lagi dunia politik dan mempelajari juga bagaimana memperluaskan dagangan sosial politik.

Tegas saya katakan kalau PKR menurun Nik Mahmod di Kota Bharu ibarat kata kerusi Kota Bharu seperti diberi percuma kepada UBN dalam pilihan raya akan datang. Dicadangkan kalau Anwar teringin benar untuk memberi laluan sekali lagi kepada Nik Mahmod hantarlah dia ke Nenggiri di Hulu Kelantan biar bekas usahawan ini menuntut ilmu politik ala Kelantan di sana lebih dulu. [wm.kl. 9:20 am 04/12/12]

Tuesday, January 3, 2012

Susupan Petang

Kenapa Wan Rahim Nak Lepas Jawatan?

Berita yang saya dengar semalam Ahli Parlimen Kota Bharu Wan Abdul Rahim Wan Abdullah telah membuat kenyataan dia telah melepaskan jawatan Yang Dipertua Pas Kota Bharu berkuatkuasa 1 Januari 2012. Perkhabaran ini katanya ada diuar-uarkan dalam ruangan Fbnya.

Sejajar dengan itu juga beliau dikatakan tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Kota Bharu.

Berita seperti ini biasa dalam parti, orang yang sudah lama, berusia dan sakit-sakit wajar meninggalkan apa-apa jawatan yang dipegangnya dan sebaiknya menunjukkan pengganti berwibawa.

Tetapi tidak pula saya dengar yang Wan Rahim sakit atau uzur. Jadi kenapa beliau berhajat hendak tinggalkan Pas Kota Bharu? Apakah Pas Kota Bharu menghadapi apa-apa masalah waktu ini.

Tindakan melepaskan jawatan sebelum disuruh dan diasak adalah tindakan terpuji. Orang berjiwa besar selalunya akan bertindak demikian. Orang yang alim dalam politik pula usahkan batuk berdehem pun orang sudah dapat mentafsirkan apa maksudnya. Manakala orang yang uzur teruk selalunya akan berpindah rumah berhampiran pusara.

Rasanya orang boleh setuju kalau beliau melepaskan kerusi Parlimen Kota Bharu tetapi bukan jawatan dalam parti. Ahli Parlimen sebenarnya tidak sepenting jawatan dalam parti. Bagi mereka yang tidak memahami apa itu perjuangan, tanggungjawab saja merasakan menjadi wakil rakyat itu penting, dan jawatan itu kemuncak kepada perjuangan. Tanggapan itu sebenarnya salah. Kemuncak jawatan ialah kita mampu membawa kejayaan tanpa mengira apa kedudukan kita. Sebab itu dalam hal ini istiqamah lebih penting dari populariti.

Suatu malam ketika minum di sebuah hotel di KL, beliau secara spontan melafazkan di hadapan saya yang beliau sudah keletihan kerana tua. Katanya usianya sudah 62 tahun jadi padanlah dia menjadi wakil rakyat. "Saya rasa dah letih bagi ke orang muda pula," begitulah antara yang dilafazkan.

Saya tabik atas kesedaran Wan Rahim dengan keputusan itu. Saya puji tindakan itu kerana beliau tidak mahu menjadikan jawatan (wakil rakyat) sebagai bantal, lembek dan keranda dalam hidup. Beliau tidak pun sebut jawatan YDP , jadi bila jawatan juga hendak dilepaskan ia mengejutkan.

Tidak diketahui apa sebab musababnya. Rasanya kalau setakat kerana ada desas desus kerusi itu hendak diberikan kepada orang lain, ia tidak membawa kepada perletakan jawatan. Tentu ada masalah lebih besar. Saya tidak fikir Wan Rahim akan bertindak ke peringkat itu hanya kerana desas desus itu. Wan Rahim bukan setahun jagung dalam politik Pas Kelantan.

Satu perubahan yang dapat saya lihat akhir-akhir beliau banyak berperanan di luar Kelantan. Misalnya semasa berlangsung majlis Anak-anak Kelantan di Perantauan beliau begitu aktif. Dalam dua majlis besar parti yang diadakan hujung Disember lalu tidak ternampak kelibat wajahnya. Padahal kedua majlis itu tidak patut kalau orang seperti beliau tidak ada sama.

Dalam pada itu saya pernah terdengar yang beliau memperakui peranannya di Kelantan waktu ini tidak sehebat dulu. Beliau tidak diundang lagi dan apa-apa majlis tidak sampai ke pengetahuannya. Kenapa ini berlaku? Apakah disebabkan keadaan ini menyebabkan beliau memohon untuk melepas jawatan dan merasa tidak penting? Keacuhan terhadapnya itu menjadikan bekas Speaker Dun Kelantan itu berjauhan hati?

Kalau ini puncanya bagi saya Wan Abdul Rahim yang saya anggap sebagai salah seorang arkitek dan penganalisis politik Kelantan (statistik) tidak wajar merajuk atau berkecil hati. Masih banyak lagi cara dan kaedah lain untuk beliau boleh bergerak membantu parti kalaupun jawatannya disalin.

Sebagai orang lama dan berpengalaman ilmu yang ada kepada Wan Rahim tidak sepatutnya dilupakan begitu saja. Pas memerlukan 30 tahun untuk mendapat seorang Wan Rahim. Itupun belum tentu nilai dan kepakarannya sama dengan beliau. Mungkin boleh diberi laluan atau perlepasan kalau beliau tidak mahu menjadi wakil rakyat, tetapi untuk mensia-siakan kebolehan yang beliau ada satu kesilapan.

Malam kelmarin saya sudah menyatakan kekurangan dalam Pas Kelantan kini yang saya rasai kepada seorang yang menghubungi saya. Saya bagi tahu kepada orang itu jentera pilihan raya Pas semacam sedikit kelesuan dan tidak mantap. Lantas saya bertanya ke mana Wan Rahim dalam dua majlis yang saya jenguk?

Saya mencadangkan kepada orang itu, tenaga dan kepakaran Wan Rahim perlu dipergunakan sepenuhnya. Beliau tidak boleh dibiarkan, kata saya. Kalau pun ada orang ingin mengambil tempatnya, (kerusi KB) tetapi kena usaha agar beliau mempunyai tugas dan fungsi besar dalam menghadapi pilihan raya. Saya berseloroh mungkin Wan Rahim boleh dimanfaatkan menjadi Penasihat Jentera Piliharaya Pas Kelantan.

Biarlah kalau pun tidak mahu dia berperanan lebih luas, tetapi cukup untuk memastikan dia berada dalam ketumbukan jentera pilihan raya.

Serentak itu juga saya menyebut perihal Husam Musa boleh dilantik menjadi Pengarah Operasi Jentera pilihan raya. Manakala pengarah pilihan raya kekal kepada Pengarah JPPKn sekarang Wan Nik Wan Yusuf.

Ketiga fraksi ini perlu digembeling dan digabungkan. Kalau salah satu ketumbukan ini - Wan Rahim dengan pengalaman dan kepakarannya, Husam dengan kebolehannya memobilisasikan orang media dan juga bijak memancing isu jentera pilihan raya Pas akan menjadi lemah. Bukan bererti mereka yang dilantik mengemudikan jentera pilihan raya kini tidak layak tetapi dengan ada bantuan langsung kedua fraksi itu akan menjadi lebih kuat.

Adalah diharap Pas Kota Bharu tidak akan menerima perletakan jawatan Wan Rahim sebagai Yang Dipertua. Kalau beliau sudah uzur sangat, beliau boleh letak jawatan selepas pilihan raya atau menjelang muktamar depan. Tidak baik kita meletakkan jawatan saat kenduri besar hendak tiba? [wm.kl.3:10 pm 03.01/12].

Susupan Tengahari

Najib Razak Kena Tipas Di Pekan?

Ha Najib Razak menerima pukulan kecil tetapi memedihkan (kena tipas) apabila bekas Ketua Penerangan Umno Pekan yang juga bekas Adun Pulau Manis Mohd Ariff Sabri Aziz (foto) dikatakan telah meninggalkan Umno untuk menyertai DAP.

Walaupun Ariff kini hanya ahli biasa tetapi memandangkan beliau bekas pimpinan peringat bahagian Pekan dan bekas wakil rakyat tindakan Ariff itu memalukan Najib sebagai presiden Umno. Seperti mana yang dilaporkan dan dicatat dalam blognya "Sakmangkol", Ariff menjelaskan dia kecewa dengan perjuangan Umno kini.

Tindakan Ariff itu mencerminkan usaha Najib untuk melakukan transformasi Umno tidak menjadi dan mendapat kepercayaan orang yang berada di bawah dagunya sendiri.

Antara lain Ariff dipetik sebagai menganggap Umno kini telah bertukar menjadi Frankenstein yang tidak lagi boleh dikawal. Katanya juga Umno kini telah menjadi wadah untuk mencuri harta rakyat.

Mungkin apa yang dimaksudkan Ariff itu mengambil apa yang berlaku dalam NFC. Pemberian dana khas kepada orang Umno untuk membangunkan projek lembu gemuk bernilai RM250 juta cukup menjengkilkan beliau.

Katanya lagi Umno kini menjadi tempat orang Melayu meminta sedekah dan bukan pemberian rezeki kepada orang Melayu.

Berdasarkan catatan beliau di dalam blog yang dipetik itu memberi gambaran Ariff akan meninggalkan parti berkenaan dan akan menyertai DAP. Mengenai DAP pula kata Ariff dia kagum dengan parti berkenaan dan percaya DAP kini relevan dan berfungsi daripada Umno dalam membina negara demokratik dan bebas.

Beliau menunjukkan contoh, katanya; "dalam DAP saya boleh bercakap tentang jerih perih Melayu terpinggir dengan lebih bertenaga berbanding dengan di dalam Umno. Manakala Umno kini menutup sebelah mata terhadap rasuah dan salah guna kedudukan politik."

Sementara itu bekas tokoh Umno tahun 80-an Aspan Alis juga dikatakan meneyertai DAP. Beliau dikatakan akan bertanding di salah satu kerusi Parlimen di Negeri Sembilan dalam pilihan raya akan datang.

Saya akan cuba mendapatkan Aspan petang ini untuk mendapat penjelasan lanjut berhubung kedudukan dirinya dan juga beberapa remours yang bertiup ke belakangan ini. [wm.kl.1:28 t/hari 03/12/12/]

Monday, January 2, 2012

Susupan Petang

Faekah Tidak Perlu Layan RPK

Memanglah sakit juga telinga mendengar apa yang diperkatakan oleh Raja Putera Kamarudin (RPK) yang digarap dan dicerakinkan oleh media penjlat buntut semalam. Kononnya rasuah masih berlaku di dalam kerajaan Pakatan Rakyat, (Selangor) dan kononnya dia ada bukti bahawa huluran wang di bawah meja masih berlaku.

Tuduhan itu sesuatu yang serius. Sebagai sebuah kerajaan yang memandang berat soal rasuah dan berusaha untuk membasmikannya termasuk menyediakan peruntukan RM15 juta bagi membasmi rasuah, semamngnya tuduhan itu perlu jawaban dan penjelasan.

Tetapi apabila ianya diungkitkan oleh orang yang nun berada di Phukat Thailnad yang matanya tidak dapat ditentang apakah ia perlu dijawab?

Kepada saya Setiausaha Politik MB Selangor, Faekah Husin tidak perlu membuang masa untuk menjawabnya. Ia membazirkan air liur dan mengeringkan tengkuk saja. Juga tidak perlu menanggung perbelanjaan untuk RPK pulang hanya untuk melihat bukti yang dikatakan itu. Cara itu tidak akan menjawab masalah melainkan memberi peluang untuknya minum tea tarik dan nasi lemak di Dome Damansara sahaja.

Kalau RPK benar-benar ada bukti, biarlah dia dedah dalam blognya. Dia boleh guna blognya seluas mungkin dan boleh menangguk bayaran dari pihak yang akan untung dengan pendedahan itu. Hidup ini bukankah memerlukan wang walaupun wang itu ada cara lain untuk mendapatkannya. Orang tidak akan kata dia Trojan Horse kalau pun dia mendedahkan perkara itu.

Semua orang baik di belah Pakatan Rakyat dan UBN kenal dan arifbillah dengan RPK. Tahu siapa dia RPK dan tahu juga kelentung mengelentung segala macam isu-isu politik di negara ini. Pendedahan ataupun apa yang beliau tulis selama ini boleh dikaji dan dinilai tentang kesahihannya dan juga kepalsuannya. Wibawanya bukan terletak pada soal memutar bahasa tetapi faktanya.

Seperti kata Faekah kenapa dia serang Selangor, ekonomi Selangor ialah kerana Anwar Ibrahim menjadi penasihat ekonominya. RPK ada dendam tersendiri dengan Anwar yang tidak pernah diluahkan secara jelas dan berterus terang. Saya mungkin bersetuju kalau mengatakan Anwar bukan faktor lagi pada pilihan raya akan datang, tetapi dengan menyerangkan Anwar tanpa bukti jelas dan menampakkan ianya seperti disuruh sesuatu yang buruk dan boleh menjejaskan kredibiliti sebagai penulis.

Pendirian dan sikap RPK ini memang tidak mudah untuk difahami. Sikap dan ideologi politiknya liberal sama dengan fahamannya terhadap agama. Tulisan-tulisan dan ulasannya mengenai isu agama boleh didapati dalam blognya. Sesiapa mengikut pemikiran RPK akan mudah mengenal siapa dia dan untuk apa dia menulis dan tidak akan tergaru-garu kepala apabila membaca perubahan suhu dalam kepalanya.

RPK mula tidak menyerang Ha Najib Razak dan Rosmah Mansor sejak beliau dikatakan bertemu bertemu dengan Najib di Australia. Atau tepatnya sejak beliau mendapat liputan meluas dari media penjilat butut yang disiarkan dua malam berturut-turut. Sebelum ini Najib dan Rosmah adalah makanan siangnya. Tetapi selepas itu dia kehabisan cara untuk makan Najib mungkin makanan untuknya disaji begitu lazat sebagai pertukaran haluan. Saya tidak fikir dokumen mengenai kemasukan cicin permata sebesar penumbuk tidak di emailkan kepadanya.

Sedikit saya memberi maklumat mengenai RPK yang pernah saya tahu dan sempat berkawan dengannya di beberapa buah kedai kopi. Di awal refomasi beliau mendabik dada dialah pelopor refomasi menerusi internet. Dialah yang membela dan menggerakan pembebasan Anwar yang dipenjara. Dia dilihat begitu akrab dengan perjuangan reformasi Anwar. Dialah yang menyediakan bahan-bahan propaganda untuk reformasi.

Selepas itu dia beralih kepada Mahathir Mohamad. Pernah membuat liputan di pejabat Yayasan Perdana di Putrajaya. RPK juga pernah bersama Tengku Razaleigh Hamzah, mengadakan interviu dengan Tengku Razaleigh dan memberi ruang seluasnya dalam blognya. RPK juga pernah ke Kelantan mengusung segala perkakas ITnya untuk melaporkan secara langsung majlis melibatkan Inchek Ibrahim bin Ali al Kataki.

Perjalanan-perjalanan itu dapat kita mengenali akan masalah RPK. Akhirnya beliau terpaksa 'mengunsi' ke luar negara apabila beliau disaman dimahkamah sehingga waran tangkap dikeluarkan. Beliau sehingga kini tidak balik dan hanya berada di Phukat kampung isterinya. Selain itu saya juga mendapat tahu RPK sedang menghadapi masalah personal yang kronik yang kurang elok kalau saya sebutkan di sini.

Kalau RPK seorang pejuang rakyat, pembela negara, seorang berani kenapa beliau harus melarikan diri. Akhbar penjilat buntut yang menyiarkan temuramahnya panjang lebar itulah juga yang memburu RPK hingga di London. Yang membuat desakan agar polis menangkapnya di sana, dan polis pun memberi jaminan untuk membawa balik.

Alih-alih cerita itu diam begitu saja. Yang timbul kini RPK dilaporkan memberi tahu rakyat Malaysia selera rakyat kini sudah berubah. Orang mudah tidak lagi sokong Pakatan Rakyat. UBN akan menang besar. Perubahan nada itu seperti mana kata Faekah bukan sukar untuk difahami. Kalau burung merebok (ketitir) tiba-tiba berkokok seperti burung terkukur ibarat kata musim padi sudah tidak menjadi dan mengharap jagung berbuah pula.

Jadi Faekah tidak perlu mencabar Raja Petra Kamarudin biarlah dia bersuara sekuat mana kerana sebahagian rakyat sudah tahu dan kenal siapa dia. Apa lagi apabila suara itu dirakam oleh akhbar penjilat butut atau oleh media eletronik yang hidup seperti keldai perut labuh - sanggup memikul bebanan sehingga perut melerek ke bumi. Lagipun dia bersuara di kejauhan dan memberi maklumat sekadar hersay semata-mata. [wm.kl.4:09 pm 02/01/12]

Sebelum Beradu

Insiden Mahasiswa Dibelasah Polis
Mengapa Harussani Membisu?


Mufti Perlis Dr Juanda Jaya dan bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainal Abidin masing-masing telah memberi reaksi ke atas insiden polis membelasah membuta tuli sekumpulan mahasiswa di pintu UPSI Tanjung Malim, Perak malam tadi.

Asri menulis surat terbuka memberi pesan dan peringatan kepada polis. Menjelaskan tugas dan apakah sikap yang perlu polis negara ini amalkan. Asri juga menyebut tugas polis sebenarnya dan pasukan itu adalah satu pasukan terpuji. Justeru gulungnya harapan atau impian itu perlulah dipertahankan dengan bersikap lunak dalam tugas dan tanggungjawabnya.

Katanya menjadi tanggungjawab polis menjaga keselamatan, mencegah kemungkaran.

Dr Juanda pula mengeaksan anggota polis perlu mengambil tindakan dengan bijak dan bukan bertindak di luar batasan sehingga menyebabkan berlaku kecederaan orang awam.

Katanya sekiranya tindakan itu diambil dengan perasaan marah ia tidak akan menyelesaikan masalah sebaliknya akan bertambah teruk. Juanda barang kali nampak tindakan polis (FRU) di dalam kejadian itu diluar pertimbangan anggota pasukan keselamatan.

Beliau juga mencadangkan untuk mengelak insiden sampai tumpah darah ke bumi itu sepatutnya kedua-dua belah pihak berunding.

Saya puji atas kepekaan Juanda dan Asri dalam memberi reaksi. Seharusnya orang berilmu bangun segera memberi nasihat dan pedoman kepada mereka yang jahil mengenai hak dan kepentingan awam dalam konteks Islam. Para ulmak yang dilihat manusia soleh seharusnya bercakap dalam hal seperti itu dan bukan saja bercakap fasal anak bulan dan nilai zakat setiap tahun.

Tetapi saya merasa anih sedikit di mana Mufti Perak Harussani Zakaria. Biasanya beliau akan ikut memberi ulasan, pandangan dan nasihat bila terjadi sesuatu. Bila timbul isu Umno hendak berbaik dengan Pas beliau akan cepat-cepat iktidal memberi pandangan. Begitu juga bila Pas enggan bersama Umno beliau cepat-cepat memberi salam dan terus mengkritik Pas.

Katanya dia sanggup bekereta tengah malam dalam hujan pergi berjumpa Nik Aziz untuk mengajak Pas bersama Umno?

Tindakan Harusani selama ini seolah dia seorang ulamak yang celik dan peka. Dalam perihal Melayu beliau akan ke depan dan menyokong mana-mana NGO yang obses kepada Melayu. Harussani tidak peduli atau meneliti latar belakang NGO itu asal Melayu beliau akan puji. Akan keluarlah wajahnya di tv memberi pandangan dan sokongan.

Tetapi berlainan dalam kes mahasisiwa di belasah kali ini. Harussani diam membisu seolah merasakan kejadian itu tidak termasuk dalam kitab tegurannya. Apakah beliau masih belum selesai mendirikan solat tahjud atau solat Subuh. Atau beliau tidak ada dalam negeri. Kejadian di Perak di mana negeri yang dibawah takluki ilmu Harussani.

Saya tidak kira Harussani tidak mengetahui akan kejadian itu. Beliau mungkin sedang mendapat maklumat dari polis. Sebagai mufti beliau kena berhati-hati dan kena siasat dulu sebelum membuat teguran. Itu sifat ulamak. Sekiranya tindakan mahasiswa itu menentang pemerintah beliau terus akan diam.

Kita tunggu apa kata Harussani terhadap kejadian itu. Kita tunggu apakah fatwa beliau mengenai kejadian itu. Kita boleh kenal apakah dia Mufti untuk semua atau Mufti untuk satu puak sahaja. Adalah malang kalau tiba-tiba beliau mengeluarkan fatwa tindakan mahasiswa itu sebagai boleh disifatkan penderhaka kepada pemerintah. [wm.kl.12:24 t/malam 02/01/12]

Sunday, January 1, 2012

Susupan Malam

Rosmah, Lembu Adalah Dua Maskot Politik

Orang
Umno yang besar-besar nampaknya semua ada penyakit atau liabiliti tersendiri. Liabiliti ini tentu akan dijadikan isu pada pilihan raya akan datang. Walaupun liabiliti atau isu peribadi ini tidak manis dan tidak profesional dijadikan modal untuk menyerang di antara satu sama lain, tetapi nama lagi politik ia tidak akan mengenal siapa mangsanya dan pemainnya akan menggunakan apa jua senjata termasuk bola api.

Dalam politik kawan menjadi lawan, lawan menjadi kawan, putaran itu berterusan sepanjang masa akan berterusan zaman berzaman selagi ada politik. Sebab itu ada orang mengatakan politik itu kotor yang dikotorkan oleh pamancunya.

Begitu juga di pihak Pakatan Rakyat, tokoh-tokoh mereka selain dari Anwar Ibrahim ada isu atau penyakitnya. Masing-masing ada liabiliti atau pun tanggungjawab yang boleh membawa kerugian.

Buat permulaan biarlah saya menyenaraikan isu-isu atau penyakit yang dihidapi oleh ahli politik di sebelah Umno dulu. Saya mulakan dengan orang nombor satu Umno Ha Najib Razak. Apakah penyakit Najib Razak? Dia bukan seorang penghidap barah tulang atau barah darah yang kronik (leukemia) seperti arwah bapaknya.

Tetapi penyakit atau pun isu yang membelenggu Najib ialah isterinya, Rosmah Mansor. Peranan, pengaruh dan juga gila glamour Rosmah akan menadi liabiti kepada Najib. Pergilah ke mana-mana dan tanya siapa orang akan mengatakan Najib bagus, tetapi isteri yang buruk. Wanita yang berparut di dahi itulah pembawa masalah dan sialnya.

Bekas seorang pemimpin tertinggi negara jiran pernah menyebut tentang Najib. Katanya kalau Najib hendak jadi PM dia harus menceraikan Rosmah Mansur. Nauzubalihiminazalik. Tidaklah kita memaksa Najib sampai ke situ tetapi cemuhan orang kepada Rosmah yang merosakan reputasi Najib sampai ke tahap itu. Ertinya Rosmah dengan gelagat, fiil dan perangainya menjadi masalah kepada Najib.

Kesimpulannya Najib tidak rosak dengan harta, dengan lembu tetapi rosak oleh isterinya sendiri yang gila glamour dan bertindak lebih sudu dari kuah. Saya yakin dalam pilihan raya nanti Rosmah akan menjadi isu untuk memburukkan Najib bin Razak. Poster Rosmah bersama cincin, selonggok kasut, beg tangan berjenama atau gaya dia sedang 'berkhasidah' di depan karaoke akan dipamirkan seluas-luasnya.

Seperti saya kata tadi kandati isu atau liabiliti bersifat peribadi itu tidak manis, tetapi nama lagi politik ia tetap akan dimain dan akan dipusing bagaikana piring hitam lama. Makanya Rosmah akan menjadi 'algojo' kepada politik Najib dalam pilihan raya kelak. Rosmah adalah maskot politik Najib.

Orang kedua yang akan berbelit dengan isu peribadi ialah Sharizat Jalil. Isu yang akan ditaburkan kepada Sharizat ialah isu projek lembu gemuk (NFC) yang diuruskan oleh suaminya, Mohamad Salleh. Walaupun Sharizat tidak terlibat tetapi kerana Mohamad Salleh suaminya, dan para pengarah di syarikat NFC itu anak-anaknya yang bergaji sampai RM40,000 sebulan, Sharizat tidak dapat lari dari isu lembuk gemuk itu.

Sudah lumrah dalam politik orang akan selak bukan saja setakat lengan tetapi sampai ke paha sekali. Sebab itu kalau kita ada kudis, panau, kurau dan jerawat... jangan sesekali cuba hendak masuk politik. Apa lagi kalau kita mempunyai rekod buruk, main dengan isteri orang, ambil isteri orang, bawa lari anak muda dan sebagainya, ia akan mengancam kita. Satu hari kisah-kisah lama yang sudah berlapuk dalam surat itu akan diungkit balik.

Tentang isu yang membelenggu Sharizat, bersumpah laknatlah Sharizat di 100 masjid di seluruh negara hatta termasuk masjidi Haram di Makkah dan masjid Al Aqsa di Palestin, orang tidak percaya. Selagi tudung kepala Sharizat tidak menutup rambutnya ussahlah bersumpah dan mengatakan tidak. Bau hamis tahi lembu dan lendir air liurnya tetap 'terselet' kepadanya.

Sharizat kena tanggung dan pukul liabiliti itu. Kalau takdir dia bertanding lagi dalam pilihan raya ke-13 nanti pasti banting kempen di pihak Pakatan Rakyat akan penuh dengan foto-foto lembu, gambar banglo di Bangsar dan juga di Temasik. Justeru maskot politik bagi Ketua Wanita Umno itu selama dia berkecimpungan dalam politik ialah LEMBU. Boooo!

Bersambung dengan tokoh-tokoh lain pula. [wm.kl.10:41 pm 01/01/12]

Ulasan Isu

Guna Wang Zakat Untuk Bayar Peguam

Mahsitah Atau Jamil Khir Berbohong?

SEMALAM media penjilat buntut menyiarkan penjelasan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Mohd Jamil Khir Bahrum berhubung isu pengambilan wang zakat untuk membayar fee guaman isu qazaf. Khir menjelaskan tuduhan Pakatan Rakyat tidak benar, di mana wang sejumlah dimaksudkan itu bukan saja untuk fee guaman qazaf tetapi kes-kes lain juga.

Wang itu katanya adalah dari dana khas Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIP) untuk bayaran guaman.

Penjelasan Khir itu tidak menyakinkan dan cuba tidak bercakap benar walaupun Islam mengajar umatnya berkata benar walaupun pahit. Dia cuba ‘klu klik’ untuk melepaskan dirinya dalam isu tersebut yang kian membelit dirinya kini. Dengan isu itu orang mula melihat Khir juga pengamal budaya Umno kelas alpa.

Di kesempatan itu dia juga menjelaskan tentang rumahnya yang ditimbulkan media massa. Katanya isu rumah beliau juga tidak dilihat dari awal bagaimana rumah itu dibina. Katanya dia bina rumah itu dengan pinjaman bank dan masih membayar sampai kini.

Penjelasan itu juga tidak konkrit dan tuntas. Kalau hadith ia bukan hadih sahih yang lengkap dengan perawinya. Kalau Khir setakat memperkatakan sesuatu isu atau perkara itu dengan hujah akal (akli) dan bukan nakli (dalil-dalilnya) dalam konteks ini bukti sukar dipercayai, malahan perlu ditolak. Apa lagi dalam partinya banyak mengamalkan hadith palsu (dhaif).

Cuba Khir keluarkan pernyataan bank pembayaran rumahnya dan jumlah loan yang dibuat. Akal manusia waras termasuk kanak-kanak di Tadika Kemas merasa tidak munasabah kalau pendapatannya sebagai menteri yang gaji hanya setakat RM30 ribu sebulan beliau dapat menyambung rumah dua kali dalam masa tidak sampai tiga tahun. Khir jadi menteri baru tiga tahun. Apa lagi budak Taski lagi tidak percaya.

Lainlah kalau Khir menggadai mana-mana asset atau jual lembu gemuk, baru ada logiknya. Apakah Khir juga ada terlibat dengan projek lembu gemuk atau sewaktu dengannya? Tidaklah pula diketahui.

Saya tidak mahu mengulas penjang mengenai penjelasan Khir tentang fee guaman itu. Dibawah ini nanti disertakan kenyataan akhbar oleh Pengarah Komunikasi Keadilan Nik Azmi Nik Ahmad. Baca dan nilailah sendiri.

Apabila saya membaca kenyataan akhbar itu apa yang boleh saya simpulkan berlaku percanggahan penjelasan oleh Jamil Khir dengan timbalannya sitapai mala, Mashitah Ibrahim.

Di sini siapa yang benar dan siapa yang salah. Atau mungkin juga kedua-duanya bersalah kerana mereka dari plenet yang sama, iaitu plenet Umno. Atau Mashitah benar dalam jawabannya itu. Umum sudah tahu Mashitah ada masalah dengan Jamil Khir. Apakah Mashitah mendedahkan yang benar dan sengaja tidak selari dengan penjelasan Khir kerana hendak balas dendam? Hendak mengajar Khir tinggi dan rendah dunia politik. Kedua-dua mereka ini katanya bergaduh fasal hendak monopoli Tv Hijrah. Mula kroni Mashitah mendapat projek di tv itu tetapi bila Khir naik jadi menteri segala projek itu dipotong?

Atau kedua-duanya berbohong? Elok sangatlah PKR buat laporan polis dan SPRM supaya Khir disiasat. Kalau boleh buat sama laporan ke atas Awang Adek Hussein dan tiga pegawainya yang mengaku ada terima wang ‘sedekah’ RM100,000 untuk program parti menerus akaun peribadi. Kedudukan atau status wang yang diterima dan dibelanja Awang Adek untuk parti itu masih menjadi tanda tanya.[wm.kl.10:10 01/01/12]

Berikut kenyatasan akhbar yang diemailkan kepas asaya:

SKANDAL ZAKAT: JAWAPAN JAMIL MASIH BERCANGGAH DENGAN MASHITAH DAN KETUA AUDIT NEGARA

Akhirnya Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Jamil Khir Baharum tampil memberikan jawapan bahawa pembayaran kos guaman beliau bersama Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Datuk Che Mat Che Ali dan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan Shamsuddin Hussain bagi menghadapi kes qazaf Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan peruntukan kerajaan, bukannya wang zakat.

Namun Jamil Khir tidak menjawab percanggahan jawapannya dan MAIWP pada hari ini dengan jawapan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mashitah Ibrahim, Peguam Zainul Rijal Talha dan Amir dan Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang.

Pada 21 Jun 2011, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr. Mashitah Ibrahim (timbalan Jamil sendiri) mengakui bahawa kos guaman dibayar menggunakan peruntukan zakat ketika menjawab YB Saifuddin Nasution di dalam perbahasan Perbekalan Tambahan 2011 di Parlimen.

YB Saifuddin sendiri telah menunjukkan baucer bayaran yang secara terang menulis bahawa pembayaran dibuat menggunakan wang zakat.

Pada 23 Jun 2011 peguam Zainul Rijal Talha dan Amir meminta pandangan Mufti Wilayah Persekutuan tentang penggunaan wang zakat bagi membiayai kos guaman.

Pada 21 November 2011, Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang mengesahkan bahawa kos guaman dibayar menggunakan peruntukan zakat pada Februari dan April 2010 meskipun akhirnya digantikan pada hujung tahun 2010. Ini memandangkan geran kerajaan tidak dapat menampung pembayaran yuran guaman tersebut. Namun sekalipun menerima geran kerajaan sebanyak RM700,000 pada 22 Jun 2010, pembayaran semula kepada wang zakat hanya dibuat pada Disember 2010 sebagai proses ‘pelarasan semula’.

Jamil seharusnya tahu bahawa pemulangan semula wang tersebut tidak menjadikan tindakan awal menggunakan wang zakat itu tindakan yang betul sama ada daripada segi hukum syarak mahupun prosedur perbendaharaan kerajaan.

Lainlah sekiranya Jamil menganggap dirinya salah satu daripada lapan asnaf yang berhak menerima zakat. Sekiranya Jamil beranggapan demikian, tidak perlu lah dipulang semula wang tersebut menggunakan geran kerajaan!

Justeru jawapan Jamil setakat ini masih tidak menjawab persoalan yang dibangkitkan. KEADILAN tetap akan membuat laporan polis pada minggu hadapan.

NIK NAZMI NIK AHMAD

PENGARAH KOMUNIKASI

KEADILAN

Marah Pagi

Pukul Mahasiswa: Polis Pakai Undang-Undang Mana?

SEBAIK membuka Fb pagi ini terkejut apabila membaca beberapa catatan mengenai kejadian mahasiswa di belasah polis di UPSI. Ada yang disertakan gambar mahasiswa yang luka berjahit di kening, terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri di atas kereta sorong, gambar kereta Kancil dipecahkan cermin dan sebagainya.

Menurut catatan rakan-rakan dalam Fb kejadian itui berlaku sekitar jam 2:00 pagi tadi di perkarangan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim.

Melihat kepada gambar dan laporan yang ditulis, tindakan polis itu sudah melampau. Walaupun apa alasan, ianya melampau. Polis tidak sepatutnya melakukan demikian rupa kalaupun ingin menjaga perdana menteri, Najib Razak. Pelajar atau mahasiswa tidak patut dipukul hingga pangsan. Mereka bukan merusuh atau membuat jahat hanya tunjuk perasaan.

Itu bukan hendak soal dari segi ethnik lagi. Kalau kita soal itu lagi terasa pilu dan sedihnya kerana semuanya adalah bangsa Melayu. Yang pukul tentu Melayu dan yang kena pukul juga Melayu. Saya tidak fikir polis akan hantar polis Cina dan India untuk pukul Melayu.

Kenapa pukul mereka? Mereka adalah anak-anak kita yang bakal mewarisi negara di masa depan. Kalau kita waras dan bertimbang rasa aksi dan himpunan mereka itu tidak ke mana. Mereka hanya ingin melepaskan perasaan ke atas sesuatu yang mereka tidak setujui sahaja. Dan gelagat mereka itu lumrah bagi anak-anak muda seusia mereka.

Katanya mereka berhimpun kerana menuntut AUKU dihapuskan. Sambil mendesak mereka usung keranda di atasnya ada gambar Najib. Apakah salah perbuatan mereka itu? Najib tidak akan terhina kalau sekadar gambarnya diletak atas keranda, dipijak hatta dibakar. Maruah seorang pemimpin itu bukan terletak di situ. Kalau Najib bisa, bijak, cerdik dan mampu membawa rakyat ke alam cerah, Najib tetap akan disanjung. Kalau Najib dapat memacu ekonomi negara dia akan menang pilihan raya. Kalau dia dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyatnya dia akan disanjung.

Bagi saya adalah pandir polis yang mengarahkan agar mahasiswa yang berhimpun tidak sampai 10,000 itu dibelasah macam anjing. Kalau polis-polis berkenaan sudah lama tidak melepas geram dan belasah orang mereka boleh diajak masuk hutan kejar babi hutan. Belasahlah, tetapi bukannya mahasiswa.

Baik Najib, Hishamuddin Hussein, Udin anak Yassin perlu mengambil perhatian berhubung insiden berkenaan. Ketua Polis Negara juga kena tenguk apa yang anak buahnya yang menggila dibawah. Sepatutnya polis yang mengarahkan mahasiswa itu dibelasah dikenakan tindakan. Mereka juga patut dibelasah.

Tugas, tugas juga khidmat, khidmat juga. Tetapo motto berbunyi Selalu Tebapat dan Betul kena dipatuhi juga. Polis perlu malu kepada lambang Allah yang tertera dihadapan topi yang mereka pakai. Allah tidak menyuruh kita membelasah manusia secara membabi buta. Lagi pun tugas polis menjaga keselamatan, mengawal keselamatan bukan membelasah orang.

Tidak ke mana himpunan itu. Mereka tidak perlu dipukul dan cermin kereta dimusnahkan. Itu para SB yang selalu suka dan bangga dengan kerja mereka sebagai provokor dalam apa-apa episod demonstrasi perlu insaf dan sedar. Bahawa perbuatan dan tindakan mereka itu tidak menguntungkan sesiapa pun. Mereka boleh bangga tetapi kebanggaan itu seperti duduk atas tahi lembu.

Inilah wajah dan rupa pasukan polis kita. Kalau kita kata polis kita jahat, ala Mossad mereka akan marah. Tetapi mereka perlu sedar dengan tindakan mereka berlebihan ada cici-ciri Mosaad. Biarlah Rahim Noor seorang digelar Mosaad tetapi tidak yang lain. Cukuplah Rahim Noor mencatatkan sejarah hitam dalam pasukan polis tetapi janganlah biar ada perangainya kepada cucu cicitnya dalam pasukan polis.

Kita tidak marah kalau polis membelasah dan memukul sampai mati terhadap penjenayah. Pukullah. Tetapi mahasiswa bukan penjenayah. Undang-undang mana yang diguna pakai polis untuk memukul mahasiswa. Kita selalu mengakui polis kita canggih, cekap, berdiplomasi, bertaraf dunia, tetapi dalam kes-kes tertentu kita lebih tersuk dari askar Jepun.

Kepada mahasiswa pun satu. Kalau hendak berhimpun jangan gunakan malam 1 Januari. Untuk apa kita mengambil sempena berhimpun pada malam yang tidak ada sedikit nilai pun dalam kehidupan kita. Mungkin kerana tarikh dan masa itu tidak memberi apa-apa signifiken lah menyebabkan musibah itu berlaku. 1 Januari sebenarnya malam yang penuh kecdelakaan dan kemaksiatan. [wm.kl.8:15 am 01/01/12]

Catatan: Gambar atas salah seorang mahasiswa yang dibelasah sehingga hidung dijahit.