Thursday, January 12, 2012

Komentar Pagi

Muhammad Alwi Belum Cerdik Politk

Pagi ini baru saya tahu kenapa Annuar Musa tidak mudah untuk menyerahkan jawatan ketua Umno Bahagian Ketereh kepada kawan sepencari ikan sepilarnya, Muhamad Alwi Che Amat. Ikutkan adat sudah lama Annuar perlu menyerahkan jawatan ketua bahagian kepada sahabat sekolajnya itu.

Bintang politik Annuar kini sudah pudar dan menunju ke gelapan. Annuar sudah mengalami kekalahan dalam segenap kubang politik. Kalau bukan kerana "gedebe merah" yang disokong padu oleh anak-anak muda kebanyakannya berjiwa hijau, sudah lama Annuar terbungkus dalam acak macam Pak Dogol, Samat, Wak Yah dan lain-lain watak sesudah keletihan dan tamat berlari di kelir putih.

Selain itu maruah dan reputasi dirinya turut tercalar dan kelihatan kotor bila dikaitkan dengan beberapa kejadian dan skandal. Misalnya pengelidahan rumahnya oleh SPRM serta 'pemenjaraan' Mercedes WCA 1 disyaki berhubung wang rakyat termiskin PPRT memberi kesan buruk kepada maruahnya.

Selain itu Annuar satu kejadian atau peristiwa yang mengstigma di dalam kepala rakyat Kelantan sungguh dikesali ialah apabila Annuar dikatakan telah menobatkan Tengku Ibrahim Indraputra sebagai sultan Kelantan di bawah pohon ketapang di Ketereh.

Keburukan itu ditambah lagi dengan Annuar Musa juga dilihat menampalkan dirinya sebagai pemimpin yang sombong dan angkuh, yang tidak begitu mengambil berat kepada rakyat negerinya sendiri.

Semasa menjadi timbalan pengerusi selepas itu dinaikkan pangkat menjadi pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan dan juga menteri, Annuar tidak pernah berikhtiar untuk membangun Kelantan seadilnya sebaliknya menutup peluang yang ada kepada Kelantan.

Beliau gagal menggunakan kuasanya sebagai ketua Umno untuk memberi keadilan sebaliknya beliaulah dikatakan melarang keras Kelantan dimajukan. Sikap ego Annuar dan dasar aparteid masa itu akhirnya merugikan dirinya sendiri. Hari ini apalah jasa dan bakti Annuar kepada Kelantan sepanjang penglibatannya sebagai pemimpin Umno Kelantan. Annuar tidak memiliki apa-apa mercu tanda politik. Rakyat Kelantan tidak pernah merasai walaupun secebis budi Annuar.

Berlainan dengan Muhammad Alwi, beliau hanya kalah sekali saja di Dun Kok Lanas, selepas itu menang sebagai ahli Parlimen Ketereh kemudian kini menyandng Adun Kok Lanas. Beliau tidak dikaitkan dengan sebarangan penyelewengan kecuali dikenali sebagai ahli politik "bobok". Bobok ini ialah nakal, lucu dan tidak berapa senonoh. Ada juga iras-iras cerdik bodoh, bodoh cerdik.

Kelebihan Muhammad Alwi juga dia seorang anak tok guru, Tok Guru Haji Che Mat (walaupunpun tok guru itu tidak dikenali oleh tok guru Nik Aziz). Tok Guru Che Mat ayah Muhammad Alwi ini dikatakan meninggal dunia secara msiteri. Orang Ketereh khususnya kampung Kerawat mengetahui cerita ini.

Kehebatan besar Muhammad Alwi yang tidak ada kepada Annuar Musa ialah, beliau dilahirkan di Makkah dan tali pusatnya dimakamkan di sana. Dalam erti kata lain Muhammad Alwi mempunyai status dua warganegara, Malaysia Kelantan dan Makkah Arab Saudi.

Atas kehebatan itu sepatutnya Annuar Musa telah menyerahkan jawatan ketua Umno Ketereh dan beliau boleh berihat. Tetapi kenapa Annuar Musa tidak serahkan kepada Muhammad Alwi? Ada sebab dan alasannya.

Pagi ini baru saya tahu akan sebab dan musbabnya. Rupanya jauhari mengenali manikam. Annuar sudah tilik dari segenap jerung dan segenap sudut luar dan dalam akan sejauh mana kemampuan dan kecerdikan Muhammad Alwi. Seseorang yang hendak jadi ketua, jadi pemimpin memerlukan beberapa ciri-ciri dan sifat-sifat tertentu. Antaranya ialah kecerdikan akal dan ketinggian budi. Kepetahan bercakap dan juga tahu meletakkan nilai buah yang dicakapkan. Dalam pada itu dia perlu juga mendengar kata orang lain dan tidak menganggap semua pandangan dan idea kita bernas.

Hujah juga perlu kemas dan perlu mantap barulah ianya diterima dan dianggap orang kita sebagai pemimpin yang hebat dan berkualiti. Tetapi kalau hujah tidak mantap, lemah dan bertaraf kebudak-budakkan macam mana kita hendak jadi pemimpin. Pemimpin akan diuji dan dilawan hujannya sepanjang masa. Kehebatan atau pun ukuran 'kebisaan' seseorang pemimpin apabila ialah pada hujah-hujahnya.

Rupa-rupanya sebab kenapa Annuar Musa tidak melepaskan kepada Muhammad Alwi jawatan ketua Umno Ketereh kerana kelemahan itu. Muhammad Alwi dangkal dalam membawa sesuatu hujah. Semasa berucap dalam perhimpunan agung Umno sebagai wakil Umno Kelantan baru lalu saya perhati hujah-hujah yang dikemukakannya mantap dan mampan. Saya kagum. Tetapi baru saya tahu rupa-rupanya ucapan dan butir perbicaraan itu ditulis dan ideanya adalah perkongsian dengan beberapa pemimpin lain.

Memang hujah Muhammad Alwi atau pun campur tangan dia dalam isu-isu yang dibangkitkan meletakkan dirinya kurang cerdik dan cetek. Mungkin perkara ini tidak disedarinya kerana dia syok dengan kebolehannya membaca petikan hadith sedangkan pemimpin Umno lain agar jahil walaupun tidak sedia mempraktikannya.

Misalnya cadangan beliau supaya Abdul Hadi Awang juga dipecat dari Pas sama Hasan Akidah seperti mana dilaporkan hari ini jelas menunjukkan kedangkalan idea dan akalnya. Muhamad Alwi berkata Abdul Hadi juga membelakangkan parti kerana telah mengadakan perjumpaan dengan Abdullah Badawi untuk menubuh kerajaan perpaduan, maka presiden Pas itu patut dipecat.

Tegas beliau beliau tahu kerana beliau juga terlibat dalam mengatur perundingan. (Untuk pengetahuan Muhammad Alwi saya juga tahu. Pertemuan dan perundingan untuk penubuhan itu diadakan di sebuah hotel di Damansara terletak tidak jauh dari rumah Hasan Akidah dan Abdullah Badawi). Oh rupanya Muhamad Alwi juga terlibat sejauh itu? Di bawah kanun keseksaan Akta 301 orang terlibat juga boleh dihukum gantung.

Memang cadangan untuk menubuhkan kerajaan perpaduan itu dibantah oleh Tok Guru Nik Aziz sebab beliau diberi maklumat dan cocokan yang salah. Tetapi untuk pengetahuan Muhammad Alwi selepas Pas tidak menerima cadangan itu Abdul Hadi tidak terus berusaha untuk melaksanakannya. Dalam kata lain Hadi akur kepada keputusan jemaah. Bila muktamar membuat keputusan dan ketetapan Hadi tidak lagi terus menerak untuk membentuk kerajaan perpaduan.

Isu Hasan Akidah dan Abdul Hadi berlainan yang sepatutnya difahami oleh Muhammad Alwi yang berhajat untuk jadi Ketua Umno Ketereh itu. Sebagai orang bakal menjadi pemimpin hebat Muhammad Alwi tidak sepatutnya mengulas isu-isu kacang butir atau cuba mengambil kesempatan perkara yang furuk.

Tetapi nampaknya Muhammad Alwi naif benar untuk memahami keadaan itu. Kalau hal seprti itu pun Muhammad Alwi gagal untuk mentafsirkan dan mengelak dari menjadi isu murahan, jadi macam mana Annuar akan melepaskan ketua Umno Ketereh. Ada logiknya juga kalau Annuar terus berminat dan berhajat bertanding di kerusi parlimen Ketereh sekali lagi.

Untuk pengetahuan Muhammad Alwi, pemecatan Hasan Akidah bukan kerana beliau telah mengunjungi rumah bekas perdana menteri, tetapi kerana sebab musabab lain. Kalaulah Pas hendak pecat ahli kerana berjumpa dan berunding dengan pemimpin Umno, tentu ramai yang ahli kena pecat. Yang berunding dengan pemimpin Umno dalam mencari penyelesaian politik bukan saja Abdul Hadi, atau Hasan Akidah tetapi ramai lagi.

Itu Husam Musa, Mustapa Ali, Nasharudin Mat Isa (jadi tukang ikut), Abdul Halim Abdul Rahman, Wan Rahim Wan Abdullah), Mahfuz Omar, Sallahuddin Ayub hatta Muhammad Sabu semua berjumpa dan berunding dengan pemimpin Umno. Malahan ada yang mendapat bantuan dari pemimpin Umno mengikut gran seperti dijanjikan perlembagaan negara. Nik Aziz sendiri juga pernah berjumpa empat biji mata dengan Mahathir Mohamad. Apakah Nik Aziz perlu membuat harakiri?

Tetapi mereka berjumpa dan berunding bukan seperti Hasan Akidah. Perjumpaan mereka dimaklumkan kepada parti. Apabila parti membuat rumusan dan keputusan mereka akur. Berlainan dengan Hasan Akidah dia tidak akur kepada keputusan parti, aktiviti dan gerak gerinya terus menerus menimbulkan keraguan kepada parti. Hasan sepanjang masa selepas keinginannya untuk jadi MB Selangor dia membelakangkan parti. (Saya akan tulis dilain kali bagaimana Hasan begitu excited untuk jadi MB).

Tindakan parti terhadap Hasan itu adalah tepat dan alasannya bukan yang Muhammad Alwi perkatakan itu. Nasihat saya kalau pun Muhamad Alwi hendak bercakap bagi meriuhkan suasana carilah topik atau isu lain yang lebih bernilai dan boleh meletakkan diri anda sebagai seorang politician yang mampan. Jangan sesekali hendak mencuri duit di sebalik bakul jualan orang lain, nampak sangat kita lemah dan kehabisan modal untuk memulakan perniagaan.

Ingatlah berbanding beberapa sisi lain anda masih terbaik dari kalangan 12 ketua bahagia Umno yang ada hari ini termasuk juga dari segi intgeriti dan ilmu agama. Sepatutnya Muhammad Alwi menyedari kelebihan beliau dalam soal ini.
Betulkah baru-baru ini Mat Maslan kena cndeh ke lembu? [wm.kl.11:40 am 12/01/12]

Glosori:

Cendeh ialah tendang ataupun kuis selalunya digunakan dengan kaki belakang.

Wednesday, January 11, 2012

Susupan Malam

Apakah Melayu Mahu Bersorak Dalam Neraka?

Bapa pemuda yang membuat laporan polis kononnya Anwar Ibrahim telah meliwatnya di kondo menyatakan kepada media akan merayu pihak pendakwa agar membuat rayuan ke atas keputusan Hakim Mohamad Zabidin Mohd Diah yang dibuat semalam. Bapa remaja yang semasa bersama Anwar kerjanya sebagai pembacuh kopi itu tidak berpuas hati dengan keputusan hakim itu.

Saya termenung dan berfikir ligat mencari apakah signifiken yang bapa si pembacuh kopi itu mahukan. Sebelum ini si pembacuh kopi (tuan punya diri) dalam memberi reaksi kepada keputusan itu mengatakan dia redha dan mengharap mahkamah akhirat pula akan mengadili dakwaannya itu. Apakah ertinya apabila dia berkata begitu dan dalam masa sama terus mendesak agar pendakwa membuat rayuan? Bukan itu tidak amanah dengan kata-kata sendiri dan satu pengkhianatan? Satu dendam tidak berpuas hati?

Pendakwa sedang meneliti hujah penghakiman. Kalau di dalam hujah itu ada ruang untuk mereka merayu, mereka akan membuat rayuan. Itu kerja mereka. Di tahap ini bukan pembacuh kopi, bapaknya atau kumpulan yang menyokongnya yang seramai 45 orang hadir dan duduk dalam masjid Wilayah Persekutuan itu perlu mendesak pendakwa.

Pendakwa yang bekerja secara profesional tahu akan tugas dan tanggungjawabnya. Mereka tidak akan mengikut telunjuk sesiapa, begitu juga kepada pihak yang memberi pandangan rayuan itu tidak perlu.

Ada bahayanya juga kalau pendakwa di desak. Orang akan menyuluh ada agenda lain di sebalik desakan itu. Orang akan berfikir dan mencari sebab kenapa si pembacuh kopi itu beriya untuk melihat Anwar dipenjara. Getah nangka desakan itu tentu akan terkena dan terleset kepada pihak kerajaan dalam hal ini Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor.

Bila ini berlaku orang tidak akan melihat si pembacuh kopi itu menuntut keadilan untuk dirinya. Dia hanya mungkin menjadi alat atau watak yang diajar supaya berlakon demikian. Ingat atau tidak si pembacuh kopi ini pernah berjumpa dengan seseorang yang membenci kepada Anwar di Rawang dari jam 9 malam hingga 4 pagi. Untuk apa perjumpaan itu? Pertemuan selama itu bukan setakat bersua muka melainkan untuk membincang dan mengatur sesuatu strategi.

Dari senario ini saya melihat pembacuh kopi bukan ada agenda untuk dirinya sendiri. Dia tidak ada apa-apa kepentingan politik. Tidak pernah dia melafazkan kata untuk menjadi perdana menteri. Jadi tidak perlu dia bertindak lebih jauh. Justeru ada orang lain yang menjadi dalang kepadanya dan mahu mengambil kesempatan ke atasnya.

Berdasarkan itu saya cukup yakin dalang inilah yang mengajar si pembacuh kopi agar mendesak pihak pendakwa membuat rayuan. Dalang inilah yang tidak puas hati. Mereka kini dalam kecemasan dan menggeletar kerana Anwar berada di luar. Buat ketika ini Anwar bersama isterinya Dr Wan Azizah berada di Turkey dalam majlis bersama Tyoib Erdogan sedangkan dia (si dalang malang) masih melungu di gerai kopi di Shah Alam.

Memang ada yang puas hati dan tidak puas hati dengan keputusan semalam. Bagi pembacuh kopi dia sepatutnya sudah berpuas hati kerana laporannya berjaya diambil tindakan sehingga Anwar didakwa dan telah menyebabkan Anwar bersusah payah berulang alik ke mahkamah. Bayangkan betapa perasaan dan maruahnya tercalar balar dengan pendakwaan itu.

Kalau si pembacuh seorang beriman, ikhlas dan jujur sebaik keputusan dibuat dia akan berjalan ke arah Anwar memohon maaf kepada apa yang berlaku. Tidak salah, dan itulah budaya atau natijah yang mahu diterbitkan dalam sesuatu perbicaraan dalam Islam. Saya rasa kalau dia melakukan itu dia akan disanjung tinggi atas keberanian dan sikap kejantanan agamanya.

Kita semua orang Islam. Anwar orang Islam yang dituduh sebagai pluralisme, pembacuh kopi itu juga Islam, dan para dalang yang menjadi penasihat kepada pembacuh kopi juga saya yakin masih berakidah sama dengan Hasan Akidah, iaitu Islam. Apabila mahkamah memutuskan demikian ketepikan sementara agenda politik dan dendam masing-masing. Kita bina maufakat baru untuk bangsa dan negara. Dalam politik kawan tidak kekal, musuh juga tidak abadi. Sesiapa yang mengekalkan perbalahan dan mengabdikan musuh dia sebodoh-bodoh ahli politik.


Islam menyuruh kita bermaaf-maafan. Pemancuh kopi dan keluarganya kena menerima keputusan itu adalah muktamad. Keadilan sudah diberi kepada semuanya. Saya tidak fikir Hakim telah bertindak tidak adil dan khilaf dalam membuat keputusan. Dan kalau Hakim dipengaruhi pun tujuannya adalah demi kebaikan juga.

Jangan pula kerana kita terlalu ghairah dan mempercayai kita saja yang betul dan agenda kita saja terbaik. Sikap dan pegangan itu salah. Kalau kita terlalu sombong nanti akan berlaku sesuatu yang lebih mengaibkan kita. Ingat Tuhan disamping maha pengampun Dia juga maha pembalas. Balasan Tuhan tidak akan tertanggung.

Apa yang berlaku kini Tuhan memberi jalan kepada semua untuk bertawakuf dan bermunajat serta memikir kembali apakah perbuatan, tindakan, kerja-kerja kita sebelum ini elok atau tidak. Maka gunalah masa ini untuk menjernihkan keadaan, menenangkan jiwa dan mensucikan seluruh jasad dan kalbu kita.

Percayalah dunia ini hanya sementara sahaja. Betapa kita hebat, punya ijazah berjela-jela hingga ke peringkat Phd, selalu menang, berjaya, berharta ia tidak akan membawa kita ke mana-mana pun. TV3, Utusan Malaysia, Berita Harian, Harakah atau pun Suara Keadilan hanya ada di dunia ini saja dan dibaca oleh makhluk di Malaysia saja. Di mahsyar besok kita akan didedahkan oleh media Rabul Jalil yang telus, bebas, adil dan benar ditulis dan dirakam oleh Rakib dan Atiq.

Di mahsyar nanti kita akan berjumpa dalam keadaan asal, realiti bertelanjangan. Nah, saat itulah nanti kita akan mengenali di antara satu sama lain dalam keadaan penuh originaliti. Cubalah bayangkan itu nescaya kita akan tenang dan selepas ini Melayu sesama Melayu (MSM) tidak akan saling khianat mengkhianti lagi.

Dalam hidup ini yang paling penting setelah kita mentakruhkan diri dengan Allah ialah kita membangunkan ummah. Untuk bangun ummah kita perlu saling bergandingan di antara satu sama lain. Ini tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada kita sebenarnya. Bacalah ayat Quran dalam surah Ali Imran ayat: 103 bermaksud;


"Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya."

Kalau kita tidak melaksanakan amanah ini yang kita terima dan ikrar dengan Tuhan di alam luh mahfuz itu maka kita semua adalah pendusta, pengkhianat, zalim yang akhirnya membawa kita semua ke dalam Neraka. Apakah kita semua (Melayu) mahu bersorak sorai dalam Negara?

Dikesempatan ini saya mengucapkan terima kasih kepada perdana menteri Ha Najib Razak yang nampaknya menerima keputusan hakim dengan baik dan tidak pula terlampau mengambil kesempatan untuk menjual dirinya baik, demokratik dan langsung tidak mencampuri urusan penghakiman. [wm.kl.10:00 pm 03.01.12]

Iktisar Diri

Waspada Dengan Kumpulan Lembu Nomad

Pembebasan Anwar Ibrahim dari tuduhan liwat yang dianggap sebagai kemenangan rakyat memberi ellowance baru kepada Pakatan Rakyat (PR). Hakikat ini dirasai banyak orang. Tidak hairanlah kalau seorang kawan saya berkata suasana pada hari itu keputusan itu dibuat seolah-olah PR sudah memerintah Malaysia.


Keseronokan itu terbawa-bawa sampai ke saat ini.

Takdir itu memberi kekuatan dan semangat baru kepada komponen PR. Kenapa tidak, keputusan membebaskan Anwar itu menjadikan PR hilang lebih separuh masalah yang dipanggunginya selama tiga tahun lalu. Sebelum ini apa yang dilihat masalah besar yang akan dihadapi PR dalam pilihan raya ialah mengenai Anwar. PR begitu takut dan cemas kalau Anwar dijatuhi hukuman bersalah.

Sejajar itu keyakinan orang ramai terhadap PR yang sebelum ini teragak-agak sudah kembali semula. Kalau dulu ada yang duduk jauh dan memerhati kini sudah mulai mendekati dan membuka semula bendera PR yang sudah dilipat ataupun dibiarkan lusuh. Tidak hairan kalau sudah ada yang mencari buluh baru untuk dijadikan tiang bendera.

Keputusan pada 9 Januari itu memberi signifiken yang cukup besar dan menjadi nilai tambah kekuatan dan sokongan buat PR. Ia bukan saja kepada Anwar khasnya dan PKR tetapi kepada Pas dan DAP juga. Dengan keputusan itu ia menambahkan keyakinan umum bahawa PR sedang menghampiri Putrajaya. Keriukan ensel pintu Putrajaya kini sudah nyaring di telinga pendokong PR.

Benarlah seperti janji Allah dalam surah An Nasr; Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan, engkau melihat manusia masuk ke dalam agama Allah berbondong-bondong. Maka (ketikaitu) bertasbehlah dengan memuji Tuhanmu dan mohon ampunlah kepada-Nya. Sesungguhnya Ia maha penerima taubat.

Jelas bila kemenangan sudah menyinar maka ramailah yang memberi harapan. Tatkala mentari mulai terbit sepegalahan ketika itulah juga segala ungas, kumbang, rama-rama, lebah, lalat tidak terlupa salentia dan sebagainya akan berterbangan dan merangkak merayakan hari. Nah beginilah yang dapat dirasai apa yang berlaku kepada PR kini.

Sehubungan itu di sini saya ingin bermadah serba ringkas kepada Pas, parti yang mana dilihat berpotensi besar untuk memimpin PR di masa depan. Dengan kekuatan, disiplin, azam dan perjuangan jelas Pas mampu memimpin PR. Kejayaan Pas memerintah Kelantan ditangan Tokguruku Nik Aziz menjadi sumber keyakinan mereka kepada parti Islam ini dan menjadi bukti kepada kemampuan Pas.

Lantaran itu kelebihan dan kehebatan ini perlu disedari ramai. Jangan mengkesampingkan Pas dan meletakkan Pas sebagai parti pengenap gantang atau pencukup timbang semata-mata.

Justeru dalam hal ini Anwar harus sedar yang menyemarakkan kempen membebaskannya adalah Pas. Pas terpaksa membayar begitu mahal untuk membebaskan Anwar. Ruang yang diberi oleh Pas kepada Anwar sangat besar dan luas, di mana dengan ruang dan kerjasam dan bantuan itulah yang mewujudkan sokongan besar mentakdirkan Anwar bebas. Tidak melampau kalau saya mengatakan yang menjadi para seldadu merobek pintu penjara ialah orang-orang Pas.

Ladang hijau

Pas kini boleh dianologikan sebuah ladang hijau yang subur. Penuh dengan rumput yang bergizi dan lazat. Pas kini sudah menjadi perhatian umum. Sekaligus juga menjadi puteri yang ingin direbuti. Sebagai ladang hijau ia dijenguki oleh segala macam herbivorous hatta yang dulunya kelompok yang usahkan hendak menelan, memandang rumput hijau pun tidak lalu. Dalam hal ini tentu para lembu ladang yang hidup secara nomad berpindah mencari rumput dari ruang ke ruang tidak ketinggalan turut sama ingin memasuk ke ladang Pas.

Kini sudah ada sekumpulan lembu ladang sudah pun mula memberi tumpuan kepada Pas. Mereka sudah mula mencari lubang untuk memasuki ke ladang Pas. Mereka sudah melakukan tawaf mencari ruang dan lubang. Orang yang dipercayai dapat membuka pintu juga sudah diterpa dan dilayan seistimewanya, dijamu makan dan diraikan dalam pelbagai majlis.

Setengah ahli kumpulan ini sudah mulai mengenali dan mengamali apa yang menjadi budaya atau pun fesyen orang Pas. Mereka perlahan-lahan menukar warna bulu, perwatakan demi menyakinkan orang Pas.

Misalnya kalau dulu mereka pakai songkok, kini sudah beralih kepada kopiah. Kalau dulu pakai baju Melayu kini sudah pandai berjubah hanya belum berserban lagi.

Saya yaklin dan percaya tidak lama lagi ada kalangan mereka akan ikut memakai serban jadi lebih ekstream dari orang Pas sendiri. Mungkin waktu kini sedang mengikut kursus membelit serban di pondok-pondok tradisi di Kelantan, Kedah dan juga Terengganu.

Sebagai ladang hijau dan parti masa depan, Pas tentu suka menerima kemasukan sesiapa saja. Setiap bantuan dan pertolongan diperlukan. Tanpa bantuan dan sokongan tidak mungkin Pas akan menjadi sebuah ladang yang akan membidangi negara ini.

Bagaimana pun dalam pada itu Pas sebagai tuan ladang kena berhati-hati. Pepatah pisang jangan sampai berbuah dua kali hendak disemat sedalam mungkin di jiwa Pas. Istilah cakap boleh dengar percaya jangan hendak selalu dikenang. Pas jangan mudah teruja dan menganggap ‘teboon’ (bunyi suara lembu) yang sama itu sama dari segi hakikat dan lisan.

Pas kena pastikan kemasukan mereka adalah untuk membantu Pas bukan mencari imbuhan dari Pas. Keikhlasan mereka harus dinilai dan diistkharahi. Pas jangan tersilap hitung mudah tersimpul dengan janji yang akhirnya mereka meninggalkan tahi dalam ladang Pas setelah meragut rumput hijau. Sedarlah lembu ladang ini lebih bahaya dari lembu kondominum.

Pas perlu mencerapi apakah tujuan kumpulan lembu ladang ini tiba-tiba berarak kepada Pas? Tdak mustahil mereka bergerak kerana olekkan angin tanpa ada nawaitu dan motifnya. Ingat mereka berarak mengikut musim yang bukan menentang arus. Jangan mudah terpana dengan sihir dan memorandum politiknya. Apa yang Pas kena pastikan mereka masuk bukan kerana menyokong taukeh ladang itu tetapi hendaklah masuk dengan niat untuk membangun ladang menjadi sebuah estet luas berdasarkan apa yang digariskan.

Pastikan mereka masuk memperjuangkan ladang (Pas) bukannya masuk untuk mengutip hasil yang sudah boleh dituai kini. Pastikan mereka masuk mendokong idealisme Pas berdasarkan Quran bukan teruja dengan sosok pemimpin. Jangan pula kerana terlalu teruja dan gembira sampai Pas memberi ruang rumput hijau yang tebal kepada mereka sementara lembu lama yang berada dalam ladang yang telah melakukan proses penggemburan ladang dengan peluh dan najisnya dibiarkan terjilat-jilat kekurusan di pinggir pagar.

Sebelum Pas hendak menerima mereka sebagai benih pastikan mereka juga mereka masih subur. Ini kerana ada di kalangan mereka merupakan lembu kasi yang telah kalah belaga atau pun yang sudah menopous yang mana tidak mungkin mendatangkan hasil. Jadi kalau Pas turut membiak lembu sebegini hanya boleh menyesakkan ladang saja.

Setiap mereka perlu diberikan kitab perlembagaan. Biar mereka baca dan hayati. Saya nukilkan ini kerana bimbang apa yang berlaku di Pasir Mas akan berulang. Apa yang berlaku dalam ladang PKR akan terikut. Sekiranya mereka ini tidak dikurantin secukupnya, disintuklimaukan secukupnya dan diajar syahadat yang benar dan betul, kemungkinan mereka akan belot dan murtad kembali.

Justeru sekali lagi dingatkan kepada tuan ladang berwaspada dengan kumpulan lembu ladang ini. Mereka adalah politician nomad yang hidup secara berpindah randah semata-mata untuk mencari rezeki. Kenapa saya berkata begitu, kerana kalau mereka ikhlas dan ingin berjuang mereka boleh terus berjuang di ladang lama sampai wafat. Tetapi kerana di ladang lama mereka dinafikan mendapat rumput hijau yang banyak atau kerana clash dengan penjaga ladang maka mereka berarak menuju ke ladang baru bersama beralihnya musim.

Bukan itu saja, saya membuat teguran ini kerana telah terjumpa agenda dan plan tidak manis mereka untuk dilakukan sebaik berjaya memasuki ladang hijau itu. [wm.kl.9:28 am 11/01/12]

Tuesday, January 10, 2012

Menjelang Tengah Malam

Muslimat Pas Sudah Terlebih?

Semasa menyantap stay di Jalan Ampang sekejap tadi sahabat malam saya taukeh Kopi Janda, sdr Zulaimi Kazin bertanya saya apakah saya sudah tenguk atau tidak klik video yang menunjukkan bagaimana kegembiraan muslimat Pas menyambut pembebasan Anwar Ibrahim semalam. Katanya dia agak terkejut dengan gelagat muslimat Pas itu. Saya bertanya kepada beliau siapakah yang memimpin kumpulan itu jawabnya, Aiman Atirah Al Junid kalau tak salah.

Saya difahamkan Atirah al Junid seorang mujihidah Pas yang berani berjiwa bugis. Dia tidak bersuami dan merupakan ahli jawatan kuasa muslimat Pas Malaysia. Sudah beberapa kali Atirah ini ditangkap kerana terlibat dengan demonstrasi.

Saya tidak tahu apakah dia ada kes mahkamah, maksudnya didakwa kerana berdemonstrasi. Tetapi melihat kepada sikap agresifnya, hampir semua demonstrasi disertainya... saya rasa mungkin dia pernah didakwa. Melihat kepada keberanian, komitmen dan kesungguhannya saya meramalkan wanita ini akan menjadi wanita besi dalam Pas.

Sesampai di rumah saya mencari klik video berkenaan di muka buku dan menontonnya. Memang dalam klik video itu ada seorang muslimat memegang pembesar suara sedang menyanyi dan memimpin sekumpulan wanita. Semuanya menutup kepala dan bertudung labuh. Semua wanita dalam kelompok itu menyanyi mengikut rentak dan seni kata yang diucapkannya. Tidak dapat dipastikan apakah yang pegang pembesar suara itu Atirah al Junid atau siapa seperti diagakkan oleh Zulaimi.

Tidak pula saya nampak mana-mana pemimpin tertinggi yang berada di situ atau mata saya kabur untuk melihat satu persatu kerana saya tidak akan percaya kalau muslimat Pas boleh berkeadaan seperti orang Asli Kenya menari lagu asli mereka sambil menungging punggung kepada penonton.

Apakah muslimat berkenaan budak-budak dari kalangan siswi? Tetapi yang jelasnya seperti mana kata Zilaimi, keadaan itu agak mengejutkan. Tidak sesuai saya rasanya ia diperlakukan oleh muslimat yang berada dalam harakah Islam seperti Pas. Kaum wanita Islam bukan tidak boleh menyanyi dan melahirkan kegembiraan, berhibur, menari...boleh tetapi ia masih ada batas-batas dan haknya.

Di zaman nabi kaum muslimat berlarian kegembiraan sambil menyanyi untuk menyambut kepulangan panglima perang dengan nasyib-nasyid pujian dan sanjungan ala-ala Ta'albadru... sebagai tanda kegembiraan. Namun mereka masih menjaga aurat dan adat sopan santun.

Ada wanita berupa isteri dan anak menerkam kepada lelaki yang baru pulang itu. Mereka seronok dan rindu malam. Memeluk dan mencium mereka, tetapi lelaki itu adalah suami atau ayah mereka. Pergaulan dan sentuhan mereka dalam keadaan halal kerana hubungan muhrim. Dalam erti kata lain mereka berseronok dalam batas yang halal.

Selain muslimat Pas itu melompat dan melolong-lolong mereka menyanyi dengan seni kata rekaan mereka yang kurang sedap didengari. Ia agak kasar pada telinga kita orang Melayu dan Islam. Misalnya perkataan "Umno mampos... Umno mampos" tidak wajar digunakan. Bagi perempuan agak huduh menggunakan perkataan itu. Kalau pun marah tidak sepatutnya perkataan itu digunakan. Bahasa yang bombastik begitu layak diucap si salentia saja.

Yang mengejutkan bukan itu saja, selepas habis menyanyi dan melaung-laung ala Badwi di padang pasir, kebetulan sepasukan polis menghampiri kumpulan mereka. Disalaminya polis itu satu persatuan. Bagi polis wanita tidak menjadi masalah, tetapi polis lelaki juga diserbu dan disalami sama. Saya tahu itu berlaku secara spotan kerana keseronokan atas pembebasan sang hero mereka. Memang tidak ada niat lain disebalik itu dan persalaman itu tidak pun sempat menaikkan syahwat. (Syahwat ni gat nafsu sex la). Tetapi suasana sebegitu amat tidak manis bagi muslimat Pas.

Apakah ini hasil liberalisasi dalam muslimat yang diperjuangkan selama ini? Sebelum ini muslimat beriya mahu meruntuhkan kekuasaan muslimat yang berselimut mahu diganti dengan muslimat yang profesional - bertudung pendek bersulam manik?

Kerana pada pandangan mata saya gelagat dan suasana begitu (kilik video) tidak berapa manis elok kalau pemimpin Pas memberi perhatian dan teguran mengenai kejadian ini. Terutamanya ketua dan timbalan ketua muslimat boleh membuat penilaian semula akan relevansi dan tepatkah tindakan itu dengan menghayati video berkenaan.

Para ulama dalam Pas khususnya Ketua Dewan Ulamak juga patut menilai apa yang berlaku. Harun Taib selaku ketua ulamak perlu menyaksi video berkenaan dan minta penjelasan dari muslimat kalau tindakan mereka itu tidak syarie.

Ikhlas saya kata, saya bukan anti kepada muslimat ataupun kolot dalam fahaman sosial dan politik serta hak asasi, tetapi saya tetap mempercayai batas-batas dan kesopanan perlu dijaga oleh muslimat. Rasanya tidak kekok untuk mslimat Pas membuat penilaian ini kerana segala tatacara dan peraturan sejauh mana penglibatan wanita dalam peperangan boleh dibaca dan dan dijadikan panduan.

Sudah lama saya membimbangi akan keterbukaan kaum wanita (Pas) di dalam politik mutakhir ini. Alasan zaman ini zaman wanita bangkit bersama bukannya lesen atau permit untuk muslimat bergerak bebas melangkau sempadan kewanitaan. Muslimat Pas juga tidak perlu jauh terikut dengan gaya liberalisasi wanita PKR atau Umno. Wanita Pas perlu kekal dengan identitinya sendiri sebagai wanita solehah, sebagai mujahidah beriman dan serikadi bersopan santun.

Ingatlah muslimat tetap muslimat yang sudah digarispisahkan dengan lelaki oleh Allah s.w.t. Jangan sesekali kita cuba melewati garis pisah itu. Moga teguran ini diberi perhatian dan muslimat Pas dapat menerimanya dengan baik. Biarlah yang berlaku itu satu kesilapan untuk membetulkan dan memastikan apa juga tindakan selepas ini betul dan tepat dengan apa yang kita yakini sejajar dengan prinsip dan dasar perjuangan. [wm.kl.12:02 t/malam 03/01/12]

Selepas Maghrib

Udin Jangan Melihat Pas Dalam Cermin Retak

[kemaskini] Udin anak Yassin mempertikai tindakan Pas memecat Hasan Akidah sebagai tidak bertimbang rasa kerana tidak meminta Hasan memberi tunjuk sebab. Udin anak Yassin tidak tahu apa yang berlaku dalam Pas. Kalau setakat berpadukan kepada media PB selamanya Pas dilihat huduh dan tidak adil. Udin janganlah melihat Pas dalam cermin yang retak.

Soal tunjuk sebab kepada Hasan Akidah tidak timbul sebenarnya. Peluang untuk merayu kepada Majlis Syura Ulamak itu adalah keadilan dalam Pas. Itulah timbang rasa paling tinggi dan 'constitution'. Kalau Pas zalim dan kejam, peluang itu tidak diberikan. Hak Hasan Akidah itu ada dalam perlembagaan.

Sesiapa jahil mengenai organisasi Pas boleh beli perlembagaan Pas, tenguk dan fikir sendiri. Atau kalau sudi hantarkan alamat saya boleh tolong bantu kirimkan.

Pertemuan mahabbah di antara Hasan Akidah bersama Haron Din, Abdul Hadi Awang dengan Mursyidul Am Nik Abdul Aziz di JKR 10 di Kota Bharu adalah 'tunjuk sebab' yang tulen diberikan kepada Hasan. Pertemuan itu dibuat untuk menyelesaikan pertelagahan sebelum ini. Pertemuan itu mengandungi berbagai maksud dan tujuan antaranya ialah memberi peringatan kepada semua pihak agar henti bergaduh.

Dalam pertemuan itu semua khasnya Hasan Akidah berjanji untuk berdamai. Tetapi Hasan Akidah melanggar 'janji' itu. Beliau mempertikaikan apakah dia tidak boleh sentuh Anwar. Iya dalam keadaan dan suasana hari ini tidak elok dia menyentuh Anwar. Apa disifatkan Nik Aziz, Hasan tidak senonoh itu benar. Apa kata Abdul Hadi Awang Hasan tidak arif mengenai feqah politik betul. Anwar sebagai rakan dalam PKR suka atau tidak suka dia kena diamkan saja sebagai menghormati persepakatan.

Hasan Akidah cuba menunjukkan dia hebat dan kuat. Saya kira dia tidak fikir pun yang Pas akan memecatnya. Dia merasakan kalau Pas memecatnya dia boleh melemahkan Pas di Selangor. Pemecatannya difikir akan menjadi penganggu kepada Pas. Pas tidak berfikiran seperti Hasan Akidah.

Dalam parti, Pas ia akan mengutamakan soal pokok dari soal cabang. Bagi Pas untuk menang di Selangor soal cabang manakala soal Hasan - tindak tanduknya adalah soal pokok. Sebab cara Hasan itu boleh melemah dan menganggu kosentrasi Pakatan untuk merampas Putrajaya. Mungkin Hasan tidak bersetuju dengan Pas, tindakan baik ialah beliau keluar sebelum diberikan dua kad kuning.

Bagi Pas menerima Anwar dalam konteks polis harus, manakala membiarkan Hasan yang memalu kawan dalam deram sendiri adalah haram. Sebagai parti Pas akan memilih harus dari haram.

Pas tidak tamak kepada kuasa. Jadi kalau Hasan mengatakan Pas melebihi Anwar darinya adalah tidak betul.

Berbalik kepada dakwaan Udin anak Yassin tadi yang Pas tidak adil sepatutnya Udin tenguk ke dalam dirinya sendiri dulu. Apakah parti itu adil dan lebih bertimbang rasa berbanding dengan Pas. Pastikah? Udin kena kencing dalam tempurung dan renung lama-lama.

Di sini saya nak ambil dua contoh saja bagaimana Umno zalim dan kejam ke atas ahlinya. Pertama ialah apa yang berlaku ke atas Inchek Ibrahim Ali. Ibrahim Ali dibuang sebagai ketua bahagian Umno 2004 tanpa ada sebab-sebab munasabah. Dia juga dinafikan bertanding dalam pilihan raya yang akhirnya menyebabkan dia bertanding atas tikit bebas.

Ibrahim mengamuk sakan. Bukankah itu disebabkan ketidakadilan Umno kepada ahlinya. Ibrahim dikatakan meghabiskan RM6 juta untuk membangun dan membina Umno Pasir Mas. Alih-alih beliau dinafikan haknya. Apakah itu tidak dinamakan zalim?

Satu kes lagi melibatkan bekas setiausaha Umno Tanah Merah sdr Amran. Amran dipecat sebagai setiausaha secara tektikal. Beliau telah mengadu kepada ibu pejabat Umno tetapi tidak dilayan. Alkhirnya beliau ambil tindakan mahkamah menyebabkan dia dipecat. Anih dalam kes di Tanah Merah pencuri dan penyamun bebas yang mengadu ditangkap dan dihukum. Apakah itu bertimbang rasa? Jawab Udin?

Apakah Umno sebelum menghukum Amran itu Umno minta tunjuk sebab. Atau telah Umno layan sewajarnya laporan beliau yang disertakan dengan bukti-bukti menunjukan dakwaanya benar. Kenapa terjadi terbalik kod di Tanah Merah kerana Umno hanya melayan dan memberi keistimewaan kepada ahli yang kaya manakala ahli yang marhain terus dihaprakkan.

Sepatutnya sebelum Udin mengatakan Pas tidak timbang rasa dia buka dulu fail melibatkan Amran ini. Apakah Udin terlupa kerana terperanjat dengan pembebasan Anwar?

Pemimpin Umno janganlah hendak menuduhkan Pas zalim, kejam kepada ahlinya kalau kita sendiri juga bertindak jauh lebih kejam. Kata gemula datuk saya, jangan sesekali nak buka syarikat ubat kurap kalau ditubuh kita penuh dengan panau dan kurap. [wm.kl.8:15 pm 10/01/12]

Berita Terkini

Parti KITA Melaka Akan Dibubarkan Esok

Jawatankuasa penaja penubuhan parti Keadilan Insan Tanah Air (Kita) Melaka akan mengadakan sidang akhbar esok bertempat di 34-A Taman Gadong Perdana, Jalan Pulau Gadong Melaka untuk acara pembubaran jawatankuasa parti Kita negeri itu.

Menurut setiausaha penaja Yahaya Mat Idris sebagai simbol pembubaran itu, papantanda parti berkenaan akan diturunkan.

Jawatankuasa penaja itu diketuai oleh Kol Hashim Puteh. Sehingga ini seramai 60 orang kebanyakan penyokong PKR sebelum ini telah menyertai Kita. Pembubaran itu itu memberi pukulan maut kepada parti itu yang baru mula hendak membuka kepak.

Menurut Yahya antara punca menuyebabkan jawatankuasa berkenaan dibubar ialah kerana tidak bersetuju dengan tindakan Presidennya yang menyokong beberapa transformasi cadangan Najib Razak termasuk untuk membubarkan Isa.

Media massa dijemput hadir ke upacara berkenaan. [wm.kl.11:41 am 10/01/12]

Susupan Pagi

Ada Orang Kecewa Bila Anwar Dibebaskan

Pembebasan Mahkamah Tinggi ke atas Anwar Ibrahim terhadap dakwaan meliwat semalam disambut sorakan kegembiraan dan leraian air mata oleh keluarga dan para penyokongnya tetapi sebaliknya tidak begitu kepada bekas-bekas rakan dan pendolor perjuangnya sebelum ini yang sudah mendapat sejemput rezeki hasil pembalunan mereka terhadap Anwar.

Jelas sekali mereka itu kecewa dengan keputusan mahkamah itu. Kalaulah mereka berkuasa dan mampu berbuat mereka akan bakar mahkamah dan gantung hakim yang membuat keputusan itu. Salah seorang daripadanya bertekad untuk terus menghalang Anwar dari menjadi perdana menteri.

Sombong dan takabur sekali hamba Allah ini. Dia bercakap seolah-olah Tuhan hanya akan mendengar doa dia seorang saja dan Tuhan tidak akan memalingkan wajah kepada orang lain yang bersimpati dengan Anwar. Orang seperti ini selalunya akan mati beragam dengan ketaksuban kepada kehebatan dirinya sendiri yang sebenarnya tidak sejauh mana pun. Dia akan jadi seperti bawang yang rosak kerana jambaknya sendiri. (Kegoaan).

Terang bersuluh bahawa sikap manusia itu bukan saja tidak profesional tetapi dipengaruhi syaitan yang senantiasa mengajak supaya bergaduh dan berbalah sesama sendiri. Macam mana mereka sendiri bercita-cita untuk jadi MB kalau jiwanya kecil dan dhaif dalam berpolitik. Orang seperti ini akan tewas sebelum tiba hari penamaan calon.

Bila dia masuk politik dia tidak perlu seperti berada di rumah. Di rumah dia boleh berkasar dengan isteri dan boleh tempeleng sampai berdarah pipi. Itu hak dia secara peribadi. Tetapi bila terjun dalam politik kena fleksible dan prof, sifat-sifat peribadian yang jelek kena dibuang.

Dendam yang membabi buta disebabkan kita kecewa kerana kelemahan kita sendiri tidak boleh dibawa ke dalam politik. Kalau sikap itu menjadi pakaian dan amalan selamanya kita tidak akan muncul menjadi pemimpin yang berwibawa dan disanjung tinggi. Orang yang merajuk meninggalkan pejuangan kerana tidak senang dan cemburu dengan orang lain juga bukan calon pemimpin yang hebat. Taraf mereka hanya pemimpin jambtan.

Anda rakan-rakan Anwar yang membakar kaki seluar itu hendaklah berhenti menggunakan dendam peribadi untuk mencemuh Anwar. Dunia tidak akan dengar apa yang anda cakap sekali pun benar dengan cara dan tindakan anda itu. Sebabnya orang semua tahu dan kenal siapa anda semuanya. Andalah di antara orang yang menyusun konspirasi untuk menganiayaan dan memalukan Anwar.

Bukankah anda yang seorang ini menjadi raja dan merasa berkuasa semasa Anwar menjadi TPM dulu. Bukankah anda seorang yang sombong dan angkuh menyakini Anwar akan menjadi PM pada bila-bila masa saja dan tidak memerlukan apa-apa pertolongan lagi. "Tidak payah sheikh Anwar akan jadi PM bila-bila masa, kuasa sudah dalam genggaman," itu kata anda. Saya yakin anda tidak pasti dengan kesombongan anda itu.

Apakah anda akan menggunakan alasan anda tidak tahu keperibadian Anwar maka anda membenci dan menyerang Anwar balik. Adalah bohong. Seburuk-buruk bohong adalah berbohong kepada diri sendiri. Bohong kalau anda tidak tahu dan apa yang anda tahu saya percaya adalah kebaikan yang anda perlu sanjung hingga ke hari ini.

Lakukanlah dan halanglah Anwar dari jadi PM. Kuasa menghalang bukan ditangan anda, ia ditangan Tuhan dan rakyat. Hari ini rakyat sudah siap sedia untuk mengangkat Anwar ke darjat yang sepatutnya. Kalau Allah sudah mentakdirkan demikian jika anda mengaku anda diliwat Anwar pun, Anwar tetap akan jadi PM. Pilihan raya umum adalah masa yang akan tiba untuk itu.

Saya yakin Anwar dan rakan-rakan anda yang masih setia tidak mengharapkan anda. Tetapi mereka mungkin mahukan anda berhenti merapu dan meroyan sendiri kerana bimbang ia akan memusnahkan kehidupan dan kewibawaan anda selama ini. Saya diberi tahu anda telah menangis menyesali tindakan anda tetapi sayang hari sudah senja untuk anda kembali semula ke pangkal akidah.

Bersikap profesional dan gentlemenlah. Dan kalau mahu kenanglah budi dan jasa Anwar kepada anda. Apa yang Anwar telah korbankan untuk anda rasanya belum tersatasi oleh Najib Razak yang anda dolor hari ini. Kalau Anwar telah memberikan nasi sekawah kepada anda, Najib hanya memberi anda nasi setempurung saja. Anda fahamlah sendiri di mana anda dan apakah status anda hanya menerima nasi dalam tempurung.

Bagaimana pun selamat menghalang Anwar untuk jadi perdana menteri kerana itu adalah kerja terbaik buat anda setelah anda kini tidak boleh mundur atau u-turn kepada jalan benar semula. Dalam politik yang diamalkan di negara ini tindakan anda itu halal, tetapi adat, budaya dan agama mungkin tidak membenarkannya. [wm.kl.10:55 am 10/01/12]

Monday, January 9, 2012

Ulasan Pemecatan Hasan Akidah

Hasan Akidah
Ingat Bila Katak Menghampiri Kolam Itu Tanda Bumi Akan Gersang

Reaksi pertama Hasan Ali atau Hasan Akidah mengenai pemecatannya, dia terkejut dan kesal dengan keputusan itu. Dia tidak sangka perjuangannya selama ini menegakkan Islam diperlakukan demikian rupa. Amboi sehebatnya mana perjuangan Islam Hasan Akidah dalam Pas. Apakah lebih besar dari perjuangan Muhammad Sabu yang dipenjara dan dipukul polis?

Kalau diukur perjuangan Hasan Akidah dengan Mat Sabu rasanya tidak sampai sebesar kuku cucu saya, Muhammad Khalif Ummar, yang dizahirkan 30 Disember tahun lalu.

Beberapa jam selepas melahirkan pernyataan kesal itu Hasan Akidah bermadah pemecatannya kerana dia menyentuh Anwar. Pas pecat dia kononnya kerana dia mengkritik dan tidak bersetuju dengan Anwar. Rakaman kenyataannya itu sepanjang hari diputar oleh semua setesen tv tv penjilat buntut UBN.

Menerus syarahan ringkas di perkarangan rumahnya Hasan Akidah cuba memperbetulkan akidah politiknya. Penjelasan atau dakwaan itu tidak lebih dari motivasi basinya untuk menarik perhatian ramai supaya bersimpati dengannya. Apakah Hasan Akidah sedar dengan apa yang dikatakan itu. Sekali lagi dia cuba meremehkan jemaahnya sendiri. Memperkecil-kecilkan tindakan presiden dan seluruh ahli jawatan kuasa kerja Pas.

Mereka yang rasional dan tidak mudah hanyut dalam kepetahannya boleh mengukur apa dijelas dan didakwa oleh Hasan Akidah itu. Dengan Inchek Ibrahim Ali duduk di sampingnya orang sudah boleh menduga sejauh mana kebenaran dan kelurusan akidah politiknya. Dr Haron Din, Ismail Kamus dan Taib Azamuddin dilaporkan hadir sama tetapi tidak diletakkan di depan. Kenapa apakah Inchek Ibrahim itu lebih afdal dari mereka? Atau mereka sekadar hadir untuk menyatakan simpati ke atas apa yang berlaku.

Dakwaan dan penjelasan Hasan Akidah itu sia-sia saja. Orang yang tidak mengaji sampai peringkat Phd yang tahu membuat research, pengkajian maklumat dan sebabgainya pun mengerti kenapa Pas harus mengambil keputusan yang maha berat itu. Isu yang membelit Hasan Akidah bukan sehari dua ini saja, tetapi sejak lama dulu. Sejak beliau menjadi Pesuruhjaya Pas Selangor lagi, tetapi ia tidak didedahkan kepada umum demi kebaikan Pas.

Kesabaran Pas tidak mendedah itu menandakan Pas memberi peluang kepada Hasan untuk memperbetulkan akidahnya 'renyuk' sebagai ahli Pas.

Pas telah menahan diri begitu lama kerana tidak mahu menimbulkan keributan dalam rumah tangga dan memberi peluang kepada Hasan Akidah supaya kembali kepada akidah Pas. Pas membuat beberapa teguran termasuk memecatnya sebagai Pesuruhjaya Pas Selangor kerana akidah Hasan Akidah terhadap akidah Pas sudah terpesong.

Saya membenarkan kalau orang mengatakan Hasan Akidah seorang yang jahil politik peringkat murakab. Seorang yang tidak tahu feqah politik. Dari awal lagi Hasan Akidah telah tersalah memilih Pas sebagai flatform perjuangannya. Dengan latar belakang pendidikan beliau sekular dan penuh profesional itu seharusnya dia kekal dalam Umno.

Hasan Akidah berlagak saja sebagai pakar motivasi boleh membangun jiwa orang lain, memberi semangat kepadanya murid mencapai A A A dalam pelajaran tetapi dia sendiri gagal untuk membajai dan membangun jiwa hamba dan jiwa juang dalam dirinya. Dia gagal untuk menjadikan jiwanya, jiwa yang besar dan hebat. Sebenarnya jiwa Hasan Akidah tidak disirami kefahaman terbiyah bersiasah dalam Pas.

Saya suka merujuk kepada tindakan jawatankuasa disiplin Pas yang pernah menggantungkan keahlian Ahli Parlimen Khalid Samad kerana bergaduh dengannya. Sebelum itu dia memecat Khalid Samad dari jawatan Timbalan Pesuruhjaya dan memecat Saari Sungib sebagai Ketua Penerangan. Pemecatan itu memedihkan Khalid Samad. Tetapi Khalid boleh menahan diri dan bersabar. Dia tidak bertindak mengkritik balas balik Hasan Akidah dan akur dengan keputusan parti yang menggantung keahliannya.

Kenapa Hasan Akidah tidak boleh mengambil pendirian dan sikap seperti Khalid Samad? Kalau Khalid redha dengan tindakan kenapa tidak dengan beliau? Kalau dia sayang jemaah dan wala' kepada ketua dia akan akur dan diam.

Satu perkara yang ramai orang tidak tahu macam mana Presiden Abdul Hadi Awang mempertahankan Hasan Akidah. Pengorbanan dan jasa presiden ini tidak dikenang oleh Hasan Akidah. Selepas beliau tidak menjadi Pesuruhjaya Pas Selangor ada desakan kecil agar beliau dipecat dari jawatan Exco. Tetapi Abdul Hadi mempertahankan agar kedududkan Hasan Akidah sebagai Exco jangan diganggu.

Sewaktu usul untuk membincangkan kedudukan Hasan Akidah, Abdul Hadi telah memberi warning dan menggunakan kuasa prerogatif sebagai presiden. Apa saja cadangan terhadap Hasan boleh dibuat tetapi jangan usik kedududkannya sebegai Exco. Begitu sekali Abdul Hadi mempertahankan Hasan sehinggalah ke hari ini jawatan itu disandangnya walaupun Hasan Akidah bukan Pesuruhjaya Pas Selangor lagi.

Malanya pengorbanan dan sikap rendah diri dan mahabbah yang ditunjukkan oleh Abdul Hadi Awang itu tidak dinilai oleh Hassan Akidah. Sepatutnya sebelum dia membuat reasech atau kajian tentang hala tujuan perjuangan Anwar yang kemudian dia menolaknya, kaji dan selidik dulu sikap, pendirian dan jiwa Abdul Hadi sebagai presiden. Kalau pun dia benci kepada Anwar yang tidak membantunya untuk menjadi MB Selangor, tetapi dia kena hormati Abdul Hadi sebagai ketua jemaah.

Hasan Akidah masih lagi dengan akidah merasakan dirinya hebat. Semasa berucap kepada kawan-kawan dan penyokong malam tadi di rumahnya, dia membilang dirinya sebagai hebat. Pakar itu dan ini sebab itu dia merasakan perjuangan Anwar, dasar ekonomi yang Anwar hendak bawa tidak dipersetujuinya. Dia juga obses kepada Islam, Melayu dan raja. Baguslah.

Marilah kita akui akan kehebatan dan keilmuan Hasan Akidah dalam segala macam aspek itu. Justeru elok rasanya kalau Umno memanggil Hassan Akidah menyertai parti itu. Mudahan dengan kemasukan Hasan beliau boleh perbetulkan akidah Umno ke atas landasan sebenarnya. Seorang pakar motivasi yang bijak membangun dan mempengaruhi jiwa orang tentu Hasan Akidah akan berjaya. Hasan Akidah mampu memperbetulkan akidah Umno.

Bukan itu saja kalau Hasan Akidah menyertai Umno harapannya untuk menjadi Menteri Besar Selangor juga masih terbuka. Umno boleh letak Hasan Akidah atas belakang gajah dan keliling ke seluruh daerah di Selangor. Dari atas belakang gajah Hasan Akidah boleh membuka syarah. Selama ini Hasan Akidah dan penasihatnya mendakwa Hasan Akidah mempunyai ramai penyokong, nah buktikan.

Untuk menguatkan sokongan Hasan Akidah boleh diregukan dengan Senator Boy Ezam Mohamad Noor, tokoh memperjuangkan keadilan, membenteras kepalsuan Anwar Ibrahim dan anti korupsi itu. Senator Boy itu juga menjadikan Anwar sebagai halangannya dalam perjuangan. Kalau Hasan Akidah jadi MB, Ezam boleh jadi timbalannya.

InysaAllah dengan masuknya Hasan Akidah ke dalam Umno, Umno akan jadi parti akidah, parti yang kuat memperjuangkan Melayu sebab itulah yang hendak dibawa oleh Hasan Akidah di dalam Pas tetapi Pas pula 'tak amboh' dengan idea dan perjuangan Hasan Akidah yang terlalu idealis itu.

Sama-sama kita tenguk setinggi mana kejayaan Hasan Akidah selepas ini. Apakah dia hanya setakat diberi jawatan presiden Perkasa(m) sahaja selepas NGO itu semakin hari semkin menirus dan pengaruhnya semakin mengecil? Kononya seramai 3,000 NGO itu akan berhimpun di perkarangan mahkamah semalam, rupanya yang hadir tidak sampai 30 orang dan ketuanya sendiri entah melarikan diri ke gua mana.

Petua untuk Hasan Akidah dari saya sebagai orang pernah mengenali Inchek Ibrahim, ahli Parlimen menang atas tikit Pas itu tidak akan mencari dahan untuk bergantung kalau dia masih kuat dan berpengaruh serta berdiri sendiri. Ingatlah apabila salentia menghampiri lembah maka dia sudah tahu bahawa bumi akan gersang. Selamat berjuang kepada Hasan Akidah! [wm.kl.9:00 am 09/01/12]

Ulasan Pembebasan Anwar

Anwar Ingatlah Lekuk Di Mata Ini Wujud Kerana Menangisimu

[kemaskini] Pembebasan Anwar Ibrahim dari tuduhan liwat oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memberi suntikan semangat baru kepada Pakatan Rakyat. Pembebasan itu yang dinanti dengan penuh debaran serta dalam keadaan separuh mati seolah-olah memberi tambahan oksigen bertong-tong kepada Pakatan Rakyat. Gabungan itu sebelum ini yang sudah agak tergancat sedikit sekiranya Anwar dijatuhi hukuman bersalah kini boleh menarik nafas lega persis pesakit jantung yang baru menjalani by pas.

Malahan keputusan mahkamah itu yang menafikan Anwar meliwat pembacuh kopi memberi suntikan keyakinan kepada Anwar untuk muncul sebagai pemimpin negara di masa depan. Sudah tentu mereka yang sebelum ini sudah konfius, keliru dan putus harapan kembali memadukan sokongan kepada Anwar Ibrahim. Anwar sendiri juga tidak percaya dengan keputusan yang diterima hari ini.

Apakah keajaiban keputusan ini merupakan laluan-laluan ajaib yang akan membawa beliau ke kerusi perdana menteri?

Baik DAP dan Pas yang menjadikan rakan kepada PKR di mana mereka telah bersetuju meletakkan Anwar sebagai tunggak utama juga kembali bersemangat. Harapan yang mereka rasakan pudar dan samar sebelum ini kini bersinar kembali. Saya yakin individu yang goncang keimanannya terhadap perjuangan dibawa Anwar ekoran tuduhan itu akan kembali menguatkan pancangan mereka kepada parti dokongan masing-masing.

Tuhan itu Maha Adil dan maha segala-gala. Tidak sampai 24 jam Hasan Akidah mempersoalkan soal moral Anwar, meragui kesucian Anwar kerana kesuciannya lebih tinggi, tiba-tiba mahkamah memberi jawaban di atas keraguan itu. Apakah Hasan Akidah sedia untuk membetulkan akidahnnya terhadap Anwar ini? Kalau dia bermoral itulah yang patut beliau lakukan, memohon maaf secara terbuka kepada Anwar sebagai mewakili seluruh orang yang menjijikkan Anwar.

Seorang yang mempunyai integriti yang tinggi, bijaksana seperti Hasan Akidah tidak perlu berfikir lama untuk melakukan itu kerana itu juga tuntutan agama yang diperjuangkan Hasan Akidah. Namun apabila melihat Inchek Ibrahim mendampingi ia boleh menceritakan segala-galanya. Bagi Hasan Akidah, Inchek Ibrahim jauh lebih baik dari Anwar.

Kembali kepada pembebasan Anwar itu, teringat saya kepada kata-kata seorang rakan Fb saya, bahawa tarikh 09/01/12 itu adalah tarikh di mana berkebetulan pada ketika itu bulan sedang mengambang penuh. Iya tarikh itu memang keramat dan berkat. Yang sangat pentingnya keputusan mahkamah itu juga telah menutup rapat isu seorang bijaksana dalam Pas yang kini telah dinyahkan oleh parti berkenaan. Harapan Hasan Akidah untuk menjaja keburukan Anwar dengan keputusan yang diharap Anwar bersalah, punah ranah dan koyak rabak.

Apa yang berlaku hari ini hendaklah disambut dengan solat sujud dan pernyataan kesyukuran yang maha tinggi kepada Allah taala oleh semua penyokong Pakatan Rakyat. Yang bukan beragama Islam wajar berdoa kepada Tuhan masing-masing dengan cara dan ritual keagamaan tersendiri. Ini bukan soal pluralisme. Itu rakan Anwar yang berjubah lusah harus memahami kewajiban ini. Kebenaran itu mengatasi segala berapa jumlah yang dimasukkan ke dalam jubah anda.

Dalam pada itu kita ingin tahu sejujur mana pula pihak-pihak yang bermati-matian yakin dengan dakwaan oleh pembacuh kopi itu yang Anwar meliwatinya. Sebelum ini mereka telah menyampahkan Anwar, menghina Anwar dengan seribu penghinaan. Hari ini ternyata penghinaan mereka berdasarkan kepada pengakuan bohong oleh pengaduh telah memberi jawaban.

Apakah mereka seorang demi seorang akan berbaris ke rumah Anwar untuk memohon maaf? Meminta ampun kepada Anwar di atas keceluparan dan kemabukan kerana bencikan Anwar disebabkan mereka dihasut atau diupah sebuku garam? Tidak mungkin!

Barang kali mereka akan berbuat begitu secara senyap selepas Anwar dinobatkan sebagai perdana menteri. Mereka akan mendatangi rumah Anwar dari pintu depan dan belakang, rusuk kiri dan rusuk kanan. Mereka akan membawa jambangan bunga pujian dan sanjungan besar. Mereka akan bercerita sehingga Anwar akan terpesona dan memaafi mereka.

Biarlah kalau mereka datang membawa bunga manggar kemaafan kerana sifat Anwar begitu. Anwar akan memaafi dan mencium setiap setanggi yang dibawa kepadanya tanpa menyelidiki apakah setangi itu dicuri atau apa. Saya yakin Anwar tidak akan peduli segala cacian itu. Kepadanya perjuangannya untuk membebaskan rakyat dari belenggu kekuasaan yang kurafat, yang bidaah yang menzalimi rakyat. Anwar akan memaafi sesiapa saja yang memohon kepadanya.

Rakyat yang insaf hanya perlu mengucapkan terima kasih saja kepada Anwar. Dia telah mengorbankan segala-galanya dalam hidupnya untuk rakyat. Dia hampir kehilangan maruah kerana diserang bertubi-tubi. Bahkan dia hampir mati. Anwar menangis tidak siapa tahu melainkan Tuhan dan malaikat yang menjaganya saja.

Namun Anwar tidak mengharap balasan dari segala pengorbanan itu kerana pengorbanan itu adalah sunah bagi orang sepertinya. Tetapi apa yang Anwar dan kita semua harapkan dengan pengorbanan dan perjuangan itu, rakyat perlu menyatakan sokongan dan membalasnya dengan menjatuhkan kerajaan mitos yang dipikul 'pocong-pocong' yang ada hari ini.

Hendaknya dan sama-sama berdoa semoga tiada lagi cabaran dan dugaan selepas ini. Biarlah orang yang sekuturnan dengan Datuk Mandaliar, Pati Karma Wijaya, Si Kitol dan sesukunya sudah tidak ada lagi dan mereka sudah insaf dan keturunannya pupus serta merta. Biarlah negara ini merekodnya orang-orang jahat dan pemfitnah setakat apa yang ada hari ini. Jangan kita panjangkan senarai orang jahat dalam negara ini.

Ingatan kepada Anwar di dalam menerima sahabat yang baru, teman-teman penyokong yang baru jangan lupa kepada kawan lama. Ingatlah dan renunglah parut, kesedihan dan bekasan linangan air mata yang bertakak di bibir mata yang wujud kerana terlalu banyak menangis nasibmu. Jadikan itu sebagai memori dan tanda sayang dan kasih mereka kepada kamu.

Dan aku telah lama menyenaraikan satu persatu siapa yang mengkhiantimu, siapa yang suci hati kepadamu dan siapa yang sedang mencari lubang untuk memasuki ke rumah semula sesudah kau bebas. Aku sudah tahu dan aku akan menanam onak dan duri serta menyebur racun agar petualang itu tidak akan mendekati kediamanmu. [wm.kl.11:00 am 09/01/12]