Monday, January 30, 2012

Catatan Khas

Azhar Idrus
Fenomena Baru Merubah Anak Muda


Satu malam entah macam mana dalam asyik melayari muka buku (Fb) sebelum melelap mata tiba-tiba saya terjumpa dengan you tube Ustaz Azhar Idrus. Saya membukanya dengan tidak sengaja dan mendengar syarahannya mengenai agama. Dialek atau slang Terengganu yang diguna pakai dalam berceramah menjadikan saya mengambil masa untuk mengamatinya kerana ada sesuatu kelainan dan sedikit unik. Sebutannya ada iras-iras pelawak Mat Over.

Dalam minda tertanya-tanya siapakah dia ini?

Tumpuan saya terpaku kepada you tube itu beberapa ketika kerana ada kemesraan cara dia berceramah. Patah-patah ungkapan dan anologi yang dibuat untuk menjelaskan sesuatu mauduk mengenai agama mematikan saya di situ untuk tidak menyentuh skin I-Pad mengalih kepada you tube syarahan ustaz-ustaz yang lain.

Duration video yang ringkas dalam tempoh tiga hingga lima minit meringkaskan kerja kita untuk terus menikmatinya. Selepas satu, satu saya membukanya. Tanpa disedari malam itu Azhar mengheret saya ke jam empat pagi. Hebat... tiada syarahan agama sebegitu yang saya mengikutinya sampai begitu lama, kecuali oleh ustaz atau Kiyai dari Indonesia.

Malam besok sesudah selesai membuat posting akhir - susupan tengah malam - saya mencari klik video beliau. Sambil berbaring - melentang meletakkan I-pad di atas dada mendengar Azhar bersyarah, lagaknya macam mendengar lagu-lagu hindustan lama nyanyian Mohamad Rafi dengan Asha Bosle pula. Dan malam seterusnya saya mengikuti lagi. Memang dia ini ada aura dan ada keunikan tersendiri.

Satu tengahari semasa berkumpul dengan anak-anak terkeluar kisah Ustaz Ashar yang lebih menarik dari apa yang saya rumuskan. Saya cuba menarik perhatian anak-anak supaya membuka you tubenya. Tiba-tiba anak saya memberi tahu lebih mendalam mengenai Azhar dari apa yang saya tahu. Menurut anak saya memang Azhar popular dan you tube dia disaksi oleh anak-anak muda. Rakan-rakannya juga menjadi penagih kepada syarahan ustaz berjanggut hitam lebat itu.

Ah rupanya anak saya sudah jadi peminat kepada Azhar. Kemudian malam-malam seterusnya bila ada senggang waktu saya mengikuti syarahannya.

Maklumat diberikan anak saya itu menjadi saya makin ingin mengetahuinya. Menurut anak perempuan saya Azhar seorang yang meminati bidang fotografi dan dia merupakan ahli jurugambar yang baik dan dia juga ahli muzik. Saya tidak tanya lanjut muzik dalam bidang apa dan apakah dia pernah terlibat dengan gang rockers, atau artis lain yang insaf berpaling dari dunia hiburan komersial + sekular kepada dunia hiburan dakwah. Sebelum ini rasanya saya tidak pernah tenguk gambarnya sedang menyanyi?


Seorang anak buah yang suka menelaah internet memberi tahu, Azhar ini di zaman remajanya adalah ahli kumpulan nyanyian. Pernah menjadi pemain base guiter kepada kumpulan disertai seorang penyanyi yang ketika itu belum terkenal. Selepas itu beliau meninggalkan kumpulan muzik itu dan memasuki pondok di Terengganu selama 12 tahun. Azhar juga pernah bekerja sebagai guru sementara mengajar bahasa Inggeris. Itu cerita anak buah saya.

Mulanya saya pesimis kepada Azhar ini kalau dia benar-benar memang ahli muzik. Sebab sebelum ini sudah ada beberapa artis dan ahli muzik yang menukar pentas kemudian kembali kepada pentas asal. Banyak yang cuba mencari peluang dalam medium politik (Pas) untuk kepentingan dirinya. Dan setelah apa yang diharapkan itu meleset mulalah menjauhi diri dan kembali ke pentas asalnya semula. Atau pun terpaksa melupai niat untuk berdakwah dalam dunia politik kerana tekanan pihak berkuasa.

Pengetahuan dan maklumat yang diberikan oleh anak perempuan saya, serta oleh anak buah itu menjadi saya ingin mengetahui siapa gerangan Azhar. Saya mulai mencari dan tertanya-tanya sendiri. Video syarahan agamanya saya terus dengar dan dengar sambil menggali latar belakang dan idealismenya. Isi dan juga bentuk syarahan seseorang itu akan mengenali kita tentang latar belakang dan matlamatnya.

Justeru bila ada masa senggang saya membuka you tube dan mendengar ceramahnya. Sedikit sebanyak dan perlahan-lahan saya sudah mulai mengenali latar belakangnya. Sudah mulai tahu kenapa dia menjadi kegilaan anak-anak muda. Juga mengetahui apakah yang tertanam di dalam hatinya menerusi lisan ceramah-ceramahnya.

Ustaz Azhar diminatinya kerana ceramah yang disampai secara bersahaja dan penuh dengan jenaka (humour). Inilah menyeronokkan dan disenangi oleh anak-anak muda. Permasalahan agama yang dibawa juga yang ringan dan berlegar dalam diri anak muda seharian, misalnya mengenai permasalahan bertahrah, sembahyang, hukum halal haram dalam bersosial, berpakaian dan sebagainya. Azhar juga berani atau berterus terang dalam menyatakan sesuatu untuk memberi penjelasan. Kerana itu beliau dilihat nampak seperti kurang sopan.

Boleh dikatakan 80 peratus topik yang disentuh membabit golongan muda, tidak kira lelaki dan perempuan. Kelebihan lain dia bersyarah dalam bentuk jenaka. Tidak ada unsur-unsur politik melebih dari ceramahnya, apa lagi mengajak anak-anak muda menyokong mana-mana parti siasah.

Cara dia melayani anak-anak muda dengan menjawab soalan secara langsung juga satu faktor kenapa beliau popular dan disukai orang. Apa dilakukan sesuai dengan keadaan hidup hari ini yang berterus terang dan tidak perlu berkias-kiasan. Hari ini manusia suka ringkas dan direct to the point. Demikian juga bahasa penyampaian mudah difahami dan mengguna bahasa semasa, bahasa SMS dan Fb.

Dalam kata lain Azhar menjiwa anak-anak muda dan tepat kalau beliau digelajar sebagai Ustaz anak-anak muda atau pun Ustaz Fb atau pun Ustaz SMS. Ini satu instrument atau teknik berdakwah secara baru. Beliau juga menyinis dan menyindir tetapi kepedihannya tidak terasa kerana ia dilakukan dalam gelak tawa dan penuh kemanjaan. Tetapi setelah apa dijenakai itu didengari bersendirian barulah dapat merasai bahawa sindiran itu ditembak kepada diri kita atau sesiapa. Jadi di sinilah keinsafan timbul di dalam sanubari pendengar.

Kecenderongan siasah

Mengenai latar belakang atau kecenderongan siasahnya saya tidak dapat menyangka mulanya. Tetapi saya sudah merasakan dia mesti penyokong Pas atau ahli Pas. Logiknya, mana-mana Ustaz yang popular di negara ini, selalunya dia mestilah dari kalangan penyokong Pas. Sebab kebanyakan yang cenderong kepada ceramah agama ialah mereka yang ada kesedaran agama dan dalam hal ini orang Pas ada peminat utamanya. Dalam pemerhatian saya tidak ada ustaz bebas yang popular tetapi tidak ada sangkutan dengan Pas. Apa lagi tidak ada ustaz yang jelas "biru" yang popular?

Ternyata sangkaan saya ini benar apabila dia menghadiri satu program anjuran Dewan Pemuda Pas, berada di pentas bersama pemimpin Pemuda Pas. Dari sini menjelaskan bahawa kecenderongan politiknya ialah Parti Islam Se Malaysia. Seperkara lagi apabila beliau sering kali menyebut atau menjadikan 'JKKK' watak badut dalam kisah-kisah yang disebut dalam ceramahnya menunjukkan dia suka kepada Pas. JKKK adalah sinikal yang cukup melucu dan cukup signifiken.

Satu hari saya jumpa dengan Mustapa Ali Setiausaha Agung Pas dan saya menanyai mengenai Azhar. Katanya Azhar berasal dari Ladang Kuala Terengganu. Dia seorang ustaz biasa saja tetapi kini sudah popular, kata Mustapa. Pihak Pas ada berjumpa dengannya. Tujuan saya berjumpa itu juga untuk memberi tahu Mustapa agar Pas tidak menggunakan aset yang ada kepada Azhar. Maksud saya jangan sesekali meminta dia bertanding dalam pilihan raya sebagai calon Pas. Jangan jadikan dia calon payung terjun untuk membantu Pas. Auranya jangan dicuri.

Jadi bila ada berita mengatakan kemungkinan Azhar akan diminta bertanding atas tikit Pas ia cukup membimbangkan saya. Keputusan itu tidak tepat dan tidak menguntungkan sesiapa sebaliknya akan merugikan anak-anak muda yang dahagakan ilmu dan pengetahuan agama darinya. Saya takut kalau dia bertanding dan menang dia tidak lagi berkesempatan untuk beribadat seperti hari ini.

Jadi saya harap berita itu tidak benar dan Pas Terengganu tidak merosakan reputasi Azhar.

Dan malam tadi saya pertama kali hadir mendengar kuliyyah agama Azhar yang diadakan di masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz di Shah Alam. Saya memang menyempatkan diri. Awal-awal lagi sudah berjanji dengan sdr Zulaimi Kazin, taukeh Kopi Janda dan juga sdr Zaki Abdul Rahman kawan sekariah dengan saya untuk hadir pada ceramah tersebut.

Sebelum ini saya tidak pernah berkebetulan untuk hadir kuliyyahnya yang diadakan di Hulu Kelang berhampiran kediaman saya di Wangsa Melawati. Ada-ada sahaja perkara menghalang. Jadi malam tadi baru saya berjaya melepaskan niat untuk menyaksikan kuliyyah Azhar. Mahu tenguk sendiri secara live bagaimana Azhar beintraksi dengan pendengar dan peminatnya. Dan juga mahu tenguk sendiri bagaimana sambutannya.

Masya-Allah.. masya-Allah! Saya seakan tidak percaya saya berada di Malaysia. Saya merasakan persis berada di Indonesia. Di Indonesia fenomena begitu adalah biasa. Ceramah dan majlis Kiyai dihadiri ratusan ribu manusia, termasuk juga anak-anak muda rocker dan yang bergeladangan. Lapangan masjid akan penuh dan melimpah hingga ke jalan raya berkilo-kilo meter. Itu di Indonesia. Di sana para ustaz dan Kiyai sudah menjadi macam selebriti yang digilai dan diminati. Ustaz dan Kiyai yang digilai hidup senang lenang dan kaya raya. Saya masih ingat macam mana Allahyarham Zainuddin MZ memenuhi undangan berceramah menggunakan helikopter.

Nah... begitulah apa yang saya rasa. Bahawa Azhar sudah sampai standard dunia - dunia Indonesia. Saya sampai dua jam sebelum Maghrib. Suasana di perkarangan masjid Sultan Sallahuddin Abdul Aziz sudah penuh sesak. Anak muda berderetan masuk macam hendak menuju ke bioskop melihat wayang. Belum pernah saya menyaksikan suasana demikian di Malaysia ini orang berderetan, berjujutan khasnya anak-anak muda lelaki perempuan menuju ke masjid.

Selalu ditenguk anak muda jantan betina keluar rumah sebelum Maghrib berjujutan untuk ke pesta ataupun ke pertandingan fesyen, lagu atau pun anugerah kepada artis dan bintang filem. Tetapi apa yang saya tenguk semalam adalah kelainan, satu fenomena yang sungguh membahagia dan mengharukan jiwa yang insaf.

Semasa mendirikan solat Maghrib sesuatu yang menyentuh hati kecil saya, rasa bahagia dan terharu berkecamukkan di dalam diri. Rasa suka dan cerita membalun lubuk hati. Merasakan diri hina dan kerdil di tengah-tengah jemaah yang berasak dan ramai begitu. Entah kenapa terasa semasa mendirikan solat Maghrib dan Isyak laksana persis berada di masjidil Haram dan masjid Nabawi di Madinah di mana jemaahnya begitu teguh merampatkan saf di antara satu sama lain dengan penuh ukhawah Islamiyah.

Untuk awal saya simpulkan, Azhar kini menjadi satu fenomen di kalangan anak-anak muda yang inginkan maklumat mengenai agama. Iya walaupun masih ada ramai lagi yang belum mengetahui dan mengenalinya serta tertarik kepada syarahannya kalau ada bantuan dari pihak berkuasa dan tidak ada pula dengki dan khianati insya-Allah Azhar akan dapat membawa sesuatu fenomena baru kepada dunia anak muda kita yang mana natijahnya memberi kehebatan kepada negara ini juga.

Jadi biarlah dan berikan kebebasan kepada Azhar untuk menangani dan melayani anak-anak muda semahunya. Biarlah ia basah muka anak-anak muda dengan wuduk dan mengajak mendekati Allah secara popular. Jangan diusik dan jangan didengki kepadanya. Juga jangan ada sesiapa yang cuba hendak menumpang pengaruhnya. Apa yang perlu semua pihak sokong dia.

Ada baiknya kalau kuliyyah seperti semalam yang bersih dari elemen politik dan bukan medium propaganda untuk mana-mana parti disiarkan secara langsung oleh seluruh rangkaian televisyen di negara ini.

Dalam tilikkan saya pendekatan dan kaedah diambil Azhar lebih baik dari kaedah dan pendekatan satu kumpulan yang kononya hendak memulihkan akidah ummah dengan mengadakan majlis Bicara Ummah atau sebagainya tetapi hakikatnya membelasah sebuah parti politik. [wm.kl.1:55 t/hari 30/01/12]

Sunday, January 29, 2012

Syarahan Ahad

Udin Anak Yassin Pun Otak Kemetot

Saya tidak tahu apakah TV3 malam tadi sengaja ataupun setesen berkenaan juga ada niat hendak merendahkan pemikiran Udin anak Yassin. Setesen tv itu telah menyiarkan sedutan ucapan timbalan perdana menteri itu di satu program memberi wang kerajaan RM500 kepada orang miskin. Tidak sempat pula saya mendengar di mana program berkenaan diadakan.

Cuma apa yang tersambar oleh telinga saya mendengar Udin anak Yassin berkata lebih kurang begini; pembangkan kata kita beri wang RM500, lepas itu diambil pula menerusi cukai. Mana kita ada ambil cukai kepada penerima wang ini. Ada ke? Tolong angkat tangan siapa yang kena bayar cukai? Dalam Malaysia ini ada 27 juta orang, yang bayar cukai hanya 1 juta sahaja. Dalam dewan ini siapa yang bayar cukai? Angkat tangan!"

Tujuan Udin berkata begitu ialah hendak menjelaskan kepada rakyat yang kerajaan baik hati dan tinggi budi kepada rakyat miskin. Kerajaan tidak mengenakan apa-apa cukai. Itu maksudnya dan sekaligus menempelak kata-kata pembangkang yang beliau reka tadi, kononnya pembangkang ada memberi tahu rakyat kerajaan bagi RM500 kemudian dikutip semula menerusi cukai.

Saya tidak dengar pula kalau ada pemimpin pembangkang (Pakatan Rakyat) berkata sebodoh itu. Bagi RM500 dan dikenakan cukai pendapatan. Tidak ada. Jelas ayat itu Udin anak Yassin reka sendiri. Saya tidak fikir pemimpin Pakatan Rakyat bangan dan sepandir Udin anak Yassin.

Tetapi kalau yang berkata, berapalah sangat wang RM500 kalau hendak dikira dengan pelbagai cukai dan potongan yang kerajaan kenakan. Mungkin ada. Mereka membandingkan wang itu hanya sedikit saja berbanding dengan cukai-cukai dan potong ke atas barangan keperluan.

Saya lepaskan kata-kata Udin itu dalam 'muka buku' saya. Ramai kawan yang sendakwah mendengar kata-kata Udin itu. Betapa dangkal dan ceteknya politik Udin anak Yassin. Beliau kira dengan kata-kata itu boleh menyihirkan orang ramai, nggeh dan bersetuju dengannya. Malangnya orang ramai lebih arif daripada apa yang Udin sangkakan.

Memang diakui kerajaan tidak mengenakan cukai kepada penerima wang BR1M itu. Berpandukan syarat layak menerima jelas menunjukkan mereka bukan pembayar cukai pendapatan kerana mereka berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan. Pendapatan itu juga tidak tetap.

Semua orang tahu hakikat itu. Jadi apabila Udin menerangkan lagi apa yang sudah tersuluh nampak sangatlah dia gelap otak dan cuba memperdayakan orang ramai. Tetapi hakikatnya penerima wang RM500 itu tetap juga kena membayar cukai yang diwujudkan menerusi dengan pelbagai cara.

Kalau disenaraikan mungkin lebih 60 cukai yang dikenakan oleh berbagai pihak untuk kepentingan kerajaan. Apakah itu semua bukan boleh dianggap cukai? Cukai-cukai itulah yang disebut oleh pembangkang ia tidak sepadan dengan memberi hanya RM500. Ertinya rakyat tidak boleh memiliki kesemua hakikat RM500 itu kerana mereka kena membayar cukai atau nilai yang lebih.

Kalau kerajaan ikhlas untuk membantu rakyat, kerajaan tidak perlu memberi wang tunai RM500 untuk lima tahun sekali. Kerajaan boleh menurunkan segala macam cukai dan potongan hingga RM500 perkepala yang layak menerima wang berkenaan.

Misalnya kalau yang layak menerima BR1M sebanyak 5 juta, maka turunkan kadar cukai sebanyak itu. Dengan cara itu baru boleh dikatakan hendak tolong rakyat.

Tetapi kalau beri RM500 lima tahun sekali ia adalah tipuhelah di siang hari nak memancing rakyat untuk menyokong mereka. Berdasarkan perkiraan itulah maka pembangkang mengatakan RM500 itu tidak seberapa dan ia hanya lekat dicelah gigi saja.

Tetapi bagi orang kampung yang tidak tahu mengira untung dan laba, (prinsip ekonomi) mungkin merasa ia besar kerana wang itu diberi secara tunai kepada mereka sekaligus, walhal kalau kerajaan buat cara yang disebut tadi rakyat akan mendapat keuntungan di sepanjang tahun. Kerajaan bagi RM500 tetapi kerajaan sapu RM5 billion?

Beginilah cara kerajaan UBN memperbodohkan rakyat dan menggunakan tenaga rakyat untuk kepentingannya. Atas ketidakadilan inilah maka wajar kalau rakyat menurun dan menyembamkan pemimpin-pemimpin oportunis seperti Udin anak Yassin itu. [wm.kl.11:09 am 29/02/12]

Saturday, January 28, 2012

Susupan Malam

Penjelasan Anwar Mengenai Dakwaan Sokongan Israel

Hari ini bergentayangan kritikan dan teguran dibuat ke atas Anwar Ibrahim yang dikatakan telah membuat kenyataan menyokong Israel dalam satu wawancara dengan akhbar luar. Saya percaya tidak ramai yang mendengar dengan telinga sendiri akan kenyataan Anwar itu dan mengulas berdasarkan apa yang diceritakan oleh pihak UBN.

Sekali lagi malang buat penyokong Pakatan Rakyat termasuk juga seetengah pemimpin budak terus memberi reaksi kepada kenyataan yang dimainkan oleh media musuh Pakatan Rakyat itu. Saya naik hairan kenapa mereka cepat melatah dan mematuk apa saja yang dicampak oleh blogers dan juga media musuh UBN.

Sepatutnya sebelum membuat kritikan dan ulasan dengar dulu apa yang Anwar atau sesiapa perkatakan. Jangan pakai terus makan dan terkam macam beruk lapar. Kalau apa didengari itu sahih barulah buat komen. Ketidakcermatan dan kebodohan menyebabkan Pakatan Rakyat diganggu dan terganggu bukan saja oleh musuhnya tetapi diri sendiri.

Anwar juga dalam soal ini tidak pandai jaga mulut, asyik hendak bercakap saja. Elok juga kalau Anwar mengamalkan puasa sunat Isnin dan Khamis setidak-tidak ada dua hari beliau tidak bercakap dalam seminggu. Kadang pening juga kepala kerana banyak sangat hal-hal yang tidak patut ditanggung tetapi terpikul di atas bahu penyokong Pakatan Rakyat kerana kegilaan Anwar bercakap dan cakap tidak pilih isu. Seharusnya sebelum mengulas sesuatu atau memberi pandangan terhadap isu yang sensitif Anwar harus lebih berwaspada.

Baru sekejap saya menerima kirimkan penjelasan Anwar berhubung dakwaan itu. Saya siarkan seluruhnya di bawah ini;
Saya diwawancara oleh Wall Street Journal pada hari Khamis, 26hb Januari 2011. Antara soalan yang ditanya kepada saya adalah berkaitan dasar luar negara dan isu Palestin.

Saya tuntas menegaskan bahawa kemahuan dan hak rakyat Palestin mesti dibela dan itu merangkumi hak untuk mendirikan negara sendiri serta tidak terus dizalimi. Saya juga mengungkapkan bahawa jika syarat ini dipenuhi maka wajarlah hak rakyat Israel juga dihormati. Berikut adalah jawapan yang saya berikan:

"I support all efforts to protect the security of the state of Israel," said Mr. Anwar, although he stopped short of saying he would open diplomatic ties with the Jewish state, a step which he said remains contingent on Israel respecting the aspirations of Palestinians."

Pendirian saya ini ternyata sejajar dengan prinsip perjuangan Parti Keadilan Rakyat yang menjunjung tinggi prinsip Keadilan Sejagat dan tegas membela hak mereka yang dizalimi.

Selain itu pandangan saya ini ternyata selari dengan Resolusi 1397 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Inisiatif Keamanan Arab (Arab Peace Initiative) yang berteraskan Penyelesaian Dua Negara atau lebih dikenali sebagai Two-State Solution.

Malahan dasar luar negara juga menekankan prinsip Penyelesaian Dua Negara sebagaimana yang diungkapkan YB Menteri Luar ketika Perbahasan Perhimpunan Agung PBB Sesi ke-66 pada 27hb September 2011 di New York (GENERAL DEBATE OF THE 66TH SESSION OF THE UNITED NATIONS GENERAL ASSEMBLY). Beliau menyebut:

"..Malaysia fully supports the legitimate rights of the Palestinian people for an independent State of Palestine, based on the two-state solution, taking into account the security concerns of both parties (Israel and Palestine)."

Ternyata dari kenyataan Menteri Luar Negara, dasar Malaysia adalah bersedia menghormati hak rakyat Palestin dan Israel untuk menikmati keamanan dan kedamaian.

Akan tetapi kesediaan kita pastinya bergantung kepada syarat selagi mana hak rakyat Palestin tidak dicerobohi. Justeru saya memberi amaran keras kepada mana-mana pihak yang cuba memutar belit kenyataan saya semata-mata mahu menyebar fitnah kononnya saya mengkhianati aspirasi rakyat Palestin.

Pendirian Parti Keadilan Rakyat adalah tuntas membela hak sesiapa sahaja yang dirampas dan dizalimi. Iltizam untuk memastikan keadilan buat semua tidak pernah surut malah pastinya digilap dan diperkukuh.

ANWAR IBRAHIM

[wm.kl.8:52 pm 28/01/12]

Belasungkawa

Bekas Adun Bukit Tuku Kembali Ke Rahmatullah

Bekas Adun Bukit Tuku, Tuan Guru Hj Hussein Ibrahim telah kembali ke Rahmatullah kira-kira jam 5:15 minit petang ini disebabkan serangan jantung. Allahyarham menghembuskan nafas terakhir dalam perjalanan ke hospital Daerah Lati dari rumahnya di Lubuk Tapah, Pasir Mas.

Pagi tadi Allahyarham telah menghadiri majlis anjuran Dewan Ulamak di Madu, Machang Kelantan.

Katanya sebaik majlis itu selesai Allahyarham mengadu keletihan dan sesak nafas dan dibawa pulang ke rumahnya di Pondok Lubuk Tapah.

Sesampai di rumah anaknya telah membawa ke hospital apabila keadaanya semakin tenat.

Sebelum menerima rawatan Allahyarham telah menghembuskan nafas terakhir dipercayai kerana serangan jantung.

Allahyarham dijadualkan akan menjalani pembedahan jantung pada bulan hadapan. Beliau mengetahui menghadapi masalah jantung setelah mendapat pemeriksaan jantung di Kota Bharu sekembali dari lawatan ke China bersama rombongan Dewan Ulamak Kelantan pada bulan lalu.

Hj Hussein merupakan sepupu kepada Allahyarham Tuan Guru Haji Abdullah Lubuk Tapah dan merupakan penyandang kuat kepada institusi Pondok Lubuk Tapah.

Allahyarham pernah menjadi wakil rakyat Pas apabila menang kerusi Dun Bukit Tuku pada tahun 1990 mengalahkan Mohd Zain Ismail dengan kelebihan undi sebanyak 2,093. Beliau mendapat 6,336 manakala Mohd Zain mendapat 4,243. Pada tahun 2004 Allahyarham tewas ditangan Mohd Zain dengan kekurangan 868 undi.

Sepanjang penglibatannya dalam politik Pas beliau menjadi anggota Dewan Ulama Kelantan, Ketua Unit Halaqah dan pernah menyandang jawatan Yang Dipertua Pas Rantau Panjang selama satu penggal.

Allahyarham mulai aktif dalam politik Pas menjadi Ketua Dewan Ulamak Pas Rantau Panjang sekembali dari Makkah. Beliau menghabiskan separuh usianya tinggal di Makkah. Allahyarham mempunyai hubungan yang intim dengan penulis dan pernah beberapa kali bersafan (tidur) di rumah penulis terutamanya waktu berlangsung muktamar Pas di Taman Melawar.

Sesuatu yang penulis tidak dapat melupai budi Allahyarham ialah setiap kali beliau akan datang bermuktamar bersama beberapa orang termasuk bapa mertua penulis Allahyarham Hj Yaacob Awang Besar beliau akan membawa beras seguni sebagai buah tangan.

Allahyarham Hj Hussein seorang yang peramah dan menghormati rakan dan lawan tanpa merasakan megah dengan ketinggian ilmu yang dimilikinya. Kali terakhir penulis menemui beliau ialah sewaktu dalam satu majlis di Kota Bharu tahun lepas. [wm.kl.7:09 pm 28/01/12]

Membaca Isu

Video Lucah Babitkan Anwar Nak Jatuhkan Najib

Mungkin Ha Najib Razak bercakap benar apabila beliau mengatakan dia tidak tahu menahu mengenai video lucah terbaru membabitkan Anwar Ibrahim yang didedahkan oleh Shuib Lazim. Sebenarnya tidak ada guna sedikitpun untuk Najib menyaksikan video berkenaan apa lagi kalau untuk merangsangkan sex.

Najib atau sesiapa saja boleh melihat video lain yang lebih daring dan menyegarkan engin batin.

Video sex membabitkan Anwar sudah tawar lembar, sudah tidak ada apa-apa yang menggeurkan lagi. Apa lagi kalau yang melakukan itu hanya watak tempelan atau jadi-jadian seperti mana kata Ahli Parlimen Sungai Petani, Johari Abdul bahawa watak Anwar itu hanya tiruan saja. Selama ini mereka yang terngangga menyaksikan video lucah Anwar itu rupa-rupanya menyaksi barang palsu.

Melihat sesuatu yang palsu apa lagi video lucah mendatangkan dua kebodohan. Pertama, kerana melihat benda palsu, kedua, melihat perkara yang mengundangkan dosa. Mungkin di dalam Neraka besok sebahagian penghuninya dari Malaysia ialah mereka yang menonton video lucah!

Kalau benar Najib tidak tahu menahu mengenai video itu bolehkah dianggap ada sesuatu perancangan untuk menjatuhkan Najib dengan penyebaran video berkenaan. Kerana dalam apa juga keadaan dan masa setiap apa juga isu yang dibangkitkan untuk memburukkan Anwar dan Pakatan Rakyat ia akan dikaitkan dengan Najib.

Logiknya semua itu dilakukan demi mengekalkan UBN berkuasa dan Najib kekal sebagai PM. Begitukah?

Hendak tidak hendak ia membabitkan Najib juga. Najib pula pasti kena menyokong sesuatu yang boleh memberi guna dan manfaat kepadanya. Adalah bodoh bagi Najib menolak kelabaan percuma.

Persoalannya kini apakah penyebaran video porno itu menguntungkan Najib? Sejauh manakah rakyat termakan dengan video berkenaan untuk menolak Anwar dan boleh menjamin kemenangan Najib? Melihat kepada perkembangan semasa sambutan rakyat kepada ceramah-ceramah Anwar semakin menggalakkan. Pembebasan beliau dari pertuduhan liwat melonjakkan sokongan.

Justeru Najib perlu membuat kajian terperinci di dalam hal ini, menilai buruk dan baik dan sejauh mana untungnya dengan penyebaran video lucah itu. Jangan pula mengharap untung secukup rugi segantang. Najib sendiri dan penasihat politiknya harus sedar yang rakyat sudah menyampah dan terjeluak dengan penyuebaran video lucah dan pertuduhan liwat ke Anwar.

Kalau ia tidak untung dan Najib sendiri tidak mengetahui, jauh sekali merestui, maka jelas penyebaran video lucah membabitkan Anwar untuk memburukkan Najib itu adalah strategi halus yang diaturkan demikian untuk memburukkan Najib. Video itu hendak menghina Najib sebagai PM berbangsa Melayu dan beragama Islam. Mungkin tujuannya bagi memperlihatkan akan kekotoran dan kenajisan Najib dalam politik?

Kalau telahan ini benar, bermakna sudah ada jarum-jarum halus hendak menyingkrikan Najib menerusi penyebaran video lucah itu. Ia sengaja dibuat bagi menunjukkan kepada rakyat bahawa Najib bermain cemar dalam politik dan seorang yang tidak bermoral. Dalam hal ini orang yang dilihat tidak bermoral bukan saja Anwar tetapi Najib juga. Najib tergamak menyebarkan video lucah hanya kerana mengejar kekuasaan dunia.

Apakah begitu?

Kemungkinan itu tidak mudah untuk ditolak. Sebab ada riak risik dari dalam Umno sudah berbunyi Najib perlu dikerjakan. Saya cukup percaya dan yakin tindakan Shuib Lazim itu ada kena mengena dengan arahan seseorang. Ada sutradara kecil yang mengarahkan agar kisah video lucah itu dicipta dan dimainkan. Orang berkenaan yang menjadi dalang sangat percaya isu sex akan membakar Anwar walaupun dia sudah sedar untuk membakar Anwar persis mahu membakar besi waja.

Namun kerana itulah usaha dan senjata yang ada maka sukar atau mudah ia terpaksa gunakan. Di sini ia adalah serampang dua mata, kalau video sex itu tidak membakar Anwar ia boleh menghanguskan Najib. Bagi si dalang yang menggerak filem lucah itu mereka akan makan kiri kanan - Najib atau Anwar. Anwar adalah musuh semulajadi, manakala Najib ada musuh baru.

Makanya kemungkinan ini Najib perlu menilai sebaik mungkin dan sebijak yang mampu. Permainan Shubai Lazim dan gengnya ini saya tampak bukan saja-saja untuk menyusahkan Anwar seorang tetapi menyusahkan orang lain juga. Ia bukan satu hala sahaja tetapi dua hala.

Najib perlu liar dan cekap membaca riak dalam lautan besar kerana kalau silap membaca ia boleh menenggelamkan dirinya sendiri. Elok kalau Najib berhati dan bertindak penyebaran video tidak bermoral itu sebelum memusnahkan dirinya. [wm.kl.11:00 am 28/01/12]

Susupan Pagi

140 Pengusaha IKS Wiradamai Tunggu Raja Nong Chik

Menteri Persekutuan dan Kesejahtraan Bandar Raja Nong Chik jangan saja memberi tumpuan ke Parlimen Lembah Pantai tetapi hendaklah juga ikut sama menjenguk kawasan lain.

Walaupun Nong Chik dijangka akan bertanding di kerusi Parlimen Lembah Pantai, tetapi sebagai menteri beliau patut ikut sama mengambil berat kawasan-kawasan lain juga kerana kedudukan beliau adalah menteri menjaga wilayah dan masyarakat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Bukan saja masalah rakyat di Lembah Pantai yang perlu dibantu dan diatasi tetapi rakyat di kawasan lain juga sangat memerlukan jasa baik menteri berkenaan itu. Jangan mentang-mentang kita hendak bertanding di Lembah Pantai, maka tumpuan siang malam di kawasan berkenaan saja.

Semacam sudah pasti Nong Chik akan bertanding di Parlimen Lembah Pantai. Bekas calon Umno yang tewas kepada Nurul Izzah Anwar, Sharizat Abdul Jalil besar kemungkinan tidak akan dicalonkan semula di situ.

Isu dan masalah projek lembu gemuk (NFC) yang menimpa dirinya turut terbelit sama ke leher Sharizat. Malahan tali lembu itu bukan menjerut suami dan keluarga
nya tetapi menjerut lehernya sama. Tahi lembu suami Sharizat pula sudah membusuk Umno bukan saja di Kuala Lumpur tetapi di seluruh pelusuk negara.

Salah satu kawasan yang perlu dijenguk segera Nong Chik ialah di Setapak melihat bagaimana nasib 140 orang perniaga di kawasan Industri Serdahana di Wiradamai Setapak yang kini seperti berada di dalam keadaan telor di hujung tanduk.

Nasib mereka kini tidak ketentuan hala apabila ruang kedai yang mereka sewa sekarang ini akan dibongkar untuk dibangukan projek mewah oleh sebuah syarikat kolongmerat.


Mereka yang menyewa ruang kedai itu kebanyakanya bumiputera yang bergantung hidup sepenuhnya kepada perniagaan di situ. Kebanyakan mereka mengusahakan bengkel kereta, perabut dan sebagainya. Yang merungsingkan ke manakah mereka hendak membawa perniagaan itu selepas ini apabila ruang kedai yang mereka duduki kini dibongkar.

Surat agar berpindah sudah pun diterima oleh tuan punya kedai yang kemudian mengarah mereka keluar. Apa yang mereka bingung dan sedih sekarang ini mereka menjadi mangsa kepada kerakusan pembangunan pihak tertentu yang tidak peduli nasib peniaga marhain.

Sudah 18 tahun mereka mencari makan di situ. Rung kedai yang mereka sewa merupakan milik setinggan yang dipindah dari Kampung Baru dan Keramat yang terlibat dengan pembinaan laluan LRT. Kebanyakan tuan kedai tidak berniaga sendiri tetapi memberi sewa kepada pengusaha berkenaan.

Yang paling mengusarkan mereka lagi, katanya tuan kedai telah bersetuju untuk keluar seperti mana diarahkan. Tuan kedai tidak menjadi masalah kerana mereka mungkin diberikan pampasan. Tetapi yang ketidaktentuan hala dan terus ditimpa malang ialah para peniaga itu. Mereka dikatakan tidak akan mendapat apa-apa pampasan.

Apa yang berlaku itu dirasakan tidak adil kerana sepatutnya yang menerima pampasan ialah para perniaga kerana merekalah selama ini yang menghidupkan kawasan berkenaan. Kebanyakan tuan kedai tidak pun datang menjenguk dan mereka mendapat sewa percuma kerana bangunan itu dibangunkan dengan biaya DBKL, begitu juga dengan cukai tanah berkenaan tidak pernah dibayar.

Kawasan seluas kira-kira 80 ekar itu merupakan tanah milik DBKL tetapi kini katanya sudah pun bertukar tangan kepada sebuah syarikat bernama 59iNC yang kemudiannya menyerahkan kepada MRCB untuk dimajukan.

Mengenangkan nasib perniaga itu ia tak ubah seperti bola. Katanya mereka telah lenguh berusaha mengadu kepada beberapa pihak tetapi tidak memberi hasil diharapkan. Begitu juga hajat mereka untuk berjumpa dengan Raja Nong Chik telah diusahakan tetapi belum berjaya.

Mereka memberi amaran sekiranya segala usaha diaturkan gagal kemungkinan tindakan drastik akan diambil. Seorang pengusaha berkenaan mereka sudah lama bersabar tetapi tahap kesabaran itu akan berakhir juga. Jadi sebelum berlaku sesuatu yang tidak diingini elok kalau Raja Nong Chik mencemar duli menjejak bumi Wiradamai yang kini sudah tidak berapa damai lagi. [wm.kl.7:44 am 28/01/12]

Selepas Subuh

R&R Gua Musang Cekik Darah Dan Aziz Bari

Pagi ini saya menerima dua email dari penjenguk blog Merah Tinta yang membangkitkan pertama soal harga minuman di R&R Gua Musang yang didakwa mahal dan mencekik darah penggunan. Aduh... tak sedap juga mendengar perkataan itu nampak semacam peniaga di R&R Gua Musang itu lintah darat.

Saya turunkan sepenuhnya email penjenguk itu yang menanakan dirinya sebagai Zul Selangor;

Assalamualaikum Sdr MSO,
Saya adalah salah seorang penjenguk tetap blog Tinta Merah sejak sekian lama.

Nak mintak tolong sikit.
Boleh tak Sdr MSO tulis mengenai tempat R&R yang baru disiapkan di Gua Musang?
Sebabnya...saya rasa tempat itu telah dan akan mencekik darah pengunjungya.

Bayangkan, harga segelas teh tarik ialah RM1.80. Segelas teh O pula RM1.30.
Servisnya pula agak menyedihkan...self-service tetapi lembab.
Selama saya menggunakan lebuhraya PLUS dan lain-lain lebuhraya di Lembah Kelang,
belum pernah saya temui harga minuman yang begitu mahal, walaupun servisnya
boleh dipuji dari segi kecekapan dan kebersihannya.

Malah, harga teh tarik & teh O di restoran mamak pun tidak semahal itu. Paling-paling
pun hanya RM1.50 saja. Tidak ada sesiapan pun yang komplen pasal servisnya.

Tentu Sdr MSO tahu akan kewujudan kawasan R&R tersebut. Ia baru sahaja dibuka
kepada orang ramai. Letaknya 5 km dari bandar Gua Musang (dari arah Merapoh).
Sebelum ini, hanya sebuah sahaja kawasan R&R iaitu yang terletak selepas
bandar Gua Musang.

Selamat menulis, terima kasih.

Komen saya: Diharap pengaduan ini didengari oleh para peniaga di R&R Gua Musang. Saya memang arif dengan hentian rihat ini dan selalu menyinggahinya apabila balik ke Kelantan dan balik semula ke Kuala Lumpur.

Tidak terperasaan sangat mengenai ketinggian harta yang dikenakan. Tetapi soal kelambatan service memang dirasai. Adakalanya jurujual asyik berbuat sesama sendiri atau leka bermain SMS tanpa pedulikan pelanggan.

Usahkan hendak suruh ambil order hendak bayar duit makan minum pun tidak dipedulinya. Pihak tuan punya peniaga di R&R hendaklah mengambil perhatian. Mutu perkhidmatan biarlah setanding dengan R&R berkenaan ia moden dan canggih.

Terima kasih kepada Zul Selangor.

Email kedua yang saya terima ialah dari sdr Zulqarnain Lukman yang memperpanjangkan penjelasan Prof Abdul Aziz Bari berhubung komen beliau terhadap MB Kedah Azizan Razak. Zulqarnain telah mengambil inisiatif untuk bertanya Aziz secara personal mengenai komen dan kritikan Aziz terhadap sikap Azizan yang menyokong tindakan KUIN menggantung pelajarnya mengikut di bawah AUKU.

Kata Zulqarnain walaupun jawaban Aziz itu bersifat personal tetapi ia dibenarkan untuk disebarkan. Saya turunkan sepenuhnya penjelasan Aziz itu tanpa prejudis dan dalam bentuk asal (tanpa membaiki ejaan);

salam,

Sebenarnya kenyataan saya itu hanya satu respon sewaktu sidang media. Tidaklah keras seperti yang disebut oleh MSO dalam harakahdaily.

Nak jadi pengulas politik kenalah kuat ingatan.....MSO tak ingat ke bukankah Aziz Bari juga yang cadang MB Kedah itu ganti Presiden Pas pada 2009? Objektiflah sikit....tak ada sebab saya nak dendam dengan MB Kedah. Tapi apa yang salah saya kena betulkan. AUKU akta zalim, tidak Islamik. Kena tentang. Kita jangan terlibat melaksanakan kezaliman.

Tentang yang komen 'baru dua hari masuk politik nak ajar orang' reaksi saya begini: saya bukan hendak sangat masuk politik ni; saya didesak untuk masuk politik. Dan saya tak mahu ikut budaya politik lalang. Saya nak bawa budaya akademik yang berani dan tegas memperkatakan yang benar dan adil. Tidak berbelit-belit. Dan saya tidak berniat untuk cari makan dengan politik. Saya hanya hendak menyumbang kalau diterima. Kalau rakyat tak suka saya boleh balik ke dunia asal saya'

Ini brand politik saya. Kalau ini dikatakan tidak politik persetan dengan mereka. Pada saya politik itu baik; bukan untuk bermuka-muka dan mengelirukan rakyat

Sila sebarkan....

AAB

--- Saya rasa tidak perlu juga untuk saya mengulas balik mengenai penjelasan Aziz Bari itu. Terimalah seadanya dan untuk menjustifikasikna penjelasan Aziz ini baca semula posting saya mengenai hal berkenaan. Salam MSO. [wm.kl.7:13 am 29/01/12]

Friday, January 27, 2012

Susupan Tengah Malam

Kenapa Udin anak Yassin Takut Suruhanjaya DiRaja?

Baru-baru ini Ha Najib Razak meminta supaya Udin anak Yassin menyelesaikan isu projek lembu gemuk (NFC) yang membabitkan Sharizat Jalil. Ramai orang tunggu apakah penyelesaian bakal dibuat Udin. Orang mengira dia akan menasihat Shahrizat Jalil supaya berhenti, meletakkan jawatan menteri dan ketua wanita Umno untuk menyelamatkan maruah dan air muka Umno.

Tetapi rupa-rupa tidak, apa yang berlaku Shahrizat hanya mengambil cuti tiga minggu. Selepas itu senyap sendu. Mungkin Udin anak Yassin mengira bila Sharizat bercuti pihak Pakatan Rakyat akan tutup mulut. Dia kira isu itu tidak akan diungkitkan lagi. Rupa-rupanya tidak, selepas itu ada pula pendedahan baru dibuat mengenai kerakusan anak-anak Sharizat berbelanja menggunakan kad hutang bernilai hampir setengah juta.

Najib juga meminta Noh Omar menyelesaikan isu membabitkan Sharizat itu. Semalam Noh Omar bercakap sikit itu pun tersekat-sekat untuk memberi penjelasan mengenai status isu NFC. Dia cuba membela Sharizat tetapi tidak menjadi sebaliknya makin kusut bila mana Noh cerita pula ada syarikat luar negara yang tarik diri dari menyertai projek itu secara tiba-tiba. Beliau tidak jelas nama syarikat itu dan siapa yang membawanya masuk ke Malaysia. Apakah Khairy Jamaluddin?

Memandangkan isu NFC belum selesai dan ia menjadi hantu kepada rakyat, pihak musuh Umno mencadangkan supaya ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja. Dengan adanya suruhanjaya bebas itu isu yang menyelubungi NFC akan terjawab dengan tuntas. Ramai yang bersetuju dengan suruhanjaya itu walaupun ia menghabiskan wang negara.

Tetapi hari ini Udin anak Yassin tiba-tiba membantah, katanya suruhanjaya di raja itu tidak perlu. Siasatan kerajaan terhadap perkara itu sudah mencukupi. Apakah cukupnya kalau polis yang diharap menjaga keselamatan negara siang-siang lagi menjelaskan tidak ada penipuan dalam projek itu? Cukupkah begitu? Belum siasat dah ada keputusan?

Kata Udin sudah cukup SPRM dan polis membuat siasatan. Polis bukan tidak boleh dipercayai tetapi apa yang berlaku sebelum ini membuktikan akan kelemahan. Misalnya dalam kes Anwar yang ditumbuk oleh bekas KP Rahim Nor. Dalam siasatan polis tidak ada apa-apa yang berlaku kepada Anwar. Kata polis Anwar dalam keadaan selamat. Tetapi selepas tubuh Suruhanjaya Di Raja baru dapat tahu bahawa yang tumbuk Anwar ialah Ketua Polis sendiri. Kes ini diingati dan menyebabkan rakyat kurang yakin dengan integriti polis.

Menurut Udin anak Yassin pembangkang mahu melihat projek itu gagal sebab untuk membenarkan apa yang didakwa. Apakah kena mengenai kegagalan projek itu dengan siasatan diraja. Bukankah siasatan itu untuk mengetahui status projek itu dan menyelamatkan kalau ia ada penyelewengan. Hujah Udin anak Yassin nampaknya tidak menempati isu.

Apakah Udin sebenarnya yang takut dan sudah mula mengigil? Bila ada suruhanjaya bebas itu menyebabkan dia juga akan dibabitkan? Perlu ingat semasa projek itu diluluskan yang menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani ialah Udin anak Yassin. Udin lah juga yang memperkenalkan Pertanian Adalah Perniagaan. Mustahil sebagai menteri kalau Udin tidak tahu?

Bila Udin nampak takut dengan suruhanjaya bebas itu kini sudah terserlah sesuatu yang sebelum ini hanya berada di benak umum. Kalau Udin tidak terlibat kenapa dia cuba nak stok cadangan penubuhan siasatan di raja itu? Sebagai perdana menteri yang diberikan tanggungjawab menyelesaikan isu itu sepatutnya beliau sokong.

Isu NFC adalah isu besar yuang bakal menumbangkan UBN. Kenapa perlu sayangkan duit rakyat demi menyelamatkan UBN. Bukankah sebelum ini UBN guna duit rakyat untuk mengekalkan kuasa? Biarlah duit rakyat dan kerajaan habis asalkan ia dapat menjelaskan dan UBN tidak tertimpa isu berkenaan. Sikap Udin agak anih kali ini.

Udin anak Yassin harus ralat balik. Dia perlu menyokong penubuhan suruhanjaya bebas itu. Kalau tidak dengan dia sekali akan terbelit oleh tali lembu suami Sharizat itu. Dalam pada itu saya dapat maklumat ada satu lagi perkara yang akan didedah oleh Pakatan Rakyat berhubung projek lembu gemuk itu. Apakah ia akan menarik Udin anak Yassin sekali, tunggulah... Rafizi sedsang menyiapkan laporannya. [wm.kl.11:36 pm 27/01/12]

Pemakluman

Fan Page Blog Merah Tinta

Salam saya baru saja membuka Fan Page untuk blog Merah Tinta. Diharap para penjenguk blog ini yang sudi mendaftar diri (like) untuk memberi sokongan kepada blog ini. Sudah tentu penyertaan anda akan menyemarakkan lagi semangat untuk berblog. Juga saya ingin membuat bancian rambang sejauh mana blog ini disukai atau sebaliknya.

Atas komitmen anda penjenguk sekalian diucapkan berbanyak terima kasih.

http://www.facebook.com/pages/Merah-Tinta-MSO/284745961589003

Salam hormat dan kasih sayang
MSO,
Kuala Lumpur. [wm.kl.9:55 pm 27/01/12]

Tazkirah Jumaat

Cikgu Azmi Harus Berundur Dari Himpun

Himpunan Sejuta Umat (Himpun) yang dilihat dari segi tujuan dan iltizam perwujudannya indah dan menarik sebagai satu Ngo yang bertunjangkan jihad untuk memperjuangkan akidah umat Islam nampak dari hari ke sehari telah menyerlahkan warna dan matlamat sebenarnya. Chassis Himpun sudah agak lari jauh.

Walaupun sejak mula lagi kemunculan Himpun ini boleh dipersoalkan (tidak mungkin ia tidak ada agenda politik bila dilihat kepada siapa di belakangnya) tetapi ia masih boleh dimaafkan dan dilihat pada waktu itu sesuatu yang tepat dan diperlukan. Mungkin dalangnya si kaya yang mahu menaburkan budi dan baktinya kepada agama dan bangsa. Maklumlah orang duit lebih kalau tidak ditabur kepada kepentingan agama ke mana lagi? Ke meja judi?

Memang tujuan dan niat Himpun ditubuhkan untuk mengawal akidah umat Islam dengan memberi kesedaran dan penerangan betapa sekarang ini akidah umat Islam berada dalam keadaan terancam dan tergugat. Maka kewujudnya diharap menjadi wadah mempersatukan ummah tepat.

Beberapa peristiwa yang meletus akhir-akhir ini akibat ketiadaan stabiliti politik Melayu menyebabkan ada elemen menganggu ketenteraman umat Islam, jadi kemunculan kena pada masanya. Umat Islam perlu membimbangi fenomena itu. Sebab kewajiban menjaga dan mempertahankan kesucian Islam dan keutuhan bangsa terletak di tangan umat Islam dan Melayu. Bangsa lain tidak akan sesekali mempertahankan Melayu.

Justeru mulanya umat Islam tanpa mengira pegangan dan ideologi politik, baik yang berada dalam persatuan, individu atau kelompok kecil memberi sokongan kepada Himpun. Himpu adalah manifestasi kepada kesatuan ummah Islam negara ini, di mana semua pihak perlu mengenepikan sentimen dan ideologi politik. Himpun dikira boleh menjadi wadah permersatukan ummah setidak-tidaknya di negara ini.

Malahan dalam satu pertanyaan saya kepada pengerusi bersama Himpun Mohd Azmi Abdul Hamid dalam satu sidang akhbar, beliau menjawab jaringan Himpun dalam mempertahankan akidah ummah Islam ini bukan saja terhad di Malaysia tetapi mencakupi Nusantara ini. Aduh.. hebatnya.

Setelah berlalu dan mengadakan beberapa majlis himpunan, arah dan apa tujuan Himpun sebenar telah terserlah. Azam dan keikhlasan yang dicanangkan sebelum ini untuk menjadi wadah penyatuan ummah dan mempertahankan akidah sudah tergelecah ke arah lain. Himpun nampaknya sudah menjadi alat atau wadah untuk mempopularkan individu tertentu dan majlis itu diadakan juga seperti mahu menempelak pihak lain dan menyokong pihak lain - sesama Islam yang berkonflik.

Sebenarnya warna politik Himpun ini sudah mulai nampak sejak awal penubuhannya lagi dan sewaktu majlis julung kalinya di Shah Alam. Apabila mereka mengundang orang politik yang dikenali tidak berapa mesra dan jahil agam untuk bercakap, maka orang sudah mengagak apa dan siapa yang ada di sebalik Himpun ini.

Kenapa? Apakah kerana Himpun dibiayai oleh orang tertentu maka paksi Himpun perlu condong kepada satu pihak? Sudah ada cakap-cakap bahawa Himpun adalah alat politik kepada Umno. Dalam erti kata lain Umno sudah membelakangi Ngo gabungan itu dengan diberikan tugas kepada seseorang individu yang membelanjakan peruntukannya untuk Himpun.

Kita tidak menolak wang itu dan tidak menolak kewujudan Himpun atas nawaitu yang diuark-uarkan. Apa yang ditentang ialah penyelewengannya. Kalau kewujudannya lari dari matlamat asal sokongan moral perlu ditarik balik. Saya percaya beberapa Ngo, termasuk gerakan pelajar, kumpulan nasyid yang bergabung tenaga memberi sokongan moral sebelum ini kerana yakin kepada kesucian Himpun.

Tetapi apabila mereka menyedari ke mana Himpun - yang dijadikan alat dan kuda tunggang untuk apa mereka ikut sama bersubahat. Iya, mungkin ada mereka yang menyokong parti Umno di dalam mana-mana Ngo bergabung membentuk Himpun tetapi cara mereka dieksplotasi dengan menggunakan nama untuk mempertahankan akidah tetapi hakiatnya untuk menyelamatkan Umno mungkin sesuatu yang dianggap kotor dan kurang disetujui.

Dalam catatan ini sini saya tidak mahu menuju kepada sesiapa tetapi saya ingin menyatakan pandangan saya kepada direct kepada Cikgu Azmi Hamid yang menjadi pengerusi bersama. Saya nampak kehadiran dan kesediaan Cikgu Azmi memimpin Himpun adalah atas rasa tulus dan keperihatinan kepada agama Islam. Sebagai seorang pejuang Melayu tulen yang berteraskan Islam, beliau tentu merasa bertanggungjawab. Atas amanah itulah beliau bersama Himpun.

Saya yakin cikgu Azmi tidak mempunyai apa-apa motif politik melainkan demi kepentingan agama dan bangsanya.

Tetapi hari ini setelah Himpun lari chassis, apakah wajar cikgu Azmin terus berada dalam Himpun? Apakah dia dapat berdiri atau pun menegakkan Himpun seperti naiwatu asalnya dulu? Cikgu Azmin sendiri sudah nampak apa yang baik dan apa yang tidak mengenai Himpun. Atau bagaimana ada noda-noda yang tidak seharusnya dibiarkan dalam, Himpun. Keadaan ini pada bacaan saya Azmin sudah terperangkat.

Pengunaan nama Exco Agama Pulau Pinang untuk menjemput orang ramai menghadiri Himpun di Kepala Batas besok adalah jelas noda kotor yang telah menyelinap dalam Himpunan. Cikgu Azmi sendiri telah membuat penafian dan mengecam tindakan itu ata nama Pengerusi Pengupayaan Melayu (Teras). Himpun yang didirikan dengan akhlak Islam tidak sepatutnya memutar belitkan fakta dan menipu orang ramai seperti mengedar kad jemputan atas nama Exco itu.

Orang-orang jahat dan biadab serta petulang yang mengambil kesempatan atas Himpun dengan mengedar kad palsu itu sepatutnya didoakan supaya mati lemas air. Kerana segelintir manusia seperti itulah merosakan susu sebelanga.

Cikgu Azmin tentu merasa malu dengan apa yang berlaku. Apa-apa wajah buruk atau pun kepincangan yang berlaku dalam Himpun kesannya akan tempias kepada cikgu Azmin. Adalah terlalu sayang kalau cikgu Azmin bersedia menahan dirinya untuk dilumuri perangai-peragai syaitan di dalam Himpun?

Sebelum ini bekas Exco Agama Selangor ikut sama terlibat dalam Himpun. Dia melangkah ke pentas Himpun dengan niat mempertahankan akidah! Kapasitinya ketika itu ialah sebagai Exco agama yang obses untuk mempertahankan akidah. Hari ini dia tidak memiliki apa-apa kuasa lagi. Yang ada hanya tahi gigi dan air liur sahaja. Apa yang dia boleh lalukan dan apakah 'keramat' yang ada kepadanya lagi?

Apakah tidak mungkin dia akan menggunakan pentas Himpun untuk mempertahankan diri dan membelasah parti dan kerajaan yang disertainya sebelum ini? Cikgu Azmi sebagai pengerusi kena memnatau ini dan jika perlu orang itu harus dinyahkan dari pentas agar ia tidak menjadikan pentas Himpun untuk dia melempiaskan dendamnya.

Apun sebaiknya cikgu Azmi berundur sahaja dari Himpun. Tidak sesuai lagi orang sepertinya berada dalam wadah yang sudah mulai cemar dan kotor. Negara, agama dan bangsa memerlukan seorang yang beridentiti seperti beliau yang istiqamah dengan fahama politik tidak berpihak, dan kekal dengan berkain pelikat ke mana saja pergi. Ikhlas saya katakan saya lebih suka dan mempunyai kehormatan tinggi kepadanya kalau dia tetap seperti bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Azri Zainal Abidin yang berpolitik tidak berparti yang mengkritik tidak kira siapa.

Tidak ramai orang yang mempunyai identiti sendiri, berfikiran bebas dan disenangi semua orang kerana prinsipnya. Rasanya selepas Cikgu Azmi dan Asri sudah tidak ada lagi selepas Abdul Aziz Bari kini sudah rasmi menyertai PKR?

Cikgu Azmi boleh memikirkan apa yang saya ajukan ini. Saya yakin dunai juang cikgu Azmi terutamanya dalam mempertahankan akidah ummah dan mengutuhkan bangsa tidak terbatas kepada Himpun sahaja, sebaliknya Terang yang didokong selama ini sudah cukup gah dan hebat. Orang kenal Cikgu Azmi bersinonom dengan Teras dan kain pelikat dan bukannya Himpun dan songkok senget. [wm.kl 12:00 t/hari 27/01/12]