Friday, June 15, 2012

Ulasan Isu

Nizar Jamaluddin Tidak Perlu Layan Isu Plat Kereta

Mulanya saya malas ulas dan sentuh mengenai isu plat kereta WWW 1 yang membabitkan bekas MB Perak setahun Nizar Jamaluddin dengan sultan Johor. Kepada saya isu itu remeh temeh dan bukan pun membangun politik negara. Jauh sekali untuk membangun minda rakyat negara ini. Sepatutnya isu seperti itu tidak dimasuk pun dalam kepala.

Nizar Jamaluddin
Apa lah sangat dengan isu itu. Sultan Johor pun boleh biarkan begitu saja. Rasanya tidak jatuh mertabat sultan itu kalau baginda tidak murka dan ikut terpanggil dengan isu itu. Adalah bijak kalau sultan mendiamkan sahaja. Lebih bijak kalau baginda memaafkan Nizar. Rasanya bagi Nizar masih ada isu lebih besar dan penting dari isu plat kereta itu untuk beliau bercakap dijadikan modal politik.

Isunya Nizar dikatakan menulis dalam twitternya yang plat itu dibida dengan menggunakan wang rakyat. Pihak sultan menjelaskan ia dibida dengan wang sendiri. Nizar minta maaf atas salah tulis dan salah tafsirkan itu. Ia kecil saja. Isu seperti ini tidak menjadi isu pun bagi politik Barat. Tetapi kerana ada penyamun yang hendak menyamun isu menerusi isu itu ia diperpanjangkan.

Bangkitlah rakyat yang angkat sepanduk mempertahankan sultan mereka. Yang mempertahankan sultan mereka. Yang membela sultan mereka. Baguslah. Bersungguhnya seolah-olah maruah sultan mereka sudah tercemar. Tetapi lucunya mereka bangkit begitu sekali kerana isu plat kereta. Masa isu pulau Batu Putih, isu penjulan pasir ke Singapura, isu Jambatan Bangkok mereka tidak pun bangkit pegang lembing dan kayu untuk mempertahankan sultan mereka, mempertahankan maruah Johor yang melambak ke bumi itu.

Budak kecil pun tahu dan merasa lucu dengan apa yang dilakukan oleh panglima pembela sultan. Dituduh Nizar derhaka kepada sultan mereka. Apa derhakanya? Menterjemahkan erti dan makna perbuatan derhaka pun nampaknya kurang tepat.

Biarlah itu sikap dan pendirian orang Johor yang berani. Cuma saya hendak sebut kepada Nizar lain kali tidak usah gatal mulut lah soal sultan dan raja-raja ini. Zaman ini mana ada lagi zaman Mufti berani tegur sultan. Mufti yang berani kerana benar sudah pun tidak ada lagi. Jadi bila Mufti sendiri menjadi batang pisang kepada raja jangan pula kita pandai-panai hendak jadi batang balak kepada sultan.

Isu lain masih banyak kalau hendak dicakapkan soal pembaziran. Cuba selidik dan kaji. Jangan soal sultan dan raja-raja. Mereka kebal dan zaman ini ramai orang hendak berlindung di sebalik kekebalan. Sejuta kali benar dan betul pun yang Nizar kata ia tidak akan menjadi benar dan betul.

Saya lihat bekas MB Perak setahun ini semacam tidak berapa bijak dalam politik. Kurang bijaksana dan kurang daya politiking. Beliau yuang berada dalam sistem politik sekular harus tahu. Bahawa dalam politik sekular tiada kebenaran, tidak ada kejujuran dan tidak ada ketulusan. Kejujuran, niat baik kita pun akan dieksploitasikan menjadi isu dan dijadikan modal untuk membalun kita.

Dalam hal plat kereta itu Nizar sudah pun merasai di mana kejujuran dan niat baiknya telah memakan dirinya. Semoga beliau insaf dan selepas ini gam terus soal-soal sultan dan raja dari perbicaraan politiknya.

Begitu juga hasrat nak jumpa sultan Johor dan mohon maaf rasanya tidak perlu. Lagipun raja tidak menjawab surat permohonannya. Kalau sultan tidak hendak jumpa diamkan saja, jangan kita mengada-naga hendak tunjuk berani. Silap hari bulan keberanian dan ketulusan itu akan memarahkan lagi diri kita.

Nizar harus belajar dari kesilapan lalu untuk memulihkan reputasinya dalam politik. Gara-gara telah melakukan sembah derhaka kepada sultan Perak - walau pun istilah itu ada Nizar dianggap derhaka. Parahnya konotasi dan erti derhaka atau tidak itu bukan ditentukan oleh raja dan sultan tetapi mereka yang mencari perlindungan dari istana. [wm.kl.8:17 pm 15/06/12]

Balesungkawa

Ustaz Yahya Baiknya Tidak Ternilai
Insan Suci Yang Istiqamah Dalam Perjuangan

Sebaik mendapat khabar dukacita menyatakan Ustaz Yahya Othman, 73 telah kembali ke Rahmatullah menjelang Maghrib semalam (14 Jun 2012), ingatan dan fikiran saya berbusa-busa dan menerawang menjamah wajah dan perwatakan sosok ulamak dan siasah ini. Seluruh ingatan dan kenangan pada detik-detik bersama dengannya juga diperah sehabisnya untuk mengenang segala tentangnya. Saya mahu mengingati seluruh kenangan dan memeluk semua nostalgia bersamanya yang saya mulai kenali pada tahun 1978.

Allahyarham dan Anwar Ibrahim - pertemuan terakhir.
Bentuk tubuhnya yang kecil molek, warna kulit yang putih mengapas, bersih dan suci menjelma ke dalam dua buah kolam mata saya. Begitu juga patah-patah perbualan dan percakapannya yang lemah lembut, teratur dan penuh takmaninah menusuk ke dalam telinga dan melabuh di sanubari. 

Sambil mengingat dan mengamati wajah suci bersihnya, kesedihan memutar tangkai hati.  Ah, ustaz yang kukenali dan berhemah sudah tidak ada lagi. Air mjata bagaikan manik terputus dari karangan, berjeruk jatuh teburai menimpa meja tulis usang di bilik hotel di Banda Aceh. Sebuah puisi yang terlahir secara spontan tidak dapat disiapkan kerana terlalu emosi dengan segala bayangan dan kenangan itu.

Hati menjadi walang sedih dan terkilan kerana tidak dapat untuk saya menatap wajahnya buat terakhir kali. Juga tidak sempat untuk mengiringi perjalanan jasadnya ke pusara rumah abadi seorang hamba. Tidak mungkin? Semua ini kerana saya berada jauh dari Kelantan, di negeri Aceh Darussalam. Perasaan terasa menggelepar untuk segera pulang tetapi tidak mungkin. Penerbangan dari Banda Aceh ke Kuala Lumpur hanya ada esok pagi saja, sedang esok pagi adalah hari pengembumiannya. Esok pagi jasad comel dan suci itu akan tersimpan dalam lahad kematian dan tidak akan bangkit lagi sehinggalah nafiri mengerakkannya.

Menyedari hakikat itu, diri jadi makin terkilan dan terkedu. Sedih meratah diri. Sendu berdetak mengikut pukulan detik jam yang sesekali dirasakan terlalu cepat bergerak dan sesekali terlalu lemah memusing diri mengikut putaran fitrah. Berjuru-jurus jadinya.

Dari kejauhan ini apa yang dapat dilakukan hanya membayangkan apa yang berlaku di rumah Allahyarham di Labok Machang, Kelantan. Rumahnya sudah tentu akan dikunjungi segenap lapisan orang dari dekat dan jauh. Kawan dan lawan sudah pun berada di laman untuk menzahirkan simpati dan keinsafan. Saudara maranya dari dekat dan jauh juga sudah mulai sampai dan berhimpun.

Ribuan anak muridnya dan rakyat juga yang mengetahui akan budi dan kebaikannya, yang menerima dan mengecapi ajaran dan amanah agamanya... sudah datang untuk mensedekahkan bacaan al Fatihah dan Yassin. Dicela-cela bacaan itu tentu ada yang menangis dan berlinangan air mata tidak tertahan rasa sebak dan dukacita. Bukan menyesali takdir Tuhan tetapi merasa sayu atas pemergian lebih awal sedang dunia dan harakah juangnya masih memerlukannya.

Entah Banda Aceh disaat itu juga tiba-tiba menjadi sepi. Mentari senja yang tadi menyula ke dalam kamar tiba-tiba ghaib entah ke mana membawa diri sebaik berita itu diterima. Bumi yang pernah ditimpa tsunami dahsyat ini juga seakan terasa dengan pemergian sang murabbi itu.

Di sini apa yang dapat dilakukan hanya membaca al Fatihah sebagai mengiringi roh Allahyarham untuk menemui Tuhannya dan melakukan sembahyang ghaib. Sahabat saya Rushdan Mustafa juga yang kebetulan menjadi rutinya malam Jumaat membaca Yassin turut membaca Yassin khususi untuk roh Allahyarham. Ada nada sedih, sayu dan rindu dalam bacaan Rushdan. Saya tampak matanya turut digenangi air jernih.
 
Sebagun pagi tadi fikiran saya masih membayangi apa yang berlaku di Labok di rumah dan masjid  atau Darul Quran milik Ustaz Yahya yang terletak segalah jaraknya dengan rumahnya. Sudah tentu persiapan sudah diatur untuk upacara pengembumian. Berita dari Wan Abdul Halim Wan Ismail tengah malam semalam memberitahu jenzahnya akan dikebumikan jam 9:30 pagi menyebabkan hati makin terkilan kerana sekejap lagi jasad yang comel itu pun akan ghaib dari pandangan dan dikebumikan.

Dari kejauhan ini saya membayangkan satu persatu lagak dan aksi di situ. Ternampak ada orang menangis menyesali akan pemergian itu. Ada yang merasa terkilan dan seakan mahu menahan agar Allahyraham tidak pergi lagi. Dalam saat perjuangan masih memerlukan orang-orang suci,  orang ikhlas, lurus dan tawaduk sepertinya pemergian itu menjadi cabaran besar buat pendokongnya.

Allahyarham ketika menghadiri muktamar Pas di Kota Bharu.
Dalam kewalangan itu terlintas pula fikiran dan rasa simpati dan kesian belas kepada Tok Guru Nik Aziz. Dapat dirasakan betapa Tokguru sedih dan dukacita atas pemergian Ustaz Yahya. Betapa tidak Ustaz Yahya dianggap sebagai pendokong dan pengeras semangat yang berada di sisi kanannya. Menjadi pedang simpanan untuk Tok Guru dikala 'menunggang kuda' di medan perjuangan. Dengan keilmuan, kesucian jiwa dan fizikal almarum... Tok Guru sangat memerlukan orang seperti Ustaz Yahya. Paling terasa lagi apabila orang suci seperti  Ustaz Yahya tidak begitu ramai. Ustaz Yahya sepanjang haya mempir bersama Tokguru memberi kebehagiaan dan bukannya mendatangkan masalah.

Barang kali lebih penting dan terasa lagi Tokguru sudah kekurangan rakan yang boleh diajak bertelaah kitab atau pun membuat ijtihadi siasah.

Satu waktu Tok Guru pernah melepazkan ucapan kepada saya, yang suatu hari nanti orang berilmu tinggi, berakhlak dan istiqamah seperti Ustaz Yahya akan menjadi penggantinya. Tokguru tidak menyebut nama Ustaz Yahya tetapi dapat saya fahamkan bahawa Ustaz Yahya pernah bertandang di dalam mindanya untuk menjadi penggantinya suatu hari kelak.

Walaupun harapan itu tidak sampai ke realitinya kerana Ustaz Yahya lebih awal "pensiun" dari politik.. tetapi Tokguru tentu memerlukan penyokong syariat dan siasah seperti ustaz Yahya. Ustaz Yahya tetap penting dan menjadi tempat rujukkan mana-mana mantik agama dan politik yang tidak difahaminya, sebab Ustaz Yahya adalah salah satu karung ilmu buatnya dan juga Pas. Maka itu saya merasakan Tokguru sedih dan berdukacita atas pemergian itu. Saya dapat merasai ini dari makrifah saya betapa akrabnya hubungan Tokguru dan Ustaz Yahya.

Tetapi kehendak Allah siapa boleh melawan dan menahan. Kehendaknya tidak termampu dicegah sesiapa. Apa-apa keputusannya tidak dapat dilewatkan sesaat begitu juga dicepat. Kerja Tuhan tidak ada penangguhan. Maka kita semua dan Tokguru meredhai dengan penuh keinsafan atas apa yang berlaku. Apa yang diharap nanti selepas semua kita terbang kembali dapatlah berhimpun di satu bongok di padang Mahsyar nanti. Hendaknya Ustaz Yahya sedia untuk menanti kita di sana... [wm.kl.6:45 pm 15/06/12]

Bersambung....saya ada tiga peristiwa prenting dengan Allahyarham.

Perhatian

Jenazah Ustaz Yahaya Othman akan dikebumikan pagi ini. Semoga urusan pengkebumian berjalan sempurna. InsyaAllah saya akan membuat catatan khas kenangan bersamanya sepulang ke tanah air nanti. Sekurang kurangnya ada tiga kenangan istimewa saya dengan beliau sepanjang beliau aktif dalam politik. Paling menarik ialah mengenai action Tok Guru Nik Aziz berdasarkan sebuah buku saya. Amin.

Tuesday, June 12, 2012

Susupan Petang

Berita Mengejutkan Rosmah
Bakal Menantu Dituduh Menipu?

Harap-harap laporan sebuah protal berita yang memetik akhbar The New York Pos hari ini mengenai bakal menantu isteri perdana menteri Rosmah Mansor tidak benar dan hanyalah satu gimik atau berita palsu yang sengaja diadakan-adakan untuk memalukan isteri perdana menteri dan keluarganya.

Daniyar: Dilapor cuba menipu?
Berita dimaksudkan itu ialah mengenai lelaki warga Kazakhtan Daniyar Nazarbayev, dikatakan terlibat dengan satu penipuan bapa tirinya untuk memiliki seunit kondominum bernilai AS20 juta (RM62 juta) serta memaslukan dokumen untuk memasuki universiti luar negara.

Maklumat itu terkandung dalam dokumen yang difailkan di Mahkamah Agung Manhattan.

Berita ini ini benar-benar mengejutkan dan menjatuhkan air muka isteri persana menteri dan juga suaminya Ha Najib Razak. Secara tidak langsung juga berita berkenaan turut sama mengaibkan rakyat negera ini kerana beliau (Daniyer) bakal menjadi menantu kepada perdana menteri.

Dari sudut lain berita ini seakan memberi paku buah keras kepada Rosmah Mansor yang sebelum ini dikatakan tidak menyukai menantunya seorang warga Malasyia kerana mempunyai status dan kedudukan tidak setaraf dengan anaknya yang menuntut di luar negara.

Beliau tidak menghadiri majlis perkahwinan anaknya dan juga telah melarang rakan-rakannya terdiri dari isteri vvip daripada menghadiri majlis perkahwinan yang dilangsungkan di PWTC itu.

Mana-mana para jemputan terdiri daripada vvip dikatakan menerima sms daripada Rosmah yang meminta jangan hadir majlis perkahwinan anaknya dengan pemuda tempatan itu. Mana-mana tetamu yang enggan mematuhi larangan itu diganggu di mana kereta mereka ada yang digores dan dirosakkan.

Isteri perdana menteri itu merasakan anaknya tidak layak berkahwin dengan anak seorang kuat Umno yang hanya berkelulusan dalam negeri dan merupakan seorang artis, penyanyi. Katanya Rosmah telah melarang dan marah kepada anaknya tetapi kerana cinta suci anaknya tidak menghiraukan larangan itu menyebabkan Rosmah tidak menghadiri majlis perkahwinan anaknya itu.

Tampaknya sekiranya berita dilaporan The New York itu benar ia bakal menjadi pengajaran kepada Rosmah Mansor dan ibu-ibu yang ego dan sombong agar tidak merendah-rendah atau memperlekehkan warga tempatan. Adalah diharap berita itu tidak benar dan isteri perdana menteri akan membuat penjelasan dengan segera. [wm.kl.4:42 pm 12/06/12]

Monday, June 11, 2012

Kerugian RM1.8 Juta Bersih
Menteri KDN Patut Tanggung Kerugian Akibat Bersih

Kalau Menteri Dalam Negeri,  Hishmuddin Hussein bersama polis bijak membaca keadaan dan pandai menguruskan keselamatan awam negara tidak mengalami kerugian sebanyak RM1.8 juga dalam tempoh hanya beberapa jam saja. Tetapi kerana Hishmuddin dan pasukan polis tidak bijak menyebabkan wang sepatutnya boleh digunakan untuk membeli uniform baru polis hangus begitu sahaja.

Kerugian wang negara sebanyak RM1.8 juga itu kerana digunakan untuk mengawal himpunan Bersih 3.0 baru-baru ini. Jumlah itu tentulah untuk membayar gas pemedih mata yang digunakan untuk menyuraikan himpunan dan juga tanggungan-tanggungan lain termasuk membayar rawatan anggota polis cedera dalam himpunan berkenaan.

Angka itu dikeluarkan hari ini oleh kementerian dalam negeri di parlimen bagi menjelaskan pertanyaan wakil rakyat DAP Batu Gajah (Fong Po Kuan).

Dalam kejadian itu kementerian dalam negeri memberi tahu sebanyak 909 kelongsong gas pemedih mata digunakan pada himpunan pada 28 April itu di mana jumlah tersebut tiga kali ganda daripada yang digunakan dalam perhimpunan Bersih 2.0 tahun lepas. Jumlah ini mengesahkan bahawa Bersih 3.0 lebih hebat dan ramai berbanding dengan kehadiran pada Bersih 1.0 dan Bersih 2.0.

Turut sama dijelaskan sebanyak 58 lagi jenis gas yang dibaling dengan tangan terhadap para himpunan. (Cis... kepada polis jahat). 

Barang kali wajar kalau mana-mana parti bakal membentuk kerajaan di masa akan datang tidak melantik orang-orang yang tidak bijak ataupun kurang akal dalam menyelesaikan apa juga isu membabitkan rakyat kerana disebabkan kelemahan itu kerajaan terpaksa mengalami kerugian. Bayangkan kalau menteri dalam negeri dan juga perdana menteri gantleman membenarkan himpunan itu berlangsung secara aman negara tidak mengalami kerugian sebanyak itu dan wang RM1.8 juga boleh diagihkan untuk perkara lebih berfaedah.

Sebenarnya kalau hendak dihitung jumlah kerugian itu bukan saja bagi kerajaan tetapi peserta juga mengalami kerugian sama. Betapa tidak beratus buah telefon bimbit, kamera, kereta, motisokal juga mengalami kemusanahan disebabkan kerakusan polis.  Semasa peserta himpunan lari bercelidar disebabkan amukan polis, berbagai peralatan peribadi termasuk dompet, beg tangan, gedget, kasut, selipar dan pelbagai peralatan IT bertaburan di  jalanan.

Semoga untuk masa akan datang kejadian seperti itu (yang boleh dilakukan dengan baik) tidak diurus dengan rakus semata-mata kerana kerajaan UBN ingin memberi gambaran kepada umum yang himpunan Bersih jahat. Kini orang ramai dapat menilai sendiri siapa yang selama ini mengkhianati harta benda negara ataupun membelanjakan wang negara ditempat tidak wajar dan mengetahu apakah punca dan di mana kelemahannya. [wm.kl. 8:05 pm 11/06/12]

Sunday, June 10, 2012

Terkini Malam

Penghijrahan Wilfred, Lajim Belum Dapat Disahkan

Sehingga kini dua tokoh politik terkenal Sabah dikatakan telah meninggalkan parti dan akan menyertai Pakatan Rakyat, Wilfred Bumburing dan Lajim Ukin masih belum menjadi kenyataan. Wilfred ialah Timbalan Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) manakala Lajim ialah tokoh pendokong Umno ke Sabah.
Wilfred dan Lajim Ukin.
Walaupun penyertaan mereka dilaporkan sudah diumumkan di Kota Kinabalu petang ini tetapi ia masih belum disahkan dan terus menjadi teka teki.

Seorang bekas tokoh Umno yang sudah pun menyertai PKR dihubungi sekejap tadi tidak dapat mengesahkan apakah kedua tokoh itu sudah menyertai Pakatan Rakyat atau tidak.

"Saya ada dengar nama mereka diumum petang tadi katanya telah keluar BN, tetapi tidak dapat disahkan," katanya seakan keliru dengan laporan itu.

Tokoh itu yang ketika ini sedang menghadiri majlis makan malam bersama Anwar Ibrahim di Kota Kinabalu memberi tahu Wilfred Bumburing dan Lajim Ukin tiada dalam majlis itu dan kehadirannya sedang ditunggu.

Dengan maklumat itu tidak dapat disahkan apakah kedua mereka sudah meninggalkan BN dan menyertai Pakatan Rakyat khasnya PKR atau sebaliknya.

Sementara itu menurut sumber banyak lagi tokoh-tokoh politik di Sabah termasuk bekas pemnimpin Usno yang telah dibubarkan akan bertindak menyertai Pakatan Rakyat. Sekiranya berita ini benar perkembangan yang berlaku di Sabah ini amat membimbangkan UBN dan menyebabkan jalan menjadi semakin sukar untuk Ha Najib Razak mengumumkan pembubaran parlimen. [wm.kl.8:23 pm 10/06/12]

Catatan Kenangan

Pergorbananya masih dikenang
Terkenang Hj Nordin Yaacob

Setiap kali melewati daerah Tumpat apa lagi melangkah kaki lembah pesisiran itu roda ingatan akan berputar mengimbau kepada Allahyrham Haji Nordin Yaacob bekas Adun Kelaboran. Ketika itu juga terpasang niat dihati untuk singgah di rumahnya bagi menjenguk balunya Kak Yah dan anak-anak.

Allahyarham Hj Nordin
Malangnya niat itu tidak pernah menjadi kenyataan, tidak tersinggah pula di rumah itu. Semacam "Umno" menyekat saya. Entah kenapa tidak tahu. Allahyarham ialah Adun Kelaboran Tumpat selama dua penggal (1995 - 2004). Allahyarham adalah antara Adun yang rapat dan sangat mesra dengan saya. Beliau memenangi kerusi berkenaan atas tikit Parti Melayu Semangat 46 tahun 1995 dan atas tikit Pas 1999.

Ketika itu Pas berkerjasama dengan Semangat 46 menerusi perpaduan ummah. Hasil kerjasama itulah satu sejarah dicatat di Kelantan dimana Pas dan Semangat 46 berjaya menyapu semua kerusi Dun dan Parlimen pada tahun 1990.

Apabila Semangat 46 kembali semula untuk bersama induknya Umno, setelah presidennya Tengku Razaleigh Hamzah tidak lagi yakin parti yang diasasnya itu mampu berhadapan dengan Umno, bersetuju kembali ke dalam parti asalnya. Alasan digunakan ialah demi perpaduan Melayu. Bagaimana pun Nordin tidak ikut bersama dengan Tengku Razaleigh. Beliau mengambil keputusan untuk bersama Tokguru Nik Aziz sebagai MB kemudian menyertai Pas dan diberi peluang bertanding atas tikit Pas, menang.

Pendirian Haji Nordin itu kurang disenangi oleh pimpinan Semangat 45 sehingga mendatangkan sedikit masalah kepadanya. Beliau menerima berbagai tekanan dan ugutan ekoran ketegasan dan keputusan luar dugaan itu termasuk untuk ditangkap dan mendakwanya ke mahkamah atas kesalahan kononnya melakukan salahguna kuasa semasa berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Daerah sebelum itu.

Bagaimana pun Haji Nordin tetap dengan keputusannya. Halangan dan tekanan tidak bisa merubah nekadnya untuk memilih Pas sebagai wadah perjuangan hingga ke akhir hayat.  Hasil bersama Pas dan bergaul dengan pemimpin Pas khasnya Nik Aziz, beliau mendapat tarbiah dan memahami bahawa parti yang benar-benar susai memperjuangankan Islam ialah Pas.

Pada saya Haji Nordin bukan saja pejuang yang ditekan dan berjaya menghadapi tekanan, tetapi beliau tidak bernasib baik. Semasa Tok Guru Nik Aziz hendak membentuk barisan Exconya dan mengisi beberapa kekosongan apabila ahli Semangat 46 keluar dari kerajaan, nama Haji Nordin salah seorang dicalon untuk mengisi kekosongan itu. Malangnya kerana tidak mendapat perkenan dari istana menyebabkan beliau tidak dapat dilantik menjadi Exco. Cadangan namanya ditolak. Sebagai ganjaran serta berpandukan kepada pengalamannya sebagai bekas pegawai tadbir kerajaan negeri beliau dilantik menjadi Yang Dipertua MPKB dan beberapa agensi kerajaan lain.

Kak Yah (kanan) menceritakan warna kehidupannya kepada isteri saya.
Sebagai orang yang rapat dan pengkalan tempat beliau meluahkan perasaan, mengadu hal dan sebagainya saya sangat memahami segala pencaroba dan pengorbanan dilakukannya. Banyak rahsia yang diluahkan kepada saya untuk saya jadikan kenangan. Semasa beliau menerima rawatan di Hospital Selayang akibat sakit kencing manis kronik saya beberapa kali menziarahinya dan memberi semangat. Hubungan itu jugalah merapatkan saya dan isteri dengan isteri Allahyarham, Kak Yah.

Semua kenangan bersamanya masih tertampal dalam mata dan terladum di hati. Kebaikan budi, keramahan dan nilai persahabatan dengan beliau masih dikenang hingga kini. Kerana itu walaupun sudah enam tahun beliau meninggalkan kita semua, saya merasakan beliau masih ada. Kerana itu juga setiap melewati daerah permukimannya hati jadi terkenang dan kalbu meronta untuk bertanya khabar mengenai keluarganya sebagai tanda saya masih ingatkan kepadanya.

Kebetulan kepulangan saya ke Kelantan dua tiga hari lepas disertai sama isteri. Jadi hari Jumaat itu saya sudah 'khosab' di dalam hati akan menjenguk isteri Allahyarham, Kak Yah di rumahnya di kampung Sedar Tumpat. Walaupun kesibukan saya rejamkan masa saya sebelum Jumaat itu untuk ke rumah Kak Yah.

Alhamdulilah hajat dan niat lama itu terkabul juga. Selepas Jumaat saya ke rumah Allahyarham dan disambut oleh Kak Yah. Saya tidak dapat membayangkan saking gembiranya Kak Yah dengan kedatangan yang tidak diguga itu. Apa lagi dalam kesempatan itu beliau banyak menceritakan denai-denai kehidupan beliau selepas ketiadaan suaminya yang penuh sepi berbaur dengan rindu.

Hanya mendengar beberapa kelumit saja cerita Kak Yah saya faham dan dapat menghayati kesepian dan rindu dialaminya. Sementelahan pula dikala bersendirian di rumah, sepi mengepong seluruh hidupnya. "Kak Yah tidak berbuat apa-apa sekarang, pergi masjid dengar kuliah agam atau mengaji Quran..itu saja," cerita Kak Yah.

Kesepian makin terasa apabila semua anak-anaknya sudah berumah tangga dan bekerja dan berada di rumah sendiri. Setengahnya ada di Kuala Lumpur dan yang lain berada di luar Tumpat. Ada kalanya berhari-hari dia bersendirian di rumah dan saat inilah kesepian merupakan senjata senyap paling berkesan yang mengundangnya mengenangi arwah suami semahunya.

"Kak Yah tidak dapat melupai abang Din... kenangan kehidup dengannya lama dan kami menghadapi segala kesusahan. Beliau orang politik, Encik Sayuti... sendiri tahu akan kerenah dan dugaanya... semua itu kami hadapi bersama. Mengenang itulah menyebabkan Kak Yah senantiasa mengenangnya..." ujarnya lagi tidak dapat meneruskan kata-kata bila mana air mata sudah bersekang di kelopak matanya.

Sebagai janda Kak Yah mengakui dia tidak lagi aktif didalam parti. Hanya sesekali kalau ada jika diundang dia akan pergi dengan ditemani muhrim. "Kekok bagi Kak Yah untuk memenuhi jemputan apa-apa majlis kerana status Kak Yah. Jadi janda bekas pemimpin Pas berbeza dengan bekas isteri pemimpin Umno.." tuturnya jujur.

Kak Yah masih simpan poster calon Hj Nordin.
Dalam pertemuan ringkas itu banyak juga yang kak Yah meluahkan mengenai beberapa perkara terutamanya terkilan kepada pihak tertentu. Paling mengilankannya ialah bagaimana susahnya beliau untuk meminta tolong selepas ketiadaan suaminya. "Biarlah kak Yah tidak sebut tetapi Encik Sayuti, fahamlah sendiri bila abang Din sudah tidak ada... perhatian orang kepada Kak Yah tidak seperti dulu lagi," katanya menyembunyikan sesuatu yang terlekat di tali hatinya.

Ditanya apakah ada pemimpin tempatan atau wakil rakyat Pas menjenguknya, Kak Yah seakan tidak mahu menjawab bimbang ia menimbulkan persepsi tidak baik. Namun dari gerak badannya saya dapat faham kekerapan pemimpin Pas atau rakan-rakan seperjuangan suaminya dulu baik dalam politik maupun dalam kerajaan seakan jarang malahan ada yang tidak pun bertanya khabar langsung.

Tetapi itu semua tidak menjadi masalah kepada Kak Yah. Dari dulu saya mengenali beliau, masalah begitu bukan menjadi titik bengit kepadanya. Apa lagi Kak Yah sendiri cukup faham perjalanan hidup pejuang politik seperti arwah suaminya perlu banyak sabar, insaf dan memahami masalah orang lain juga.

Namun begitu kalau boleh, para pemimpin Pas terutamanya wakil rakyat sesekali jengoklah armalah ini bukan untuk membantu dari segi kehidupan tetapi untuk menyegarkan semangat dan kecintaannya kepada Pas. Jangan jauhkan dia dengan wadah Pas.

Saya yakin dengan harta dan wang pencen ditinggalkan arwah Haji Nordin sudah lebih dari cukup untuk Kak Yah menyara hidunya kini. Hanya apa yang sulit ialah bagaimana untuk beliau menghalau sepi yang sesekali datang menyerang dirinya. Jika ada kunjung ziarah sudah pasti sedikit sebanyak kesunyian dan rindunya kepada arwah suaminya terubat juga dan semangatnya kepada perjuangan juga tetap menghijau. [wm.kl.7:23 pm 10/06/12]

Ulasan Tengahari PTPTN

Pembekuan Dan Penarikan PTPTN Serlah Kedangkalan Pemimpin UBN

Isu politik paling panas, paling bodoh sehari dua ini ialah isu pembekuan pinjaman PTPTN kepada pelajar Universiti Selangor (Unisel). Agak terlambat untuk saya mengulas isu ini tetapi kerana ia penting biarlah saya memberi sedikit pandangan sebagai melengkapkan blog ini.

Semasa dalam perjalanan ke Jeli petang kelmarin dulu wartawan akhbar China Oriental telah menghubungi saya minta komen mengenai isu berkenaan. Tidak pasti apakah komen saya itu disiarkan atau tidak kerana saya tidak membaca akhbar Cina itu.

Pembeku PTPTN Ismail
Wartawan itu minta pandangan saya mengenai tindakan Pengerusi PTPTN Ismail Mohamed Said yang mengumumkan perkara itu di mana tindakan mendapat sokongan menteri pengajian tinggi Khalid Nordin dan juga menteri pelajaran merangkap TPM, Udin anak Yassin.

Saya percaya Ismail membuat pengumuman membekukan pinjaman itu sesudah merujuk kepada menteri dan TPM itu atau atas arahan menteri. Kata Khalid Nordin pembekuan itu untuk menguji sejauh mana kerajaan Selangor dapat membela dan membantu pelajar universiti berkenaan. Kenapa Unisel dijadikan mangsa kerana universiti itu berada di bawah bidang kuasa kerajaan Selangor.

Saya yakin itu itu musthail kalau ianya hanya pandai-pandai Ismail saja. Walaupun intelektual politik Ismail tidak setinggi mana tetapi dia tidak tergamak untuk menganiaya pelajar Unisel dengan membekukan pinjaman itu. Saya percaya ia adalah idea Udin anak Yassin bersama Khalid Nordin sama. Dua-dua orang Johor.

Kononnya tindakan itu hendak mengajar kerajaan Selangor dibawa pimpinan Khalid Ibrahim dari PKR yang mahu mansuhkan tabung pendidikan berkenaan dan diganti dengan kaedah lain. Menteri mahu kerajaan Selangor terngangga dengan tindakan itu. Bagaimana pun tindakan itu atas apa juga maksud dan tujuan ia satu tindakan diluar perikemanusiaan dan peri politik orang Melayu yang disinonimkan bersendikan adat dan agama.

Berkaitan pertanyaan wartawan akhbar China Oriental itu saya menjawab begini; tindakan itu saya sifatkan tindakan tidak tamadun dan politik bodoh. Tahap bodohnya lebih teruk daripada lembu laki Sharizat yang memelihara lembu di kondominum. Tidak sepatutnya PTPTN dijadikan modal politik murahan. Adalah sangat kohong kalau pendidikan dilacurkan untuk kepentingan politik. Perbuatan itu sebenarnya dari segi moralnya lebuh teruk dari liwat dan 'mengecung' orang.

Saya jelaskan tindakan itu tidak akan berjaya. Kerajaan Selangor tidak akan tertekan. Kalau pun bantuan dan pinjaman itu tidak diberikan, kerajaan Selangor ada idea dan ikhtiar lain untuk membantu para pelajarnya. Kerajaan Selangor nboleh mengcairkan beberapa asetnya untuk membantu pelajar dan dunia pendidikan. Makanya isunya di sini bukan soal mampau atau tidak apakah ia wajar diperlakukan begitu.

Tindakan ini saya anggap sebagai gambaran keadaan kehilangan akal para pemimpin Umno. Kalau para pemimpinya masih waras mereka tidak akan tergamak membekukan pinjaman itu walaupun atas tujuan untuk menguji atau pun hendak mengajar kerajaan Selangor. Tidak mustahil kalau menteri pengangkutan dan perdagangan pula selepas mengumumkan agar mana-mana orang tidak suka dan menantang UBN tidak dibenarkan menggunakan jalan raya. Tidak mustahil akan berlaku bila tahap politik sudah menjadi 'mumut'.

Wartawan itu juga bertanya pandangan saya, sejauh manakah benarnya dakwaan dan kebimbangan kerajaan UBN kalau PTPTN dimansuhkan negeri akan bankrup. Saya jawab biarlah kalau negara bankrup kerana wang yang membankrupkan negara itu untuk kepentingan pendidikan rakyat negara ini juga. Tidak sia-sia kalau wang itu habis asalkan rakyat mendapat ilmu. Dengan ilmu yang mereka perolehi hasil bantuan kerajaan itu juga nanti mereka akan membela negara ini.

Wartawan itu juga tanya disegi implikasi politik kepada UBN. Saya jawab ia tidak memberi kelabaan kepada UBN. Pertama orang akan marah apabila UBN mempolitikkan isu untuk kepentingan mereka. Pendidikan, kesihatan, pertahanan, makanan, air dan sebagainya adalah modal asal yang menjadi milik semua rakyat. Jadi jangan perdagangkan ini semua kalau anda tidak mahu dibenci rakyat.

Akhirnya kerana tekanan dan dimarahi oleh semua orang termasuk pelajar Unisel dan juga Ketua Pemuda Umn0 pembekuan itu ditarik balik. Penarik balik ini sekali lagi meletakkan pemimpin UBN khasnya Udin anak Yassin, Khalid Nordin dan Ismail Mohamad Said orang yang tidak mempunyai prinsip dan kredibiliti. Orang boleh menilai setinggi mana nilai dan juga daya politik mereka.

Tarik atau tidak apabila UBN telah mengemukakan cadangan itu menyebabkan rakyat tahu bahawa serendah itu pemikiran pemimpin kerajaan UBN dan jelas mereka bangsa yang cemburu, dengki dan dendam dengan rakyat.

Natijah besarnya tindakan politik dangkal itu menguntungkan pihak pembangkang. Sudah pasti pelajr yang merasakan mereka menjadi mangsa dengan tindakan acah-acahan itu akan menganggap pembangkang dan orang yang menentang tindakan pembekuan itu sebagai hero mereka. Selamanya mereka akan berterima kasih dan menyokong hero dan wira itu. Jadi di sini yang terngangga sehingga mulut dimasuki lalat dan langau ialah para pemain politik yang tolol dan bangang itu seperti Ismail, Udin dan Khalid itu. [wm.kl. 12:52 t/hari 10/06/12]

Saturday, June 9, 2012

Ulasan Isu


 Gara-Gara Cepelat Mulut
Udin Anak Yassin Kini Diserang Tebuan

Kata orang tua-tua jangan usik sarang tebuan kalau tidak mahu menerima bahananya. Tindakan Udin anak Yassin yang cuba menambah dosa dan menyusahkan Anwar memburukkan bekas TPM Anwar Ibrahim nampaknya telah terbalik terkena ke batang hidungnya hari ini apabila Anwar menyatakan kesediaannya untuk mendedahkan butiran akaun bagi menjawab persoalan ditimbulkan Udin anak Yassin.

Udin anak Yassin
Udin anak Yassin meminta Anwar mengulas mengenai dakwaan yang dilemparkan ke atas Anwar 13 tahun lalu kononnya mempunyai aset dan wang tunai sebanyak RM3 billion. Tindakan Udin membangkitkan perkara yang sudah selesai dan berlalu 13 tahun itu dilihat sebagai orang tidak ada modal untuk membaja lobak sanggup mengguna tahi sendiri sebagai pupuk. 

Tindakan itu juga menunjukkan Udin anak Yassin terdesak seperti mana Ha Najib Razak yang sudah hilang akal dan ketandusan idea untuk menguburkan Anwar. Hakikat Najib dan Udin hilang akal jelas apabila mereka sudah pening memikirkan macam mana untuk berdepan dengan rakyat. Kekaburan tarikh atau tempoh membubarkan parlimen bagi membolehkan pilihan raya diadakan menunjukkan akan kepeningan mereka berdua ini.

Anwar Ibrahim: Ketawa.
Makanya untuk menghadirkan satu keadaan yang agak selesa kepada mereka (UBN), jadi terpaksa dibangkitkan perkara itu kandati pun ia sudah lama dilupakan dunia dan berbau hanyir macam kudis malam. Rakyat dan orang ramai sudah pun hadam dengan isu berkenaan. Cara ketandusan dan kehilangan akal politik itu menyebabkan situasi Udin anak Yassin kini seolah orang yang jatuh menjadi papakedana tetapi terpaksa memakai semula baju dan seluar lama yang sudah dicampak ke dinding sebelum ini.

Rakyat sudah bijak di dalam hal ini. Perkara lama yang sudah selesai atau dianggap selesai tidak wajar ditimbulkan lagi. Cara Udin anak Yassin juga tidak gentleman. Kalau gentleman dia tidak akan tergamak untuk membangkitkan isu berkenaan. Di pihak PKR juga banyak menyimpan isu-isu lama yang masih relevan untuk dibangkitkan bagi memburukkan seseorang. Tetapi politik PKR gentleman tidak mahu membawa keluar sesuatu yang sudah dikafan dan dimasukkan ke dalam kubur.

Apa yang menimpa Mahathir, Najib malahan Udin sendiri misalnya boleh diungkitkan dan tetap relevan. Skandal BMF yang menelan dan melenyapkan wang sebanyak RM52 billion  (tolong betulkan kalau tak betul), boleh dibangkitkan. Skandal ini menyebabkan kehilangan nyawa dibiarkan begitu saja. Mahathir tidak boleh melepas tangan begitu saja kerana dia adalah PM. Tetapi kenapa tidak ditimbulkan? Kenapa dalam skandal ini seolah ia tidak terpias sedikitpun kepada Mahathir? Licik.

Begitu juga mengenai kelemahan Najib semasa menjadi MB Pahang tahun 80-an dulu. Gara-gara kelemahan, rasuah dan amalan kronisme kerajaan Pahang rugi berbillion ringgit. Beberapa buah anak  syarikat SEDC Pahang terpaksa ditutup dan lingkup. Tetapi Pakatan Rakyat tidak mengungkitkan kerana melihat itu semua isu lama. Kerugian negeri Pahang itu tidak ada kena mengena dengan status Najib sebagai PM hari ini.

Demikian juga Udin anak Yassin sendiri semasa menjadi MB Johor dulu telah menyebabkan banyak hartanah Johor melayang ke tangan Cina Singapura. Beribu hektar tanah rezab Melayu menjadi milik konglomerat Singapura. Kalau hendak dibangkit berlori isu yang boleh menceritakan kelemahan dan kegagalan serta penyelewengan Udin anak Yassin. Begitu juga cerita seorang rombongan belia semasa Udin menjadi Menteri Belia dulu... mengenai ada perbuatan menjolok mata Udin anak Yassin di atas kapal dengan seorang beliawanis? Kalau isu-isu cemar dan jijik ini hendak diungkitkan ia boleh diungkitkan.

Tetapi pihak Pakatan Rakyat tidak sebusuk dan seburuk Udin sanggp mendedahkan apa saja demi survive politik.

Apabila Udin membangkitkan isu itu - meminta Anwar membuat penjelasan saya dapat rasakan dari mana idea yang dikutip dan dipungut Udin itu. Fitnah kononnya Anwar memiliki aset dan wang tunai sebanyak RM3 billion itu adalah isu didalangi oleh Mahathir Mohamad. Mahathir semasa berdepan dengan serangan Anwar 13 tahun lalu (pemecatan Anwar dari Umno atas motif politik) kehilangan punca sehingga menggunakan apa saja isu untuk mematikan Anwar termasuk mengaitkan Anwar memiliki wang.

Apabila tiba-tiba Udin anak Yassin respon kepada isu itu, yang baru diungkitkan oleh betina sundal dalam tv baru-baru ini, saya cukup percaya apa yang Udin anak Yassin luahkan itu atas nasihat Mahathir. Atau Udin sendiri sekongkol dengan betina sundal itu? Isu kononnya Anwar memiliki aset sebanyak itu adalah idea Mahathir dan dipertikaikan oleh betina sundal. Sepatutnya perkara ini sudah pun selesai apabila orang yang membuat kenyataan memburuk Anwar itu sendiri sudah mengaku apa sebenarnya yang berlaku.
Apa yang saya diberi tahu orang yang membuat kenyataan akhbar mengaitkan Anwar itu telah diarah oleh Mahathir berbuat demikian. Orang ini katanya telah menceritakan segala-galanya kepada Anwar Ibrahim dan beliau meminta maaf kepada Anwar atas apa yang berlaku. Jadi bagi Anwar seorang pemaaf jauh sekali berdendam mendiamkan saja apabila orang berkenaan telah memohon maaf.

Menurut orang mendengar cerita itu menuturkan kepada saya, macam mana orang itu diperangkap atau menjadi hamba kepada Mahathir. Semasa Mahathir hilang akal untuk mendapatkan senjata bagi 'membunuh' Anwar selapas Anwar bangkit menjadi Jebat Derhaka bersama rakyat, Mahathir memanggil orang itu ke dalam biliknya. Dia tidak bercakap apa-apa dan hanya menulis di atas sekeping kertas kira-kira berbunyi begini; selesaikan perkara RM3 billion. Kertas nota itu katanya masih dalam simpanan orang itu dan tidak diklasifikasikan sebagai bahan OSA.

Selepas keluar dari bilik PM orang berkenaan terus membuat kenyataan akhbar yang mengaitkan wang RM3 billion dengan Anwar Ibrahim. Anwar dan semua para hulubangnya ketika itu yang kini menjadi babi perut labuh dan kerbau rabit hidung membela Anwar, menjelaskan bagaimana pembohongan fitnah berkenaan. Hasilnya semua orang faham isu RM3 billion itu. Entahlah mungkin babi dan lembu itu akan mengubah fikiran pula bila tersepak sen dan ringgit.

Apabila hari ini Udin anak Yassin, seperti terkena sentakan ekor biawak mengulas semula, ia menampakkan Udin, Najib dan Mahathir terdesak dan kehilangan akal sehinggakan sanggup menggunakan isu yang sudah lapuk itu. Mudah saja kalau isu ini hidup dan ada kebenaran kenapa dalam tempoh 13 tahun lalu tidak didakwa Anwar. Kenapa? Rasanya lembu gemuk laki Sharizat juga faham mengenai perkara ini. Adalah mustahil pula kalau Udin anak Yassin lebih dungu dari lembu.

Berbalik kepada persoalan pokok tadi mengenai cabaran Anwar kepada Udin anak Yassin. Udin kena dedahkan akaun peribadinya terlebih dahulu sebelum Anwar berbuat demikian. Atau apakah Udin berani memikul risiko menyahut cabaran itu? Bolehkah Udin mengemukakan penyataan kewangan milik peribadinya? Udin tidak boleh mengelak dan jauh untuk menyesal. Kerana mulut 'cepelat' akhirnya akan merosakan badan.

Saya dan orang ramai tunggu apa yang akan dilakukan Udin anak Yassin selepas ini. Kalau dia berdolak dalik dan terus bungkam dengan cabaran Anwar itu maka jelas Udin tidak lebih daripada tenggiling selsema yang akan menyorot bawah batang buruk bila terkejutkan anak harimau terbatuk. [wm.kl.8:59 09/06/12]

30 Ribu Di Ketereh
Siapa Yang Tidak Boleh Tidur?

Saya tidak dapat pasti siapakah di antara tiga orang ini; Abdul Aziz Kadir, Annuar Musa dan Mohamad Alwi Che Ahmad yang tidak dapat tidur malam tadi. Apakah ahli parlimen Ketereh Abdul Aziz Kadir atau dua bekas ahli parlimen sama, Annuar Musa dan Mohamad Alwi Che Ahmad yang tidak dapat tidur?

Kenapa sampai begitu sekali? Ini gara-gara sambutan dan kehangatan ceramah yang diadakan di padang Majlis Daerah Ketereh malam tadi yang dihadiri hampir 30,000 orang. Majlis malam tadi adalah terhebat di antara beberapa majlis yang diadakan di dalam kawasan Parlimen Ketereh sebelum ini.

Antara pemimpin utama PKR yang hadi malam tadi.
Kehadiran malam tadi dianggap sebagai terhebat dan panas sekaligus menyerlahkan sokongan kepada pihak yang menganjur. Ceramah malam tadi yang dikira canggih kerana peralatan, skrin dan PA sistemnya dibawa khas dari Kuala Lumpur dianjurkan oleh PKR dan Pas Ketereh. Mutu peralatan (sound sistem) PKR kini sudah setanding dengan peralatan UBN. Apakah ini menandakan PKR benar-benar sedia untuk mengganti Umno bersama Pas dan DAP?

Sebahagian hampir 30 ribu yang hadir.
Penceramah utama malam tadi ialah Anwar Ibrahim. Selain itu ia menampilkan Serikandi PKR Aishah. Turut menyampaikan cermah Aziz Kadir, Mohd Rafizi Ramli orang menjadi sebutan oleh khalayak kini selepas membelash 4-2 ke atas Ketua Pemuda Umno tidak berjawatan Khairy Jamaluddin dalam debat PTPTN beberapa minggu lepas.

Sewaktu saya tiba Rafizi sudah pun selesai menyampaikan ceramah kerana bergegas ke satu lagi lokasi di Rantau Panjang.

Benar seperti kata Mahathir jumlah kedatangan tidak mencerminkan undi. Tetapi biasanya jumlah kehadiran di tempat majlis-majlis anjuran parti tidak kira parti mana itulah membayangkan sokongan kepada sesuatu pihak. Apakah Umno mampu mengajak orang seramai itu melalui ceramahnya? Melihat kepada mereka yang hadir ia menunjukkan lebih 80% adalah orang tempatan merupakan pengundi dalam parlimen Ketereh yang meliputi tiga kawasan Dun, Kok Lanas, Kadok dan Melor.

Khalayak malam tadi secara automatik memberi jaminan atau memberi petunjuk baik kepada tiga Dun berkenaan asalkan ada pertukaran wakil rakyat terutamanya di kerusi Melor.

Tidak mungkin jumlah itu ditokok oleh orang ramai dari Pasir Puteh, Machang, Bachok, Pasir Mas atau Rantau Panjang. Kerana di kawasan-kawasan itu juga diadakan ceramah. Berdasarkan hakikat itu dapat disimpulkan yang hadir itu adalah rata-rata orang Ketereh.

Berdasarkan kehadiran dan kehagatan itu Abdul Aziz Kadir yang juga Pengerusi PKR Kelantan boleh tarik nafas lega. Walaupun ada 'qoul' mengatakan pengaruh Aziz dan PKR di Ketereh agak lema kerana ketiadaan wang untuk menggerakan aktiviti di Ketereh tetapi dakwaan itu tidak menjadi kebenaran. Wang nampaknya tidak menjadi masalah. Mereka yang hadir itu tidak memikirkan wang tetapi lebih kepada keperluan untuk mengekalkan pemerintah kerajaan Kelantan dan menumbangkan kerajaan UBN peringkat pusat. Kalau kedudukan Aziz di Ketereh bermasalah sambutan mungkin tidak sehebat itu.

Katanya mereka berdua sedang berebut uri di Ketereh?
Demikian juga jika wang jadi pilihan sudah tentu padang majlis Ketereh kosong atau lenggang. Jika pemberian wang BR1M RM500 atau segala bentuk pemberian lain mengubah hati mereka sudah pasti padang itu bertompok-tompok sahaja tidak penuh dan sendak. Begitu juga kalau anak-anak muda yang dikatakan menjadi penyokong The Red Warrior itu merupakan pengaruh peribadi Annuar Musa pasti tidak ada suara menjerit takbir Allhuakabar dan melaung dan memberi sorakan kepada Anwar Ibrahim.

Kehadiran anak-anak muda yang mendomoniasi majlis itu menunjukkan mereka boleh asingkan bola dengan politik.  Jika Annuar membaca bahawa penyokong bola sepak Kelantan adalah anak muda yang boleh dicucuk hidung agar mengundi UBN ia adalah teori yang silap. Apa lagi Alwi Che Amat sendiri memperakui tidak sampai 20% dari puluhan ribu penyokong bola sepak Kelantan akan menyokong Umno. "Demo tenguk berapa keping bendera Pas berkibar dalam stadium berbanding bendera Umno pada setiap kali pasukan Kelantan turun padang?" demikian tanya dan jelas Alwi satu hari.

Justeru realitinya yang tidak bisa nyenyek tidur malam semalam dengan kehadiran begitu ramai di majlis ceramah perdana itu ialah Annuar Musa dan Mohamad Alwi Che Amat. Saya sempat berseloroh dengan seorang yang sudah berumur yang begitu bersemangat dengan majlis malam tadi. Kata saya; sekali pun Annuar Musa berpakat dengan Mohamad Alwi untuk melawan Aziz di kerusi Ketereh  Annuar dan Alwi kena mengaku kalah.

Apa lagi tegas saya di antara Annuar dan Alwi kini sedang berebut uri untuk menguasai kerusi Ketereh. Kedua mereka walaupun bersahabat baik dan boleh berkongsi lubang, tetapi tidak untuk kerusi parlimen Ketereh sekali ini. Sudah kedengaran kononya kalau Alwi yang diberikan kerusi Ketereh Annuar sedia untuk memancung dan begitu juga sebaliknya. Kalau Annuar menyelit kapal jangok di pinggang untuk 'belepok' Alwi.. demi juga Alwi ada menyelit golok di pinggang untuk 'jub..." ke perut Annuar.

Situasi itu menambahkan lagi keenakan Abdul Aziz Kadir tidur sekiranya Umno tidak ada calon alternatif untuk diletakkan berdepan dengan Abdul Aziz Kadir. 

Boleh jadi juga dengan jumlah kehadiran yang ramai malam tadi menyebabkan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan Mustapa Mohamed berfikir semulasama hendak meletak Annuar atau Alwi atau pun calon lain di Ketereh. Pokoknya ketika ini orang yang boleh tarik selimut dan berdengkur kemenangan adalah Aziz Kadir.  [wm.kl.6:42 pm 09/06/12]