Thursday, August 14, 2014

Walaupun Azizah dapat sokongan majoriti Khalid tidak akan turun

MAKLUMAT TENGAHARI                                                             
           
29 Adun menyatakan sokongan kepada Azizan dan tolak Khalid.
Pagi ini Dr Wan Azizah Wan Ismail membuktikan yang beliau mendapat sokongan majoriti Adun Selangor apabila 29 orang Adun telah menyatakan sokongan kepadanya dan dalam masa sama menzahirkan rasa hilang kepercayaan kepada MB Bebas Selangor, Abdul Khalid Ibrahim.

Kesemua Adun PKR 14 orang dan Adun DAP 15 orang menyokong Azizah. Jumlah itu ditambah dua orang Adun Pas yang mengambil pendirian menolak kepimpinan Khalid. Kedudukan hari ini Pakatan Rakyat (PKR dan DAP) 30 kerusi manakala Khlaid, Umno dan Pas 26 kerusi.

Rodziah juga ikut bersama lima Exco yang lain

KENYATAAN                                                                                    

Rodziah Ismail.
Kesemua Exco PKR dan DAP telah mengambil sikap rela dipecat dan meletakkan maufakat Pakatan Rakyat lebih penting daripada kepentingan diri dan puak. Terbaru Rodziah Ismail yang baru pulang dari luar negeri mengumumkan pendiriannya untuk tidak bersama Khalid.

Khalid bertindak memecat enam orang Exco tiga daripada DAP dan tiga daripada PKR kerana mereka minta undi blok mengenai kedudukan Khalid. Kesemua mereka hilang kepercayaan kepada Khalid sebagai MB selepas beliau dipecat oleh partinya.

Rodziah memegang porfolio Jawatankuasa Tetap Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita merupakan salah seorang Exco yang tidak bersama semasa mengumumkan pendirian mereka menentang Khalid Ibrhaim dibuat. Hari ini Rodziah telah menyatakan sikapnya sama dengan lima rakannya yang lain. Beliau tidak dapat menyatakan sikap dan pendiriannya bersama lima rakan Exco lain kerana ketika keputusan itu diambil beliau berada di Bangkok.

Wednesday, August 13, 2014

Mustapa nafi Khalid serah borang sertai Pas

TERBARU                                                                                            

Setiausaha Agong Pas Mustapa Ali menafikan telah menerima borang permohonan bekas MB Pakatan Rakyat yang kini menjadi MB bebas Khalid Ibrahim untuk menyertai Pas. Kata Mustapa laporan media termasuk arus perdana itu yang memetik laporan lidah rasmi Pas, Harakah, adalah bohong.

Laporan yang dipetik itu daripada Harakah palsu. Dalam masa sama Editor Harakah, sdr Ahmad Lutfi Othman juga menyangkal laporan berkenaan dari Harakah.

Ekoran itu kata Mustapa, dia menerima panggilan daripada wartawan bagi mengesahkan laporan berkenaan. Sehubungan itu Mustapa menasihati orang ramai agar tidak mempercayai laporan Harakah palsu itu.

Berita kononnya Khalid telah menyerahkan borang untuk menyertai Pas tersebar dipelbagai media termasuk portal berita. [wm.kl.7:03 pm 13/08/14]

Pas tidak tunjuk simpati kepada Exco DAP, PKR

SUSUPAN PETANG                                                                              

Permintaan DAP dan PKR kepada Pas agar keempat Exconya tidak menyertai mesyuarat Exco dipengerusikan Khalid Ibrahim hari ini tampaknya tidak dilayan oleh Pas. Keempat Exco Pas hadir dan bermesyuarat seperti biasa bersama Khalid Ibrahim.

Sidang media Anwar dan Guan Eng selepas Exco dipecat.
Semalam apabila Khalid menghantar surat pemecatan enam Exco DAP dan PKR, Lim Guan Eng telah menghubungi Setiausaha Agung Pas Mustapa Ali agar memberi mesej kepada pucuk pimpinan menunjukkan rasa simpati dan sokongan (solidariti) kepada pemecatan enam Exco, tetapi ia tidak menjadi kenyataan.

Lim Guan Engan tidak menjelaskan reaksi Mustapa. Apabila keempat Exco daripada Pas itu hadir ia memberi tafsiran bahawa Pas tidak bersedia untuk bersolidariti atas pemecatan itu. Salah seorang Exco Pas menyatakan mereka hadir sebagai tanggungjawab kepada rakyat dan atas kehendak parti.

Tuesday, August 12, 2014

Kuasa Khalid sebagai MB tersangkut ditangan Pas

MENJELANG MALAM                                                                          

Perkembangan krisis politik di Selangor hari ini terus bergerak dengan tindakan Abdul Khalid Ibrahim MB yang tidak berparti telah memecat kesemua Exco daripada DAP dan PKR kerana mereka enggan patuh dengan sistem kerjanya. Ekoran itu kuasa atau nyawa politik Khalid sebagai MB kini tersangkut ditangan Pas.

Kesemua empat orang Exco Pas masih bersama Khalid Ibrahim dan mereka mematuhi arahan parti agar mereka terus berkhidmat dengan rakyat. Berdasarkan perlembagaan tubuh negeri Selangor seorang MB boleh mentadbir hanya dengan empat orang Exco, jadi kedudukan Khalid masih sah selaku MB.

Bagaimana pun seorang Exco PKR Rodziah Ismail berada di luar negeri dan kedudukannya masih menjadi tanda tangan kerana surat pemakluman pemecatannya masih dibelum dihantar Khalid.

Kerajaan Pakatan masih boleh diselamatkan?

OTAK DINGIN                                                                                   

Azmin diterima baik oleh Pas, hadir rumah terbuka Pas.
Dewan Undang Negeri (DUN) Selangor masih boleh diselamatkan dan pilihan raya semula Selangor boleh dielakkan, duit kerajaan juga boleh diselamatkan sekiranya kesemua pihak bertelagah bertafakur sekejap mencari kejernihan dan kemurian untuk semua. 

Paling utama, ialah dipihak Pas dan PKR. DAP akan akur sahaja kerana parti itu dilihat tidak banyak kuasa tawar menawar. Sekiranya kedua pihak ini berlunak dan ikhlas dalam politik mereka, keadaan yang meruncing dan gawat kini boleh diselamatkan.

Monday, August 11, 2014

Nasib Khalid makin jelas ditangan Pas

TELAHAN MALAM                                                                            

Sultan beri perkenan terus jalankan tugas MB.
[kemaskini] Hari ini kemelut politik dalam PKR Selangor yang merebak ke dalam Pakatan Rakyat sudah hampir ke kemuncaknya dan sudah menampakkan denai-denai penghabisan. Puak yang mendokong Khalid Ibrahim mungkin merasa lega apabila Majlis Dewan Diraja Selangor telah menasihatkan Sultan Selangor supaya memberi laluan kepada Khalid untuk terus jadi MB Selangor.

Dengan mempercayai bahawa Khalid masih mendapat kepercayaan Adun Selangor, Sultan Selangor memberi perkenan supaya Khalid terus menjadi MB Selangor. Tetapi perkenaan itu tidak merupakan sesuatu yang muktamad dan sahih. Ia mungkin berlaku setakat beberapa hari sahaja, paling lama sehingga Pas mengadakan mesyuarat jawatankuasanya yang dijangka 17 Ogos setelah ditunda sebanyak dua kali, 10 dan 13 Ogos.

Sunday, August 10, 2014

Pas jangan pecah gara-gara Khalid

ISU KHALID                                                                                       

Apabila PKR telah menggunakan kuasa perlembagaan yang ada kepadanya untuk memecat Abdul Khalid Ibrahim daripada parti itu, Pas sudah tidak ada hak lagi untuk mempertahankan Khalid dalam konteks dia ada hubungan dengan Pakatan Rakyat. Khalid kini bukan lagi warga Pakatan Rakyat. Dia adalah ahli bebas yang tidak ada kaitan dengan mana-mana parti. Posisi Khalid dari segi politik dengan Pas samalah dengan kedudukan Inchek Ibrahim Ali di Pasir Mas.

Bagi orang yang berfikir secara logik dan menghormati perlembagaan dan undang-undang pertubuhan tidak akan memperdulikan lagi kepada Khalid. Hak dan tanggungjawab itu sudah tidak ada. Sebahagian pimpinan Pas sebelum ini mempertahankan Khalid. Majlis Syura Ulamak (MSU) Pas sampai membuat mesyuarat di Kota Bharu untuk mempertahankan Khalid.

Sebelum mesyuarat, Presiden Pas telah membelakangkan keputusan konsensus majlis presiden mengumumkan sokongan terbuka kepada Khalid. Ia diturut bantu oleh Mursyidul Am Nik Abdul Aziz juga mempertahankan Khalid.

Saturday, August 9, 2014

Pemecatan Khalid, ada dua kemungkinan berlaku

PEMECATAN KHALID                                                                        

Hari ini dalam sejarah, Khalid Ibrahim yang pada masa ini memegang jawatan MB Selangor telah dicadangkan dipecat oleh Lembaga Disiplin partinya (PKR) yang bersidang hari ini. Alasan untuk memecat Khalid ialah kerana beliau telah melanggar arahan parti. Salah satu pelanggaran dilakukan Khalid ialah enggan berundur dari kerusi MB Selangor walaupun beliau diminta berbuat demikian secara baik.

Pemecatan Khalid daripada PKR sudah diduga tetapi ia tidak difikirkan tindakan itu diambil secara drastik. Sebelum ini Khalid meminta lembaga itu menangguhkan keputusan tindakan ke atasnya atas alasan biarlah siasatan tuduhan ke atasnya selesai dilaksanakan.

Tetapi Lembaga Disiplin parti berkenaan sudah tidak dapat bersabar dan keputusan dibuat agar Khalid dipecat terus dari parti berkenaan.

Jangan jadi ayam laga dilumur arang

DARI SUARA KEADILAN                                                               

Kata orang lagi tinggi sesebuah pohon kayu itu maka makin terdedah ia dengan cabaran dan dugaan. Apabila ia besar dan tinggi, angin akan berhembus "menempuh" pucuk, dahan, ranting dan batangnya bukan lagi angin sepoi-spoi bahasa, tetapi ia mungkin ribu taufan yang ganas dan garang. Bagi sebatang pohon itulah ujian dan tribulasi kehidupannya.

Sebenarnya tepuhan dan terjahan angin itu bukan disengajakan, melainkan ia adalah sunah dalam kehidupan yang mesti berhadapan dengan cabaran. Hikmat disebalik terjahan dan rempuhan itu menjadi pemangkin kepada keutuhan pohon berkenaan. Itulah natijahnya kalau kita mengerti.

Ini sesudai dengan sebuah firman Allah s.w.t. yang bermaksud, "tidak dikatakan seseorang beriman selaginya ianya tidak diuji". Maksud surah Al Ankabut ayat 2-3.