Wednesday, November 17, 2010

Bingkisan Aidil Adha

Hayati Raya Korban Dari Luar Tradisi

SELAMAT Hari Raya Korban atau Aidil Adha daripada saya dan keluarga untuk semua umat Muslim di mana juga berada dan khas buat penjenguk blog Merah Tinta. Alhamudlilah, kita masih diberi kesempatan oleh Allah s.w.t. untuk menyambut dan menghayati perisitwa besar di bulan Zulhijjah ini, peristiwa yang dilalui oleh Nabi Ibrahim a.s. dan anaknya Nabi Ismail a.s.

Sebenarnya peristiwa yang dianugerahkan ke atas kedua beranak itulah yang menjadi pencetus ataupun pemula kepada sambutan hari raya aidi adha atau pun hari raya korban ini. Jelas betapa perisitwa yang menimpa ke atas kedua beranak itu begitu besar dan agung sekali dan menjadi perayaan oleh umat Islam.

Ternyata kalau kejadian itu tidak agung dan membawa signifiken ia tidak akan dikenang. Justeru kerana ia penting dan membawa erti dan makna yang besarlah dalam hidup dan mati manusia maka umat Islam akan menyambutnya. Aidil Adha adalah perayaan kedua bagi umat Islam selepas Aidil Fitri atau raya puasa. Kalau raya Aidil Fitri sebagai tanda kemenangan manusia melawan nafsu dan syaitan, raya Aidil adha pula sebagai pernyataan kesediaan manusia melakukan pengorbanan kepada Allah s.w.t. Aidil Adha juga satu penghijrahan zahir dan batin manusia daripada kegelapan kepada kecerahan. Daripada terang kepada ghaib.

Mungkin ada antara kita sudah menyambut raya korban ini sudah lebih setengah abad atau hampir satu abad. Kalau diambil kira dengan jumlah itu sudah tentu kita semua sudah 'laet' menemui apakah falsafah dan juga rahsia di sebalik perayaan ini. Kita sudah pun sepatutnya mengetahui wasiat besar oleh Nabi menerusi perayaan ini dan peristiwa dialami Ibrahim dan anaknya Ismail itu.

Adalah sia-sia kalau kita masih belum menemui rahsia dan falsafahnya. Juga sia-sia kalau kita hanya memahamai erti dan tujuan pengorbanan Ibrahim ke atas Ismail itu tetapi kita tidak aplikasikan ke dalam penghidupan kita anak beranak seharian. Pada saya pemahaman itu tidak membawa makna yang besar dan pengorbanan tanpa mengaplikasikan ke dalam kehidupan tidak akan membawa manusia menghampiri Tuhannya.

Apakah kita secara jujur dan ikhlas pernah bertanya diri sendiri; sudahkah kita melakukan pengrobanan tulen? Apakah pengorbanan hakiki kita sudah berlaku? Dan apakah pengorbanan kita kira-kiranya diterima dan diredha Allah? Pernahkah kita menguji diri sendiri? Atau pun pernahkah kita merasakan Allah menolak persembahan kita?

Sembelih lembu, kambing, itik dan burung itu bukan pengorbanan. Itu adalah lambang pengorbanan sahaja. Ibadat itu sebagai menuruti sunnah Ibrahim dan Ismail saja. Kalau boleh disebut ianya hanya kulit saja tetapi bukan isi. Ia bukan air tetapi fatamorgana saja. Kalau itulah yang berlaku, ini brerti kita hanya melakukan simbol pengorbanan tetapi bukan berkorban. Sesungguhnya tenguk kita tidak akan hilang haus kalau setakat melihat fatamorgana.

Tidak ada makna kita menyampaikan 40 ekor lembu untuk dikorbankan atau sebagai tanda dan simbol pengorbanan kita kalau maksud dan erti sebenar pengorbanan itu tidak wujud. Tidak ada guna langsung malahan sesetengah ulama menganggap perbuatan itu sia-sia dan kurafah pula.

Kita boleh sembelih lembu dan memberi dagingnya kepada fakir miskin. Kita boleh sembelih kambing masak gulai kawah dan pakat makan ramai-ramai. Kita boleh bawa lembu dua tiga buah lori dan berikan kepada sesiapa yang kita suka. Pengorbanan itu hanya setakat itu sahaja, memberi kelegaan sementara dan mengenyangkan perut mereka yang lapar. Itu hanya lambang sahaja.

Apa yang penting kita hayati dan selami, erti dan tujuan pengorbanan itu. Mengambil maksud dan rahsianya. Memetik buah pengorbanan itu untuk dirasai akan nikmatnya. Dalam hal ini pengorbanan paling besar ialah isinya bukan lambang. Kalaupun seseorang itu tidak menyembelih lembu tetapi mengambil iktibar (hakikat pengorbanan) dilakukan Ibrahim dan Ismail ia juga adalah satu pengorbanan.

Ada beberapa ciri atau intipati pengorbanan ataupun hakikat pengorbanan. Antaranya ialah berkorban mengubah sikap, merubah budaya, merubah tradisi dan merubah pemikiran. Perubahan itu nanti hendaklah membawa kepada peningkatan keimanan dan ketakwaan kepada Allah.

Secara mudahnya hakikat pengorbanan ialah;

1. Sedia merubah sikap, perangai buruk beralih kepada perangai baik. Meninggalkan sifat mazmumah mengamnbil dan mengekalkan sifat mahmudah. Dalam proses menuakr inilah kita memerlukan pengorbanan ke atas diri dan sikap kita. Pengorbanan merubah ataupun melakukan transformasi ini lebih sukar dan mahal daripada membeli seekor lembu berharga RM3,000 untuk disembelihkan.

2. Sedia melalukan pengorbanan meninggalkan budaya atau amalan yang kuffar, sekular dan bersifat duniawi. Kembali kepada budaya dan amalan hidup yang harmonis bersesuaian dan bertepatan dengan apa digariskan di dalam Quran dan hadith. Dalam bak ini, tidak ada kompromi untuk meneruskan amalan sekular itu kerana ingin menjaga hati mana-mana pihak. Dalam konteks ini hati Tuhan perlu diutamakan untuk dijaga. Apakah kita telah meletakkan Tuhan di atas dan mengawali segala urusan duniawi dan peribadi lainya?

3. Sedia melakukan perngobanan, meleburkan ego, kesombongan dan kecerdikan yang tidak boleh dimanfaatkan oleh orang lain. Sedia mengorbankan kekayaan yang tidak akan membawa kita ke alam baqa dengan sejahteranya. Ada sebilangan orang merasakan dia cerdik dan dengan kecerdikan itu ia mewah dan kaya raya. Namun ia tidak memberi sedikit pun erti kerana kecerdikan dan kekayaan itu tidak dapat dimanfaat oleh orang lain. Bersedia mengubah pemikiran dan pegangan demikian adalah satu pengorbanan kurba yang sangat sulit dilakukan dan hanya berjaya dilakukan oleh mereka yang benar-benar erti maksud dan difinasi pengorbanan itu.

4. Sedia merubah ideologi bertunjangkan humanisme dan materialisme dan kembali kepada ideolog wahyu. Tidak ada guna kita mempertahankan ideologi huminsime dan materialisme kerana ia jelas tidak membawa kesejahtraan kepada manuia sebaliknya megajak manusia menjadi agah, sombong dan bongkok. Menjadikan mansia terpisah dan hidup secara nafsu nafsi. Selagi kita tidak bersedia melakukan pengorbanan itu, membuang ideologi runtunan syaitan itu maka selama itulah tidak wujud kesatuan (unity) di dalam kelompok manusia.

Makanya sempena dengan ketibaan Aidil Adha yang sedang kita hayati ini sama-samalah kita berazam dan beriktiad untuk melakukan pengorbanan kurba untuk kemaslahatan manusia seluruhnya. Buanglah konsep korban yang tertempa di diri kita selama ini hanya dengan memyembelihkan lembu atau kambing dengan memasakkan erti dan maksud hakikat korban dan pengorbanan. Ingat dan sedarlah apa yang dilakukan itu hanya lambang atau syariah sahaja, tetapi yang penting dalam hal ini kita menghayati hakikat pengorbanan itu sendiri.

Kita perlu faham kenapa tiba-tiba disaat Ibrahim hendak menyembelihkan Ismail tiba-tiba ianya digantikan dengan haiwan! Bukankan ia satu ujian maha besar? Faham dan selamilah maknanya sampai ke hujung tanjung! Apa konotasi hujung tanjung tanyalah para guru mursyid. [wm.kl.9:00 am 17/11/10]

Tuesday, November 16, 2010

Zailah Anjur Korban
30 Ekor Lembu Di Rantau Panjang


WALAUPUN Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Yusuf terpaksa berenggang dengan rakyatnya kerana menenami dan menjaga anak bongsunya, Ahmad Saleh Rahmi yang kini dalam keadaan koma di Hospital Selatang, namun tugas dan tanggungjawabnya kepada rakyat sama sekali tidak dilupakan.

Sempena hari raya korban ini, ahli Parlimen itu mengajurkan korban melibatkan sebanyak 30 ekor lembu yang diagih-agihkan ke semua tiga Dewan Ungan Negeri (Dun) dalam kawasan Parlimen Rantau Panjang.

Menurut satu SMS yang dikirimkan oleh seseorang kepada saya, penganjuran korban ini adalah tahun kedua. Anjuran seperti ini kata pengirim itu tidak pernah berlaku sebelum ini. "Sudah banyak ahli MP di Rantau Panjang, tetapi belum ada yang mengambi inesiatif seperti Kak Lah," kata pengirim itu yang membahaskan Zailah sebagai Kak Lah.

Seperti mana yang dicatat menerusi SMS itu lembu-lembu yang diagihkan seperti mana berikut; di Pejabat Pas Rantau Panjang, (9 ekor), Pondok Lubuk Tapah (1 ekor), Pondok Gual Dalam (1 ekor), Pondok Siram (1 ekor), Masjid Banggul Kulim (1 ekor), Masjid Kubur, Cawangan Kubang Chenak dan Cawangan Chabang Tiga (2 ekor).

Kampung Kubang Chenak (1 ekor), Kampung Rahmat (1 ekor), Masjid Lubuk Gong (1 ekor), Tok Imam Lubuk Jong (1 ekor), Tok Penghulu Baruh Pial (1 ekor), Masjid Ustaz Leh Padang Jelapang ( 1 ekor), Tok Penghulu Kubang Pak Tem (1 ekor), Madrasah Mak Mudah Tasek (1 ekor), Madrasah Gual Mekong (1 ekor), Kampung Bakat (1 ekor).

Kampung Tok Deh (1 ekor), Madrasah Abang Halim Lancang (1 ekor), Madrasah Tasek Berangan (1 ekor), Masjid Machang Gocoh (1 ekor), Madrasah Gual Tualang (1 ekor).

Melihat kepada begitu besar jumlah lembu korban anjuran ahli Parlimen berkenaan menunjukkan beliau popular dan mendapat simpati dan kerjasama ramai. Kejayaan penganjuran itu juga menunjukkan Zailah mendapat dokongan ramai di Rantau Panjang.

Jelas juga kejayaan ini membuktikan kerajinan dan komitmen tinggi beliau dengan masyarakat di Rantau Panjang. Dipercayai kalau gerak kerjanya tidak disebotaj oleh pihak tertentu dalam Pas Kawasan Rantau Panjang lebih banyak lagi manfaat yang berjaya dibawa oleh Zailah.

Wujud halangan secara langsung ke atas Zailah oleh pihak tertentu di Rantau Panjang yang dengki dengan kerajinan dan kerja kuat dilakukannya. Salah satu kebencian ditunjukkan ke atas Zailah bila mana gambarnya tidak pernah dipamerkan bersama pemimpin atau wakil rakyat lain pada setiap banner yang dipamerkan di Rantau Panjang.

Misalnya banner menyambut Aidil Fitri lalu hanya tertera gambar tiga Adun dan seroang ahli Parlimen dalam kawasan Rantau Panjang, tetapi gambar Zailah tidak ada. Di sini menunjukkan unsur-unsur dengki ataupun cuba hendak menenggelamkan Zailah di Rantau Panjang sedang dilakukan.

Gara-gara itu Zailah terpaksa membuat bannernya sendiri tanpa bergabung dengan tiga wakil rakyat lain. Dalam parlimen Rantau Panjang ada tiga Adun, Bukit Tuku (Abdul Fatah Haron), Gual Periok (Ahmad Awang) dan Meranti (Nasaruddin Daud).

Diharap Zailah tidak akan memperdulikan titik bengek dan politik bodoh sombong - cerdik tidak boleh ditumpangi dan bodoh tidak boleh diajar oleh pihak tertentu itu. Apa yang penting beliau dapat membantu rakyat dan melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya dengan baik. Zailah tidak perlu takut kepada manusia tetapi perlu merasa malu kepada Allah yang memberi kesempatan untuknya menjadi wakil rakyat di situ.

Percayalah kemenangan Zailah dalam pilihan raya lalu bukan kerana sokongan sebilangan orang itu tetapi kerana dokongan seluruh ahli dan penyokong Pas Rantau Panjang. [wm.kl. 8:00 pm 16/11/10]

Susupan Petang

Sikap Buruk Media Massa Malaysia

Kesatuan Wartawan Kebangsaan (N UJ) katanya akan berjumpa dengan MB Kedah Azizan Razak untuk mendapat penjelasan berhubungan larangan kerajaan Kedah kepada beberapa media massa dariapa membuat liputan sidang DUN Kedah dua hari lepas. Larangan itu kerana media massa berkenaan dianggap biadap dan tidak bertanggungjawab dalam laporan mereka.

Tujuan NUJ itu ialah untuk mendapat penjelasan lanjut. Apa yang dilakukan NUJ itu baik untuk mendapat gambaran sebenarnya apa yang berlaku. Kalau dilihat dari sudut media arus persana yang dipamerkan kesalahan ialah Azizan Razak semata-mata.

Ramai yang tidak tahu hujung pengkal kenapa Azizan menjadi perungus dengan media massa terutamanya arus perdana yang menyeleweng fakta mengenai bantuan bajir. Sebagai MB tentulah Azizan marah dan 'murih' kerana memberi laporan yang tidak bertanggungjawab dan beretika.

Dan adalah haknya juga kalau beliau mengarahkan supaya pintu pagar bangunan SUK Kedah atau pintu Dewan Undangan Negeri dari dicerobohi oleh penyangat berlesen itu. Siapa yang tidak marah kalau orang memfitnah dan memburukkan kita tanpa fakta. Bukan bermakna wartawan yang memiliki pas media atau pas dari syarikat dimana mereka bekerja boleh melaporkan mengikut kehendak tuan mereka. Mereka perlu berpegang kepada prinsip kebebasan dan kebenaran dalam penyiaran.

Hendaknya NUJ bukan saja berjumpa dengan Azizan Razak untuk mendapat penjelasan dan menyiasat siapa yang salah. Tetapi NUJ juga harus berjumpa dengan pihak media yang dikatakan menyeleweng fakta dan menimbulkan kemarahan Azizan Razak. Misalnya cara RTM menonjolkan sikap peringus Azizan dengan mengulangi kata-kata Azizah tidak profesional, kejam dan tidak adil.

Kenapa ia dipusing berulang kali? Apa yang hendak ditonjolkan? Apakah wartawan RTM yang diherdik ataupun dikesali itu tidak bersalah? Apakah wartawan berkenaan sama suci dengan Zaid Ibrahim?

Saya percaya NUJ akan bersikap adil dan tidak akan memihak. NUJ diharap memperkatakan kebenaran dan tidak akan cuba menjadi alat ataupun perkakas kepada mana-mana pihak. Antara lain tujuan penubuhan dan peranan NUJ ialah untuk memastikan wartawan beretika sepanjang masa di samping membela nasib wartawan yang tertindas.

Nampaknya sikap melampau wartawan yang menjadi hamba kepada pihak tertentu makin berleluasa dan bermahaja lela. Ia bukan saja berlaku dari kalangan wartawan akhbar yang dikenal pasti menjadi lidah rasmi Umno tetapi agensi berita nasional yang selama ini diperakui akan nilai berita dan laporannya juga mula menunjukkan sikap mabuk.

Tenguk apa yang dilaporkan mengenai Husam Musa semalam, kononnya Exco Kelantan berkenaan membuat kenyataan Pas membuka pintu kepada Zaid Ibrahim. Sebaik melihat tajuk berita itu saya sudah merasakan ia ganjil dan pelik. Saya tidak fikir Husam secepat itu membuat panggilan dan seruan 'haji' kepada Zaid sebelum Zaid masih lagi mengenakan ikhram atau mamasang niat.

Ternyata hari ini Husam menafikan laporan agensi berkenaan. Kata Husam laporan itu hanya rekaan semata-mata dan bukan lahir dari lidahnya. Husam kesal dan marah dengan laporan itu. Beliau meminta agensi itu membuat pembetulan. Kalau agensi itu enggan membuat penjelasan Husam perlu bertindak termasuk menyaman agensi berkenaan.

Laporan sebegitu sengaja untuk merosakkan imej Husam. Pada tilikan saya ada niat untuk memburukkan Husam dan sekaligus memecah belahkan perpaduan dalam Pas.

Apa yang berlaku itu tentulah sungguh dikesalkan kerana ia berlaku atau dilakukan oleh sebuah egensi nasional. Kalau agensi nasional juga sanggup membuat berita dari laptop berskrin syaitan apalah dengan akhbar atau media yang jelas menjadi lidah parti.

Celakaan saya ini bukan saja kepada media arus persana yang menjadi lidah kepada Umno. Tetapi media lain yang bebas dan pro pembangkang juga harus berhati-hati. Anda kena jaga etika dan prinsip kebebasan berakhbar. Apa yang penting ialah melaporkan atas kebenaran dan natijah kebaikan bukan memecah belahkan.

Saya bimbang kalau media massa tidak menjadi etika masing-masing menyebabkan media massa di negara ini tidak akan dipercayai lagi. Rakyat akan menerima akhbar atau media massa tidak lebih daripada bacaan untuk menghambat bosan saja tetapi bukan untuk mengambil apa-apa iktibar atas peranan itu kerana mereka diragui. [wm.kl. 2:15 pm 16/11/10]

Khabar Subuh

Anak Bongsu Ahli Parlimen Rantau Panjang
Masih Koma


ANAK bongsu Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Yusuf, Ahmad Saleh Rahimi,7 masih tidak sedarkan diri. Ahmad Saleh kini ditempat di wad rawatan rapi (ICU) di tingkat 5, hospital Selayang, Selangor.

Ahmad Soleh yang menghidap penyakit buah pinggang dimasukkan ke ICU sejak tiga hari lepas. Menurut Zailah yang dihubungi sekejap tadi, sebelum ini anak lelakinya itu pernah dirawat di wad sama dan dipindah ke wad biasa setelah sedar.

Sejak tiga hari lalu ia dimasukkan ke ICU semula dan masih koma sehingga kini.

Dalam pada itu Zailah memohon banyak kemaafan kepada masyarakat Rantau Panjang kerana tidak dapat menyambut raya Aidi Adha bersama tahun ini. Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada mereka yang menziarahi anaknya dan berdoa untuk kesihatannya.

"Kak Lah ucapan terima kasih kepada semua yang menziarahi dan menelefon bertanya khabar Ahmad Soleh," ujarnya dengan suara sayu.

Sama-samalah berdoa untuk untuk kesejahtraan Ahmad Soleh dan diharap semua penduduk dan rakyat di Rantau Panjang memahami keadaan Zailah kini yang tidak dapat meninggalkan anaknya untuk bersama rakyat seperti lazimnya. [wm.kl.7:40 am 16/11/10]

Monday, November 15, 2010

Kepalang Berjuang

Zaib Ibrahim Bakal Penerima Hadiah Nobel?

DURI busuk yang bernama Zaid Ibrahim kini sudah tercabut dari daging bernama PKR, khususnya Anwar Ibrahim. Saya tidak mahu mengatakan Zaid adalah alat ataupun perkakas kepada Umno dengan tindak tanduknya. Saya tidak fikir begitu. Orang yang cerdik dan kaya macam Zaid tidak mungkin sedia untuk berbuat demikian menjadikan dirinya perkakas.

Apabila Zaid keluar PKR (apakah dia pernah menjadi ahli secara rasmi), maka habislah cerita. Beliau tidak ada apa-apa hubungan lagi dengan PKR dan juga Anwar. Beliau boleh mengulas dan mengkritik atas kapasitinya sebagai seorang ahli politik yang profesional yang maha hebat di negara ini.

Kalau Zaid masih lagi membalun PKR statusnya samalah dengan dua tiga orang wakil rakyat PKR yang meninggalkan parti berkenaan kerana baru berbau akan kebusukan Anwar. Sebelum ini mereka memeluk dan mencium Anwar tetapi selepas keluar baru merasai tangan mereka berbau tatkala memegang atau bersalam dengan Anwar.

PKR dan Anwar atau sesiapa saja tidak perlu mendengar apa-apa kritikan dan pandangan dari Zaid lagi. PKR boleh biarkan begitu saja pandangan Zaid. Lainlah kalau dia masih 'ahli' PKR dengan memegang berbagai jawatan itu PKR perlu mendengarnya kalaupun tidak mahu bertindak atas pandangan dan kritikan itu.

Ke mana Zaid selepas ini? Beliau memberi tahu yang tidak ada mana-mana parti yang inginkan beliau. Umno katanya tidak sudi memandangnya. Begitu juga Pas. Tetapi kalau kena cara Pas boleh menerima Zaid. Kalau Inchek Ibrahim Ali, Pas boleh menerimanya apakah dosa dan busuknya dengan Zaid. Kalau silap dan kekurangan Zaid hanya 'mabuk' saja. Tetapi apakah Inchek Ibrhaim tidak mabuk, rasanya mabuk Inchek Ibrahim lebih teruk dari Zaid!

Seburuk Zaid dia tidak menghentam Nik Aziz. Dia tidak mengatakan huduh kepada Nik Aziz. Apakah itu tektik untuk menarik Nik Aziz. Sebelum inipun dia jual bangunan Umno Kota Bharu kepada Dewan Pemuda Pas Kelantan. Apakah itu sebahagian daripada tektik dan pelaboran Zaid ke dalam Pas? Begitu juga bila Zaid cadangkan beberapa nama pemimpin Pas yang relevanan untuk jadi penyelaras Pakatan, apakh itu tektik atau Zaid akan bersama mereka? Semacam ada kerja mahu mengait buah di dahan lembut oleh Zaid.

Tertakdir kalau Pas meneriam Zaid tidak mustahil juga masalah sama akan berlaku. Kalau Zaid menyertai Pas, dan Pas tidak mengikut kehendaknya, misalnya menghalang dia hendak jadi presiden, pasti Zaid akan meratah Pas dan Nik Aziz sekali macam dia ratah dan makan mentah PKR dan Anwar. Kalau tidak percaya Pas boleh cuba beri peluang kepadanya.

Saya secara peribadi suka dan gembira campur bahagia kalau Zaid tidak menyertai mana-mana parti politik. Lebih afdal kalau beliau tubuh parti politik sendiri. Kita mahu tengok sejauh mana sambutan partinya nanti. Zaid boleh jadi presiden yang lebih baik dari Najib, Anwar ataupun Abdul Hadi. Atas keyakinan bahawa Zaid mulia, suci dan bersih tentu partinya itu akan mendapat sambutan hangat dalam masa terdekat.

Mungkin ahli Pas, Umno dan PKR yang kecewa dengan parti masing-masing boleh menyertai parti Zaid. Parti Zaid mungkin sesuai dengan naluri mereka. Orang hebat seperti Zaid, orang bersih sepertinya dan orang suci, mesti akan mendapat sokongan. Anwar Ibrahim pun akan tenggelam. Begitu juga Abdul Hadi Awang juga akan tenggelam dalam kehebatan dan keagungan Zaid.

Zaid boleh membawa partinya bertanding dalam pilihan raya umum nanti. Kalau menang dan tidak cukup kerusi untuk tubuh kerajaan, Zaid boleh bergabung dengan Umno. Tentu mudah bagi Umno dan Zaid untuk bergabung di antara satu sama lain kerana mereka pernah duduk dalam kloni yang sama.

Marilah kita mengucapkan selamat berjuang dalam wadah baru kepada Zaid Ibrahim. Semoga beliau akan memjana demokrasi yang sihat dan subur. Demokrasi yang benar-benar adil dan tidak korup yang diharapkan oleh segenap ahli politik dunia. Mudah-mudahan juga dunia akan mengiktiraf Zaid sebagai tokoh demokrasi tulen dan seterus penerima hadiah novel kerana berjuang untuk melahirkan demorkasi tulen dalam negara Malaysia.

Harapnya selepas ini Zaid akan terus dikenang dan mendapat liputan meluas dari akhbar. Rumahnya akan dikerumini para media massa yang ingin mendengar bual dan cakap Zaid. Dan selepas ini juga kita berharap nama Anwar tidak akan disebut-sebut lagi. Nama Abdul Hadi tidak diingat lagi. Semuanya akan teralih kepada tokoh baru yang hebat dan suci bersih, Zaid bin Ibrahim. Selamat! [wm.kl. 6:00 pm 15/11/10]

Sunday, November 14, 2010

Laporan Lewat

Sumbangan Untuk Mangsa Banjir Tercicir
Selamat Disampaikan


ALHAMDULILAH, tugas dan amanah menyampaikan bantuan kepada beberapa mangsa banjir yang sebelum ini terbiar dan tercicir di Jitra Kedah seperti mana dilaporkan dalam blog ini sebelum ini dapat disempurnakan hari ini.

Sumbangan ikhlas dari beberapa penjenguk blog Merah Tinta dapat disampaikan kepada mangsa bencana alam berkenaan. Sekurang-kurang enam keluarga yang tinggal di belakang taman Bunga Raya, Jitra menerima sumbangan berkenaan tengah hari tadi.

Sumbangan ikhlas penjenguk blog Merah Tinta itu disampaikan bersama sumbangan beberapa orang rakan dan sahabat yang turut bersimpati dengan mangsa berkenaan. Antara mereka ialah Abe Ki (Zaki Abdul Rahman), Zulaimi (taukeh Kopi Janda) dan Md Radzi Mustapa peguam terkenal dari Kuala Lumpur.

Selain itu sumbangan hari ini juga termasuk dari Ahli Parlimen Kubang Kerian, Sallahuddin Ayub, Rushdan Mustapa dan juga Pengarang Buletin Rakyat, Pn Norza Kepol dan suaminya.

Mungkin sumbangan itu terlalu kecil dan tidak dapat mengubati kedukaan dan kemalangan yang menimpa mereka akibat bencana itu. Namun ternyata keluarga berkenaan sungguh gembira dengan sumbangan itu. Tatakala menerima sumbangan tiap mereka melapazkan terima kasih beberapa kali kepada kami dan penyumbang bantuan itu.

"Saya bagi pihak keluarga di sini dan mereka yang menerima sumbangan mengucapkan terima kasih kepada tuan-tuan sekalian kerana bersimpati dengan kami. Kami doakan semoga Allah merahmati tuan-tuan dan segala pertolongan ini akan dibalas Allah s.w.t.," kata Ramli sebagai mewakili penerima sumbangan itu. Dua tiga titis air mata kelihatan mengalir di celah birai matanya.

Antara barangan yang dihulurkan kepada mangsa berkenaan berupa barangan keperluan rumah, toto, bantal, tikar, kain sarung dan barang makanan; beras, gula, biskut, milo, tea dan sebagainya. Selain itu mereka juga diberikan wang tunai untuk keperluan mereka membeli apa-apa barangan yang diperlukan.

Sekali lagi kepada penjenguk blog ini dan rakan-rakan yang bersimpati dengan mangsa berkenaan, saya mengucapkan terima kasih. Sudah tentu pemberian itu besar erti dan makna buat mereka, dan paling mengembira dan membahagiakan saya, kerana blog ini dapat juga menghulurkan bantuan di samping memberi maklumat politik semasa.

Sekali lagi terima kasih, jasa dan budi anda sekalian akan dikenang hingga ke akhir hayat oleh mereka dan saya. [wm.kl.11:00 pm 14/11/10]


Ibu tunggal Faizah bersama lima daripada enam anaknya menanti untuk menerima sumbangan.

Ramli bersama isteri dan cucunya terharu menerima sumbangan.

Sebahagian barangan keperluan rumah yang disampaikan.

Sdr Md Radzi menyampaikan bantuan wang kepada setiap mangsa.

Bergambar kenangan dengan sebahagian mangsa.

Kelihatan Zulaimi berkopiah puteh sedia untuk mengagihkan sumbangan.

Sdr Zaki memulakan pemberian kepada mangsa.

Nenek ini terus pulang membawa sebahagian dari barangan yang disumbangkan, bayangkan betapa gembiranya dia.

Saturday, November 13, 2010

Susupan Tengah Malam

Hayati Dan Laksana Saranan Presiden

SARANAN presiden Pas, Abdul Hadi Awang agar parti itu menang dengan kekuatan sendiri dan bukan kerana kelemahan Umno adalah tepat, dan perlu dihayati seterusnya dilaksanakan oleh semua ahli. Sebagai parti Islam terbesar dan tertua (masih hidup) di negara ini seharusnya Pas mempunyai keyakinan diri yang kuat untuk merealisasikan perjuangannya.

Menurut Abdul Hadi ada tiga asas penting bagi Pas untuk muncul sebagai parti terkuat kemudian memungkinkan Pas menerajui pemerintahan Malaysia di masa akan datang.

1. Kekuatan aqidah di kalangan ahli.
2. Mempunyai cawangan yang banyak dan ahli yang ramai, dan
3. Strategi yang berkesan dan digerakkan kepada peringkat akar umbi.

Beliau menegaskan demikian ketika berucap merasmikan seminar "Pas Sedia Ganti Umno" di Shah Alam hari ini. Seminar itu dihadiri para pemimpin Pas di semua peringkat dari seluruh negara. Dengan adanya seminar berkenaan ia menunjukkan iltizam dan keazaman Pas untuk mengambil alih teraju pemerintahan negara ini.

Tiga asas demikian hendaklah difahami serta dilaksanakan oleh ahli Pas sungguh-sungguh. Terutama mengenai aqidah dari kalangan ahlinya. Dalam sudut ini ada dua aspek, akidah agama (Islam) yang menjadi pegangan Pas dan aqidah (pegangan, prinsip dan dasar) perjuangan Pas. Dasar atau prinsip ini termasuk uslub yang diterima pakai oleh Pas yang bersesuaian dengan siasah Islam.

Ahlinya hendaklah senantiasa memperkukuhkan aqidah Islamiah mereka dan tidak lari dari matlamat asas Pas yang ditubuhkan untuk membangunkan Islam. Tidak mudah hanyut atau tergadai dengan keadaan-keadaan ataupun anjakan politik baru. Disebabkan kelonggaran pegangan aqidah ini kekuatan Pas yang dibina atas prinsip Islam dan ukhwah itu akan longgar dan runtuh sejak akhir-akhir ini. Satu sisi yang dapat dilihat kepada hubungan sesama pemimpin Pas kurang mesra ataupun wujud gap tertentu.

Jika ini tidak diatasi macam mana Pas akan lahir sebagai parti tonggak untuk menerajui kerajaan kelak. Lantaran itu Pas perlu kembali ke zaman silam (ukhwah) di samping mengaturkan strategi canggih dalam politik tetapi tidak lupa membawa ahli ke dalam usrah atau memperbanyakan majlis berbentuk ilmu meningkat iman dan takwa. Pas perlu sedar bahawa parti itu adalah warsatu ambiak.

Peranan ini boleh dimainkan oleh Dewan Ulama. Banyak para agamawan muda yang menyertai Pas kini mereka boleh dimanfaatkan untuk menyebarkan ilmu mereka kepada ahli Pas dan menyuburkan semangat wasatan ambiak dalam Pas.

Medan atau majlis ceramah hari ini nampaknya mengasingkan ahli dengan ilmu. Ceramah lebih kepada penjelasan isu politik dan dalam masa sama menjadi medan mengintrodinasi ke atas orang ramai agar menyokong Pas secara ekstrim dan membenci musuh juga secara ekstrim. Ada sesetengah penceramah yang diundang langsung tidak mempunyai knowledge Islam atau siasah Islam.

Penegakkan dan pengukuhan aqidah agama dan perjuangan ini bukan saja dari kalangan ahli tetapi pemimpin tertinggi juga. Ada sesetengah pemimpn kelihatan longgar dan rapuh aqidahnya sedia menukar ataupun menerima konsep matlamat menghalalkan cara untuk mendapatkan kuasa dan kedudukan. Fenomena atau pun sindrom ini perlu dibendung oleh Pas.

Perkara kedua juga penting. Pas perlu menubuhkan seberapa banyak cawangan dan memiliki ahli seberapa banyak yang boleh. Tetapi malang kepentingan ini nampaknya tidak diambilkan oleh Pas. Pas tidak melihat keperluan untuk memiliki cawangan seberapa banyak yang daya. Walhal dengan ada cawangan yang banyak ia mudah menggerakan parti berkenaan dalam menghadapi pilihan raya.

Negeri-negeri di sebelah Selatan, Johor, Melaka dan Negeri Sembilan ternyata Pas tidak mempunyai cawangan yang banyak. Kekurangan atau ketiadaan cawangan ini menyebabkan Pas tidak dapat menyalurkan maklumat atau propaganda mereka kepada orang ramai kerana tidak ada saluran.

Jadi saranan presiden itu hendak diambil tindakan segera. Pas perlu menubuhkan jawatan kuasa kempen penubuhan cawangan baru dan menambah keahlian secara menyeluruh. Peruntukan juga perlu disediakan untuk tujuan ini.

Manakala strategi yang berkesan seperti mana disarankan itu sukar untuk dilaksanakan. Presiden atau Pas sendiri perlu menggariskan strategi yang hendak dilakukan. Harus ada blue print berhubung perkara itu. Apakah keberkesanan yang dimaksudkan itu. Ini memerlukan...garis panduan jelas. Dan strategi ini pula biarlah berbagai-bagai.

Lazimnya untuk mendapatkan idea dalam menuangkan startegi ini ia memerlukan pemimpin yang kreatif, inovatif dan rajin. Sudah sampai masa bagi Pas menukar perlahan-lahan beberapa pemimpin tua dan lapok di dalam parti berkenaan yang sudah kekeringan idea. Pemimpin yang bulu hidung dan bulu telinga sudah beruban perlulah ditukar atau berundur secara terhormat.

Sikap malu alah atau masih menggunakan perkakas lama tidak sesuai dan memberi kebaikan kepada Pas. Pas perlu mengorbankan pemimpin yang demikian. Mereka juga sepatutnya insaf dan sedar dengan berundur sebelum mereka diminta berbuat demikian. Biarlah golongan muda atau pelapis berada di barisan hadapan. Mereka sebenarnya tidak boleh membuat ukuran dengan mata sendiri tetapi harus menerima pakai kritikan umum sebagai kayu pengukur.

Presiden perlu memantau dan menilai ini semua. Kalau presiden sendiri bersikap melindungi pemimpin tua yang tidak dapat memberi atau menyumbangkan idea kreatif apa yang disarankan itu akan menjadi sia-sia saja.

Banyak pemimpin muda dalam Pas yang datang dari berbagai profesyen yang boleh dimanfaatkan. Mungkin mereka tidak mempunyai kekuatan dari segi pemahaman konsep kepimpinan ulama dan sukar mengekalkan Pas sebagai parti Islam progresif. Ini bukan alasan untuk tidak menggunakan mereka. Mereka boleh dijana dan dicetak fikrahnya seperti mana dikehendaki Pas.

Adalah sesuatu yang merugikan Pas kalau pemimpin muda yang bersemangat dan sedang ghairah untuk berbakti kepada Pas tidak dimanfaat sepenuhnya. Lama kelamaan kalau mereka dihalang dengan berbagai alasan yang remeh, mereka akan menjadi mandul atau pun secara perlahan akan mendiamkan diri.

Saranan presiden itu baik dan boleh dijadikan cetusan ke arah menjadikan Pas sebuah parti pembinaan agama, bangsa dan negara sebagai mengganti atau mengambil alih tugas Umno yang telah lebih setengah abad memerintah negara. [wm.kl 10:00 pm 12/11/10]

Sebangun Pagi Sebuka Mata

Kedukaan Calon Haji, Kelemahan Tabung Haji

ISNIN atau Selesa - 15 atau 16 November para jemaah haji akan meninggalkan kota suci Makkah untuk menuju ke Arafah dan wukuf di sana. Perarakan meninggalkan Makkah tatkala selepas Subuh itu akan bermulanya rukun haji (fizikal), pertama. Saat inilah saat paling mendebarkan dan penuh kebangaan kepada para jemaah. Mereka akan merasakan besar hati kerana diundang Allah menghadiri diri kepada-Nya.

Saat berjalan ke Arafah akan bermulalah perjalanan menuju ke satu garis pemulaan baru untuk hidup. Manakala kata Tok Guru Nik Abdul Aziz pula perjalanan ke Makkah (menunaikan haji) adalah perjalanan menuju kematian. Melangkah ke tabir kematian merupakan melangkah ke dunia baru yang penuh dengan suspen, misterius dan mencemaskan.

Berbodonng-bondong bas dan kenderaan akan mudik menuju ke Arafah. Jemaah haji akan wukuf di sana satu malam dan akan melangkah ke Mudzalifah sebelum menjelang tengah malam untuk mengutip anak batu sebanyak 21 butir sebelum ke Mina untuk melontar. Sesudah melontar sebanyak tiga kali di jamratul Aqabah, Usta dan Ula, jemaah akan berarak sambil memuji dan memuja kebesaran Allah menuju ke Makkah untuk melaksanakan syarat terakhir saie, tawaf di Baitullah sebnayak tujuh kali.

Sesudah itu sempurnalah rukun haji.

Gambran atau perjalanan membahagiakan itu sudah pasti akan dihayati dengan penuh rasa dukcita dan lara oleh mereka yang belum diangkat Tuhan ke Makkah atas apa sebab sekalipun. Mereka akan merasakan mereka tercabar kerana belum dapat menemui Tuhan dalam ilusinya. Tidak semena-mena bagi mereka yang berjiwa halus akan menangis kekesalan, terkilan kerana belum dijemput Allah.

Adapun sebab musabab kenapa beluam diangkat Allah berbagai-bagai. Bukan senang untuk menemui Allah sebenarnya. Jika tidak ada persiapan fizikal dan mental serapinya tidak mungkin boleh terjadi atau kita betah berada di tanah haram itu. Kalaupun sudah siap, misalnya wang yang ditabungkan dengan Tabung Haji berbelas tahun sudah mencukupi, tetapi kalau Tuhan belum mengangkat bendera hijau, (bukan bendera Pas) maka tidak dapat berangkatlah kita.

Selalu terjadi hal demikian. Para penabung gagal ke Makkah walaupun mereka sudah cukup tabungan. Setengahnya menunggu hampir sepuluh tahun, sudah lumat kaki lima masjid dipijaknya untuk menjalani kursus haji. Setengahnya kerana terlalu lama apa yang dikursusi sudah pula lupus dari ingatan. Ada juga yang mati beragam di rumah sahaja kerana peluang untuk diangkat ke Makkah menerusi Tabung Haji tidak kesampaian.

Tabung Haji adalah lembaga yang dibentuk khas kerajaan untuk menguruskan pemergian orang Islam negara ini ke Makkah. Ia juga bertindak sebagai bank terbersih dan dijamin oleh kerajaan kepada umat Islam negara ini. Harapan besar disangkut kepada lembaga ini dalam menguruskan kerja-kerja haji. Atas kepercayaan itu, ianya diuruskan dengan suci dan bersih, maka diserahkan atas segala apa yang dinyatakan oleh pegawai Tabung Haji dipercayai bagaikan pengucapan malaikat di dalam Kabbah.

Benarkah Tabung haji melaksana tugas dan tangungjawab dengan baik dan sesempurnaya? Memikul amanah jemaah - penyimpan didalam tabungnya seberjurus mungkin? Benarkah? Atau di dalam Tabung Haji masih ada juga orang yang bukan saja berfikiran panjang tetapi tangan juga panjang!

Cerita dibawah ini dapat dijadikan iktibar dan iktisar. Ia boleh diperbetulkan oleh pihak berwajiba Tabung Haji atau mana-mana orang yang mengetahuinya kalau ianya betul dan benar. Saya nukilkan ini bersumberkan kepada sumber dalaman yang boleh dipercayai. Ada bukti-bukti berdasarkan pengalaman dan pengamatan apa yang diperkatakan ini.

Alasan yang diberikan Tabung Haji kepada penyimpan kenapa mereka tidak berpelung menunaikan haji ialah kerana quota. Kerajaan Arab Saudi hanya memperuntukan 26,000 jemaah dari saja Malaysia. Quota ini tidak penah ditambah walaupun menteri agama sudah bertukar tangan beberapa kali. Walaupun pemimpin politik kita mendakwa jemaah negara kita sering mendapat pujian Arab Saudi namun quotanya tidak bertambah.

Apalah erti pujian dan sanjungan itu kalau ia tidak memberi natijah yang baik? Justeru saya kira kenapa ini berlaku, gagal mendapat quota tambahan kerana kurang daya diplomasi kita dengan Arab Saudi. Gaharu kita tidak begitu wangi dan aormanya menikam kalbu tok-tok Arab.

Apapun alasan itu perlu diterima kerana ia peraturan negara yang memiliki dan diberi tanggungjawab memelihara kesucian Kabbah itu.

Manakala alasan lain yang sering didengar ialah kerana ketiadaan seat penerbangan. Kapal terbang yang disewakan khas oleh Tabung Haji, (Mas dan Arfab Saudia Air) senantiasa penuh. Memanglah kalau tidak ada seat tidak mungkin penabung diberi peluang untuk ke Makkah, masakan mereka perlu berkongsi seat ataupun duduk bertindih riba atau duduk bersama pilot atau di dalam tandas. Penerbangan ke Makkah atau Madinah mengambil masa antara 8 setengah hingga 9 jam. Kalau berkosngi seat atau duduk dalam tandas boleh lenguh punggung.

Menjadi peraturan setiap kapal yang berlepas di mana saja di dunia ini ia harus mengrizebkan sekurang -kurang tiga seat. Ini dianggap wajib untuk menghadapi sebarang masalah dan ketika kecemasan. Kekosongan ini biasa.

Alasan kekosongan ketiadaan seat itu boleh diterima. Itulah yang selalu diberikan oleh Tabung Haji kepada penabung dalam menolak hasrat penyimpan untuk menunaikan haji. Bila ada penyimpan bertanya hal mereka, itulah alasan yang diberikan. Bagi jemaah asal kampung atau peneroka Felda atau yang tidak faham hal ehwal kapal terbang tidak akan membantah dan bertanya lanjut bila jawaban itu diberikan. Mereka akan pasrah dengan meletakkan apa yang berlaku itu ada hikmah disebaliknya?

Namun apa yang didedahkan ini menyebabkan timbul seribu tanda tanya dan sekaligus menunjukkan kelemahan orang bertanggungjawab dalam menguruskan penerbangan jemaah haji ke Makkah.

Katanya, sejak bermulanya penerbangan haji tahun ini, boleh dikatakan semua penerbangan tidak penuh seperti mana dikatakan. Di mana masih kedapatan lebih dari tiga seat yang kosong. Paling ketara ialah penerbangan bermula pada 26 Oktober hingga 8 Novermber lalu senantiasa ada kekosongan di antara empat hingga 10 seat. Dalam satu penerbangan berlaku kekosongan sampai 60 seat. Kenapa?

Bayangkan kalau setiap penerbangan itu senantiasa ada lima atau 10 kekosongan, sudah berapa keksoong dan sudah berapa ramai jemaah yang tidak berpelung disebabkan kesilapan dan kelemahan manusia di Tabung Haji ini. Maklumat ini boleh dipercayai kerana ianya bersumber dari Pengurus Pengawal Trafik di mana orang bertanggungjawab menghitung penumpang yang ingin menaiki setiap kapal terbang di KLIA.

Bukan itu saja kelompangan, kelalaian ini menyebabkan Tabung Haji mngalami kerugian. Kalau lima kekosongan sahaja berlaku kalau ada 40 penerbanga, ini bermakna 200 kekosongan. Berapakah nilai untuk 200 kekosongan itu. Sewa kapal terbang itu sama ada naik seorang atau penuh ianya tetap sama. Kalau perbelanjaan tambang untuk satu jemaah ialah RM3,000 bukankah ianya sudah menjadi RM600,000. Mungkin nilai itu sedikit tidak terasa berbanding dengan kekayaan Tabung Haji bernilai ratusan billion. Tetapi bukankah itu satu pembaziran?

Itu soal kekosongan dalam penerbangan. Ada pula kes lain di mana ada permainan songlap menyonglap oleh pihak Tabung Haji yang menghantar atau menawarkan calon haji ke pakej swasta. Katanya mana-mana penyimpan yang mempunyai wang simpanan lebih dan dianggap mampu untuk membelanja lebih mereka akan ditawar untuk menyertai pakej swasta. Biasanya penyimpan yang memiliki wang lebih daripada RM30,000. Penyimpan ini sudah tentu akan membayar berapa saja asalkan hajat suci mereka termakhbul. Kerja ini sungguh mudah kerana akaun penyimpan boleh ditengok sing malam oleh pegawai di Tabung Haji.

Paling merujakan dan sudah tentu berlaku, berapakah komisyen yang dibayar oleh syarikat pembawa haji swasta itu kepada setiap kepala yang dihantar kepada mereka? Saya tidak mahu memusykilkan dan prejudis di sini, tetapi kalau dihitung kos yang diambil oleh pihak swasta itu berlipat kali ganda dengan perbelanjaan yang diuruskan oleh Tabung Haji. Kenapa kos ini berlipat kali ganda? Tentulah ditambah nilai kerana untuk membayar berbagai-bagai baksis atau fee dan komisyen? Hendak dikatakan pengurusan atau kediaman di Makkah yang diatur swasta mewah tidaklah juga. Pernah terjadi jemaah dari pakej swasta 'mencuri' air minum dari jemaah yang tinggal di Maktab semasa di Mina.

Sebaik selesai haji dan semua pegawai Tabung Haji pulang dari Makkah, elok buat kajian terhadap apa yang didedahkan. Pihak bertanggungjawab Tabung Haji kena memastikan dan menjelaskan kenapa keadaan ini berlaku. Kita tidak mahu berlaku harapkan pagar, pagar makan padi. Semua pihak di Tabung Haji bermula dari menteri hingglaha kepada pembawa air zam-zam umpama orang mengawal di antara dua pintu Neraka atau Syurga. Janganlah mereka menjadi pengawal yang tejelus ke dalam Neraka. Nauzubilahiminazalik.... Kalau makan pulut jangan lupa basuh mulut. [wm.kl.7:45 am 13/11/10]

Friday, November 12, 2010

Ulasan Strategi

Gimik Mustafa Kamil Tidak Menjadi...

SAYA hanya mampu tersenyum mengenangkan politik Mustapa Kamil Ayub yang membuat gimik Wak Long (badut dalam wayang kulit) dalam PKR tetapi tidak menjadi. Hari ini dia membuat sidang akhbar memberitahu sekalian rakyat yang dia meneruskan hasrat perebutan jawatan timbalan presiden. Walaupun dia protes pemilihan itu yang dianggap tiak adil, tetapi dia teruskan juga.

Pelik bunyinya.. tetapi itulah politik. Mulanya Mustapa Kamil bukan main lagi melepaskan geli gelemannya dengan pemilihan itu yang dianggap tidak adil dan penuh dengan tipu daya. Dia memberi masa 48 jam untuk PKR memperbetulkan kepincangan dalam pemilihan itu kalau tidak dia akan melakukan sesuatu yang mengejutkan. Nada dan bunyi suara Mustafa Kamil sangat tegas, kalau tidak sama dengan suara Malik Zabaniah pun tetapi dekat-dekatlah dengan suara itu.

Dia mengeluarkan kenyataan itu saat dia mendamping Zaid Ibrahim yang membuat penjelasan berhubung tindakannya menarik diri dari bertanding dan meletakkan semua jawatan dipegangnya. Kenyatan itu dibuat di rumahnya (Zaid) di Tropicana. Ini bermakna Mustafa Kamil sengaja melangkah ke rumah Zaid untuk mendampingi Zaid. dan bersekongkol dengan kesucian dan kekudusan politik Zaid.

Jika dilihat kepada kesungguhan itu, Mustafa Kamil semacam turut berkerat rotan dan berpatah arang dengan PKR. Dia akan mengikut jejak langkah Zaid. Tetapi tidak begitu rupanya. Sebaliknya dia dorong ke belakang semula. Belum sempat ayam berkokok dia sudah memalingkan semula niatnya. Mulanya dia membuat kenyataan memberi isyarat masih sokong kepada penasihat dan presiden PKR. Selepas itu beliau...membuat pula kenyataan tetap akan bertanding walaupun menganggap proses pemilihan itu pincang.

Apakah erti kata-kata Mustafa Kamil itu? Budak kecil pun faham mengenai kesongsangan kenyataan itu. Tetapi koner baring Mustafa itu mudah untuk difahami. Dia sudah dapat mengangak bila Zaid lontar bom tetapi tidak meletup maka dia kena cari jalan selamat secepat mungkin. Caranya undur balik ke belakang.

Dalam pengamatan saya, cara Mustafa Kamil mendampingi Zaid itu di sidang akhbar itu dan mengangkat kertas memorandum satu kesilapan besar. Beliau senaga 'mendempetkan' dirinya dengan kebusukan yang ada kepada Zaid. Ingin saya beri tahu Mustafa Kamil beliau tidak akan terlwan dengan cara politik Zaid. Zaid boleh bergerak dengan wang. Mustafa jangan harap kalau hendak menumpang tuah Zaid.

Walhasilnya tindakan Mustafa Kamil bersama Zaid tidak sampai tiga hari itu telah merosakkan reputasi dirinya. Baik-baik dirinya dikenali sebagai seorang ahli politik berpotensi, cendekiwan tetapi julangan itu jatuh bercelabak apabila beliau tidak bijak memilih kawan atau tempat untuk membuat kritikan kepada parti. Dan apabila Mustafa tidak jadi membuat gimik Wak Long itu maka orang pun akan dapat mengukur sejauh mana kebestarian politik seorang Mustafa Kamil Ayub. [wm.kl 8:00 pm 11/12/10]

Pemakluman

Terima Kasih Pederma

Terima kasih kepada penjenguk blog Merah Tinta yang bersimpati dengan nasib beberapa keluarga yang tecicir mendapat bantuan banjir di Kedah yang telah mengirimkan sumbangan.

InsyaAllah akan saya sampaikan derma anda itu menerusi pembelian keperluan untuk mereka. Bantuan ikhlas dari anda didoakan mendapat imbalan terbaik dari Allah.

Sudah tentu sumbangan anda (kita) itu akan disambut dengan hati penuh kegembiraan dari mereka. Saya juga sungguh terharu atas simpati anda dan ia secara tidak langsung membuka ruang kepada blog ini untuk berkebajikan. Sekali lagi terima kasih jazakallah.

Salam MSO.