Wednesday, December 15, 2010

Susupan Pagi

Ceramah Dalam Pagar Wayang Kulit

MALAM tadi walaupun dengan bertongkat saya pergi juga ke tapak pasar malam di Taman Melati untuk lihat dan dengar ceramah Pakatan Rakyat. Ceramah malam tadi adalah permulaan kepada siri penjelajahan Malaya oleh para pemimpin PR terutamanya Anwar Ibrahim. Nampaknya Anwar mempunyai masa banyak untuk pusing Malaysia selepas ini apabila parlimen menggantungkannya selama enam bulan yang akan diputuskan esok.

Itulah hikmat di sebalik penggantungan itu. Jelajah yang bermula malam tadi juga akan berakhir sehingga rapat piliahn raya umum ke 13. Banyak pihak menduga pilihan raya umum akan diadakan tahun depan. Ini berdasarkan kepada beberapa petanda jelas. Umno sendiri menangguhkan perhimpunan (pemilihan) selama 18 bulan. Manakala MCA dan DAP juga bebuat demikian.

Pas yang akan memilih pemimpin pada muktamar tahun depan juga dijangka atau lebih baik tangguhkan saja. Tetapi selalunya Pas yang terkenal dengan parti yang berdisiplin tinggi dan mempunyai ukhwah yang kental tidak akan peka dengan keadaan semasa seperti pilihan raya itu. Pas tidak perlu mengelak atau menangguhkan urusan pemilihan pemimpinnya. Selamanya Pas perlu menjadi contoh dan model.

Berbalik ke ceramah malam tadi, sesampai di taman Melati saya bersama Dr Wan Suhaimi dan Sdr Sobree (orang baru Pakatan Rakyat) tercari-cari di mana lokasi ceramah. Selepas bertanya orang dan melihat bendera parti, baru menyedari ceramah diadakan di bawah khemah yang berpagar dengan plastik berwarna biru. Begitu melihat lokasi itu teringat saya dizaman budak-budak, tempat dan keadaan sebegitu (berlikung dengan plastik) tidak ubah seperti tempat bermain wayang kulit atau dikir barat.

Kawasan wayang kulit dan dikir barat dilikung (lingkung) untuk mengelakkan orang melihatnya. Sesiapa yang hendak melihat dan dengarnya, kena ambil tikit.

Kata pengerusi majlis ceramah Pakatan malam tadi, kawasan itu terpaksa dibuat di bawah khemah yang berpagar. Ianya atas arahan polis. Bukan itu saja, masa juga dihad sehingga jam 10:30 malam sahaja. Kalau tidak ikut arahan, ceramah mungkin tidak boleh diadakan. Itu pun pengerusi berkali-kali merayu orang ramai agar memenuhi khemah dan tidak berdiri di luar bagi mengelak tindakan polis.

Selepas dijelaskan itu barulah saya faham kenapa kawasan itu berpagar seperti tempat main wayang kulit atau joget rambung. Rupanya atas kehendak polis. Apakah alasan dan hujah polis sukar difahami kenapa ceramah Pakatan itu kena pagar. Apakah ianya bagi mengelak orang ramai mendengarnya, ataupun hendak menyusah orang ramai. Atau pun polis sengaja dibuat begitu untuk mengenangkan nostalgianya di zaman kecil tengok wayang kulit.

Kalau itulah alasannya, alasan itu tidak berhasil. Walaupun dilingkung orang ramai tetap juga hadir. Di dalam tabir saya lihat penuh dengan manusia yang duduk dilantai. Mereka tidak menghiraukan keadaan selesa atau tidak. Apa yang penting dapat mengikuti dan dengar ceramah pemimpin kesayangan mereka.

Di luar pagar tidak payah ceritalah. Ada yang mengobek (menyelak) pagar untuk melihat apa yang berlaku di dalam dan ada yang duduk mencangkung atas longkang. Dan ketika ceramah sudah dihentikan jam 10:30 malam seperti mana diarahkan, orang ramai masih berduyun-duyun menuju ke tapak pasar malam itu.

Ceramah malam tadi dikira berjaya. Walaupun dalam keadaan kurang selesa, dikawal rapi oleh polis namun orang ramai tetap juga memberanikan diri untuk hadir. Dalam perkiraan saya, semua yang hadir malam tadi bolehlah dikatakan 100 peratus penyokong Pakatan Rakyat. Mereka datang bukan sangat hendak mendengar penjelasan tetapi menyatakan sokongan mereka menunjukkan iltzam mereka kepada Pakatan Rakyat.

Kalau tidak salah padang hanya seorang sahaja orang Umno yang ada malam tadi. Melilau-lilau masam musang. Itu pun sebelum ini orang ini pernah berada dalam parti Keadilan. Mungkin orang ini datang untuk memerhati dan membuat laporan kepada ibu pejabat Umno kononnya ceramah Anwar sudah tidak ada sambutan. Biasalah kerja pencari upah untuk anak dan isteri.

Kesimpulannya sekatan dan arah baru polis itu tidak banyak membantu UBN. Sebaliknya kalau pihak pengajur bijak mereka akan dapat punggut wang bila setiap kali diadakan ceramah Pakatan Rakyat kenakan tikit. Kalau nak tengok wayang kulit boleh dikenakan tikit, kenapa tidak dengan ceramah. Daripada lingkung saja tanpa ada hasil, baik kutip tikit dapat juga wangnya digunakan untuk jentera pilihan raya.

Demikianlah nasik demokrasi negara kita ianya lebih kurang demokrasi wang kulit dan dikir barat saja terpaksa dimainkan secara sembunyi-sembunyi. [wm.kl.9:10 am 15/12/10]

Tuesday, December 14, 2010

Menjelang Malam

Anwar Tidak Perlu
Mendapat Keadilan Di Mahkamah


MAHKAMAH adalah satu instrument untuk seseorang membela diri dan mendapat keadilan. Semua orang berhak menggunakan mahkamah. Mahkamah yang adil juga akan mengembalikan reputasi seseorang yang dicemari oleh seseorang lain atas apa juga tujuan. Dalam sebuah negara di mana mahkamahnya telus, adil, tidak berat sebelah atau dikuasai jagoan-jagoan tertentu akan menjadi pembela kepada rakyatnya.

Tidak ada apa-apa institusi lain yang boleh membela orang yang merasakan dia bersalah. Sumpah laknat - (maqabalah) juga tidak menjadi pemutus dan penamat kepada sesuatu kes. Manusia yang terdesak, kurang imam akan sewenang-wenangnya menggunakan peraturan atau ruang itu. Bersumpahlah berapa banyak pun ia tidak akan menyelesaikan masalah.

Hukum atau peraturan agama itu untuk mereka yang beriman. Sebab itu di dalam Quran bila Allah ingin kenakan perintah kepada manusia ia menyeru - ya ayuha lazim naamnu, wahai orang-orang beriman. Maksudnya mereka yang tidak beriman (sepenuh)nya tidak terkena dengan perintah berkenaan kalaupun dikenakan ia sia-sia saja. Orang fasik, munafik, zindik tidak berlaku hukum agama ke atasnya.

Sumpah laknat ke atas diri sendiri tidak akan berlaku serta merta. Sedangkan manusia hari ini sudah tidak mempercayai akhirat lagi. Apa yang mahu dilihat ialah sesuatu itu berlaku di depan mata. Hukuman secara tunai. Walaupun kesan dan natijah sumpah itu berbagai-bagai dan simbolik, namun orang akan menganggap si bersumpah itu benar selagi dia tidak dipanah petir dan berasap seluruh tubuhnya.

Mereka yang mengerti dan faham ini tidak akan menggunakan ruang itu, bersumpah laknat sesuka hati. Dan sumpah laknat dari mereka yang tidak beriman, tidak menjadi apa-apa. Sumpah atau perbuatan itu samalah dengan lembu yang mengaku bersalah kerana berzina dengan ibu atau anaknya.

Makanya ruang terbaik ialah mahkamah. Tetapi soalnya apakah mahkamah yang berjalan sekarang ini adil dan saksama? Atau menempati kehendak Quran dan Hadith. Saya tidak mahu mengatakan semua mahkamah atau semua hakim negara tidak adil. Tetapi pepatah ada mengatakan daripada lima hakim itu, empat adalah hakim bohong dan tidak menjalankan tugas-tugas dengan adil kerana Allah. Mereka menjalankan tugas kerana kuasa lain dan kerana manusia.

Ertinya hanya satu hakim saja yang baik, dan adil. Ertinya peratus hakim yang adil itu hanya sedikit saja, tidak sampai separuh. Jadi macam mana kita mengharapkan kesaksamaan dan keadilan daripada hakim?

Apabila Anwar Ibrahim bercadang untuk menyaman beberapa buah akhbar dan juga bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad berkenaan dengan komen dan penyiaran maklumat didedahkan WikiLeaks, saya merasakan ia perbuatan yang sia-sia saja. Berdasarkan kepada hakikat tadi, Anwar tidak akan mendapat pembelaan daripada saman berkenaan.

Sebelum ini pun banyak saman dikemukakan Anwar, khasnya membabitkan Dr Mahathir. Begitu juga dengan akhbar yang memburukkannya. Apa jadi? Satu pun tidak berpihak kepada Anwar. Semua kes dibuang begitu saja. Kesan negatif timbul daripada keadaan itu menyebabkan umum melihat Anwar berada dipihak salah bila di tewas dalam setiap samannya.

Mengenai mahkamah pula, sejauh mana keadilan dan ketulusan mahkamah; boleh dilihat kepada mahkamah yang membicarakan kes-kes membabitkan Anwar baik dalam isu liwat nombor wahid, atau isu liwat nombor ithnin? Kalau dulu hakim Augustine Paul (dah mati) mengulas setiap hujah yang dikemukakan oleh peguam Anwar sebagai tidak relevan, begitu juga dengan hakim yang membicara kes liwat nombor ithnin itu, ada istilah ataupun kodnya sendiri.

Misalnya beberapa permohonan dibuat peguam Anwar ditolak oleh hakim berkenaan. Salah satunya ialah laporan perubatan si pembacuh kopi yang mendakwa beliau diliwat. Kenapa laporan perubatan itu tidak dibenarkan? Inilah antara ciri-ciri keganjilan mahkamah. Laporan itu penting untuk menentukan siapa yang meliwatnya!

Hakikat itu boleh diagakkan apa yang akan berlaku kalau Anwar menyaman Mahathir ataupun surat khabar. Beliau tidak akan mendapat pembelaan sewajarnya, apa lagi ganti rugi. Hanya dari segi moral saja ia memberi gambaran Anwar berada di pihak benar kerana berani menyaman. Setakat itu saja.

Lantaran itu, pada saya Anwar tidak perlu saman dan layan lagi sesiapa atau apa-apa agensi kerajaan yang membelasahnya. Beliau tidak perlu bimbang kepada komen ataupun pemburukkan dilakukan Mahathir. Tidak perlu bimbang kepada pemanipulasi berita mengenainya oleh media. Yang penting rakyat bersama beliau. Keburukan yang melampau dan tidak profesional dilakukan media sudah difahami benar-benar oleh rakyat. Apa lagi dengan blog-blog Malaysia yang banyak membuat super impose, tidak beretika sudah difaham oleh rakyat.

Buktinya rakyat bersama beliau, walaupun sudah berbagai serangan, hentaman dan semua senjata dan semua orang termasuk profesional dan juga penyepak kertas digunakan untuk damagekan Anwar namun beliau masih hebat, masih dipercayai dan setiap idea yang dilontarkan diterima dan mencabar pemikiran umum. Bukan saja rakyat Malaysia dunia luar juga tetap menghormati dan memerlukan idea dan pandangan beliau. Boleh dikatakan sebulan sekali beliau akan dipanggil untuk memberi syarahan di luar negara.

Ini menunjukkan Anwar masih didambakan rakyat. Rakyat masih meletakkan harapan kepadanya. Kalaupun benar sekali Anwar melakukan perbuatan sumbang (liwat) rakyat sudah tidak kisah dengan tuduhan itu. Rakyat sudah mual dan muak. Rakyat yang tahu menilai pemikiran dan mementingkan idealisme akan membelakangkan soal moral yang dicipta itu.

Rakyat sudah cerdik untuk membezakan kualiti seorang Anwar sebagai pemimpin. Rakyat bukan bodoh, mereka ada otak. Soal kepimpinan dan perjuangan untuk rakyat, semuanya rakyat sudah membuat penilaian sendiri. Sekiranya rakyat terpengaruh dengan media massa dan kenyataan memburukkan Anwar sudah lama Anwar hancur ataupun Pakatan Rakyat yang dipimpinnya sudah lebur. Tapi ternyata, penerimaan rakyat kepada Pakatan makin meluas dan harapan rakyat kepada Pakatan untuk memimpin negara juga semakin menyemarak.

Tegasnya, Anwar tidak payah membuang masa, wang dan tenaga untuk menyaman Mahathir dan media massa. Biarkan Mahathir mengatakan apa juga, sebab kata-katanya sudah tidak dipercayai lagi. Era keagungan Mahathir sudah pun berlalu sebaik saja beliau bertindak memecat Anwar pada 3 September 1998 lalu. [wm.kl.5:30 pm 14/12/10]

Melompat Rasa

Kenapa Najib Tidak Ghairah Dengan Pendedahan Wikileaks?

NAJIB Razak minta rakyat Malaysia tidak menghiraukan pendedahan Wikileaks yang mendedahkan laporan mengutuk Malaysia yang boleh menjejaskan hubungan serantau. Katanya apa yang penting memfokuskan kepada matlamat pencapaian negara.

Seruan Najib itu nampak bijak dan tidak emosi dengan pendedahan Wikileaks yang mengaitkan Anwar Ibrahim dengan homoseks. Anih sedikit bunyi seruan Najib itu kali ini. Ini kerana diluar sana media massa pro kerajaan dan termasuk juga beberapa pemimpin Umno riuh randah menerima pendedahan Wikileaks menghentam Anwar itu persis satu modal besar. Kenapa Najib semacam tidak ghairah untuk mengutip modal dilontarkan Wikileaks itu bagi menyerang Anwar?

Mahathir Mohamad sendiri yang selamanya tidak akan diam dan terus jadi gatal mulut bila terdengar nama Anwar terus menangguk di air keruh atau menongok air sambil berjalan mengutuk Anwar dengan memberi tafsiran negatif buat Anawar dengan mengatakan Lee Kuan Yew tentu tahu cerita sebenar mengenai Anwar itu. (Kalau pun Lee Kuan Yew tahu siapa yang memberi tahunya, tidak mustahil kalau Mahathir sendiri?).

Biarlah Mahathir selamanya tidak akan menerima dan memaafkan Anwar. Bagi Mahathir, Anwar adalah anak syaitan.

Tetapi saya tertarik dengan sikap dingin dan berhati-hati Najib mengenai pendedahan Wikileaks yang dianggap berita baru itu. Jika hendak dikira patutnya Najib terus ambil kesempatan menguar-uarkan laporan laman berkenaan kerana ia mengutungkannya. Tetapi nampaknya tidak berlaku begitu. Kenapa?

Sebelum ini saya sudah membayangkan atau menasihati supaya semua pihak berwaspada dengan Wikileaks - jangan mudah menerima apa-apa saja yang didedahkan oleh laman bebas berkenaan. Apa yang kena fikir sesuatu pendedahan atau maklumat didedahkan itu tentu ada motifnya. Sebagai badan bebas tentulah pengendalinya memikirkan komersial. Tidak ada manusia ikhlas dan melakukan tanpa apa-apa bayaran di dunia ini.

Ada kemungkinan apa-apa pendedahan dibuat oleh Wikileaks ianya dibayar dengan harga yang tinggi? Perdagangan maklumat berlaku bukan baru tetapi sejak lama dulu lagi. Ia dipelopori oleh Yahudi.

Apa yang saya khuatir kalau rakyat Malaysia mempercayai dan menjadikan Wikileaks sebagai Quran dan Hadith atau lebih dipercayai daripada Utusan dan TV3, satu hari nanti ia akan 'merangah' (memakan) diri sendiri. Apa kata kalau tiba-tiba misalnya menjelang pilihan raya umum ke 13 nanti laman bebas itu mendedahkan pula skandal para menteri? Atau pun mendedahkan kontrek pembelian kapal selam atau penjualan bumi Malaysia di Singapura kepada rupblik itu?

Apakah waktu itu kita hendak menolaknya dan menganggap ia bohong sedangkan pendedahan mengenai Anwar itu dianggap sebagai benar dan konkrit?

Justeru kenyataan dan seruan NAjib itu saya lihat ada makna dan maksud tersendiri. Mungkin Najib sudah mendapat maklumat dari sumber tertentu yang selepas ini Wikilleaks akan memakan beliau dan orang-orangnya pula. Wikileaks tidak boleh dipercayai.

Dari kejauhan saya ada mendengar tentang berita mengenai Duta Malaysia di Amerika Syarikat. Katanya ada cerita mengenai Duta itu bakal mengejtukan negara. Apakah maklumat ini (sama ada sahih atau tidak) sudah berada ditangan Wikileaks. Rasanya perkembangan ini ditunggui oleh banyak pihak di Malaysia?

Yang tentunya Najib tidak akan bersikap terbuka begitu mengenai pendedahan Wikileaks kalau beliau tidak mendapat apa-apa signal dari luar. Yang pastinya beliau sudah menerima signal berkenaan maka beliau harus mengambil sikap tidak ghairah dengan apa yang dilakukan laman itu ke atas Anwar. [wm.kl.1:40 pm 14/12/10]

Monday, December 13, 2010

Susupan Petang

Kalau Akim Jadi Kita, Kita Jadi Apa?

TENGAH hari ini saya makan dengan seorang kawan, aktivis politik yang juga bekas ahli Umno yang kini sudah hilang kepercayaan kepada parti asalnya itu. Beliau menganggap dirinya sudah tidak Umno lagi selepas Umno diharamkantahun 1987. Umno yang ada kini katanya adalah Umno baru yang perjuangannya bukan bersendikan kepada Melayu lagi.

Pun begitu kawan ini masih ada hubungan dengan orang Umno. Boleh dikatakan hampir separuh veteran dalam Umno termasuk Najib Razak sendiri adalah kawan baiknya. Katanya juga sebelum Abdullah Badawi menjadi PM dia selalu pekena cendol mamak dengan Abdullah di Puchung.

Apa yang saya nak ceritakan di sini bukan fasal dia makan cendol dengan Abdullah atau fasal BN dibawah Najib semakin teruk dan sudah jadi caca merba (mengikutnya), tetapi fasal Zaid Ibrahim. Katanya dia kenal dan rapat dengan Zaib Ibrahim. Dia juga sempat menjadi 'pak pandir' kejatuhan anak kerana menjaja Zaid semasa Zaid menyertai PKR sekejap baru-baru ini.
Dia mulanya yakin Zaid boleh jadi pemimpin baik dalam PKR dan seterusnya mengambil kepimpinan parti itu sekiranya berlaku sesuatu terhadap Anwar Ibrahim.

Bagaiamana pun katanya beliau sedih kerana apa yang beliau harapkan itu tidak menjadi kenyataan. Zaid yang disangkakan tebu rupakan teberau yang batang nampak molek tetapi isi tak leh makan.

Baiklah cerita yang hendak diungkapkan di sini fasal zaid nak tubuh parti baru. "Dia ada ajak aku joint sama dia. Katanya duit tak ada masalah. Tapi aku tak mahu.." ceritanya.

"Apa nama partinya, Akim ke?" tanya saya. Saya dapat tahu Zaid sudah beli parti Akim. Zaid ini memang suka beli membeli. Semasa nak bertanding jawatan timbalan presiden Umno baru lalu dia beli sebuah surat khabar tabliod bernama Mingguan Era milik seorang kawan saya dari Kota Bharu, Kelantan. Entah sempat terbit ataupun tidak tidak diketahui.

Bila dia sudah kalah sebelum bertarung dikatakan dia beli pula parti Akim. Cerita dan sejarah Akim saya sudah ulas dalam blog ini semalam.

Kawan yang mengakui rapat dengan Zaid itu mengiyakan pertanyaan dan agakan saya. "Iya dia beli Akim tetapi ditukar nama menjadi parti Kita. Akupun dia ajak..." ceritanya lagi.

Saya hanya menganguk saja. Dalam hati mengucapkan selamat berjuang kepada Zaid. Masa makan banyak kami bualkan fasal Zaid yang tidak elok dicatatkan di sini. Biarlah saya simpan dan anggap apa yang kawan itu ceritakan tidak betul.

Sedang makan saya mengira sendiri bagaimana Zaid nak gerakan parti Akim itu. Saya juga terfikir apakah boleh Zaid tukar jadi parti Kita seperti mana beritahu kawannya itu. Untuk apa Akim jadi Kita? Dah kalau Akim jadi Kita, kita nak jadi apa pulak. Saya tidak fikir kita akan jadi kita melainkan kita akan jadi dia.

Esok Akim akan mengadakan persidangannya. Dalam persidangan itu Zaid akan dinobatkan sebagai presiden. Kalau tidak salah Zaid akan jadi presiden yang ke empat. Mudah-mudahan Zaid akan berjaya membawa Akim sebuah parti yang penuh demokratik dan seterusnya membaiki politik Malaysia menjadi bersih dan suci.

Biarlah kali ini Zaid akan kekal lama dengan Akim atau Kita. Jangan pula selepas ini Zaid akan buat hal dan akan beralih ke parti lain. Mudah-mudahan Zaid Ibrahium tidak akan mengukut jejak Inchek Ibrahim yang melompat dari satu parti ke satu parti. [ttdi kl 5:00 pm 13/12/10]


Susupan Petang

Pembohongan Bulan Disember!

MALAM tadi gara-gara 'kegelian' sebuah blog yang menyiarkan spekulasi tidak berasas kononnya seorang individu yang dekat dengan pemimpin Pas akan didakwa di mahkamah esok kerana rasuah. Lapor blog berkenaan kononnya individu itu telah dipanggil oleh SPRM. SPRM juga telah menyerahkan surat meminta individu berkenaan hadir diri ke pejabatnya.

Saya menafikan dan menjelaskan kepada tokoh politik berkenaan dengan mengatakan saya tidak tahu. Yang pastinya blog saya belum mendapat maklumat itu. Lagipun saya tidak berapa minat untuk membuat spekulasi apa yang saya tidak tahu. Berdosa!

Kalau sekadar hendak menulis ikut sedap tangan banyak cerita yang boleh dikarai dan dikarang, sampai 10 muka surat dan penuh skrin komputer pun boleh. Inilah permainan blog akhir-akhir ini suka mengarai cerita dan membuat orang tidak lena tidur. Sedikit sebanyak lama kelamaan orang tidak percayai apa yang ditulis oleh blog.

Kepada ahli politik berkenaan saya hanya berkata; tunggu hari esok mungkin ada!

Hari ini adalah hari esok. Tidak ada mana-mana individu yang rapat dengan tokoh politik yang didakwa di mahkamah atas tuduhan rasuah. Baik individu itu rapat dengan Umno, Pas, PKR atau DAP, tidak ada. Yang rapat dengan individu dalam parti Zaib Ibrahim lagi tidak ada, kerana parti itu pun belum diumumkan lagi. Khabarnya Zaid baru mengumumkan partinya 19 Disember ini.

Entah dari mana blog berkenaan dapat sumber dan maklumat itu, walahuaalam. Mungkin tuan punya bermimpi atau mengingau dari tidur dan terus tulis blog. Saya rasa dia hanya mempunyai ilham saja untuk menulis berita demikian. Bagaimana pun disebabkan ramai orang di negara ini jahil undang-undang dan buta mengenai prosuder SPRM ramai yang tidak boleh tidur dan mempercayai apa yang dilaporkan itu.

Cara blog itu laporkan juga menjatuhkan imej SPRM seolah-olah suruhanjaya itu begitu murah sekali memberi maklumat kepada bloger.

Sebenarnya pada saat dan waktu seperti mana dilaporkan blog berkenaan, kononnya pegawai SPRM mengelidah rumah individu berkenaan, menurut jirannya, tuan rumah sedang tidur lena. Tidak terdengar pula olehnya yang individu berkenaaan memaki hamun pegawai SPRM.

"Tidak berlaku apa-apa di malam buta itu. Mungkin mereka (individu itu) sedang berdakap di dini hari malam minggu. Tidak ada apa-apa kejadian di rumah mereka atau jauh di luar rumah mereka.Saya tidak dengar apa-apa," kata jiran individu berkenaan yang menghubungi saya sekejap tadi.

Tambah beliau lagi apa yang dia tahu individu berkenaan hari ini ada ke hospital untuk melihat tokoh Pas yang sedang berihat di situ.

Jadi kepada mereka teruja dengan laporan blog berkenaan kena tipu secara hidup-hidup. Tidak fasal-fasal terpaksa mengeluarkan prepaid ataupun menambahkan bil telefon menghubngi sumber untuk mendapat pengesahan. Makanya lain kali kalau hendak percaya, periksa dulu wibawa blog berkenaan apakah ianya blog waras ataupun blog yang dipunyai oleh orang yang sakit kepala.

Lucunya bukan saja orang kampung turut terikut tetapi media arus perdana yang menjadi penjilat buntut parti pemerintah juga turut sama tertipu dengan auta blog berkenaan. [ttdi kl. 3:50 pm 13/12/10]

Sunday, December 12, 2010

Menjelang Tengah Malam

Bila Alwi Mendoakan Nik Aziz

SEKEJAP tadi seorang rakan bloger memberi tahu yang Ketua Pembangkang Dun Kelantan, Alwi Che Ahmad menyindir Nik Aziz Nik Mat supaya terus menjadi MB Kelantan sehingga mati. Bloger berkenaan nampaknya kurang senang dengan kenyataan sinis Alwi itu. Saya sungguh tidak tahu di mana kenyataan Alwi itu keluar. Selepas beliau bagi tahu ianya ada dalam Mingguan Malaysia hari baru saya membacanya.

Saya tidak merasa apa-apa dengan kenyataan Alwi itu. Apa yang beliau katakan itu benar. Soal MB itu uzur tidak menjadi masalah, yang penting dia berkemampuan menjadi MB. Di sini saya rasa Alwi ikhlas mengeluarkan kata-kata demikian. Cuma akhbar itu saja yang selamanya membenci Nik Aziz mentafsirkan Alwi sebagai sinis.

Siapa tahu ada perubahan berlaku dari dalam diri Alwi. Baru ini beliau ke Makkah. Nik Aziz juga berada di Makkah. Siapa tahu mereka berjumpa di Multazam ataupun sama-sama sai dari Safar ke Maruah. Siapa tahu Alwi mengunjungi Tok guru di penginapan atau sebaliknya. Apakah kerana pertemuan itu telah menimbulkan kesinsafan kepada keduanya.

Alwi dilahirkan di tanah suci Makkah. Tidak mungkin sebagai orang yang tali pusatnya luruh di tanah suci sanggup memperli atau mengejek orang lebih tua. Bapa Alwi, Haji Che Amat seorang tok guru. Sebagai anak tok guru Alwi tentu tahu adat dan tamakninah. Tahu menjaga mulut dan tidak menggalakkan permusuhan dan merindui perdamaian.

Mungkin selepas berlaku pertemuan antara Alwi dengan Tok Guru itu menyebabkan terbuka pintu fuadnya untuk mendoakan supaya Tok Guru sihat dan terus menjadi MB. Ataupun Alwi memang sedar bahawa sukar untuk Umno Kelantan hendak rampas Kelantan selagi Umno dipimpin oleh Mustapa Mohamed dan Awang Adek Hussein. Jadi daripada Umno terus kalah ditangan mereka berdua lebih baik mendoakan Nik aziz sihat dan terus memimpin Kelantan.

Wujud perbezaan dalam Umno apabila Alwi menjadi ketua pembangkang berbanding dengan Annuar Musa jadi ketua pembangkang dulu. Tidak kedengaran Nik Aziz kecewa dan marahkan Alwi seperti mana Nik Aziz pernah kecewa dan menghalang Annuar dari mencelah ketika beliau berucap.

Apapun saya akan cuba mendapatkan penjelasan Alwi kenapa dan untuk apa tiba-tiba beliau mengharapkan Nik Aziz teru sjadi MB Kelantan. Sesungghnya dari maklumat yang saya ketahui ada perubahan dari dalam Alwi sejak akhir-akhir ini. Mujurlah... Ataupun perubahan itu disebabkan tersebarnya desas desus kononnya Alwi akan dilantik menjadi Ketua Penerangan Umno Malaysia! [wm.kl.11:50 pm 12/12/10]

Susupan Malam

Bolehkah Dipercayai Pendedahan Wikileaks?

PENDEDAHAN laman bebas Wikileaks mengenai isu politik Malaysia khasnya pembabitan bakal Perdana Menteri ke 7, Anwar Ibrahim dalam isu liwat jangan mudah ghairah untuk mempercayainya. Pendedahan laman itu yang memetik pegawai atas kerajaan Singapura mempercayai apa yang belaku ke atas Anwar (liwat) boleh jadi satu perangkap kepada politik negara ini sendiri.

Tidak mustahil juga pendedahan itu satu konpirasi melibatkan pembayaran wang beratus juta ringgit. Ingat, manusia sanggup melakukan apa saja bila sudah terdesak dan demi mempertahankan kekuasaan.

Mungkin pihak UBN merasa senang dengan pendedahan laman berkenaan. Blog blog tajaan UBN akan memperdagangkan hal itu segila-gilanya. Mereka boleh menguatkan lagi hujah untuk memburukkan Anwar yang kini dijalankan dengan pelbagai cara. Media UBN telah memungguh semua sampah sarap dan pemuda sepak kertas untuk menimbus dan membusukkan Anwar.

Kalaulah semut ataupun burung dapat bercakap memburukkan Anwar, pasti media masa akan menyedut dan menggunapakai cakap hawainan itu. Semua manusia telah digunakan media pro UBN untuk memburukkan Anwar. Namun hasilnya nampak masih belum sampai kemuncak.

Mungkin ada rancangan media Malaysia untuk menterjemahkan kicauan burung ataupun kokok ayam, atau katak bagi mengukuhkan tuduhan ke atas Anwar. Tidak mustahil akan keluar dalam akhbar atau tv, ayam atau burung atau katak akan dipetik kenyataannya yang memburukkan Anwar.

Kenapa saya melarang agar jangan ghairah dengan pendedahan Wikileaks itu? Apakah Wikileaks selamanya akan memburukkan peribadi Anwar? Belum tentu! Iya sebuah laman bebas yang menyaring 250,000 kebel diplomatik Amerika Syarikat. Gambaran diberikan bahawa laman berkenaan profesional dan mengetahui segalanya. Dan kenapa pula kita mudah akur dan tunduk kepada badan-badan bebas yang bersikap propagandis seperti Wikileaks itu?

Ingat juga pada mulanya ia dijalankan secara percuma. Tetapi bila ia sudah menjadi perhatian dunia, laman itu akan berharga berbillion ringgit. Sesiapa yang ingin mendedahkan sesuatu untuk kepentingan politik dan peribadi akan sedia membayar laman berkenaan. Dalam politik hari ini hanya mereka mempunyai wang saja mampu berada di atas dan memegang kuasa.

Pada saya kemunculan Wikileaks adalah strategi musuh Islam. Ia bukan saja musuh negara ini tetapi Islam seluruhnya. Kalau dari sisi lain dengan pendedahan laman bebas itu ia memberi gambaran Amerika itu sendiri mengetahui luar dan dalam sesebuah negara dan juga individu di mana-mana saja. Dalam erti kata lain Wikileaks dan Amerika terus menjalani propaganda dan perang saraf mereka bagi melemahkan negara dan kuasa lain. Mereka nampak bergaduh tetapi hakikatnya mereka bersekongkol untuk mengugut dunia.

Bagi mereka yang ghairah menerima pendedahan laman berkenaan harus berhati-hati dan waspada. Jangan ghairah sangat. Saya bimbang ia akan terbalik kod (istidraj) nanti. Apa kata kalau selepas ini Wikileaks atau laman-laman blog dunia yang lain mendedahakan pula apa yang berlaku ke atas isu-isu lain termasuk pembunuhan wanita Mongolia yang dibunuh kejam di hutan simpan di negara ini dua tahun lepas itu? Apakah kita boleh menolaknya begitu saja?

Dengan mempercayai Amerika mengetahui setiap apa yang berlaku dalam seluar kita, termasuk juga dalam seluar dalam isteri kita, kita percaya kes pembunuh Altantuya juga berada dalam kabel diplomatiknya. Bila-bila masa ia akan terbongkar. Apakah selepas Wikileaks mendedahkan jenayah itu nanti kita akan mempercayainya? Amerika hanya menanti masa saja untuk mendedah apa-apa rahsia kita kalau kita tidak sedia mengikut telunjuknya.

Kalau misalnya dalam pendedahan itu (pembubunah Altantuya) ia membabitkan pemimpin negara yang berkuasa sekarang ini, apakah kita akan mempercayainya. Atau kita akan menganggap pendedahan itu satu fitnah pula? Hendaknya jangan ada sikap double standard dalam menerima pendedahan Wikileaks ataupun maklumat yang dimiliki oleh Amerika ini.

Kalau hari ini kita percaya maka esok juga kita kena percaya apa yang akan didedahkan. Jangan... kalau ia dedah mengenai keburukan oposisi, kita mudah menerimanya dan kalau ia mendedah kelakuan pemimpin pemerintah kita buat-buat buta untuk melihatnya.

Dalam tilikan saya pendedahan penglibatan Anwar dalam isu liwat semacam ada urusan jual beli dan strategi lebih lanjut. Ia melibatkan kewangan yang besar. Tunggulah..

Jadi semua pihak hendaklah tidak mudah mempercayai pendedahan Wikileaks itu dan anggaplah ia hanya permainan kuasa dunia yang ingin mencaturkan politik dunia saja. Kita boleh akui dunia luar itu lebih maju dan moden daripada kita, tetapi kita tidak dapat merasakan apakah nawaitu mereka ke atas kita benar atau tidak. Saya yakin selamanya Amerika akan memperkudakan kita. Maka semua pihak perlu berhati-hati jangan sampai menggit jari tertelan air liur. Kita jangan kehilangan banyak orang yang berpotensi untuk jadi pemimpin. [wm.kl. 8:00 pm 12/12/10]

Lengguh Hari Minggu

Ceritera Sebuah Pertemuan Dengan Orang Lama

SEWAKTU pulang ke Kelantan sempena expo Cheng Ho: Perdagangan dan Perdamaian, baru-baru ini saya sempat mengunjungi dua orang tokoh veteran Pas. Sudah lama saya berhajat untuk menemui mereka. Tetapi kerana hidup selalu dikejar masa dan mengajar masa, menyebabkan hasrat itu tertangguh beberapa kali.

Tetapi kali ini saya tekad untuk menemui mereka berdua. Saya akan mencuri masa selama berada di KB hari itu. Lama benar tidak menemui mereka. Terasa bersalah pula. Dulu masa mudah (remaja) saya sering ke rumah mereka. Menadah telinga mendengar cerita politik dari mereka. Walaupun usia saya dengan mereka bezanya seperti anak dengan bapak, tetapi itulah saya, suka berkwan dengan orang yang lebih tua dari saya. (Sebab itu saya kelihatan lebih tua dari usia!)

Bagi saya kesempatan berkawan dengan mereka atau orang lebih dewasa dari saya itulah satu tuah dan peluang berharga, kerana dapat mengetahui denyut nadi politik Kelantan sejak berdekad lalu.

Semuanya kerana dibawa oleh abang, yang pada saya abang saya itu begitu menggilai politik. Kebetulan pula dia mempunyai hubungan yang rapat dengan pemimpin atasan Pas baik di Kelantan maupun di peringkat kebangsaan. Selain daripada membuntutinya ke mana saja, saya juga sering bersama bersama Pak Da Mejah (Hamzah Awang Hamat) (Allahyarham) tokoh Pas Gual Periok yang tidak ada tolak bandingnya. Al Fatihah untuknya.

Beliau ini boleh dianggap sebagai penjaga dan pengawal rumah pemimpin Pas semasa Kelantan didaruratkan. Beliau juga dijadikan pengawal politik kerana dilihat sebagai 'gedebe' ataupun dimalui oleh pihak lawan. Kegedebelan Pak Da ini disahkan sendiri oleh tokoh Pas berkenaan. Sikit melucukan saya, kenapa ia dianggap 'gedebe' sedang dengan burung hantu pun dia gementar!

Hari itu saya bernasib baik kerana abang Ya, (Zakaria) rakan abang yang kemudian menjadi rakan saya sampai kini mengaturkan pertemuan dengan kedua tokoh veteran itu. Mulanya pertemuan ditetapkan awal pagi. Tetapi kerana saya ingin menghadiri majlis penutup expo oleh Tok Guru Nik Aziz (sebenarnya hendak jumpa dengannya bagi menghidu wap stanggi Makkah kerana beliau baru balik haji) pertemuan itu terpaksa ditangguh di sebelah petang.

Selepas Asar saya bertemankan dua rakan sdr Md Radzi Mustapa dan abang Ki (Zaki Abdul Rahman) sampai di rumah tokoh veteran itu. Ternyata beliau sudah menunggu. Begitu dia tersembur di muka pintunya tokoh itu seperti masa lalu, terus mempersilakan kami masuk penuh ramah mesra.

"Ti enta .. apa khabar, lama tak jumpa?" tanya beliau kepada saya. Saya terharu kerana sesudah begitu lama tidak berjumpa beliau masih mengenal dan mengingati wajah saya.

"Saya sihat. Utaz apakah khabar? Nampak masih gagah!," balas pula saya, sambil memperkenalkan kedua rakan saya itu dan disambutnya penuh mesra.

"Macam nilah orang lama...," balasnya merendah diri sambil ketawa berdekeh-dekah. Wajahnya sudah mula berkedut seribu yang memberi gambaran ribuan pengalaman suka duka politik berlipat dan bersemin bersama wajah itu. Matanya juga sudah kabur dan selalu berair. Namun ingatannya masih kaut dan semangatnya masih gagah. Yang penting perjuangannya masih istiqamah.

Kali terakakhir saya bejumpa dengan ialah sekitar tahun 1982. Manakala kali terakhir ke rumahnya yang terletak di Jalan Yaakubiah, Lundang pada tahun 1978. Ertinya sudah lebih 20 tahun tidak menemuinya. Rumah lama sudah hampir tiada. Rumah kini adalah yang baru dibaiki dan ditambah modenkan sikit. Hampir keseluruhan keaslian rumah itu sudah tiada.

Di rumah lama itulah tempat para pemimpin Pas Kelantan berhimpun dan 'berjemak berkira'. Jika ada perjumapan sulit atau perbincangan strategi, di rumah itulah menjadi markas atau bilik gerakan. Saya masih ingat bila menjelang malam penamaan calon atau pilhan raya kecil, rumah itulah yang menjadi tumpuan dan kunjungan ramai terutamnya para broker politik untuk melobi calon masing-masing.

Pendeknya semua orang akan datang bermalam ataupun berjelemun di situ. Rumah itu bukan saja menjadi bilik gerakan tetapi dalam masa sama bertindak sebagai hostel. Mana-mana pemimpin dari seluruh negara yang datang 'bersapan' bermusafir di Kota Bharu untuk berceramah kalau tiada tempat tinggal, di rumah itulah dijadikan penginapan transit. Selalunya begitulah di zaman dulu pemimpin tidak glamour tinggal dihotel sebaliknya mereka akan mencari rumah rakan dan perjuang Pas. Sebab itulah keakrabakan pemipin Pas dulu erat dan mesra sekali.

Begitu juga dengan Nik Aziz di zaman mudanya, di awal pembabitkan diri dalam Pas di rumah itulah tempat beliau datang berbincang dan mendengar kuliah politik dari tokoh-tokoh Pas Kelantan. Apa lagi tuan rumah itulah di antara yang bertanggugjawab mengisi borang kemasukan Nik Aziz ke dalam Pas. "Ustaz Nik Aziz dulu selalu ke sini," kata tokoh itu. Dan semasa Tok Guru itu pertama kali bertanding dialah yang menjadi wakil calonnya.

Tokoh ini memang hebat dan beliau merupakan nadi kepada Pas Kelantan di era keagungan Pas sehingga membawa ke zaman kemalapan Pas tahun 1978. Beliau yang saya maskudkan ialah Ustaz Sallahuddin Abdullah,85 bekas Setiausaha Badan Perhubungan Pas Kelantan dan juga bekas Adun Kota Bharu.

Saya cukup senang berjumpa dengan beliau hari itu. Pertemuan yang singkap itu tidak mampu menyelak semua kisah dan cerita masa lampau. Apa lagi ikut sama serta dalam pertemuan itu ialah Cikgu Hamid, (Abdul Hamid) yang juga bekas Exco Kelantan yang merupakan sahabat dan kawan Sallahuddin sejak dari muda lagi.

Ternyata selaku tokoh veteran yang jarang dijenguki oleh generasi muda, mereka sunyi dan dahaga untuk mendapat maklumat politik dan bertukar-tukar pengalaman. Khazanah politik khasnya politik Pas masih terkandung dalam diri mereka dan ianya sangat wajar diluahkan untuk dijadikan iktibar. Ini dapat saya rasakan bila mana mereka sehinggakan terlupa untuk minum kopi kerana asyik menceritakan kisah mereka dalam politik.

Semua yang mereka ceritakan hari itu adalah penting untuk didengar oleh generasi muda. Apa lagi mengenai suka duka dan mehnaj dalam perjuangan Pas yang senantiasa penuh dengan onak dan durinya. Misalnya bagaimana cikgu Hamid terpaksa menahan batang tubuhnya untuk dijadikan benteng bagi kemenangan Pas, adalah cerita 'melenkolik' politik.

Saya rasa elok kalau generasi muda Pas termasuk mereka yang berada di kerusi kekuasaan kini mengambil manfaat menimba ilmu politik dari mereka. Sementara mereka masih kuat dan boleh menceritakan kisah lampau ambilah peluang. Jangan alpakan mereka dan asing dari mainstream politik. Mungkin ilmu politik mereka sudah out of dated tetapi mengenangi betapa kewajaan hati dan jiwa mereka dalam perjuangan masih boleh diguna pakai dan dijadikan iktibar.

Usah diambil kira mengenai kehilafan tindakan politik mereka sebelum ini. Sallahuddin pada satu masa meninggalkan perjuangan Pas kerana bersama Mohd Asri Muda (Allahyraham). Anggaplan kekhilafan yang tidak disengajakan dan membawa rahmat untuk memperkuatkan Pas juga. Kalau pun tidak mahu mengenangnya selama beliau meninggalkan Pas dan berada dalam Umno seketika, tetapi kenang dan ingatkan jasa beliau sebelum tahun 1982. Bahawa tidak dapat siapa nafikan waktu itu jasa-jasanya sebelum ini cukup banyak. Mungkin kalau boleh dianggap jasa paling besar ialah membawa Nik Aziz menyertai Pas. Jasa ini adalah besar ertinya.

Di hujung pertemuan Ustaz Sallahuddin menghadiahkan saya sebuah buku berjudul: Sejarah PAS Kelantan, Langkah-Langkah Menuju Mardthatillah - 1959 -1978, yang ditulisnya bersama sdr Hydselan Hashim. Buku ini melakar sejarah perjuangan Pas, saat kegemilangan dan kejatuhan Pas tahun 1978, adalah sebuah mutiara politik berharga.

Saya belum membaca lagi buku berwana hijau ini hanya meneguk sinopsisnya sudah dapat merasakan betapa buku itu adalah sumbangan terbesar dari Sallahuddin selama beliau menyertai Pas khasnya dan menyertai siasah amnya.

Umumnya buku itu adalah dokumen Pas sangat berharga dan akurat memandangkan penulisannya adalah berdasarkan maklumat yang dikumpulan oleh beliau selama menjadi Setiasaha Badan Perhubungan Pas yang agak lama.

Tidak salah, tidak berdosa dan tidak rugi kalau buku itu dijadikan teks wajib kepada segenap ahli Pas bagi memahami olengan dan hempasan sebuah bahtera bernama Pas. Untuk membaca buku ini jangan melihat wajah politik Sallahuddin tetapi bacanya jiwa politik beliau sebagai seorang pejuang Melayu Islam di negara ini.

Tahniah kepada Ustaz Sallahuiddion dan cikgu Hamid atas kesudian mengongsikan cerita hari itu. InsyaAllah kita akan sambung dilain kali. Dan pastinya juga yang tidak saya lupakan hidangan ubi kayu sira dan kek gula hangus dibikin oleh isteri baru cikgu Hamid sungguh sedap dan lazat. [wm.kl. 12:30 t/hari 12/12/10]

Saturday, December 11, 2010

Susupan Petang

Syukur Kepada Allah Semuanya Beres

SELESAILAH majlis perkahwinan anak sulung saya, Mohd Elham bersama Sharifah Nor Atika Syed Hussin serta pasangan Syed Abu Bakar dan Sharifah Raudhah Syed Huessin. Malam tadi seperti mana dicatatkan berlangsung majlis ijab kabul. Hari ini pula berlangsung majlis kenduri kesyukuran. Alhamdulilah semuanya berjalan seperti mana dirancangkan dan lafaz syukur mendalam kepada Allah taalaa.

Keempat mempelai juga nampak gembira dan seronok. Satu lagi pasangan ialah kakak kepada menantu saya yang disandingkan serentak. Kehadiran terutama para jemputan di balik besan juga memuaskan. Keakraban nampak menyerlah sekali.

Dikesempatan ini saya mengucapkan terima kasih kepada semua keluarga dan juga sahabat handai yang turut meraikan majlis sekejap tadi. Kepada ibu dan kakak dan anak saudara yang datang khusus dari Kelantan. Kepada kakak ipar isteri, biras dan sepupu dari kedua belah pihak.

Begitu juga dengan sahabat handai, Sabree Shaffie dan Kak Ani, Abang Ki (Mohd Zaki dan isteri). Dr Wan Suhaimi dan isteri, Sallahuddin, Mohd Azmi dan isteri, Apandi Mohamad dan isteri, Ibrahim (Datuk) dan isteri, Fauzi Ibrahim dan isteri, Md Radzi Mustapa dan isteri, Muhyiddin Yap bersama dua isterinya, dan lain-lain.

Semua sahabat handai yang dijemput meluangkan masa untuk hadir. Terima kasih kepada kalian. Kehadiran itu bukan boleh dibayar atau dinilai dengan wang ringgit.

Mohon maaf kepada sahabat handai yang tidak diundang. InsyaAllah pada hari kenduri di rumah saya nanti akan diundang. Tidak terlupa juga di sini saya merakamkan terima kasih kepada penjenguk yang mengucapkan tahniah dan mendoakan kesejahteraan kedua mempelai.
Percayalah ingatan dan ucapan itu adalah cenderahati paling bermakna buat saya dan keluarga.

Sesungguhnya majlis kenduri sebegini besar erti dan maknanya. Ia bukan saja mengembirakan tuan rumah atau kedua mempelai, tetapi majlis sebegini juga menjadi medan pertemuan semula dengan rakan-rakan lama.

Ia juga menjadi ikatan mengemaskan lagi gubungan tali silaturahim. Kenapa tidak yang jauh akan datang memampirkan diri sementara yang renggang dapat dirapatkan kembali. Bayangkalan kalau tidak ada majlis seumpama itu, yang jauh tetap dikejauhan sementara yang renggang akan terus terputus.

Benarlah kata orang tua-tua dan tradisi Melayu, hanya ada tiga majlis saja yang memungkin pertemuan besar atau unik akan berlaku. Bila seseorang itu dalam kesakitan, bila ada kematian dan bila ada kenduri kendara. Saat sebigini sajalah kita akan merendah diri, memurahkan budi dan meluapa segala yang terbuku dihati. [wm.kl.6:30 pm 11/12/10]

Ijab Kabul

Majlis Ijab Kabul Selamat

MALAM tadi telah berlangsung dengan selamatnya majlis Ijab Kabul anak lelaki saya, Mohd Elham dengan Sharifah Nor Atika Syed Hussein di rumah di Telok Penglima Garang, Banting Selangor. Hari ini majlis kenduri di rumah perempuan.

Nampaknya kehidupan sudah memasuki frasa yang seterusnya dengan mendapat status sebagai bapa mertua dan sudah ada anak menantu. Syukurlah akhirnya Tuhan menganugerahkan juga bunga dan kembang kehidupan yang diidamkan oleh setiap manusia.

Diucapkan selamat pengatin baru kepada kedua anakanda dengan doa berbahagia ke akhirnya dan menghasilkan zuirat yang soleh dan solehah. Kepada ibu, kakak, anak sadara serta sahabat handai yang menghadiri majlis malam tadi diucapkan terima kasih banyak.

Manakala kepada penjenguk blog Merah Tinta pula kalau tiada posting baru dalam blog harap maaflah. Dan tunggulah jemputan kenduri kesyukuran menyambut menantu saya. Salam MSO. [wm.kl. 9:05 am 11/12/10]