Kathmandu Tidak Secantik Manisha Koirala
MSO
TANGGAPAN pertama sebaik menjejak dan melihat Bandar Kathmandu, Nepal ingatan kembali kepada Golok di Thailand ataupun Saigon di Vietnam ataupun Ranggon di Myammar. Suasana dan sekitarnya yang buruk dan klasik, menggambarkan Kathmandu ketinggalan kira-kira setengah abad di belakang negara membangun lain, seperti negara kita.
Sistem jalan raya yang kelam kabut dan bentuk kenderaan yang out of date serta ditambah dengan keadaan jalan yang berdebu, berlubang dan berabuk menjadikan pamandangan Kahtmandu begitu buruk dan huduh persis di pekan cowboy.
Binatang ternakan seperti lembu dan kambing berkeliaran di tengah-tengah jalan raya tanpa mempedulikan lalu lintas lain. Kehadiran bintang ini seolah tidak dikawal oleh boroh bandarannya menunjukkan betapa bandar ini masih bebas dan kejap dengan budaya dan tradisi.
Ketiadaan bangunan moden dan bandar yang tidak terancang menjadikan panorama Kathmandu berselerakkan. Ini pula ditambah dengan sistem pendawaian eletrik yang masih konversional yang menggunakan tiang kayu atau batu. Berserabutan macam perut ayam!
Melihat atau mengunjungi bumi Manisha Koirala yang berpendudukan sebanyak 25 juta jiwa ini bukan untuk melihat pembangunan ataupun menikmati ketinggian seni bina warisan bangsanya! Tidak ada. Jelasnya bumi Nepal atau Kathmandu tidak secantik dan semanis Manisha Koirala.
Di sini tidak ada apa yang boleh dibanggakan dari segi pembangunan ataupun infrastrukturnya, melainkan gunung ganang dan banjaran Himalaya yang memiliki gunung Everest, gunung yang tertinggi di dunia.
Mungkin kalau ketiadaan Everst, Nepal sendiri tidak akan dilewati dan dikunjungi sesiapa dan Nepal masih sepi dalam sejarah kunonya? Demikianlah adilnya Tuhan memberi kelebihan kepada sesebuah negara berbeza antara satu sama lain.
Melihat kepada rupa paras Nepal khasnya Kathmandu yang comot dan kelam kabut, sudah pasti kota berpendudukan lebih 2.3 juta nyawa ini mempunyai pelbagai aktiviti sosial dan menyimpan 1001 jenis cerita hidup manusia.
Tekaan itu tidak meleset apabila menjelang malam, bandar yang kelabu usang, cerahnya samar-samar dan berbukitan ini menjadi riuh rendah dengan alunan muzik, dominanya irama Hindi. Bar atau kelab malam berselerakan di sini yang menyajikan pelbagai jenis tarian. Disepanjang jalan Durbar Marg, berdekatan hotel penginapan saya, de l’Annapurna terdapat tidak kurang 10 buah bar atau kelab desco.
Keadaan malam yang gelap gelita di sini seharusnya menjadikan kita merinding bulu roma untuk berjalan atau meninjau ataupun mencari kedai kopi di celah-celah bangunan berwajah usang. Namun panaroma itu sangat kontras dengan hakikatnya.
Berjalan di segenap jalan di Kathmandu ini, ataupun berada di mana-mana kesesakan manusia di sini kita tidak merasa cemas dan bimbang. Berada dalam kesesakan orang ramai di sini tidak seperti kita berada di Chow Kit Road, ataupun di Tanah Abang di Jakarta ataupun di Sardar, Karachi. Rasa bimbang, poket akan dicopek ataupun ditodong dengan pisau (rompakan) tidak ada sama sekali.
Di sini jenayah seakan menakuti manusia! Inilah antara keanehan dan kehebatan Nepal yang memiliki peribadi tinggi penghuninya. Kemiskinan dan kemelaratan hidup manusia di sini tidak mencipta jenayah!
Di jalan tidak ada pengemis yang meminta seperti mana berlaku dikebanyakan bandar-bandar Asia lain. Di sini saja menunjukkan rakyat Nepal tahu berdikari dan rela hidup dalam kesedarhanaan.
Sifat peramah rakyat Nepal dan sentiasa senyum kepada pelancong memberi ketenangan dan keselesaan kepada sesiapa juga. Mungkin atas sifat semulajadi inilah juga menyebabkan rakyat Nepal menjadi pilihan penjajah British suatu masa dulu untuk mengambil orang Nepal menjadi pengawal keselamatan untuk menjaga ladang atau pun lombong mereka di tanah-tanah jajahan taklukkan mereka termasuk di Malaysia.
Selain memiliki budi pekerti tinggi rakyatnya, dua perkara yang tidak boleh dilupakan bila menyebut Nepal ialah mengenai makanan dan batu permatanya. Tanpa banyak dipromosi Nepal mempuyai masakan dan risipi yang menarik dan citarasanya sesuai dengan selera orang Asia.
Batu permatanya pula memang terkenal sejak ribuan abad dulu lagi. Harga yang dijual di kedai-kedai emas atau kedai permata di sini jauh lebih murah berbanding dengan yang telah di eksport ke luar seperti di Makkah. Contohnya harga tali leher (loket) permata yang terjual di kedai emas di sekitar Masjid Haram dengan RM3,000 di sini baru RM1200 saja.
Catatan: Saya bersama Datuk Ibrahim Ali dan sdr Yusuf Merah di Nepal untuk merai kejayaan pendaki negara yang diketuai Datuk Khalid Yunus mengapai puncak Everest. Salam. Kathmandu, 23 Mei 2007.
No comments:
Post a Comment