Thursday, December 13, 2018

Gelora politik Sabah timbulkan beberapa implikasi

ULASAN SUBUH

Wakil rakyat Umno Sabah umum keluar parti.
TINDAKAN 13 wakil rakyat Umno Sabah bersama 21 ketua bahagian mengumum meninggalkan Umno semalam menjadikan lautan siasah di negara itu bergelombang dan kesannya turut memberi beberapa implikasi kepada politik Malaysia. Mereka yang bertindak keluar Umno terdiri daripada sembilan ahli parlimen, enam Adun serta dua ahli Dewan Negara. 


Enam orang ahli parlimen itu; Azizah Mohd Dun (Beaufort), Ronald Kiandee (Baluran), Abd Rahim Bakri (Kudat), Zakaria Mohd Idris (Libaran) mana dua ahli Dewan Negara  John Ambroses dan Abdul Ghani Mohd Yassin.

Manakala sembilan orang Adun pula, Hajiji Noor (Sulaman), Masidi Manjun Karanan), Japlin Akim (Usukan), Musbah Jameh (Tempasuk), Gulam Haidar Khan (Kawang), Mohd Arifin Arif (Membakut), Isnin Alias (Kilas), Matbali Hj Musah (Lumadan) dan Nizam Titingan (Apas). 

Ikut sama memeriahkan tindakan itu bekas menteri Komunikasi dan Multi Media, Salleh Said Kruak dan bekas Speaker Pendikar Amin Mulia. Yang belum membuat apa-apa tindakan dan masih kekal Musa Aman dan Bung Mokhtar Radin. Mereka membuat pengumuman itu di Kota Kinabalu petang semalam, saat bekas presiden Umno Najib Razak belum kering peluh sekembali menghadapi pertuduhan rasuah di mahkamah. 

Umno Sabah kena stroke.
Memarahkan lagi serentak pengumuman ahli parlimen dan Adun itu turut sama mengambil tindakan sama 21 ketua Umno bahagian yang diketuai sendiri oleh Pengerusi Umno Sabah Hajiji Noor. Tindakan itu menyebabkan Umno Sabah lumpuh dan diserang stroke. 

Walaupun Umno Malaysia mengambil tindakan segera mengumumkan pemimpin eksekutif Sabah yang baharu kira-kira beberapa jam selepas itu, tetapi “stroke” Umno tidak akan mudah pulih. Kemungkinan besar juga Umno Sabah mengalami kecacatan kekal dengan stroke itu.  

Jika dianalisa dan diamat-amati ada sekurang-kurang empat kesan yang memberi implikasi dengan tindakan itu. Pertama ialah kepada Umno Malaysia, kedua kepada kerajaan Warisan di Sabah, ketiga kepada Anwar Ibrahim (foto) dan keempat kepada parti agama (Pas).

Mungkin apabila disebut atau dikaitkan dengan Anwar ia agak aneh dan pelik sedikit. Apa perlu dikaitkan dengan ahli Parlimen Port Dickson itu? Namun apabila kita menyedari gelora dan senario politik kini, yang penuh berteka teki, dan hubungan antara Dr Mahathir dengan Anwar terus sedang di”matematik”kan, apa yang berlaku dalam Umno Sabah itu menyebabkan orang-orang yang berharap Anwar jadi PM cemas dan gusar.

“Ding dong ding dong” politik membabitkan Anwar dan Dr Mahathir menjadikan iramanya tidak kondusif dengan perkembangan di Sabah itu.  Akan timbul berbagai spekulasi yang boleh mengeruhkan keadaan yang boleh ganggu emosi Anwar. 

Ada orang mengira tindakan ahli parlimen dan Adun Sabah keluar parti itu akan mengemaskan kedudukan Dr Mahathir sebagai PM dimana kekemasan itu menjadikan beliau dirasakan tidak perlu menempati konsensus untuk menyerahkan kerusi PM kepada Anwar dalam tempoh dua tahun. Biarpun mereka tidak menyatakan secara konkrit tetapi itulah tafsiran politik dari apa yang berlaku di Sabah itu. 

Apa lagi pernyataan sokongan mereka kepada Dr Mahathir itu dilihat boleh tidak menyeronokkan Anwar. 

Khabar angin kononnya ada kalangan tertentu dalam Umno mahu berkolabroasi dengan Anwar, menyebabkan kejadian di Sabah itu semacam mahu menandingi rancangan itu. Apakah tindakan di Sabah itu satu perancangan sebagai menghalang kepada sokongan Anwar tidak dapat disahkan pula? Bagaimana pun ada disebut bekas pimpinan tertinggi Umno dikatakan menjadi perancang apa yang berlaku di negeri Bawah Bayu itu. Perkara itu pula disahkan sendiri oleh mereka yang merit kepada Anwar?

Namun yang jelas pernyataan sokongan kepada Dr Mahathir itu ia akan menyelesakan kedudukan Dr Mahathir sebagai PM. Walaupun Dr Mahathir tidak perlu berasa gembira tetapi secara diam-diam apa yang berlaku di Sabah itu memberi kelabaan kepadanya. Pun begitu atas sifat politik itu serba mungkin, boleh jadi juga penyertaan beramai-ramai wakil rakyat Umno Sabah itu sebagai sokongan secara makrifat terhadap Anwar. Siapa tahu?

Kesan terhadap Warisan.

Selain itu tindakan itu juga memberi implikasi kepada kerajaan Warisan pimpinan Shafei Afdal di Sabah. Satu segi ia boleh menguatkan Warisan sekiranya sebahagian besar wakil rakyat itu menyertai Warisan. Namun dari sisi lain mereka dalam Warisan kurang senang dengan penyertaan beramai-ramai itu kerana ia boleh menjejaskan apa-apa kemahuan dan impian mereka. Bagaimana pun kalau mereka menyertai Bersatu ia tidak membebankan Warisan. 

Ada kemungkinan mereka akan berhijrah ke dalam Bersatu ini digambarkan daripada kenyataan Timbalan Presidennya Muhyiddin Mohd Yassin, yang memberi tahu wakil rakyat Sabah itu ada merisik Bersatu.

Walaupun ketua kumpulan itu Hajiji Mohd Noor, menyatakan akan memberi sokongan kepada kerajaan Warisan, namun sifat dan lumrah politik Sabah itu boleh berubah dan tidak tetap, tindakan beramai-ramai itu boleh memberi kesan kepada kerajaan Warisan dan Shafei harus waspada. Namun kesan atau implikasi kepada Warisan ini tidak sama seperti dirasai oleh Anwar.

Pas juga turut sama "terleset" (terbias) dengan apa yang berlaku di Sabah itu. Impian Pas untuk meratifikasi hubungan dengan Umno demi menjadi pembangkang yang padu sedikit tergugat ekoran perkembangan politik di Sabah itu. Apa lagi ada penganalisa membuat huraian, tindakan wakil rakyat Umno Sabah keluar Umno itu kerana tidak senang dengan kerjasama Umno dengan Pas yang menolak ratifikasikan ICERD. 

Natijah daripada tindakan ahlinya itu menyebabkan Umno akan meneliti semula secara mendalam untung dan rugi mengelombangkan arus politik negara seperti himpunan menentang ICERD di ibu negara 8 Disember lalu. Kajian ini boleh menjejaskan kerjasama mantap Umno dan Pas khasnya di Sememanjung. Kajian ini suka atau tidak merugikan Pas. 

Dan implikasi paling besar sekali ialah kepada Umno sendiri. Tindakan ahli parlimen dan ketua-ketua Umno bahagian Sabah itu menjatuhkan imej presidennya, Ahmad Zahid Hamidi. Tindakan diambil itu menunjukkan ketua-ketua Umno bahagian di Sabah hilang kepercayaan kepada Zahid. Penyakit yang merebak di Sabah itu boleh berjangkit hingga ke Semenanjung.

Seperti disimpulkan oleh Hajiji semasa membuat pengumuman itu, alasan mereka keluar ialah kerana Umno kini tidak seperti masa dahulu, kepimpinan yang sedia ada tidak mempunyai hala tuju politik yang jelas. 

Kenyataan dan penjelasan itu sudah cukup kalau Zahid ada meruah beliau perlu melepaskan jawatan sebagai presiden dan menyerahkan kepada sesiapa patut, untuk menjahit Umno yang boleh diibaratkan macam guni yang sudah carit barik itu. Tukang jahit yang dirasakan sesuai ialah Tengku Razaleigh Hamzah. [wm.kl.9:06 pm 12/12/18]

No comments: