Friday, January 11, 2019

Pirake P78 Cameron Highlands; beberapa indikator

SUSUPAN PETANG

Calon BN Ramli Mohd Noor (kanan).
ESOK akan berlangsung penamaan calon untuk Pirake (Pilihan raya kecil)  P78 Cameron Highlands, Pahang. Pilihan raya itu diadakan berikutan pembatalan kemenangan calon BN C Sivarraajh dalam pilihan raya umum ke -13 lalu. 

Kedua parti bermusuhan DAP (PH) dan BN telah menyatakan kesediaan untuk menurunkan calon masing-masing pada pilihan raya itu nanti.


PH mewakilkan kepada DAP untuk berhadapan dengan calon BN sekali lagi. BN kali ini tidak mewakilkan kepada MIC tetapi meletakkan calon langsung BN, seorang Orang Asli, Ramli Mohd Noor. Manakala PH telah menurunkan semula calonnya dalam pilihan raya lalu, M Manogaram.

Parti agama (Pas) sehingga catatan ini dibuat, (jam 6:47 petang) belum mengumumkan calonnya. Dalam pilihan raya umum lalu Pas dan Berjasa turut meletakkan calon masing-masing di kerusi berkenaan. Tanggungjawab Pas dan Berjasa menyertai pilihan raya itu dahulu, walaupun mereka berasakan sukar untuk menang tetapi lebih kepada fardhu kifayah, tanggungjawab menyelamatkan akidah pengundi.

Kemungkinan Pas tidak akan meletakkan calonnya dalam pilihan raya kecil ini, sebaliknya akan padu memberi sokongan kepada calon BN. Banyak sebab kenapa parti itu tidak meletakkan calon, utamanya kerana parti itu ketiadaan wang. Parti itu kini sedang mengumpulkan wang untuk membayar lawyer menghadapi samannya terhadap Sarawak Report. Daripada membazirkan wang di Cameron Highlands, baik digunakan untuk ke Landon.

Keduanya, Pas tidak perlu meletakkan calonnya kerana BN telah meletak calon Orang Asli beragama Islam. Jadi mana-mana penyokong Pas yang gian untuk mengundi dalam pilihan raya itu terselamat daripada berdosa kerana BN telah meletakkan calon Orang Asli beragama Islam. Orang Pas sangat jaga pintu Syurga.

Mengenai Pirake itu ada beberapa perkara menarik untuk direnungi. Salah satu kita mahu tenguk sejauh mana kekompatan orang Melayu dalam pilihan raya itu. Pilihan raya kecil itu adalah pertama diadakan selepas Melayu Pas dan Umno bergabung menunjukkan kekuatan dan kesungguhan mereka membela agama dan bangsa.

Baru-baru ini diadakan himpunan kesyukuran kerana ICERD tidak ditangguhkan daripada dilaksanakan. Himpunan itu menunjukkan Melayu sudah bersatu dan ia pertama kali dalam sejarah moden Umno Pas bergabung tenaga menunjukkan kekuatan. Lebih 350,000 berhimpun di Kuala Lumpur. Apakah semangat ICERD itu akan dinyatakan dalam pilihan raya kecil Cameron Highlands itu nanti?

Dalam kawasan parlimen itu pengundi Melayu mewakili 34%, manakala Cina 29%, India 15% dan Lain-lain termasuk Orang Asli 22%. Jumlah keseluruhan pengundi sebanyak 32,048. Dalam pilihan raya lalu calon BN, C Sivarraajh menang dengan majoriti 597 undi sahaja apabila meraih 10,307 undi. Calon PH M Manogaram mendapat 9,710. 

Sementara dua calon penyelamat akidah, Pas dan Berjasa, 3,587 dan 81. 

 Melihat kepada taburan ini, ia memberi petanda baik untuk calon BN memenangi pilihan raya kecil itu. Di sinilah nanti ia dapat dilihat apakah perpaduan Pas dengan Umno menerusi ICERD itu jadi atau tidak.

Katakan 90% undi Melayu dan 20% undi Orang Asli mengundi calon BN, tanpa sokongan Cina dan India pun, calon BN akan menang. Cuma yang menjadi persoalannya kini apakah, Orang Asli yang mewakili 22% undi akan teruja atau tidak dengan calon BN dari suku kaumnya itu? Secara simplistiknya apa yang BN perlu pastikan kini ialah menguasai undi Orang Asli. Logiknya mungkin tidak jadi masalah kerana calonnya ialah Orang Asli yang bermisai lebat dari suku mereka juga.

Jadi pilihan raya kecil itu secara tidak langsung menjadi indikator apakah ICERD mempengaruhi pilihan raya itu dan sejauh mana pula Orang Asli akan sedia mengangkat calon dari sukunya sendiri. Dan sekiranya dalam pilihan raya itu calon BN beragama Islam kalah, ia boleh disimpulkan semangat ICERD yang bergelora di ibu kota baru-baru ini bukan menjadi satu elemen mengancam kerajaan PH kini. Trims.

No comments: