Thursday, March 21, 2019

Umno tidak perlu buang masa dan wang saman wakil rakyatnya

ULASAN

UMNO akan menyaman kesemua wakil rakyatnya Adun dan ahli Parlimen yang bertindak keluar meninggalkan parti itu untuk menyertai parti lain. Perkara ini diumumkan oleh Setiausaha Agungnya Annuar Musa (foto).

Memetik sebuah laporan menyebut, Annuar memberi tahu semua bekas ahli parlimen dan ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno yang meninggalkan parti itu selepas Piraum lalu akan menerima notis saman berkenaan.

Beliau telah pun mengarahkan penal peguam dilantik berbuat demikian.
Sebelum ini Pemangku Presiden Umno Mohamad Hassan memberi tahu Umno tidak akan meneruskan tindakan saman ke atas wakil rakyatnya yang lari kerana masalah kewangan.

Alasan diberikan Mohamad itu logik, lebih baik Umno berjimat daripada membelanjakan untuk sesuatu yang tidak membawa faedah seperti menyaman wakil rakyatnya itu.

Terdapat 30 orang wakil rakyat Umno meninggalkan parti tersebut untuk sertai parti lain. 20 orang di Sabah dan 10 orang dari Semenanjung. Antara mereka; Mustapa Mohamed (Jeli), Mas Emiyati  Ssamsuddin (Masjid Tanah), Ikhma Abdul Aziz (Tanah Merah), Dr Abdul Latiff Ahmad (Mersing) dan lain-lain,

Selain mereka itu katanya masih ada beberapa orang lagi di Kedah, Johor, Perak dan difahamkan ada juga dari Kelantan?

Mengenai tindakan menyaman wakil rakyat Umno yang lari ini seperti ada ketidaksefahaman di antara Annuar dengan Mohamad kerana sebelum ini Mohamad membayangkan tindakan itu tidak berfaedah.

Apakah penerusan saman seperti disebut Annuar itu untuk menyekat beberapa orang lagi wakil Umno akan berpindah parti? Atau ia sebagai ugutan kepada yang lain juga ada maksud berbuat demikian?

Kalau itulah tujuannya ia tidak memberi apa-apa kesan kerana tindakan saman itu tidak akan dapat menyelamatkan Umno daripada "ditungging punggung" oleh wakil rakyatnya.

Dari segi undang-undang sukar untuk Umno menang saman berkenaan apa lagi kes meninggalkan parti bukan kes jenayah. Tindakan saman itu juga dilihat bertentangan dengan perlembagaan dan semangat demokrasi yang diamalkan.

Sebelum ini pernah berlaku isu seorang wakil rakyat yang melompat parti dibawa ke mahkamah tetapi ia berakhir dengan mahkamah mengistyharkan tindakan itu tidak melanggar perlembagaan.

Daripada menumpukan kepada saman wakil rakyat itu, sebaiknya Umno mengumpulkan wang untuk menghadapi perbicaraan bekas Presiden mereka Najib Razak dan juga Presiden mereka yang sedang menyembunyikan diri, Zahid Hamidi. Tidak tahulah kalau saman itu merupakan taktik Umno untuk menagih derma daripada orang ramai.

Mana tahu sejak berkawan dengan PAM, Umno juga sudah pandai ilmu-ilmu untuk mengapor rakyat dengan menggunakan "tin milo".

Adalah lebih baik wang diperuntukan untuk fee saman 30 wakil rakyat itu boleh digunakan untuk membantu para pemimpin parti itu yang sedang berhadapan dengan perbicaraan di mahkamah atau pun membantu ahli yang kini terjempit dengan masalah kewangan selepas berlaku pertukaran kerajaan dimana mereka sudah kehilangan kerja atau jawatan lantikan politik.

Tindakan Annuar itu dilihat tidak lebih daripada perang saraf untuk menunjukkan Umno masih ada maruah sedangkan parti itu sudah "diberak-cairkan" oleh ramai ahlinya. [sri rampai.11:45 am 21/03/19]

No comments: