Saturday, August 31, 2019

Kenangan dengan Bapa Kemerdekaan

CATATAN KENANGAN

KENANGAN: Saya menemu ramah
Tunku Abdul Rahman  tahun 1986.  
HARI ini genaplah 62 tahun negara kita Malaysia Merdeka. Setiap kali tiba detik dan tanggal ini negara akan mengadakan upacara khas mengingati detik bertuah itu.

Setiap warga negara yang setia dan sayangkan negara ini juga tidak terkecuali ikut sama menyambut dan meraikan detik bersejarah itu dengan pelbagai cara dan aksi.

Mengingati kemerdekaan itu adalah tanda dan bukti kasih sayang kita kepada negara.

Menyayagi dan kasih kepada negara atau tanah air sebahagian daripada cabang keimanan. Habul watan minal imam. Ertinya ia adalah termasuk dalam cabang rukun iman.

Apabila mengingati detik bertuah ini terkenanglah saya kepada pertemuan dengan Bapa Kemerdekaan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putera Al Haj. Pertemuan itu cukup memberi erti kepada saya yang mungkin tidak ada makna kepada orang lain.

Pertemuan dengan Tunku itu walaupun dalam rangka melaksanakan tugasan, tetapi ia memberi kesempatan untuk saya mengucapkan terima kasih kepadanya atas perjuangan memerdekakan negara dan jasa-jasa beliau membangun negara ini.

Ketika negara merdeka 31 Ogos, 1957 saya masih belum disyariatkan ke dunia ini. Selepas usia merdeka tiga tahun baharu saya dilahirkan. Ertinya saya adalah anak pasca perang merebut kemerdekaan. Justeru saya berterima kasih kepada semua pejuang kemerdekaan tanah air, baik dari aliran kanan, seperti Tunku serta para sahabatnya maupun aliran kira, Ishak Haji Mohamad, Mahmud Baginda, Ahmad Beostaman, Baharuddin Helmy dan lain-lain.

Hasil perjuangan merekalah meletakkan kita generasi Merdeka kini menikmati kemajuan dan pembangunan negara. Kita berterima kasih kerana tidak perlu mengeluar keringat dan menumpahkan setitik darah pun untuk mencapai kemerdekaan. Kita disediakan bekas (negeri) yang aman damai. Tugas kita kini mempertahankan nikmati kemerdekaan yang kita perolehi ini agar ia kekal selamanya.

Pertemuan dengan Tunku.
Di sini saya hendak mengenangkan detik pertemuan saya dengan Almarhum Tunku. Peristiwa itu berlaku pada tahun 1986. Saya ketika itu selaku Ketua Pemberita akhbar Mingguan Islam, yang ditugaskan menemu ramah Tunku menjelang kemerdekaan ke 31 tahun.

Saya bertuah dan berterima kasih kepada bos yang memilih saya untuk menemu ramah Tunku. Tidak perlu dibayangkan betapa berdebarnya untuk bertemuan dengan Tunku secara berdepan dan eksklusif. Saya rasa sebagai wartawan muda, Tunku adalah tokoh dan negarawan pertama yang saya temuramah dan mencungkil sejarah negara.

Sebelum atau selepas itu saya juga ada menemuramah Allahyarham Mohd Asri Muda yang ketika itu Yang di-Pertuan Agung Pas.

Pertemuan dengan Tunku memakan masa dua jam. Ia berlangsung di kediamannya di Bukit Tunku Kuala Lumpur. Banyak yang terakam dalam peremuan itu. Hasil temu ramah itu dimuatkan dalam Mingguan Islam pada tahun itu. Sayang akhbar berkenaan tiada lagi dalam simpan saya.

Mengenang pertemuan dengan bekas Perdana Menteri pertama itu, apa yang saya hendak himbaukan ialah mengenai satu soalan yang saya bangkitkan kepadanya, di mana Tunku agak sensitif (sebenarnya sedih) untuk menjawabnya. Bahkan beliau tidak menjawab dan "apolegetik" kepada soalan itu.

Apa yang saya tanya Tunku ialah berhubung dengan pemisahan Singapura daripada Malaysia pada 11 Ogos 1965. Saya mahu Tunku bercerita, memberi kronologi kenapa Singapura yang ikut merdeka bersama Malaysia akhirnya mengambil keputusan berpisah dengan Malaysia, dan Tunku sendiri pula dengan mudah menyerahkan Singapura.

Tindakan beliau itu pro dan kontra. Para pejuang negara termasuk daripada pemimpin Umno sendiri seperti Allahyarham Dr Ismail Abdul Rahman, Syed Jaafar Albar marahkan dengan tindakan Tunku itu. Para pemimpin pembangkang khasnya Pas menjadikan pemisahan Singapura itu sebagai isu yang menunjukkan kelemahan Tunku sebagai perdana menteri.

Bagi saya soalan itu sangat penting dan itulah dikira intipati kepada temuramah hari itu.

"Biarlah Singapura itu, biaq pilah ke depa. Usahlah disebut-sebut lagi," begitulah kata Tunku saat berhadapan dengan persoalan itu. Nampak sekali beliau seperti meminta agar isu Singapura itu tidak disebut-sebut. Tunku juga sedikit beremosi ketika itu, sedih dengan persoalan itu.

Menyedari itu saya tidak lanjutkan, dan perbualan beralih ke tajuk lain yang semuanya dijawab tuntas dan mesra oleh Tunku.

Setelah beberapa tahun selepas itu apabila saya memikirkan kembali kenapa Tunku tidak mahu mengulas berhubung pemisahan Singapura itu baru saya faham. Kedewasaan dan penitian dunia politik oleh saya menjadikan saya lebih faham dan mengerti tindakan Tunku itu.

Pemisahan dan penyerahan Singapura kepada kehendak majoriti masyarakat di sana walaupun ia satu kebaculan pemerintah ketika itu, Tunku, tetapi ia adalah satu tindakan yang terbaik.  Seperti mana kata-kata termasyhor oleh Tunku tatkala menyebut kisah itu, tidak ada jalan lain melainkan terpaksa menyerahkan Singapura. Ertinya hanya itu cara terbaik mengikut pemikiran Tunku.

Begitu juga dari cerita dan kata beberapa teman Tunku yang lain, baik daripada sama ada Umno dan pembangkang ada menganggap penyerahan Singapaura jalan terbaik buat Malaysia ketika itu. Apapun, pemisahan Singapura, dahulu Temasik itu suatu peristiwa pedih menikam hati yang harus dikenang sampai ke hari ini.

Hakikat disebalik kejadian itu serta berbagai tafsirannya perlu dijadikan azimat dalam kita mengukuh kemerdekaan negara ini. MERDEKA... MERDEKA... MERDEKA.  [wm.kl.7:15 am 31/08/19]

No comments: