Monday, February 14, 2022

Semua pihak bertelagah mengenai fahaman perlu cease fire

PENDAPAT

Idris Ahmad perlu ambil inisiatif.
PERBALAHAN dalam memahami sesuatu perkara berhubung dengan agama, seperti memahami maksud al Quran, hadith sunnah dan lain-lain subjek menjadi polemik berterusan yang membimbangkan. 

Perbahasan secara terbuka menerusi media sosial makin menjadi-jadi kini.  Kebebasan bersuara yang dicapai sekarang ini telah dipergunakan secara tidak berperaturan dan ada kalanya menyerlahkan "kedangkalan" manusia yang mengaku ada agama.

Walaupun Islam menggalakkan perbincangan, berhujah, untuk mencapai sesuatu kebenaran, tetapi ia perlu dilakukan secara teratur dan sistematik supaya apa yang didebatkan itu memberi manfaat. Yang penting ia tidak akan meruntuhkan benteng kesatuan ummah dan memutuskan silaturahim.

Membiarkan fenomena ini; perbahasan atau berhujah atau pertelingkahan atas perkara-perkara tertentu secara berluasa dan tidak diurus dengan baik, membahaya dan merugikan kerana hasil perbahasan itu boleh mengelirukan dan mempengaruhi orang ramai. Apabila sesuatu hujah yang bertentangan itu dipegang, ia boleh membuka kepada perbalahan sehingga memutuskan silaturahim. Tidak mustahil kalau semua pihak dipengaruhi amarah boleh membawa kepada pembunuhan. 

Perdebatan dan polemik yang berlaku lewat media sosial kini, tidak ada kesimpulan dan persepakatan atau konklusi. Ia jadi tergantung. Keadaan menyebabkan orang ramai atau pengikut kumpulan atau guru masing-masing kekal dengan keangkuhan sendiri. Natijah mereka tidak lagi saling hormat menghormati seperti mana disarankan oleh Islam. Jadi maksud perdebatan itu sendiri tidak mencapai tujuan.

Misalnya ada beberapa isu hangat diperdebatkan waktu ini mengenai faham Wahabi dan ahli sunnah wal jamaah. Kedua kumpulan ini mempersoalkan antara satu sama lain tentang amalan, kepercayaan dan pembawaan masing-masing. Perbahasan agak meluas dan menjadi perhatian umum. 

Kedua-dua pihak menerusi pemuka (guru atau sheikh masing-masing) saling dakwa mendakwa, menidak antara satu sama lain. Apa yang boleh mengelirukan, keduanya membawa hujjah dan dalill-dalil dua sumber agama Quran dan Hadith, kitab serta petikan kata ulama muktamar dalam juzu masing-masing. Semasa mengemukakan hadith atau sunnah saling mendakwa kononnya pihaknya benar dan pihak satu lagi sebagai karut, bida'ah, palsu dan sebagainya.

Dibimbangi kalau perkara ini tidak dilakukan dengan baik, tujuan dan matlamat yang perdebatan yang baik itu tidak akan kesampaian. Lantaran perdebatan ini yang jadi polemik juga boleh mengeruhkan kedamaian dan kejernihan Islam sebenarnya. 

Jernihkan keadaan.

Justeru saya kira sudah sampai masanya pihak-pihak berwajib dalam hal ehwal agama, seperti Majlis Agama Islam Negeri-Negeri, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan para mufti mengambil inisiatif untuk menjernihkan keadaan ini.

Institusi itu sahajalah boleh jadi penjernih keadaan ini dengan kuasa yang ada kepada mereka. Satu mekanisme boleh dicari untuk mencapai perkara ini. Misalnya Majlis Agama Negeri-Negeri boleh duduk semaja dengan Jakim untuk mengadakan majlis mungkin berupa muzakarah bagi menyelesaikan perkara ini.

Muzakarah itu nanti boleh memanggil semua pihak terbabit, para pemuka mereka, untuk berbincang mencari penyelesaian. Mereka boleh mempertahankan pegangan dan keyakinan serta fahaman masing-masing dengan mengemukakan dalil dan hujjah tersendiri yang sahih dan diijamakkan. 

Muzakarah itu akan bertindak jadi pendengar dan penilai kemudian merumus serta mencari titik temu mendamaikan antara kedua golongan itu. Bagi tujuan ini sekiranya perlu mungkin muzakarah itu perlu mengundang para ulama dari semua bidang dan kepakaran agama hadir sebagai ahli panel. Jika perlu dan membantu boleh juga dipanggil para ulama daripada luar. 

Pada hujungnya nanti akan dibuat satu kesimpulan terhadap apa yang dibahaskan itu. Sekiranya muzkarah itu nanti memutuskan kedua fahaman itu boleh dipegang kerana ia tidak membabitkan akidah, kedua pihak hendaklah akur dan saling hormat menghormati perbezaan pendapat dan keyakinan. Natijah daripada itt semua pihak perlu mengadakan cease fire berkaitan perkara itu. 

Dalam hal ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad boleh mengambil inisiatif menjadi pencetus bagi merealisasikan maksud ini. Beliau boleh menggunakan kedudukannya sebagai Menteri Di Jabatan Perdana untuk mengagaskan muzakarah ini ataupun sebarang nama sesuai bagi menyelesaikan kemelut dan polemik yang tanpa berkesudahan itu. 

Hanya pihak kerajaan menerusi institusi tersebut yang relevan untuk mengambil inisiatif mengenai perkara ini kerana autoriti yang ada kepada mereka. Parti-parti politik ataupun pertubuhan dan institisui Islam lain tidak boleh kerana mereka dibatasi dengan bidang kuasa yang ada atau pun ada unsur memihak dan bertindih kepentingan apabila tokoh daripada kumpulan mereka ikut terbabit. 

Semoga ia menjadi kenyataan. [wm.kl.6:33 pm 11/02/2021]

No comments: