Uji Rashid ceria dan yang senantiasa tersenyum |
Misalnya lagu, Kali Terakhir Kulihat Wajahmu, sangat terdampak dalam diri saya. Setiap kali lagu itu keudaraan di mana saja, ia mengetik hati. Lagu itu juga menjadi "ikonik" kesedihan, kepiluan serta keterkilanan. Kerap sekali lagu ini dijadikan lagu latar baik dalam drama, filem maupun medsos seperti Tiktok dan sebagainya. Radio Klasik pula akan menyiarkan tidak kurang tiga kali sehari lagu nyanyian Kak Uji.
Nyanyain Kak Uji itu melekat di hati saya, semuanya ia bermula suatu hari, ketika saya dalam perjalanan untuk menziarahi seorang kawan yang nazak di HKL. Dari corong radio di kereta kedengaran lagu itu. Hati dan jiwa saya teruntun mendengarnya, menjadi gemalai tatkala menghayati lagu berkenaan; irama dan seni katanya yang penuh bermakna, melemah gemalaikan tulang temulang.
Sesampai saya di wad ICU HKL, saya terkesima apabila diberi tahu kawan saya itu sudah pergi selama-lamanya beberapa jurus kemudian. Dan hari itu adalah hari terakhir saya menatap wajah sahabat itu untuk terakhir kalinya. Peristiwa hampir sama juga berlaku selepas 10 tahun kemudian, seorang lagi sahabat saya meninggal di ruang kecemasan hospital sama. Ironisnya kami baru bersua semasa mengerjakan Haji, tanpa sempat berjumpa di tanah air. Sekembali kami beliau pergi menyahut panggilan Ilahi.
Luluh dan kepiluan.
Moment-moment itu membungkam saya tatkala mendengar lagu itu. Seluruh diri terasa macam luluh dan kepiluan. Setiap kali lagu Kak Uji itu keudara, tergambarlah kenangan bersama kedua-dua kawan itu. Waktu suka duka semasa merantau dan belajar di Indonesia akhir tahun 1970-an atau semasa nakal-nakalan ketika di sekolah rendah pertengahan tahun 60-an.
Bukan lagu itu sahaja, lagu-lagu lain dendangan Kak Uji menyentuh perasaan kerana ia ada balada kisah yang hampir dengan kehidupan kita semua. Senikatanya semacam mencerita apa yang berladum dalam jiwa remaja kita. Ia mencerminkan elemen kehidupan era remaja.Gambar kenangan bersama Uji Rashid. |
Saya tidak berada dalam bidang nyanyian atau lakonan. Tidak juga menjadi wartawan hiburan, tetapi lebih kepada wartawan dan penulis politik. Jadi ruang dan jarak antara saya dengan Kak Uji atau mana-mana artis agak senggang. Peluang untuk berjumpa dengannya, tidak semudah apa yang berlaku kepada penulis hiburan, yang boleh mengajak mereka untuk sembang, mengopi dan makan-makan atau ikut pementasan.
Seingat saya, hanya dua kali saja bersua dengan Kak Uji itu pun dari bawah pentas, tanpa berbicara sepatah pun. Bergambar juga tidak sempat sebagai kenangan. Pertama di satu majlis peluncuran buku Allahyarham Sudirman Arshad tahun 1997 di Alpha Angle, Wangsa Maju. Masa itu Kak Uji hadir hadir untuk meraikan majlis berkenaan seterusnya meluncur buku sahabat sebidangnya itu. Sudirman adalah kawan baik Kak Uji dan orang yang menggemburkan semangat seninya.
Kali kedua, ketika Uji dan Hail Amir muncul pada majlis ramah mesra sambutan Aidifitri ahli Parlimen Port Dickson, Anwar Ibrahim yang berlangsung di PD. Malam itu Kak Uji dan Hail tampil menyanyikan beberapa buah lagu top mereka. Yang pastinya Antara Mataku dan Matamu dan beberapa yang lain.
Keinginan itu mendesak diri apabila membaca laporan yang "menyeksakan" Kak Uji. Ada laporan negatif yang menyedihkan tentangnya. Kepekaan saya itu bertolak daripada rasa simpati dan memahami nasib seorang artis seperti beliau. Maaflah, nasib dan kehidupan artis di negara kita selepas mereka tidak lagi sepopulis dahulu, seperti tidak terjamin. Nasib mereka tidak ubah seperti tebu, sehabis manis sepah dibuang. Bagaikan manggar tidak berguna lagi selepas buah berputik. Kemalangan hidup mereka bukan kerana profesyen itu, tetapi lantaran ada orang yang tidak jujur terhadap mereka.
Mereka digolongkan sebagai penghibur masyarakat, berkorban untuk umum tetapi kadang kala lupa untuk menghibur diri sendiri.
Kehidupan dan nasib artis samalah juga dengan kehidupan dan nasib penulis bebas seperti saya dan rakan-rakan. Kerjaya ini walaupun boleh menyenangkan dan lumayan kalau di negara lain, tetapi tidak di Malaysia. Masyarakat kita masih jahil dengan sikap integriti dan reti menilai harga sebuah seni dan pemainnya. Masyarakat kita hanya mahu menerima, tetapi loket untuk memberi. Manakala di negara kita lebih banyak pihak yang bertindak agen atau promoter lebih bersikap lintah darah.
Justeru tidak pelik kalau kita sering mendengar berita atau kisah artis atau aktres atau pelawak kita hidup melarat dan terbiar di hujung usianya. Paling menyedihkan ada dari mereka terpaksa menumpang kasih dan perlindungan di hari tua di rumah-rumah kebajikan atau tinggal bersama keluarga angkat.
Bersama cucu Uji, Rindu Nur Fitrah. |
Dengan kedirian dan keinsafan itu saya menlayani dan mempeduli hal-hal begini. Dengan memahami nasib dialami saya sebagai penulis bebas, saya memahami masalah dihadapi mereka. Sebelum ini saya pernah menghulurkan bantuan kepada beberapa artis yang berhadapan dengan kesempitan hidup. Suatu masa dahulu, blog ini saya bangunkan sebagai medium "Misi Kemanusiaan", menggerak dan mengolahkan penjengoknya untuk membantu insan yang malang.
Apa yang saya lakukan atas dasar kemanusiaan dan prinisp bahawa orang miskin yang memahami nasib dan penderitaan orang susah. Enggan tidak pernah tahu pipit tidur dan mencari makan macam mana.
Apabila mendapat tahu Kak Uji menghadapi kesulitan, terbuka hati saya untuk menghunginya bagi bertanya khabar tentang dirinya dan juga kesihatan anaknya Cico. Tidak sampai hati untuk melepaskan perkhabaran itu begitu, seperti membaca kisah-kisah atau gossip rumah tangga artis.
Saya memberanikan diri dengan mencari konteksnya. Kebetulan seorang kawan isterinya kawan Kak Uji menyimpan kontek Kak Uji. Saya mendapat kontek Kak Uji dari situ. Saya WhatsApp kepadanya bertanya khabar dan jika dizinkan ingin bersua dengannya. Tetapi agak mengejutkan saya kerana WhatsApp saya itu sedikit sebanyak mengganggu Kak Uji. Al maklumlah kami tidak pernah berjumpa dan Kak Uji tidak pernah tahu kewujudan saya yang merupakan peminatnya dari jauh. Off course beliau sangsi.
Cico sudah hanpir sembuh sepenuhnya. Syukur. |
Namun setelah saya memberi penjelasan dan secara tidak langsung apologis atas "kebiadapan" saya itu, Kak Uji memahami akan maksud dan tujuan saya menghubunginya. Beliau menerima saya dengan baik tanpa prejudis. Undangan daripada beliau ke majlis kesyuaran dan doa selamat yang agak eksklusif untuk kekawan rapatnya malam tadi adalah satu penerimaan beliau kepada saya sebagai peminat setianya sejak tahun 70-an.
Iya berada dalam majlis seorang artis yang popular yang menjadi seri panggung negara tentu saya dan isteri gembira dan bangga. Gembira itu bukan kerana majlis itu meriah dan dihadiri orang-orang rapat, waris warahnya dan akrab dengan penyanyi bersuara manja yang unik itu, tetapi gembira dan senang apabila melihat Kak Uji sihat, dapat melayan tetamu dengan riang gembira penuh ceria dan ramah tamah.Ia ditambah lagi dengan keberadaan anak dan cucunya, khas Cico yang sudah kelihatan hampir pulih dan sihat. Cico sudah bebas bergerak tetapi apa saya kesani beliau masih tidak mampu untuk berbicara dengan baik. Penampilan yang sopan dan menghromati orang menggambarkan Cico mengarcakan keperibadian dan syaksiah ibunya.
Akhirnya saya dan isteri mengucapkan terima kasih kepada Kak Uji atas undangan dan berpelung untuk bertemu mata dengan Kak Uji dan keluarga. Seorang peminat hanya mendoakan semoga penghibur pujaan itu sihat, riang gembira dan terus berkarya untuk menghayatkan dunia ini. Hanya doa sahaja sebagai terima kasih dan imbuhan atas perjuangan, pengorbanan dan tugas Kak Uji sebagai penghibur yang tidak pernah kenal lelah dan jemu serta sabar menghadapi kerenah segala macam insan selama ini. [wm.kl.10:47 am 02/06/2022]
No comments:
Post a Comment