Friday, April 14, 2023

Pengampunan hak peribadi Najib

MENJOLOK MENTARI

Najib: Keutamaan
negara lebih
penting daripadanya.
CADANGAN agar bekas perdana menteri Najib Razak agar diberikan pengampunan selepas beliau gagal beberapa proses menyakinkan  mahkamah membebaskan diri daripada hukuman penjara 12 tahun, tampaknya sudah dijadikan isu politik. Subjek itu kini menjadi polemik awam pula geger di medsos. Hal ini sangat tidak wajar kerana soal memberi pengampunan adalah hak mutlak Yang di-Pertuan Agong dan para jemaahnya.

Seharusnya soal pengampunan buat Najib itu dihadapi secara peribadi olehnya tanpa ada campur tangan dan usaha oleh pihak lain, apa lagi politik, partinya (Umno).

Mengikut peruntukan perlembagaan dan undang-undang hak untuk mendapat pengampunan ia adalah hak mutlak seseorang banduan, Najib secara peribadi. Hanya beliau boleh mengemukakan permohonan. Atau hanya waris dan keluarga terdekat beliau sahaja berhak  membuat permohonan mendapatkan pengampunan bagi pihaknya. Mana-mana pihak tidak ada locus standi untuk melakukannya.

Apabila Umno meminta atau mendesak agar bekas presidennya diberi pengampunan ia sudah mencerobohi keluhuran perlembagaan. Tidak sepatutnya Umno mencampuri urusan itu kerana ia boleh memberi implikasi lain termasuk kepada kerajaan yang kini didokong Umno. 

Benar juga tanggapan oleh Mahiaddin Yassin ketika mengulas desakan Umno itu katanya parti itu cuba menggunakan elemen politik untuk membebaskan Najib. Dalam erti kata lain Umno guna politik desak agar diberi pengampunan buat Najib.

Kita tahu semua orang Umno sayang dan kasih kepada Najib, kerana bekas PM itu banyak jasanya kepada parti dan negara. Tetapi kasih dan sayang itu tidak boleh mengatasi kuasa perlembagaan dan mempengaruhi jemaah pengampunan. Jemaah pengampunan itu sendiri terikat dengan terma-terma tertentu dan harus berada dalam jaminan keadilan dan kesaksamaan nan murni.

Apa kata masyarakat dan dunia sekiranya tiba-tiba Najib diberi pengampunan dalam tempoh tidak sampai 1/3 beliau menjalani hukuman penjara? Apakah banduan lain khasnya yang telah menjalani hukum bertahun-tahun atas kesalahan lebih ringan daripada Najib tidak berhak untuk mendapat pengampunan sama. Kecualilah Najib memiliki banyak keistimewaan yang boleh dipertimbangkan.

Sesuatu yang kurang senang terdengar disebalik permintaan Umno agar Najib diberi pengampunan kononnya ada terselit motif poitik di situ? Sama ada benar atau tidak, tetapi desas desus ini ada asas dan logiknya. Ada kemungkinan atas sifat politik itu penuh dengan serba mungkin. 

Umno dikatakan sengaja melontarkan isu pengampunan untuk Najib bagi menguji sejauh mana Anwar Ibrahim bersimpati dan sedia membalas budi Umno (BN) yang sanggup untuk berkolaborasi dengan PH bagi membentuk kerajaan dan membolehkan Anwar jadi PM? Kononnya Umno minta Anwar membalas budi dengan berusaha membebaskan Najib. Dikatakan sekiranya Anwar tidak berusaha untuk membebaskan Najib, Umno akan menarik sokongan terhadap kerajaan?

Inilah naratif yang dijaja oleh anasir perosak negara untuk melihat sekali lagi kerajaan tumbang.

Perlu diketahui Anwar selaku perdana menteri adalah salah seorang anggota jemaah pengampunan bersama beberapa yang lain termasuk Peguam Negara dan Ketua Hakim. 

Pun begitu kita mengharap perkara ini tidak benar dan ia sebuah tanggapan yang sengaja disebarkan oleh pihak-pihak tertentu sahaja bertujuan untuk melaga-laga Umno dengan PH khasnya Anwar. Kita tidak fikir kalau apa yang disebar itu satu kebenaran kerana dangkal dan murah sangatlah politik orang Umno. 

Seperti dikatakan tadi sayang dan kasih kepada Najib itu tidak akan dapat mengatasi tanggungjawab Umno dalam membentuk kerajaan Perpaduan bersama PH yang dilihat lebih global daripada usaha mendapatkan pengampunan buat Najib. Umno dan semua pihak perlu meletakkan keutamaan bangsa dan negara daripada keutamaan lain. Jangan sesekali cuba bermain layang-layang di lembah angin ribut. [wm.kl.8:59 am 14/04/2023]


No comments: