Wednesday, June 28, 2023

Jangan biarkan Muda pergi

PANDANGAN

APABILA Syed Saddiq Abdul Rahman membawa partinya Muda untuk bertanding secara solo dalam pilihan raya dienam buah negeri, ramai beranggapan tindakan parti budak-budak itu sebagai tindakan kebudak-budakan. Tindakan itu disifatkan sebagai rajuk seorang budak yang tidak perlu dilayani. Memang budak suka merajuk dan suka juga dibelai.

Apapun tindakan Syed Saddiq itu mendapat perhatian penasihat DAP Lim Kit Siang yang melihat tindakan itu tergesa-gesa lantas meminta Syed Saddiq memikirkan semula. Menurut Lim, Muda patut berada dalam kerajaan bagi menjamin parti kemenangan. Nampaknya Kit Siang reti dan nampak akan peranan sedikit aset yang ada kepada Muda. 

Pemimpin-pemimpin lain tidak mempedulikan tindakan berupa ancaman Syed Saddiq itu, malahan seperti merelakannya. Seorang pun, kecuali Kit Siang bersimpati dengan Muda. Sikap itu menunjukan mereka berasakan Muda tidak membawa apa-apa keuntungan. Disinilah tingginya diplomatik Lim Kit Siang. 

Keputusan kolektif.

Apa yang boleh difahami tindakan Muda itu bukan atas kehendak peribadi Syed Saddiq, tetapi ia adalah keputusan kolektif parti berkenaan. Buktinya tidak ada mana-mana pimpinan dalam Muda membantah atau boikot tindakan Syed Saddiq berhubung tindakan itu. 

Ramai keliru dan tidak faham kenapa Muda mengambil tindakan itu. Ia mungkin agak pelik sedikit kerana selama ini mereka bersama dalam kerajaan Perpaduan, tetapi tiba-tiba sanggup mengasingkan diri saat mahu turun ke medan perang. Langkah itu suatu perbuatan yang tidak bijaksana dan kontras dengan apa yang berlaku. Muda menyerlahkan sifat chaildish. 

Memang pun tindakan Muda itu tidak ke mana. Pengaruhnya dari kalangan rakyat negara ini termasuk anak-anak muda tidak seberapa. Ia hanya parti bilis yang sifatnya persis melukut di hujung gantang sahaja.

Namun dalam politik suasana itu tidak boleh dipandang remeh. Kehadiran sesebuah parti yang dianggap penganggu perlu diatasi. Dalam politik demokrasi satu undi dikira penting dan berguna. Jumlah majorirti yang banyak itu disebabkan kerana himpunan undi yang satu. Hakikat ini perlu disedari.  

Kalau benar Muda tegas dengan tindakan itu, sedikit sebanyak yang terkesan nanti ialah undi PH dan juga BN. Yang untung PN. Apa lagi kalau undi itu nanti bersifat undi menganggu sokongan ia sesuatu yang malang. Hal-hal dianggap kecil dan remeh begini perlu diberi penilaian oleh PH dan BN bagi memastikan mereka mendapat undi padu bagi mempertahankan kerajaan serta merampas tiga buah negeri. Perkara paling penting jangan pula sampai Muda mengumumkan mereka bersama Perikatan Nasional (PN).

Apa-apa permasalahan dihadapi Muda sehingga mereka membawa diri perlu dilayan atau diberi perhatian. Jangan disebabkan sudah cukup nombor dan mewah sokongan, mereka dibiarkan begitu sahaja. Sekecil mana peranan Muda dan sumbangan undinya sangat penting bagi PH dan BN. Setidak-tidaknya dengan Muda kekal berada bersama kerajaan Perpaduan, ia memperlihatkan kemantapan kerajaan. 

Lantaran tidak diketahui sebab musabab kenapa Syed Saddiq berbuat demikian maka ada yang menganggap tindakan itu sebagai sia-sia dan tidak membawa keuntungan kepada Muda untuk masa depan. Bahkan ada meramalkan parti itu akan berkubur selepas ini seperti Pejuang. Untuk menjustifikasilan tindakan itu ada juga yang mengatakan apa yang Syed Saddiq lakukan itu kerana melaksanakan agenda atuknya, Mahathir Mohamad. 

Di sini saya tidak ingin mengulas akan sebab musabab dan membuat ramalan terhadap masa depan Muda. Sambil mengekalkan pendangan saya, tindakan itu tidak profesional dan bijak, saya ingin mengupas dan mencari punca kenapa Muda berlaku demikian berpandukan kepada apa yang dinyatakan Syed Saddiq seperti mana dilaporkan. 

Dalam satu laporan memetik kenyataan dibuat oleh presidennya Syed Saddiq, Muda beliau mengambil tindakan itu kerana kesal atas layanan parti memerintah terhadapnya, PH dan BN termasuk pengerusi kerajaan Perpaduan Anwar Ibrahim. 

Tidak layan surat.

Tiga pucuk surat kepada Pengerusi kerajaan Perpaduan, Anwar Ibrahim tidak dilayan. Bahkan dakwnyanya juga Setiausaha Agung PH Saifuddin Nasution telah mengabaikan surat berkenaan yang meminta untuk mengadakan mesyuarat ringkas dengan memperlekehkan niat Muda itu mengtatakan beliau tidak ada masa untuk membaca surat dikirimkan. 

Memahami apa disuarakan Syed Saddiq itu adalah wajar kalau beliau dan rakan-rakan berasa hati dengan pihak kerajaan dan lantas membuat tindakan itu. Soal sifat budak yng suka merajuk dan merenget memang tidak dinafikan, tetapi suasana yang berlaku menyebabkan pantas kalau mereka mengambil sikap demikian. 

Berselfie apakah termasuk dalam
kesibukan seorang PM?
Berkenaan dengan sikap diambil oleh Anwar dan Saifuddn itu tidaklah kita hendak mengatakan iya atau tidak. Tetapi dengan menerima pelbagai aduan dan cakap-cakap umum mengenai kepimpinan Anwar ia tidak mustahil. 

Anwar sebagai seorang perdana menteri sekarang ini sangat-sangat dan sangat sibuk. Tetapi kesibukan itu tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak melayan permintaan seperti oleh Syed Saddiq itu. 

Kalau Anwar kebetulan benar-benar sibuk, tetapi para pegawainya baik di PMO dan ibu pejabat parti
atau pegawai Sekretariat Kerajaan Perpaduan hendaklah mengambil tanggngjawab, mewakili Anwar. Jawaban yang didakwa diucapkan oleh Siafuddin itu "saya tidak ada masa untuk baca surat" perlu dielakkan dan diberi konotasi lebih manis kalau pun menyampah dengan Syed Saddiq.

Dan mengenai kesibulan ini tidak boleh dinafikan. Kesibukan Anwar sebagai seorang perdana menteri sangat-sangat sibuk. Lantaran kesibukan itu beliau bukan saja tidak sempat untuk berjumpa dengan Syed Saddiq seorang presiden parti bebudak, tetapi untuk bertemu dengan rakan-rakan baiknya yang selama ini mendokngnnya juga tidak dapat dipenuhi kesemuanya. Berbanding dengan rakan mereka sejak era Refomrasi dengan Syed Sadddiq, siapalah Syed Saddiq kepada Anwar.

Bukan sahaja untuk bertemu, menerima kunjungan untuk ucapan selamat dan tahniah daripada rakan-rakannya pun tidak sempat dan diberi peluang. Sesetengahnya surat yang dikirimkan kepadanya juga tidak dibalas. Bukan sahaja surat melalui email dan diposkan secara rasmi, tetapi yang disampaikan secara manual (tangan) juga tidak dibalas. 

Sibuk yang maha sibuk.

Sebenarnya naik risau kita apabila mendapat pelbagai cerita dan aduan mengenai kesibukan maha luar biasa dialami Anwar kini. Timbul juga pertanyaan kepada saya, apakah benar beliau mememang sibuk sibuk maha sibuk atau pun enggan berjumpa atas sebab-sebab tertentu? Setidak-tidaknya saya ada simpan cerita dua tiga pengirim surat (rakannya) kepada Anwar tetapi tidak dijawab. 

Sebagai seorang pendokong dan pendamba Anwar menjadi PM saya berharap keadaan yang berlaku ini tidak berterusan. Saya tidak mahu lagi dengar cerita-cerita negatif di keliling perdana menteri ke-10 itu. Beliau perlu segera menoktahkan apa-apa cerita tidak manis mengenainya yang bertebaran kini. Menoktahkan perkara ini lebih utama daripada menoktahkan kemiskinan. Saya sudah pun menoktahkan penantian untuk melihatnya jadi PM. 

Dalam pada itu mereka bertanggungjawab kepadanya, baik para pegawai di PMO, dalam parti dan rakan-rakan baiknya yang memahami hati dan jiwa hamba seorang Anwar hendaknya bertindak menjadi pembela dan menjelaskan "misperception" ini untuk tidak menjadikan perdana menteri itu buruk dan hampak. 

Dalam kes Syed Saddiq dan Muda ini diharap Anwar akan memberi masa, curilah masa emasnya yang sangat penting ketika ini untuk berjumpa dan berintrasi dengan Syed Saddiq. Kalau perlu batalkan lawatan ke Amerika kerana ingin berjumpa dengan Syed Saddiq, lakukan. Mudah-muda rancangan Muda untuk bertanding solo itu termasuh. [wm.kl. 12:00 pm 28/06/23]

No comments: