BELASUNGKAWA
Pertemuan terakhir di Pak Punjab 19 Jun 2023. |
Apa yang boleh dilakukan memantau sambil berdoa dari jauh. Aku kehabisan bahasa merayu dan berdoa kepada Ilahi meminta agar menyelamatkan nyawamu. Mengizinkan kau terus bersama kami. Kami belum puas bersamamu Din. Namun Dia lebih mengetahui dan mensejahterakanmu di barzakh.
Anwar berdoa untuk kedamaian roh Salahuddin. |
Saksi sahaja pada hari pengembumianmu. Masjid Jamek Noh Gadok di Tanjung Piai penuh sesak melimpah ruah sampai solat jenazahmu terpaksa diadakan lima kali. Kali pertama diimani oleh kawan kita Dr Mujahid Yusuf, kemudian diimani anakandamu Iskadar Zulkarnain dan akhirnya diimani sendiri oleh perdana menteri Anwar Ibrahim.
Kau sangat beruntung Din. Jarang insan mendapat keistimewaan seperti
itu hatta penjawat jawatan besar sekalipun. Semua itu rezekimu yang sudah pasti
akan dicemburui dan menjadi sebutan.
Banyak kisah kita berdua.
Sebenarnya banyak kisah dan peristiwa sepanjang tempoh
persahabatan kita untuk kucatat bagi dikenang di sini. Akan kucuba
mengutipknya satu persatu dalam sebak kian merebak ini setakat terdaya. Ada
kisah yang mengilankan, menyentuh perasaan, ada kalanya menyerabutkan kita
juga. Tetapi semua yang berlaku sepanjang persahabatan kita, kau tidak pernah
sekalipun mengambil hati dan ada kalanya melayani kerenahku yang berlebihan
penuh sabar dan prihatin. Kau seorang yang sangat sabar Din dan tidak tahu
marah.
Atas sifat itulah menyebab aku senang mendekatimu. Peluang
dan bakat yang Tuhan anugerahkan kepadaku sebagai penulis atau "tukang karang" memberi kesempatan untuk aku mengarangkan perihal politik kau, melaporan
kegiatan-kegiatan politik kau dalam akhbar milikiku sendiri, Siasah atau dalam
buku-bukuku. Akhbar mainstream sukar untuk memberi ruang untukmu, maka akhbarku
dan akhbar nyamuk lainlah menyediakan ruang kepadamu.
Orang hadir untuk beri penghormatan terakhir di luar masjid. |
Banyak laporan, berita dan juga ulasan kau kukeluarkan dalam
media dibawah kendalianku sampai ada rakan politis lain cemburu dan menuduh kau
mengupahku. Berapa nilai upahanmu, Din? Paling menyenangkan aku apabila kau juga
tidak segan untuk bertanya dan meminta apa-apa pandangan politik daripadaku dan secara jujur kuberikan pendapat. Kau akan telefonpun tanpa mngira waktu dan aku melayan dengan bangganya.
Suatu hari hari ketika kau memegang jawatan ketua pemuda kau meminta pandanganku macam mana untuk untuk menjadikan Dewan Pemuda Pas sebagai penggerak utama parti serta membela nasib anggota Pemuda. Aku memberi pendapat sebagai ketua kau perlu memikirkan bagi mewujudkan suatu mekanisme baru.
Anakanda Salahuddin, Iskandar Zulkarainan mengimani jenazah ayahnya. |
Kau terdiam dengan cadangan itu, sambil mendesahkan keluh ia sesuatu yang tidak mudah atau tidak praktikal.. ujar kau. Aku berhujah dengan mu kalau pemuda disuruh untuk berdemo sedangkan nasib mereka tidak terbela tidak ada guna. Kau terus bungkam tanpa mengatakan setuju atau tidak.
Kenangan kita yang lain Din yang tidak dapat kulupakan ialah apabila kau dihantar pulang ke Johor selepas berkhidmat sebagai ahli Parlimen Kubang Kerian, Kelantan selama sepenggal 1999 - 2004. Betapa pengiriman balik kau ke negeri asalmu itu dilakukan sendiri oleh Allahyarham Tokguru Nik Abdul Aziz Nik. Tokguru mengiringimu balik ke Johor untuk membangunkan Pas Johor.Satu himpunan besar-besaran di Kempas sebagai menyambut
kepulanganmu. Ribuan rakyat Johor memenuhi kawasan lapang di kawasan perumahan
Kempas itu. Rakyat Johor menyambut kepulanganmu seperti perantau yang pulang setelah
lama meninggalkan negeri. Semangat para ahli dan penyokong Pas Johor
berkobar-kobar dengan kepulangan itu. Mereka
mengira kau membawa pulang satu semangat baru buat mereka.
Aminah, bunda Salahuddin terpaku di hadapan jenazah anaknya. |
Malangnya dalam percubaan pertama kau bertanding dikerusi parlimen Pulai dan Dun Nusajaya (Kota Iskandar) kau tewas. Namun kekalahan itu tidak melemahkan semangat kau, bahkan menjadi azimat untuk terus bangkit.
Kau
sedikit pun tidak kecewa dengan kekalahan itu. Dengan kerja dan usaha gigih, bersungguh
akhirnya benih yang ditanamkan tumbuh. Impian menjadi kenyataan apabila dalam
pilihan raya berikutnya (2018) kau menang dikedua-dua kerusi Parlimen Pulai dan Dun Simpang
Jeram. Kemenangan berganda kau raihkan itu memberi suntikan semangat dan menyemarakkan obor
perjuangan Pas Johor khasnya dan Pas Malaysia amnya.
Pergeseran dalam Pas menyebabkan kau bersama 17 pimpinan Pas ditendang keluar sedikit megencatkan semangat kau. Kau tidak bersama Pas kerana bersetiakawan dengan yang lain. Kau boleh terus bersama Pas, Pas masih memerlukan kau dan kau tidak ada dosa seperti mereka lain. Namun kerana setia kawan kau ikut sama bersama Amanah.
Tubuh Amanah.
Kau dan bersama yang lain
menubuhkan Parti Amanah Negara (Amanah) sebagai wadah baru. Walaupun usia
Amanah setahun jagung, tetapi kau berjaya mengekalkan kerusi itu. Paling
bermakna lagi dalam pilihan raya umum ke-15 (2022) kau sekali lagi menang mengekalkan
kedua kerusi itu, parlimen Pulai dan Dun Simpang Jeram. Kemenangan itu
menunjukkan kau diterima dan disenangi rakyat, Din serta mengesahkan kau
seorang wira yang ampuh.
Tidak terlampau kalau kukatakan kau adalah bapak pemodenan
Pas Johor, perjuang Islam di Johor Darul Takzim.
Kenangan lain denganmu yang boleh kukongsikan di sini Din ialah
bagaimana kau diberi kepercayaan oleh parti (Pas) untuk mendamaikan krisis
politik Pas Kedah yang berlaku antara MB Kedah Azizan Abdul Razak dengan Phahkrolrazai Zawawi.
Atas kapalsiti kau sebagai salah seorang Naib Presiden Pas ketika itu kau diberi
tanggungjawab menjadi pendamai dan menyelesaikan krisis Kedah itu. Tugas itu
amat berat kerana jika krisis itu gagal diselesaikan boleh menyebabkan
kerajaan Pas Kedah tumbang.
Apa yang berlaku dengan misi pendamaian itu, kedua mereka Azizan dan Phahkrorazai mulanya enggan berganjak dan tegas dengan keputusan msing-masing. Phahkrorazai dan beberapa Exco telah menghantar surat peletakan jawatan. Namun atas bijaksana dan daya diplomasi kau, Din akhirnya mereka tidak jadi meletak jawatan dan kembali menyokong Azizan dan kerajaan Pas Kedah selamat. Yang sedikit lucunya dalam proses itu, kau yang sedih dan menangis bukan Azizan dan Phahkrolrazai. Itulah berkat kelembutan dan kesabaran kau Din dapat menyelamatkan sebuah kerajaan. Berapa orang mengenang jasa kau itu?
Selain itu satu peristiwa yang tidak dapat kulupakan dimana
kurasa sedikit bersalah kepada kau, Din ialah mengenai pelantikan sahabat kita Husam
Musa sebagai pengerusi Kada. Pelantikan Husam agak lewat kerana kau
berhati-hati dan seolah kurang mengerti delegation of power oleh Mahathir
kepada kau selaku Menteri Industri dan Asas Tani tidak dapat dilakukan. Tiga kali aku
mendesak dan meminta kau segerakan mengeluarkan surat perlantikan Husam sehingga kau kelihatan resah dengan aku.
Aku tahu kau perlu berhati-hati kerana sebagai anggota
kabinet baru pertama kali, banyak yang kau kurang faham dan perlu dipelajari. Kau
tidak mahu SOP dan etika seorang anggota kabinet dan berbuat salah pada pandangan Mahathir. Paling
kuhormat Din kau berjanji apapun akan berlaku kau akan pastikan Husam akan
dilantik menjadi Pengerusi Kada atas prinsip persahabatan dan kebetulan kebolehan yang ada pada beliau.
Pada hari dimana proses perlantikan itu selesai, kau menelefonku
untuk berjumpa di restoran Pakistan Pak Punjab. Di situ kau memberi tahu pelantikan Husam sudah
selesai. Kau telah jumpa PM dan Mahathir merestui pelantikan Husam. Penyelesaian
pelantikan Husam itu, kau sangat berpuas hati dan aku sendiri tumpang gembira
sehingga memberaikan airmata.
Aku sebagai kawan di tengah antara kau dan Husam berterima kasih
bagi pihak Husam kepadamu kerana melantik Husam. Dan aku pula meminta Husam
menghormati dan berterima kasih kepadamu atas pelantikan itu. Upacara itu aku
lihat betapa murni dan sucinya persahabatan kau dengan Husam menyebabkan aku
sebak mengenangnya.
Rasanya cukup setakat ini kukutip beberapa kenangan kita sepanjang
hampir 40 tahun bersahabat. Cuma aku ingin melakarkan detik terakhir kita
bertemu di sebuah Mall ketika kau melakukan lawatan kerja meninjau harga barang.
Kau beriya minta aku turun bersama ke program itu. Dua kali kau bertanyakan aku
dan jika ok, beri tahu kata kau. Sebenarnya aku ada urusan lain pada pagi itu, tetapi mengenangkan
kau seperti beriya-iya ingin berjumpa aku tinggal urusan lain semata-mata untuk
bersamamu.
Hari itu (11 Julai 2023) aku lihat ramai jurugambar dan pemberita mengerumunimu hari itu. Ia satu kepelikan pula, masakan sekadar untuk tinjau harga barangan begitu rampai para pelapor. “Din kau berjaya dan jadi menteri popular Din, ramai yang membuat liputan,” kata aku.
“Mereka nak tahu kedudukan harga
barang, Ti...banyak yang provokasi mengenai harga barang,” demikan kau jawab.
Tetapi bagi ku, keadaan pelapor itu menunjukkan kehebatan seorang menteri,
kerana pelapor (wartawan) tidak geram untuk membuat liputan kalau menteri yang
tidak popular.
Selepas kau selesai menjalani tugas, kau ajak aku dan
beberapa rakan lain termasuk Dr Mariah Mahmud ke sebuah cafe untuk menghilangkan haus. Sebelum beredar kau sempat bertanya mengenai majlis kenduri meraikan
perkahwinan anakku 5 Ogos. “Ti rumah anta kendurui bila, 5 ke 6...?”
“5 Ogos, Sabtu Din", jawabku ringkas.
“Ana akan hadir sekiranya ana ada di sini (Kuala Lumpur). Dua kali kau menegaskan akan hadir bersyarat “sekiranya” ada di Kuala Lumpur. Aku tidak mengerti maksud tersirat melalui perkataan "sekiranya" ada di sini. Aku tidak bertanya ke mana kau berada pada tarikh tersebut. Dan aku tidak terfikir kau akan berada jauh dari majlis itu (5 Ogos), kerana kau sangat prihatin dan kau tidak pernah gagal hadir pada setiap kali “padahan” ke kenduri di rumahku, aku percaya kau akan hadir.
Kebenakan itu menjadikan aku tidak mengerti. Rupa-rupanya
pada tanggal itu (5 Ogos), kau tidak akan hadir kerana kau tiada di Kuala Lumpur dan meninggalkan aku lebih awal 23 Julai untuk kembali ke Rahmatullah. Tak
mengapa Din, aku telah pun mengundangmu, dan kau sudah janji bersyarat untuk
hadir. Demi Tuhan sesungguhanya aku sudah berpuas hati sepanjang bersahabat
denganmu.
Dan kau pun tahu yang aku tidak sempat untuk menjengukmu di hospital seperti kau menjengukku di IJN tempoh hari sewaktu aku menjalani pembedahan jantung. Aku juga tidak dapat menjengukmu di kampung halaman seperti kau melawatku dirumah. Aku masih berhutang denganmu Din kerana tidak sempat menjengukmu di hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar. Namun aku ke kampungmu untuk menatap wajahmu buat terakhir kali dan menyembahyangkan jenazahmu bersama ribuan orang dan para sahabat kita Roozali Yusof, Mohd Fakrurazi Ahmad Mokhtar dan Zulaimi Kazen dan lain-lain. Maafkan aku, Din. [pv10dk. jam 4:45 26/07/23]
No comments:
Post a Comment