Wednesday, August 2, 2023

Kedudukan pilihan raya enam negeri status quo

ANALISA AWAL

Perang bendera di persimpangan
Jalan AU - Taman Permata.
PERJALANAN pilihan raya dienam buah negeri ketika ini kian rancak sudah memasuki hari ke lima. Keadaanya juga semakin panas, suhu meningkat setiap jam. Parti-parti politik mempertingkat kempen masing-masing. Kemeriahan juga kian terasa apabila poster calon, baner, risalah kempen sudah dipasang atau diedarkan diserata tempat kawasan pilihan raya.

Sepanjang jalan dalam sesuatu bahagian kawasan pilihan raya sudah dipenuhi dengan pemasangan poster, signboard pelbagai bentuk. Keadaan ini akan jadi bertambah rancak lagi apabila masuk ke minggu kedua sehingga hari mengundi 12 Ogos kelak. Di simpang-simpang jalan perang poster calon sudah kelihatan.

Ceramah juga diadakan oleh kedua-dua pihak terutamanya PH-BN dan PN. Kebanyakan ceramah dibuat secara kecil-kecilan diada dipos-pos parti atau pun secara berkelompok. Para calon sudah mula kesuntukan masa untuk menemui pengundi seberapa ramai yang boleh. Dua minggu sebenarnya tidak mencukupi untuk mereka menyatuni pengundi terutamanya dalam kawasan mengandungi lebih 50,000 pengundi.  

Mengenai pilihan raya enam buah negeri ini pengamat atau penganalisa politik mempunyai pandangan yang berbeza mengikut kecenderungan sokongan masing-masing. Namun bagi yang nuteral berpendapat atau merasakan pilihan raya itu akan memberi keputusan mengekalkan apa yang ada kini, status quo. dimana negeri-negeri Terengganu, Kelantan dan Kedah akan dimenangi oleh PN dengan penuh bergaya?

Poster calon PH Juwairiya bagi Dun 
Hulu Kelang.
Manakala negeri Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan menjadi milik PH-BN walaupun ia digugat PN sampai ke saat-saat akhir dan cuba menunjukkan yakin dapat menguasi negeri-negeri itu.

Kalau pun PN menghadapi sedikit masalah ialah di Kedah apabila PH-BN memberi fokus istimewa di
negeri Jelapang Padi itu. PH -BN bekerja keras untuk merampas negeri berkenaan. Kejayaan merampas Kedah sangat bererti buat PH-BN, yang menampakkan negeri itu cuba dijurang-jauhkan dengan kerajaan Persekutuan tidak seperti Kelantan dan Terengganu.

Tetapi keadaan itu tidak membimbangkan, kerana jika diperhatikan kepada populariti Menteri Besarnya Sanusi Md Noor yang dianggap sebagai kepala perang begitu menyerlah khasnya dari kalangan rakyat Kedah. Popularitinya dekat-dekat sama dengan populariti perdana menteri, Anwar Ibrahim.

Anak muda terutamanya nampaknya seronok dengan cara MB itu berpolitik seperti mana para siswa seronok apabila bertemu Anwar. Walaupun isi ceramahnya dangkal, kurang bernilai penuh jenaka, tetapi gaya humornya menyebabkan dia dihurungi. Cara Sanusi membuat jenaka dengan memaki hamun dan memberi anologi menyindir individu tertentu menarik minat dan mengasyikkan pendengar. Menyerang batang tubuh Perdana Menteri adalah aset besar untuk beliau meraih populariti.

Bagi pengundi muda mereka, tidak mentingkan soal idealisme dan gagasan munasabah dalam politik, yang penting mereka terhibur dan seronok. Mereka dapat bertepuk tangan tanpa mengetahui apa-apa. Bagi mereka politik sebahagian dari hiburan yang dibuntuhkan oleh nafsu. Bagi mereka siapa dapat mengembirakan mereka, itulah mereka sokong dan undi itulah pemimpin mereka.

Kempen ala-ala jual ubat oleh Sanusi menarik perhatian. Beliau tidak perlu fikirkan apakah cara sebegitu seperti penjual ubat kurap, gatal atau panau penuh dengan muslihat dan kelentong, yang penting ada pendengar dan percaya kepada celotehnya. Sanusi dalam hal ini bijak menyihirkan pemerhatian anak-anak muda agar menyokong kumpulannya.  

Untuk di Kedah tampaknya PH dan BN masih menggaru-garukan kepala dan tidak ketemui punca untuk hadapi Sanusi. Saifuddin Nasution Ismail yang menjadi kepala perang sebelah PH-BN terpaksa menghabiskan banyak masa memikirkan politik Kedah daripada menjaga kementeriannya. Beliau kini benar-benar berkubu di Kedah. Saifuddin memerah otak untuk melawan kelentung dan menggunakan semua agensi dibawah kementeriannya untuk melumpuhkan Sanusi. 

Dengan apa yang dilihat hari ini berpandukan kepada akses dan apa dipamerkan dalam medsos khasnya Tiktok, PN ke hadapan berbanding dengan PH - BN. Fby Tiktok Sanusi berbanding dengan pemimpin PH-BN lain dalam nisbah 7 : 3. Adakalanya Fby Tiktok beliau mengatasi fby Tiktok Anwar Ibrahim.

Walaupun Sanusi cuba diberi gambaran sebagai MB “tolol” dan “badut” namun dia disenangi dan diyakini hujah yang disampaikannya walaupun bercanggah dan lebong kosong.

Melainkan Sanusi atau mana-mana pemimpin dan penjawat awam dalam kerajaan Kedah diheret ke mahkamah dalam kadar segera atas tuduhan penyelewengan dan jenayah, mungkin ia boleh menggugatkan sokongan kepada PN. Tetapi kalau setakat dakwa dan dakwi semata-mata ia tidak dapat menyakinkan pengundi khasnya pengundi muda terutama yang kurang berpendidikan bagi menolak PN. Bersambung. [pv10.dk. 10:34 02/08/23]

No comments: