SUSUPAN PAGI
PERIHAL dan bicara mengenai pilihan raya (Pirane) di lima buah negeri masih lagi dalam perbincangan dan terus menjadi polemik. Baik pihak yang menang apa lagi yang kalah terus memperdebatkannya. Ulasan ringkas saya mengenai pilhan raya berkenaan dalam tiga siri sebelum ini ikut menjadi ulasan balas serta mengundangkan beberapa maklumat tambahan bagi menyempurnakan ulasan berkenaan.Biarpun hadir banyak lagi pandangan tambahan dan analisa, ia tidak akan sempurna kerana pandangan dan dapatan tentang keputusan dan senario pilihan raya dilima negeri itu bersifat subjektif. Ia dilihat dari berbagai dimensi mengikut persepktif dan kecenderungan politik masing-masing. Bahwa tidak ada kesimpulan yang benar-benar jitu mengenainya.
Lain padang lain belalang, lain orang lain pandangan dan ulasannnya; apa lagi ia cenderung kepada sesuatu pihak, sedaya upaya kita akan mempertahankan puak yang kita suka. Justeru kita (saya) menerima apa sahaja pandangan tambahan terhadap ulasan ringkas saya itu sebagai melengkapkannya.
Berbual dengan kawan.
Dua hari lepas seorang bekas Yang Berhormat yang pernah menjadi Exco juga pimpinan sebuah parti komponen PH datang mengajak saya mengopi, sambil berbual dan memperkatakan tentang pilihan raya berkenaan khasnya di negerinya di Kedah. Beliau telah menyemak ulasan ringkas saya tempoh hari. Menurutnya ada pandangan lain tentang perkembangan politik Kedah mengapa sebab musabab PH dan BN kalah teruk.
Tanpa menolak terus pandangan saya, yang berpendapat kekalahan PH-BN itu disebabkan sikap pengundi Kedah yang childish khasnya pengundi muda, dan sikap semulajadi politik orang Kedah yang suka "kelolok", (baca juga ekstream) maka kemunculan Panglima Perangnya bernama Sanusi Md. Noor menyeronokkan mereka yang diterima sebagai jelmaan Merong Mahawangsa baru di Kedah.
Gaya dan karektor showmanship politik Sanusi yang bersahaja menyebabkan dia disukai rakyat Kedah melebihi minat kepada Anwar Ibrahim. Intekeltual politik tidak menjadi taruhan rakyat Kedah? Rakyat Kedah menganggap Sanusi sebagai hero mereka yang perlu dijulang setingga gunung Jerai. Saifuddin Nasution Ismail yang cuba menjadi lebih cerdik daripada Sanusi diketawakan begitu sahaja sampai digelar sebagai kerbou.
Mungkin kehebatan Sanusi sama hebat dengan Tunku Abdul Rahman Putera al Haj tetapi dikesali rakyatnya. Seorang warga Kedah yang merupakan seorang pensyarah ketika "bejeropak" dengan saya berkata dia tidak mahu mengaku dia orang Kedah mengenangkan keputusan pilihan raya lalu. Dia malu dengan apa berlaku di Kedah di sebuah negeri yang kaya dengan negawaran tetapi boleh jadi demikian. Baginya apa yang dibuat (keputusan) oleh rakyat Kedah itu memenangkan parti orang seperti Sanusi sebagai ketuanya sesuatu memalukan dan dangkal. Pandangan itu juga subjektif dalam berpolitik.
Berbalik kepada kawan saya tadi, sang Exco menolak pendapat saya yang juga pendapat umum mengenai fenomena yang memenangkan PN dan mengalahkan PH di negeri Jelapang Padi itu. Dalam pilihan raya lalu PN menguasai 33 kerusi daripada 36 kerusi. Ia menempati ramalan awal Sanusi Md Noor yang juga selaku pengarah pilihan raya PN tentang perestasi PN di Kedah. Saya yakin kemenagan luar biasa itu membebalak mata Sanusi.
Beliau lantas memberi huraian mengikut kaji selidik yang dibuat dan diperolehinya serta berpandukan kepada pengalamannya sebagai penggerak parti selama lebih 50 tahun. Beliau merupakan salah seorang perancang (master mind) parti gemula Chek untuk merampas Kedah dari Umno sebelum ini dan berjaya.
Sebagai seorang yang cukup matang dan lama dalam politik, pendapatnya boleh dianggap bertanggungjawan dan berasas. Beliau tidak meletakkan kekalahan teruk PH-BN itu disebabkan kehebatan PN atau Pas. Tetapi ia adalah disumbangkan oleh kelemahan daripada PN dan BN sendiri yang sangat ketara.
Bagi saya pendapat dan ulasan beliau itu berterus terang dan ikhlas. Beliau tidak menyalahkan kepada musuh, tetapi menyalahkan kepada kelemahan sendiri PH dan BN. Cara sebegini lebih baik daripada bersikap menunding jari kepada lawan dan tidak mahu mengaku kelemahan sendiri. Tidak hipokrit.
Ada beberapa faktor yang disebut sebagai fenomena menyebabkan PH dan BN kalah dan memberi kemenangan kepada PN khasnya Pas. Pertamanya dinilai prestasi parti. Dari segi prestasi parti menurutnya era ini adalah era kedudukan Pas yang terbaik. Kemenangan di Kedah itu dan juga di Terengganu yang menyapu bersih 28 kosong adalah kemuncak. Begitu juga apa dicapai di Kelantan. Kemenangan diperolehi Pas itu adalah hasil usaha gigih berterus oleh pendokong dan para mujahid Pas. Katanya memang Pas dan PN berhak memenangi pilihan raya tempoh hari. Usah cemburu dan kesal.
Beliau suatu masa dahulu adalah seorang mujahid Pas yang bertanggungjawab menyusun kemaskan organisasi Pas, mendidik kader-kader Pas dengan menyusupkan penyokong Pas dalam semua agensi dan jabatan kerajaan. Mereka itulah hari ini menjadi penyambung dan pemudahurus hubungan Pas dengan pihak kerajaan. Sebab itu Pas dan PN senang untuk detect sesuatu dalam kerajaan. Al hasilnya dalam pilihan raya lalu 80 peratus pengundi awal terdiri daripada kakitangan kerajaan, polis, tentera, kakitangan SPR menyokong PN. Dari satu sisi pencapaian Pas itu turut dibanggai olehnya.
Justeru katanya kejayaan diraih Pas (PN) itu jangan dicemburui kerana ia adalah hasil kerja gihih dan berterusan mereka selama lebih 60 tahun. Itulah senario yang berlaku dan yang ada pada pilihan raya di enam buah negeri lalu.
Adapun kekalahan PH dan BN itu adalah kelemahan sendiri. Ada beberapa segmen menunjukkan PH dan BN dalam keadaan cukup lemah. Salah satu ialah oraganisasi PH dan BN itu tidak disusun dengan kemas ia merupakan sebuah organisasi atau persepakatan politik yang "loose". Sebagai contohnya parti Keadilan sendiri dalam keadaan tidak berstukrur yang mampan. Tidak seperti Pas yang mana lengkap jentaranya dari atas hingga ke bawah.
Dari peringkat kawasan sehingga ke cawangan Pas mengatur jentera pilihan raya sejak awal-awal lagi malahan bertahun. Semuanya lengkap dan mantap. Sebab itu kempen Pas dan PN nampak meriah dan pernuh bersemangat. Ini berbeza dengan PH dan BN yang tidak mempunyai penyusunan jentera sedemikian. Di Kedah ada setengah kawasan atau cabang Keadilan tidak mempunyai jentera pilihan raya yang mantap. Di cawangan-cawangan pula ada yang tidak mempunyai jentera langsung, ahli bergerak dengan atas semangat dan keinginan sendiri.
Keadaan itu menyebabkan Keadilan tidak bergerak secara bersama dan tersusun di semua peringkat. Kerana itu walaupun presidennya berkempen dan bekerja macam nak "rak" tetapi tidak memberi kesan. Yang nampak ketidakcukupan masa berkempen, bekerja ke sana ke sini persis kucing kejatuhan anak hanya Anwar Ibrahim, manakala pemimpin lain seakan tidak tahu hendak berbuat apa-apa.
Inilah kelemahan di pihak Keadilan. Populariti Anwar sebagai PM tidak mencukupi dan berjaya menarik sokongan termasuk dari kalangan anak-anak muda.
Hal sama juga berlaku dalam BN, menurutnya. Kelemahan jentera pilihan raya menyebabkan kebersamaan Umno (BN) dalam kerjasama politik tidak banyak membantu calon-calon Keadilan. Sebab itu calon Keadilan di dalam kubunya sendiri di Kedah tewas semua sekali. Keadaan ini berlaku kerana tidak ada penyelarasan di antara PH dengan BN. Perwujudan sekretariat kerajaan Perpaduan di peringkat nasional tidak terbawa ke peringkat negeri. Perpaduan dalam PH-BN hanya berlaku diperingkat pimpinan tertinggi tetapi tidak di bawah.
Situasi ini menurut sahabat saya itu sesuatu yang malang. Lapan bulan sejak penubuhan kerajaan Perpaduan tidak diterjemahkan ke peringkat negeri apa lagi ke peringkat daerah dan akar umbi. Ini menyebabkan ahli akar umbi dan pengundi terpinga-pinga dan percaya atau tidak bahawa Keadilan (PH) berkerjasama dengan BN atau tidak, kerana perpaduan itu tidak terpamer di peringkat bawah.
Natijahnya bila diadakan pilihan raya ia memberi kesan buruk dan tidak menyakinkan pengundi. Berbeza dengan PN dan Pas telah menyusun dan membuat persediaan jauh lebih awal dan kerjasama itu ditunjukkan di semua peringkat melalui pelbagai acara dan majlis, terutamanya peluncuran pilihan raya yang cukup meriah. Sesuatu yang mendukacita dan menyedihkan, PH selaku kerajaan tidak dapat menggunakan kesempatan untuk kepentingan sendiri.
Satu perkara lagi kelupaan dan gagal diambil kesempatan oleh kerajaan Perpaduan ialah melantik agen-agennya menerusi pembentukan aparat kerajaan di setiap parlimen seperti pelantikan penghulu, mengaktifkan pertubuhan dan persatuan dan sebagainya. Aparat atau agensi yang sedia ada seperti Kemas tidak digerakkan secara aktif seperti dahulu oleh Umno.
Kekalahan PH dan BN itu turut disumbang dengan situasi Umno khasnya dan BN ketika ini menurut bekas Exco itu sudah dalam keadaan menurun. Ia bertentangan dengan Pas dan PN yang grafnya sedang menaik. Umno yang menjadi kerajaan selama lebih 60 tahun sebelum ini sedang menurun dan mengalami "kepupusan". Baginya keadaan Umno kini sukar untuk dipulihkan dan semua pihak perlu menerima realitinya ini. Salah satu faktornya ialah penolakan kepada pemimpin veteran dalam parti itu yang berhadapan dengan masalah integriti. Dalam suasana ini bila diadakan pilihan raya ia tidak akan berpihak kepada PH.
Kekuatan PH.
Menyentuh mengenai kekuatan parti dalam PH, bukan sahaja Umno berada dalam kondisi menurun, parti Amanah Negara (Amanah) juga tidak dapat membantu memperteguhkan kedudukan atau pencapaian PH dalam pilihan raya lalu. Kelemahan daya kepimpinan dalam parti itu menjadi faktor utama.
Ketiadaan Salahuddin Ayub secara tiba-tiba menjelang Pirane meninggalkan kesan negatif buat Amanah. Amanah menghadapi pilihan di enam buah negeri itu dalam keadaan berkabung dan dukcita. Baginya parti serpihan Pas itu juga menghadapi masa depan yang suram temaram, ini tertunjuk dalam pilihan raya lalu apabila parti itu kehilangan banyak kerusi dan gagal memenangi satu kerusi pun di Terengganu.
Baginya Amanah tidak memberi apa-apa sumbangan sambil memberi nasihat jika parti itu mahu kembali menjadi parti berperanan dan mendominasi PH seperti mula-mula penubuhannya dahulu, ia perlu mengubah struktur parti berkenaan termasuk menyalin pucuk pimpinannya khususnya Mohamad bin Sabu selaku presiden perlu mundur. Mohamad Sabu sudah tepu sebagai presiden.
Selain dari pada faktor itu, kawan itu juga menyebut dan membilang beberapa kelemahan Anwar Ibrahim sendiri sebagai perdana menteri. Beliau gagal menggunakan kedudukannya sebagai pemimpin parti memerintah mengambil manfaat daripada menjadi kerajaan. Politik baik diamalkan oleh Anwar tidak sesuai dalam negara ini yang masyarakatnya (Melayu) tidak tahu mengenang jasa. Politik professional tidak menjadi tanpa ada elemen-elemen diktator. Orang Melayu mengamalkan politik ayam datang apabila ditabur dan dipanggil, pulang kekenyangan ke reban tanpa menghitung dari mana rezekinya.
Segala perubahan (reform) dilakukan Awar Ibrahim sepanjang lapan bulan tidak memberi bekas kepada mereka. Ia tidak mengubah persepsi rakyat dari terus berpegang kepada politik dangkal, humor kepada politik intelektual dan rasional. Mereka melihat apa disebut Anwar itu hanya retorik semata-mata. Kerana itu walaupun pelbagai perubahan, pendekapan dilakukan Anwar termasuk memberi kemudahan dan bantuan kewangan kepada rakyat ia tidak dinilai dan dianggap sebagai satu budi daripada perdana menteri.
Tidak perlu disebut puluhan skim, program atau pun perubahan dilakukan oleh Anwar. Tidakan Anwar menekankan kepada soal tatakelola keraja (goodgovernance) yang baik tidak langsung diterima malahan diperolokok-olokkan dan diketawa yang dijurai oleh MB Kedah sebagai tok joranya. Perulangan sebutan tatakelola oleh Sanusi dalam konotasi mengejek dan menganjing berukkan Anwar.
Bertolak dari siatu itu bekas pimpinan Pas gemula Chek itu mencadangkan beberapa perkara untuk diambil perhatian serius oleh perdana menteri. Beliau menggesa agar Anwar lebih tegas, lebih berani dan lebih melihat kepentingan kerajaan daripada bersikap baik, terbuka dan professional dalam berpolitik dengan masyarakat separuh tamadun di Malaysia ini.
Baginya tidak ada guna bersikap hasanah dan professional akhirnya kita kehilangan kuasa. Kalau itu berlaku bermakna kita tidak pandai dan tidak mengharagi kuasa (protecter) untuk kebaik kita dan negara. Bersambung bila rajin nanti. [wm. kl. 11:06 am 24/08/2023]
No comments:
Post a Comment