Tuesday, August 15, 2023

Perbaiki kesilapan sendiri (Bhg Ketiga Ahkhir)

ULAS PIRANE

MUNGKIN ketika ini para "arkitek" dan "engineer" serta strategis parti-parti politik yang mengambil bahagian dalam Pirane 12 Ogos lalu sibuk, sedang bertungkus lumus mengumpul segala data untuk membuat post mortem terhadap pencapaian masing-masing. 

Yang pasti kalut ialah PH-BN, sudah tentu mereka sedang menyusun dan menghimpun segala data-data dan maklumat dari pelbagai pihak bagi menjustifikasikan kekalahan mereka. Saya katakan "kalah" kerana PH-BN yang buat pertama kali bergabung gagal mempertahankan majoriti 2/3 kemenangan sebelum ini di Dun Selangor sedangkan mereka adalah penguasa kerajaan Persekutuan yang dilihat mempunyai banyak kelebihan. 

Sebelum ini ramai membuat perkiraan penggabungan di antara PH dengan BN atau tepatnya kerjasama erat dua sahabat Anwar Ibrahim dan Zahid Hamidi, akan menghadiahkan kemenangan besar kepada PH-BN dalam pilhan raya di enam buah negeri. Pengembalian persahabatan kedua mereka bakal membawa perubahan kepada senario politik negara. Walhasilnya malang penggabungan itu tidak membawa tuah dan laba seperti diharapkan. 

Gagal juga apabila kesemua 32 kerusi DUN di Terengganu disapu licin oleh PN. Pencapaian PH-BN jauh daripada apa yang disasarkan sebelum ini dimana para arkitek dan strategis politiknya menyakinkan pengundi mereka akan dapat merampas Kedah dan Terengganu. Yang berlaku bukan itu, sebaliknya PH kehilangan majoriti di Selangor dan kekurangan kerusi di Pulai Pinang, apabila PN menang 11 kerusi. 

Begitu juga dengan PN akan membuat post mortem tentang "kegagalan" mereka. Kemenangan besar mereka di Kedah, Terengganu dan Selangor tidak perlu dicerakinkan. Ia satu kemujuran dan kejadian diluar dugaan mereka - upset. Walaupun para engineer PN menjerit mereka akan menguasai Selangor itu hanya gimik dan provokasi semata. Mereka hanya perlu berterima kasih kepada pengundi yang memberi kepercayaan kepada mereka. PN sendiri tidak percaya dengan pencapaian di Selangor itu hingga ke saat ini.  

Baik PH-BN dan PN mereka ada alasan dan hujah tersendiri kenapa gagal dan menang. Justeru mereka akan mencari seberapa banyak alasan atau hujah bagi memberi tahu kepada pengundi akan kegagalan mereka. Mereka kalah atau menang akan menjustifikasikan keadaan. Itulah lumrah politik yang bukan mudah untuk mengaku kalah. 

Anwar dan Zahid kembali sepakat.
Misalnya PH-BN akan mencari sebarang sebab dan alasan untuk menjustifikasikan kekalahan mereka.
Tentunya dalam hal ini mereka akan menceritakan  tentang tektik kempen jahat oleh pihak lawan. Lazimlah pihak yang kalah akan menyalahkan pihak yang menang. Sebab-sebab itu akan dikumpul seberapa banyak yang boleh hatta ada yang bukan kebenaran. 

Selepas pilihan raya kita mendengar berbagai alasan dan hujah diberikan mengenai keputusan pilihan raya. Bermacam-macam pendapat dan formula dibentangkan yang tidak sanggup untuk kita dengar. Semuanya bersifat membela diri sendiri dan tidak ada yang mengakui kesilapan.  Ia dibuat, baik oleh pengamat bebas tanpa tauliah ataupun pemimpin parti politik sendiri. Tindakan demikian tidak baik kerana enggan mengakui kekalahan. Sindrom penafian adalah amalan orang politik yang dangkal. 

Di pihak PHBN, antara alasan atau faktor dibentangkan kerana kerjasama PH dengan BN tidak mencapai maksud. Ia tidak berkesan. Pengundi akar umbi Umno tidak sedia menyokong calon-calon Perpaduan baik daripada PH dan Umno. Sebab itu kesemua calon Perpaduan dari Umno dan PH di Terengganu kalah. Kesan kepada tiada sokongan itu menyebabkan calon Perpaduan PH juga khalas di Terengganu. Mengejutkan kekalahan bukan sedikit tetapi cecah puluhan kerusi. 

Di Kelantan Umno "bertungging" bila mana hanya dapat mempertahankan satu kerusi sahaja di Galas manakala tujuh yang lain tewas. Kekalahan itu dalam jumlah yang besar tidak munasabah. Ini menunjukkan pengundi asal Umno tidak mengundi calon daripada parti mereka. Kalau mereka tidak menyokong calon PH tidak pelik, tetapi ikut sama menolak calon Umno, ganjil. Bermakna kempen yang dibawa oleh bekas pemimpin Umno yang dibuang agar penyokong Umno tinggalkan parti itu berjaya.

Ada pendapat mengatakan kerjasama di antara Umno dengan PH hanya berlaku di peringkat tertinggi sahaja, tetapi tidak diperingkat bawahan. Mungkin andaian ini betul. Bukan bermakna apabila Zahid Hamidi bersuka hilai dan bertepuk tangan dengan Anwar Ibrahim ia turut disukai oleh pengikut akar rumput. Kenapa ini berlaku? Kelemahan di sini ialah apabila PH-BN tidak membina jambatan diperingkat bawah mempersatukan kerjasama. Tidak ada struktur kerjasama dibentuk sepanjang lapan bulan lalu. Tiada program untuk merapat dan memesrakan di antara kedua peyokong. Kelalaian ini menjadi satu faktor membawa kekalahan. Ketidak-serasian kedua belah pihak akhirnya memulangkan kekalahan.  

Serangan terhadap keputusan Zahid berbaik dengan Anwar yang dilakukan oleh mereka yang dibuang atau digantung dari Umno juga cukup hebat dan berkesan. Mereka pandai mengeksploitasi dan mendakyah perkara ini sehingga mengelirukan pengundi. Dakyah dan persepsi dinaratifkan mereka mempengaruhi pengikut bawahan. Gejala ini tidak pula ditangkis secara berkesan oleh PH dan BN. Inilah kelemahan PH-BN. 

Mereka silap hitung dengan mengira apabila sudah jadi kerajaan, rakyat akan akur dan sedia membantu di antara satu sama lain. Pengikut bawahan yang terdiri dari pelbagai lapisan pendidikan, pengetahuan tidak semudah itu untuk menerima kerencaman politik atau pun hipokrasi politik yang sudah lama pelajari.  

Selain daripada kesilapan luarhan itu (external) ada kesilapan atau elemen dalaman (internal) yang turut memberi kesan kepada pilihan raya itu. Misalnya cara Pengerusi PH Anwar Ibrahim berkempen juga tidak begitu mesra rakyat malahan mencemuhkan rakyat. Beliau terlebih menggunakan kedudukan sebagai perdana menteri untuk mendekati rakyat. Salah kira berlaku apabila beliau merasakan jawatan itu boleh mempesonakan pengundi agar menyokong PH dan BN. Majlis temu Anwar dengan siswa menjadikan Anwar terdodoi dengan harapan palsu. Apabila siswa bersorak dan bertepuk tangan dan berebut-rebut untuk berselfie dengannya sudah dikira sebagai penyokong, walhal tidak. 

Anwar belum mengenai psikologikal politik anak-anak muda yang berpolitik tidak bertunjangkan wawasan dan gagasan jauh sekali idealisme, tetapi mereka melihat populariti. Sebab itu seleberiti yang bertanding ramai yang menang. Dan MB Kedah yang "lantang dan lancau" itu pun disukai walhal dari segi bobot politik nol.

Kesilapan Anwar atau PH juga apabila mengambil pendekatan menyerang peribadi pemimpin dalam kempennya. Individu yang menjadi sasaran utama ialah Mahiaddin Yassin yang dipanggil Abah, dan Sanusi Mohd Noor digelar Panglima Perang. Di peringkat pusat, Anwar menjadi penyerang. Di Kedah Saifuddin Nasution Ismail menjadi hulubalang. Sebagai PM Anwar tidak patut berkempen mengikut irama Sanusi Md Noor. 

Saya sudah mengungkitkan perkara ini dalam status Facebook yang mezahirkan rasa kurang senang dan tidak perlu dengan cara Anwar berkempen. Dalam ucapannya baik semasa menemui siswa, beliau mengulangi akan kejahatan ditundingkan kepada Mahiaddin dengan menuduh Mahiaddin seorang penyakau. Perkataan sakau berbueh di mulut Anwar. Perkataan itu sehingga menjadi perkataan sinonimas dengan kempen Anwar sepertimana Mahathir ketika serang Najib 2018 dengan mengulang perkataan 4P, penyamun, pencuri, penipu dan penyanggak.

Anwar syok dengan termalogi digunak-pakai Mahathir untuk menyerang dan menghina Najib, diulang bagi menghina dan menyerang Mahiaddin. Iya, tektik dan strategi Mahathir itu berjaya, tetapi ia tidak untuk mempengaruhi pengundi bagi menolak Mahiaddin. Tidak semestinya peluru ampuh yang sama dapat membunuh haiwan buruan berlainan. Hal ini gagal difahami oleh Anwar. 

Begitu juga di Kedah Saifuddin Nasution sang Hulubalang berhadapan dengan Panglima perang PN dengan memainkan isu REE. Saifuddin berkali-kali menyebut Sanusi sebagai pencuri, pencuri dan pencuri. Walaupun ada fakta dan bukti, tetapi selagi Sanusi tidak meringkuk dalam penjara atas kesalahan itu pengundi tidak akan percaya. Apa lagi pengundi sudah tahu, tuduhan dan dakwa dakwi itu berlaku semasa pilihan raya jadi mereka menganggap ia tidak lebih sebagai bahan kempen. Lainlah kalau Sanusi sudah dihukum.   

Mungkin ada yang menasihati kedua mereka; Anwar dan Saifuddin agar tidak mengambil kaedah melampau dan menghina itu. Tetapi Anwar adalah Anwar yang tidak mudah untuk mendengar kata dan nasihat daripada sesiapa pun. Saifuddin pula bernaungan di belakang Anwar dengan apa yang dilakukan di Kedah itu, kononnya atas arahan Anwar agar menyerang Sanusi. 

Selain dari keadaan dan sikap itu ada berlambak lagi alasan dan sebab musabab "kekalahan" PHBN itu. Saya tidak berhajat apa yang dicurahkan dalam media sosial kerana setengahnya ada yang logik ada yang tidak masuk akal. Tetapi yang jelasnya pencapaian tidak memberangsangkan PHBN itu diberi ulasan dan perhatian umum, ini menandakan mereka tidak percaya dan kesal dengan apa yang berlaku. 

Keputusan pilihan raya di enam buah negeri menimbulkan kejutan kepada mereka. Maaflah kalau ada yang terasa dengan ulasan berterus terang ini. Sekian dahulu kita jumpa lagi dalam ulasan seterusnya. [wm.kl.1:07 pm 15/08/2023]

No comments: