Monday, August 14, 2023

Perang saudara Melayu dalam Pirane 6 buah negeri. (Bhg Kedua)

ULAS PIRAKE  

JIKA diperhatikan kepada pola pengundi yang berlaku pada Pirane (Pilihan Raya Negeri) di enam buahnegeri Sabtu lepas ia menunjukkan pertembungan atau perang di antara orang Melayu dengan orang bukan Melayu. Tampaknya demokrasi atau pilihan raya menjadi medan perang saudara di negara ini. Kandati pun ada serngan ke atas kaum lain, tetapi perang sesama Melayu lebih ketara dan hebat.

Realiti ini berlaku di Terengganu, Kelantan dan Kedah, ia tidak berlaku di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang. Pola pengundian ditiga negeri itu undi berdasarkan kaum. Rasis. 

Pihak yang kalah di tiga negeri itu ia membabitkan parti yang didominasi orang Melayu. Ternyata pihak PN menjuarai pilihan raya berkenaan. Apa yang dipilih atau menjadi tarikan orang Melayu ialah tawaran keagamaan dan kebangsaan. Di sini menunjukan isu agama memberi keuntungan kepada mereka dan sekaligua agama menjadi umpan lunak buat Melayu. 
Kemenangan bergaya PN di Kedah, Terengganu dan Kelantan menunjukkan hakikat itu. Orang Melayu membuat pilihan kepada parti bernuansa naluri semula jadi mereka, bukan kepada parti yang menawarkan kesejahteran ekonomi dan perpaduan buat mereka. Politik tidak dianggap hanya sebagai satu mekanisme tetapi politik adalah ad-den. 

Orang Melayu di ketiga-tiga buah negeri itu menolak dengan kejam orang Melayu lain yang dianggap tidak Islamik. Di Terengganu parti orang Melayu (PH-BN) tidak diberi sebarang kerusi.

Kita berharap pola atau sikap ini tidak berkekalan dan ia wujud pada pilihan raya ini sahaja yang digumbakan sebagai suatu memorandum untuk menjatuhkan Anwar Ibrahim yang digerakan oleh desperado politik. Ertinya peperangan itu bukan bertitik tolak daripada suatu kewajiban mutlak, tetapi semata-mata kerana muslihat dan maksud politik peribadi. Orang Melayu terhasut oleh orang yang kecewa.

Di negeri-negeri itu perlawanan berlaku di antara dua kumpulan atau gabungan, PH-BN yang dilihat gabung liberal nasionlis, bukan pure Melayu, kerana dalam gabungan itu ada berbagai bangsa dan kaum. DAP yang berada dalam PH adalah mewakili kaum bukan Melayu. Walaupun dalam DAP ada orang Melayu hatta menjadi pemimpin dan wakil rakyat, itu adalah gambaran sebenar akan kerencaman parti itu. Kehadiran orang Melayu dalam DAP boleh disifatkan sebagai umpan pancingan sahaja demi kepuasan politik orang bukan Melayu (baca Cina). 

Demikian juga walaupun Umno sebelum ini dilihat parti assobiyah, parti memperjuangkan kepentingan bangsa, tetapi demi kepentingan negara dan perpaduan Umno kemudian sanggup menerima DAP.  Perubahan sikap Umno itu sesuai dengan peredaran masa dan dinamika politik dimana politik "persukuan" tidak lagi sesuai dalam negara seperti Malaysia bermasyarakat majmuk ini. Keterbukaan fikiran rakyat dan kebebasan mengakses maklumat menjadikan mana-mana parti fanatik dengan idealogik lamanya akan ketinggalan. Umno menyedari perubahan itu maka mereka mulai terbuka menerima DAP. 

Manakala satu lagi gabungan PN (Pas dan Bersatu) dilihat pure gabungan Melayu. Walaupun di dalamnya ada Gerakan, tetapi ia hanya sebagai simbolik untuk menarik atau tidak mengecilkan hati bukan Islam sahaja. Perananan dan fungsi Gerakan dalam PN tidak sama dengan fungsi dan peranan DAP dalam PH yang punyai political will tersembunyi. Hakikatnya PN adalah gabungan pure Melayu. Melayu yang makan nasi dengan budu cicik pucuk ubi kayu, makan cecanluk ataupun sambal belacan. 

PN parti yang menjadikan assobiyah sebagai modal utamanya, dimana modal ini pernah diguna pakai dan digelarkan oleh Pas terhadap Umno. Satu masa dahulu pemimpin Pas mengecam ideologi dan praktis Umno sebagai parti memperjuangkan assobiyah yang mana perjuangan berasaskan prinsip itu tidak berbau syurga. Aneh dan peliknya hari ini bauan itu yang sedang dibanggakan oleh PN dan menyumba ke dalam lubang hidung mereka. Demikian peredaran masa dan peralihan musim berlaku, isu dan model politik boleh bertukar takir. 

Sesungguhnya saya jengkel untuk mengata dan menerima PN adalah gabungan perjuangkan Islam ketimang PH. Sebabnya PH juga gabungan yang tidak mengkesampingkan Islam. Dengan ada Umno dan Parti Amanah Negara (walaupun "kocil") dalam PH, itu sudah membuktikan PH mempunyai nuasana Islam yang tersendiri, progresif dan moden. Manakala  "nusana" Islam dalam PN ekstream dan fanatik. Perkara pokok perlu dilihat PH tidak mengubah isi asas Perlembagaan negara yang menjaga agama, bangsa, bahasa dan juga budaya. 

Dari dua golongan itu, rakyat Kelantan, Terengganu dan Kedah memilih PN, koalisi yang senonimas dengan latar belakang kehidupan dan budaya mereka. Tiga negeri itu adalah negeri yang berada di luar sempadanan kemodenan Barat. Parti itu serasi dengan fahaman siasah sempit mereka terhadap agama. Keterbuktian itu jelas apabila PN menang besar di ketiga-tiga negeri itu. Bukan sahaja menguasai hampir 100 peratus kerusi DUN di tiga negeri, tetapi majoriti yang dikutipnya cukup besar. 

Misalnya di Kedah terdapat 25 kerusi yang dimenangi dengan majoriti lebih 10,000 undi. Majoriti terbesar ialah lebih 23,000 undi. Belum berlaku dalam sejarah pilihan raya di negara ini kerusi DUN dimenangi dengan majoriti begitu besar, tetapi ia berlaku di Kedah. Suatu pencapaian yang sangat luar biasa. Perolehi majoriti besar ini menunjukkan penolakan total rakyat kepada gabungan liberal atau rencam seperti PH. 

Punggutan besar undi dan menawan ketiga-tiga negeri berkapastiti Melayu lebih 90 peratus itu menjelaskan rakyat negeri itu mesra dan dengan Pas. Rakyat teruja dan terpesona dengan tawaran manifesto Pas yang berkonsepkan Syurga. Walaupun parti Bersatu latar belakangnya sama dengan Umno, nasionalis, tetapi ia mengenepikan pegangan itu kerana Bersatu sanggup memandirkan diri mengikut tatabudayaa politik Pas demi menumpang pengaruh Pas. Tindakan ini ternyata berjaya kerana ia telah mengutungkan Bersatu. Kalau Bersatu bertandingan bersendirian sukar untuk memiliki satu kerusi pun. 

Seperti disebut tadi, walhal dari segi nilai parti, Pas bukan merupakan parti yang boleh menjamin kehidupan rakyat dunia dan ukhrawi. Ia bukan parti membawa pembangunan, sebaliknya menawarkan pembangunan akhirat yang penuh dengan retorik. Pas menawarkan Syurga dalam kempen-kempennya. Menawar sesuatu yang "halimunan" yang Pas sendiri tidak mengetahui kedudukan Syurga itu. Pas hanya baca dari kitab-kitab tua lalu mentafsirkan kepada rakyat. Di sinilah kebijaksana Pas mengeksploit elemen agama yang mana situasi itu tidak dilakukan PH dan BN bagi mengelakkan memfitnahkan agama. Ada kalanya kebiadapan diperlukan dalam politik. 

Walaupun kempen itu tidak dipecayai rakannya Bersatu, tetapi atas dasar mahu menumpang "tui" ia didiamkan sahaja.  Bak kata walaupun buah dihulur itu mabuk, tetapi demi mengalas perut kosong diambil juga, padahal akhirnya memeranakan badan.  

Pengerusi PN yang juga presiden bersatu Mahiaddin Yassin sendiri pernah menganalogikan PAS sebagai Parti Ajaran Sesat. Secara sedar dan insaf Mahiaddin tahu akan kebobrokan Pas sebagai parti politik yang membawa rakyat negara ini ke belakang dan tepu dalam fahaman agama yang jumud. Namun kerana untuk menumpang kekuatan Pas maka anologi dahsyat Mahaidaan itu dilupakan. Manakala Pas juga redha demi kuasa dan gila kedudukan. Begitulah bingkai politik yang penuh dengan hipokrasi.

Menang adalah hak Pas kerana mereka pandai eksploitasikan elemen agama. Dalam politik tidak jadi masalah kalau elemen agama atau bangsa dimainkan kerana ia halal. Tetapi apakah manfaat yang akan diperolehi oleh rakyat di negeri berkenaan apabila berpegang kepada fahaman politik songsang demikian. Dalam politik Barat sesiapa pandai menipu dan bijak bermuslihat mereka akan menang. Kebenaran tidak pernah ada dalam politik.

Dari sisi pembangunan ternyata jelas Kelantan, Terengganu dan Kedah jauh ketinggalan daripada pembangunan berbanding dengan negeri-negeri lain. Iya, Pas selalu mengatakan tidak ada orang mati kebuluruan di Kelantan, Teregganu dan Kedah, tetapi nikmat dan keseronkan suatu kehidupan tidak dapat dikecapi di negeri berkenaan, terutamanya Kelantan. Kerana itu apabila mereka datang ke Kuala Lumpur, atau Penang mereka seronok dengan segala kemudahan dan pemodenan yang ada. Untuk tonton wayang gambar sahaja mereka terpaksa ke luar.  

Pembangunan moden infastruktur yang ada di Trengganu dan Kedah kini adalah hasil kerja dan buah tangan kerajaan BN sebelum ini.

Kesimpulannya pilihan raya lalu adalah perang saudara dalam politik di antara Melayu sama Melayu yang dilakukan tanpa asas dan sebab yang benar. Dalam perang itu digunakan Islam dan bangsa sebagai propganda untuk mempersonakan orang Melayu. Keputusan diperolehi menunjukan PN berjaya dalam perang tersebut dengan melakukan matlamat menghalalkan cara. 

Persoalannya apakah "politik perang saudara" begitu baik buat Malaysia? Undi berdasarkan kaum seperti berlaku di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang merbahaya kerana ia boleh mengencat usaha perpaduan ummah dan perwujudan kehormonian kaum. Pengundian berdasarkan kaedah dan pendekatan itu, berasaskan sentimen kaum dan agama juga boleh meletakkan negara dalam keadaan tidak stabil. Natijah dari itu menyebabkan kita berpolitik yang ditafsirkan salah.

Negara ini dan pengamalan demokrasinya tidak boleh dilingkari atau dibatasi elemen-elmen kotor dan fahaman yang negatif. 

Semoga pola politik sedemikian tidak akan berpanjangan dan ia sesuai untuk pilihan raya ke-15 di enam buah negeri itu sahaja. Selepas ini kita berharap politik dan demokrasi kita kembali waras dan sihat dalam usaha kita untuk membangunkan bangsa negara ini. [wm.kl. 7:42 pm 14/08/2023]

No comments: