Sunday, August 13, 2023

Kekalahan PH-BN tidak seteruk ditafsirkan (Bhg Pertama)

PASCA PILIHAN RAYA

Syabuddin akan menggalas
harapan rakyat Kelantan.
PILIHAN RAYA di enam buah negeri sudah pun selesai dan muktamad, diadakan semalam dengan
selamat dan tidak ada kejadian buruk berlaku. Keputusannya seperti dijangka mengekalkan kedudukan status quo. PH-BN mengekalkan tiga buah negeri Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, manakala PN juga berjaya mengekalkan tiga buah negeri miliki mereka, Kelantan, Terengganu dan Kedah. 

Tiada kejutan rampas merampas atau terlepas negeri seperti mana yang dikecur dan diharapkan  sebelum ini. Pihak PN penuh confident mereka akan dapat merampas dua negeri Selangor dan Negeri Sembilan sambil mengekalkan Terengganu, Kelantan dan Kedah. Maka hebuhlah ditularkan digit 5 - 1. PN akan menguasai lima negeri dan PH-BN satu negeri sahaja. Dr Mahathir yang berdendam dengan Anwar Ibrahim ikut tumpang kempen dan membuat propaganda kononnya PN akan menang 5 - 1.

Ramai yang termakan dengan angan-angan dan impian pihak PN itu sampai ada yang membeli lima ekor kambing berwarna putih hitam untuk disembelih selepas 12 Ogos. Alhamdulilah kambing-kambing berkenaan selamat dari dipisaui PN. Kempunanlah mereka yang mengidam daging kambing PN.    

Dr Hafidzah penjaga
pintu kota Harapan Kelantan.
Hakikatnya pilihan raya semalam tidak ada siapa (gabungan) yang kalah dan menang. Namun dari segi semangat dan moral ia berpihak kepada PN. Kalau ditengok dari jumlah kerusi PN lebih banyak memperolehi kerusi sebanyak 146, PH 80 dan BN 19. Kalau pun dicampur kerusi PH dengan BN jumlahnya belum mengatasi kerusi diperolehi PN. Jika dikira mengikut parti gabungan, BN mendapat kerusi terendah 19 kerusi. BN kehilangan banyak darah (kerusi) dalam pilihan raya kali ini. 

Di sini menggambarkan kekuatan PN berbanding PH-BN. Namun itu tidak menjadi perkiraan mutlak sebenarnya. Yang menjadi perhitungan ialah jumlah suara (voice) diperolehi parti-parti gabungan itu. Dalam hal ini, PH-BN (Perpaduan) mengutip suara lebih banyak berbanding dengan PN, yakni sebanyak 3,399,472 suara berbanding dengan PH sebanyak, 3,382,466 yang berlebihan sebanyak 17,006.


Bagaimana pun dari segi jumlah kerusi diperoleh di negeri-negeri, PN boleh merasa megah dan gah kerana ia berjaya menafikan majoriti 2/3 PH-BN dalam Dun Selangor apabila memperolehi 22 kerusi, dan hampir-hampir berbuat hal sama di Dun Pulai Pinang, PN 11 kerusi. Di Negeri Sembilan PN mengesat airmata apabila perolehi 5 kerusi dikira cukup-cukup makan sahaja.

Dalam tulisan ini saya akan membuat ulas pandangan dengan menjadikan Kelantan sebagai subjek utama penilaian saya tentang pencapaian dan senario hubungan kerjasama PH-BN.

Satu hal yang tidak diselidiki oleh penganalisa mengenai kemenangan besar PN di Kelantan, Terengganu dan Kedah ialah kerana persiapan menghadapi pilihan raya itu tidak sekata. Terutamanya di Kelantan dan Terengganu. Boleh dianggap PH-BN menghadapi pilihan raya itu dalam keadaan tidak bersiap siaga sepenuhnya. Tanpa melihat ini para penganalisa tidak boleh membuat hukuman atau menganalisa pencapaian PH-BN kerana ia tidak tepat. 

Jika diibaratkan kepada murid sekolah, PH akan menghadapi pilihan raya lalu seperti murid yang menempuh peperiksaan tanpa membuat persiapan, tidak mengulang kaji mata pelajaran dan hanya mengharap doa dan munajat ibubapa semata-mata.  Misalnya organisasi Perpaduan PH dengan BN belum mantap di Kelantan. Apa dinamakan Sekretariat Perpaduan tidak pun diwujudkan jadi belum sempat PH-BN mengadakan konvensyen perpaduan. 

Hubungan kerjasama penyokong bawahan belum wujud dan bertaut molek. Hatta hubungan atasan sesama pemimpin juga tidak wujud kerana tidak ada wadah dibentuk. Sepanjang tempoh pilihan raya tidak ada himpunan besar-besar dianjurkan oleh kedua-dua pihak baik di Kelantan maupun di Terengganu. Malahan majlis ceramah pun sangat berkurangan.

Kesimpulan hubungan kerjasama, persefahaman tidak wujud. Lantaran itu kedua gabungan itu PH dan BN menghadapi pilihan raya secara nafsu nafsi tidak sepakat. Bukan itu sahaja, hubungan dalam gabungan PH terdiri daripada PKR, Amanah dan DAP di Kelantan juga tidak kemas bertaburan entah siapa ketua siapa pemimpin. Malahan di dalam parti masing-masing berkecamukan sesama sendiri, berebut tulang kuasa yang belum ada.  

Misalnya pemilihan calon dibuat tanpa perincian dan kajian mendalami tentang kebolehan-yakinan dan kelayakan seseorang calon. Ini menjadikan peletakan calon itu untuk mengelakkan PN menang tidak bertanding semata-mata.  Ada calon dari luar kawasan bertanding dalam kawasan lain menyebabkan pengundi tidak mengenali di antara satu sama lain. Ada juga calon yang keperibadiannya tidak sesuai dengan sesuatu kawasan menyebabkan ia dilihat sebagai tempang dan tidak sesuai. Pemilihan calon dibuat secara rawak dan tidak menilai secara spesifik, cara ini sedikit pun tidak memberi tentangan kepada calon lawan. 

Begitu juga jentera atau organisasi pilihan raya tidak wujud langsung. Ada calon yang ketiadaan paca atau pembantu pilihan raya atau tukang kempen. Dalam kata lain calon-calon PH-BN menghadapi pilihan raya dalam keadaan tidak bersiap sedia. Ada calon berkempen bersendirian dengan anak atau suami. 

Pun dalam menghadapi pilihan raya ini dalam keadaan tidak siap sedia itu ia dikira sudah berjaya apabila tiada seorang pun calon PH-BN hilang wang pertaruhan baik di Kelantan maupun di Terengganu. Jika dibanding dengan pencapaian pada pilihan raya ke-14 dahulu, pencapaian calon-calon PH khususnya kali ini jauh lebih baik. 

Dalam pilihan raya ke-14 lalu hampir semua 45 calon PH di Kelantan dan 32 calon PH di Terengganu hilang wang pertaruhan. Hanya tiga calon sahaja di Kelantan yang tidak hilang wang pertaruhan. Husam Musa yang bertanding di Dun Salor, Dr Hafidzah Mustakim bertanding di Dun Tanjung Mas dan Abdul Rashid Ahmad yang bertanding di Kota Lama. 

Apabila dalam pilihan raya semalam 12 Ogos, PH-BN berjaya menang di dua kerusi Galas menerusi Syabuddin Hashim dan Kota Lama menerusi Dr Hafidzah Mustakim ia satu kejayaan besar bila dinisabhkan gabungan itu menghadapi ujian dalam keadaan tidak siap sedia. 

Dalam pada itu ada pihak yang cuba menyalahkan atau meletak kegagalan PH-BN menang di Kelantan kelmarin disebabkan sikap orang-orang Umno yang tidak memberi sokongan kepada calon PH-BN. Sejauh manakah kebenaran dakwaan itu? Untuk meletakkan keadaan itu kepada orang Umno ia kurang tepat. Sebaliknya kejayaan calon-calon PH mempertahankan depositnya ialah kerana ada sokongan daripada orang Umno. Ertinya kerjasama atau undi Umno sudah mengalir ke dalam peti undi PH, cuma tidak merata dan banyak.

Mungkin jika tidak ada persepakatan di antara BN dengan PH menyebabkan calon-calon BN dan PH akan mengalami nasib seperti dialami tahun 2018 dahulu hilang wang pertaruhan. Dengan kerjasama itu sekurang-kurang PH boleh berbangga kerana calon mereka dapat menyelamatkan puluhan ribu wang pertaruhan. 

Yang dilihat kenapa sokongan itu tidak menyeluruh dan tinggi adalah kerana masalah tektikal dan strategi penyelarasan dalam menghadapi PN. Seperti saya kata tadi PH-BN tidak membentuk jentera bersama, dan bertanding mengikut sendirian berhad. Belum ada keserasian mantap di antara akar umbi bawahan kedua parti gabungan. Bukan orang bawahan sahaja, di antara orang atasan pemimpin juga masih bermalu-malu kucing. Masing-masing masih rimas melihat warna parti. 

Kesimpulannya kemenangan besar PN memperolehi 43 kerusi itu bukan menjadi indikator sejati kekuatan PN di Kelantan. Bagi saya kemenangan dua kerusi di Galas dan Kota Lama yang dianggap sebagai batu nisan menandakan kematian gabungan PH dan BN, sebenarnya ia adalah batu asas untuk memadukan lagi gabungan di antara kedua. Ia satu permulaan untuk sebuah perjalanan perjuangan yang jauh. 

Kemenangan itu simbolik untuk PH-BN menggalas harapan rakyat yang mahu melihat perubahan pemerintah di Kelantan demi nasib mereka. 

Ingat, sejarah politik Kelantan sebelum ini. Pada tahun 1978 Pas yang memerintah Kelantan selama 18 tahun kalah pada tahun itu sehingga meninggalkan dua kerusi Manik Urai (Abdullah Su) dan Sering (Nik Abdullah Arshad). Kemenangan itu dianggap sebagai batu nisan oleh Umno. Tetapi 12 tahun kemudian (tahun 1990), Pas yang bergabung dengan Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah bangkit bagaikan Harimau tidur menyapu bersih 45 kerusi Dun Kelantan.

Rekod kemenangan besar Pas tahun 1990 itu tidak terpecah pada 12 Ogos lalu kerana PH-BN masih ada menang di dua kerusi. Jangan manggak. PN juga tidak boleh bermegah yang gelombang hijau melanda dan metsunamikan Kelantan kerana dua kerusi, Galas dan Kota Lama merupakan simbolik buat PH dan BN. Galas akan menjadi azimat dan pendorong semangat kepada kerjasama PH-BN seterusnya di masa-masa akan datang bagi menggalas harapan rakyat Kelantan. 

Kemenangan di Kota Lama itu pula sebagai simbolik di situlah menjadi tapak empayar BN-PH di masa akan datang di Kelantan. Kota Lama itu mencatat sejarah tersendiri dan ada iktibar yang perlu diambil daripadanya. Insya-Allah kalau PH dan BN kekal bergabung dengan memantapkan lagi kerjasama sebaik tidak mustahil sejarah pernah dicatat Pas - Semangat 46 tahun 1990 "ritu" akan berulang. 

Yang nyatanya sejarah itu gagal dinukil oleh PN pada 12 Ogos lalu apabila PH-BN telah menanamkan benihnya di Kota Lama dan Galas.   [wmk.kl.8:40 pm 13/08/203]

No comments: