Sunday, July 28, 2024

4 tokoh utama dalam cakerawala politik 2030

RENCANA KHAS

SUATU masa dahulu pemerhati politik meramalkan selepas Dr Mahathir Mohamad berundur atau tidak lagi jadi perdana menteri beliau akan diganti oleh Anwar Ibrahim. 

Walaupun ada beberapa tokoh senior lain ketika itu yang mengekori Mahathir, tetapi Anwar yang dilihat lebih berpotensi kerana memenuhi kehendak dan citarasa generasi alaf baru, millennium.  

Padahal waktu itu ada Abdul Ghafar Baba, Musa Hitam (sudah jadi timbalan perdana menteri) Tengku Razaleigh Hamzah, Ghazali Shafei, Abdullah Ahmad Badawi dan Sanusi Junid. Mereka ini adalah ahli Umno terawal ketimbang Anwar.

Tetapi ternyata tokoh-tokoh yang hampir seusia atau mengekori Mahathir atau generasi pejuang kemerdekaan itu, tidak berjaya memenuhi impian itu, kecuali Abdullah Ahmad Badawi sempat menjadi perdana menteri secara coincident.  

Musa dan Ghafar Baba hanya jadi timbalan perdana menteri. Manakala Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) yang merasai jawatan itu selama enam tahun. Walaupun Pak Lah jadi PM, tetapi beliau tidak merupakan pengisian jawatan pasca Mahathir sebenarnya, bahkan Pak Lah diserang oleh Mahathir sendiri selepas itu, ini bermakna Mahathir tidak merestui Pak Lah, dan Pak Lah bukan perdana menteri yang didambakan.

Najib Razak dan perdana menteri selepas itu bukan material PM yang diharapkan. Perbandingan mereka dengan Mahathir sangat jauh. Bagi rakyat yang sudah lama terpancing dengan kehebatan atau pemujaan dan angan-angan Anwar untuk jadi PM tidak berpuas hati. Apa lagi apabila Anwar tersingkir dari landasan yang menyebabkan ramai terkejut, kesal dan berdukacita. Jadi mereka itu jadi PM atas penderitaan Anwar. 

Bayangan dan harapan Anwar akan menjadi pengganti Dr Mahathir bermula sebaik sahaja beliau menyertai Umno tahun 1982. Bahkan beliau diundang ke dalam Umno atas tujuan dan maksud itu, menjadi pengganti Mahathir. Mahathirlah menacuankan Anwar untuk jadi PM.

Kejayaan beliau memegang jawatan Ketua Pemuda, kemudian Naib Presiden kemudian bergerak ke tangga kedua tertinggi selaku Timbalan Presiden Umno mengesahkan akan ramalan itu. Beliau penaka sudah sahih akan jadi PM hanya menanti Mahathir pamit saja.

Namun politik penuh dengan kemungkinan. Takdir yang berlaku merombak segala harapan dan angan-angan itu. Iklim dan geografi politik kita bertukar 360 darjah apabila Anwar bukan sahaja dipecat daripada Umno, tetapi dihantar ke penjara selama lebih 10 tahun. Kejadian dan peristiwa itu memeranjat seluruh orang dan mengira sesuatu yang pelik akan berlaku dan harapan Anwar untuk jadi PM sudah terpadam. Nasib yang diterima Anwar itu dilihat suatu strategi menerusi apa dinamakna konsiprasi menafikan Anwar. 

Anwar Ibrahim  
Apabila beliau dipecat daripada UMNO (3 September 1998) kemudian dipenjara dan diburukkan dengan seburuk-buruknya, ramai sudah menyangka harapan Anwar untuk jadi PM sudah tiada, khalaf. Anwar sudah tidak mempunyai harapan lagi. Dan saya yang jadi pendoa Anwar diejek dan dipersendakan oleh sesetengah pihak mengatakan menanti sesuatu yang tidak mungkin berlaku. Arwah Zainuddin Maidin (Zam) secara baik menasihati saya agar cukuplah mempertahankan Anwar. 

Apa lagi selepas Dr Mahathir, berjujut seorang demi seorang naik menjadi PM, Mohd Najib Razak, Mahiaddin Yassin dan Ismail Sabri Yaacob. Mereka ini adalah "biawak kabut" yang melintasi pelaluan Anwar ke  Putrajaya. 

Namun janji dan takdir Tuhan tetap tertunai seperti dimaktubkan di luh mahfuz. Akhirnya Anwar mengangkat sumpah jadi perdana menteri, bukan mengganti Mahathir secara langsung, tetapi mengganti empat orang perdana menteri sebelum itu yang merampas tempatnya itu. 

Pengganti PM selepas Mahathir baru sahih apabila Anwar angkat sumpah sebagai perdana Menteri tanggal 24 November 2022. Dengan ternobatnya Anwar jadi PM maka dendam dan penantian rakyat untuk melihat Anwar dinobatkan sebagai PM sudah tertunai. Perjuangan peribadi Anwar sudah lengkap. Juga penantian saya selama lebih 25 ternoktah.

Berakhirnya cerita.

Apabila Anwar sudah jadi perdana menteri, maka dramatik dan sandiwara politik sepanjang dua setengah dekad dekad dari tahun 1980 - 2000 sudah berakhir. Kini kita sedang menanti periode baru politik Malaysia 2030, kira-kira enam tahun lagi. Kita sudah boleh bersiap dan mengira-ngira mencari calon perdana menteri selepas Anwar kelak. Enam tahun tidak lama untuk kita mengintai dan mencari bakal perdana menteri. 

Paling lama Anwar memegang jawatan nombor satu negara itu 10 tahun atau dua penggal. Tempoh itu sudah memadai dan lumayan. Untuk sampai dua penggal bermakna Anwar akan berkhidmat sehingga paling lama sampai 2032. Banyak faktor atau hambatan untuk beliau tidak berada lebih lama dari itu. 

Dalam tempoh itu juga orang-orang seusia dengan Anwar yang berangan-angan atau tidak habis berilusi untuk jadi PM juga sudah tidak relevan lagi. Mereka seperti Mahiaddin, Abdul Hadi Awang, Zahid Hamidi atau Najib Razak untuk mencapai rekod Mahathir jadi PM kali kedua, sudah tidak relevan lagi. Faktor usia dan pengaruh menghambat mereka. Atau mereka akan bersara lebih awal daripada itu. Zahid saya kira beliau tidak pernah bermimpi untuk jadi PM, cukup setakart jadi timbalan PM dua kali. 

Mereka yang akan mula diperhitungkan untuk diberi fokus sebagai PM di tahun 2030 atau tepatnya selepas Anwar berihat, adalah mereka yang kini berusia dibawah 65 tahun ke bawah, yang merupakan barisan generasi ke dua pascra merdeka yang berusia di antara 55 tahun hingga70 tahun.

Sesiapa yang berusia dalam lingkungan usia ini, dikira layak atau pun sesuai untuk disangkutkan harapan memimpin Malaysia nanti. Mereka perlu bersiap sedia dari semua aspek bagi menempuh kemungkinan itu.

Siapa  mereka itu? Walaupun setengahnya sudah matang untuk memegang jawatan Perdana Menteri, tetapi masih berada dalam lingkungan atau perjalanan jauh yang mencabar. Ada empat tokoh dalam tilikan saya berpotensi untuk meneruskan kepimpinan negara selepas Anwar Ibrahim. Ini dilihat kepada beberapa aspek dan keistimewaan yang dimiliki mereka ini. Usia mereka di antara 53 hingga 64 tahun.

Pengaruh mereka, kedudukan dalam parti, kualiti kepimpinan mereka serta pengalaman sebagai tokoh politik negara sudah terserlah dan dijuji. Mereka juga berpengalaman baik dalam parti maupun kerajaan. Logiknya pemilihan mereka sebagai mewakili fraksi politik masing-masing. Mereka daripada parti utama, Umno, Pas, Keadilan dan juga Bersatu. Walaupun DAP merupakan parti Utama tetapi tidak termasuk dalam "cakero" ini.

Tokoh yang dilihat berpotensi itu adalah Johari Abdul Ghani, 64 (Umno),  Saifuddin Nasution Ismail 61, (Keadilan), Mohamad Azmin Ali, 60 (Bersatu) dan Ahmad Samsuri Mokhtar 53 (Pas). Pemilihan mereka pada asasnya sebagai mewakili parti politik yang mampan untuk mengurusi negara dimasa depan. Dalam sistem demokrasi yang kita amalkan, sosok dari parti politik saja berhak menjadi PM.

Kedudukan mereka dalam fraksi masing-masing juga menjadi perkiraan saya. Johari waktu ini adalah naib presiden Umno dan juga merangkap Bendahari Agung Umno, Ketua Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan, Azmin Ali pula pengerusi Bersatu Selangor, merangkap ketua pembangkang di DUN Selangor, dan Adun Hulu Kelang sementara dalam parti Azmin sebagai ketua penerangan. Manakala Siafuddin, Setiausaha Agung Keadilan, Menteri Dalam Negeri. Manakala Ahmad Samsuri, salah seorang naib presiden Pas, waktu ini MB Terengganu dan ahli parlimen Kemaman.


Keempat-empat mempunyai pengalaman yang ampuh dalam politik. Azmin pernah menjadi timbalan presiden Keadilan, sebelum keluar untuk bermuafakat dengan Mahiaddin bagi menumbangkan kerajaan PH yang didokongnya sendiri. Beliau pernah menjadi MB Selangor, sebelum dilantik menjadi Menteri MITI di zaman kerajaan PH. Ada persamaan antara Azmin dan Saifuddin mereka adalah anak didik Anwar, namun kelebihan kepada Saifuddin beliau sangat bersetia (loyalist) dengan Anwar.

Johari Abdul Ghani, pernah menjawat jawatan Menteri Kewangan II sewaktu Najib menjadi PM. Manakala Saifuddin juga pernah menjadi ahli parlimen dua penggal, (Kulim Bandar Baru dan Machang) serta pernah jadi Adun Lunas. Semasa dalam Umno Saifuddin memegang jawatan Setiausaha Politik kepada  Menlu Syed Hamid Albar.

Keempat mereka juga mempunyai alma mater (pendidikan) yang baik. Johari kelulusan sebagai Akauntan bertauliah dari London, Azmin Ali bekas penuntut Universti Minnesota, manakala Saifuddin Nasution lepasan UPM dan Tunku Abdul Rahman College, Kuala Lumpur. Samsuri merupakan pakar Aviation lepasan Leeds University. 

Alma meter Saifuddin nampak sedikit lokal, tetapi beliau punya kelebihan dari segi fikrah yang senonim dengan bangsa Melayu. Beliau dilihat bernuansa Islamik berbanding dengan tiga tokoh lain. Mampu menghafal Hadith dan memetik terjemahan al Quran yang diselitkan dalam pidatonya. Seorang pemidato yang baik. Ertinya pendekaan kepimpinan Saifuddin berlandaskan Quran dan Hadith serasi dengan citarasa bangsa Melayu.

Mungkin ada yang kata tidak adil apabila saya menamakan empat orang ini sebagai calon PM Malaysia untuk 10 atau 15 tahun akan datang. Sebab masih ada pemuka politik lain yang tidak kurang hebatnya, yang dijuga dijaja untuk jadi PM, seperti Khairy Jamaluddin, Rafizi Ramli dan lain-lain. Khairy Jamaluddin pernah diuar-uarkan akan jadi PM Malaysia sebelum 40 tahun. Bertolak dari cita-cita dipadukan kepada Khairy itu juga maka Rafizi juga diandalkan demikian.

Untuk Khairy mudah sahaja walaupun cita-cita menebal, pernah berada di pejabat PMO sebagai menantu perdana menteri, bekas ketua sayap kanan (Pemuda Umno) namun beliau kini seperti sampah dilautan yang tidak tahu singgah di mana-mana pulau apabila beliau dipecat daripada Umno dan tidak tidak menyertai parti politik. Kerjayanya sekarang sebagai DJ podcaster, tidak menghampirkan beliau ke jawatan itu.

Bagaimana pun kondisi Rafizi lebih baik daripada KJ, tetapi saya tetap tidak memasukkannya dalam rating atas sebab-sebab dan penilaian saya sendiri, salah satu ialah faktor usia, baru 46 tahun. Selebihnya sebagai orang bijak Rafizi bukan mudah untuk diterima dalam kloni politik Melayu Malaysia. Baik KJ maupun Rafizi saya nampak mereka kurang memiliki seni dan juga "nuansa" politik Malaysia. Politik intelektual atau orang cerdik yang bermain dengan figure dan statistik atau teori masih belum menjiwa penggemar politik Malaysia. Selebihnya sifat outspoken juga bukan cara politik Melayu.

Jadi empat orang tokoh diatas berada dalam cakerawala politik 2030 dari pengamatan aya, bakal jadi PM Malaysia akan datang. Bagaimana peluang mereka tertakluk juga kepada sokongan dan kedudukan mereka dalam parti. Hari ini kesemua mereka masih berada di ranking kedua atau ketiga dalam parti masing-masing, justeru mereka perlu membaiki kedudukan mereka sebagai orang nombor dua parti. [wm.kl. 3:54 pm 28/07/24]

1 comment:

Anonymous said...

Sdr MSO, johari Ghani berumur 60 demikian juga azmin Ali. Saifuddin nasution berumur 61. Dr Sam yg paling muda - 54