Sunday, August 25, 2024

Abang diasuh didik Chek sedari kecil


BELASUNGKAWA (2)

Abang ketika berusia
24 tahun.
ABANG aku hanya orang biasa, anak kampung yang serba kesusahan dan dhaif. Dia bukan orang besar yang dikenali ramai. Bukan tokoh yang diagungkan dan minta dipuja-sanjung. Hanya orang yang mengerti nilai sebutir mutira saja memanfaat kehadirannya di persada maya ini.

Dia lahirkan di kampung di Gual Nibong, Gual Periok tanggal 21 Julai 1954 jelang mentari keluar dari ufuk timur. Tiada apa yang luar biasa pada saat kelahirannya. Namun demikian bagi kami sekeluarga menerimanya sebagai wira dan inspirator yang tiada tolak banding.

Anak yang ketandusan kasih sayang ayah dan ibu sedari kecil ini tumpang bernaung dan bermanja di bawah dagu atuk. Abang mangsa penceraian ayahanda Omar Haji Othman dengan bundanya Wan Fatimah Haji Salleh, ketika beliau berusia empat atau lima tahun. 

Walaupun kedua orang tuanya berpisah, tetapi abang masih diberi perhatian oleh kedua orang tuanya. Penyerahan penjagaan kepada atuk yang kami panggil CHEL, sebagai jalan tengah, kebetulan pula chek bersendirian selepas isterinya (nenekanda Fatimah binti Pandak) meninggal jadi boleh abang menjadi teman pembuang "kesik" Chek. 

Sejak itu Chek tinggal bersendirian di balaisah, hidup sebagai seorang waliyullah. Chek ketika itu satu-satunya orang yang mengetahui sedikit sebanyak hukum hakam agama dan menjadi tok guru tempat rujuk bertanya itu dan ini tentang agama di kampung kami dan dihormati warga kampung-kampung sekitar.

Bersama Chek abang dapat bermanja dan mengutip berbagai permata dan mutiara ilmu daripada Chek yang juga merupakan seorang murid kepada Tok Kenali. Daripada Cheklah abang gali khazanah ilmu hakikat dan makrifat. Kalau pun abang terpisah dengan Chek sewaktu Chek turun mengerjakan Haji di Makkah dengan kapal tahun 1958. 

Berkat didikan Chek yang dikenali sebagai Pak Teh Haji oleh orang kampung, abang mendapat didikan awal menghafal dan memahami Quran yang baik. Mungkin abang adalah kanak-kanak pertama kampung kami yang merasai kelazatan dan keberkatan air zam-zam apabila dibawa pulang oleh Chek.

Abang seorang genius, dia khatam membaca al-Quran ketika umur enam tahun lagi, pencapaian yang lebih baik berbanding dengan sepupu-sepupu kami yang lebih tua daripadanya. Bahkan sedari kecil lagi abang jadi "guru" menegur dan mengajar kanak-kanak lain yang lebih dewasa darinya.

Kerana mereka berdua tinggal di balaisah, maka abang jadi muazim, tukang melaungkan azan. Abang memiliki suara yang merdu. Subuh-subuh lagi suara nyaring merdunya akan bergema menembusi dinding buluh segenap rumah dalam kampung itu. Dan kalau abang melihat belum ada jemaah yang datang, abang akan turun dan mengetuk pintu rumah dari satu pintu ke satu pintu, mengajak ke balaisah.

Abang seorang kanak-kanak pintar dan mudah memahami apa-apa diajarkan kepadanya. Abang seorang "pengingat" yang baik dan bersungguh dalam sesuatu pekerjaan. Kelebihan dan keistimewaanya, dia juga seorang budak rajin, bersungguh dalam melakukan kerja. Pantang disuruh dia akan "berkolai" lari untuk melakukan apa disuruh. 

Menurut arwah Mek, ibu saya (Hajjah Mekthom Haji Salleh), pantang disuruh dia akan celidar  berlari mengerjakan apa yang disuruh. Suruh apa sahaja yang mampu dengan kudratnya akan dilaksnakan dengan baik; menceduk air dari telaga untuk memenuhi kolah, menyusun kayu api, memunggah buah nyiur, mengulik adik-adik bobot atau apa-apa sahaja. Dia patuh dan tidak pernah mengatakan ah, atau uh jauh sekali melarikan diri, mengelak.

Mek adalah ibu tiri kepada abang, yang ikut sama mendidik abang diawal waktu Mek berkahwin dengan gemulah ayah. Sepanjang Chek ke Makkah abang dijagai sepenuhnya oleh Mek, yang dia panggil Maksu.

Peluang berada di bawah ehsan dan naungan Chek merupakan tuah besar buat abang. Disini dia mendapat didikan ilmu fekah, usul dan juga tasauf sedari kecil lagi. Peribadi dan saksiah abang dibentuk oleh Chek. Abang sering dibawa oleh Chek menghadiri majlis-majlis ilmu agama, menghadiri majlis tahlil, maulid nabi atau upacara tahnik bayi. 

Abang akan "mengolai" mengikut Chek, ketika inilah dia akan disapa dengan kata-kata pujian oleh rakan Chek atau orang kampung; "comelnya cucuk Pak Teh Haji ni, cerdik dan berjurus." Dan orang yang menyapa demikian akan mengelus-elus kepala abang dan menciumnya, diambil satu sen dua sen diberikan kepada abang. Abang juga sering disuruh membaca Quran surah-surah pendek kerana orang ingin mendengar kepetahannya menyebut huruf.

Buku rekod sekolah
abang yang saya simpan.
Setiap Jumaat pula abang akan tidak mis mengolai mengikut Chek ke masjid di Gual Periok yang jaraknya kira-kira satu kilometer dengan berjalan kaki. Atau kalau kebetulan hari Chek menadah kitab dengan Tok Guru Haji Harun atau mengajar, abang akan sepanjang hari bersama Chek, bersela lendik disisi Chek kekadang tertidur dipangkuan Chek.

Di waktu malam akan bersama jemaah balaisah mengikuti pengajian atau pun kuliyyah Chek. Dia akan tercatuk ditengah-tengah mengikuti apa yang dikuliyahkan. Abang tidak lekang dari menghadirinya dan dia tidak pun turun dari balai sah untuk beryoya yoya dengan bebudak lain, main berambat, main chuh ataupun membakar dedaun getah kering, sambil meniba asap selagi belum selesai mengajar. 

Chek membentuk keperibadiaan abang, berkahlak, mengertikan abang tentang hubungan dengan manusia dan juga dengan Allah. Hasil didikan itu menyebabkan orang kampung senang dan sayang kepada abang, orang kampung merasakan dirinya adalah cucu mereka semua. Lantaran itu abang sering diberikan hadiah berupa, wang, kopiah atau alatan permainan (toys). Toys ini juga abang akan kongsikan dengan aku dan main bersama. 

Segala ilmu agama, baik zahir atau batin (kerohanian) dituangkan Chek ke dalam diri abang. Abang seorang kanak-kanak yang kuat beramal sedari kanak, remaja hingga ke dewasa. Dia sangat yakin dan istiqamah dengan apa yang dipegangnya. Abang tidak akan peduli kepada fitnah dan cemuhan, bagi itu lumrah. Beliau pernah mengibaratkan hidup ini seperti tunas yang mahu keluar dari biji menghadapi pelbagai cabaran, jika lemah dan takut menghadapinya tunas itu tidak akan campah sebagai pokok.

Praktis. 

Abang akan praktiskan zikirullah itu dimana sahaja dia berada. Dalam erti kata lain beramal, melakukan taakaruf dengan Allah di alam kanak-kanak lagi. Abang juga menjadikan zikir sebagai teman dan pendinding dirinya. Lantaran miskin dan susah payah semasa belajar atau berjauhan dengan Chek dan keluarga, abang akan berpuasa sunat untuk menjimatkan perbelanjaan, dan amalan itu menjadi amalan hidupnya.

Memperihal akan kerajinan abang dalam berzikir ini, pernah sewaktu menemani Chek berkebun tebu dan nanas, abang tertidur di atas pokok ketereh condong. Puas Chek mencari tidak jumpa, saat itu menjelang Maghrib. Pokok Ketereh condong itu rupanya tempat abang berihat dan berkhalwat dengan Tuhan. Ditempat itu dia melakukan zikurllah, hingga tertidur, yang anehnya dia tidak terjatuh dari pohon ketereh condong itu.

Sehingga beliau melanjutkan pelajaran ke Kuala Lumpur, apabila sesekali pulang cuti semester ke kampung abang akan singgah kebun ini dan duduk-duduk di pohon ketereh condong itu. 

Tidak bebas seperti kanak-kanak lain. 

Semasa kecil dia tidak hidup seperti kanak-kanak lain, yang bebas bergaul dan juga "menota" tidak tentu hala, (berderat) ke mana sahaja. Kehidupan dan pergerakan abang dikawal rapi oleh Chek. Yang paling gemula Chek utamakan ialah solat, sebelum masuk waktu solat, baik Zohor, atau Asar atau Maghrib, abang kena pasti sudah bersimpuh datas sejadah. Sebilah rotan senantiasa diletakkan disisi mihrab di balai sah itu. Menurut abang, sepanjang hidupnya dia dirotan sekali sahaja oleh Chek.

Pintar dalam akademik.

Kepintaran abang dalam akademik tidak terkalah walaupun dia memasuki sekolah akademik Sekolah Kebangsaan Gual Periok Pasir Mas II, lewat setahun terus masuk ke tahun II. Kelewatan itu ada sebab musababnya juga. Gemula Chek mahu menghantar abang ke pondok, seterusnya ke Mesir mahu menjadikan abang figure dunia. Tetapi ia dibantah oleh bapak saudara abang, Allahyarham Wan Ibrahim Wan Salleh yang mahu abang dihantar ke sekolah akademik. Chek mengalah dan abang dimasukkan ke sekolah akademik. 

Sepanjang beliau bersekolah kebangsaan rekod pengajiannya sangat cemerlang.  Sepanjang peperiksaan penggal, markah disetiap mata pelajaran capai tidak kurang 90 peratus. Dia sering menjuarai nombor dalam kelas dengan meraih nombor satu, dan hanya satu penggal sahaja mendapat nombor dua, kerana pada peperiksaan penggal itu dia demam panas.

Selepas tamat di sekolah kebangsaan Gual Periok, beliau sambung di peringkat menengah di Sekolah Menengah Rantau Panjang. Di sekolah ini dia disayangi dan dijadikan anak angkat oleh beberapa orang guru. Dua guru yang menjaga hingga ke akhir riwayatnya ialah Allahyarham Cikgu Abdul Kadir Alwi dan Allahyarham cikgu Karim Hussein, yang kedua ini abang anggap sebagai abang. 

Kenangan bersama abang
semasa melancung ke Sri Lanka.
Keputusan cemerlang dalam peperiksaan LCE membolehkan beliau memasuki ke Sekolah Menengah Ismail Petra (SMIP) di Kota Bharu, sebuah sekolah yang terbaik di Kelantan ketika itu. 

Di sekolah ini beliaua bersama pelajar-pelajar miskin yang lain khsusunya dari luar bandar mendapat perhatian seorang guru berbangsa Inggeris yang berkhdimat di SMIP, Mr Holl. Beliau adalah salah seorang anak angkat Mr Holl yang abang panggil Ayah Holl.

Abang seorang yang aktif dalam persatuan dan cemerlang dalam bidang akademik. Semasa di SMIP beliau ditawar ke sekolah Tuanku Abdul Rahman (Star). Tetapi Chek tidak membenarkan kerana sekolah itu jauh dari kampung. Selepas tamat peperiksaan STP, abang ditawarkan memasuki Kolej Pertanian Serdang yang hari ini adalah Universiti Putera Melayasia (UPM).

Dialog atuk dan cucu.

Kemasukan abang ke Kolej Pertanian Serdang menjdi satu kebanggaan kepada penduduk kampung kami. Ia menjadi obor penyuntik semangat dan ditokoh yang idolakan. Dan pemergian abang ke Kolej itu juga menjadi titik berenggang jauh beliau dengan gemulah Chek. Saat perpisahan kedua mereka sesuatu yang sedikit misteri dan meneydihkan berlaku. Abang dipanggil balik dengan dikirimkan telegram memaklumkan Chek keuzuran sudah berminggu.

Sebelum abang pulang semula ke kampus, Chek sihat dan mereka sempat bersama untuk mandi di telaga raya. Di lokasi inilah berlaku dalog di antara dua bercucu ini yang hari ini baru dimengertikan mesejnya.

"Mat, esok Mat boleh dah balik ke Kuala Lumpur, kita dah pun berjumpa, Chek pun dah segar," kata Chek. Dan memang pun abang hanya mendapat kebenaran kolej dua hari sahaja untuk pulang. Beliau harus segera pulang ke kampus untuk menghadapi ujian semesta. 

"Cuma seperkara Chek nak pesan kepada Mat ," kata Chek, waktu itu menjelang Subuh. Kata-kata itu menjadikan abang terkulat dan tidak memahami.

Cerita Abang, Chek memberi tahunya apa yang hendak dipesankan itu, merupakan satu perkara penting, rahsia untuk dijadikan bukti atau pengesahan terhadap apa-apa yang Chek perkatakan. Perkara itu untuk dijadikan pegangan dan keyakinan kepada cucunya yang nama timbangannya Indara Bongsu.

Menurut abang Chek berpesan kepadanya apabila dia tiada nanti abang diminta memerhatikan kepada dua perkara. Pertama Chek akan meninggal hari Isnan sebelum Maghrib, dan kedua kubur Chek nanti akan berpasir puteh tanahnya tidak merah seperti lazimnya di perkuburan itu. "Mat perharilah kepada dua perkara ini," pesan Chek serius ujar abang.

Tegas Chek menurutnya, sekiranya dua perkara ini tidak berlaku atau wujud, Chek berpesan kepada abang setiap kali abang datang menziarahi pusara Chek, dia minta abang kencing atas pusara Chek nanti, sebagai tanda apa-apa yang Chek amanatkan, dan ilmu yang diberikan selama mendidik dan mengasuhnya selama hampir 30 tahun sebagai salah atau tidak benar. 

Selepas dialog dan mendapat amanat itu keesokkan abang pulang ke Kuala Lumpur. Dua hari selepas abang selesai menjalani peperiksaan Chek menghembus nafas terakhir pada hari Isnin sebelum menjelang Maghrib. Seminggu kemudian abang pulang dan terus ke rumah Allahyarham Pak Chek Leh penggali kubur di perkuburan Kampung Luar itu untuk bertanyaan keadaan kubur arwah Chek itu.

Walahi, saya menyaksikan bahawa setiap kali dibawa abang untuk meziarah kubur Chek di perkuburan Kampung Luar, saya tidak pernah sekali pun tengok abang kencing di pusara Chek. [wm.kl. 1:06 pm 25/08/2025]


3 comments:

Anonymous said...

Alhamdulillah. Terima kasih. Semoga arwah ditempatkan bersama hamba-hamba yang dikasihiNya. Amin.

Anonymous said...

Alfatihah. Pengakhiran yang baik untuk arwah chek dan Abang Tok Ti

Anonymous said...

Begitu pun terjadi sebagai sebuah bukti kebenaran ilmu.. namun hal ini amat sedikit orang yg mahu memahami dan megamalkan apa yang telah diperkatakan almarhum.. Al-fatihah..! Amen..!