Wednesday, August 21, 2024

Masa terbaik untuk Pas runding perceraian dengan Bersatu

Ceramah Mahiaddin yang timbulkan kontroversi. 

SUSUPAN PETANG

BAK sebuah perkahwinan ia sesuatu (binaan) yang tidak semestinya kekal abadi. Bahkan mengikut fekah perkahwinan, perkahwinan itu boleh dibatal atau dibubarkan, apabila kedua-dua pasangan sudah tidak sehaluan dan serasi lagi, sudah tidak dapat berbincang untuk mencari kebaikan. Perkahwinan bukan hak veto sang suami ataupun isteri, kecuali hal telah ditetapkan oleh agama dan adat peraturan.

Lantaran itu meskipun perceraian itu haram, tetapi ia dihalalkan.

Natijah atau muslihat disebalik fekah itu ialah untuk memberi kebaikan kepada kedua-dua pihak. Tidak baik serumah setangga tetapi tidur berbeza ranjang.

Demikian perkahwinan atau kerjasama Pas dengan Bersatu menerusi PN. Jika ia boleh diumpamakan sebagai perkahwinan tadi, tidak keterlaluan bagi Pas atau Bersatu untuk membubarkan perkahwinan itu. Apabila perkahwinan itu tidak mendatangkan kebahagiaan, apa lagi menimbulkan fitnah, kemudaratan maka ia perlu dibubarkan.

Lautan rumah tangga Pas - Bersatu kini bagaikan sungai yang tenang di atas, tetapi bergelora di bawah, bermasalah disebabkan ulah pemimpin Bersatu, terutamanya Mahiaddin Yassin tidak tahu untuk move on. Tindak tanduk Mahiaddin yang kurang bijaksana berpolitik menyebabkan sesetengah pimpinan Pas tidak senang dengannya. Ada kalanya tindak tanduk dan kurang pengertian politik itu menyebabkan Pas mengalami kerugian atau pun susut nilai di mata umum. Pas seakan menggalas biawak hidup dengan Bersatu. 

Ada beberapa peristiwa atau kejadian yang dilakukan Bersatu khasnya presidennya Mahiaddin kurang menyenangkan Pas malahan merugikan masa Pas. Bagi pemimpin Pas yang sedarhana dan merindui ketenangan politik, berpolitik secara rasional begitu serabut dengan telatah politik Mahiaddin.

Pertama apabila Pas, akur percaya kepada cerita dan jaminan Mahiaddin bahawa PN sudah mempunyai jumlah mencukupi untuk tubuh kerajaan selepas piraum lalu. Mahiaddin dakwa beliau ada 115 SD daripada wakil rakyat menyokongnya untuk dilantik jadi PM. Mahiaddin tidak berkerut kening memberi tahu presiden Pas, Hadi Awang. 

Tok Dor yang ghairah untuk jadi anggota kabinet ikut sama terliur dan berlawak dengan memberi tahu wartawan dari jendela kereta, "kita sudah cukup jumlah". Tok Dor tertipu hidup-hidup oleh Mahiaddin.

Ketepesonaan dan kepercayaan Tok Dor kepada Mahiaddin itu menyebabkan sebahagian pemimpin Pas yang lain kecewa. Namun apa yang mereka bisa lakukan kerana ketaatan dan ketaksuban maha hebat mereka ikut hanyut dalam mimpi dan kepalsuan dakwaan Mahiaddin. Sikap mudah percaya dan terlalu "temooh" untuk jadi kerajaan dari kalangan Pas telah memakan diri sendiri. 

Sebenarnya Mahiaddin memberi harapan yang tidak jelas kemudian menjadi kosong. Mahiddin telah menjanji pelangi indah buat Pas. Beliau tergopoh gapah menceritakan hal yang tidak pasti kepada Pas. Kerana terlalu ghairah Pas ikut sama tertipu menyebabkan Pas ikut mengheret pembohongan ke tengah masyarakat sehingga menyebabkan Pas dicemuh.

Sekiranya Mahiaddin reti dan faham politik beliau tidak boleh menari dan berdendang dengan jumlah SD 115 itu kerana ia bukan sesuatu yang mutlak. Digit yang mutlak bagi PN ialah 82 kerusi sahaja, manakala angka mengenapkan 115 kerusi itu datang dari luar yang tidak pasti. Disinilah kekhilafan besar Mahiaddin yang membawa beliau ke kancah kecewa dan kini dicemuhi. 

Sepatutnya Pas telah memahami akan kedudukan itu serta wibawa Mahiaddin yang hendak diangkat sebagai perdana menteri. Apabila episod mempersembahkan SD kepada Yang diPertuan Agong itu selesai, Pas sepatutnya mufarakah dari Bersatu dan membawa hala hidupnya sendiri tidak terus keasyikan mendengar janji dan harapan daripada Mahiaddin. 

Sebaik-baik tindakan buat Pas ialah mengambil pendekatan genjat senjata (ceasefire) dengan PH dan BN, kalau pun tidak mahu menyertai kerajaan Harapan. Pas patut menjadi janda buat seketika lagipun nilai dan harga janda itu menjadi lebih mahal.

Pas juga perlu mengerti yang Mahiaddin sebelum ini telah engkar dengan titah Yang diPertuan Agong yang minta agar dibentukkan kerajaan Perpaduan demi negara. Keengganan Mahiaddin dan menolak saranan Agong itu sesuatu yang biadap dan sangat merugikan Pas. 

Dan aksi terbaharu Mahiaddin yang ikut tambah mencalarkan Pas apabila beliau mengungkit kembali kisah dukacitanya itu di ceramah disuatu ceramah di Nenggiri. Beliau telah tidak semena-mena mengaitkan kegagalannya menjadi PM disebabkan Yang diPertuan Agong. Secara nyata beliau menyebut, walaupun sudah cukup jumlah tetapi tidak dipanggil menghadap untuk mengangkat sumpah. Ini suatu tuduhan atau kenyataan yang cukup menghiris hati Yang diPertuan Agong ketika itu.

Umum melihat kenyataan beliau itu sebagai tidak menghormat institusi raja-raja dan menimbulkan provokasi.

Apa diucapkan Mahiaddin itu serius, seolah beliau tidak berpuas hati dengan ending dalam pilihan raya lalu dan tidak menerima Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri. Natijah ucapan itu beliau telah dilaporkan kepada polis dan hari ini dipanggil untuk memberi keterangan dibawah akta hasutan.

Ucapan beliau itu bukan sahaja ditanggani oleh orang ramai, tetapi turut diberikan ulasan oleh Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.  Kita harus mengerti suara Tengku Mahkota adalah suara Tuanku Sultan Pahang sendiri. Baginda cukup kesal dengan tindakan Mahiaddin itu dan murka.

"Menerusi kenyataan dikeluarkan Istana Abdulaziz, Tengku Hassanal mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu yang secara sengaja menyentuh sentimen 3R (raja, agama dan kaum).

"Baginda menyifatkan kenyataan Muhyiddin selaku bekas Perdana Menteri dan ahli politik veteran sebagai memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kepada rakyat bahawa Al-Sultan Abdullah seolah-olah tidak berlaku adil ketika memilih Perdana Menteri ke-10." demikian kenyataan dipetik seperti dilaporkan.

Kemurkaan Tengku Mahkota itu difahami oleh timbalan presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man, yang telah membuat kenyataan menyatakan taat setia kepada Tuanku, dan beliau menyatakan yang seluruh Adun Pembangkang Pahang taat setia kepada Sultan Pahang dan menyokong titah Tengku Mahkota.

"Adun PN Pahang menyokong penuh titah Tengku Mahkota Pahang berhubung ucapan Muhyiddin semasa berkempen di Nenggiri agar satu siasatan yang adil dijalankan atas dakwaan tersebut.

"Kami meletakkan keyakinan sepenuhnya kepada pihak polis bagi menjalankan tugas mereka dan semua pihak tidak perlu menimbulkan polemik serta hendaklah akur terhadap titah tuanku,” demikian ujar Tuituman dalam satu kenyataan media yang dikongsikan di Facebook petang ini.

Kenyataan Tuituman itu menjelaskan bahawa Pas tidak sedia dibabitkan dengan Mahiaddin dan mempunyai pendirian dan pandangan berbeza. Kenyataan dibuat Tuituman itu menunjukkan bahawa Pas tidak bertanggungjawab dengan kenyataan Pengerusi PN itu yang telah menyinggung hati Al Sultan Abdullah dan kerabat di raja lain.

Apa yang dilakukan oleh Mahiaddin yang kurang cermat dan ikut mengaitkan nama Al Sultan Abdullah itu meninggalkan kesan mendalam. Walaupun dia mengakui kenyataan itu tidak berniat untuk menyentuh kedudukan Raja-Raja, tetapi kenyataan dibuat oleh Tengku Mahkota itu memberi konotasi suasana yang tidak kondusif di antara Istana Pahang dengan Mahiaddin. Dan disebabkan Pas kerabat rapat dengan Mahiaddin, ia tertimpa sama ke atas Pas. 

Bukan mudah untuk menjernihkan semula hubungan ini. Ibarat telor yang pecah walaupun ditapu ia sudah retak. Apa lagi isu yang terkuat sekarang ini telah dijadikan isu politik. Ucapan Mahiaddin di Nenggiri itu tidak boleh ditutup padam lagi. Ia sudah menjadi sebahagian sejarah. Demikian juga dengan penzahiran kemurkaan Tengku Mahkota Pahang itu tidak boleh ditarik balik. 

Tindakan terbaik.

Justeru disinilah saya mengira waktu terbaik untuk Pas memikir kembali hubungannya dengan Bersatu. Atau setidak-tidaknya kalau Bersatu masih kekal Mahiaddin sebagai presiden dan dia menjadi pengerusi PN, Pas perlu memikir kembali akan untung dan rugi dengan kedudukan itu. 

Pas hari ini adalah parti Melayu terbesar dan sedang mendapat kepercayaan orang Melayu. Jangan hendaknya peristiwa yang dicetuskan Mahiaddin itu mengeruhkan hubungan Pas dengan institiusi raja dan mengurangkan sokongan Melayu. Apa lagi sebelum ini sudah ada pemimpin Pas yang didakwa kerana menyentuh kedudukan raja-raja atau mempersendakan raja-raja. Tidak sesuai untuk Pas menambah penyakit atau beban baru dengan apa dilakukan Mahiaddin itu. 

Justeru, yang terbaik bagi Pas memutuskan hubungan dengan Bersatu. Pas tidak perlu memikir panjang atau masih yakin yang Mahiaddin akan jadi PM. Harapan itu sudah musnah dan sudah ke sungai Nenggiri dan hanyut ke laut. Pas perlu membersih diri bagi menghadapi pilihan raya akan datang dalam keadaan suci. 

Dalam masa sama Pas perlu memperkuatkan kedudukannya, mengurangkan ketegangan menimpa partinya dengan menjauh komponen bermasalah. Sebaik-baik tindakan ialah bububarlah perkahwinan dengan bersatu demi maslahat dan masa depan Pas. [wm.kl.7:32 pm 21/08/2024]

No comments: