Friday, September 20, 2024

GISB oh GISB

ULASAN

SAYANG memang sayang, sedih memang sedih dan terkejut memang terkejut. Itulah gumpalan perasaan yang berombak dalam diri apabila mengenangkan nasib dialami Global Ikhwan Sdn Bhd. (GISB) yang kini sedang menghadapi musibah disiasat polis diRaja Malaysia (PDRM). 

Dunia GISB kini semacam diambang kiamat. Sekelip mata sahaja.

Selepas polis menahan untuk diselamatkan 402 orang kanak-kanak, semalam 19 orang pimpinan tertinggi syarikat korporat itu termasuk Pengerusi dan CEOnya Nasiruddin Mohd Ali telah ditahan polis untuk direman dan disiasat mengikut beberapa akta.

Nampaknya kehebatan dan kebanggaan GISB yang merupakan jelmaan baru Darul Arqam diharamkan itu oleh anggota dan penyokong serta simpatisnya akan berakhir.

Kita percaya selepas ada pimpinan tertinggi GISB dan mereka terkait dengan tuduhan pengeksploitasi dan pengabaian kanak-kanak dan terbabit dengan sesksual akan didakwa dalam kadar segera. Pendakwaan ini bagi meredahkan pro kontra di atas tindakan pihak berkuasa itu.

Satu fatwa juga dijangka akan dikeluarkan selepas ini oleh pihak Jawatan Kuasa Fatwa Kebangsaan atau sebagainya, bagi mengistyharkan bahawa sistem kehidupan GISB sebagai haram dan sesat. Begitu juga beberapa pihak lain seperti pejabat pendaftaran perniagaan (ROC) juga akan mengambil tindakan.

 Apa yang akan beraku selepas ini, GISH akan lumpuh dan hansur begitu saja. Pelagai aset milik GISB akan merebut begitu saja seperti mana berlaku kepada aset pertubuhan al- Arqam dahulu. 

Manakala para pengikut GISB mereka menjadi mangsa akan dipanggil untuk dipulih dan diberikan kesedaran seperti mana dilakukan terhadap anggota Darul Arqam dahulu. Kita berharap agar pemulihan kemudian pemantauan akan dijalan sepanjang masa dan tidak mudah menyakini mereka akan insaf dan sedar.

Apa yang menimpa GISB itu tidak boleh disalahkan kepada mana-mana pihak melainkan GISB sendiri. Dalam kes GISB ini ia bukan salah ibu mengandung. GISH gagal mengambil iktibar terhadap apa yang berlaku kepada jemaah mereka sebelum ini Darul Arqam. Dalam kata lain bekas al Arqam itu belum insaf dan masih berpegang kepada kepercayaan tahyul mereka. 

Peluang diberikan kerajaan selama 30 tahun untuk pulih daripada mempercayan dan memuakin ajaran salah (Aurad Muhammadiyah versi Ashaari Muhammad dan Khatijah Aam) disia-siakan begitu sahaja yang akhirnya membawa merana untuk kali ke tiga. 

Sudah tiga kali maka cukup dan khalaflah buat bekas Al Arqam dan GISB. [wm.kl.10:29 am 20/09/2024]



Sunday, September 15, 2024

Tolak MoU PN sengaja mahu seksakan rakyat

ULASAN

PERIKATAN Nasional (PN) secara rasmi menolak MoU dengan kerajaan Perpaduan daripada menerima peruntukan bagi kawasan parlimen diwakilinya. Perkara itu dinyatakan oleh ketua pembangkang Hamzah Zainuddin dalam satu kenyataan hari ini. 

Penolakan itu menunjukkan kedegilan dan keenggan pihak pembangkang untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi kepentingan rakyat umum. PN jelas mementingkan politik peribadi dan mengekalkan fahaman jumudnya daripada menzahirkan politik professional dalam negara ini dan terus mengingkari titah Yang diPertuan Agong sebelum ini.

Hamzah memberi tahu pembangkang menjadikan alasan ada empat syarat yang ditetapkan dalam MoU itu tidak dapat diterima oleh pihaknya termasuk, ianya tidak menjamin keistimewaan orang Melayu dan bumiputera yang dijamin oleh Perlembagaan.

Selain itu katanya, MoU tersebut mengandungi syarat-syarat yang dilihat bertentangan dengan nilai tradisi, nilai budaya, nilai moral, agama serta nilai-nilai tempatan.

Tambahnya lagi deraf MoU tersebut juga tidak mempunyai satu mekanisme yang jelas dan keadaan ini boleh membuka ruang kepada berlakunya apa-apa pelanggaran, mungkir janji atau ketidakpatuhan secara ex-parte.

Selain itu dalih pembangkang, MoU itu juga turut mengandungi perkara-perkara yang dilihat mengongkong kebebasan bersuara ahli Parlimen, sedangkan setiap ahli Parlimen mempunyai hak dan imuniti untuk bersuara bagi pihak rakyat mengikut Akta 347 Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.

Manakala presiden Pas Abdul Hadi Awang (Tok Dor) dalam kenyataannya menyokong penolakan itu menganggap perjanjian (MoU) berkenaan tidak mengikut sifat tabii amalam demokrasi yang menempati ajaran Islam.

Beliau memberi contoh bagaimana kerajaan Persekutuahn telah membatalkan perjanjian royaliti minyak untuk Kelantan dan Terengganu.

Penolakan tawaran itu menunjukkan pembangkang enggan bekerjasama dengan kerajaan dan masih terus mahu berpolitik tanpa ada senggang, rehat. Penolakan itu juga menunjukkan keegoisan pembangkang yang masih mengigau untuk mengambil alih kerajaan secara rampasan alias tebuk atap.

Dengan tindakan itu pembangkang mengira ia memberi keuntungan kepadanya kerana ia boleh dijadikan modal, untuk menjual cerita kepada rakyat bahawa kerajaan Madani kini zalim tidak adil dan sebagainya. 

Kerana ghairah untuk berpolitik mereka tidak sedar penolakan itu suatu tindakan tidak bijak dipihaknya kerana ia mengabaikan pembangunan dan bantuan infastruktur untuk rakyat. Penolakan itu tidak ubah pembangkang sengaja mahu mengsangsarakan rakyat di kawasannya dengan itu rakyat marahkan kerajaan dan kekal menyokongnya. 

Peruntukan dijanjikan itu merupakan peruntukan khas kepada wakil rakyat bagi kemajuan di sesuatu kawasan parlimen diwakilinya seperti mana dinikmati ahli parlimen kerajaan. Apabila perjanjian dan tawaran itu ditolak, maka tiadalah peruntukan tersebut disalurkan melalui ahli parlimen pembangkang.

Bagaimana pun rakyat dalam kawasan diwakili pembangkang tetap menerima peruntukan tersebut yang akan disalurkan menerusi kaedah lain, apabila pembangkang tidak bersedia untuk bekerjasama jadi pemudah cara untuk membantu rakyat.

Ada baiknya juga dengan penolakan itu, kerana ia memberi peluang terbaik untuk kerajaan membentuk badan atau agen memudahkan penyaluran wang dan pembangunan ke kawasan pembanagkang. Satu mekanisme perlu diwujudkan agar rakyat dalam kawasan diwakili pembangkang tidak ternafi menikmati pembangunan dan kemudahan sama seperti di kawasan diwakili kerajaan.

Untuk memastikan peruntukan itu dapat disalurkan dengan teratur, kerajaan perlu mewujudkan penyelia parlimen ataupun pengarah parlimen di kawasan-kawasan berkenaan. Terdapat 74 kawasan parlimen yang diwaikili PN.

Pelantikan penyelia atau pengarah parlimen ini perlu disegerakan demi kemudahan rakyat. Pihak kerajaan juga tidak perlu menimbang atau berlembut dengan pembangkang lagi untuk menerima MoU berkenaan. Sikap tolak ansur dan lemah lembut kerajaan selama ini dengan pembangkang sudah mencukupi. Apa yang perlu difokus kini ialah kepentingan rakyat.

Penolakan MoU itu tidak merugikan apa-apa pun di pihak kerajaan, sebaliknya ia menjadi bukti kepada rakyat akan sikap timbang rasa kerajaan dan azam mahu mewujudkan susana politik kondusif, tetapi tidak diterima pembangkang.

Kalau pembangkang mengambil sikap degil, egois maka wajar kerajaan juga melayan sikap itu dengan rasa ego dan sombong, kerajaan kena menari mengikut gendang, apa lagi kerajaan mempunyai kuasa penuh dan mendapat sokongan lebih 2/3 di parlimen untuk terus memimpin negara ini.

Kesimpulannya penolakan MoU dan tawaran kerajaan itu menjelaskan pembangkang secara tidak langsung mahu menyeksakan atau menganak-tirikan rakyatdiwakilinya agar ia dilihat umum kerajaan hari ini zalim dan tidak adil adil. Kerja pembangkang ini menimbulkan persepsi buruk dan membuat naratif jijik.. [wm.kl. 6:01 pm 15/09/2024]

Saturday, September 14, 2024

Politik unta tua dalam Pas

ULAS MUKTAMAR

APA yang jadi perhàtian orang ramai yang berlaku di muktamar Pas ke 70 di Kerdau Pahang hari ini apabila pengerusi tetap muktamar Cikgu Husin memaklumkan keseluruhan teks ucapan perasmian oleh Tok Dor disediakan dan dikarang sendiri olehnya (Tok Dor). 

Tok Dor ketika membaca teks 
perasmian muktamar.
Apa yang boleh difahami wawasan dan gagasan parti atau sebarang keputusan dan ketetapan yang diutarakan adalah suara hati Tok Dor, bukan rumusan daripada jawatankuasa Pas. Selalunya intipati ucapan presiden akan dibincang dalam jawatankuasa parti terlebih dahulu sebelum dilafazkan oleh presiden terutama perkara dasar dan politik.

Apabila Tok Dor mengatakan dia tidak berhasrat untuk bekerjasama dengan PH dalam semua bentuk, bermakna ketetapan itu hanya dibuat oleh Tok Dor secara peribadi dan bukan kolektif.

Tok Dor awal-awal selak terus pintu mahhabah dan ukhwah daripada dibincang dalam muktamar tentang pendekatan politik demi masa depan negara. Keadaan ini menjadikan muktamar itu tidak lebih daripada perkup ayam, dimana para ahli Pas dimasukkan ke dalam bagi membolehkan Tok Dor melakukan doktrininasi. Politik satu hala dari atas ke bawah dalam Pas kian menjadi-jadi dibawah pimpinan Tok Dor.

Kenyataan Tok Dor itu telah memacung dan meracuni hasrat pemimpin-pemimpin lain khasnya pemimpin di negeri² dikuasai Pas di Kelantan, Kedah, Terenggganu dan Perlis yang mahu hubungan kerajaan negeri negeri itu dengan kerajaan Pusat dinilai semula demi kepentingan politik Pas di negeri berkenaan.

Kita boleh faham kenapa mereka kecewa dengan keputusan Tok Dor itu kerana yang memikul beban pentadbiran di negeri itu mereka, bukan Tok Dor. Tok Dor hanya mampu berkhutbah dan berdoa saja yang tidak dapat selesaikan masalah. Susah senang negeri yang mereka tadbirkan hanya diketahui oleh pemimpin di peringkat negeri berkenaan, bukannya Tok Dor.

Selama mana Pas hendak hidup dan seronok dengan politik retorik?

Ketetapan dan keinginan Tok Dor itu juga tidak bestari dan bersifat angkuh dan sombong serta dia masih mempercayai kepada Mahiaddin Yassin (Bersatu) yang terus memperdayakannya. Tok Dor semacam merelakan dirinya merebut dalam penipuan oleh Mahiaddin.
 
Politik begitu juga bertentangn dengan tema muktamar itu sendiri yang berbunyi "Islam Menyelesai Masalah" telah bertukar menjadi Islam memecah belah.

Justeru sudah sampai masanya politik bodoh sombong Tok Dor dilanggar begitu sahaja. Tidak ada guna dan faedahnya memelihara unta tua yang sudah ketandusan akal. [wm.kl. 5:45 pm 14/09/2024]


Friday, September 13, 2024

Hussein Ahmad namanya terpahat di kanvas politik Kelantan

 BELASUNGKAWA

Ketika saya menziarahinya
dirumahnya tahun 2011.
HUSSEIN AHMAD (Tan Sri), antara tokoh politik Kelantan yang hebat dikenali sebagai "gedebe." Dalam konteks politik Kelantan namanya tidak perlu diperkenalkan lagi. Dengan nama jolokan Hussein Serama, beliau gah bukan saja di Kelantan bahkan di seantero negara juga. 

Hussein dikenali sebagai seorang yang gedebe kerana keberaniannya dan Serama kerana ketampanan wajahnya.

Gedebe bahasa darat orang Pattani yang dikaitkan dengan samseng atau berani, orang yang tidak hairankan kepada orang.

Beliau dianggap gadebe kerana keberanian dan kelantangan, baik semasa berhadapan dengan Pas atau dalam menyokong dan berpihak kepada mana-mana puak atau individu dalam partinya sendiri Umno, yang menurutnya sebagai benar. Beliau seorang berprinsip dan tegas.

Lantaran keberaniannya juga menyebabkan anugerah gelaran membawa Dato' dikurniakan oleh Sultan Kelantan ditarik balik dan beliau menyembah untuk mengembalikan sendiri darjah kebesaran tersebut.

Sewaktu Tengku Razaleigh berlawan dengan Dr Mahathir Mohamad merebut jawatan presiden Umno, Hussein menyokong Mahathir walaupun beliau senegeri dengan Tengku Razaleigh.

Aura kegedebelan Hussein sewaktu wujudnya skuad Pemuda Tahan lasak Pemuda Umno, di tahun 1969. Hussein salah seorang pemuka dalam skuad ini yang menjalankan kegiatan kempen dan propaganda untuk meraih sokongan kepada Umno. 

Dalam masa sama skuad ini menjadi pasukan menggempur Pas untuk membendung pengaruh Pas. Pemuda Umno bertindak sebagai skuad penggempur dan juga menjalankan kegiatan provokasi, ugut dan serang Pas. Ketika itu beliau adalah timbalan ketua pemuda Umno Kelantan.

Nama Hussein setanding dengan nama-nama tokoh lain daripada parti lawannya di Kelantan Pas, seperti Mohd Asri Muda, Zahari Awang, Nik Abdul Rahman, Nik Abdul Aziz Nik Mat dan lain-lain. 

Rona politik Hussein dilihat gasan dan gedebe tetapi dari sudut lain Hussein mempunyai wajah politik tersendiri serta seorang ahli politik disenangi kerana prihatin kepada rakyat. Beliau seorang yang cukup diplomasi dan bijak dalam mempengaruhi masyarakat dengan gayanya tersendiri. PRnya sangat baik menyebabkan beliau disenangi semua lapisan dan peringkat umur. Orang lebih muda daripadanya memanggilnya abang Sin manakala yang muda memanggilnya ayah Sin.

Sepanjang penglibatanya dalam parti Umno beliau memegang berbagai jawatan. Di peringkat bahagian sebagai Ketua Umno Rantau Panjang, di peringkat negeri sebagai timbalan pengerusi badan perhubungan Umno Kelantan. Manakala di peringkat pusat sebagai ketua penerangan Umno Malaysia.

Jenazah Ayah Sin sebelum 
disembahyangkan di masjid Lemal.
Menyentuh jasa besar beliau dalam Umno ialah, membantu Dr Mahathir Mohamad untuk menghidupkan semula Umno selepas diharamkan tahun 1988. Menurut Mohd Sobre Shafii yang merupakan anak didiknya dalam politik dan pernah berkhidmat sebagai pegawai dibawah kendalian Hussein, beliaulah memberi semangat dan keyakinan kepada Mahathir agar menghidupkan semula Umno.

Dalam kerajaan pula beliau pernah menjadi Exco kerajaan Kelantan, Timbalan Menteri Besar Kelantan dan diperingkat pusat menjadi Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, serta pernah dilantik memegang Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada), selain pernah menjadi Ketua I Persatuan Penulis Kelantan (PKK) dan juga presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa). 

Sepanjang lebih 70 tahun penglibatanya dalam parti, Hussein banyak meninggalkan jasa dan bakti baik kepada parti Umno dan juga kerajaan. Beliau kembali ke Rahmatullah awal pagi ini dalam usia 90 tahun sesudah beberapa tahun ke belakangan ini keuzuran kerana parkinson. 

Sewaktu kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Kelantan baru-baru ini dalam rangka berjumpa dengan PM Thailand saya cuba usahakan agar Anwar bertemu dengan Allahyarham, tetapi malangnya tidak kesempatan.

Saya ke rumah Allahyarham dan didapati rumah itu sunyi sepi seperti tidak berpenghuni. Beberapa kali loceng ditekan dan salam diberi namun tanpa terjawab. Bagi mereka ingin mengetahui lebih lanjut penglibatan dan sukaduka Allahyarham dalam dunia politik, boleh ikuti catatan saya tentang beliau dalam memoir saya yang sedang dalam proses pererbitan kini. Allahyarham antara sosok yang menjadi tokoh yang dikisahkan dalam memoir itu secara mendalam dari sejak awal saya mengenalinya hingga ke saat-saat akhir.  [wm.kl. 1:18 pm 13/09/2024]

Sunday, September 8, 2024

Isu GISB biar kerajaan tentukan

MENITIK MALAM

Dr Mohd Na'im Mokhtar
ISU Global Ikhwan Sendiri Berhad (GISB), yang kini sedang menggelegak sudah sampai ke pengetahuan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mohd Na’im Mokhtar. Semalam beliau telah mengeluarkan kenyataan khusus berhubung isu itu dimana pihaknya tidak akan berkompromi dalam isu berkaitan aqidah umat Islam kerana ia adalah perkara asas dalam Islam yang mesti dipelihara setiap masa.

Sehubungan itu ujar Dr Mohd Na’im, beliau akan mengada pertemuan segera dengan pihak GISB Holding bagi mendapat maklum balas serta penjelasan berhubungan dakwaan penglibatan syarikat itu dengan ajaran sesat Al Arqam dan Rufaqa.

Sehari dua ini tular dalam media sosial yang GISB sebuah syarikat perniagaan yang diwujudkan selepas terkuburnya jemaah Darul Arqam telah didakwa cuba menghidupkan semula fahaman sesat Al Arqam dalam syarikat tersebut. 

Apa yang turut sama ditaburkan dalam medsos, GISB telah mempergunakan tenaga kanak-kanak dan wanita untuk kepentingan perniagaan serta mengamalkan cara hidup yang tidak Islamik dan berlaku penganiayaan. Disamping itu berbagai cerita mencemarkan syarikat berkenaan ditimbulkan.

Kesan daripada penularan secara terancang itu telah menimbulkan masalah kepada syarikat berkenaan yang didakwa beroperasi di beberapa buah negara. Seperti mana diakui sendiri oleh pengerusinya Nasiruddin Mohd Ali, barangan keluaran syarikat itu kini termasuk makanan dan restoran dipulau oleh masyarakat umum.

Nasaruddin dalam satu klik video di Tiktok menzahirkan rasa dukacita dan kesal dengan apa yang berlaku dan menganggap ia adalah fitnah.

Dalam satu kenyataan lain Nasiruddin menyatakan kesediaan untuk syarikat korporat bernuansakan Islam itu disiasat bagi dibersihkan segala tuduhan buruk ke atasnya.

Nasiruddin Mohd Ali
Dalam kenyatana itu juga Nasiruddin menyakini 98 peratus mereka bertanggungjawab menyebarkan fitnah dan memburukkan GISB ialah bekas-bekas pengikut atau pun pekerja GISB sendiri yang sengaja ditimbulkan kerana kebencian dan cemburu dengan pencapaian GISB. 

"Kejayaan GISB mengadakan Ekspo Perdagangan dan Pelancongan Islam Antarabangsa (IITTE) di Melaka baru-baru ini ini mendorong pihak itu menyerang GISB", kata Nasiruddin. 

Memahami apa diucapkan Nasiruddin itu, apa yang berlaku sekarang ini adalah angkara bekas-bekas pengikut atau pendukung GISB sendiri. Jadi masalah yang menimpa GISB itu adalah masalah dalam yang dibawa eksporat untuk mendapat perhatian umum khasnya pihak berkuasa kerajaan dengan niat melakukan sesuatu tindakan ke atas GISB.

Justeru, adalah elok kalau kerajaan menerusi Jakim dan insitusi berkaitan termasuk Polis diRaja Malaysia (PDRM), memanggil pihak GISB untuk mendapat penjelasan sejelas-jelasnya. Siasatan secara menyeluruh perlu dilakukan dengan penuh terbuka dan saksama agar tidak berlaku penganiyaan kepada mana-mana pihak.

Peristiwa yang pernah menimpa jemaah Darul Arqam ditahun 1994 lalu perlu diambil iktibar. Disebabkan tindakan itu berdasarkan maklum kurang tepat menyebabkan jemaah itu dihancurkan, akibatnya membawa kerugian kepada para pengikutnya yang tidak berdosa.

Penghancuran Darul Arqam bukan sahaja membendung ajaran dan fahaman salah Al Arqam setelah pewujudannya selama 26 tahun, tetapi ikut memusnahkan juga institusi pendidikan, pertanian, kebudayaan dan perniagaan dan lain-lain lain yang dibentuk dan dicambahkan oleh jemaah berkenaan. Hendaknya jangan pisang berbuah dua kali.

Kita meletakkan keyakinan penuh kepada kebijaksanaan Menteri Agama Dr Mohd Na’im menangani isu GISB ini dengan bijaksana, adil dan tidak bertindak hanya berdasarkan maklumat sebelah pihak tanpa menyiasat jauh ke dalam syarikat korporat bernuansa Syariat Islam itu.

Dalam pada itu timbul juga kehairanan apakah pihak Jakim khasnya yang bertanggungjawab memantau bekas-bekas jemaah Al Arqam yang sudah mengaku kembali ke jalan benar dan bertaubat selama ini, tidak dapat mengesani apa yang berlaku dalam GISB kini atau institusi itu tidak menjalankan tugas?  [wm.kl. 8:16 pm 08/09/2024]

Saturday, September 7, 2024

Mengapa Hadi tidak bekerjasama dengan Anwar?

ANALISA 

Foto kenangan ini menunjukkan keakraban
mereka berdua, betapa sayangnya Hadi
kepada Anwar.
APABILA membicara dan memikirkan politik Melayu dan Islam, satu pertanyaan yang timbul dan tidak pernah ada jawaban konkrit ialah, mengapa Abdul Hadi Awang tidak boleh bekerjasama dengan Anwar Ibrahim? 

Secara logiknya, waktu inilah terbaik untuk mereka jalini kerjasama demi untuk mendaulatkan bangsa dan memartabatkan Islam di negara ini. Peluang yang dimiliki kedua-dua pihak ketika ini cukup baik dan besar bagi merealisasikan apa yang diperjuangkan selama ini.

Hadi adalah presiden Pas sebuah parti Melayu terbesar dan berpengaruh ketika ini, manakala Anwar presiden Keadilan, parti multiracial mempersatukan semua bangsa di negara ini, dia juga kini Perdana Menteri. 

Jawatan disandang oleh Anwar itu adalah tertinggi, dengan jawatan itu apa saja didambakan demi memenuhi tuntutan perjuangan dapat dipenuhi sekiranya disokong dengan padu.

Dengan jawatan itu Anwar boleh mengimplimenkan cita-cita bersama Abdul Hadi sebelum ini, baik semasa jadi pembangkang (Pakatan Rakyat) dan juga semasa diawal perjuangan ketika mereka sama-sama menggerakkan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), di awal tahun 1970an.

Bukan itu sahaja, mereka dilihat tidak perlu bersengketa di antara satu sama lain, kerana itu menghabiskan tenaga dan masa yang merugikan negara. Ia tidak seharusnya berlaku kerana mereka berasal dari umbi perjuangan sama dan menggalas matlamat dan keazaman serupa. 

Yang membezakan mereka hanya acuan sedangkan tepong yang hendak dimasak itu dijadikan kueh daripada bancuhan sama. Adalah pelik dan menghairankan kalau dari baka perjuangan sama, tetapi jadi menyimpang dan bakut di persimpangan jalan. Kematangan perjuangan sepatutnya memantapkan lagi jiwa perjuangan. 

Rengkas kata mereka menduduki sekolah perjuangan dan idealisme sama dalam ABIM. Kebersamaan itu tidak sepatutnya mereka berenggang atau pun gelincah pendapat dalam soal membangunkan negara, mendaulat bangsa dan memartabatkan Islam di negara ini. Mereka mempunyai azam dan cita-cita sama. Perbezaan acuan tidak sepatutnya memberaikan tepung sebaliknya harus memadukan lagi tepong bagi menghasilkan kueh bermutu dan lazat.

Tetapi tidak seperti diharapkan itu. Kerana situasi itu menyebabkan pertanyaan dan kemusykilan itu timbul kenapa mereka tidak boleh bersama malahan keadaan akhir-akhir ini agak tajam. Ini menyebabkan minda umum terdampar dengan kemusykilan berat itu. Abdul Hadi seakan tidak pernah menjatuhkan busur panahnya menunding ke arah Anwar dan menyerang kerajaan Madani.  Seperti ada dendam besar yang mendekam jiwa presiden Pas itu. Kenapa?

Salam mereka masih kemas.
Saya cuba membuat analisis sendiri, berpendapat secara peribadi mereka tetap masih menyimpan keazaman dan cita-cita sama untuk Malaysia tercinta ini. Cuma apa yang membezakan mereka dari segi teknik dan strategi bagaimana untuk capai maksud itu. 

Ia umpama pemakaian baju dan seluar maslahatnya sama adalah untuk menutup aurat, cuma bezanya fesyen dan warna kain baju dan seluar itu saja. Ertinya mereka tetap bermatlamat sama, dipisahkan sedikit oleh keegoaan. Justeru jika diaturusahakan dengan baik dan sabar perbezaan ini dapat diatasi. Insya-Allah.

Sesuatu masalah itu ada penyelesaiannya, dan sesuatu kerusutan itu ada pengusaiannya. Banyak orang membuat berbagai andaian berkaitan Abdul Hadi dengan Anwar ini. Dalam hal ini, umum tidak melihat yang menjadi puncanya Anwar, sebaliknya yang menjadi masalah adalah Abdul Hadi Awang, kerana Anwar kini mendiamkan diri sahaja, setiap lontaran dan kebencian diluahkan Hadi terhadapnya tidak dilayani. Apa lagi setelah jadi PM, Anwar dilihat berada dipihak yang menang dan benar. 

Perbezaan dan perkadasan akal atau manhaj perjuangan di antara keduanya, sudah ada usaha untuk memulihkannya. Peristiwa pertemuan Saifuddin Nasution Ismail dengan Abdul Hadi dalam rangka ini telah berlangsung dan menjadi usaha terakhir untuk mengeratkan kembali hubungan mereka berdua. 

Saifuddin cuba menjadi biduk untuk menautkan kiambang. Malangnya usaha itu gagal, Saifuddin pulang dengan tangan kosong disamping hati sedikit terluka. Peristiwa itu menyebabkan Saifuddin tidak sanggup lagi untuk melihat api kemarahan Hadi marak di hadapannya.

Usaha pihak luar.

Kerana melihat pentingnya kedua kawan dan sahabat ini berada dalam satu wadah untuk kemajuan negara bangsa, mendaulatkan bangsa dan memartabatkan agama, maka usaha itu tidak terhenti disitu sahaja. Atas kepentingan itu perlu diusahakan, kerana mereka berdua bukan saja untuk Malaysia, tetapi seluruh dunia umat Islam, ataupun setidak-tidaknya di Nusantara. Lantaran itu ada pihak luar turut berikhtiar  mendamaikan mereka. 

Mereka yang mengambil inisiatif ini setelah menyedari umat Islam Nusantara sangat mengharapkan ada pemimpin dan negara dijadikan model buat mereka teladani dan berlindung. Dan waktu ini Malaysia yang dipimpin oleh seorang berjiwa besar dan komited dengan Islam serta memahami falsafah antara bangsa adalah terbaik. Tidak boleh dinafikan dengan keberanian dimiliki Anwar beliau dihormati dan disegani seluruh dunia Islam atau Barat.

Semua orang bahagia kalau aksi ini
menjelma kembali.
Sekarang ini ada pihak luar terdiri daripada rakan kedua mereka sedang berusaha untuk menangkup kembali kedua insan ini. Melalui pihak tertentu diusahakan agar keduanya dapat duduk semeja seperti sebelum ini. Usaha mendamaikan perbalahan satu pihak itu sedang dilakukan walaupun melalui jalan sukar. 

Kita berdoa dan berharap dengan usaha pihak luar yang juga merupakan kawan dan sahabat baik kedua-dua mereka akan berhasil dan mencapai tujuan yang baik. Biar lambat asalkan selamat (berhasil). 

Apa yang menghairankan umum, sebelum ini mereka baik-baik saja dan nampak intim dalam satu wadah perjuangan. Misalnya sewaktu Anwar diasak fitnah oleh regim Dr. Mahathir Mohamad dengan isu liwat, Abdul Hadi bangkit membela kawannya itu dengan menulis sebuah buku khas mengenai Qazaf. Buku itu membela habis-habisan Anwar yang teraniaya dan memberi peringatan kepada pelaku. Anwar tentulah menyambut baik usaha Abdul Hadi itu dan melihat itulah yang patut dilakukan oleh seorang sahabat.

Secara makrifatnya sukar untuk difahami kenapa Abdul Hadi tidak dapat menerima Anwar hari ini dikala kawannya itu sudah berada dipuncak memiliki kuasa untuk memungkinkan mereka melaksanakan apa yang digagas semasa dalam ABIM dahulu. Cuma Abdul Hadi memberi helah politik, kenapa dia tidak sejalan dengan Anwar kerana Anwar berkawan dengan DAP menerusi Pakatan Harapan. DAP digambarkan sebagai penghalang kesenimbungan persahabatan mereka. Bagi Hadi isu fitnah yang menimpa ke atas Anwar tidak menjadi masalah buatnya. 

Dengan menggunakan alasan DAP itu, apakah kalau Anwar meninggalkan DAP, Abdul Hadi sedia untuk membawa Pas bersama Keadilan? Atau pun sebenarnya itu adalah alasan politik dangkal Abdul Hadi semata-mata, dan beliau kini makin menjadi lunatik kepada Anwar kerana ada berbagai hasutan yang dilakukan oleh orang berkepentingan. Apakah beliau sedar kalau beliau sedang dihasut dan diperalatkan oleh mereka yang membenci Anwar. 

Yang saya nampak.

Apa yang nampak jelas Hadi mula renggang dan kurang mesra dengan Anwar setelah ketiadaan Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat. Walaupun saat Nik Aziz masih ada beliau sudah menjadi presiden Pas, tetapi kedudukan Nik Aziz sebagai Mursyidul Am menaunginya. Persahabatan atau hubungan Hadi dengan Anwar dipancukan oleh keberadaan Nik Aziz, apa lagi bekas MB Kelantan itu sangat menyayangi Anwar Ibrahim.

Apabila diselidik dan membaca sejarah persahabatan, perjuangan mereka berdua, saya dapat membuat konklusi awal kepada masalah ini begini. Bagi saya  setelah tiada sebab lain yang nyata dan jelas, menyebabkan apa yang dibayangkan itu menjadi sebabnya. Inilah yang tersumbat dalam hati dan jiwa Hadi kepada Anwar. Saya mengira Hadi ada pendam rasa marah dan terkilan dengan Anwar terhadap satu peristiwa lama yang seharusnya tidak dibawa fikirkan ke hari ini. Hadi perlu move on daripada perkara itu.

Peristiwa itu adalah kemasukan Anwar ke dalam Umno, 1982. Ternyata tindakan Anwar yang menyertai Umno menimbulkan kemarahan orang-orang Abim. Langkah Anwar itu jadi kontroversi. Tindakan Anwar itu dianggap sebagai suatu pengkhianatan terutamanya peribadi Abim yang lebih hampir dengan Pas. Mereka lebih mendoakan agar Anwar bersama Pas. Mereka menganggap demikian kerana tidak memahami dan mampu menyelami daya juang dan tektikal politik Anwar. Sebenarnya kemasukan Anwar ke dalam Umno adalah strategi politik dan dakwahnya.

Hal ini tidak difahami oleh kebanyakan orang ABIM termasuk Abdul Hadi. Hanya mereka terdekat dan rapat sahaja yang memahami tindakan Anwar serta banyak membaca buku-buku politik dunia serta menghayati falsafah politik Machiavellisme, dan lain-lain. Perkara ini ada dikisahkan Allahyarham Dr Razali Nawawi dalam bukunya Erti Kehidupan: Memoir 80 Tahun di muka surat: 165.

Suatu hari, saya datang ke pejabat Anwar Ibrahim. Pada waktu, hanya kami berdua saja yang ada dalam pejabat itu. Saya telah bertanya kepadanya; "Apakah rancangan enta untuk masuk Umno, sedangkan enta telah menghantarkan Ustaz Fadhil Noor ke dalam Pas?" Beliau menjawab bahawa biarlah Ustaz Fadzil Noor bergerak didalam Pas dan beliau bergerak dalam Umno. Saya telah menyatakan perasaan kurang setuju dengan cadangannya untuk memasuki Umno."

Frasa catatan Dr Razali ini memberi makna dan pengertian akan strategi politik Anwar yang tidak mudah untuk difahami oleh orang-orang ABIM sendiri termasuk yang bertaraf Exco dan juga Hadi. Hadi yang ketika itu sebagai ketua ABIM Terengganu, lagi-lagi tidak mengetahui akan strategi ini. Sebagai politician yang berfahaman konvensional beliau, berwala kepada kepimpinan ABIM tanpa menyoal. Politik Hadi juga tidak fleksibiliti seperti Anwar. Lantaran itu strategi ini dimurkai oleh kebanyakan Exco ABIM termasuk Hadi sendiri. Bagi mereka kemasukan Anwar ke dalam Umno sebagai mengkhianati dan menderhaka ABIM. 

Walhal kalau beliau memahami dan menyelami  kenapa Fadzil Noor menyertai Pas dan Anwar menyertai Umno disitu sudah ada kombinasi (strategi) politik di antara Umno dengan Pas. Bahawa mereka berdua mengimpikan untuk menguasai Pas dan Umno kemudian bergabung bagi melestarikan perjuangan yang direncanakan dalam ABIM. Anwar mengambil keputusan atau langkah baru itu setelah memikirkan perjuangan ABIM berorentasikan dakwah dan pendidikan tidak boleh pergi jauh untuk menguasai negara melainkan ikut sama dengan politik kepartian.

Dan apa dirancang oleh Anwar bersama Fadzil itu sudah hampir berjaya. Fadzil menjadi presiden Pas manakala Anwar sudah berada di takah kedua selaku timbalan presiden Umno. Sepatutnya Hadi yang mengambil tanggungjawab daripada Fadzil secara percuma selepas kematiannya (2002) itu meneruskan rancangan itu. Namun kerana kedangkalan strategi dan kecetekan daya siasah Hadi, dan masih terbelenggu dengan politik ortodoks Pas menyebabkan beliau menjadi dendam kepada Anwar.

Dan dendam menjadi tebal dan berkarat apabila ia dilumuri oleh musuh-musuh Anwar yang menguasai Hadi kini. Antaranya ialah Dr Mahathir Mohamad, Mahiaddin Yassin dan lain-lain yang diikuti oleh pemimpin baru Pas seperti Takiyuddin Hassan yang tidak pernah terdidik dengan gerakan Islam yang terbuka. Merekalah yang menjadi batu api menjauh dan merenggangkan Hadi dengan Anwar. Mengenai peranan Setiausaha Agung Pas yang dipikul Takiyuddin kini saya tidak fikir Hadi bersikap seperti hari ini kalau jawatan itu masih dipegang oleh orang seperti Mustaffa Ali yang memahami ilmu politik. 

Hari ini Abdul Hadi telah hanyut terlalu jauh dalam buaian emosi dan mimpinya. Beliau bukan saja setakat berpatah arang dan berkerat rotan dengan Anwar, tetapi sanggup bersekongkol dengan musuh-musuh asalnya, (Pas), peribadi yang dimarahinya sebelum ini. Dalam menghayung marah dan dendam kepada Anwar, Hadi gagal mengenali siapa musuh dan siapa kawan. Dia lupa bahawa musuh utama Pas ialah Dr Mahathir dan Mahiaddin bukannya Anwar atau DAP. Cuba belek kembali akhbar lama dan dengar semula kaset-kaset penghinaan Mahathir dan Mahiaddin kepada Pas, apa disebut oleh mereka terhadap Pas sungguh sadis dan kejam. Ironinya Hadi kini menjadikan kedua individu sebagai rakan karibnya.  

Saya faham kenapa beliau melakukan demikian, berkawan dengan Mahathir dan Mahiaddin, kerana beliau cuba melakukan apa yang dilakukan Anwar sebelum ni., yang berbaik dan bersahabat dengan Mahathir. Bagaimana pun apa dilakukan Hadi itu agak sumbang dan ketinggalan setelah tempoh perjuangan hampir lima dasawarsa beliau tidak sepatutnya menggunakan tektik dan strategi sama, kerana ia sudah out of date.

Langkah atau strategi Anwar berbaik dengan Mahathir ketika itu tepat dan bijak, tetapi tidak waktu ini bagi Hadi. Presiden Pas seharusnya sedar dan memahami yang Dr Mahathir tidak sekuat dan sepengaruh dahulu lagi, semasa Anwar dapat menyelit masuk untuk berada di bawah ketiaknya. Hari ini ketiak Mahathir pun tidak seharum dahulu lagi, yang sepatutnya ia dapat dikesan oleh hidung Abdul Hadi. Kisah Nabi Musa dengan Firaun sudah tidak valid lagi. 

Menutup catatan ini, saya membuat kesimpulan begini:

1. Abdul Hadi jadi marah dan berdendam dengan Anwar kerana gagal memahami startegi politik Anwar dan Fadzil Noor bagaimana hendak menganjakkan perjuangan ABIM dengan menguasai parti politik. Anwar menguasai Umno manakala Fadzil Noor menguasai Pas.

2. Hari ini Abdul Hadi cuba meniru dan plagiat strategi dan tektik Anwar itu untuk mengena dan menjatuhkan Anwar dengan berbaik dan bermuafakat dengan orang-orang yang telah dikalah oleh Anwar Ibrahim.

Matahari masih belum terbit di sebelah barat, Abdul Hadi masih ada peluang untuk bermuhasabah dan memperbetulkan iktikad politik yang silap. Hadi harus faham dan mengerti politik Anwar adalah politik berwawasan, bermatlamat apa digarapkan sewaktu dalam ABIM dan bukan politik membalas dendam. Sepatutnya apabila Anwar jadi Perdana Menteri, Abdul Hadi bangga dan membawa Pas mendokong sahabatnya itu, bukan membina medan perang tidak berkesudahan. Abdul Hadi sepatutnya mengambil kesempatan di atas kejayaan kawannya itu.

Politik Anwar dirancang, diatur dan disusun demikian indah dan mantap, bernuansakan Islam sejagat, bukan politik iseng-iseng atau diadakan tanpa sebarang nawaitu. Anwar mengatur strategi dan jihadnya dalam wadah yang ampuh, gerakan mahasiswa, gerakan dakwah dan terbiah ABIM disamping membina rangakaian dengan gerakan dan kumpulan Islam dunia. Itu yang menguat dan memperkasakan politik dan jiwa juangnya. Maknanya strategi dan perancangan Anwar canggih dan objektif. 

Saya mendoakan semoga Ayah Chik akan berpaling semula ke dalam melihat dirinya dan komitmen perjuangan di tahun 70an dan 80an dahulu, apakah matlamat dia tujuan berpolitik. Renung sedalam-dalamnya sambil "bertawajuh" dengan Tuhan. Apakah ia untuk mempersatukan persaudaraan Islam dan manusia, atau sekadar menjadi tukang syarah dan mendapat sedikit pujian dikultuskan sebagai seorang tokoh yang keramat?

Semoga Abdul Hadi akan kembali ke jalan benar bukan terbawa-bawa oleh pemandu yang tidak bermatlamat, seperti Mahiaddin dan Mahathir. Belum terlewat untuk Ayah Chik berpatah balik, mengaku silap demi kebenaran, akan dan tepuk puji seluruh ummat. Tinggalkan sesuatu yang akan dikenang dengan baik bukannya dibenci kerana kekhilafan kita.  [wm.kl. 11:06 am 07/09/2024]