Saturday, September 7, 2024

Mengapa Hadi tidak bekerjasama dengan Anwar?

ANALISA 

Foto kenangan ini menunjukkan keakraban
mereka berdua, betapa sayangnya Hadi
kepada Anwar.
APABILA membicara dan memikirkan politik Melayu dan Islam, satu pertanyaan yang timbul dan tidak pernah ada jawaban konkrit ialah, mengapa Abdul Hadi Awang tidak boleh bekerjasama dengan Anwar Ibrahim? 

Secara logiknya, waktu inilah terbaik untuk mereka jalini kerjasama demi untuk mendaulatkan bangsa dan memartabatkan Islam di negara ini. Peluang yang dimiliki kedua-dua pihak ketika ini cukup baik dan besar bagi merealisasikan apa yang diperjuangkan selama ini.

Hadi adalah presiden Pas sebuah parti Melayu terbesar dan berpengaruh ketika ini, manakala Anwar presiden Keadilan, parti multiracial mempersatukan semua bangsa di negara ini, dia juga kini Perdana Menteri. 

Jawatan disandang oleh Anwar itu adalah tertinggi, dengan jawatan itu apa saja didambakan demi memenuhi tuntutan perjuangan dapat dipenuhi sekiranya disokong dengan padu.

Dengan jawatan itu Anwar boleh mengimplimenkan cita-cita bersama Abdul Hadi sebelum ini, baik semasa jadi pembangkang (Pakatan Rakyat) dan juga semasa diawal perjuangan ketika mereka sama-sama menggerakkan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), di awal tahun 1970an.

Bukan itu sahaja, mereka dilihat tidak perlu bersengketa di antara satu sama lain, kerana itu menghabiskan tenaga dan masa yang merugikan negara. Ia tidak seharusnya berlaku kerana mereka berasal dari umbi perjuangan sama dan menggalas matlamat dan keazaman serupa. 

Yang membezakan mereka hanya acuan sedangkan tepong yang hendak dimasak itu dijadikan kueh daripada bancuhan sama. Adalah pelik dan menghairankan kalau dari baka perjuangan sama, tetapi jadi menyimpang dan bakut di persimpangan jalan. Kematangan perjuangan sepatutnya memantapkan lagi jiwa perjuangan. 

Rengkas kata mereka menduduki sekolah perjuangan dan idealisme sama dalam ABIM. Kebersamaan itu tidak sepatutnya mereka berenggang atau pun gelincah pendapat dalam soal membangunkan negara, mendaulat bangsa dan memartabatkan Islam di negara ini. Mereka mempunyai azam dan cita-cita sama. Perbezaan acuan tidak sepatutnya memberaikan tepung sebaliknya harus memadukan lagi tepong bagi menghasilkan kueh bermutu dan lazat.

Tetapi tidak seperti diharapkan itu. Kerana situasi itu menyebabkan pertanyaan dan kemusykilan itu timbul kenapa mereka tidak boleh bersama malahan keadaan akhir-akhir ini agak tajam. Ini menyebabkan minda umum terdampar dengan kemusykilan berat itu. Abdul Hadi seakan tidak pernah menjatuhkan busur panahnya menunding ke arah Anwar dan menyerang kerajaan Madani.  Seperti ada dendam besar yang mendekam jiwa presiden Pas itu. Kenapa?

Salam mereka masih kemas.
Saya cuba membuat analisis sendiri, berpendapat secara peribadi mereka tetap masih menyimpan keazaman dan cita-cita sama untuk Malaysia tercinta ini. Cuma apa yang membezakan mereka dari segi teknik dan strategi bagaimana untuk capai maksud itu. 

Ia umpama pemakaian baju dan seluar maslahatnya sama adalah untuk menutup aurat, cuma bezanya fesyen dan warna kain baju dan seluar itu saja. Ertinya mereka tetap bermatlamat sama, dipisahkan sedikit oleh keegoaan. Justeru jika diaturusahakan dengan baik dan sabar perbezaan ini dapat diatasi. Insya-Allah.

Sesuatu masalah itu ada penyelesaiannya, dan sesuatu kerusutan itu ada pengusaiannya. Banyak orang membuat berbagai andaian berkaitan Abdul Hadi dengan Anwar ini. Dalam hal ini, umum tidak melihat yang menjadi puncanya Anwar, sebaliknya yang menjadi masalah adalah Abdul Hadi Awang, kerana Anwar kini mendiamkan diri sahaja, setiap lontaran dan kebencian diluahkan Hadi terhadapnya tidak dilayani. Apa lagi setelah jadi PM, Anwar dilihat berada dipihak yang menang dan benar. 

Perbezaan dan perkadasan akal atau manhaj perjuangan di antara keduanya, sudah ada usaha untuk memulihkannya. Peristiwa pertemuan Saifuddin Nasution Ismail dengan Abdul Hadi dalam rangka ini telah berlangsung dan menjadi usaha terakhir untuk mengeratkan kembali hubungan mereka berdua. 

Saifuddin cuba menjadi biduk untuk menautkan kiambang. Malangnya usaha itu gagal, Saifuddin pulang dengan tangan kosong disamping hati sedikit terluka. Peristiwa itu menyebabkan Saifuddin tidak sanggup lagi untuk melihat api kemarahan Hadi marak di hadapannya.

Usaha pihak luar.

Kerana melihat pentingnya kedua kawan dan sahabat ini berada dalam satu wadah untuk kemajuan negara bangsa, mendaulatkan bangsa dan memartabatkan agama, maka usaha itu tidak terhenti disitu sahaja. Atas kepentingan itu perlu diusahakan, kerana mereka berdua bukan saja untuk Malaysia, tetapi seluruh dunia umat Islam, ataupun setidak-tidaknya di Nusantara. Lantaran itu ada pihak luar turut berikhtiar  mendamaikan mereka. 

Mereka yang mengambil inisiatif ini setelah menyedari umat Islam Nusantara sangat mengharapkan ada pemimpin dan negara dijadikan model buat mereka teladani dan berlindung. Dan waktu ini Malaysia yang dipimpin oleh seorang berjiwa besar dan komited dengan Islam serta memahami falsafah antara bangsa adalah terbaik. Tidak boleh dinafikan dengan keberanian dimiliki Anwar beliau dihormati dan disegani seluruh dunia Islam atau Barat.

Semua orang bahagia kalau aksi ini
menjelma kembali.
Sekarang ini ada pihak luar terdiri daripada rakan kedua mereka sedang berusaha untuk menangkup kembali kedua insan ini. Melalui pihak tertentu diusahakan agar keduanya dapat duduk semeja seperti sebelum ini. Usaha mendamaikan perbalahan satu pihak itu sedang dilakukan walaupun melalui jalan sukar. 

Kita berdoa dan berharap dengan usaha pihak luar yang juga merupakan kawan dan sahabat baik kedua-dua mereka akan berhasil dan mencapai tujuan yang baik. Biar lambat asalkan selamat (berhasil). 

Apa yang menghairankan umum, sebelum ini mereka baik-baik saja dan nampak intim dalam satu wadah perjuangan. Misalnya sewaktu Anwar diasak fitnah oleh regim Dr. Mahathir Mohamad dengan isu liwat, Abdul Hadi bangkit membela kawannya itu dengan menulis sebuah buku khas mengenai Qazaf. Buku itu membela habis-habisan Anwar yang teraniaya dan memberi peringatan kepada pelaku. Anwar tentulah menyambut baik usaha Abdul Hadi itu dan melihat itulah yang patut dilakukan oleh seorang sahabat.

Secara makrifatnya sukar untuk difahami kenapa Abdul Hadi tidak dapat menerima Anwar hari ini dikala kawannya itu sudah berada dipuncak memiliki kuasa untuk memungkinkan mereka melaksanakan apa yang digagas semasa dalam ABIM dahulu. Cuma Abdul Hadi memberi helah politik, kenapa dia tidak sejalan dengan Anwar kerana Anwar berkawan dengan DAP menerusi Pakatan Harapan. DAP digambarkan sebagai penghalang kesenimbungan persahabatan mereka. Bagi Hadi isu fitnah yang menimpa ke atas Anwar tidak menjadi masalah buatnya. 

Dengan menggunakan alasan DAP itu, apakah kalau Anwar meninggalkan DAP, Abdul Hadi sedia untuk membawa Pas bersama Keadilan? Atau pun sebenarnya itu adalah alasan politik dangkal Abdul Hadi semata-mata, dan beliau kini makin menjadi lunatik kepada Anwar kerana ada berbagai hasutan yang dilakukan oleh orang berkepentingan. Apakah beliau sedar kalau beliau sedang dihasut dan diperalatkan oleh mereka yang membenci Anwar. 

Yang saya nampak.

Apa yang nampak jelas Hadi mula renggang dan kurang mesra dengan Anwar setelah ketiadaan Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat. Walaupun saat Nik Aziz masih ada beliau sudah menjadi presiden Pas, tetapi kedudukan Nik Aziz sebagai Mursyidul Am menaunginya. Persahabatan atau hubungan Hadi dengan Anwar dipancukan oleh keberadaan Nik Aziz, apa lagi bekas MB Kelantan itu sangat menyayangi Anwar Ibrahim.

Apabila diselidik dan membaca sejarah persahabatan, perjuangan mereka berdua, saya dapat membuat konklusi awal kepada masalah ini begini. Bagi saya  setelah tiada sebab lain yang nyata dan jelas, menyebabkan apa yang dibayangkan itu menjadi sebabnya. Inilah yang tersumbat dalam hati dan jiwa Hadi kepada Anwar. Saya mengira Hadi ada pendam rasa marah dan terkilan dengan Anwar terhadap satu peristiwa lama yang seharusnya tidak dibawa fikirkan ke hari ini. Hadi perlu move on daripada perkara itu.

Peristiwa itu adalah kemasukan Anwar ke dalam Umno, 1982. Ternyata tindakan Anwar yang menyertai Umno menimbulkan kemarahan orang-orang Abim. Langkah Anwar itu jadi kontroversi. Tindakan Anwar itu dianggap sebagai suatu pengkhianatan terutamanya peribadi Abim yang lebih hampir dengan Pas. Mereka lebih mendoakan agar Anwar bersama Pas. Mereka menganggap demikian kerana tidak memahami dan mampu menyelami daya juang dan tektikal politik Anwar. Sebenarnya kemasukan Anwar ke dalam Umno adalah strategi politik dan dakwahnya.

Hal ini tidak difahami oleh kebanyakan orang ABIM termasuk Abdul Hadi. Hanya mereka terdekat dan rapat sahaja yang memahami tindakan Anwar serta banyak membaca buku-buku politik dunia serta menghayati falsafah politik Machiavellisme, dan lain-lain. Perkara ini ada dikisahkan Allahyarham Dr Razali Nawawi dalam bukunya Erti Kehidupan: Memoir 80 Tahun di muka surat: 165.

Suatu hari, saya datang ke pejabat Anwar Ibrahim. Pada waktu, hanya kami berdua saja yang ada dalam pejabat itu. Saya telah bertanya kepadanya; "Apakah rancangan enta untuk masuk Umno, sedangkan enta telah menghantarkan Ustaz Fadhil Noor ke dalam Pas?" Beliau menjawab bahawa biarlah Ustaz Fadzil Noor bergerak didalam Pas dan beliau bergerak dalam Umno. Saya telah menyatakan perasaan kurang setuju dengan cadangannya untuk memasuki Umno."

Frasa catatan Dr Razali ini memberi makna dan pengertian akan strategi politik Anwar yang tidak mudah untuk difahami oleh orang-orang ABIM sendiri termasuk yang bertaraf Exco dan juga Hadi. Hadi yang ketika itu sebagai ketua ABIM Terengganu, lagi-lagi tidak mengetahui akan strategi ini. Sebagai politician yang berfahaman konvensional beliau, berwala kepada kepimpinan ABIM tanpa menyoal. Politik Hadi juga tidak fleksibiliti seperti Anwar. Lantaran itu strategi ini dimurkai oleh kebanyakan Exco ABIM termasuk Hadi sendiri. Bagi mereka kemasukan Anwar ke dalam Umno sebagai mengkhianati dan menderhaka ABIM. 

Walhal kalau beliau memahami dan menyelami  kenapa Fadzil Noor menyertai Pas dan Anwar menyertai Umno disitu sudah ada kombinasi (strategi) politik di antara Umno dengan Pas. Bahawa mereka berdua mengimpikan untuk menguasai Pas dan Umno kemudian bergabung bagi melestarikan perjuangan yang direncanakan dalam ABIM. Anwar mengambil keputusan atau langkah baru itu setelah memikirkan perjuangan ABIM berorentasikan dakwah dan pendidikan tidak boleh pergi jauh untuk menguasai negara melainkan ikut sama dengan politik kepartian.

Dan apa dirancang oleh Anwar bersama Fadzil itu sudah hampir berjaya. Fadzil menjadi presiden Pas manakala Anwar sudah berada di takah kedua selaku timbalan presiden Umno. Sepatutnya Hadi yang mengambil tanggungjawab daripada Fadzil secara percuma selepas kematiannya (2002) itu meneruskan rancangan itu. Namun kerana kedangkalan strategi dan kecetekan daya siasah Hadi, dan masih terbelenggu dengan politik ortodoks Pas menyebabkan beliau menjadi dendam kepada Anwar.

Dan dendam menjadi tebal dan berkarat apabila ia dilumuri oleh musuh-musuh Anwar yang menguasai Hadi kini. Antaranya ialah Dr Mahathir Mohamad, Mahiaddin Yassin dan lain-lain yang diikuti oleh pemimpin baru Pas seperti Takiyuddin Hassan yang tidak pernah terdidik dengan gerakan Islam yang terbuka. Merekalah yang menjadi batu api menjauh dan merenggangkan Hadi dengan Anwar. Mengenai peranan Setiausaha Agung Pas yang dipikul Takiyuddin kini saya tidak fikir Hadi bersikap seperti hari ini kalau jawatan itu masih dipegang oleh orang seperti Mustaffa Ali yang memahami ilmu politik. 

Hari ini Abdul Hadi telah hanyut terlalu jauh dalam buaian emosi dan mimpinya. Beliau bukan saja setakat berpatah arang dan berkerat rotan dengan Anwar, tetapi sanggup bersekongkol dengan musuh-musuh asalnya, (Pas), peribadi yang dimarahinya sebelum ini. Dalam menghayung marah dan dendam kepada Anwar, Hadi gagal mengenali siapa musuh dan siapa kawan. Dia lupa bahawa musuh utama Pas ialah Dr Mahathir dan Mahiaddin bukannya Anwar atau DAP. Cuba belek kembali akhbar lama dan dengar semula kaset-kaset penghinaan Mahathir dan Mahiaddin kepada Pas, apa disebut oleh mereka terhadap Pas sungguh sadis dan kejam. Ironinya Hadi kini menjadikan kedua individu sebagai rakan karibnya.  

Saya faham kenapa beliau melakukan demikian, berkawan dengan Mahathir dan Mahiaddin, kerana beliau cuba melakukan apa yang dilakukan Anwar sebelum ni., yang berbaik dan bersahabat dengan Mahathir. Bagaimana pun apa dilakukan Hadi itu agak sumbang dan ketinggalan setelah tempoh perjuangan hampir lima dasawarsa beliau tidak sepatutnya menggunakan tektik dan strategi sama, kerana ia sudah out of date.

Langkah atau strategi Anwar berbaik dengan Mahathir ketika itu tepat dan bijak, tetapi tidak waktu ini bagi Hadi. Presiden Pas seharusnya sedar dan memahami yang Dr Mahathir tidak sekuat dan sepengaruh dahulu lagi, semasa Anwar dapat menyelit masuk untuk berada di bawah ketiaknya. Hari ini ketiak Mahathir pun tidak seharum dahulu lagi, yang sepatutnya ia dapat dikesan oleh hidung Abdul Hadi. Kisah Nabi Musa dengan Firaun sudah tidak valid lagi. 

Menutup catatan ini, saya membuat kesimpulan begini:

1. Abdul Hadi jadi marah dan berdendam dengan Anwar kerana gagal memahami startegi politik Anwar dan Fadzil Noor bagaimana hendak menganjakkan perjuangan ABIM dengan menguasai parti politik. Anwar menguasai Umno manakala Fadzil Noor menguasai Pas.

2. Hari ini Abdul Hadi cuba meniru dan plagiat strategi dan tektik Anwar itu untuk mengena dan menjatuhkan Anwar dengan berbaik dan bermuafakat dengan orang-orang yang telah dikalah oleh Anwar Ibrahim.

Matahari masih belum terbit di sebelah barat, Abdul Hadi masih ada peluang untuk bermuhasabah dan memperbetulkan iktikad politik yang silap. Hadi harus faham dan mengerti politik Anwar adalah politik berwawasan, bermatlamat apa digarapkan sewaktu dalam ABIM dan bukan politik membalas dendam. Sepatutnya apabila Anwar jadi Perdana Menteri, Abdul Hadi bangga dan membawa Pas mendokong sahabatnya itu, bukan membina medan perang tidak berkesudahan. Abdul Hadi sepatutnya mengambil kesempatan di atas kejayaan kawannya itu.

Politik Anwar dirancang, diatur dan disusun demikian indah dan mantap, bernuansakan Islam sejagat, bukan politik iseng-iseng atau diadakan tanpa sebarang nawaitu. Anwar mengatur strategi dan jihadnya dalam wadah yang ampuh, gerakan mahasiswa, gerakan dakwah dan terbiah ABIM disamping membina rangakaian dengan gerakan dan kumpulan Islam dunia. Itu yang menguat dan memperkasakan politik dan jiwa juangnya. Maknanya strategi dan perancangan Anwar canggih dan objektif. 

Saya mendoakan semoga Ayah Chik akan berpaling semula ke dalam melihat dirinya dan komitmen perjuangan di tahun 70an dan 80an dahulu, apakah matlamat dia tujuan berpolitik. Renung sedalam-dalamnya sambil "bertawajuh" dengan Tuhan. Apakah ia untuk mempersatukan persaudaraan Islam dan manusia, atau sekadar menjadi tukang syarah dan mendapat sedikit pujian dikultuskan sebagai seorang tokoh yang keramat?

Semoga Abdul Hadi akan kembali ke jalan benar bukan terbawa-bawa oleh pemandu yang tidak bermatlamat, seperti Mahiaddin dan Mahathir. Belum terlewat untuk Ayah Chik berpatah balik, mengaku silap demi kebenaran, akan dan tepuk puji seluruh ummat. Tinggalkan sesuatu yang akan dikenang dengan baik bukannya dibenci kerana kekhilafan kita.  [wm.kl. 11:06 am 07/09/2024]


8 comments:

Anonymous said...

Alasannya cuma satu, Anwar kemaruk nak jadi PM walaupun terpaksa menggadaikan prinsip asal untuk mengangkat & memertabatkan Islam..dendangan lagu Anwar berubah apabila tangan DAP digengam erat demi utk merealisasikan cita2nya utk menjawat jawatan PM..lihat sahaja sekarang, walaupun rakan talian hayat kuasanya sering menimbulkan situasi menghina Islam, beliau hanya diam membisu..itulah yang menjadi punca utama Pas tidak boleh nerkerjasama dgn Anwar

Anonymous said...

Mantap

Anonymous said...

Mungkin Isu pemprograman minda yang telah sebati dlm diri.

MUSTAFA KAMAL said...

Walaun menyibuk. Tak nak guna otak berfikir

Anonymous said...

Andai kemaruk mnjadi hujjah...lamaa sudah DSAI boleh jd PM...dgn akur je TM ms kemelut 1998...knp DSAI sanggup korbankan diri & fmlynye??? Bukankah krn komited dgn prinsip juangnye yg tulin. Golongan *hammPaas* yg dinaungi oleh jati-diri yg MEMAJAKKAN minda deme secara SEMBORONO!!!

Anonymous said...

Maaf.. berbeza pendapat.. analisis anda tidak menyeluruh.

Anonymous said...

Kau dan hj Hadi yg kemaruk ... dulu bukan gengam tp peluk DAP dgn erat demi impikan kuasa ..dasar lupa daratan

Anonymous said...

Apa pula analisis anda ... senangnya