SANG Singa tersenyum lebar penuh kepuasan sambil memutar-mutar misainya. Tiba-tiba ilham itu bertandang dalam benaknya sungguh memberangsangkan. Ilham ini hadir sewaktu ia dalam keadaan lemah, tidak sekuat seperti dahulu. Dahulu dialah raja, gagah dan tidak tunduk kepada sesiapa. Semua haiwan lain tabik hormat kepadanya, bukan sangat kagum, tetapi kerana taringnya. Setiap keputusan dan ketetapannya akan diterima sekalian warga belantara. Siapa membantahnya akan menerima padah, diusir atau dibaham.
Berdekad dia menjadi raja.
Apabila memburu rusa atau kijang untuk santapan, dengan satu terkaman sahaja haiwan itu terkulai dalam pelukannya kemudian disayap-sayapkan. Tetapi tidak lafi kini, mengejar seribu langkah belum tentu dapat, bahkan ia akan terkulai jatuh kecapekan tergolek sampai patah gigi dan taring.
Dalam keadaan begitulah, ilham itu cambah dimindanya. Sekali pandang ilham itu baik untuk semua. Sekiranya cadangan itu berjaya dilaksanakan, menguntung semua pihak. Ia memberi manfaat kepada semua, terutamanya dirinya. Ia harus kompromi dalam keadaan lemah begitu, tidak perlu agah sombong lagi. Cadangan itu merupakan agenda kehidupan buat predator, matlamat tersirat untuk memerangkap Sang Kancil.
Sang Kancil perlu ditangkap kemudian diusir, kalaupun tidak dijadikan lauk, dimasak lemak cili api dimakan beramai ramai, dagingnya sedap dan manis. Kancil perlu diambil tindakan kerana ia sudah melampau dan besar kepala, melanggar garisan merah. Semua haiwan dipermain dan diperbodohkan olehnya dengan penuh tektikal.
Buaya, Beruang, Harimau, Ular Sawa dan lain semua diperkenakan hidup-hidup oleh Kancil. Kalau hendak dikira Kancil tidak mampu untuk mengenakan mereka, kerana kehebatan mereka jauh lebih hebat daripada Kancil yang bertubuh kecil sahaja, (sebab itu ia dipanggil sang kancil, sebenarnya sang kecil). Tetapi kerana kelicitan dan daya tipu helahnya tinggi, maka semua predator kantoi kepadanya. Jadi tidak boleh dibiarkan, Kancil kena diajar sebelum cacing naik ke mata. Untuk mengajarnya semua predator perlu maufakat dan bersatu tanpa mengira bulu.