Showing posts with label Abdul Hadi. Show all posts
Showing posts with label Abdul Hadi. Show all posts

Sunday, June 12, 2011

Susupan Malam

Kabinet Hadi Laksana:
Kereta Baru Driver Lama


PETANG Abdul Hadi Awang telah melengkapkan barisan kabinetnya untuk dua tahun lagi. Sudah pasti pembentukan barisan kabinet itu mengambil kira kepada keperluan untuk menghadapi pilihan raya akan datang dan juga sebagai bingkas kepada kehendak muktamar yang baru lalu.

Sebelum barisan kabinet itu diumum ramai yang membuat telahan tetapi tidak berani untuk menulisnya. Saya sendiri telah menulis barisan kabinet menurut pandangan saya, yang saya rasa lebih relevan dengan barisan kabinet sudah diumumkan itu. Kebinet yang saya bayangkan adalah kombinasi kepada dua golongan dalam Pas dan untuk tidak membuka ruang kepada musuh menterjemahkan bahawa Pas memang berpuak.

Juga sebagai seorang pemerhati dan melihat dengan adil, (seboleh-bolehnya) kabinet yang saya bayangkan itu tidak bias - berat sebelah sebaliknya ia lebih kepada penyatuan atau pun kabinet pengukuhan Pas yang kini diterjemahkan dengan berbagai versi baik oleh Umno atau kalangan Pas sendiri. Itu yang saya cuba ketengahkan tetapi sayang tidak ternampak oleh Presiden, timbalan dan naib-naib presiden.

Memerhati kepada pembentukkan kabinet hari ini menjelaskan Abdul Hadi Awang tidak menggunakan kedudukan kuasa prerogatif sebagai presiden sepenuhnya sebaliknya masih menggunakan khidmat konsultan dalam membentuk kabinetnya. Pada saya pembentukan itu masih berbau rakan dan mundir politiknya, Mustapa Ali.

Ada dua faktor yang saya nampak kenapa ia berbau Mustapa Ali. Pertama, Abdul Hadi masih mengekalkan Mustapa sebagai setiausaha agung. Kedua mengekalkan Abdul Halim Abdul Rahman dalam Dewan Harian Pas dengan melantiknya sebagai Bendahari untuk kali kedua.

Pertukaran Pengerusi JPP kepada Dr Mohd Hatta Ramli dikira cocok, walaupun tokoh yang sesuai untuk menggerakan armada perang Pas ini ialah seorang strategis seperti Husam Musa. Tetapi tidak mengapa kerana umum tahu hubungan Husam dengan Dr Hatta, jawatan itu masih boleh digerakan. Kedua mereka boleh duduk sekali berfikir dan menjana JPP untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang. Sebelum ini pun mereka bekerja secara teamwork.

Sudah tentu bila Hatta duduk di situ beliau akan melantik orang yang dikenal pasti dapat mengatur dan menyusun strategi bagaimana untuk memperkuatkan JPP. Tidak kurang juga orang yang boleh menjana kewangan untuk parti kerana pilihan raya memerlukan wang yang bukan sedikit. Mungkin Dr Zulkefli Ahmad bekas Pengarah Stategi Pas akan digunapakai oleh Dr Hatta. Dan kalau Dr Hatta tidak terikut emosi mungkin dia juga boleh melantik Dr Hasan Ali, yang digugurkan sebagai Pesuruhjaya Selangor setidak-tidaknya untuk dijadikan pakar motivator dalam JPP. Kena ingat Hassan seorang pakar pengurusan dan banyak pengalaman dalam aspek itu.

Bersabit pengguran Hasan ini saya lihat Abdul Hadi cuba meredakan pertemburan di antara Hasan dengan Khalid Samad. Niat itu memang tepat, tetapi apakah Hadi sudah menimbang dan mengira mana yang lebih banyak untungnya dengan Hasan dikekal dengan Hasan dilucutkan dari jawatan itu? Saya berdoa Abdul Hadi telah mengambil kira ini semua. Tetapi adalah malang kalau pertukran Pesuruhjaya Selangor itu dibuat atas nasihat Mustapa Ali yang dikatakan bermasalah dengan Hasan Ali. Mereka ini bin saja sama, tetapi tidak sekata dalam polisi politik.

Tetapi apabila Abdul Halim diletakkan sebagai menggantikan Dr Hatta sebagai Bendahari, saya tidak faham untuk apa dan apa logiknya. Kalau dia dipecat dari jawatan itu kerana tidak perform kenapa pula dia diambil untuk menjana kewangan Pas? Di sinilah saya merasakan Abdul Hadi tidak membuat istikharah atau pun membuka kitab tajul mulut terlebih dahulu.

Justeru pada saya perlantikan Abdul Halim itu tidak ada sebab dan alasan lain melainkan kerana untuk dijadikan regu veteran didalam Pas saja. Atau pun untuk menggunakan pakai idea dan pengalamannya. Pemilihan Abdul Halim itu tentu bukan atas pandangan Abdul Hadi sendiri melainkan ia adalah atas nasihat Mustapa Ali. Timbul juga persoalan di sini apakah pengekekalan Abdul Halim itu kerana disebabkan ada agenda di antara mereka berdua? Ada desas desus kedengaran sebelum ini ada usaha membawa Abdul Halim balik bertanding di kerusi state semula pada pilihan raya akan datang bagi mengganti Tok Guru Nik Aziz sebagai MB?

Saya akan ulas semula berhubung kewujudan Tiga Abdul yang dikatakan cuba untuk menguak kembali di Kelantan. Perlu diingat hubungan Mustapa Ali dengan Abdul Halim bukan baru, jadi mereka saling perlu memerlu di antara satu sama lain untuk dijadikan pembela bila berdepan dengan masalah khasnya dalam Dewan Harian. Dalam hal ini apa yang saya nampak Mustapa memerlukan sokongan Back Bancher dalam Dewan Harian. Jelas kalau perlantikan ini dibuat ia diambil bukan atas kepentingan parti tetapi kepentingan peribadi. Perlantikan berdasarkan kehendak individu sesuatu yang salah.

Nasib baik saya tidak jadi Mustapa dan Abdul Halim. Kalau saya jadi mereka, saya sudah tinggalkan parti kepada anak-anak muda yang jauh lebih berketrampilan dan lebih 'casligas' daripada orang lama seperti mereka berdua. Apa yang baik dilakukan mereka berdua hanya sebagai penasihat saja.

Era politik masa kini sudah tidak relevan dengan corak dan stail politik mereka. Musim dan era mereka sudah pun berlalu sejak 10 tahun lalu. Pada saya kenapa Terengganu tewas antara faktor ialah kerana orang-orang maca Mustapa Ali masih kekal dan berperanan di Terengganu. Perasaan syok sendiri inilah kadang-kadang menyebabkan kita akan jatuh tergolek macam Mat Jenin.

Apabila Mustapa Ali dikekalkan sebagai setiausaha dan Abdul Halim sebagai Bendahari (sudah dua kali pegang), maka nampak sangat kabinet Abdul Hadi tidak memenuhi kehendak golongan muda sepenuhnya. Perlantikan mereka dua ini menyebabkan Pas masih lagi berada di takah lama. Anjakan paradigama yang diharapkan tidak akan berlaku secara meluas dan besar. Saya mengira ia tidak mememuaskan kehendak naluri anak muda seperti mana yang dibayangkan dalam muktamar yang lepas.

Perlantikan bergilir-gilir itu juga seolah Pas kehabisan dan ketandusan calon muda yang lebih berwibawa. Kalau tidak salah saya sebelum ini jawatan Bendahari pernah dipegang oleh Mustapa Ali. Putaran atau pengiliran ini menampakkan Pas miskin dengan tokoh dan sekaligus ia juga menyebabkan mereka yang terasa layak memegang jawatan itu tidak dipedulikan.

Walhasil pada saya dengan kabinet yang baru ini tidak membawa Pas jauh ke depan seperti mana diharapkan. Apakah perlantikan mereka itu untuk menjadi pemangkin kepada Melayu dalam Pas? Mungkin begitu alasan yang diberikan. Dan kalau sebelum ini muktamar berkeras menolak kerjasama Pas dengan Umno dengan menjadikan Nasharudin Mat Isa atau Dr Hassan Ali sebagai kambing hitam, maka kambing hitam itu sebenarnya masih ada lagi. Orangnya ialah Mustapa Ali dan Abdul Halim.

Terus terang saya sebutkan mereka adalah antara jururunding yang atau orang yang masih berkepercayaan bahawa Pas perlu mendekati Umno! (Catatan bila saya tulis ini bukan bermakna saya menentang pandangan mereka).

Jadi kerana mata sudah mengantuk saya nak simpulkan kabinet dibentuk Abdul Hadi ini begini; kabinet Abdul Hadi tidak ubah seperti sebuah kereta baru tetapi pemandunya orang lama. Jadi kerana pemandunya orang lama segala macam peralatan canggih yang ada pada kereta itu tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya. Ini termasuklah untuk menggunapakai GPS.

Tenguklah driver veteran bawa kereta, bila mereka nak masuk ke kanan, mereka akan buka cermin dan melewa-lewakan tangannya, walhal signal sudah pun bernyala lip..lip...lip. [wm.kl.9:30 pm 12/06/11]

Thursday, February 3, 2011

Balas Jaawab

Terima Kasih Yang Mengajar Saya Ikat Tali Kasut

DUA hari saya tidak menulis. Selepas post catatan yang mengkritik Presiden Pas saya mendiamkan diri. Sengaja saya biarkan posting berkenaan berada di atas untuk memberi peluang kepada penjenguk membaca, menilai kemudian membuat ulasan balas atas apa yang saya lontarkan.

Rasa jarang sekali orang macam saya membuat kritikan begitu kepada presiden Pas. Sesekali rasanya.. tak salah dan ini adalah hak dan kebebasan saya sebagai penulis. Kalau ianya tidak dikejutkan begitu, lena yang panjang dan rasa syok sendiri menyebabkan kita akan terus terbuai dan diam begitu saja. Kesilapan yang ada menyebabkan semuanya orang menganggap ianya satu kesempurnaan yang membawa rebah dan musibah.

Ramailah yang memberi ulasan atas apa yang saya perkatakan itu. Biasalah, yang suka kepada saya dan menganggap pendapat saya itu benar, akan merasa patut saya berbuat begitu. Manakala yang sayang kepada Abdul Hadi Awang sehingga tidak boleh diusik akan marah kepada saya. Marahnya lebih teruk dan kasar dari saya 'marahkan' Abdul Hadi. Saya posting semua bentuk komen dan ulasan selagi saya rasakan boleh dipostkan.

Suasana sebegini sudah biasa saya hadapi. Ia bukan baru. Saya sudah menulis dan menghadapi tribulasi penulisan selama hampir 30 tahun. Dalam banyak komen dan ulasan itu ada yang lebih bijak, berpandangan jauh dari saya. Saya akan belajar berpolitik dari mereka. Ada juga yang mengajar saya ikat tali kasut dan sikat rambut. Baguslah.. saya tidak tahu kalau tali kasut yang saya ikat selama ini masih songsang dan rambut yang saya sikat masih terbalik.

Ada komen yang agak melampau baik menyokong saya dan juga menyokong Abdul Hadi Awang. Komen begitu biarlah saya simpan saja dan penghantar komen akan faham kenapa kalau saya tidak menyiarkan komen mereka. Hanya komen dari kalangan bukan otak kemetot saja disiarkan. Mereka yang komen tidak disiarkan juga tahu sejauh mana kecerdikan mereka, dan berapa galas air sejuk diminum setiap hari yang mereka menyangkakan air oren.

Saya tidak akan merasa apa-apa kalau saya dikritik malah dihina. Penulis sudah 'basa dia', sudah lumrah akan menerima kritikan dari pihak yang tidak menyetujuinya. Kalau kita takut dikritik dan dikeji jangan menulis, atau ampu dan sanjunglah orang sepanjang masa hatta orang itu sudah nyanyuk ataupun menghisap ibu jarinya sendiri dalam gebal tebal di tepi dinding.

Kerana itu saya sedia mendengarnnya. Saya sudah fikir apa yang akan saya terima dengan menulis posting berkenaan. Saya mengambil tanggungjawab kalau saya, siapa lagi yang sedia mengkritik. Orang parti tidak akan mengkritik kerana mereka berdepan dengan risiko akan dipecat sebagai ahli. Saya juga hendak dipecat menjadi ahli! Abdul Hadi bukan pertama kali yang menjadi kritikan saya, dan apa yang lakukan kepada Abdul Hadi hanya permulaan saja.

Apa nak kata saya men jalankan tanggungjawab saya, dan tanggungjawab ini tidak dapat siapa menghalangnya, kerana kita memahami diri kita.

Saya masih ingat waktu saya disoal siasat oleh polis ekoran satu laporan dibuat ke atas saya berhubung kritikan saya kepada Sultan Kelantan kira-kira 18 tahun lalu. Polis bertanya kepada saya, kenapa saya kritik Tuanku. Apakah tuan tidak takut? Tanya si polis itu.

Saya jawab kepada polis itu, saya nak tanya tuan. Kalau bukan saya yang kritikan Sultan siapa nak kritik. Apakah tuan berani mengkritiknya? Jawab polis bermisai lebat itu dia tidak berani. Dan dia tidak boleh kritik kerana dia penjawat awam.

Maka saya berkata kepadanya, kalau tuan tidak boleh kritik maka sayalah yang akan mengkritiknya. Dia tanya saya kenapa kritik? Jawab saya sebab saya tengok Tuanku sudah tidak berapa betul dengan fungsinya. Tuanku telah melakukan kesilapan. Polis itu diam dan mencatat setiap jawaban saya. Jadi kalau dengan polis saya berani berdepan apalah sangat dengan penjenguk yang tidak beridentiti dan takut utuk berdepan secara terbuka dengan saya seperti polis itu.

Begitulah dengan Abdul Hadi atau Nik Aziz. Saya mengakui akan kehebatan dan keagungan mereka sebagai ulamak. Saya tidak menafikan itu. Saya tidak menghina akan kewarakan dan kealimannya seperti mana diduga oleh sesetengah guru yang mengajar saya ikat tali kasut. Mana saya ada kritik mereka dalam bidang yang mereka pakar itu, malah saya tetap menyanjunginya.

Tetapi yang menjadi kritikan saya ialah pendekatan politik mereka, pemikiran politik mereka, tindak tanduk politik mereka yang pada saya sesetengahnya tidak relevan dan mengikut perkembangan masa. Yang menjadi kritikan saya ialah kepandiran mereka yang menjadi hamba politik kepada si dalang yang lain. Baik Abdul Hadi atau Nik Aziz kadang mereka terlupa yang mereka diperkudakan.

Orang yang faham dan pembaca yang rasional akan dapat membezakan di antara dua juzuk ini. Janganlah cuba mengaulkan sekali tahi dengan air kencing, jadi makin hampak dan hamis nanti menyebabkan hidung akan jadi lebih tengit. Kalau kita baru lahir sekitar tahun 80-an hendaklah menyelam ke dalam laut dan rasai asin garam dan air laut secukupnya. Jangan hanya memakan garam bukit sesudu sudah mendabik dada akulah si mulut masin... jangan.

Kalau mereka faham politik tidak akan melenting dengan apa yang saya perkatakan itu. Saya kata berdasarkan pemerhatian saya. Bukan emosi atau soal Hadi orang Terangganu atau orang Kelantan. Orang yang masih berada dalam pagar kenegerian adalah tidak ubah dengan sama dengan sang pemakan rumput cerut.

Mengenai Abdul Hadi kenapa saya lontar kritikan itu kerana dalam tilikkan saya dia kurang menyengat sebagai presiden. Dia tidak dapat menampilkan diri sebagai pemimpin Pas nombor satu yang berkemungkinan akan jadi perdana menteri. Hadi bukan presiden yang akan menjadi perdana menteri, beliau bukan bahan mentah. Dia juga selalu goyang dengan kenyataan dan pendiriannya yang beliau buat sendiri. Saya rasa tidak payah saya hurai di sini tetapi mereka yang sihat ingatan dapat mengingatinya satu persatu.

Kadang-kadang manusia ini bila dia hampir dengan seseorang menyebabkan matanya kehilangan manik untuk melihat kecacatan seseorang itu. Bagi saya menyanjungi ulamak dengan tidak menegur kesilapannya satu dosa besar.

Saya faham perjuangan Pas bukan mengharap pangkat dan kuasa semata-mata. Pejuangan Pas mengajak manusia berbuat kebaikan dan mengajak manusia ke jalan Allah. Tetapi kalau itulah perjuangan sebenar Pas kenapa ada yang teringin nak bertanding dalam pilihan raya jadi Adun dan MP. Kalau hendak berdakwah cukup jadi macam tabligh saja. Rasanya orang yang lebih miring untuk melihat Pas sebagai gerakan dakwah elok masuk tabligh saja. Tidak payah bergomol dan serang menyerang dengan Umno. Tetapi apakah Pas hakikatnya begitu?

Tabligh tidak ada cita-cita itu. Apakah mereka yang faham dengan perjuangan Pas mahukan Pas jadi setakat itu saja. Hendaknya ada kensensus mengenai hal ini di kalangan mereka. Jangan cuba menyelindungi benang dari lempoyanngnya. Jangan cuba melarikan anak kucing dari ibunya nanti mengeowlah si kucing hitam.

Akhirnya dalam ulasan dan balas kepada kritikan dan teguran penjenguk, saya dengan tebuka hati menerima apa saja kritikan balik kepada saya. Anda seperti juga saya bebas untuk membuat tafsiran sendiri dan gunalah bahasa apa yang difikirkan baik dan tepat serta dapat membangkitkan minda. Saya rasa tulisan saya mengenai Abdul Hadi boleh membangunkan orang tidur atau menyedari mereka yang merasai harum jubahnya.

Kalau anda hendak berpegang kepada kilas Abdul Hadi dalam politik dan siasah, nah silalah tidak ada siapa yang marah. Dan kalau anda bangkit membelanya itu adalah pahala untuk anda. Tetapi saya tetap ada pandangan lain dan berhak untuk menyatakan mana punca atau ruang mana kilas Abdul Hadi yang tidak kemas.

Bagi saya yang melihat dari kaca politik ala saya, mudah saja kalau Mahathir saya kritik, Anwar saya kritik, Najib dan Rosmah saya kritik kenapa tidak dengan Abdul Hadi Awang ataupun Tok Guruku Nik Aziz. Selagi mereka berada dalam pentas politik demokrasi maka saya akan terus mengkritik kerana bagi saya kritikan lebih baik dari pada memuji dan berselawat ke atasnya.

Mengenai kekalahan Pas di Terangganu pada tahun 2004 banyak yang mengajar dan meminta saya membuat kajian. Saya sudah buat kajian bahawa kekalahan itu tidak dapat tidak Abdul Hadi sebagai pesuruhjaya ketika itu kena menerima tanggungjawab itu. Jangan hanya apa-apa yang molek dan kejayaan saja hendak disangkutkan kepada Abdul Hadi tetapi yang buruk dan merugikan dilempar ke atas orang lain. Ingat yang memegang kunci ke syurga adalah ulamak tetapi masih ada ulamak yang tidak tahu hendak menggunakan kunci berkenaan. Horras. [kb.kel 6:18 pm 03/02/11]

Monday, January 31, 2011

Dikir Politik

Kekalahan Di Tenang,
Abdul Hadi Kena Semak Diri Sendiri

KEKALAHAN Pas dalam pilihan raya kecil Dun di Tenang sekali lagi memberi ilham yang sama kepada Presidennya, Abdul Hadi Awang untuk berkomenter 'bernasab nasib' di samping membuang kahak lama yang berlendir di tengkuk. Katanya Pas akan merangka strategi berkesan dalam pilihan raya akan datang bagi menjamin ketelusan pilihan raya.

Dalam pada itu Hadi juga sekali lagi mendakwa kekalahan itu kerana berlakunya pilihan raya yang tidak adil dan berat sebelah.

Itulah sebaik ulasan dan untuk melindungi rasa kecewa dan kebodohan sendiri presiden Pas berkenaan. Alasan klise itu juga sebagai menjustifikasikan keadaan untuk tidak menampakkan Pas terus berladum dalam kebebablan pak pandir.

Saya rasa kenyataan dan azam begini sudah lama dilakukan Pas. Dan Hadi sendiri sudah bergantang gantang membuat kenyataan persis itu, tetapi hasilnya tidak ada apa-apa. Pas tetap menempuh pilihan raya tanpa berkesan. Pas tetap bermain atas padang tidak sama. Pas kena tipu hidup-hidup. Kenyataan Hadi setiap kali berlaku pilihan raya samalah dengan suara pahat sumbing yang akan berbunyi selepas rumah siap. Komenter 'nasab nasib' Hadi nilainya tidak lebih dari itu.

Ironisnya kalau Pas menang istilah berat sebelah, tanah tidak rata, tidak akan timbul. Tetapi apabila Pas kalah maka bergemalah istilah dan hukum berkenaan. Sebelum ini bukan Pas tidak menang, menang. Di Bukit Gantang, Kuala Terangganu, Manik Urai...Pas memang namun di sini tidak tidak pula ada alasan dan istilah itu dikeluarkan Hadi itu.

Selalu cakap Hadi stretoip tidak berubah irama dan lagunya. Tenguklah setiap kali dia menjawab pertanyaan wartawan satu word yang tidak pernah ditinggalkan ialah perkataan "kolektif". Misalnya kalau wartawan tanya apakah Pas sudah membuat keptusan bla... bla, Hadi akan jawab, kita akan putuskan secara kolektif. Perkataan ini sudah sinonim dengan Hadi.

Dalam perhatian dan ingatan saya sejak jadi Presiden, Hadi sudah sebut perkataan itu lebih 100 kali. Kolektif kolektif dan kolektif. Nampak sangat bila berdepan dengan wartawan Hadi tidak mampu membina ayat atau perkataan baru melainkan terpaksa menggunakan patah-patah yang lesu dan basi.

Apabila berdepan dengan wartawan menampakkan kekakuan Hadi sebagai seorang presiden yang resah, gelabah dan tidak tenang, jauh dari profesional. Dia cuba hendak bercakap dan mematahkan pertanyaan wartawan tetapi aksinya tidak mengena sebaliknya melambangkan kelemahan beliau. Ini dapat dilihat pada bahasa badannya.

Sebab itulah kalau perasaan, apabila ada Mustapa Ali disisinya dia akan berpaling ke arah Mustafa dan kadang-kadang Mustafa yang tolong menjawabnya atau memberi klu. Ini sudah lama berlaku dan jika berterusan saya bimbang Mustafa akan menjadi presiden de-facto kepada Pas. Sikap dan pembawaan ini juga menyebabkan wartawan tidak seronok apabila berdepan dengan Hadi.

Begitu juga dengan kenyataan terbaru Hadi berhubung kekalahan Pas di Tenang itu. Katanya Pas akan mengkaji pendekatan yang berkesan. Apakah pendekatan itu? Apakah perlu Pas kalah 1,000 kali baru nak kaji dan nak impliment ketegasan yang dikatakan itu. Hadi hanya mengeluarkan kenyataan saja tetapi tidak pernah ada tindakan ataupun fiilinya.

Ia tidak diikuti dengan tindakan dan strategi untuk menjadikan pilihan raya sebagai berkesan. Tindakannya juga tidak memberi bekas lantaran itu SPR boleh terus berbohong dan menipu rakyat khasnya Pas? SPR sedikitpun tidak peduli dan merasa bersalah atas keburukan dan kebusukan dilakukan.

Ini bermakna suara Hadi tidak memberi apa-apa impak. Suara Hadi tidak berwibawa dan tidak menakutkan. Hadi kena faham akan kelemahan dan ketawaran air liurnya ini. Beliau harus melakukan sesuatu. Paling penting Hadi kena sedarkan diri kalau dia sudah tidak berwibawa, tidak ada umpp... sebagai presiden maka beliau harus bersiap untuk berundur secara terhormat. Hidup dalam angan-angan samalah kita tidur dalam perahu yang sedang dihanyutkan air entah ke mana?

Kalau Hadi menyedari ini maka dia sudah tidak bercakap lagi hal-hal untuk mengesankan pilihan raya atau tidak usah meminta pilihan raya bersih lagi kerana ia tidak memberi apa-apa kesan. Sebaiknya beliau kena bertanggungjawab atas kegagalan itu. Beliau bukan saja tidak perlu bercakap tetapi berhenti menjadi presiden Pas. Bagi Pas tidak ada gunanya kalau ketuanya tidak dapat melakukan sesuatu kepada organisasinya, melainkan ia merugikan masa saja.

Apakah sebelum ini Hadi sudah mengarahkan parti membuat penilaian dan tindakan ke atas masalah ketidakadilan pilihan raya itu? Kalau sudah, apakah parti tidak melaksankan arahanya? Kalau iya ini bererti Hadi tidak ada wibawa. Beliau tidak dihormati. Maka wajarlah kalau Hadi memahasabah dirinya sendiri sebagai presiden Pas. Bercakap dalam gelap kepada batang pokok adalah kerja sia-sia dan menampakkan akan kelemahan kita.

Hadi tidak boleh melihat kepada sokongan lisan yang ada kepada dirinya. Sokongan atas kapasiti dirinya sebagai ulamak, pembaca sirah yang baik, ahli hadith yang baik tidak semestinya beliau seorang presiden yang hebat. Presiden yang hebat yang boleh memberi kesan kepada partinya? Dalam tempoh hampir 10 tahun menjadi presiden ini Hadi seharusnya membuat semakan ke atas dirinya sejauh manakah kemajuan dicapai oleh Pas?

Beliau juga perlu mengkaji apakah arahan, visi ataupun gagasan beliau selaku presiden dilaksanakan atau tidak. Dalam tempoh hampir 10 tahun bermakna Hadi telah membentangkan rangka ideanya dalam memperkasakan parti dan meletakkan Pas sebagai parti hebat sebanyak 10 kali. Nah... Hadi kena semak apakah semua idea beliau itu dilaksanakan atau digunapakai atau tiudak?

Jadi presiden bukan saja setakat syok sendiri. Ataupun rasa megah kerana kita disalami orang atau dihidangkan nasi pulut dalam talam kuning. Apa yang penting ialah menetaskan idea dan membawa pembaharuan (tajdid) ke dalam Pas. Bercakap masalah ini sepekara yang masih belum terjawab ialah mengenai kekalahan Pas di Terangganu dalam tahun 2004 dan kegagalan Pas mengambil semula Terangganu tahun 2008. Kenapa dalam saat Pas berkembang maju di negeri lain tetapi Pas merudum di Terangganu, negeri presidennya sendiri? Sesungguhnya jawaban tuntas dan rasional kepada kekalahan Pas di Terangganu belum dijelas sampai kini.

Sehingga ini saya tidak nampak Hadi bertanggungjawab atas kekalahan itu. Tanggungjawab atas kekalahan Pas di Terangganu saya kira sebahagian dari amanah yang perlu dilaksanakan oleh Abdul Hadi . Jadi kalau setakat hendak buat, hendak kaji dan hendak itu dan ini ia tidak akan sampai ke mana. Samalah ada hajat nak berhenti tetapi tidak berbuat begitu.

Bagi saya tidak ada warnning kedua lagi dalam hal ini kepada Presiden Pas itu. Dengan kelemahan yang ketara dari berbagai aspek termasuk ketidaktegasan dalam bicara dan keputusan, beliau harus melakukan sesuatu sebelum sesuatu menimpa ke atas dirinya. Apa guna hidup subuh kalau bernaung di bayangan pokok besar lain? [wm.kl.11:33 am 01/02/11]