Thursday, February 3, 2011

Balas Jaawab

Terima Kasih Yang Mengajar Saya Ikat Tali Kasut

DUA hari saya tidak menulis. Selepas post catatan yang mengkritik Presiden Pas saya mendiamkan diri. Sengaja saya biarkan posting berkenaan berada di atas untuk memberi peluang kepada penjenguk membaca, menilai kemudian membuat ulasan balas atas apa yang saya lontarkan.

Rasa jarang sekali orang macam saya membuat kritikan begitu kepada presiden Pas. Sesekali rasanya.. tak salah dan ini adalah hak dan kebebasan saya sebagai penulis. Kalau ianya tidak dikejutkan begitu, lena yang panjang dan rasa syok sendiri menyebabkan kita akan terus terbuai dan diam begitu saja. Kesilapan yang ada menyebabkan semuanya orang menganggap ianya satu kesempurnaan yang membawa rebah dan musibah.

Ramailah yang memberi ulasan atas apa yang saya perkatakan itu. Biasalah, yang suka kepada saya dan menganggap pendapat saya itu benar, akan merasa patut saya berbuat begitu. Manakala yang sayang kepada Abdul Hadi Awang sehingga tidak boleh diusik akan marah kepada saya. Marahnya lebih teruk dan kasar dari saya 'marahkan' Abdul Hadi. Saya posting semua bentuk komen dan ulasan selagi saya rasakan boleh dipostkan.

Suasana sebegini sudah biasa saya hadapi. Ia bukan baru. Saya sudah menulis dan menghadapi tribulasi penulisan selama hampir 30 tahun. Dalam banyak komen dan ulasan itu ada yang lebih bijak, berpandangan jauh dari saya. Saya akan belajar berpolitik dari mereka. Ada juga yang mengajar saya ikat tali kasut dan sikat rambut. Baguslah.. saya tidak tahu kalau tali kasut yang saya ikat selama ini masih songsang dan rambut yang saya sikat masih terbalik.

Ada komen yang agak melampau baik menyokong saya dan juga menyokong Abdul Hadi Awang. Komen begitu biarlah saya simpan saja dan penghantar komen akan faham kenapa kalau saya tidak menyiarkan komen mereka. Hanya komen dari kalangan bukan otak kemetot saja disiarkan. Mereka yang komen tidak disiarkan juga tahu sejauh mana kecerdikan mereka, dan berapa galas air sejuk diminum setiap hari yang mereka menyangkakan air oren.

Saya tidak akan merasa apa-apa kalau saya dikritik malah dihina. Penulis sudah 'basa dia', sudah lumrah akan menerima kritikan dari pihak yang tidak menyetujuinya. Kalau kita takut dikritik dan dikeji jangan menulis, atau ampu dan sanjunglah orang sepanjang masa hatta orang itu sudah nyanyuk ataupun menghisap ibu jarinya sendiri dalam gebal tebal di tepi dinding.

Kerana itu saya sedia mendengarnnya. Saya sudah fikir apa yang akan saya terima dengan menulis posting berkenaan. Saya mengambil tanggungjawab kalau saya, siapa lagi yang sedia mengkritik. Orang parti tidak akan mengkritik kerana mereka berdepan dengan risiko akan dipecat sebagai ahli. Saya juga hendak dipecat menjadi ahli! Abdul Hadi bukan pertama kali yang menjadi kritikan saya, dan apa yang lakukan kepada Abdul Hadi hanya permulaan saja.

Apa nak kata saya men jalankan tanggungjawab saya, dan tanggungjawab ini tidak dapat siapa menghalangnya, kerana kita memahami diri kita.

Saya masih ingat waktu saya disoal siasat oleh polis ekoran satu laporan dibuat ke atas saya berhubung kritikan saya kepada Sultan Kelantan kira-kira 18 tahun lalu. Polis bertanya kepada saya, kenapa saya kritik Tuanku. Apakah tuan tidak takut? Tanya si polis itu.

Saya jawab kepada polis itu, saya nak tanya tuan. Kalau bukan saya yang kritikan Sultan siapa nak kritik. Apakah tuan berani mengkritiknya? Jawab polis bermisai lebat itu dia tidak berani. Dan dia tidak boleh kritik kerana dia penjawat awam.

Maka saya berkata kepadanya, kalau tuan tidak boleh kritik maka sayalah yang akan mengkritiknya. Dia tanya saya kenapa kritik? Jawab saya sebab saya tengok Tuanku sudah tidak berapa betul dengan fungsinya. Tuanku telah melakukan kesilapan. Polis itu diam dan mencatat setiap jawaban saya. Jadi kalau dengan polis saya berani berdepan apalah sangat dengan penjenguk yang tidak beridentiti dan takut utuk berdepan secara terbuka dengan saya seperti polis itu.

Begitulah dengan Abdul Hadi atau Nik Aziz. Saya mengakui akan kehebatan dan keagungan mereka sebagai ulamak. Saya tidak menafikan itu. Saya tidak menghina akan kewarakan dan kealimannya seperti mana diduga oleh sesetengah guru yang mengajar saya ikat tali kasut. Mana saya ada kritik mereka dalam bidang yang mereka pakar itu, malah saya tetap menyanjunginya.

Tetapi yang menjadi kritikan saya ialah pendekatan politik mereka, pemikiran politik mereka, tindak tanduk politik mereka yang pada saya sesetengahnya tidak relevan dan mengikut perkembangan masa. Yang menjadi kritikan saya ialah kepandiran mereka yang menjadi hamba politik kepada si dalang yang lain. Baik Abdul Hadi atau Nik Aziz kadang mereka terlupa yang mereka diperkudakan.

Orang yang faham dan pembaca yang rasional akan dapat membezakan di antara dua juzuk ini. Janganlah cuba mengaulkan sekali tahi dengan air kencing, jadi makin hampak dan hamis nanti menyebabkan hidung akan jadi lebih tengit. Kalau kita baru lahir sekitar tahun 80-an hendaklah menyelam ke dalam laut dan rasai asin garam dan air laut secukupnya. Jangan hanya memakan garam bukit sesudu sudah mendabik dada akulah si mulut masin... jangan.

Kalau mereka faham politik tidak akan melenting dengan apa yang saya perkatakan itu. Saya kata berdasarkan pemerhatian saya. Bukan emosi atau soal Hadi orang Terangganu atau orang Kelantan. Orang yang masih berada dalam pagar kenegerian adalah tidak ubah dengan sama dengan sang pemakan rumput cerut.

Mengenai Abdul Hadi kenapa saya lontar kritikan itu kerana dalam tilikkan saya dia kurang menyengat sebagai presiden. Dia tidak dapat menampilkan diri sebagai pemimpin Pas nombor satu yang berkemungkinan akan jadi perdana menteri. Hadi bukan presiden yang akan menjadi perdana menteri, beliau bukan bahan mentah. Dia juga selalu goyang dengan kenyataan dan pendiriannya yang beliau buat sendiri. Saya rasa tidak payah saya hurai di sini tetapi mereka yang sihat ingatan dapat mengingatinya satu persatu.

Kadang-kadang manusia ini bila dia hampir dengan seseorang menyebabkan matanya kehilangan manik untuk melihat kecacatan seseorang itu. Bagi saya menyanjungi ulamak dengan tidak menegur kesilapannya satu dosa besar.

Saya faham perjuangan Pas bukan mengharap pangkat dan kuasa semata-mata. Pejuangan Pas mengajak manusia berbuat kebaikan dan mengajak manusia ke jalan Allah. Tetapi kalau itulah perjuangan sebenar Pas kenapa ada yang teringin nak bertanding dalam pilihan raya jadi Adun dan MP. Kalau hendak berdakwah cukup jadi macam tabligh saja. Rasanya orang yang lebih miring untuk melihat Pas sebagai gerakan dakwah elok masuk tabligh saja. Tidak payah bergomol dan serang menyerang dengan Umno. Tetapi apakah Pas hakikatnya begitu?

Tabligh tidak ada cita-cita itu. Apakah mereka yang faham dengan perjuangan Pas mahukan Pas jadi setakat itu saja. Hendaknya ada kensensus mengenai hal ini di kalangan mereka. Jangan cuba menyelindungi benang dari lempoyanngnya. Jangan cuba melarikan anak kucing dari ibunya nanti mengeowlah si kucing hitam.

Akhirnya dalam ulasan dan balas kepada kritikan dan teguran penjenguk, saya dengan tebuka hati menerima apa saja kritikan balik kepada saya. Anda seperti juga saya bebas untuk membuat tafsiran sendiri dan gunalah bahasa apa yang difikirkan baik dan tepat serta dapat membangkitkan minda. Saya rasa tulisan saya mengenai Abdul Hadi boleh membangunkan orang tidur atau menyedari mereka yang merasai harum jubahnya.

Kalau anda hendak berpegang kepada kilas Abdul Hadi dalam politik dan siasah, nah silalah tidak ada siapa yang marah. Dan kalau anda bangkit membelanya itu adalah pahala untuk anda. Tetapi saya tetap ada pandangan lain dan berhak untuk menyatakan mana punca atau ruang mana kilas Abdul Hadi yang tidak kemas.

Bagi saya yang melihat dari kaca politik ala saya, mudah saja kalau Mahathir saya kritik, Anwar saya kritik, Najib dan Rosmah saya kritik kenapa tidak dengan Abdul Hadi Awang ataupun Tok Guruku Nik Aziz. Selagi mereka berada dalam pentas politik demokrasi maka saya akan terus mengkritik kerana bagi saya kritikan lebih baik dari pada memuji dan berselawat ke atasnya.

Mengenai kekalahan Pas di Terangganu pada tahun 2004 banyak yang mengajar dan meminta saya membuat kajian. Saya sudah buat kajian bahawa kekalahan itu tidak dapat tidak Abdul Hadi sebagai pesuruhjaya ketika itu kena menerima tanggungjawab itu. Jangan hanya apa-apa yang molek dan kejayaan saja hendak disangkutkan kepada Abdul Hadi tetapi yang buruk dan merugikan dilempar ke atas orang lain. Ingat yang memegang kunci ke syurga adalah ulamak tetapi masih ada ulamak yang tidak tahu hendak menggunakan kunci berkenaan. Horras. [kb.kel 6:18 pm 03/02/11]

12 comments:

mwa said...

Tuan,

Saya menyokong kritikan tuan kpd Haji Hadi. Kita tidak pertikai beliau sebagai ulamak dan penceramah, memang hebat. Tapi, bahagian memimpin parti, sejak awal lagi, saya merasa ragu2 tentang kemampuan beliau. Tapi kena respect lah juga kpd yang memilih beliau. Tapi, sekarang sudah terbukti, bahawa beliau tidak efisien memimpin parti. Tapi masalahnya, saya tidak nampak pula siapa pengganti yang sesuai. Saya tidak fikir Haji Nasiruddin (Timbalan Presiden sekarang) ini mampu. Bagimana ya?

Mohamad
Johor Bahru

Rahimi said...

tuan

saya rasa sesekali kritikan perlu "straight to the point"....suka juga saya baca posting yg lepas dan jawapan tuan ini...

pada saya sesetengah orang yang komen tidak memahami erti politik khususnya dimalaysia...kita kena paham fungsi ulamak dan pemain politik, ia dalam agama namun di dalam bab yang berlainan, apakah dgn memberi teguran dan kritikan itu satu hinaan? jika begitu tidak perlulah rasulullah saw berbincang dan musyawarah dengan sahabat2 r.a., ambil peristiwa perang khandak yg mana idea itu dilontar oleh syaidina salman alfarisi r.a.

betapa kita perlu mempunyai seorang presiden terutama di saat2 begini, yg mana butir katanya akan diperbincang dan diperdebat bukan sahaja oleh ahli tetapi juga pihak lawan...benar seperti kata penulis, jgn kita mendabik dada sudah makan garam, tetapi banyak kita makan hanya ajinamoto.

oleh itu, pada perkembangan sekarang era politik kini, kita berbangga kita diizin Allah berpresiden seorang ulama yang berilmu dan bersahsiah tinggi, namun kita makan lebih berbangga jika beliau juga dapat memandu kita di dalam bahtera politik yg mencabar saat ini.

pahamilah ungkapan presiden juga khalifah (amir)...rujuklah kisah amirulmukminin terdahulu, mereka bukan sekadar nazir tetapi juga amil.

Unknown said...

MSO: sesungguhnya mata pena lebih tajam daripada mata pedang. tetapi membaca yang tersirat adalah satu beban yang maha berat kepada generasi yang lahir selepas tahun 80'an. kerana itu, ingatlah, sebaik - baik penyokong ialah penyokong yang menambah kekuatan kerana sokongan dibuat berdasarkan fakta dan data. seteruk - teruk penyokong pula adalah penyokong yang menyokong kerana emosi dan kepala lutut, inilah PENYOKONG YANG MEMBAWA REBAH.
MSO! TERUSKAN KRITIKAN ANDA.

nursyahira said...

Saidina Omar yang telah dijanjikan syurga Allah telah ditegur dengan hujung mata pedang oleh rakyat keatas pentadbiran nya, beliau bukan saja tidak marah malah bersyukur kerana di tegur.

Apakah ulama2 masakini sudah melebihi kewalian para sahabat Rasullullah S.A.W. sehingga secebis kritikan kepada pucuk kepimpinan itupun baru dengan hujung mata pena sudah dianggap sebagai satu kesalahan.

Rahmat Wahab said...

Assalamualaikum Pak SMO.

Itulah dia mentality orang melayu kita:
- kalau kritik Sultan nanti kena sumpah jadi batu.
- kalau kritik tok bomoh, nanti kena kacau dengan hantu dia.
- kalau kritik orang alim atau tok imam atau ustaz, nanti tak dapat masuk syurga dan jadi kafir.
- kalau kritik orang politik, ketua cawangan, ketua kampung, nanti hidup susah melarat tak dapat project, tak dapat bantuan kewangan, anak payah nak masuk Universiti, tak boleh dapat kerja gomen.

Perasaan takut nak kritik itu dah tertanam dalam jiwa dan pemikiran orang melayu kita. Pendapat saya kalau ahli PAS takut nak kritik pemimpin, takut perubahan, mungkin betul Pak MSO cakap sampai 1000 kali kalah pun PAS masih nak mengkaji itu-ini. Lepas tu diletakkan kekalahan sebagai takdir Allah. SPR nampak sangat menipu dan jelas banyak kepincangan dalam pilihanraya Malaysia. Kalau masih nak mengkaji sampai kiamat pun SPR dengan BN akan terus tipu PAS. Cuba kerahkan ratusan ribu ahli PAS pergi demo depan pejabat SPR termasuk Presiden PAS sekali, dah tentu SPR sendiri akan goyang macam President Tunisia. Silap haribulan terus letak jawatan Ketua Pengarah SPR. Kat Mesir 30 tahun SPR Mesir menipu rakyat Mesir setiap kali pilihanraya. Kalau Presiden PAS dapat kerahkan ratusan ribu anak muda berdemo depan pejabat SPR, ini baru betul pemimpin yang hebat jadi idola anak-anak muda. Abang Mat Sabu adalah contoh pemimpin yang berani, bukan hanya nak cakap dan buat kajian tapi dengan tindakan.

seli said...

slm tuan mso..terima kasih kritikan tersebut, dan mmg patutlah diambil peduli kritikan ini..

ahmadyani said...

kalau PAS dan kepimpinannya tidak berani menerima teguran, jangan bermimpi untuk memimpin Malaysia ini.

zul said...

MSO... sebagai penulis politik, teruskan usaha sdr. Kritiklah mana2 pemimpin baik PR apatah lagi BN. Semuanya itu ... demi kebaikan rakyat, sebb kita memerlukan pemimpin sejati. Saya belum terbacapun komen2 dari pemuja Hj Hadi dlm posting sdr yg lalu yang membela Hj Hadi dgn fakta dah hujah kukuh bagi mengilas kembali kritikan sdr itu. Yg ada sekadar minta sdr face to face dgn Hadi, ataupun sprti kata sdr, nak mengajar ikat tali kasut. Tindakan mereka seolah2 mengiyakan kritikan sdr. terhadap Hadi. Jadi tidak hairanlah ada pemimpin PAS menyalahgunakan prinsip wala' bagi 'mengkudakayukan' ahli.... PAS perlu berani berubah... sprti mana kata YB Dr Mujahid Yusof Rawa....

shafikir said...

Kritikan yang diutarakan memang mengejutkan dari mimpi indah. Cuma penggunaan perkataan yang dirasakan agak kasar. Walau bagaimanapun, isu pokok ini wajar diperhalusi dan diperdebatkan secara sihat oleh kedua-dua pihak dalam batas yang terpelihara. Elakkan isu ini menjadi laba politik di pihak sana.

stokisputrajaya said...

assalamu 'alaikum,

saya ni kerdil sgt nak kritik dan tegur ulama spt tg hj hadi dan apa lagi tg nik aziz. nak kritik dr segi politik tak berapa reti. dr segi ilmu ugama, lg jauh. kata orang, bertindih bayang pun tak layak.

dalam banyak-banyak teguran th mso di atas, saya tertarik dengan masalah berdakwah dan bertabligh. Bila dikaitkan dengan jemaah Tabligh, harapnya janganlah ahli PAS rasa itu satu penghinaan pula. Sebab sepengetahuan saya, ramai ahli PAS yg melihat jemaah Tabligh dgn negatif dan dilabel sbg tidak syumul. Malah yg lebih syadid, melabelkan jemaah Tabligh sbg 'jemaah upahan' musuh-musuh Islam, kerana tidak 'berpolitik'.
Jadi, bila th mso mengaitkan begitu, tentulah bagaikan halalintar membelah bumi jadinya bg ahli-ahli PAS ni.

Hemat saya, dengan meletakkan ke tepi bacaan sinikal, dan hanya menerima secara harfiah gesaan dan cadangan th mso, elok juga ahli PAS turut melibatkan diri sbg aktivis Tabligh. Lagipun Tabligh tu bukan parti politik. Jadi tak lah clash dengan perlembagaan pasti PAS. Tabligh tu kan sifat Nabi s.a.w., dan Dakwah tu ialah kerja Nabi s.a.w.?
Bila bersinergy dgn usaha Tabligh ni, byk juga manfaat yg ahli PAS akn dapati. Bukankah manhaj politik berparti PAS memerlukan seramai mungkin orang yg akan menyokong PAS? jika kita memerlukan, maka tak salah kita be humble. Kalau dgn yang bukan Islam pun dah ditukar Kelab menjadi Dewan, apa sangat setakat be humble dgn rakan-rakan seperjuangan drpd manhaj yang berlainan.
Saya rasa, selain politik berparti, PAS kena banyakkan juga telaah kitab siasah.
Politik dengan siasah tak sama ke?
wallahualam.

wassalam.

Admin said...

Assalamualaikum SMO.

Saya sependapat dengan nursyahira
Pemimpin yang baik boleh menerima kritikan,bukan niat hendak menjatuhkan tetapi hendak membetulkan.

Nor Azman bin Sukerman said...

Assalamu alaikum tuan. Atas dasar tidak boleh trima kritikan beginilah mengakibatkan buku tulisan Dr Mujahid menjadi kontraversi tak berapa lama dulu. jangan-jangan masih kontraversi lagi tak.