Saturday, February 19, 2011

Sabtu Meyatu

Bila Penyu Terengganu Akan Berhenti Menangis

MALAM tadi saya menerima email dari salah seorang penyokong (saya kira ahli Pas Terengganu) yang meminta saya membuat ulasan mengenai potensi Pas negeri Penyu Menangis itu pada pilihan raya akan datang.

Kebetulan pula selepas menerima email itu saya bertukar pandangan menerusi Fb dengan salah seorang rakan Fb saya berasal dari Terengganu.

Saya lebih percaya kepada rakan Fb ini kerana ia wujud dan ada identitinya. Sebaliknya yang mengirim email itu saya tidak mengenalinya. Mungkin juga dia seorang ahli Umno yang sengaja menghulurkan umpan buat saya. Tetapi saya bersangka baik menganggap dia orang Pas yang ingin mengetahui bagaimana pandangan saya terhadap Pas Terengganu.

Semuanya berpunca dari terbitan artikel ulangan dari blog saya dibawa tajuk "Nik Abduh ganti Nik Aziz," dalam Siasah terbaru. Nampaknya idea atau cadangan demikian perlu juga dilakukan di Terengganu.

Rakan Fb berkenaan memberitahu ada beberapa orang pemimpin Terengganu sudah tidak relevan. Aura dan kekeramatan mereka sudah pun tidak begitu menyengat lagi. Mereka sudah kehabisan sinar dan pengaruh juga kian menipis. Orang putih kata shining sudah memudar.

Menurutnya selagi mereka ini masih ada, tegasnya masih memainkan peranan penting dalam Pas Terengganu apa lagi terlibat dengan pilihan raya menjadi general menentukan calon, ia memberi impak tidak baik kepada Pas. Dalam bahasa mudahnya mereka sudah tidak lagi menjadi penawar atau pemanggil (denak) tetapi jadi pembawa 'karak' (asap) yang boleh memedihkan mata pengundi di hari mengundi.

Saya setuju dengan pandangan rakan berkenaan seorang pendidik dan ahli motivasi. Begitu juga saya kira dengan orang lain di Terengganu yang tidak bernauang di bawah ketiak atau 'terselek' dengan mana-mana minyak attar. Cuma masalahnya bagi mereka yang tetap merasakan kopiah dan jubah orang-orang ini harum bak kasturi sukar untuk mereka melepaskannya. Malahan kita yang mencadangkan akan ditohmoh dengan berbagai tuduhan dan kata nesta yang menajiskan.

Maklumlah orang Terengganu ini pula 'gedebe' belaka, tidak macam orang Kelantan. Kalau mereka tidak gedebe tidak adalah sepanduk yang memaki hamun Sultan Mizan tidak lama dulu; mengatakan 'Nantang' (bintang) kepada Sultan. Itu tandanya orang Terengganu gedebe - tidak kisah dari haraki mana.

Pantang mengkritik pemimpin mereka, maka akan tunggu kita dengan cok (cangkul). Atau memberi pesanan akan menempeleng kita jika terjumpa di mana-mana. Orang Terengganu sebegitu ingatkan kita ini turus pagar kok. Tidak semua, tetapi adalah beberapa keret yang saya kira orang ini mengaji tidak sudah, yang tidak khatam mengenai politik yang membuat tafsir politik dengan kepala lutut dan masih mandi menggunakan timba upih dan kecing sambil berdiri.
Seperti kata rakan Fb saya ini, dia mengakui akan kehebatan tokoh-tokoh ini. Mereka berjasa dan berbudi besar kepada Pas. Sumbangan dan jasa mereka kepada Pas Terengganu tidak dinafikan. Tetapi mereka tidak boleh tolak sunnah alam bahawa mereka juga tidak tepu dan dimakan usia. Nama lagi manusia.

Satu masa dulu mereka memang hebat, memang hero dan merekalah penggerak jihad Pas. Pandangan dan kritikan mereka bernas. Mereka dianggap sebagai wira. Tetapi harus diingat zaman mereka sudah lama berlalu. Kita sudah pun memasuki suku pertama milenium. Zaman mencula untuk mengenali siapa pungundi kita siapa lawan sudah berakhir. Kini zaman automatik bukan zaman 'manualtis' lagi.

Rasanya pembawaan seperti Mahathir Mohamad yang merasakan dia masih relevan, pandangannya masih bernas tidak perlu menjadi ikutan orang ini. Usahlah menjejaki Mahathir yang tidak pernah insaf dan sedar terhadap ketuaan dan kelupaan dirinya. Perjuangan Islam ada prinsip, begitu juga dengan kaedah-kaedah untuk seseorang itu sama ada perlu atau tidak berada di atas. Pas bukan hak peribadi tetapi hak jemaah.

Orang-orang ini fizikal pun saya lihat sudah lemah. Rambut sudah banyak beruban. Di kelapa sudah seperti ladang kapas yang sedang mengembangkan bunga, putihhhh... Begitu pun bukan bermakna setiap yang beruban itu tua, tidak, ada kalanya uban kerana penyakit. Misalnya saya bukan tua sangat baru separuh abad. Tidak ada guna muda kalau tidak dapat memikir sesuatu untuk melonjakkan dan menyemarakkan sokongan ramai kepada parti.

Tetapi realitinya mereka ini sudah tua. Sudah kehabisan gas. Bila sudah tua jangan lagi merasakan muda. Selalu manusia tidak mahu akur kepada hakikat dan suka menurut runtunan nafsu. Nafsu memang tidak pernah tua, tidak pernah lemah. Tetapi mata yang memerhati di luar sana dapat melihat kepincangan dan kenyongahan kita. Maka bila ada orang 'tabeng' cermin kepada kita, kita silaulah tenguk bayangan hakikat diri kita dalam cermin itu.

Saya mengenali setiap mereka yang disebut sebagai pemimpin atau tokoh yang sudah tidak membantu Pas Terengganu itu. Kebetulan saya mengenali dan mengawani mereka termasuknya sebagai pengkagum kepada mereka di tahun 80-an lagi. Tetapi bukan kerana saya kenal dan pernah berkawan dengan mereka, maka saya harus memuja dan mempertahankan mereka, atau memejamkan mata dari melihat kecacatan dan kelemahan mereka.

Tidak... kita harus berdiri atas aspal kebenaran untuk melanggang perjuangan yang lebih jauh. Bila kita nampak kelemahan mereka kita harus memberi tahunya walaupun apa yang dicakapkan itu tidak digemarinya. Saya pernah menegur dan mengkritik seorang rakan yang baik dan saya rasakan dia boleh jadi pemimpin besar. Saya tidak perlu malu atau merasa bersalah dan kerugiaan sesuatu bila berbuat begitu kerana nawaitunya untuk memperbetulkan. Sama ada dia dengar atau tidak terserah, tetapi masa dan keadaan akhirnya menentukan segala-halanya.

Selalu jadi masalah kepada orang kita, orang Melayu bila mereka mengenali, mengawani mereka atau sesekali dapat minum air atau dipanggil kenduri ke rumah, mereka akan malu alah dengan pemimpin berkenaan. Mereka tidak akan mengkritik dan menegur walaupun mereka ada idea untuk berbuat demikian dan nampak kesalahannya jelas. Lebih bahaya lagi kalau ada pengikut yang munafik menjadi pembodek dan pengampu seperti jambak bawang.

Dalam bak ini saya setuju dengan pandangan Dr Mahathir Mohamad terhadap sikap dan perangai orang Melayu ini yang malu alah. Malu untuk menegur atau meminta akhirnya menyebabkan Melayu kalah. Ia juga berlaku di antara penyokong Mahathir dengan Mahathir.

Kenapa Mahathir jadi seperti hari ini, ialah kerana orang disekelilingnya malu untuk tegur bekas PM itu. Rasa malu itu ditimpa oleh rasa betapa berbudinya Mahathir kepadanya kerana memberi projek bernilai ratusan jutaan ringgit. Inilah cara balasan budi dan pemberian budi yang tidak kena dan bercanggah dengan akal budi bangsa dan agama.

Inilah sikap orang kita bila sudah termakan budi maka akan tergadai budi dan maruah. Akan membiarkan pemimpin itu terus tegak dengan kuasanya kandati kuasa itu akhirnya mengkhinati dirinya, bangsanya dan juga agamanya.

Beberapa orang pemimpin Pas Terengganu yang sudah (saya kira usang), dan kehadiran mereka untuk duduk di barisan hadapan tidak begitu melabakan Pas, antara ialah Abu Bakar Chik, Mustafa Ali, Harun Taib, Husin Awang, Wan Mutalib Embong, dan lain-lain. Nama mereka bukan ciptaan saya, tetapi nama mereka akan dirujuk setiap kali bercakap mengenai Terenggnu.
Saya rasa kalau ditanya kepada penyu, penyu juga akan menolak mereka ini kerana setengahnya usia sudah hampir sama dengan penyu yang naik bertelor di Rantau Abang.

Anak-anak muda Terengganu yang bergabung dalam persatuan di perantauan juga menyedari akan hal ini. Kalau tidak masakan Setiausahanya Suhaimi Embong mencadangkan supaya muka baru diperkenalkan di Terengganu dalam pilihan raya akan datang. Cadangan Suhaimi itu jelas agar mereka ini berundur, cuma Suhaimi tidak berani menyebut satu persatu mungkin beliau ada kepentingan lain atau mala alah.

Di sini saya ingin tambah seorang lagi nama yang perlu difikir apakah wajar dia terus menjadi orang peting atau btidak di Terengganu. Orang itu ialah Abdul Hadi Awang. Tetapi disebabkan Abdul Hadi presiden Pas orang tidak berani untuk memasukkan namanya ke dalam barisan usang yang sudah tidak mampu untuk membuat lonjokan di Terengganu. Nama-nama ini sudah perlu dibuang dari menjadi general Pas Terengganu, mereka tidak usah lagi menjadi pembuat keputusan atau menjadi pengatur strategi.

Kalau mereka masih juga gian untuk berpilihan raya mereka boleh duduk di barisan belakang. Memberi sokongan atau pun tukang membaca doa atau pun menjadi imam kepada sembahyang hajat di hari penamaan calon. Biarlah anak-anak muda yang berada di barisan hadapannya mengambil tempat mereka.

Khabarnya dalam pilihan raya umum lepas sudah dibuat satu persefahaman dan janji di mana mereka ini tidak akan bertanding lagi. Tetapi janji itu tidak dipenuhi. Bila tiba saat pilihan raya ada yang diam-diam pergi mengambil dan mengisi borang pencalonan. Kerana kedudukan mereka sebagai tokoh veteran tidak siapa berani melarangnya. Inilah kesilapan dan kelemahan dan sikap enggan menegur guru yang salah terus diamalkan.

Kali ini biarlah konsesus itu menjadi kenyataan. Jangan saja Wan Mutalib, Abu Bakar Chik yang tidak bertanding tetapi kali ini biarlah Mustapa Ali, Husin Awang dan rakan seangkatan dengannya turut sama tidak bertanding. Kalau perlu Abdul Hadi juga. Cukuplah.... Sebagai alternatif untuk meneruskan perjuangan mereka masing-masing boleh menyerahkan kepada anak lelaki masing-masing untuk meneruskan tugas mereka.

Pas Terengganu kerana berkorban dan kena redha. Mereka yang veteran ini juga kena insaf. Kita selalu berkata perjuangan Pas bukan terbatas kepada pilihan raya dan menjadi wakil rakyat saja. Nah buktikan. Medan di depan sana masih luas untuk kita memperjuangkan syariat Allah mencegah kemunkaran dan menegakkan kebenaran ia bukan saja terbatas menerusi kerusi wakil rakyat atau memegang pengerusi apa-apa jabatan dalam parti.

Dalam hal ini saya kagum dengan sikap Abu Bakar Chik walaupun beliau bukan wakil rakyat, bukan Exco tetapi masih ligat macam gasing menjelajah negara dalam membawa obor parti. Pun dalam pada itu kerana kadang-kadang pendekatannya sudah basi.

Makanya jalan sebaiknya mereka ini rihat sepenuhnya. Berpakat dan berbincanglah untuk berundur secara terhormat. Saya percaya kalau mereka mengambil keputusan demikian dan memberi laluan kepada tokoh muda di Terengganu ada harapan penyu akan berhenti menangis di Terengganu. [wm.kl. 10:00 am 19/02/11]

4 comments:

Ibnu Ihsan, Terengganu said...

Salam MSO,

Saya sangat bersetuju dengan pandangan agar pimpinan PAS Trg disuntik dengan penampilan barisan pimpinan baru yg. lebih muda dan beridea baru.

Sebagai anak Terengganu yang menetap di negeri ini, penyokong PAS(bukan ahli)dan pemerhati setia susur galur politik Trg, saya rasa telah sampai masanya pemimpin sedia ada utk. berundur ke belakang tabir..memain peranan sebagai mentor kepada kepimpinan yang lebih muda dan energetik.

Rata-rata perbualan dengan penyokong dan para simpati PAS mahukan perubahan ini, tetapi akibat malu alah, hal ini tersekat setakat sosek-sosek di kedai kopi shj.

Jasa dan pengorbanan para pemimpin lama PAS Terengganu tidak termampu untuk kita balas, hanya kepada ALLAH SWT kita berserah..tetapi, selari dengan perubahan masa dan persekitaran, pemimpin datang dan pergi, pasti ada pengganti yang juga tidak kurang mampunya berbanding pemimpin sedia ada. Cuma mungkin mereka tidak menonjol kerana terlindung di belakang pemimpin sedia ada. Mitos mengatakan adanya mana-mana pemimpin, baik di peringkat negeri mahupun pusat terlalu bagus untuk ditukar ganti..bagi saya adalah satu pendapat yg tidak berpijak dibumi nyata, tetapi sekadar bertenggek pada akal yang cetek. Sejarah dunia dan sejarah Islam membuktikan dari masa ke semasa lahirnya pemimpin-pemimpin berkaliber.

Kembali pada senario politik Trg, PAS sebenarnya tidak ketandusan barisan pelapis. Tetapi, mungkin adat budaya kita org Melayu Islam, kita jadi malu alah kepada orang orang tua dan pemimpin. Tidak seperti sesetengah bangsa dan budaya, mereka begitu berani mengeluarkan pendapat sendiri, meskipun mengundang risiko. Akhirnya rasa tidak senang dengan mana-mana pemimpin tidak mampu diluahkan secara berdepan dan berhemah.

Bagi saya, jika PAS mahu lebih progresif, tempoh kepimpinan PAS, di mana-mana level sekalipun dihadkan agar bakat baru, pemimpin baru dengan idea baru dapat ditonjolkan dari masa ke semasa tanpa perlu disekat oleh sifat malu alah masyarakat kita. Hadnya mungkin antara 8-10 tahun shj. Jika mekanisma ini diguna pakai, pemimpin lama dengan sendiri berundur dengan penuh berhemah, tanpa perlu dimalukan atau dijatuhkan. Barulah kepimpinan parti sentiasa kelihatan segar dan kreatif bagi menarik golongan muda dan pertengahan yang semakin kritikal dan lantang suaranya.

MSO, kepimpinan UMNO Terengganu pun kini diterajui oleh muka-muka baru. Kalau ditanya kepada anak anak muda negeri yang baru boleh mengundi dan golongan atas pagar, pastinya mereka lebih selesa melihat pemimpin muda PAS yang akan berhadapan dengan pemimpin muda UMNO. Jika PAS mahu melihat UMNO dan keboborokannya ditumbangkan, inilah masanya. UMNO masih berkarat dengan krisis dalamannya. Kepimpinan MB baru juga masih diperlekehkan.

Terserah kepada PAS untuk menyahut suara hati jenerasi baru seperti kami ini!.....


Ibni Ihsan
Wakaf Beruas, KT

Unknown said...

Salam untuk semua pembaca dan Tuan MSO...
Saya bersependapat dengan artikel ini dan sangat-sangat bersetuju sekiranya PRU 13 nanti, calon-calon yang dikemukakan oleh PAS adalah tenaga baru. Dalam masa yang sama,tenaga-tenaga lama yang masih bertebaga masih boleh dikekalkan tetapi dalam bilangan yang minima.

Proses pengenalan tenaga-tenaga baru perlu dimulakan dalam masa terdekat agar mereka-mereka ini dikenali oleh para pengundi. Mereka-mereka ini perlu ditonjolkan secara agresif.

Tenaga-tenaga lama yang disebutkan nama mereka dalam artikel ini perlulah memusabah diri masing-masing, memikirkan kedudukan mereka, merenung dalam diri sama ada mereka-mereka ini mementingkan perjuangan parti atau masih berkira-kira dengan kepentingan diri sendiri. Jangan lah di atas faktor ketiadaan orang menegur mereka untuk berundur akan membuatkan mereka perasan bahawa mereka masih diperlukan. Teguran mungkin tidak dibuat secara terang dan jelas berdasarkan kepada faktor menghormati mereka.

Sekian. Wasssalam

Nik Aminuddin
Anak Marang

Yanaam said...

Nama2 general PAS di atas sudah terpahat sejak zaman Wan Mokhtar.

Dalam arkib UMNO, nama Wan Moktar, Ibrahim Azmi, Rashid Ngah, Abu Bakar Daud hanya ada dalam kitab kuning UMNO. Tetapi PAS masih menggunakan general2 yang sezaman dengan mereka.

Memang ilmu politik dan pengalaman mereka berguna kepada generasi muda tetapi pelapis PAS Terengganu perlu lebih berani dan yakin menampilkan diri dengan idea2 baru serta pendekatan yang lebih segar.

Yang lama pula tak usahlah liat sangat mengundur diri.

pkks said...

salam,

macam mana nak tonjolkan calon muda kalau tiada pencapaian. kalau setakat cemerlang dikampus belum tentu boleh berkhidmat dengan masyarakat.

calon-calon yang dikatakan 'tua' inilah yang sanggup turun padang bersama jentera bawahan. dato' abu bakar chik penah turun pukul 3 pagi bersama-sama petugas memasang bendera di PrK Tenang. Dato' Mustafa Ali juga turun ke rumah penginapan kami yg agak bersepah.

pimpinan lain yang dikatakan muda hanya tau duduk di bilik gerakan pusat setiap kali prk tapi pimpinan tua ini yang sudi menjenguk kami.

pimpinan muda hanya tau berstrategis, bermisi, bervisi dan tau berpraktikal di kertas kerja sahaja.

muda tua sama sahaja, yang penting tenaga dan konsistensi berterusan.

kalau perlu diganti, sebutkan nama, bentangkan resume, hidangkan pencapaian. Kalau tiada pencapaian, sertai mana-mana usrah cawangan, belajar usrah peringkat taarif dulu. Kalau belum, usah mimpi nak jadi calon. Nak jadi calon menantu pun belum tentu layak.

Yang benar,
Orang Muda dari Manir