Saturday, February 26, 2011

Kenyataan Akhbar

Kecam Yusuf Al Qardhawi Najib Tidak Cerdik

TIMBALAN Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa begitu kesal dan terkilan dengan kenyataan Peradna Menteri, Najib Razak yang menuduh Dr Yusuf Al-Qardhawi dan gerakan Ikhwan Muslimin sebagai parti ekstremis dan terlibat dengan keganasan.

Najib dikatakan telah membuat kenyataan itu yang disiarkan dalam laman web National Review Online.

Sehubungan itu Nasharudin meminta Najib menarik balik tuduhan berkenaan yang dianggap sebagai kenyataan yang tidak cerdik.

Berikut disiarkan sepenuhnya kenyataan Nasharudin Mat Isa yang dikirimkan ke email saya baru sekejap tadi;

Merujuk dalam satu laporan berita yang disiarkan dalam laman web National Review Online, saya mendesak Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Mohd Najib Razak supaya menarik balik tuduhan liar yang dilemparkan kepada gerakan Ikhwan Muslimin dan ulama’ terkenal dunia, Syeikh Dr Yusuf Al-Qardhawi.

Memetik ucapan yang dibuat olehnya di Istanbul baru-baru ini, beliau mendakwa bahawa parti politik Ikhwan Muslimin terlibat dengan keganasan dan sifat ekstremis.

Ikhwan Muslimin merupakan sebuah gerakan Islam yang sah di Mesir. Malah, mereka turut terlibat dan berpartisipasi secara aktif dalam beberapa siri pilihanraya di Mesir. Tambahan lagi, mereka sering melaungkan tema “Penglibatan dan Bukan Penguasaan” disamping memelihara peruntukan-peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan Mesir.

Walaubagaimanapun, hak dan nilai demokrasi mereka sebagai rakyat dan parti politik yang sah telah dicabul sehingga mereka terpaksa berdepan dengan ancaman, ugutan serta penyelewengan kuasa yang dilakukan oleh pemerintah Mesir.

Menyentuh mengenai kebangkitan rakyat di Mesir, Ikhwan Muslimin berpendapat bahawa segala kerosakan dan pencerobohan yang berlaku adalah disebabkan tindakan kumpulan-kumpulan samseng yang bersengkongkol dengan pihak-pihak tertentu untuk menindas kemahuan rakyat.

Malah Ikhwan Muslimin turut memberikan penghargaan kepada seluruh tentera Mesir yang berkhidmat untuk menjaga keselamatan dan memelihara keamanan sepanjang tempoh revolusi yang berlaku.

Ini membuktikan bahawa Ikhwan Muslimin tidak terlibat dengan sebarang bentuk provokasi dan strategi bagi melakukan keganasan dan kekacauan di Mesir.

Syeikh Dr Yusuf Al-Qardhawi yang juga Pengerusi Kesatuan Ulama’ Sedunia pula merupakan seorang tokoh ilmuan yang sangat terkenal seluruh dunia. Bahkan segala usaha-usaha yang dilakukan olehnya mendapat pengiktirafan serta penghormatan yang tinggi.Sempena majlis sambutan Ma’al Hijrah 1431/2009, Timbalan Yang Di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah telah berkenan menyampaikan Tokoh Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan kepada beliau atas sifat peribadi unggul dan sumbangannya yang begitu besar dalam agama serta dunia Islam seluruhnya.

Malah, beliau selalu berkunjung ke Malaysia untuk menyampaikan ilmu serta bertemu dengan ramai individu, parti politik serta pihak-pihak tertentu. Ini membuktikan sifat beliau disenangi dan diiktiraf oleh kerajaan Malaysia.

Kenyataan Perdana Menteri itu dilihat tidak cerdik. Saya berpendapat Najib harus menarik balik kenyataan tersebut dan meminta maaf kepada gerakan Ikhwan Muslimin dan Syeikh Dr Yusuf Al-Qardhawi segera.

Jika tidak, beliau telah menunjukkan sikapnya sebagai seorang yang pro kuasa Barat dan takut untuk menzahirkan kebenaran.

Disediakan oleh
NASHARUDIN MAT ISA,
Timbalan PresidenParti Islam SeMalaysia

[wm.kl.8:30 pm 26/02/11]
Post a Comment