Hussein Yang Tidak Pernah Melupai Perjuangan
LAMA saya tidak berjumpa dengan tokoh Umno Kelantan Hussein Ahmad atau lebih dikenali dengan Hussein Serama. Kalau tidak silap pertemuan terakhir ialah pada tahun 2007 ketika beliau hadir pada satu majlis anjuran Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) di dewan PPK Kota Bharu. Malam itu beliau diundangkan khas, dan majlis itu juga secara tidak langsung bagi meraikan beliau sebagai tokoh veteran.
Walaupun dalam usia agak lanjut tidak secegas dulu, beliau akan cuba juga menghadirkan diri pada mana-mana majlis jika ada jemputan. Sikap ini membuktikan beliau sebagai seorang tokoh dan ahli politik sejati. Walaupun kini di era persaraan, sepatutnya banyak berihat dengan isteri, anak cucu, namun Hussein tidak akan melupai perjuangan. Jarang beliau mis menghadiri majlis-majlis besar Umno.
Selagi kakinya boleh melangkah dan mulutnya boleh berbicara beliau akan hadir. Selalunya dalam keadaan agak uzur seperti hari ini, beliau bukan hadir sebagai pemerhati saja, tetapi akan tetap memberi sumbangan idea dan fikiran. Kalau diminta berucap beliau tidak akan melepaskan peluang.
Bagi seorang politik, pembesar suara sebahagian daripada ubat atau penawar. Itu hakikat. Baginya bercakap mengenang peristiwa lama dan perjuangan orang Melayu seperti pil suplimen yang menyihatkan badan.
Kehebatan Hussein yang dimesrai dengan panggilan ayah Sin atau abang Sin, ini memang tidak terlawan. Kebetulalan saya mengikut perkembangan beluau sejak dari bangku sekolah lagi, sekitar pertengahan 70-an. Semasa beliau menjadi pemimpin Umno Rantau Panjang dan wakil rakyat Gual Periok beliau seorang yang mengambil berat kepada pendidikan dan pelajaran.
Kerana itu beliau selalu ke sekolah, membuat lawatan atau pun merasmikan mesyuarat PIBG. Ketika inilah saya mula mengenalinya. Pengenalan dengannya membawa ke alam remaja kemudian sempat juga berkawan dengannya menerusi Persatuan Penulis Kelantan (PPK). Ayah Sin ketika itu Ketua Satu PPK. Sebenar pertemuan saya dengannya agak menarik juga.
PPK ketika dibawah pimpinannya menjadi sebuah persatuan penulis dan persuratan dikendalinya. Siapa tidak kenal PPK. Bukan saja di Kota Bahru malahan di seluruh negara. Beberapa acara besar kebudayaan dan sasteraan dijalankan di Kelantan semasa beliau memimpin PPK.
InsyaAllah saya akan menulis mengenai Hussein Ahmad dalam masa-masa lain menceritakan kehebatannya dalam politik yang saya kira tidak ada tolak banding dan boleh diatasi mana-mana tokoh politik Umno Kelantan dewasa ini. Saya akan cuba...
Selepas Zohor semalam bersama sdr Sobree Shafii saya menemui beliau yang kebetulan berada di Subang Jaya di rumah anaknya. Jadi semalam sempatlah melepas rindu dan menziarahinya. Hajat ini sudah lama terbuku, semasa balik Kelantan beberapa minggu lepas sudah pun berputik, tapi masa tidak mengizinkan.
Biasalah bila bertemu dengan Ayah Sin, selalu ketidak cukupan masa. Cerita politiknya, amanahnya mengenai bangsa dan negara cukup merangsang minda. Dan beliau sendiri pula kalau dapat berbicara soal perjuangan, akan jadi segar tiba-tiba.
Walaupun beliau kini agak susah untuk bercakap kerana gangguan saraf, namun itu tidak menghalangnya. Ayah Sin yang terkenal sebagai pemimpin yang berani, tegsas dan berterus terang tetap menghemburkan pendapatnya. Menariknya dalam hal ini beliau tidak kira siapa, apa yang penting pandangan atau tegurannya tulus dan ikhlas.
Topik yang menyentuh perasaan beliau dalam perbualan semalam ialah masalah perpaduan Melayu dan mengenai evolusi di dalam Umno. Bliau sangat obses mengenai dua perkara ini sehingga adakalanya beliau semacam fed-up untuk membicarakannya. Mengenai Umno sangat dikesalinya kerana Umno kini sudah berubah, hilang semangat juang bukan seperti di zamannya.
Katanya disebabkan perubahan itu, menyebabkan kedudukan orang Melayu kini terancam. Beliau melihatan ancaman hari ini sangat merbahaya dan memerlukan tindakan segera untuk menemukan Melayu di atas satu titik.
Selain membicarakan itu dalam kesempatan terbatas semalam, Ayah Sin turut mengungkitkan beberapa topik lain yang menarik dan satu kupasan yang bukan saja perlu didengari, tetapi dihayatai oleh generasi baru khususnya orang Melayu.
Seperti saya katakan tadi saya akan membuat kunjungan khas ke rumahnya nanti untuk menulis serba rengkas jatuh bangun perjuangan beliau dalam politik, bagaimana kehebatannya dari seorang guru akhirnya menjadi timbalan menteri. Bagaimana pun pengorbanan dan jasa beliau yang jarang diketahui orang ialah jasanya menghidupkan semula Umno.
Saya rasa cerita di sebalik menyelamatkan Umno ini sdr Sobree merupakan orang paling layak untuk menulis kerana beliau pada masa itu pembantu kepasa Hussein Ahmad. Semalam pun Ayah Sin ada menyebut jasa Sobree kepada Umno banyak. Saya kurang faham maksud itu, tetapi dapat membayangkan ia ada kena mengena dengan pengorbanan Sobree membantu Hussein dalam menyelamatkan Umno.
Saya rasa Sobree perlu menulis riwayat ini dengan jujur dan berterus terang. Setidak-tidaknya mana-mana orang Umno yang tidak mempedulikan beliau (Sobree) sehingga akhirnya beliau meninggalkan Umno akhir tahun lepas mengetahui bahawa perahu yang dinaiki oleh orang Umno hari ini pernah diselamatkan olehnya dengan cara dan peranannya tersendiri. [wm.kl10:00 am 16/02/11]
No comments:
Post a Comment