Sekat Gelombang Merah Sebelum Ia Berombak
SEMASA berputar-putar di Kota Bharu semalam bersama seorang sahabat untuk mencari kedai nasi berlauk tersedap, saya terpandang sebuah banting bersaiz sedarhana yang disangkut di tiang eletrik berhampiran pasar Buluh Kubu. Saya pasti banting berkenaan dipasang meluas di sekitar bandar Kota Bharu.
Banting berkenaan tertulis perkataan Gelombang Merah (GM) dalam warna putih dan latar belakang banting berkenaan warna merah. Dua sosok wajah yang terpampang di banting berkenaan, Mustapa Mohamed dan Najib Razak. Butiran lanjut tidak sempat pula dibaca. Namun melihat kepada banting berkenaan ia merupakan satu kempen besar-bensar oleh UBN Kelantan.
Apakah GM ini merupakan projek terbaru UBN Kelantan untuk menawan negeri berkenaan? Saya mengira begitu. Tidak dipastikan pula bila ia akan dilancar dengan rasmi. Tetapi yang jelasnya UBN sudah mengatur projek khas untuk tawan Kelantan. Ada sikit-sikit ciplakkan daripada projek Umno Terangganu untuk merampas negeri penyu menangis itu tahun 2004 dulu. Pada masa itu Umno Terangganu melancarkan Gelombang Biru (GB).
Ternyata GM berjaya menenggelamkan kerajaan Pas pimpinan Abdul Hadi Awang and the geng waktu itu. Semasa projek itu dilancar orang Pas Terangganu katanya hanya tersenyum saja. Mereka optimis bahawa Terangganu akan tetap dipertahankan oleh Pas. GM tidak sedikit pun merimaskan mereka. Al maklumlah beberapa pembaharuan yang dibuat Abdul Hadi telah merujakan hati rakyat Terangganu seperti pengecualian tol dan penurunan cukai pintu. Jadi mereka mengira rakyat Terangganu tidak akan bertukar kiblat kepada Umno semula. Namun hasilnya atas segala ilusi itu seperti mana semua tahu.
Bila Umno atau Mustapa Mohamad melancarkan Gelombang Merah: Transformasi 1Kelantan Gelombang Rakyat, di Kelantan, Pas Kelantan janganlah tersenyum dan pandang sinis dengan projek itu. Barang diingat Umno bukan kecil anak. Parti itu memiliki dan mempunyai semua idea kejahatan dan kebejatan. Jangan bersikap tak pa, macam orang Pas Terangganu tahun 2004 dulu. Jangan perkecilkan usaha Umno Kelantan itu. Orang Pas kena ingat Umno lebih bersungguh untuk tawan Kelantan kali ini.
Baru ini Mustapa telah meletakkan sasaran untuk merampas 23 kerusi milik Pas. Catatan dan analisa ringkas mengenai sasaran Umno ini ada saya muatkan dalam Siasah, dua minggu berturut-turut. Penganalisa dan pemerhati politik Pas Kelantan boleh tik mana-mana kerusi yang menjadi sasaran UBN itu. Tumpuan atau penjagaan lebih perlu dilakukan Pas terhadap kerusi-kerusi berkenaan.
Dalam projek GM ini katanya Umno akan memberi tumpuan kepada penngundi muda. Bilangan pengundi muda mengatasi pengundi warga emas di Kelantan. Adalah dianggarkan sekitar 400,000 pengundi muda di Kelantan. Golongan inilah yang menjadi sasaran UBN. UBN Kelantan telah mengadakan pendekatan secara intensif terhadap pengundi muda ini. Perjuampaan dengan agen pengundi muda dilakukan setiap dua bulan sekali di Kuala Lumpur. Perjumpaan terbaru ialah di quarters Mustapa Mohamad di Bukit Tunku.
Mustapa mendakwa pengundi muda mempercayai kepada Umno atas kemampuan parti berkenaan. Ada benar dan logiknya juga. Pengundi muda yang hanya melihat kebendaan sebagai perjuangan tanpa melihat kepada syasiah diri pemimpin akan terpesona dengan tawaran Umno. Mereka akan mengikut sesiapa saja yang boleh memberi tawaran kebendaan kepada mereka. Mana-mana manifesto yang dikira memenuhi aspirasi mereka, mereka akan sokong.
Satu perkara yang saya perhatikan sekarang ini mengenai gelombang bola sepak di Kelantan. Ada semcam Umno cuba menyelitkan agenda untuk tawaran Kelantana menerusi fenomena bola sepak. Read Warriors yang dipimpin oleh Annuar Musa seakan hendak dieksploitasi supaya menyokong Umno.
Read Warriorts telah menjadi fenomena sampingan yang pada saya menguntungkan politik Umno Kelantan. Cuma sejauh mana RW ini dipergunakan terserah kepada berapa banyak Umno Kelantan akan 'membayar' Annuar untuk menyerahkan skuad RW kepada Umno. Khabarnya sudah ada usaha mempergunakan penyokong bola sepak untuk meruntuhkan kerajaan Pas. Annuar dan Umno sedang mempersiapkan ini dalam senyap!
Kalau ini berhasil ia memberi kesan kepada Pas. Penyokong Read Warriors ini ramai. Kekuatan mereka dapat dilihat semasa pasukan Kelantan berlawan di stadium. Bayangkan kalau separuh daripada penyokong bola sepak ini berjaya dijinak Umno ia boleh menghuruharakan Pas. Mungkin pemerhati dan penyokong totok Pas akan menolak andaian saya ini mengatakan yang hadir itu sebahagian besarnya orang Pas.
Atau mereka akan menjawab Pas juga turut memberi sumbangan. Memang benar, tetapi apa kena fikir sejauh manakah sumbangan itu dinilai oleh penyokong WR?
Selalunya begitulah tetapi pemerhati telinga badak ini terlupa mengenai gerakan dan arus bawahan yang diinjak masuk ke dalam penyokong RW. Bacaan atau strategi politik tidak hanya terhurai dalam sebuah kamus saja, ini kena faham oleh para pengikut dan penyokong totok Pas yang sesekali ingin mengajar orang mengikat tali kasut.
Justeru dalam masa terdekat ini Pas kena melakukan sesuatu untuk mengejutkan pengundi muda. Pas juga perlu ada projek untuk orang muda. Projek itu perlu dilakukan bersekali dengan projek menghijau dan menyuburkan Pas. Jangan saja mengusahakan projek kafilah ataupun ladang rakyat, tetapi mesti ada projek raksasa untuk orang muda. Penggerak anak muda di Kelantan diperlukan seperti mana yang cuba dilakukan Annuar Musa kini.
Pas kena ingat mereka sudah 20 tahun berkuasa di Kelantan. Satu tempoh yang dikira mengejutkan ramai pihak. Ia satu kejayaan besar buat Pas. Kejayaan itu jangan dipasang sebagai satu keadaan menyelesakan Pas. Ia boleh bertukar menjadi sebaliknya dalam pilihan raya akan datang. Lainlah kalau sesetengah pemimpin Pas sudah merasa kenyang dan cukup dengan penyamunan khazanh rakyat di Kelantan.
Dalam pemerhatian saya apa yang perlu Pas lakukan untuk menangkis projek GM Umno ini ialah dengan memperkasakan parti. Peranan ini harus dimainkan oleh semua pemimpin di Kelantan. Dalam erti kata lain pemimpin Pas Kelantan kena melupakan pertelingkahan peribadi dan harus melangkah sederap ke depan untuk membina benteng pertahanan. Sudah lama satu cadangkan supaya tiga tanah rancangan yang dirintah secara atonomi disatukan dalam lot besar.
Bulan Februari depan akan berlangsung pemilihan parti di peringkat cawangan dan kawasan Pas. Walaupun pemilihan dalam Pas tidak akan 'memborak' kepada perbalahan dan boleh mengancam kestabilan politik untuk menghadapi pilihan raya, tetapi rasanya tidak elok kalau pemilihan itu berlangsung dengan ada percaturan atas niat tertentu. Jangan kekang dan wujudkan gap menerusi pemilihan.
Berpuak-puakan boleh memberi kesan buruk. Begitu juga dengan pelobian untuk menjadi calon atau meletakkan kroni sebagai calon dalam pilihan raya akan datang juga tidak bagus. Ini boleh menjadi bibit kepada perpecahan dalam Pas kelak. Kalaupun perpecahan itu tidak seburuk Umno tetapi lebih baik kalau ia boleh dielakkan.
Dalam hal ini, bagi memastikan tidak wujud pertandingan di peringkat Kelantan ataupun perebutan jawatan penting dalam kalangan pemimpin Pas Kelantan untuk jawatan di Pusat, rasanya Tok Guru Nik Aziz boleh campur tangan secara langsung. Tok Guru boleh tunjuk sesiapa yang diperlukan dan siapa yang perlu berada di belakang. Apabila Tok Guru tunjuk maka semua orang di Kelantan akan mematuhinya. Perkara pokok distruktur semula dengan berkesan oleh Tok Guru ialah Badan Perhubungan Pas Kelantan. Badan itu jangan menampakkan ia adanya miring kepada individu tertentu.
Di sini Tok Guru perlukan keberanian dan perlukan kebijaksana mengatur barisan kepimpinan selepas beliau. Beliau harus menggunakan kuasa dan 'kekeramatan' serta petaksuban orang ke atasnya untuk memetakkan masa depan Pas Kelantan. Tanpa penyediaan peta menyebabkan masa depan Pas selepas beliau nanti akan kehilangan ruang.
Juzu paling tidak dilupakan oleh Tok Guru ialah mengemukakan atau merestui muka-muka baru dalam pilihan raya akan datang. Pilihanlah mereka yang dekat dengan rakyat, berilmu dan profesional serta mempunyai syaksiah yang baik, semisalnya tidak ada skandal sex ataupun berkahwin secara senyap di negera jiran.
Kalau ikut pemerhatian saya serta penilaian kepada prestasi wakil rakyat Kelantan lebih 28 orang yang perlu digugurkan. Mereka sudah tidak dapat memberi impak besar kepada politik orang muda di Kelantan. Jika mereka diketengahkan lagi mereka tidak mampu untuk menarik perhatian golongan muda. Lebih malang lagi setengah dari mereka menjadi libaliti kepada Pas.
Dalam masa sama juga ahli veteran khasnya yang masih menjadi wakil rakyat kenalah insaf. Mereka harus berkorban demi Pas dan tidak lagi berkorban untuk diri sendiri. Janganlah memikirkan diri sendiri tetapi kena memikirkan kelangsungan Pas di Kelantan. Mereka sepatutnya tidak merasa kesal dan degil untuk berundur kerana penguduran itu juga dianggap pengorbanan untuk Pas Kelantan. Praktikanlah kata-kata, jawatan dan kuasa itu hanyalah tanggungjawab dan amanah. Melepas jawatan atau berundur juga adalah satu amanah yang termulia.
Sekali lagi diulangi Pas jangan merendahkan projek GM Umno. Pas perlu mula serius dan mula merancang untuk menyekat gelombang berkenaan. Sebelum gelombang itu meriak, baik Pas membatasinya dengan membina halangan-halangan (bumper) dengan memperkukuhkan parti dan menggali idea bagaimana untuk meraih sokongan pengundi muda. Di Kelantan ada beberapa orang yang boleh berfikir ke arah itu maka manfaatlah orang berkenaan jangan dibenci atau dipulaukan. Mereka ini kalau bersatu ia akan menjadi Nik Aziz kedua. [wm.kl.6:10 pm 05/02/11]
14 comments:
PAS Kelantan kena ingat satu perkara; Kebathilan yang bersistem akan mengalahkan kebenaran yang tidak bersistem. Jangan pandang rendah dengan GM ini. Jangan kerana memerintah lebih 20 tahun sudah menganggap diri kuat. PAS perlu tubuh pasukan yang kuat dan tersusun untuk berdepan dengan GM.
Assalamualaikum pak MSO,
Lama perhatikan PAS telah mulai hilang 'umph' pd sebahagian besar anak2 muda, sebab tiada tarikan khusus pd mereka. Pemimpin besar PAS semacam ada jurang dengan anak2 muda, kecuali abg Mat Sabu dan Salahuddin Ayob, dalam beberapa siri demonstrasi. Anak2 muda perlukan cabaran, pemimpin yg bersama mereka dijadikan idola. Pemimpin yg bercakap macam atok dilihat tidak 'cool', bila anak muda berani tampil ke depan dengan berdemo, pemimpin macam atok yg berceramah tentang perjuangan, menentang kezaliman tidak nampak batang hidung. Banyakkanlah masa turun berdamping bersama anak2 muda, bermain bola, buat padang bola, tempat rekriasi, padang trek lumba motor, turun berdemo. Lepas ceramah ajak anak2 muda pekena the tarik dengan roti canai,.. Barulah pemimpin nampak 'cool'...
Satu lagi, orang lama PAS tidak mahu mengetengahkan idea2 baru dari anak2 muda, mungkin sebab mereka kelihatan muda, tak pandai menghafal Al-Quran dan hadis. kekadang idea diketengahkan di buang tanpa di bincang lanjut atau diberi penjelasan. Itu pendapat saya.. Tidak semuanya betul, wallahualam.
Salam wrt, Tuan.
Ana bersetuju dengan gagasan ini, dan dengan 20 tahun PAS memerintah di Kelantan, kita boleh fikirkan betapa ramai generasi muda yang telah membesar di bawah kerajaan negeri sekarang...
Generasi muda khususnya di kelantan, yang lebih peka dan celik politik dan hak, nampaknya menginginkan sesuatu yang lebih untuk generasi mereka. Ya, suatu projek besar untuk mereka setanding dengan Kifalah dan Ladang Rakyat.
Sebenarnya, ramai generasi pemimpin Pelapis daripada Pemuda PAS yang bersedia diberi peluang yang besar, dan diberi tunjuk ajar oleh yang veteran...
Kalau tidak pun semua, turunkanlah sebarisan calon wakil rakyat adun atau ahli parlimen sebagai pemimpin-pemimpin muda untuk diketengahkan sebagai ikon orang muda bagi masyarakat Kelantan dan Malaysia umumnya...
Kita sudah tentu lebih bersedia berbanding mereka daripada BN, itupun jika pejuang-pejuang kita yang lama sanggup dan bersedia berkorban dan berundur bagi memberi laluan...
Jadikan Kelantan sebagai pemula fenomena orang Muda Hebat...
Wallahuaklam...
Assalamu alaikum tuan. Membaca posting tuan ini mengingatkan terus saya kepada peristiwa semalam ketika saya berada dalam kereta ipar saya dalam perjalanan ke stesen keretapi untuk pulang ke Kuala Lumpur. Bayangkan dalam keadaan yang agak kesuntukan masa berlaku juga peristiwa ini.
Tidak berapa minit dia dalam pemanduan kereta yang agak tergesa, dia sempat menelefon orang tertentu dan ini lebih kurang dialognya.
"Hello Din. Apa ni, dekat cawangan Paya Kecut ada tiga budak jadi ahli kita tapi dia belum daftar lagi. Esok mu uruskan"
"Tunggu sat."
Dia pun mengambil kertas dalam desk boardnya lalu membaca tiga nama yang dimaksudkan.
Begitulah kesungguhan mereka walau pun sebenarnya dia harus menumpukan pemanduan agar saya sekeluarga sempat mendapatkan keretapi.
Beliau sebenarnya adalah ajk pemuda UMNO bahagian.
Kisah ini mungkin kisah biasa tapi seperti kata tuan tak mustahil sejarah 2004 boleh berulang kalau PAS terus leka dengan apa yang ada. Di peringkat bawahan UMNO Kedah ramai bercakap mereka akan tawan Kedah, dan mungkin Kelantan. Andai Kelantan hilang bermakna satu jangka masa yang bukan singkat harus diambil untuk mendapatkannya kembali.
PAS Kelantan nampaknya seperti berada di zon selesa yang menjurus kepada lalai, leka dan kurang usaha untuk memperkasakan diri. Kejatuhan PAS Terengganu bukan sahaja disebabkan Gelombang Biru dan wang Ehsan,sikap pimpinan PAS yang tidak mengawal dengan baik jentera pentadbiran di peringkat daerah dan kampung menyebabkan rakyat Terengganu berpaling semula kepada UMNO. Pengajaran yang paling baik ialah pengalaman.
Saya setuju dengan tuan, kegilaan penyokong fanatik kelantan mungkin boleh merubah kedudukan PAS di Kelantan.mungkin Anuar Musa akan menjadi ikon pada mereka.kalaulah lebih 50 ribu penyokong setia TRW memangkah BN pada pelihanraya akan datang ditambah pula Pakatan Rakyat seperti Keadilan yang sedang bergolak sekarang tidak mustahil BN akan memerintah Kelantan.
'Mood swing' memang akan berlaku selari dengan teori pendulum untuk PRU akan datang. Cuma samada akan mengubah kerajaan atau tidak. Nampaknya status-quo tidak akan berubah termasuk juga di peringkat nasional, kecualilah tiba-tiba datang isu atau peristiwa yang tidak disangka-sangka meletup di persada massa. Mungkin sampah dibawah karpet atau tahi gajah dibawah daun nyiur menonjol timbul.
Yang pasti, dunia semakin membayar 'cash' kepada penzalim.
Salam Tuan Hj MSO,
Gelombang Merah yang dilancarkan oleh parti UMNO yang mensasarkan undi golongan muda jelas tidak perlu dipandang remeh dan enteng oleh parti PAS dan sekutunya. Undi golongan muda masa kini dianggap begitu berharga, yang bisa memberikan kredit dan kelebihan kepada siapa yang pandai menambat hati pengundi-pengundi ini.
Ada logik juga seperti yang di ulas dan diperjelaskan oleh Tuan Hj MSO, semacam ada agenda terselit oleh UMNO cuba menawan politik Kelantan menerusi fenomena bola sepak The Read Warriors (TRW). Selain Tan Sri Annuar Musa Presiden KAFA, jangan lupa juga kepada Naib Ketua Pemuda Kelantan dan Ketua Pemuda UMNO Kota Bharu, Rosmadi Ismail adalah merupakan salah seorang peneraju dalam barisan kepimpinan TRW sebagai Naib Presiden KAFA. Ini jelas suatu tonik untuk menguatkan agenda UMNO menawan Kelantan melalui TRW. Jadi PAS perlu beringat, ambil kisah dan membuka minda akan percaturan ini.
Ternyata Gelombang Merah UMNO ini lebih menumpukan sasaran golongan muda dan Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan juga telah melancarkan program Gelombang Merah Tranformasi 1Kelantan Gelombang Rakyat untuk menarik kira-kira 400,000 pengundi muda di negeri Kelantan.
PAS perlu lebih proaktif kepada Gelombang Merah ini, mungkin gelombang ini tidak sama seperti program UMNO pada PRU yang lepas Pade Doh 18 Tahun! kerana politik Kelantan itu boleh berubah-berubah seperti yang telah tersejarah dalam sejarah kepimpinan kerajaan Kelantan, BN dan PAS saling silih berganti mentadbir.
Wasalam.
Hari ini PAS mengeluarkan kenyataan rasmi melalui ketua penerangan pas pusat dengan memandang rendah tentang gelombang merah (GM)
saya amat risau dengan sikap PAS yang sering memandang rendah tentang kekuatan lawan. Adakah mereka belum belajar dengan GALAS dan Manik Urai di Kelantan.
yang pasti pemimpin PAS akan mula menyalahkan pengundi hantu jika ditakdirkan mereka kalah di Kelantan pada PRU13. Sikap buruk patut dibuang sejauh mungkin, suka mencari kesilapan orang tanpa melihat kelemahan diri.
bak kata orang, satu jari menuding ke arah lawan, 4 jari menuding ke arah diri sendiri.
Insaflah wahai pimpinan PAS kerana belum tentu rakyat selamanya menyokong anda kerana citarasa pengundi/rakyat sering berubah berdasarkan apa yang kerajaan tawarkan tidak mengira kerajaan pusat dan negeri.
tidak mustahil juga, Pakatan buleh menang di Putrajaya tetapi kalah di negeri2 yang majoriti melayu....insaf sebelum terlambat lebih bermakna dari suka mencari kesilapan lawan seperti kes Dun Tenang, Galas dan Bagan Pinang kerana rakyat pun mengerti erti muak dengan alasan yang stereotaip
-drpd pengundi 36 tahun, Dun Melor
p/s minta tolong tukar calon Adun Melor pd PRU 13 (sebab2nya suma org tau di mana2 akhbar).. kerana DUN ne sering swing... 1990-PAS, 1995, BN 1999, PAS, 2004, BN, 2008, PAS... 2011... ?????
apa yang datuk pa bulih bui ko anak muda...kijo xdok mano di kelate...peluang2 nok cari make dari kerajaan pusat napok sikit...
PAS,PKR,DAP boleh rebah jika umno/Bn nampak berubah. Kelantan boleh tersungkur... jika ada pemimpinnya masih berkira2 nak berebut 'takhta dan kuasa'. Kuasa anak muda jgn dipandang enteng. Gelombang Merah jangan diperlecehkan. Di Galas PAS dah terkandas... bukti telah berlaku 'swing' pengundi kepada BN... Jangan asyik menadah kitab, sehingga lupa perancangan dan strategi mantap. Eloklah yg pemimpin yg otak kemetot berundur berilah peluang kpd anak muda yg lebih segar idea dan tahan lasak.
Salam Tuan MSO.
Amat menarik pandangan Tuan MSO. Mungkin setengah mereka terasa tidak menarik sebab:
[1] "Tak apa, tak lari kerana orang Kelantan nakkan Islam"
[2] "Tak apa, memang trend orang Kelantan, belum sampai pilihanraya dia buat masing-masing"
[3] "Tak apa, selagi Tok Guru ada"
[4] "Tak apa, Kelantan tak serupa negeri lain".
"Tak apa" ada suatu fenomena yang berlaku sedangkan ia adalah suatu sindrom yang amat berbahaya.
Kita kena ingat diKelantan ada suatu parti yang tak berdaftar tapi amat berpengaruh iaitu "Parti bsaing" [Parti bermember / kawan]
Ringkasnya, siapa pandai 'bsaing' dia ada berpengaruh dan kuat. Bersukan adalah bsaing [berkawan]. Medan sukan RW adalah medan berkawan. RW boleh menarik sokongan kalau pandai bsaing. Persoalan sekarang orang GW [Green Warriors] pandaikah bsaing ? atau hanya bsaing sesama Green mereka saja. Parti bsaing banyak mempengaruhi corak pengundian. Dalam parti bsaing ini paling ramai "Dewan Atas Pagar". GW kena ambil perhatian !. Sekian. Mohon menyumbang dengan izin Tuan MSO. Terima kasih.
terbaik dari tuan MSO.
tp umno kene igt pilihanraya umum lepas.
pada peringkat awal, kemenanangan awal sudah kelihatan tapi disebabkan sikap tamak haloba..
hancur semuanya.
di tempat saya di kelantan, kemenangan pas disebabkan malam sebelum pengundian..
sikap haloba dan tamak mereka yang memegang amanah telah menghancurkan diri mereka sendiri.
janji tak serupa bikin..
Di kampung isteri saya di Jeli, yang parlimennya diwakili oleh Tok Empat Umno Kelantan, rata-rata anak muda menyokong Umno walaupun mereka berpelajaran tinggi dan terdedah kepada maklumat alternatif. Ada yang tinggal di bandar serta berkawan dengan golongan yang cenderung kepada PR samada dari Kelantan mahupun negeri lain. Tetapi nampaknya minda mereka susah untuk dipengaruhi walau buruk macamana pun Umno di mata masyarakat lain.
Mereka seakan-akan terhutang budi kepada Umno, sehinggakan kebanyakan rumah yang saya kunjungi terpapar logo keris bersilang, dacing dan 1Malaysia. Hatta rumah pak imam yang pakai semutar pun terpampang gambar Najib atau Pak Lah.
Saya melihat kenapa anak muda di Jeli terus menyokong Umno, akibat daripada sifat 'perihatin' Dato' Pa yang selalu menghulur bantuan waima nak masuk ke IPT dan mendapat pekerjaan lepas tamat belajar pun, Dato' boleh tolong.
Adik ipar saya yang lepas dua tahun tamat UiTM, akhirnya dapat kerja kerajaan setelah dapat pertolongan. Mak mertua saya yang putus asa lepas banyak kali anaknya itu gagal mendapat kerja akhirnya masuk 'fast lane'.
Jadi, kalau anak muda di Jeli boleh terus menyokong Umno/Tok Pa, bayangkan, tidak mustahil anak muda dari daerah lain pun boleh swing sama.
Saya kesal juga dengan sikap pemimpin Pas pusat yang menganggap GM ini sebagai angan-angan Mat Jenin. Ambillah iktibar, bukan pemimpin Pas Kelantan sahaja, Pas Kedah dan pemimpin PR negeri lain pun patut panas punggung sama. Jangan asyik berangan nak tawan Putrajaya, akhirnya apa yang ada terlepas masuk mulut buaya...
Yang risau...
Post a Comment