Showing posts with label Azhar Idrus. Show all posts
Showing posts with label Azhar Idrus. Show all posts

Wednesday, April 11, 2012

Ulasan Isu

Jangan Persulitkan Untuk Beri Tauliah Untuk Us Azhar

Kalau tidak silap pendengaran dan tanggapan saya, isu kedatangan Ustaz Azhar Idrus ke Kelantan dikatakan dipersoalkan oleh pihak Majlis Agama Islam Kelantan (Maik) telah pun selesai. Azhar khabarnya dilarang untuk menyampaikan kuliah di masjid kerana tidak ada tauliah.

Semasa menyampaikan kuliah di Dataran Ilmu di Kota Bharu awal Mac lalu, beliau membayangkan rasa terima kasih kepada pihak tertentu kerana halangan untuk menyampaikan kuliah di Kelantan selesai.

Penyelesaian itu terbayang dalam kata-katanya berbunyi; "kalau tidak boleh di masjid kita berceramah di futsal. Tetapi Alhamdulilah nampak orang terima kita."

Beliau dilarang kerana tidak ada tauliah. Persoalan tauliah adalah subjektif. Saya membahas mengenai hal ini untuk apa tauliah sedangkan apa dilakukan Azhar itu untuk kebaikan umum. Ribuan anak muda dan remaja yang sebelum ini jarang mendengar syarahan agama mengerumui beliau. Bukankah itu satu perkembangan yang baik?

Sehubungan itu demi memenuhi kehendak para peminatnya serta misi dakwahnya, Azhar sedia untuk 'memohon' mendapatkan tauliah walaupun perbuatan itu tidak penting sebenarnya. Tetapi kerana peraturan dan amalan terpaksa juga Azhar memohonnya seperti juga ustaz dan guru-guru lain.

Mengembangkan agama Islam, memberi ilmu kepada umat Islam dan anak-anak mudah adalah tanggung semua individu apa lagi pihak berkuasa. Justeru tauliah tidak patut dijadikan birokrasi menyulitkan keadaan.

Saya katakan Azhar tidak perlu meminta tauliah tetapi Maik seharusnya mentaulihakna beliau sebagai seorang da'i. Rasanya dalam kontesk itu cara itu sebaik-baiknya.

Malangnya sehingga sekarang katanya tauliah itu masih belum diberi. Azhar sendiri sudah bersedia untuk menemui Maik bersabit urusan itu tetapi masih belum selesai. Ada soal-soal teknikal menghalang. Mulanya sudah ditetapkan syarat serta maksud pertemuan itu sekadar untuk berkenalan dan bukan diinterviu. Tetapi tarikh pertemuan itu diubah dan pertemuan itu juga bukan pertemuan biasa.

Kesulitan mendapatkan tauliah ini menyebabkan Azhar tidak boleh naik masjid di Kelantan.

Kalau kelewatan ini disebabkan kerenah birokrasi, pegawai Maik seharusnya tidak menyulitkan perkara ini. Apa lagi kalau pihak berkuasa ke atas Maik - Sultan Muhammad Ke V yang katanya diserahkan kepada Tengku Mahkota Kelantan sudah memberi green light kenapa harus disulitkan lagi. Saya bimbang permasalahan menimpa Azhar menjejaskan kemuliaan Tuankua Al Sultan dan juga Tengku Mahkota yang bertanggungjawab dalam hal ehwal agama.

Dalam pada itu Azhar pula sekiranya telah diberikan tauliah untuk menyampaikan syarahan dan kuliah di masjid hendaklah beliau menjaga tutur kata dan jangan sesekali membawa masuk unsur politik walaupun sekecil mana. Mislanya perkataan yang membawa konotasi kepada sindiran kepada pihak tertentu seperti JKKK, bulan dan dacing perlulah dihentikan.

Patah-patah perkataan ini sensitif kepada pihak tertentu. Saya rasa tanpa menyebut JKKK, bulan dan dacing pun beliau tetap mendapat perhatian dan diminati oleh anak-anak muda. Yang perlu disedari teknik penyampaian beliau yang popular dan selamba itu telah berjaya mendekatkan anak-anak muda ke laman masjid. [wm.kl.9:09pm 11/04/12]

Wednesday, February 1, 2012

Catatan Khas III Tengah Malam

Apakah Sultan Muhammad Ke V Tahu?
Kelantan Larang Azhar Berkuliyyah Di Masjid


Kematian Shafri Shamsuddin menenggalakan sedikit penulisan saya mengenai Ustaz Azhar Idrus. Kini saya akan cuba meneruskan menyambung catatan khas II setelah terpaksa berhenti untuk bergegas ke HKL. Alhamdulilah kira-kira jam 11:00 tadi jenazah Shafri sudah selamat dikebumikan di perkuburan Islam Sungai Pusu, Gombak.

Semasa menyembahyangi jenazah ramai kawan-kawan sekerjanya terutama dari pejabat Harakah datang memberi penghormatan terakhir. Ini termasuklah Pengerusi Harakah, Mustafa Ali.

Tidak ketinggalan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua juga datang untuk memberi penghormatan terakhir. Selain Tian saya tidak nampak wakil rakyat lain baik dari Pas, DAP dan PKR. Apakah Tian Chua sudah dilantik untuk menjadi wakil khas menziarahi jenazah? Kalau begitu moleklah. Cara itu mengejapkan lagi ikatan Pakatan Rakyat?

Kembali kepada mauduk yang hendak saya sambungkan mengenai Ustaz Azhar sebagai fenomena baru merubah minda dan gaya hidup anak muda kini; apa yang tidak sempat saya catatkan dalam Catatan Khas II tadi mengenai kemusykilan menampangi minda yang saya kira anih, pelik dan ganjil sedikit. Ianya adalah mengenai sikap Majlis Agama Islam di beberapa buah negeri yang tidak membenarkan Azhar berkuliyyah dan bermesra dengan anak-anak muda di dalam masjid.

Sekarang ini sudah ada pihak berkuasa masjid melarang Azhar dari memberi kuliyyah dalam masjid. Saya tidak tahu dari sudut mana larangan itu. Apakah kerana masalah ketiadaan tauliah? Atau pun kerana beliau dianggap sebagai penyokong parti politik? Kalau elemen politik, saya tidak nampak apa-apa yang disentuh secara pintas lalu di dalam kuliyyahnya menjadi kesalahan besar.

Setakat ini yang sampai ke telinga saya ada dua negeri yang telah melarang Azhar dari berceramah atau menyampaikan kuliyyah Maghrib. Pertama negeri Hang Tuah yang dikatakan tidak wujud itu, Melaka, dan kedua negeri ulamak bernama Tok Kenali, negeri Kelantan.

Itu Melaka negeri dibawah pemerintah Umno sejak zaman sebelum merdeka yang selamanya tidak begitu senang dengan majlis-majlis pengajian Islam berbaur dengan politik. Atas sifat dan budayanya begitu layak kalau Melaka tidak membenarkan Azhar ia tidak pelik. Sesetengah orang Umno ada berpandangan jika pengajian Islam diberikan kepada rakyat menyebabkan akhirnya rakyat akan sokong Islam (Pas).lantaran itu Umno elergik untuk mengambil pendekatan Islam.

Mungkin kalau Azhar tidak membawa Islam, mendidik anak muda mendekati Nabi dan Allah, kalau hanya menyanyi dan bermain gitar, kerajaan Melaka atau Majlis Agama Islam Melaka (Maim) tidak menjadi masalah dengan Azhar. Mungkin akan dibenarkan. Semisalnya Azhar seorang rocker atau selebriti, Melaka akan membuka pintu negeri itu seluas-luasnya kepada Azhar seperti mana dibukakan pintu untuk Jom Heboh. Malangnya Azhar seorang pendakwah.

Katanya di Melaka program kuliyyah Azhar yang dirancangkan untuk diadakan di masjid ngeri Al Azmin dibatalkan pada saat-saat akhir menyebabkan majlis itu dipinda ke tempat jauh dari bandar Melaka. Pembatalan ini menunjukkan Melaka belum mesra dengan majlis keagamaan dan tidak peka kepada fenomena dicetuskan Azhar.

Saya tidak hairan dengan apa berlaku di Melaka itu. Tetapi saya musykil terhadap apa berlaku di negeri di mana saya dilahirkan, Kelantan. Sebenarnya sebulan lepas lagi saya sudah mendapat maklumat ada tiga buah masjid yang melarang Azhar menyampaikan kuliyyahnya. Sebelum ini Azhar sudah beberapa kali mengadakan kuliyyah di salah sebuah masjid di negeri itu, tetapi tiba-tiba dihalang. Majlis kuliyyah yang sepatutnya berlangsung dalam masjid terpaksa di pindah ke padang Futsal.

Kejadian ini menyentuh hati saya walaupun ketika itu saya belum pernah melihat wajahnya dari dekat dan mendengar kuliyyah Azhar. Sepatut apa yang patut dilarang ialah majlis keramaian seperti Jom Heboh ataupun acara hiburan lainnya. Pertunjukkan-pertunjukkan itu sepatutnya diarah diadakan di dalam bukit atau di gua Hulu Kelantan. Tetapi sebaliknya. Ini menyebabkan saya sedikit tertanya-tanya kenapa.

Mulanya saya tidak percaya dan ingat ia hanya satu gimik saja. Selepas mendapat tahu dan bertanya beberapa sumber mengesahkan perkara itu - Azhar tidak dibenarkan berceramah di seluruh masjid di Kelantan. Alasannya ialah kerana beliau tidak ada tauliah. Ah tauliah lagi?

Rupanya soal tauliah juga menjadi syarat di Kelantan. Malang sekali kalau larangan itu kerana tauliah. Apakah di negeri Tok Kenali juga memerlukan tauliah? Untuk apa tauliah? Apa yang ada kepada tauliah? Bukankah tauliah itu menyusahkan dan secara tidak langsung menghalang kerja-kerja keagamaan? Pihak berkuasa ke atas masjid - Majlis Islam Kelantan (Maik) sepatutnya tidak mempersulitkan dengan mengenakan red tag untuk kerja-kerja Allah.

Memalukan sekali dengan apa yang berlaku. Saya cuba mendapat pekeliling larangan kepada Azhar itu tetapi tidak ada, arah secara rasmi dan dimaklumkan secara bertampal di papan kenyataan. Larangan itu dikeluarkan oleh pihak jawatankuasa masjid berkenaan secara lisan, begitu khabarnya.

Tentu orang ramai ingin kepastian mengenai larangan itu. Apakah ianya dibuat secara lisan atau rasmi. Apa yang memalukan saya lagi ialah tindakan Maik itu seakan kontras dengan asprasi dan iltizam Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan. Apakah Sultan Muhammad Ke V tahu akan halangan ini dan apakah baginda diberikan penjelasan sejelas-jelasnya kenapa Azhar perlu dihalang menaiki masjid? Atau pun tindakan ini adalah atas inisiatif dan kebimbangan beberapa orang ahli Maik saja?

Perkara ini hendaklah jelas. Maik perlu memantau dan membuat laporan mengenai di mana salah dan silap atau bahaya kepada ummah tentang kuliyyah Azhar. Laporan terperinci tanpa prejudis itu hendaklah dikemukakan ke pengtetahuan Sultan. Kalau setakat ilusi saja dan kebimbangan tidak berpangkal hujung ia satu tindakan tidak mengikut peraturan dan boleh dianggap sebagai anti agama.

Saya bimbang halangan yang tidak jelas begini akan mencemarkan nama baik batang tubuh Sultan Kelantan. Maik adalah institusi yang terletak secara mutlak ditangan Tuanku. Tentu kita tidak mahu kalau ada orang bersunggut nanti Kelantan yang rajanya kuat beragama turut sama tidak membenarkan kuliyyah agama di atas masjid. Mendukacitakan lagi tindakan Maik itu akan menjadi ikutan negeri-negeri lain pula.

Sangat malang sekali kalau nama Tuanku digunakan untuk menghalang Azhar berceramah. Di sini bukan bermakna Azhar perlu diberikan keistimewaan. Tetapi Maik seharusnya melihat akan keuntungan kepada umat Islam dengan apa dibuat Azhar. Apakah kuliyyah dan cara beliau mendekati anak-anak muda itu memudaratkan akidah atau sebaliknya? Orang-orang dalam Maik hendaklah terang hati dan suci hati melihat perkara ini dan jangan ada unsur-unsur dengki kerana hendak mempertahankan mana-mana pihak. Ah terus terang.... jangan larangan itu kerana beranggapan kuliyyah Azhar itu menyebabkan anak-anak muda membenci Umno?

Kebijaksanaan perlu diambil oleh Maik dalam hal ini. Setelah Maik dapat melihat sendiri bagaimana Azhar boleh membawa aura dan menjinak anak-anak muda ke masjid sepatutnya Ustaz itu diberikan keistimewaan dengan mengecualikan dia memiliki tauliah untuk membolehkan beliau naik ke masjid, kandati tauliah itu perlu. Apakah surat kebenaran seperti tauliah itu kena memohon dan tidak boleh diberi kepada mereka yang layak. Tidak patut kalau institusi seperti Maik juga ada kerenah birokrasi tertentu.

Sepatutnya dalam hal mengeluarkan tauliah ini Maik bertindak seperti memberi zakat. Maik bukan saja mengumpul zakat tetapi memberi kepada mereka yang termasuk dalam asnaf layak menerimanya. Begitu juga bila dilihat Azhar layak dan kerja-kerjanya menguntungkan, membangunkan Islam sepatutnya ia dianugerahkan tauliah tanpa dipohon. Itulah bijaksana yang dimaksudkan.

Yang menghairankan saya juga kenapa pihak kerajaan negeri (kuasa politik) tidak campur tangan di dalam hal ini? Seharusnya pihak kerajaan negeri memberi cadangan kepada Maik agar tidak mempersulitkan mana-mana orang untuk menggunakan masjid bagi berdakwah. Nik Abdul Aziz Nik Mat selaku MB Kelantan selalu mengatakan agama dan politik tidak boleh dicampur dan masjid adalah medan berpolitik. Rasulullah juga berpolitik di masjid. Apakah kata-kata ini tidak berlaku kepada Azhar ataupun kerajaan sudah menjadi syaitan bisu untuk mengemukakan permasalahan itu kepada Maik?

Saya sangat berharap posting ini dibaca oleh pihak Maik dan sampai pula kepada Tunku Sultan. Pihak Maik juga hendaklah membuat penjelasan di atas tindakan Maik yang dibawah kuasa sultan itu apakah justifikasinya melarang Azhar. Kita tidak mahu tanpa penjelasan tuntas menyebabkan orang beranggapan bahawa Kelantan yang mana sultannya begitu mengambil berat kepada agama dengan turun sendiri ke majlis-majlis agama siap berjubah dan berkopiah tetapi turut sama melarang program agama dikendalikan Azhar?

Kalau penjelasan itu memuaskan hati dan ada keadilan serta kewajarannya disitu kita boleh menerima larangan ke atas Azhar itu. Kalau tidak ada penjelasan selamanya Kelantan akan dianggap sebagai negeri yang juga lebih kurang Melaka sahaja yang setakat ini turut mengharamkan Azhar naik berkuliyyah di dalam masjid. Setakat ini Kelantan perlu malu kepada negeri Selangor Darul Ehsan yang belum bertindak ke atas Azhar dan masih bersangka baik. [wm.kl.7:41 am 01/02/12]

Monday, January 30, 2012

Catatan Khas

Azhar Idrus
Fenomena Baru Merubah Anak Muda


Satu malam entah macam mana dalam asyik melayari muka buku (Fb) sebelum melelap mata tiba-tiba saya terjumpa dengan you tube Ustaz Azhar Idrus. Saya membukanya dengan tidak sengaja dan mendengar syarahannya mengenai agama. Dialek atau slang Terengganu yang diguna pakai dalam berceramah menjadikan saya mengambil masa untuk mengamatinya kerana ada sesuatu kelainan dan sedikit unik. Sebutannya ada iras-iras pelawak Mat Over.

Dalam minda tertanya-tanya siapakah dia ini?

Tumpuan saya terpaku kepada you tube itu beberapa ketika kerana ada kemesraan cara dia berceramah. Patah-patah ungkapan dan anologi yang dibuat untuk menjelaskan sesuatu mauduk mengenai agama mematikan saya di situ untuk tidak menyentuh skin I-Pad mengalih kepada you tube syarahan ustaz-ustaz yang lain.

Duration video yang ringkas dalam tempoh tiga hingga lima minit meringkaskan kerja kita untuk terus menikmatinya. Selepas satu, satu saya membukanya. Tanpa disedari malam itu Azhar mengheret saya ke jam empat pagi. Hebat... tiada syarahan agama sebegitu yang saya mengikutinya sampai begitu lama, kecuali oleh ustaz atau Kiyai dari Indonesia.

Malam besok sesudah selesai membuat posting akhir - susupan tengah malam - saya mencari klik video beliau. Sambil berbaring - melentang meletakkan I-pad di atas dada mendengar Azhar bersyarah, lagaknya macam mendengar lagu-lagu hindustan lama nyanyian Mohamad Rafi dengan Asha Bosle pula. Dan malam seterusnya saya mengikuti lagi. Memang dia ini ada aura dan ada keunikan tersendiri.

Satu tengahari semasa berkumpul dengan anak-anak terkeluar kisah Ustaz Ashar yang lebih menarik dari apa yang saya rumuskan. Saya cuba menarik perhatian anak-anak supaya membuka you tubenya. Tiba-tiba anak saya memberi tahu lebih mendalam mengenai Azhar dari apa yang saya tahu. Menurut anak saya memang Azhar popular dan you tube dia disaksi oleh anak-anak muda. Rakan-rakannya juga menjadi penagih kepada syarahan ustaz berjanggut hitam lebat itu.

Ah rupanya anak saya sudah jadi peminat kepada Azhar. Kemudian malam-malam seterusnya bila ada senggang waktu saya mengikuti syarahannya.

Maklumat diberikan anak saya itu menjadi saya makin ingin mengetahuinya. Menurut anak perempuan saya Azhar seorang yang meminati bidang fotografi dan dia merupakan ahli jurugambar yang baik dan dia juga ahli muzik. Saya tidak tanya lanjut muzik dalam bidang apa dan apakah dia pernah terlibat dengan gang rockers, atau artis lain yang insaf berpaling dari dunia hiburan komersial + sekular kepada dunia hiburan dakwah. Sebelum ini rasanya saya tidak pernah tenguk gambarnya sedang menyanyi?


Seorang anak buah yang suka menelaah internet memberi tahu, Azhar ini di zaman remajanya adalah ahli kumpulan nyanyian. Pernah menjadi pemain base guiter kepada kumpulan disertai seorang penyanyi yang ketika itu belum terkenal. Selepas itu beliau meninggalkan kumpulan muzik itu dan memasuki pondok di Terengganu selama 12 tahun. Azhar juga pernah bekerja sebagai guru sementara mengajar bahasa Inggeris. Itu cerita anak buah saya.

Mulanya saya pesimis kepada Azhar ini kalau dia benar-benar memang ahli muzik. Sebab sebelum ini sudah ada beberapa artis dan ahli muzik yang menukar pentas kemudian kembali kepada pentas asal. Banyak yang cuba mencari peluang dalam medium politik (Pas) untuk kepentingan dirinya. Dan setelah apa yang diharapkan itu meleset mulalah menjauhi diri dan kembali ke pentas asalnya semula. Atau pun terpaksa melupai niat untuk berdakwah dalam dunia politik kerana tekanan pihak berkuasa.

Pengetahuan dan maklumat yang diberikan oleh anak perempuan saya, serta oleh anak buah itu menjadi saya ingin mengetahui siapa gerangan Azhar. Saya mulai mencari dan tertanya-tanya sendiri. Video syarahan agamanya saya terus dengar dan dengar sambil menggali latar belakang dan idealismenya. Isi dan juga bentuk syarahan seseorang itu akan mengenali kita tentang latar belakang dan matlamatnya.

Justeru bila ada masa senggang saya membuka you tube dan mendengar ceramahnya. Sedikit sebanyak dan perlahan-lahan saya sudah mulai mengenali latar belakangnya. Sudah mulai tahu kenapa dia menjadi kegilaan anak-anak muda. Juga mengetahui apakah yang tertanam di dalam hatinya menerusi lisan ceramah-ceramahnya.

Ustaz Azhar diminatinya kerana ceramah yang disampai secara bersahaja dan penuh dengan jenaka (humour). Inilah menyeronokkan dan disenangi oleh anak-anak muda. Permasalahan agama yang dibawa juga yang ringan dan berlegar dalam diri anak muda seharian, misalnya mengenai permasalahan bertahrah, sembahyang, hukum halal haram dalam bersosial, berpakaian dan sebagainya. Azhar juga berani atau berterus terang dalam menyatakan sesuatu untuk memberi penjelasan. Kerana itu beliau dilihat nampak seperti kurang sopan.

Boleh dikatakan 80 peratus topik yang disentuh membabit golongan muda, tidak kira lelaki dan perempuan. Kelebihan lain dia bersyarah dalam bentuk jenaka. Tidak ada unsur-unsur politik melebih dari ceramahnya, apa lagi mengajak anak-anak muda menyokong mana-mana parti siasah.

Cara dia melayani anak-anak muda dengan menjawab soalan secara langsung juga satu faktor kenapa beliau popular dan disukai orang. Apa dilakukan sesuai dengan keadaan hidup hari ini yang berterus terang dan tidak perlu berkias-kiasan. Hari ini manusia suka ringkas dan direct to the point. Demikian juga bahasa penyampaian mudah difahami dan mengguna bahasa semasa, bahasa SMS dan Fb.

Dalam kata lain Azhar menjiwa anak-anak muda dan tepat kalau beliau digelajar sebagai Ustaz anak-anak muda atau pun Ustaz Fb atau pun Ustaz SMS. Ini satu instrument atau teknik berdakwah secara baru. Beliau juga menyinis dan menyindir tetapi kepedihannya tidak terasa kerana ia dilakukan dalam gelak tawa dan penuh kemanjaan. Tetapi setelah apa dijenakai itu didengari bersendirian barulah dapat merasai bahawa sindiran itu ditembak kepada diri kita atau sesiapa. Jadi di sinilah keinsafan timbul di dalam sanubari pendengar.

Kecenderongan siasah

Mengenai latar belakang atau kecenderongan siasahnya saya tidak dapat menyangka mulanya. Tetapi saya sudah merasakan dia mesti penyokong Pas atau ahli Pas. Logiknya, mana-mana Ustaz yang popular di negara ini, selalunya dia mestilah dari kalangan penyokong Pas. Sebab kebanyakan yang cenderong kepada ceramah agama ialah mereka yang ada kesedaran agama dan dalam hal ini orang Pas ada peminat utamanya. Dalam pemerhatian saya tidak ada ustaz bebas yang popular tetapi tidak ada sangkutan dengan Pas. Apa lagi tidak ada ustaz yang jelas "biru" yang popular?

Ternyata sangkaan saya ini benar apabila dia menghadiri satu program anjuran Dewan Pemuda Pas, berada di pentas bersama pemimpin Pemuda Pas. Dari sini menjelaskan bahawa kecenderongan politiknya ialah Parti Islam Se Malaysia. Seperkara lagi apabila beliau sering kali menyebut atau menjadikan 'JKKK' watak badut dalam kisah-kisah yang disebut dalam ceramahnya menunjukkan dia suka kepada Pas. JKKK adalah sinikal yang cukup melucu dan cukup signifiken.

Satu hari saya jumpa dengan Mustapa Ali Setiausaha Agung Pas dan saya menanyai mengenai Azhar. Katanya Azhar berasal dari Ladang Kuala Terengganu. Dia seorang ustaz biasa saja tetapi kini sudah popular, kata Mustapa. Pihak Pas ada berjumpa dengannya. Tujuan saya berjumpa itu juga untuk memberi tahu Mustapa agar Pas tidak menggunakan aset yang ada kepada Azhar. Maksud saya jangan sesekali meminta dia bertanding dalam pilihan raya sebagai calon Pas. Jangan jadikan dia calon payung terjun untuk membantu Pas. Auranya jangan dicuri.

Jadi bila ada berita mengatakan kemungkinan Azhar akan diminta bertanding atas tikit Pas ia cukup membimbangkan saya. Keputusan itu tidak tepat dan tidak menguntungkan sesiapa sebaliknya akan merugikan anak-anak muda yang dahagakan ilmu dan pengetahuan agama darinya. Saya takut kalau dia bertanding dan menang dia tidak lagi berkesempatan untuk beribadat seperti hari ini.

Jadi saya harap berita itu tidak benar dan Pas Terengganu tidak merosakan reputasi Azhar.

Dan malam tadi saya pertama kali hadir mendengar kuliyyah agama Azhar yang diadakan di masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz di Shah Alam. Saya memang menyempatkan diri. Awal-awal lagi sudah berjanji dengan sdr Zulaimi Kazin, taukeh Kopi Janda dan juga sdr Zaki Abdul Rahman kawan sekariah dengan saya untuk hadir pada ceramah tersebut.

Sebelum ini saya tidak pernah berkebetulan untuk hadir kuliyyahnya yang diadakan di Hulu Kelang berhampiran kediaman saya di Wangsa Melawati. Ada-ada sahaja perkara menghalang. Jadi malam tadi baru saya berjaya melepaskan niat untuk menyaksikan kuliyyah Azhar. Mahu tenguk sendiri secara live bagaimana Azhar beintraksi dengan pendengar dan peminatnya. Dan juga mahu tenguk sendiri bagaimana sambutannya.

Masya-Allah.. masya-Allah! Saya seakan tidak percaya saya berada di Malaysia. Saya merasakan persis berada di Indonesia. Di Indonesia fenomena begitu adalah biasa. Ceramah dan majlis Kiyai dihadiri ratusan ribu manusia, termasuk juga anak-anak muda rocker dan yang bergeladangan. Lapangan masjid akan penuh dan melimpah hingga ke jalan raya berkilo-kilo meter. Itu di Indonesia. Di sana para ustaz dan Kiyai sudah menjadi macam selebriti yang digilai dan diminati. Ustaz dan Kiyai yang digilai hidup senang lenang dan kaya raya. Saya masih ingat macam mana Allahyarham Zainuddin MZ memenuhi undangan berceramah menggunakan helikopter.

Nah... begitulah apa yang saya rasa. Bahawa Azhar sudah sampai standard dunia - dunia Indonesia. Saya sampai dua jam sebelum Maghrib. Suasana di perkarangan masjid Sultan Sallahuddin Abdul Aziz sudah penuh sesak. Anak muda berderetan masuk macam hendak menuju ke bioskop melihat wayang. Belum pernah saya menyaksikan suasana demikian di Malaysia ini orang berderetan, berjujutan khasnya anak-anak muda lelaki perempuan menuju ke masjid.

Selalu ditenguk anak muda jantan betina keluar rumah sebelum Maghrib berjujutan untuk ke pesta ataupun ke pertandingan fesyen, lagu atau pun anugerah kepada artis dan bintang filem. Tetapi apa yang saya tenguk semalam adalah kelainan, satu fenomena yang sungguh membahagia dan mengharukan jiwa yang insaf.

Semasa mendirikan solat Maghrib sesuatu yang menyentuh hati kecil saya, rasa bahagia dan terharu berkecamukkan di dalam diri. Rasa suka dan cerita membalun lubuk hati. Merasakan diri hina dan kerdil di tengah-tengah jemaah yang berasak dan ramai begitu. Entah kenapa terasa semasa mendirikan solat Maghrib dan Isyak laksana persis berada di masjidil Haram dan masjid Nabawi di Madinah di mana jemaahnya begitu teguh merampatkan saf di antara satu sama lain dengan penuh ukhawah Islamiyah.

Untuk awal saya simpulkan, Azhar kini menjadi satu fenomen di kalangan anak-anak muda yang inginkan maklumat mengenai agama. Iya walaupun masih ada ramai lagi yang belum mengetahui dan mengenalinya serta tertarik kepada syarahannya kalau ada bantuan dari pihak berkuasa dan tidak ada pula dengki dan khianati insya-Allah Azhar akan dapat membawa sesuatu fenomena baru kepada dunia anak muda kita yang mana natijahnya memberi kehebatan kepada negara ini juga.

Jadi biarlah dan berikan kebebasan kepada Azhar untuk menangani dan melayani anak-anak muda semahunya. Biarlah ia basah muka anak-anak muda dengan wuduk dan mengajak mendekati Allah secara popular. Jangan diusik dan jangan didengki kepadanya. Juga jangan ada sesiapa yang cuba hendak menumpang pengaruhnya. Apa yang perlu semua pihak sokong dia.

Ada baiknya kalau kuliyyah seperti semalam yang bersih dari elemen politik dan bukan medium propaganda untuk mana-mana parti disiarkan secara langsung oleh seluruh rangkaian televisyen di negara ini.

Dalam tilikkan saya pendekatan dan kaedah diambil Azhar lebih baik dari kaedah dan pendekatan satu kumpulan yang kononya hendak memulihkan akidah ummah dengan mengadakan majlis Bicara Ummah atau sebagainya tetapi hakikatnya membelasah sebuah parti politik. [wm.kl.1:55 t/hari 30/01/12]