Monday, June 9, 2008

Berita Ringkas

Tok Guru Nik Aziz Selamat Pulang dari Makkah

Menteri Besar Kelantan, Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat selamat pulang ke tanah air petang ini dari menunaikan umrah. Beliau tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (Klia) lewat petang ini.

Beliau dijangka tiba di lapangan terbang Sultan Ismail Petra Kota Bharu lewat malam ini. Menurut anaknya, Nik Mohammad Abduh ayahnya berada dalam keadaan sihat selama menunaikan umrah dan ziarah.

Tok Guru berangkat ke tanah suci pada 26 Mei lalu. Ikut sama dalam rombongan bersama Mursyidul Am Pas itu ialah beberapa pegawai di Pejabat Menteri Besar dan juga beberapa ahli keluarganya.

Nik Aziz dijangka akan memasuki pejabat Rabu ini.
[wm.kl jam 10: 35 pm 09/06/08]

Sunday, June 8, 2008

Rencana Khas

Abdullah Siap Untuk Hadapi Pemberontakan Rakyat!

MSO

KENAIKAN harga petrol 40% (Rm.78) dan diesel sehingga 63% (RM1.00) bakal memberi bala besar kepada Abdullah Ahmad Badawi. Kesan sudah mulai dirasai rakyat ekoran kenaikan harga bahan bakar itu. Harga barangan makanan dan perkhidmatan lain sudah pun naik mendadak sejak dua hari lepas.

Rata-rata rakyat menjadi nanar dan tidak berapa siuman dan meletakkaan kesalahan itu 100% kepada Abdullah. Tindakan Abdullah itu mudah sangat dan seolah beliau tidak sedikit pun menggunakan kedua belah otaknya untuk mengatasi masalah yang wujud di sebalik melambungnya harga minyak di pasaran dunia itu.

Apabila beliau terus mengumumkan ia memberi gambaran beliau tidak mampu berfikir dan seakan sudah terdesak. Apakah masalah kewangan negara berada dalam keadaan parah sehinggakan kerajaan terpaksa mengorek saku rakyat?

Abdullah dan jemaah menterinya tidak ada ruang untuk berfikir atau berbincang dengan rakyat. Tindakan ini walaupun ia wajar, tetapi tidak bersifat bijaksana oleh Abdullah dalam perkara ini. Kalau negara dalam keadaan kritis adalah elok Abdullah berbincang dengan rakyat. Parlimen boleh digunakan untuk menjadi forum perbahasan sebelum diambil tindakan.

Secara bersendirian

Kalau beliau menggunakan Parlimen ia tidak begitu menampakkan sangat keputusan itu dibuat secara sendirian berhad dan terdesak.

Apabila beliau membuat keputusan sendiri, jangan salahkan rakyat kalau rakyat menjadi iseng memberontak menentangnya. Kalau rakyat kehabisan perbendaharaan kata untuk mencaci dan menyumpahnya.

Sekiranya masalah kewangan negara dalam keadaan kritikal dan ternyata Abdullah gagal menanganinya maka elok kalau beliau berundur. Abdulah ternyata sahih tidak layak menjadi pemimpin! Seorang pemimpin menjadi penyelesai masalah rakyat dan bukannya menambah bebanan hidup rakyat!

Kalau Abdullah masih liat untuk berbuat demikian, keadaan membahayakan dirinya. Tidak mustahil juga langkah pengumuman drastik kenaikan harga minyak itu akan menjadi permulaan ke arah beliau akan didesakan supaya berundur. Ia akan ditimbun dan dicampur dengan pelbagai masalah yang wujud sejak beliau menjadi PM termasuk krisis kepercayaan dalam Umno.

Abdullah kena ingat apa yang berlaku kepada bekas PM, Mahathir Mohamad masih belum terjadi kepadanya. Tindakan perdana rakyat turun ke jalan-jalan raya mendesak beliau berudur seperti mana berlaku kepada Mahathir masih belum bermula. Mahathir dulu tidak sampai tiga tahun setelah rakyat berdemon mendesak beliau letak jawatan, akhirnya beliau terpaksa akur dalam sedu sedan tangisan. Jadi sebelum rakyat menjadi gila, eloklah kalau Abdullah mengambil keputusan bijak berundur sebelum taufan desakan berlaku.

Ternyata kini rakyat sudah tidak dapat bersabar lagi. Tanpa ada jolokan dan hasutan pihak pembangkang rakyat sudah mula menyedari bahawa nasib mereka di tangan Abdullah dalam bahaya dan tidak selamat. Kerana itu mereka tanpa dicuit akan mudah melakukan aksi protes.

Kerana itu walaupun Abdullah merayu agar rakyat tabah menghadapi masalah dan mengugut menerusi polis agar jangan mengadakan tunjuk perasaan, nampaknya ia tidak dipedulikan. Rakyat lebih memikirkan masalah harian mereka daripada menghormati pemimpin yang mereka merasakan sia-sia berbuat demikian.

Sejak beberapa hari lalu dan pada Jumaat lepas sudah ada aksi memprotes kenaikan harga minyak secara mendadak itu. Permulaanya tidak mudah berakhir. Pasti protes dan desakan ini akan bersambungan sekiranya Abdullah tetap degil enggan menurunkan harga minyak.

Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (Protes) telah memberi kata dua kepada Abdullah agar bertindak segera. Protes mahukan harga diturunkan atau kerajaan berbuat sesuatu tindakan positif. Sekiranya permintaan itu tidak dipenuhi satu himpunan rakyat besar-besaran akan diadakan pada 21 Julai hadapan.

Berselindung

Sekiranya tunjuk perasaan mega itu berlaku, ia akan meletakkan Abdullah dalam lautan kebencian rakyat. Kali ini usahlah Abdullah berselindung di sebalik kebaikan dan keturunannya, rakyat tidak akan peduli. Bila sampai tahap perut berkeroncong manusia akan menjadi hilang arah dan emosi.

Sisa-sisa waktu masih ada bagi Abdullah memperbetulkan keadaan. Ada tiga langkah yang boleh beliau lakukan:

1. Beliau kena berundur daripada menjadi Perdana Menteri. Persoalannya kalau beliau berundur siapakah yang akan menangani masalah itu? Ternyata Mohd Najib Razak tidak berkemampuan. Menurut Anwar Ibrahim, Najib tidak tahu ekonomi. Memberi kerja kepada seseorang yang bukan ahlinya tunggulah akan kemusnahannya.

2. Jadi dalam Umno hari ini ada orang yang benar-benar pakar dalam ekonomi. Dia ialah Tengku Razaleigh Hamzah. Abdullah boleh lantik Razaleigh menjadi menteri kewangan. Lupakan sekejap soal-soal peribadi dan tumpukan kepada menyelesaikan masalah negara. Rasanya Razaleigh tidak akan menolak kalau beliau diminta membantu negara. Lagipun beliau ke hulu ke hilir macam orang kemabukan ubi gadung sekarang ini pun atas nawaitu nak bangunkan negara.

3. Atau kalau Abdullah merasakan sukar untuk melakukan salah satu tindakan di atas, beliau serahkan saja kerajaan hari ini kepada Pakatan Rakyat. Biar Anwar Ibrahim yang tergila nak jadi menjadi PM menguruskan negara. Lagipun sudah menjadi manifesto Pakatan Rakyat mereka akan menurunkan harga minyak. Mari sama-sama kita uji Anwar apakah beliau mampu atau hanya sekadar omelan kosong dan kemaruk politik untuk menjadi PM sahaja. Lepas beliau menjadi PM dan beliau tidak pedulikan rakyat, harga minyak tidak turun juga marilah pula kita ramai-ramai sumpah Anwar.

Sekali lagi ditegaskan Abdullah kena berbuat sesuatu. Isu kenaikan harga bahan bakar itu bukan seperti isu Islam Hadhari ataupun penglibatan anak beranaknya dalam perniagaan yang menggunakan kedudukan (oportuniti) dalam kerajaan. Isu minyak adalah isu tembolok yang mana dunia telah banyak mempamerkan isu ini boleh menyebabkan seseorang pemimpin atau kerajaan jatuh tersungkur! Kemasukan Ezam Mohd Nor ke dalam Umno tidak boleh digunakan untuk meredakan kemarahan rakyat atas kenaikan harga minyak! [wm.kl 2:30 am 08/06/06]

Saturday, June 7, 2008

Reaksi

Ahli Parlimen dan Adun Pembangkang Juga Perlu Dipotong Elaun

MENARIK dan ada nilainya cadangan Ketua Dewan Pemuda Pas, Sallahudin Ayub kali ini. Beliau mencadangkan supaya elaun para menteri dipotong bagi langkah penjimatan wang kerajaan.
Cadangan itu sesuatu yang baik tetapi sukar untuk dilaksanakan! Menteri manalah rela wang elaunnya dipotong. Sebaliknya kalau ditambah tidak ada siapa yang membantahnya.

Di dalam Malaysia ini hanya Tok Guru Nik Aziz Nik Mat yang bersedia mengembalikan semula wang elaun yang diperuntukkan kepadanya. Tempoh 10 tahun pertama menjadi MB, Nik Aziz tidak ambil pelbagai elaun khas yang sepatut diterima olehnya. Malahan mulanya beliau bercadang nak pakai kereta Proton Saga sahaja sebagai kereta rasmi.

Tetapi entah macam mana tidak jadi?

Kira-kira hampir RM1 juta wang elaun itu dikembalikan semula kepada Perbendaharaan negeri. Bagaimana pun selepas 15 tahun kemudian tidak terdengar lagi laporan mengatakan Nik Aziz mengembalikan wang elaun keraian yang diperuntukkan kepadanya. Dan beliau pakai juga Mercedez Benz sebagai kereta rasminya. Alasannya kalau beliau pakai Proton Saga, Exco nak pakai apa? Makanya kenderaan MB dengan Exco mesti berbeza.

Kalau Tok Guru tanya saya ketika itu, saya akan jawab Exco pakai motosikal honda sajalah.
Saya tidak tahu apakah ada perbezaan dari segi kualiti dan juga keturunan antara kuda Nabi Muhammad s.a.w dengan kuda para sahabatnya. Begitu juga mengenai unta baginda?

Mengenai cadangan Salahudin tadi saya ingin panjangkan cadangan itu agar bukan saja elaun menteri dipotong sebaliknya elaun timbalan menteri, ahli Parlimen, Adun, Senator juga boleh difikirkan untuk dipotong sama.

Biarlah dalam berkorban untuk bangsa dan negara ini semua pihak terlibat. Kalau setakat menteri dan timbalan menteri saja, hanya mereka dari kalangan parti BN sahaja yang terlibat, ahli Parlimen atau pihak pembangkang terlepas. Kerana itu ia perlu diperluaskan kepada ahli Parlimen, Senator dan Adun agar orang Pas, PKR dan DAP juga turut sama boleh membuat pahala.

Dalam ibadat membuat pahala ini bukan semestinya bernilai ribuan ringgit, tetapi seringgit pun sudah cukup. Yang penting ialah komitmen. Macam mana Tok Guru Nik Aziz tetap mengenangkan derma daripada bekas Menteri Pertanian, Sanusi Junid yang pernah mendermakan seringgit kepada Pas untuk tujuan kebajikan sekitar tahun 70-an dulu.

Saya kira Salahudin kena ralat cadangannya itu dengan turut mengemukakan agar elaun ahli Parlimen dan Senator Pas, PKR juga dipotong, dan cadangan seumpana itu perlu dilanjutkan kepada negeri-negeri dibawah pemerintahan Pakatan Rakyat, Kedah, Kelantan dan Pulau Pinang. Barulah adil namanya dan tidaklah kita dikatakan hanya cemburu kepada wang orang saja tetapi bakhil kepada wang kita sendiri! [wm.kl 08/06/08]

Ulasan Isu

Pertandingan 100 Hari 100 Kereta Tetap Haram

APA yang hendak dipersoalkan lagi kalau haram tetap haram! Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin telah mengeluarkan 'fatwa'nya bahawa pertandingan Sertus Hari 100 Kereta anjuran Celcom (M) Berhad adalah haram.

Menurutnya ada unsur-unsur judi dalam peraduan itu seperti pembelian nombor ekor.

Bukan saja Mufti Perlis berpendapat demikian, Mufti Johor, Noh Gadut juga berpendapat peraduan berkenaan berusur juga kerana ia memberi harapan tinggi kepada peserta dan ia adalah tidak baik.

Dua orang Mufti telah mengeluarkan fatwa masing-masing. Jadi apa yang hendak dipertahankan lagi. Fatwa dan pandangan Mufti adalah pandangan tertinggi dalam bidang agama. Pandangannya adalah paling berwibawa. Tentunya mereka membuat pandangan itu berasaskan kepada hukum-hukum yang jelas dan tidak ada unsur-unsur kepentingan peribadi ataupun keuntungan syarikat.

Sikap Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Shazali Ramly yang mempertahankan peraduan itu adalah tidak tepat dan dilihat cuba melawan pandangan Mufti serta mengelirukan orang ramai. Alasan Shazali pihaknya telah membuat kajian menyeluruh termasuk merujuk fatwa mengenai produk telekomunikasi sebelum membuat peraduan itu.

Kenyataan Shazali itu lari daripada isu sebenarnya dan mengelirukan orang ramai. Apa yang dirujuk itu ialah mengenai produk telekomunikasi dan bukan mengenai peraduan itu.
Saya pasti kalau Celcom bertanya kepada ulama dan Mufti mengenai peraduan itu ianya tidak akan dibenarkan.

Tidak ada mana-mana Mufti di dunia ini yang akan membenarkan apa-apa juga yang berunsur judi dalam apa-apa jua peraduan.

Jelas, bahawa langkah Celcom mengadakan peraduan itu tidak mendapat pandangan dari pihak berwajib dalam agama sebelum ianya dilancarkan. Jadi adalah elok kalau Celom menarik balik peraduan berkenaan dan para penggunakan khasnya pelanggan Celcom juga tidak mudah mabuk untuk memiliki kereta dan terbabit dengan peraduan berkenaan.

Dalam Islam kalau sesuatu itu haram ianya tetap haram tidak boleh dicungkil ataupun disesuaikan dengan apa-apa keadaan. Di sinilah keistimewaan dan ketinggian hukum Allah s.w.t itu. [wm. kl 6:30 am 07/06/08]

Ulasan Reaksi

Lepas Pensyahwat, Pemadu Pula Dicadang!

SAYA menerima banyak pandangan dan juga komen berhubung sebuah catatan sebelum ini mengenai cadangan agar sebuah persatuan yang boleh dinamakan Pensyahwat ditubuhkan di Kelantan ekoran banyak wakil-wakil rakyat dan bekas wakil rakyat di negeri itu berkahwin lebih daripada satu.

Terdapat juga dalam puluhan komen itu datangnya dari kaum wanita yang bersikap pro dan kontra mengenai cadangan itu. Ada yang bersetuju dengan menambah agar wanita-wanita yang menjadi madu kepada isteri wakil rakyat juga perlu menubuhkan persatuan bagi menjaga kebajikan mereka.

Kata penjenguk dari Alor Star itu persatuan itu boleh dinamakan Pemadu, dengan isteri kedua menteri besar Kedah sebagai Pengerusinya. Apakah Azizan Razak juga beriteri lebih daripada satu?
Atau kalau tidak cadang penjenguk itu isteri Abdul Hadi Awang boleh juga menjadi pengerusi.

Kritikan langsung berhubung tulisan itu banyak ditujukan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melor, Wan Ismail Wan Jusoh (foto). Ada yang marah dengan tindakan Wan Ismail menceraikan isteri mudanya berbangsa Kemboja itu kerana ia tidak menunjukkan sikap dan perwatakan sebagai seorang pemimpin Islam.

"Sepatutnya Wan Ismail memberi didikan Islam kepada wanita Kemboja itu bukan hanya dijadikan bantal sendal," begitulah tulis seorang penjenguk agak kesal.

Ramai yang melihat tindakan Wan Ismail itu menjejaskan kedudukanya sebagai seorang "ustaz' dan menjejaskan kedudukannya sebagai wakil rakyat dan Ketua Pas Kawasan Ketereh. "Seorang uster sepatutnya menunjukkan teladan yang baik!"

Lantas itu ada yang menyarankan supaya Wan Ismail melepaskan jawatan sebagai Adun Melor dan juga sebagai Yang Dipertua Pas kawasan Ketereh dengan seberapa segera.

Bagi pembaca yang mungkin ada masalah dengan Wan Ismail mencadangkan kepada Tok Guru Nik Aziz agar mengambil tindakan ke atas Wan Ismail. Alasan mereka walaupun kesalahan itu lebih bersifat peribadi namun ia memberi implikasi kepada kepimpinan Pas. Lagipun kesalahan mengabaikan isteri mualaf itu sesuatu perbuatan yang sungguh dikesali.

Apa yang dibimbangkan penceraian itu memberi kesan kepada wanita Kemboja berkenaan dan akan menimbulkan persepsi lain, misalnya mengenai sikap lelaki Kelantan yang akan dianggap sebagai ayam bapa suka berbini tetapi tidak pedulikan anak!

Manakala ada seorang penjenguk dari Terengganu pula memberi komen berikut; "Tak salah wakil rakyat untuk berkahwin lebih, tetapi biarlah perkahwinan itu berlangsung secara terbuka dan tidak menimbulkan masalah. Tidak payah jadi pemimpin kalau nak berkahwin lebih pun secara senyap-senyap dan setengahnya ada sembunyikan bini. Bak berkahwin secara senyap ni samalah seperti menyembunyikan nagka yang sudah masak, lama-lama orang akan terhidup juga ataupun kalau tidak dimakan yang akan buruk sendiri."

Di sini saya tidak mahu menambah dan mengurangkan komen-komen dan pandangan penjenguk blog ini. Cuam apa yang nak disebut kalaulah Pas Kelantan bersedia mengambil tindakan disiplin ke atas mana-mana wakil rakyatnya yang berbini lebih dan telah menimbulkan masalah, bermakna ramailah yang boleh dikenakan tindakan.

Apakah ianya wajar atau tidak dalam usaha mendisiplin dan meningkatkan kualiti kepimpinan (amanah dan tanggungjawab) wakil rakyat Pas dalam hal ini, terserahkan Nik Aziz. Mungkin sebaik pulang dari mengerjakan umrah pada 15 Jun nanti bolehlah beliau panggil mana-mana wakil rakyat yang berbini lebih itu untuk diberi tazkirah khusus.

Atau pun kalau perlu mengadakan usrah khas berhubung perkara berkenaan bagi memastikan perkara sedemikian tidak berlaku di masa akan datang yang mana sedikit sebanyak turut sama mencalarkan 'kemurnian' Tok Guru sebagai Menteri Besar.

Kelakuan atau perbuatan buruk oleh wakil-wakil rakyat yang berbini dua itu menyebabkan orang akan mengatakan Nik Aziz gagal menterbiahkan anak buahnya agar menjadi sepertinya. Tok Guru pernah dipinang oleh seorang gadis menerusi surat untuk menjadi isteri keduanya namun ditolak! Apakah tindakan Nik Aziz itu tidak dijadikan iktibar? [wm.kl 8:45 am 07/06/08]

Thursday, June 5, 2008

Enekdot Politik

APAKAH IANYA 'MALA FIDEL' ATAUPUN REALITI?

INILAH rakaman yang dibuat oleh akhbar Utusan Malaysia di muka surat 9 hari ini. Gambar ini merakam betapa kalutnya orang ramai mencuri peluang untuk mengisi minyak dengan harga lama sebelum dikuatkuasakan kenaikannya malam tadi.

Mereka sanggup berbaris panjang, berasak dalam kesesakan, terpaksa sampai lewat ke rumah, ketinggalan waktu solat, melepaskan peluang untuk makan bersama anak dan isteri semata-mata ingin mencari sedikit untung.

Kenaikan sebanyak RM0.78 sen bagi petrol dan RM1.00 bagi diesel adalah tinggi bagi rakyat. Betapa naifnya kantung rakyat Malaysia kalau kerana mengharapkan penjimatan sebanyak 78 sen atau RM1 mereka terpaksa mengorbankan segala-gala itu!

Mungkin kenaikan itu tidak terasa dan terbeban kepada Abdullah Ahmad Badawi, Mohd Najib Razak, Shahrir Abdul Samad, Khairy Jamaluddin, Ezam Mohd Noor ataupun Samy Vellu. Setiap titik minyak kenderaan mereka dibayar oleh Kerajaan kecuali Samy Vellu, Khairy dan Ezam.

Perhatikan dan renungilah gambar berkenaan! Abdullah dan Najib hanya tersenyum memerhati keadaan. Apakah gambar ini berniat jahat ingin memburukkan kedua mereka? Atau ianya realiti sebenarnya. Abdullah boleh menjimatkan wang negara dengan menghapuskan subsidi minyak.

Beliau mungkin merasa bangga dan rakyat yang berkepala buruk juga senang tanpa mengetahui bahawa apa yang Abdullah lakukan itu sebenarnya beliau telah menjual titik peluk rakyat untuk membayar sedikit laba kepada rakyat. Maknanya pembayaran secara tunai sebanyak RM625 bagi pemilik kenderaan dan sebanyak RM150 bagi pemilik motisikal persendirian adalah hasil dari wang simpanan rakyat sendiri selama 365 hari.

Seorang pemimpin yang bijak, berpandangan jauh akan mencari ikhtiar lain bagi membantu rakyat bukannya menjual titik peluh rakyat sendiri! Putarlah lagu kesedihan dan kedukaan rakyat untuk sama-sama kita hayati betapa halusnya jejari kapitalisme yang mencengkam rasa. [wm.kl 9:00 am 05/06/08]
Saya postkan satu email yang dikirimkan oleh sdr Mohd Safrurazi Salleh:
Mohd Safrurazi Salleh to me show details 7:46 AM (1 hour ago) Reply
Tn Hj MSO, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Shahrir Abdul Samad pembohong BESAR. Cakap Ogos sempena dengan penstrukturan semula pemberian subsidi baru harga minyak baru.Malam tadi kami kat Ketereh, jalan daripada Kualu Krai ke kota Bharu sesak sampai Pulau Chondong. Sebabnya orang tak sanggup tunggu esok dengan harga RM 2.70. Bayangkan lah , dengan anak kecik dalam Kereta saya sangkut 2 jam lebih untuk bergerak 100 meter. Memang malam tadi keadaan macam tak terkawal, orang dah tak peduli lampu isyarat, dan hamper menjejaskan sifat kemanusiaan demi RM1.92 sebelum RM2.70. Terpaksa Polis dating ke Stesen minyak menenangkan keadaan. Teruk betul Menteri ni dengan PM, kesan 6 jam lepas umum, kesan seminggu lepas umum, kesan sebulan selepas umum, kesan 3 bulan lepas umum dan setahun lepas umum, adakah mereka ada strategi fikirkan masalah yang timbul ni. Cuba bagi pada Mantan TPM macamana boleh handle tak harga minyak ni??? Dan kalau saya jadi mufti, saya bagi fatwa Monsoon Cup ADALAH HARAM. DISAAT RAKYAT KITA MENDERITA, ADA LAGI PIHAK MEMBAZIRKAN DUIT RAKYAT Wassalam

Wednesday, June 4, 2008

Enekdot Politik

Cerita Disebalik Kenaikan Harga Minyak


1. Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Shahrir Abdul Samad berbohong. Beliau sebelum ini tidak membayangkan minyak akan naik dalam kadar segera, paling cepat katanya Ogos sempena dengan penstrukturan semula pemberian subsidi. Dalam kenyataan akhbarnya semalam di lobi Parlimen beliau mengatakan minyak tidak naik dalam kadar segera.

Dan hari ini berkuat kuasa tengah malam ini jam 00:00 harga minyak petrol dan desel akan dinaikan. Harga petrol kini RM2.70 sen seliter manakala desel RM2.58 sen seliter.

Ternyata menteri berkenaan cuba mengelirukan rakyat dan berbohong besar dan mempermainkan rakyat. Shahrir yang sebelum ini dikenali sebagai seorang yang outspoken nampaknya sejak menjadi anggota Kabinet Abdullah juga sudah pandai berdolak dalih.

2. Ekoran kenaikan harga bahan bakar ini ia tidak dapat dielakkan akan berlaku kenaikan harga terhadap barangan pengguna lain. Kadar atau taarif baru eletrik juga sudah dibayangkan akan dinaikan. Pada 1 Julai kadar baru akan diumumkan. Kenaikan itu sebagai mangsa pertama ekoran kenaikan harga petrol dan desel.

3. Kata Abdullah tindakannya mengumumkan kenaikan harga bahan bakar itu suatu tindakan tidak popular. Ha... ha...ha... lucu. Kita mahu ceritakan kalau Abdullah tidak tahu beliau sudah lama tidak popular. Kalau beliau berbuat keputusan begitu bukan mengejutkan lagi. Seharusnya beliau membuat keputusan yang boleh mempopularkan beliau barulah mengejutkan!

4. Kenailkan harga minyak kali ini tertinggi dalam sejarah. Kenaikan sebanyak 78 sen atau 41% (RM2.70) bagi petrol dan RM1 atau 63.3% (RM2.58) bagi desel. Maknanya Abdullah boleh dinobatkan sebagai Menteri Kewangan Malaysia yang pertama mengumumkan kenaikan harga bahan bakar tertinggi.

5. Sekiranya Pakatan Rakyat menang dan Anwar menjadi PM sudah tentu harga minyak tidak akan naik. Sebab Anwar berjanji akan menurunkan harga minyak dan bersekali dengan harga tol. Soal kenaikan harga bahan itu kerana kesan global tidak berbangkit bagi Anwar. Demi mengotakan manifestonya Anwar tentu ada jalan lain bagaimana hendak menurunkan harga minyak.

6. Khabarnya Abdullah baik dengan Anwar. Kenapa beliau tidak minta tolong Anwar mengatasi harga minyak. Misalnya beliau boleh lantik Anwar menjadi Menteri Kewangan? Atau Abdullah tunggu harga minyak naik sampai RM5 seliter baru beliau mahu minta tolong Anwar. Apakah bila harga naik setinggi itu Abdullah akan terus lepaskan jawatan PM kepada Anwar. Mungkin, sebab itulah Mohamad Ezam Mohd Noor telah menyertai Umno?

7. Rekod tahun 2004 harga petrol naik sebanyak tiga kali, iaitu pada 1 Mei RM1.37 1 Oktober RM1.42 dan 1 Mac RM.142.

Tahun 2005 sebanyak dua kali. Harga-harga petrol pada 1 Mei RM1.52 dan pada 31 Julai RM1.62. Tahun 2006 sekali pada 28 Februari iaitu sebanyak RM1.92 sen. Untuk tahun ini baru sekali sebanyak RM2.70 sen. Apakah kenaikan tahun 2008 ini akan melewati bilangan kenaikan tahun-tahun sebelumnya? Kalau sehingga tahun 2009 kemungkinan minyak akan naik dua tiga kali lagi sehingga mencecah RM5 satu liter.

8. Kata Shahrir kenaikan tidak melibatkan kenaikan harga barangan lain sebab kenderanaan perdagangan masih membayar harga yang disubsidikan. Jika diperhatikan kepada setiap kali kenailkan harga minyak itulah cakap yang diucapkan oleh para menteri. Mereka tidak pernah menafikan atau mengiyakan apa yang dilalui oleh pengguna. Hakikatnya selepas seminggu harga minyak naik harga barangan pun melambung-lambung.

9. Berikutan penstrukturan semua subsidi, pemilik kenderaan persendirian yang berkuasa kuda 2,000 ke atas akan menerima wang tunai RM620 setahun iaini kira-kira RM1.70 sen sehari. Bagi pemilik motosikal persendirian pula akan dibayar sebanyak RM150 setahun iaini kira-kira RM0.41 sen sehari. Nak apa lagi rakyat Malaysia... mana ada kerajaan yang bermurah hati memberikan wang tunai RM1.70 atau RM0.41 sen kepada rakyat? Bukan sedikit, boleh beli gula-gula, kecualilah kalau dengan kenaikan harga minyak ini harga gula-gula juga turut naik sehingga RM3 sebiji.

10. Seandainya Abdullah tidak mampu menahan kenaikan harga minyak, eloklah beliau turun. Mudahan-mudahan kalau beliau turun harga minyak tidak naik lagi, kalaupun belum tahu harga bahan bakar itu akan turun. Akan dikemaskinikan. [wm.kl 8:30 pm 04/06/08]

Keluhan Jiwa

Bila Air Sudah Kering Para Berjois Pun Turun

KIRA-KIRA sebulan lalu saya dihubungi oleh Dinsman yang memberi tahu satu pertemuan golongan karyawan iaini penulis, sasterawan, penyair, kartunis, dramatis, penyanyi dan sebagainya yang pro reformasi bakal diadakan. Tarikhnya kalau tidak silap pada 30 Mei. Bagaimana pun dua minggu kemudian beliau memberi tahu tarikh itu ditunda kerana pada tarikh itu Anwar Ibrahim yang akan menjadi tetamu khas tidak ada dalam negeri.

Saya menyatakan kesediaan untuk hadir. Kenapa tidaknya, itulah majlis untuk para karyawan pro reformasi berhimpun. Selepas pembangkang menang dalam pilihan raya lalu belum ada perhimpunan sebesar itu dan seumpama itu.

Walaupun kami, khasnya saya bukan ahli politik pembangkang totok namun kami merasa kemenangan Pakatan Rakyat adalah hak kami juga. Kami ada saham kalau tidak banyak, setengah peratus adalah! Kerana apa yang kami perjuangkan ialah memastikan kerajaan BN supaya diajar oleh rakyat. Kami mahu rakyat melakukan anjakan paradigma dalam politik bangsa.

Saya tidak tahu apakah agenda pertemuan yang disebut Dinsman itu. Cuam saya fikir ia adalah satu pertemuan sesama sendiri. Bolehlah digunakan untuk bertukar fikiran dan bertanya khabar mengenai karya-karya terbaru masing-masing ataupun komen-komen mengenai telatah dan wajah pemimpin refomasi yang menang. Tentu watak, percakapan dan gaya mereka berbeza selepas menang dengan semasa sama-sama menggerakan reformasi dulu dan ini adalah dalam pemerhatian dan pengamatan karyawan reformasi.

Suasanya juga tentu lebih galak dan lincah kerana 'parti' sudah menang!

Meruang masa

Tarikh yang disebut Dinsman ialah pada 6 dan 7 Jun. Eloklah.... saya lantas meruangkan masa dengan tidak membuat apa-apa jadual pada tarikh berkenaan. Memang berhajat dan seronok untuk hadir.

Beberapa hari lalu saya dihubungi oleh seseorang yang bercakap atas nama karyawan. Beliau mahukan kepastian samada saya ingin hadir atau tidak ke majlis yang dinamakan Makan Malam Karyawan II. Kepada orang itu saya memberi tahu saya sudah sahkan kepada Disman menerusi SMS. Hairan juga saya kenapa dia mahu membuat pengesahan sekali lagi.

Apabila saya bertanya dia siapa dan apakah tidak kenal dengan Dinsman, dia tidak menjawab, sebaliknya memberitahu, beliau diminta untuk menanyakan saya hadir atau tidak. Itu saja.

Kelmarin Haji Bakal Ninggal (penerbit majalah Variasari dan bekas Timbalan Ketua Keadilan Bahagian Gombak) pula menghubungi saya, merunggut mengenai majlis itu. Katanya, beliau dapat tahu Kerajaan Selangor ada anjurkan majlis untuk karyawan reformasi. Menurutnya Dharmala NS menyatakan kekesalan kerana tidak dijemput. Haji Bakar bertanya apakah saya dijemput atau tidak?

Mulanya saya rasa tidak wajar untuk Haji Bakar atau Dharmala NS (seperti kata Haji Bakar) merungut mengenai jemputan itu. Kerana setahu saya majlis itu untuk karyawan reformasi sahaja. Maknanya mereka yang bersastera, bersajak , berdrama dan menulis menyokong reformasi saja yang layak menghadirnya. Jumlah mereka ini tidak ramai. Tidak sampai 50 orang.

Saya tidak memberi tahu apa-apa kepada Haji Bakar dan berjanji akan menjelaskan bila berjumpa kemudiannya.

Dan hari ini saya menerima sekeping kad jemputan berwarna putih yang berlogokan lambang Kerajan Selangor. Kad jemputan itu datang daripada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Selangor yang mempersilakan saya hadir ke majlis Makan Malam Karyawan II, bertempat di Dewan Jubli Perak, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Slangor, Shah Alam.

Bila majlis Makan Malam Karyawan I? Saya sedikit kebingungan. (Oh seminggu sebelum pilihan raya di rumah Khalid Ibrahim di Bukit Damansara, barangkali itu malam karyawan pertama?).

Membelek aturcara

Saya membelek aturcara yang dikembarkan bersama kad berkenaan beberapa kali. Kehadirannya, MB Selangor dan Anwar Ibrahim. Ada ucapan, dua dari wakil Karyawan, pertama oleh Sdr Eddin Khoo dan kedua oleh Dato' Siddiq Fadhil.

Selepas itu diadakan jamuan makam dan diikuti dengan ucapan Tan Sri Khalid Ibrahim. Selepas itu ada lagi ucapan disebut sebagai wakil Kayrawan, oleh Prof SN Dr Muhammad Haji Salleh yang kemudiannya diikuti dengan ucapan tetamu khas Anwar Ibrahim. Berapa banyak wakil dah....!

Saya tertanya-tanya apakah jemputan itu ada kena mengena dengan majlis yang disebut dan 'dipadah' Dinsman? Saya mula meraguinya kerana di kad berkenaan tidak dicatat nama Dinsman. Sewajarnya Dinsman yang menjadi penggerak diminta memberi ucapan kalau majlis itu ada sangkut paut dengan majlis yang disebut Dinsman itu.

Saya kenal dengan orang benama Siddiq Fadhil yang bercakap telor sekerat belut sekerat keli itu. Tetapi tidak kenal dengan orang bernama Eddin Khoo itu. Siapa itu Eddin Khoo? Begitu juga saya kenal dengan SN Muhammad Haji Salleh. Bagaimana pun setahu saya kedua, tidak... ketiga mereka, rasanya tidak pernah terlibat dalam menghasilkan apa-apa karya kreatif yang pro reformasi. Siddiq Fadhil adalah bekas Presiden Abim.

Sepanjang berdemonstrasi di Jalan Tuanku Abdul Rahman tahun-tahun 1998 dan 1999 dulu tidak pernah ternampak muka mereka baik di celah pokok ataupun di sebalik batu?

Apabila saya meneliti tidak ada nama Dinsman saya jadi makin keliru dan tertanya-tanya. Keadaan ini menjadikan saya tergerak untuk menghubungi Dinsman dan bertanya apa yang berlaku sebenarnya dengan majlis berkenaan.

Kata Dinsman majlis itu mulanya hendak diadakan bersama. Tetapi entah macam mana ia diasingkan. Jadi majlis yang disebut Dinsman itu berbeza dan terasing dengan majlis Makan Malam Karyawan II itu. Majlis makan malam itu lebih eksklusif dan berwajah bangsawan dan bukannya karyawan marhaen.

Kalau begitu saya kata kepada Dinsman saya tidak akan hadir majlis Makan Malam Karyawan itu. Saya rasa tidak pantas untuk hadir bukan saja makan dalam pinggang emas tetapi untuk mendengar ucapan mereka yang saya tidak pernah tengok terlibat dengan reformasi itu.

Mungkin butiran ucapannya nanti akan menjadi asing kepada saya dan membingunkan apabila ianya diselit dengan falsafah-falsafah yang tidak terjangkau oleh dek pemikiran marhaen! Dan bak makan-makan ini saya cukup sensitif, tidak suka saya kalau dipanggil untuk makan apa lagi kalau padah menerusi orang kedua atau ketiga!

Bagaimana pun saya bagi tahu kepada Dinsman saya akan hadir pada majlis 6 Julai di sebuah hotel di Shah Alam itu? Saya terus keliru dan kebingungan mengenai ini. Hinggalah selepas saya membaca catatan Dinsman didalam Hakarah baru saya tahu sikit-sikit apa yang berlaku. Reformasi kini kata Dinsman sudah menjadi reformani! Mani itu gak duitlah... duit... duit!

Biasalah kalau sungai sudah hampir kering ditimba oleh para peraih marhaen, maka akan turunlan para berjois untuk memunggut ikan-ikan yang sudah mula menunjukkan sirip. Sudin....Sudin......!

Barangkali antara sebab kenapa wira reformasi yang berpatah balik, Ezam Mohd Noor akhirnya mengambil keputusan melarikan diri daripada perjuangan kerana wujudnya layanan double standard ataupun atau pun kerana tidak sanggup menyaksikan orang lain berselut berpasir, orang lain dihidang makan dalam mangkuk emas! Sudin... Sudin! [wm. kl 2:10 04/05/08].

Tuesday, June 3, 2008

Enekdot Politik

Kuah Tentulah Tumpah Ke Nasi...

EWAH... hebat juga kawan kita bernama Mohammad Ezam Mohd Noor ini. Ada iras-iras macam bekas bosnya Anwar Ibrahim saja. Menerusi kenyataan internet yang dikeluarkan hari ini menerusi blognya yang dipetik oleh protal berita, Ezam memberi tahu beliau akan melawat beberapa buah negara Asean sehari dua ini.

Tujuannya ialah untuk memberi tahu kepada rakan-rakannya di negara berkenaan berhubung keputusannya memohon untuk menyertai Umno semula minggu lalu.

Sekembalinya nanti beliau akan memberi kenyataan. Kenyataan apa? Apakah kena mengenanya kemasukan semula beliau dalam Umno dengan hubungan serantau? Umno adalah sebuah parti yang sudah diketahui umum akan hala tuju dan perjuangannya.

Apakah dengan keputusan Ezam menyertai semula Umno itu parti itu akan mengalami perubahan dan reform yang menyeluruh? Hebat Ezam... beliau meletakkan dirinya dalam keadaan itu dan menjadi public figure yang tersohor kini. Mungkin sehari dua ini Ezam begitu seronok dengan kehadiran para wartawan dan jurugambar pada setiap sidang akhbarnya.

Kuah kalau tidak tumpah ke nasi ke mana lagi? Begitu jugalah dengan gaya dan lagak Anwar Ibrahim selepas dipecat dari Umno dulu.

Beliau sering keluar negara kemudian balik membuat kenyataan. Sebelum balik tukang tetuang Anwar akan melaungkan kononnya Anwar akan membuat pengumuman penting. Walhasilnya tidaklah ada apa-apa melainkan kritik kerajaan. Mulanya berderu rakan dan kawan menunggu di airport lepas itu makin susut dan lama kelamaan terus surut.

Sikap Anwar itu menyebabkan sesetengah pendokong reformasi merasa 'cemui' dan muak dengan gelagak itu. Dan ada yang meninggalkan perjuangan Anwar kerana kurang senang dengan sifat demikian.

Apakah Ezam juga akan berbuat demikian? Nampaknya begitulah selagi Umno tidak memberi apap-apa tugas khas kepadanya. Ezam akan berulang alik ke Bangkok, Jakarta, Manila dan mana-mana lagi. Para wartawan dan jurugambar pun akan bergegas untuk mendengar berita dari Ezam. Lama kelamaan wartawan dan jurugambar pun merasai cumuh macam mereka cemuh kepada Anwar dulu, maka tinggalkan Ezam terkontong kanting bersendirian mengetik kuku di koridor impian.

Untuk tidak membiarkan Ezam ke hulu ke hilir elok kalau Umno memberikan apa-apa jawatan kepada Ezam segera. Tambat Ezam di mana-mana! Tidak payahlah ke luar negara kemudian balik buat kenyataan yang bunyi hebat tetapi bernilai tin kosong saja. Saya rasa tidak ada apa kepentingan parti baru Ezam itu dengan dunia luar.

Sebaliknya apa yang dunia luar hendak tahu kini bilakah Pakatan Rakyat akan mengambil alih kuasa? [wm.kl 5:00 pm 03/06/08].

Monday, June 2, 2008

Perhimpuan Umno

Kempen Naib Presiden Umno Sudah Bermula

KALAU boleh diumpamakan persaingan pemilihan kepimpinan Umno yang akan berlangsung pada Disember hadapan seperti perebutan untuk menjadi juara rancangan realiti tv Akademi Fantasia, kini beberapa calon telah mula mendaftarkan diri untuk menjalankan ujian peringkat awal bagi memasuki akademi berkenaan bagi musim hadapan.

Mereka akan mula diuji bakat, suara, personaliti dan kecergasan minda sebelum diterima masuk secara rasmi ke dalam 'akademi' berkenaan menerusi mesyuarat cawangan yang kemudian diikuti oleh mesyuarat bahagian bermula Ogos hadapan. Pemilihan mereka oleh mesyuarat bahagian bolehlah dianggap sebagai pertarungan di suku akhir.

Hari ini sebermulanya mesyuarat agung cawangan Umno boleh dianggap mereka masing-masing mempamerkan diri diperingkat awal untuk dipilih memasuki 'akademi' berkenaan atau memungkinkan diri mereka turut bertarung merebut jawatan dilayer ketiga dalam Umno itu.

Di samping dua pemenang sebelum ini (penahan jawatan) iaitu Muhyiddin Yassin dan Mohd Ali Rustam, kini terdapat sekurang-kurang tujuh yang telah disebut-sebut atau berminat untuk mengambil bahagian dalam 'akademi' berkenaan atau berhajat untuk merebut jawatan berkenaan.

Seorang lagi calon atau juara akademi tahun 2003 dahulu, iaitu Mohd Isa Samad dibatalkan kemenangannya kerana telah didapati bersalah 'merusah para pengirim sms' agar mengundi beliau. Mohd Isa kini digantung daripada bertanding sebarang jawatan di dalam Umno.

Calon-calon yang dikatakan akan memasuki 'akademi' itu untuk merebut tiga kerusi Naib Presiden kali ini ialah Ketua Pemuda Umno Hishamuddin Hussein, Ahli Majlis Tertinggi, Syed Hamid Albar, bekas MB Perlis Shahidan Kassim, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri merangkap Menteri Agama Islam, Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Menteri Sabah, Musa Aman.

Menteri Pengajian Tinggi, Khalid Nordin dan Menteri Besar Pahang, Adnan Yaacob.

Menunjukkan belang

Masing-maaing telah menyatakan hajat atau menunjukkan belang untuk dicalonkan sebagai Naib Presiden. Annuar Musa yang sebelum ini berhajat besar untuk mencuba nasib dengan harapan Kelatan dimenangi BN dalam pilihan raya lalu nampaknya terpaksa mengigit jari di atas Bukit Marak saja.

Hishamuddin yang nampak bernafsu besar telah dua kali mengumumkan akan meninggalkan kerusi Ketua Pemuda. Beliau sangat berharap pemuda akan memberi laluan kepada beliau untuk menahktai kerusi berkenaan. Dari undi awal para peminat 'akademi' itu nampaknya peluang Hihamuddin cerah.

Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Syed Hamid dikatakan tokoh yang sesuai untuk mengisi kerusi berkenaan. Kecemerlangan beliau dalam kerajaan serta ketokohan dan personaliti beliau yang bersih dan tidak menimbulkan masalah. Kelebihan itu dikira sesuai untuk menduduki kerusi berkenaan. Dalam situasi hari ini Syed Hamid dikatakan berkemampuan membawa atau memberi semangat untuk memulihkan kepercayaan umum kepada parti Umno.

Anak Singa Umno itu juga dikatakan dapat membantu Abdullah Badawi dalam Umno. Paling penting ialah prinsip Syed HAmid yang dilihat mampan boleh dijadikan aset atau modal untuk beliau berada di barisan ketiga hirarki Umno. Bagaimana pun masalah Syed Hamid ini beliau kurang diminati oleh para pengundi yang licit bermain sms.

Selain daripada Syed Hamid, Ahmad Zaid Hamidi juga yang akan membuat percubaan pertama dan antara calon yang bakal mendapat sokongan ramai. Hubungan Zaid dan sifat mesra beliau dengan ahli-ahli Umno menyebabkan ahli Umno tidak mudah untuk melupai bekas Ketua Pemuda Umno. Zahid tidak sempat menunjukkan kebolehan dan bakatnya semasa dalam pemuda dulu apabila reformasi meletus dan beliau terperangkap dalam kancah berkenaan.

Menawarkan niat

Seorang lagi calon baru untuk merebut jawatan ini ialah bekas MB Perlis, Shahidan Kassim. Shahidan yang kehilangan jawatan MB selepas pilihan raya lalu dikatakan akan mencuba kerusi itu dengan menawarkan niatnya untuk menyuburkan Islam. Beliau dikatakan akan menjadikan misi memperkuatkan Islam sebagai modalnya merebut jawatan berkenaan. Keperluan Shahidan juga beliau seakan terdesak untuk menguakkan diri dalam Umno selepas tidak lagi menjadi CEO Perlis.

Manakala bagi seorang lagi muka baru Khalid Nordin buat masa ini dikatakan sedang mengintai peluang itu. Belum pasti apakah rasional beliau turut sama menawarkan diri memandangkan begitu ramai tokoh dari Johor yang berminat untuk kerusi berkenaan. Lagak tokoh-tokoh dari Johor mendaftarkan diri seolah-oleh Umno hari ini hanya milik Johor saja!

Walaupun Khalid mungkin ada misi dan agendanya tersendiri namun beliau dilihat masih mentah dalam politik dan seterusnya untuk berada di kerusi berkenaan.

Musa Aman yang turut disenaraikan lebih kepada sebagai mewakili Umno di Sabah sahaja. Sekiranya beliau mendapat pencalonan untuk memasuki akademi itu ianya tidak lebih daripada untuk memeriahkan pertandingan itu saja atau untuk tidak mencicirkan Umno dalam dalam pesta pertandingan.

Begitu juga dengan Adnan Yaacob. Kalau beliau benar-benar ingin mencuba nasib di kerusi itu penyertananya boleh menganggui ahli-ahli Umno untuk memilih tokoh lain. Adnan bukan termasuk antara tokoh yang mendapat perhatian dan diberikan keutamaan. Kenyataan dan pandangan beliau yang kontroversi dan agak aneh tidak lebih daripada gimik agar orang tidak melupai beliau saja.

Mengenai penyandang jawatan Muhyiddin atau Mohd Ali Rustam mereka tidak boleh rileks dalam pertandingan kali ini. Lebih-lebih Mohd Ali yang masih belum berjaya melancarkan percakapannya mungkin akan tersingkir kali ini. Keberadaanya di atas kerusi Naib Presiden selama ini pun tidak banyak membawa perubahan kepada Umno.

Biro latihan yang dipangkunya juga nampaknya tidak berjaya membawa apa-apa kepada ahli Umno. Kehadiran Mohd Ali di situ dulu pun bukan kerana ketokohannya sangat tetapi kerana beliau dilihat akrab dan rapat dengan Mohd Najib Razak saja. Kelebihannya untuk merekmenkan pemberian darjah kebesaran juga turut menjadi faktornya.

Manakala bagi Muhyiddin tidak mustahil kalau beliau bakal tercicir dalam pertandingan kelak. Dan tokoh yang dirasakan memberi tentangan sengit kepada Muhyiddin di Johor ialah Hishamuddin Hussein. Siapakah antara sembilan calon itu akan dapat berjaya memasuki ke separuh akhir sama-sama kita tunggu perkembangan selanjutnya. [wm.kl 11:00 pm 02/06/08].